BAHAGIAN KETIGA - MENGADAPTASI TEORI PENGURUSAN KE DALAM PENTADBIRAN PAS.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Sektor Pemerkasaan Organisasi
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
www.khairulfaizi.net
khairul.faizi1
khairulfaizi73
+60132565530

BAHAGIAN KETIGA - MENGADAPTASI TEORI PENGURUSAN KE DALAM
PENTADBIRAN PAS.
Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,
Dalam ilmu Pengurusan, kita akan didedahkan dengan teori pengurusan yang melibatkan
teori daripada pelbagai ahli falsafah dan pakar pengurusan sejak tahun 1770an
sehinggalah ke peringkat teori terkini yang digunakan oleh pelbagai sektor. Teori-teori ini
terhasil daripada pelbagai sebab yang akan dinyatakan nanti.
Secara ringkasnya, teori-teori ini ada di antaranya pun telah kita aplikasikan dalam
sistem pentadbiran kita pada ketika ini. Akan dinyatakan sebab-sebab teori pengurusan
ini perlu diperjelaskan kepada penggerak organisasi PAS di setiap peringkat.
Sejarah awal teori pengurusan telah dipelopori oleh Robert Owen dan Charles Babage
sekitar tahun 1771 – 1871. Robert Owen menyatakan bahawa pekerja merupakan

sumber daya pengurusan yang signifikan. Owen percaya bahawa pengurusan yang
memperbaiki keadaan persekitaran kerja atau pelaburan pada sumber daya manusia
dapat meningkatkan output dan keuntungan.
Konsep yang dipelopor oleh Charles Babbage pula membabitkan pembahagian kerja di
mana beliau meyakini bahawa pekerja yang melakukan pekerjaan yang sama secara
berulang-ulang akan semakin terampil dan semakin efisien.
Konsep Pendekatan Klasik (1880 – 1927) pula berlaku akibat daripada perkembangan
revolusi industri pada pertengahan kurun ke 19. Isu yang berbangkit pada ketika ini
adalah masalah yang dihadapi oleh para pengurus syarikat untuk meningkatkan
kecekapan dan produktiviti. Apa yang ingin dicapai adalah organisasi menjadi cekap
sehingga menghasilkan pengeluaran yang tinggi dan kejayaan organisasi. Disamping itu
juga, pengurusan mencari kaedah bagaimana menjadikan organisasi menjadi cekap.
Dalam dunia Sains Pengurusan, Federick W. Taylor cukup dikenali dan beliau digelar
sebagai “Bapa Pengurusan Saintifik”. Taylor memulakan kajian secara saintifik terhadap
pergerakan pekerja dalam industri melebur besi. Beliau telah membuat pemilihan
terhadap pekerja yang mempunyai keupayaan sebenar, memberikan pekerja latihan dan
insentif untuk melaksanakan kerja dengan kaedah kerja yang tepat.
Taylor juga memperkenalkan sistem ganjaran bagi pekerja yang telah memenuhi
piawaian yang telah ditetapkan oleh organisasi masing-masing. Melalui konsep
pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor, pekerja yang tidak memenuhi

piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan disingkirkan dari sistem kitaran kerja setelah
berada dibawah pengawalan dalam jangka masa tertentu . Taylor turut memperkenalkan
sistem waktu rehat berjadual bagi membantu mengurangkan kepenatan bekerja.

Secara keseluruhannya, Taylor mengeluarkan prinsip pengurusan saintifik yang
melibatkan perkara seperti penentuan pergerakan, pengkhususan kerja, perancangan
dan penjadualan rapi, pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi dan yang
terakhirnya insentif upah. Pandangan Taylor tentang memotivasikan pekerja melalui
perkara-perkara seperti dinyatakan tadi digunakan oleh kita pada hari ini.
Teori Klasikal telah mengenalpasti pengurusan sebagai elemen penting dalam
masyarakat terancang dan menjadi begitu penting dalam dunia yang global. Pendekatan
Klasikal telah mengenal pasti fungsi utama pengurusan iaitu perancangan,
pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan dan pengawalan.
Bagaimanapun fungsi pengurusan bergantung kepada keupayaan dan kemahiran
seseorang pengurus.
Pendekatan Klasikal juga telah memberi sumbangan kepada teknik-teknik pengurusan
seperti analisis pergerakan dan masa, kemudahan kerja, sistem upah, jadual
pengeluaran, pengujian personel dan belanjawan.
Ada juga Teori Pengurusan yang mengambil pendekatan melalui tingkahlaku yang mana
Pengurus yang inginkan kejayaan perlu memahami tentang manusia, iaitu pekerja &

berusaha menyesuaikan organisasi dengan manusia. Di antaranya, Elton Mayo dan
kesan Hawthorne dalam kajian dilakukan di Hawthorne Works of The Western Electric
Company oleh Elton Mayo dan rakannya dari Universiti Harvard. Begitu juga dengan
Elton Mayo dengan teorinya sentuhan kemanusiaan itu penting dalam mewujudkan
produktiviti yang tinggi, Hugo Munsterberg yang mencipta lapangan psikologi industri
iaitu kajian saintifik individu ditempat kerja dalam usaha untuk memaksimakan
produktiviti dan untuk sebarang perubahan.
Mary Parker Follett, salah seorang ahli falsafah dalam bidang pengurusan dalam Teori
Organisasi Klasik melalui pendekatan Pergerakan Hubungan Manusia menyatakan
organisasi patut dilihat dari perspektif gelagat manusia secara individu dan berkumpulan.
Apabila zaman berubah maka pendekatan teori pengurusan juga terdapat perubahan
pada bahagian-bahagian tertentu. Contohnya, Tom Peters telah memberikan teori dan
pendekatan terhadap mengurus kekaburan dan paradoks. Tom Peters menyatakan
bahawa menguruskan organisasi perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan
ketidaktentuan pasaran, keberanian mencuba tanpa memikirkan kepada kegagalan dan
perlu menghampiri dengan pelanggan.
Tokoh pengurusan moden yang popular masa kini adalah seperti Abraham Maslow, Chris
Argyris, D. Mc. Gregor, Edgar Schein, D. Mc. Cleland, R. Blake & J. Mouton, Ernest Dale
dan Peter Drucker. Begitu juga dengan Douglas Mc Gregor dengan Teori X & Y, William
Ouchi dengan Teori Z dan Michael Porter dengan memberikan lima kekuatan persaingan

utama.
Begitulah gambaran serba sedikit perkembangan Sains Pengurusan yang perlu diketahui
perkembangannya. Saya akan menyentuh berkaitan dengan sistem pengurusan Islam
pada bahagian yang akan datang. Justeru apa pentingnya bagi kita untuk membaca dan
memahami teori-teori pengurusan ini?.
Saya berpandangan terdapat 4 perkara yang penting ingin disampaikan dalam penulisan
ini berkaitan dengan Teori Pengurusan.
1.
Teori terhasil daripada pengalaman, pengamatan, kajian dan pemerhatian.
Pengurusan PAS walaupun mengaplikasikan pelbagai teori pengurusan di dalam

pentadbiran namun perlu juga kita menggunakan segala pengalaman yang telah dilalui
selama ini untuk menjadi ‘guide’ kepada gerakerja pengurusan dalam organisasi kita.
Walaupun secara umumnya pengurusan PAS di peringkat cawangan-cawangan sebagai
contohnya, tidak jauh bezanya di antara satu cawangan dengan cawangan yang lain
namun waqi’ cawangan mempunyai perbezaannya. Oleh itu, dalam menguruskan
organisasi kita, keperluan untuk melihat keadaan setempat wajar diberikan perhatian.
Ingat, berdepan dengan jawatan kuasa yang terdiri daripada golongan professional tidak
sama dengan situasi mengendalikan cawangan yang didokongi oleh golongan petani
(contoh).

2.
Perkara yang penting dalam teori pengurusan adalah output daripada produktiviti.
Apakah output yang menjadikan produktiviti kita berjaya mencapai sasaran? Andai
output tidak sampai sasaran maka apa tindakan yang perlu dilakukan oleh pengurusan
parti? Atau kita merasakan sudah cukup dengan hasil yang ada atau pun kita
sememangnya tidak menghiraukan apa yang sepatutnya dicapai.
3.
Evolusi Teori Pengurusan berterusan sepanjang zaman dan sentiasa ada
penambahbaikan mengikut zamannya. Sebab itu, ilmu pengurusan perlu disegarkan
pada setiap sesi dan sebaik-baiknya apabila sesi baru bermula. Kursus pengurusan
organisasi wajib dilaksanakan agar organisasi PAS dapat ditadbir dengan sebaiknya.
Dunia ketika ini dihubungkan dengan pelbagai aplikasi seperti Facebook dan Whatsapp,
tidak sama seperti mana pengurusan PAS 20 tahun lalu yang tidak kenal dengan SMS
pun lagi.
4.
Adaptasi sistem yang baik untuk menambah baik sistem pengurusan yang sedia
ada. Bengkel pengurusan diadakan untuk memastikan setiap pengurusan PAS Cawangan
dan Kawasan didedahkan dengan sistem pengurusan yang terkini dan ianya selari
dengan kehendak di peringkat yang lebih tinggi. Aplikasi SISPRO, SSDP dan SPOKAS
yang telah disediakan oleh Jabatan ICT perlu difahami dan digunapakai dalam

pentadbiran PAS di semua peringkat.
Oleh itu, proses penambahbaikan terhadap pengurusan PAS dengan penggunakan
pelbagai konsep pengurusan perlulah dilaksanakan mengikut arus masa kini. Sekretariat
PAS Pusat akan cuba untuk membantu merealiasikan harapan ini dengan bantuan
daripada Lajnah Pemerkasaan Parti dan Jabatan ICT PAS.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Pengerusi Sektor Pemerkasaan Organisasi.