Nilai nasionalisme dalam Putera Gunung T

KURSUS:
BSS 3113 – PROSA MELAYU MODEN
PENSYARAH: DR. HASRINA BAHAROM

NAMA:
SRI UTAMI HEPNI ABDULLAH
NO. MATRIK:
D20141067575
TAJUK TUGASAN: INDIVIDU

Semangat Nasionalisme Dalam Putera Gunung Tahan
Karya Pak Sako: Suatu Aliran Pemikiran
GROUP: A
1

Semangat Nasionalisme dalam Putera Gunung Tahan
Karya Pak Sako: Suatu Aliran Pemikiran
1.0 Pengenalan
Pak Sako merupakan seorang penulis yang sangat aktif dalam bidang penulisan pada
sekitar tahun 1930-an sehingga 1950-an. Nama sebenar beliau ialah Ishak Haji Muhammad.
Beliau dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 14 November 1909. Karya yang dihasilkan oleh

beliau banyak mengandungi unsur didaktik. Selain menjadi seorang penulis, beliau juga
merupakan antara golongan nasionalis awal yang memiliki keprihatinan yang tinggi terhadap
nasib bangsanya. Hal ini bertepatan dengan pandangan Johan Jaafar, Mohd. Thani Ahmad
dan Safian Hussain (1992) yang menyatakan bahawa penulis Putera Gunung Tahan
merupakan penulis yang berani menyuarakan sikap anti-kolonial melalui mata penanya.
Nasionalisme boleh ditakrifkan sebagai rasa cinta akan bangsa dan negara sendiri
serta keinginan membebaskan negara atau ekonomi daripada cengkaman kuasa asing. Hal ini
menunjukkan bahawa pada waktu itu telah wujud kesedaran nasionalisme dalam kalangan
rakyat di Tanah Melayu khususnya golongan pertengahan yang diwakili oleh golongan
penulis seperti Pak Sako dan lain-lain. Unsur satira banyak digunakan oleh beliau dalam
penulisan karyanya. Kezaliman penjajah British yang digambarkan oleh Pak Sako dalam
karyanya digambarkan melalui tipu muslihat yang digunakan oleh mereka dalam usaha untuk
menguasai sesuatu tempat, kekayaan atau apa sahaja yang diingini daripada bangsa yang
dijajah oleh mereka. Perlambangan unsur alam digunakan dalam penulisan Putera Gunung
Tahan bagi menyampaikan kritikan dan ketidakpuasanhati beliau terhadap penjajah.
Nasionalisme juga merupakan sebuah elemen yang penting dalam sejarah manusia kerana ia
mampu menghapuskan pengabdian dan rasa rendah diri sesama manusia (Vejai
Balasubramaniam, 1998). Hal inilah yang cuba diungkapkan oleh Pak Sako dalam penulisan
sulungnya ini. Kritikan dan sindiran beliau tidak hanya dilemparkan kepada golongan
penjajah, tetapi juga untuk bangsa terjajah yakni bangsanya sendiri, bangsa Melayu. Makalah

ini akan membincangkan secara lebih terperinci mengenai nilai nasionalisme yang diangkat
oleh Pak Sako dalam novel Putera Gunung Tahan dengan melihat kepada beberapa aspek dan
elemen penting yang perlu ada dalam sesebuah penulisan ilmiah.

2

2.0 Semangat nasionalisme dalam novel Putera Gunung Tahan
2.1 Perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah
Penulis novel ini dalam Rancangan Komentar TV Malaysia pada 23 Jun 1973
menyatakan bahawa penulisan yang dilakukannya adalah bertujuan khusus
sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah.
Hal ini bertepatan dengan konsep perjuangan melalui mata pena yang banyak
digunakan oleh para nasionalis zaman pra-kemerdekaan khususnya sekitar tahun
1930-an. Tambahan pula, Abdullah Tahir (2000) menyatakan bahawa pengalaman
penulis mengendalikan ruangan seperti pojok dan ruangan komentar sahsiah
(politik) sedikit sebanyak mempegaruhi tulisannya dalam bentuk cerpen dan
novel. S. Othman Kelantan (2006) turut menyatakan bahawa Pak Sako sebagai
seorang manusia rolling stone tidak pernah diam daripada berkata dan menulis.
Pembabitan beliau dalam bidang politik juga telah menyebabkan idea perjuangan
beliau dimasukkan ke dalam karya penulisannya. Penulis seperti Pak Sako banyak

menggunakan sindiran dan kiasan dalam usahanya untuk membuka minda
khalayaknya agar bangkit dan berjuang untuk membebaskan tanah air daripada
cengkaman penjajah khususnya British pada latar masa yang telah dipilih olehnya
dalam novel ini. Pak Sako menyatakan bahawa maksud kedatangan orang berkulit
putih ke Tanah Melayu bukanlah semata-mata untuk memimpin dan menaungkan
negeri itu, tetapi juga untuk mengikis kekayaan dan warisan tanah airnya. Oleh hal
yang demikian, penjajah tidak seharusnya diberikan tempat dalam masyarakat.
Sebaliknya harus dihalau untuk melindungi rakyat dan warisan yang perlu
dipelihara untuk generasi akan datang. Pak Sako turut menempelak orang-orang
Melayu yang menentang perjuangan tokoh terdahulu seperti Dato’ Bahaman
dengan melabelkan mereka sebagai pengkhianat bangsa. Beliau turut menyatakan
kekesalannya terhadap orang Melayu yang tidak bersatu dalam menghadapi
musuh mereka yakni penjajah British. Dalam karya sulungnya ini beliau turut
menyeru agar orang Melayu saling bersatu dan tidak bersifat khianat sesama
sendiri supaya penjajah asing seperti British dapat diusir dari Tanah Melayu
sekaligus mengembalikan kedaulatan bangsa dan tanah air. Hal ini boleh dilihat
melalui petikan teks berikut:

3


“Maka sekiranya sesetengah pihak orang-orang Melayu itu tidak bermuka-muka dan
tidak menganiyakan ketua-ketuanya dan tidak makan suap haruslah susah bagi pihak
musuhnya hendak menang tetapi apa hendak dikatakan lagi.”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm. XV)

2.2 Penentangan terhadap penjajah British
Novel Putera Gunung Tahan turut memperlihatkan kritikan dan penentangan
yang dilakukan oleh Pak Sako terhadap penjajah British khususnya dari aspek
polisi dan cara pentadbiran mereka. Pak Sako turut menggunakan karyanya dalam
menyindir dan menempelak kolonial Inggeris (S. Othman Kelantan, 2006). Hal ini
mampu dilihat dalam penggunaan imej dan lambang alamiah dalam novel Putera
Gunung Tahan seperti gunung-ganang, hutan, banjir dan lain-lain. Pemikiran
satira beliau yang tajam dibina atas imej dan lambang tersebut bagi menyatakan
kebodohan, kejahilan, kesengsaraan, kekuatan dan sebagainya yang berkaitan
dengan sifat tamak kolonial. British mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya
yakni dengan cara merasuah golongan raja dan pembesar Melayu menyebabkan
mereka leka serta mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Mereka juga
dijadikan alat oleh British dalam usaha mereka untuk menjajah bangsa Melayu.
Selain itu, sikap pegawai British yang meletakkan para sultan dan pembesar
Melayu dibawah telunjuk mereka juga tidak disenangi oleh penulis. Penulis

menyatakan bahawa sikap seperti ini bukanlah sesuatu yang baik tapi suatu
penganiayaan terhadap orang yang lemah. Pentadbiran British turut dinyatakan
oleh penulis sebagai punca kehilangan jati diri dalam kalangan orang Melayu
khususnya golongan kelas atasan yang memiliki hubungan yang rapat dengan
pihak British menyebabkan mereka mula hilang identiti diri dan meniru cara
hidup orang British yang dianggap lebih baik dan maju.

2.3 Kritikan terhadap sikap penjajah British
Dalam karya sulungnya ini, Pak Sako juga menggambarkan penjajah memiliki
sikap negatif yang mengharuskan kita menjauhi mereka. Usaha Pak Sako
menanamkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu cuba
dilakukan melalui pendedahan sikap negatif yang dimiliki oleh bangsa penjajah.
Hal ini pada fikiran beliau akan mampu menyedarkan masyarakat tentang
kehebatan nilai dan tamadun Melayu jika dibandingkan dengan penjajah.
4

Seterusnya, masyarakat akan mampu membuat penilaian dengan baik sekaligus
menghindarkan diri mereka daripada menjadi tali barut penjajah. Sindiran ini
digambarkan melalui watak Tuan William dan Tuan Robert yang mendaki
Gunung Tahan pada musim hujan. Secara logiknya, melakukan pendakian dan

aktiviti di kawasan hutan pada musim hujan sememangnya bukanlah satu
perancangan yang bijaksana. Hal ini menggambarkan kejahilan dan kebodohan
orang Inggeris mengenai Tanah Melayu. Mereka tidak terlebih dahulu
mempelajari sikap dan sifat bangsa Melayu menyebabkan kegagalan Barat dan
menyebabkan mereka terbunuh apabila mula menjadi penasihat dan peneraju
pemerintahan Tanah Melayu. Kejahilan orang putih juga digambarkan melalui
peristiwa penangkapan Tuan Robert oleh orang Sakai. Beliau telah menyamakan
orang Sakai dengan peribumi Afrika yang pernah ditemuinya padahal mereka
berbeza sama sekali. Seterusnya, Pak Sako turut menggambarkan golongan
penjajah sebagai bangsa mementingkan diri sendiri serta suka mempergunakan
orang lain. Misalnya dalam usaha untuk menawan puncak Gunung Tahan, Tuan
William dan Robert telah menggunakan khidmat dua orang penduduk tempatan
yakni Ali sebagai tukang tunjuk jalan dan Awang sebagai pembawa makanan.
Tuan William dan Tuan Robert akan mendapat habuan sebanyak 5,000 paun
daripada kerajaan Great Britain sekiranya mereka berjaya menyelesaikan misi
yang diberikan kepada mereka. Sedangkan Ali dan Awang hanya mendapat
kebinasaan daripada pekerjaan tersebut yakni apabila mereka maut dalam
perjalanan. Sikap mementingkan diri sendiri bangsa penjajah ini juga
digambarkan melalui peristiwa Tuan William menggunakan khidmat burung
pesuruhjaya bagi meminta pertolongan daripada kerajaannya dalam usaha untuk

mengambil puncak Gunung Tahan dari genggaman tangan Ratu Bongsu. Beliau
mengorbankan perasaan isterinya yang berdukacita dan kesunyian selepas
pemergiannya untuk kepentingan diri dan ganjaran wang yang bakal
diperolehinya. Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa orang putih seperti Tuan
William ini mempunyai banyak tipu muslihat dan helah serta licik. Mereka akan
melakukan apa sahaja yang termampu dalam usaha untuk mencapai keinginan dan
hasrat mereka meskipun perkara berkenaan akan membawa kebinasaan dan
kemudaratan kepada orang lain, termasuk mengorbankan nyawa-nyawa orang
yang tidak berdosa. Hal ini boleh dilihat melalui petikan teks berikut:

5

“Hatta pada petang itu kira-kira pukul 3.00 lebih kurang pergilah pula keduanya
kepada beringin bercakap itu meneropong pemandangan yang jauh-jauh dan
mendengar suara-suara dari seluruh dunia. Maka Tuan William terlalu suka kerana
dua benda yang ajaib itu dapatlah ia menghiburkan hatinya dan memandang dari jauh
negerinya, kampung halaman, anak isteri dan saudaranya. Adapun perkara isterinya
denga orang muda itu tidaklah memberatkan hatinya kerana cita-citanya hendak
mengambil mercu gunung itu bagi faedah am adalah sentiasa terpaku dalam hatinya.
Dia ingat pada setiap waktu bahawa dia akan mendapat nama yang baik kiranya

pekerjaannya berjaya.”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm. 85)

Sifat licik dan penuh tipu muslihat dalam diri orang Inggeris juga diperihalkan
oleh penulis melalui gambaran peristiwa ketika Tuan Robert berusaha untuk
melepaskan diri daripada kumpulan Sakai yang menangkapnya. Sikap negatif ini
digambarkan oleh penulis melalui petikan teks dibawah:
“ Jikalau terkurung di dalam penjara pandailah dia mencari ikhtiar hendak berlepas
diri; iaitu dengan memberi suapan kepada penjaga-penjaga di situ dengan wang
ringgit atau diberi minuman yang memabukkan atau sebagainya,tetapi ini dia
tertangkap menjadi orang tawanan yang dipermuliakan.”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm. 15)

Petikan di atas jelas menunjukkan bahawa bangsa penjajah ini bukanlah
golongan yang boleh diberi kepercayaan dan mereka sentiasa berusaha mencari
helah dan muslihat untuk melepaskan diri serta menjayakan pekerjaan mereka.
Akhir sekali, penulis novel Putera Gunung Tahan ini turut menyatakan
bahawa bangsa penjajah ini memiliki sikap suka merendahkan bangsa lain.
Sebagai contoh, penulis menggambarkan watak Tuan Robert yang begitu
memandang rendah terhadap agama Islam. Dia bukan sahaja menyatakan bahawa

tiada ajaran yang lebih baik daripada ajaran Kristian bahkan menghina dan
mengejek perempuan tua yang belajar ilmu pengasih, pembenci dan ubat-ubatan
daripada orang Sakai yang tinggal di dalam hutan Gunung Tahan itu. Perbuatan
Tuan William ini boleh dilihat melalui petikan teks berikut:
“Sangatlah baiknya bagi emak mengajarkan mereka itu ilmu agama tetapi pada fikiran
saya lebih elok saya ajarkan ilmu agama Kristian kerana ugama itulah yang akan

6

memajukan mereka dan mendapat nikmat-nikmat di dalam dunia ini. Tentang ilmu-ilmu
dunia seperti mak sebutkan itu saya tidak percaya sekali-kali-semuanya karut belaka!”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm. 42-43)

Perempuan Tua yang sakit hati mendengar penghinaan Tuan William terhadap
agamanya dan orang Sakai akhirnya mengenakan Tuan William dengan membuatnya
tergila-gila akan seorang perempuan Sakai di dalam hutan tersebut. Akhirnya
kesombongan Tuan William membawa padah apabila dia menemui ajalnya dalam
usaha untuk menjadikan wanita Sakai itu isterinya.
2.4 Kritikan terhadap sikap bangsa Melayu


Selain kritikan terhadap bangsa penjajah yakni orang Inggeris, penulis turut
mengkritik sikap masyarakat Melayu. Penulis menyatakan bahawa masyarakat
Melayu terlalu menyanjung dan mengangkat tinggi martabat bangsa asing dan
merendahkan martabat bangsa mereka sendiri. Hal ini disampaikan oleh penulis
melalui peristiwa penangkapan Tuan Robert oleh kumpulan Sakai dan diangkat
sebagai ketua mereka serta diberikan gelaran kehormat Batin Putih. Orang Melayu
juga digambarkan sebagai bangsa yang terlalu merendahkan diri mereka. Sebagai
contohnya, Perempuan Tua yang masih mahu berlembut dan bersopan santun
terhadap Tuan Robert walaupun dia sudah tahu bahawa orang putih itu memiliki
niat tidak baik terhadap dia dan kelompok masyarakatnya di dalam hutan itu.
Watak ini juga digambarkan melalui watak Ratu Bongsu yang dengan rela hati
membantu Tuan William menghubungi dunia luar tanpa menyedari itu sebenarnya
adalah helah dan tipu muslihat yang dilakukan oleh Tuan William dalam usahanya
untuk merampas puncak Gunung Tahan itu daripada tangan Ratu Bongsu dan
penghuni asalnya.
Penulis turut mengkritik sikap orang Melayu yang suka berkhianat sesama
sendiri serta tidak bersatu padu dalam menghadapi musuh mereka yang nyata
yakni penjajah. Penulis menggambarkan kekesalannya melalui watak taipinduk
yakni Perempuan Tua yang enggan kembali ke lingkungan masyarakat Melayu
kerana pengkhianatan mereka terhadapnya walaupun mereka adalah sebangsa.

Dalam peristiwa ini penulis sebenarnya mengkritik sikap sesetengah orang
Melayu yang mengkhianati bangsa dan tanah air mereka dan menjadi tali barut

7

pemerintahan British di Tanah Melayu pada waktu itu. Penulis turut menyatakan
bahawa masyarakat Melayu pada waktu itu sudah kehilangan jati diri mereka
kerana pemodenan yang dibawa oleh Barat. Pemberian pangkat yang tinggi
kepada golongan pemerintah dalam sistem pentadbiran British telah menjadikan
mereka buta dan membantu penjajah menjajah tanah air sendiri. Cara hidup dan
budaya Barat mula diterima dan dipakai oleh golongan Melayu kelas atasan dan
pertengahan. Hal ini menggambarkan kekesalan penulis terhadap bangsanya yang
semakin lupa diri dan menyanjung tinggi peradaban orang Barat. Kritikan yang
cuba disampaikan oleh penulis dilakukan atas kesedarannya sebagai seorang
nasionalis yang mencintai bangsa dan tanah airnya. Beliau cuba menyedarkan
orang ramai khususnya khalayak pembaca bahawa penjajahan Barat telah
memudarkan jati diri orang Melayu, yang mana akan mendatangkan mudarat jika
tidak dibendung. Petikan teks dibawah menggambarkan betapa jati diri orang
Melayu pada waktu itu sudah hampir hilang daripada diri mereka:
“ Tuanku! Tadi telah patik katakan bahawa patik telah pernah masuk dan menari di
sana: Maknanya bangsa asing pun boleh juga pergi ke sana bercampur gaul dengan
orang Melayu dengan bebasnya.”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm 76)
“… cubalah tuanku perhatikan perempuan yang duduk di masjid besar itu di hujung
sekali yang memakai gaun biru air laut itu patik kenal baik akan perempuan itu dan
ianya itu anak raja yang sebenar-benarnya berdarah raja. Namanya Tengku Aisyah
tetapi orang ramai menggelar dia Tengku Cah sahaja. Pada suatu malam dia telah
berkhabar benar kepada patik yang dia itu mengandung tiga bulan padahal dia tidak
bersuami....”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm 76)

Penulis turut menyatakan kekesalannya terhadap pentadbir tradisional bangsa
Melayu yang mudah dirasuah dengan elaun dan kedudukan yang tinggi dalam
pentadbiran British. Hal ini digambarkan melalui peristiwa Tuan William dan
Ratu Bongsu yang mendengar perbualan di antara pentadbir Eropah dan pegawai
Melayu yang berketurunan baik-baik di negeri Selangor melalui bantuan pohon
beringin bercakap. Pegawai Melayu yang dimaksudkan oleh penulis ialah seorang
raja berbangsa Melayu. Perbualan antara pegawai eropah dan raja Melayu itu jelas
8

menunjukkan bahawa pembesar dan pemerintah berbangsa Melayu berada di
bawah telunjuk British. Hal ini boleh dilihat melalui petikan teks dibawah:
“Orang putih itu sedang menunjukkan orang Melayu itu bagaimana dia boleh selamat
dan mendapat bahagia. Kata orang putih itu- jika engkau hendak naik pangkat lekas,
hendak dapat naik gaji, hendaklah engkau turut dan ikut apa-apa cakap aku. Kalau
aku kata hitam, hitamlah dan kalau aku kata putih; putihlah. Engkau jangan banyak
ragam. Apa yang engkau mesti jaga ialah maruah engkau. Jangan engkau bercampur
dengan orang yang tidak tentu. Hendaklah engkau banyakkan dan lazimkan dirimu
bercampur dengan orang-orang Eropah supaya dapat punya perasaan dan cita-cita
yang luas (hlm. 87).”
(Ishak Haji Muhammad. 2012: hlm. 87)

3.0 Penutup
Penjajahan British terhadap Tanah Melayu telah menyebabkan lahirnya golongan
nasionalis khususnya dalam kalangan penulis dan wartawan Melayu. Perjuangan melalui
mata pena bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan golongan nasionalis peringkat
awal. Kecintaan terhadap negara dan bangsa menyebabkan wujud kesedaran dalam
kalangan penulis akan keburukan penjajahan sesebuah negara oleh bangsa asing lebihlebih lagi bangsa Eropah. Oleh hal yang demikian, mereka cuba untuk menyampaikan
idea-idea menghalau penjajah melalui karya yang dihasilkan. Hal ini bertepatan dengan
pandangan Khoo Khay Kim (1998) yang menyatakan bahawa Ishak Haji Muhammad
adalah antara generasi penulis yang cuba menyuarakan azab sengsara dan protes zaman
itu melalui sastera. Seperti kebanyakan penulis zaman itu, Ishak Haji Muhammad
sememangnya didaktik dan idealis bagi generasi sekarang mungkin kurang realistis.
Dalam novel Putera Gunung Tahan, Pak Sako telah mengangkat nilai nasionalisme
sebagai tema utama. Hal ini boleh dilihat melalui idea pembebasan tanah air daripada
cengakaman penjajah dalam karya sulungnya ini. Menurut Sahlan Mohd. Saman dan
Saiful Bahri Mat Radzi (2005), novel Ishak Haji Muhammad, Putera Gunung Tahan
merupakan novel satira dan simbolik tentang pencetusan semangat nasionalisme Melayu
dan penanaman semangat kemerdekaan. Pak Sako dalam novel Putera Gunung Tahan
telah mendedahkan sikap negatif yang dimiliki oleh golongan penjajah. Selain itu, beliau
turut melakukan kritikan terhadap sikap pemimpin dan orang Melayu sendiri. Penulisan
seumpama ini dilakukan bertujuan untuk meniupkan semangat nasionalisme dalam
kalangan bangsa Melayu agar mereka dapat bangkit dan bersatu dalam usaha menentang
9

dan menghalau penjajah dari tanah air tercinta. Unsur satira yang digunakan oleh beliau
sememangnya amat sinis dan menggambarkan perjuangannya sebagai seorang nasioanalis
dengan semangat juang yang tinggi. Pembabitan beliau dalam dunia politik khususnya
Kesatuan Melayu Muda (KMM) bersama Ibrahim Yaakub sedikit sebanyak telah
mempengaruhi penulisannya. Tuntasnya novel ini merupakan cetusan aspirasi perjuangan
kebangsaan yang berlaku pada waktu itu. Jelaslah bahawa nilai nasionalisme dan
perjuangan memerdekakan bangsa merupakan tonggak utama penghasilan karya sulung
Pak Sako ini.

10

4.0 Rujukan

Abdullah Tahir. (2000). Pahang Dahulu dan Sekarang: Ishak Haji Muhammad sebagai
Penulis. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia.
A. Karim Haji Abdullah. (1988). Pak Sako Bistari. Kuala Lumpur: Binakarya Sdn. Bhd.
Hajijah Jais, Muhamad Ikram, Fadhly Hussin. (2005). Teori dan Kritikan Sastera Melayu
Serantau.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ishak Haji Muhammad. (2012). Putera Gunung Tahan. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional
Malaysia Berhad.
Johan Jaafar, Mohd. Thani, Safian Hussain. (1992). History of Modern Malay literature.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Saleeh Rahamad, S. M Zakir, Shamsudin Othman. (2006). Persuratan dan
Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sahlan Mohd. Saman, Saiful Bahri Mat Radzi. (2005). Persuratan Melayu Tradisional ke
Moden. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.

11