Peradaban Islam dalam Tamadun Melayu Dar

Peradaban Islam dalam Tamadun Melayu Daripada Aspek Adat, Budaya dan
Pemikiran Politik

Amran bin Mat Arriffen
Maimun Aqsha Lubis bin Abdin Lubis

Pengenalan
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat di alam Melayu telah mempunyai fahaman,
anutan dan pegangan mereka sendiri. Kepercayaan ini diwarisi turun temurun daripada
nenek moyang mereka. Fahaman animisme merupakan kepercayaan primitif yang telah
bertapak awal sebelum wujudnya fahaman Hindu-Buddha di alam Melayu. Fahaman ini
meyakini bahawa wujudnya roh yang dapat mempengaruhi alam dan manusia. Manakala
Pada abad ke 6, alam Melayu telah didominasi oleh fahaman baharu iaitu Hindu-Buddha.
Kerajaan Srivijaya telah berjaya menjadi pusat keagamaan dan keilmuan agama Buddha
di alam Melayu (Siti Nur Hadis et. al 2016). Namun begitu, ajaran-ajaran agama ini lebih
banyak berlegar dalam kalangan istana, tidak turun kepada petani-petani di kampung.
Apabila Islam datang, berlakulah transformasi besar-besaran yang melibatkan perubahan
falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu di Alam Melayu. Kedatangan
Islam berjaya menghapuskan kepercayaan karut dalam masyarakat Melayu pada waktu
itu (Idris 2012). Manakala Siti Nur Hadis et. al (2016) telah membahagikan amalan
beragama orang Melayu sebelum kedatangan Islam kepada tiga kepercayaan iaitu orang

Melayu beragama Buddha Puja Dewa, orang Melayu beragama Hindu Puja Dewi dan
orang Melayu berpegang dan beramal dengan amalan orang Asli (Animisme).
Adat dan Budaya dalam Tamadun Melayu
Idris (2012) menjelaskan bahawa fahaman Animisme mengarah manusia Melayu
membentuk hubungan dengan fenomena alam hingga mereka sendiri tertakluk di
dalamnya. Fahaman ini tidak memiliki sebarang kekuatan moral dan intelek. Pengaruh
Hindu-Buddha pula membawa manusia Melayu kepada pengaruh kerohanian dan nilainilai akhlak yang mengandungi unsur-unsur ritualistik melampau dan tidak memberi
panduan yang cukup bagi menguasai dunia praktikal. Kedua-dua fahaman dan
kepercayaan ini kemudiannya kalah apabila berhadapan dengan peradaban Islam yang

lebih komprehensif mengadun sekali gus tuntutan agama dan keduniaan. Inilah yang
membentuk kekuatan justeru keserasiannya dengan kehendak asli manusia.
Menurut al-Attas (1972) bahawa kedatangan agama Hindu tidak merubah
pandangan hidup masyarakat Melayu di nusantara. Menurut ajaran ini pandangan hidup
hanya berdasarkan seni dan bukan falsafah. Pandangan ini disokong oleh Idris (2012)
yang menyatakan bahawa hampir 800 tahun Hindu-Buddha mempengaruhi minda orang
Melayu. Dalam jangka masa ini, kerangka berfikir orang Melayu dibelenggu oleh corak
berfikir yang bersifat khayalan dan mitos. Pemikiran ini tidak memberi kefahaman
tentang pentingnya aspek rasionalisme dan intelektualisme. Ajaran Hindu-Buddha ini
juga tidak dapat memberi perubahan terhadap sistem nilai masyarakat sama ada dalam

falsafah mahupun metafizik.Kehidupan rakyat dipisahkan dengan sistem kasta dan
pelbagai ciri perbezaan kemanusiaan.
Walaupun ajaran ini bersifat seni, ianya berjaya mempengaruhi adat dan budaya
Melayu hingga ke hari ini. Siti Nur Hadis et. al (2016) menegaskan bahawa akibat
daripada ajaran dan pegangan ini, maka lahirlah pelbagai bentuk kebudayaan dan adat
resam mengikut jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti. Antara pengaruh Hindu
dalam Adat Resam Orang Melayu ialah pemujaan tanduk lembu atau kerbau, hantaran
perkahwinan, sireh junjung, nasi tinggi, kelapa-garam-gula, lenggang perut, kenduri
40/100 hari selepas kematian dan sembelih ayam untuk buka gelanggang silat. Setelah
kedatangan Islam, pengaruh ini masih sukar untuk ditinggalkan dalam masyarakat
Melayu. Kepercayaan khurafat ini masih diamalkan seperti dalam majlis perkahwinan,
kematian, perbomohan, perbidanan , latihan pertahanan diri dan sebagainya. Amalan dan
adat yang diamalkan masih tetap dipercayai oleh masyarakat Melayu. Oleh itu,
pendekatan dakwah secara hikmah dan berperingkat dijalankan agar amalan tersebut
tetap diteruskan dan diamalkan selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Abdul Rahman (2000) pula menjelaskan transformasi budaya dan pemikiran
Islam adalah satu perubahan asas dalam pembentukan Tamadun Melayu. Transformasi ini
secara jelas ditunjukkan dalam pembentukan Kerajaan Islam Samudra-Pasai. Pasai telah
muncul sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam dan juga boleh dianggap sebagai
pusat Tamadun Melayu Islam yang pertama di Kepulauan Melayu. Manakala al-Attas

(1972) menyatakan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan orang Melayu
mengidentifikasikan diri dan peradabannya dengan Islam, antara faktornya ialah
perdagangan, perkahwinan iaitu antara pendatang Muslim dengan wanita pribumi pada
tahap awal kedatangan Islam, permusuhan antara orang Islam dan orang Kristian, politik
seperti mundurnya kerajaan Hindu dan Buddha seperti Majapahit dan Srivijaya,
penghargaan nilai ideologi Islam dan faktor otoktomi iaitu keadaan di mana sesuatu itu
dianggap telah ada, sejak purbakala sebagai kepunyaan atau sifat kebudayaan suatu
masyarakat.

Oleh itu, sejak kedatangan Islam ke alam Melayu, agama ini telah menjadi teras
yang mencorakkan identiti dan kebudayaan Melayu Malaysia. Walaupun masyarakat
Melayu pernah menerima pengaruh budaya Hindu-Buddha sebelumnya, namun budaya
ini tidak banyak membawa perubahan struktur sosial dan tradisi budaya Melayu secara
menyeluruh. Akan tetapi, kehadiran Islam telah mempengaruhi bentuk budaya dan sistem
hidup masyarakat Melayu. Transformasi sosial dan budaya Islam berlaku secara
berperingkat dan perubahan ini bersifat menyeluruh mencakupi semua lapangan
kehidupan orang Melayu. Secara umumnya, proses Islamisasi masyarakat Melayu di
rantau ini dan di Malaysia secara khusus dapat dilihat secara bertahap apabila ilmu
pengetahuan tentang Islam semakin meningkat (Idris 2012).
Mana Sikana (1966) menyatakan persoalan agama menjadi titik-tolak, penentu

dan peletak dasar seni dan budaya dalam Islam. Ini tidak menghairankan justeru dalam
falsafah Islam, Tuhan adalah penentu segala perkara berbeza dengan tradisi dan falsafah
sekular Barat dan bukan Barat yang lain di mana manusialah penentu segala perkara.
Menurut Idris (2012) sehingga kini, Islam tetap kukuh dan kekal dalam sanubari orangorang Melayu. Salah satu definisi Melayu itu sendiri adalah bangsa yang beragama Islam,
dengan makna orang yang berkulit sawo-matang ini, jika tidak menerima Islam sebagai
agama dan keyakinannya, ia tidak lagi dikira Melayu. Justeru, sewaktu Perlembagaan
negara disusun, hal ini telah dimuktamadkan dan ia terus kekal dahulu, kini dan
selamanya.
Pemikiran Politik dalam Tamadun Melayu
Sejarah Melayu telah mencatatkan kisah seorang pendakwah bangsa Arab, Syed
Abd. Aziz yang mengislamkan pemerintah Melaka, iaitu Parameswara. Parameswara,
kemudian menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah. Menurut Tome Pires,
pengislaman Parameswara mempunyai kaitan dengan perkahwinan baginda dengan
Puteri Pasai dalam tahun 1414 (Pires, T. 1944). Berikutan perkahwinan ini, Islam mula
berkembang yang menyebabkan lebih ramai ulama berbangsa Arab melawat Melaka
(Mashitah 2013). Sebelum itu, pemerintah Pasai telah menggunakan gelaran Al-Malik alZahir selepas memeluk agama Islam, dan ini menunjukkan hubungan yang amat kuat di
antara kerajaan Melayu dan Timur Tengah kerana gelaran ini juga yang telah digunakan
oleh pemerintah Islam semasa kesultanan Mamluk di Mesir (Mohammad Redzuan 2005).
Begitu juga dengan pemerintah pertama Negeri Kedah yang menggunakan gelaran
Maharaja Derbar Raja II. Setelah memeluk Islam pada tahun 1136, Baginda telah

menukar namanya kepada Sultan Muzaffar Shah. Baginda dikatakan telah diislamkan
oleh ulama Arab dari Yaman, iaitu Shaikh Abdullah (Muhammad Hassan Dato’ Kerani
Mohd Arshad 1968).
Berdasarkan fakta sejarah ini membuktikan bahawa peradaban Islam telah
bertapak kukuh di alam Melayu dalam sistem politik dan pentadbiran negara. Menurut

(Hashim 2001) Kesultanan Melayu Melaka telah diiktiraf kemasyhurannya bertaraf dunia
dengan organisasi dan institusi sosial dalam bidang ekonomi, politik pentadbiran,
perundangan, norma dan ethos yang teratur dan berwibawa. Pandangan ini disokong oleh
Sejarah Melayu (1938) yang melaporkan tentang Sultan Mahmud sendiri merupakan
murid kepada Maulana Yussof dan baginda mempelajari ilmu Feqah berhubung bab
Mua’malat (Islamic Civil Law). Ini membuktikan bahawa amalan dan penghayatan
tentang Islam telah menjadi perhatian pemerintah Melayu dan pengamalan Islam yang
bersifat “top-down” yang kemudiannya diikuti oleh para pembesar dan rakyat jelata
(Mashitah 2013).
Hashim (2001) menyatakan walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis pada
tahun 1511, legasi kepimpinan Islam diteruskan di Aceh yang kemudiannya muncul
sebagai pusat terpenting Tamadun Melayu Islam. Kemunculan Aceh dan para pendakwah
kelahiran ‘neo-Sufism’ di Alam Melayu sendiri dengan bantuan pendakwah-pendakwah
dari Timur Tengah dan juga India, menandakan kebangkitan gelombang ketiga Islamisasi

bermula pada akhir ke-16 hingga pertengahan ke-18M. Keunggulan Aceh diperkukuhkan
oleh hubungan diplomatik, politik dan ekonomi yang erat dengan kerajaan Turki
Uthmaniyah di Istanbul sejak tahun 1530-an, iaitu sesudah Sultan Alauddin al-Qahhar
menaiki takhta Aceh pada tahun 1537.
Kedatangan Islam ke alam Melayu merupakan detik penting dalam mengubah
secara keseluruhan pemikiran dan peradaban orang Melayu. Islam mengajarkan
ketauhidan mengubah pandangan dunia Melayu yang mempercayai dewa-dewa dan
mengagung-agungkan raja telah dimanusiakan menjadi seorang Sultan yang bertugas
sebagai Khalifah yang memimpin dan melindungi masyarakat Melayu dan berperanan
menegakkan pemerintahan Islam di dunia (Zainal Kling 1986). Oleh itu telah muncul
beberapa kerajaan Melayu Islam yang kuat seperti Kerajaan Samudera Pasai, Kesultanan
Melayu Melaka, Kesultanan Melayu Acheh, Johor-Riau-Lingga, Brunei dan Sulu, Patani,
Demak, Mataram, Banten dan Champa.
Konsep ‘dewaraja’ yang menjadi pegangan politik dan lambang daulat raja-raja
tempatan telah digantikan dengan konsep ‘khalifatullah fil-ardhi’. Raja tidak lagi
dianggap sebagai penjelmaan dewa-dewa Hindu tetapi merupakan khalifah Allah yang
bertanggungjawab memakmurkan bumi. Raja merupakan pemerintah yang tertinggi
dalam hieraki pentadbiran. Setelah kedatangan Islam, raja lebih dikenali sebagai Sultan
atau Yang Di-pertuan. Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat
tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman Hindu yang

perlu disembah. Sultan bertanggungjawab menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi
negara bagi mendapat berbagai keistimewaan dan kemudahan sama ada dari segi
penyebaran, pentadbiran dan pelaksanaan hukumnya. (Ahamad Jama’ Amin 2014).

Gambaran ini menunjukkan fungsi institusi raja-raja Melayu yang tidak lagi
hanya bersifat penaung semata-mata, tetapi lebih daripada itu iaitu sebagai pelindung dan
pembela kepada rakyat. Kebertanggungjawaban dan amanah menjadi teras dalam falsafah
kuasa yang digagaskan institusi raja-raja Melayu. Hal ini membawa makna bahawa
adalah menjadi asas tanggungjawab institusi raja-raja Melayu untuk mempertahankan
kedaulatan umat atau rakyat, keadilan, perpaduan dan keamanan daripada segi politik,
ekonomi dan sosial rakyat yang menaunginya. Secara asasnya fahaman kuasa ini selari
dengan kehendak siasah syariah Islam seperti mana yang berlaku dalam peristiwa Saqifah
Bani Saadah iaitu pelantikan Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai Khulafa ar- Rashidin
yang pertama melalui proses musyawarah (Ahamad Jama’ Amin 2016).
Menurut Shah Rul Anuar (2012) Islam telah membawa transformasi nilai dan
etika pemerintahan kepada raja-raja contohnya terdapat karya ketatanegaraan yang
menunjukkan dengan jelas pemikiran Islam dalam politik Islam di Alam Melayu seperti
kitab Tajul Salatin karya Bukhari al-Jauhari. Kitab ini memperincikan tatasusila serta kod
etika yang harus dipakai raja-raja seperti harus bersifat adil, amanah, dan sebagainya.
Penubuhan kerajaan Melayu-Islam pertama di Alam Melayu Ta-Shih di Sumatera 674M,

kemudian Perlak, Samudera-Pasai, Sribuza Islam, Champa, Melaka, Acheh, dan lain-lain.
Seterusnya kesan pengaruh Islam ke atas masyarakat Melayu dapat dilihat dalam
pemikiran politik iaitu melalui pembentukan undang undang tempatan seperti tercatat
dalam Risalat Hoekoem Kanon iaitu, Undang- Undang Kanun Melaka, Undang-undang
Laut Melaka dan Undang-Undang Adat. Undang-Undang Kanun Melaka merupakan
undang-undang terawal yang mengandungi elemen Islam begitu juga dengan UndangUndang Adat.R. O Winstedt telah mengkategorikan kumpulan Undang-Undang Melayu
kepada tiga jenis iaitu undang-undang Melaka, Undang-undang Islam dan Undangundang Minangkabau (Winstedt 1966). Sultan bertanggungjawab memperkenal dan
melaksanakan undang-undang berdasarkan hukum syariah Islam dalam pentadbirannya
bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan, walaupun di dalam beberapa perkara tidak
begitu sempurna dan kurang memuaskan.
Menurut Ali Mohammad (2008) Hukum Kanun Melaka dan Hukum Laut Melaka
adalah antara contoh undang-undang Islam bertulis menggantikan undang-undang
Melayu tempatan (Malay Local Law) yang mengandungi hukum syariah Islam yang
dikuatkuasakan dan dilaksanakan di dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka.
Dengan kedatangan Islam, undang-undang Melayu telah terpengaruh dengan menerapkan
hukuman Hudud (Hukuman Islam) dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang
Laut Melaka. Undang-undang Islam yang berlandaskan al- Quran dan al-Sunnah
dipraktikkan oleh kerajaan kesultanan Melayu. Di dalam undang-undang berkenaan telah
dicatatkan beberapa peruntukan undang-undang mengikut perundangan jenayah Islam
seperti hukuman mencuri, membunuh, zina dan sebagainya. Sebagai contoh dalam fasal

yang kelima menyatakan orang yang membunuh dengan tiada setahu raja-raja atau orang

besar-besar. Jikalau dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia pada
hukum Allah, maka adil namanya.
Selain itu, dimuatkan juga peruntukkan tentang soal nikah kahwin, pembahagian
pusaka (faraid), hal yang berkaitan dengan muamalah seperti urusan jual beli dan
sebagainya juga dilaksanakan menurut sistem Islam. Oleh itu, Melaka bukan sahaja
terkenal sebagai pusat perdagangan tetapi juga sebagai pusat penyebaran Islam di
Nusantara. Hal ini dapat disaksikan pada sistem pemerintahan Kesultanan Melaka.
Kedatangan penjajah ke Kepulauan Melayu khususnya di Malaysia,
membantutkan proses pembangunan Islam. Melalui sistem pemerintahan yang
diperkenalkan oleh penjajah barat khususnya British, masyarakat Melayu Islam
terpenjara sehingga pemerintahan Islam di Alam Melayu mulai terkikis secara beransuransur. Islam pada ketika itu tidak ada bezanya dengan kepercayaan agama-agama lain
(Ishak Saat 2006). Hal ini kerana, Islam pada ketika itu menjadi sebuah agama yang
bersifat ritual semata-mata tanpa kuasa mutlak terhadap sistem politik, pentadbiran dan
pemerintahan negara (Mashitah 2013).
Sekiranya sebelum kedatangan British, pentadbiran negeri negeri di Tanah
Melayu dibentuk oleh Raja-raja Melayu berasaskan sistem pemerintahan bercorak Islam,
di samping amalan dan undang-undang adat yang masih diamalkan. Namun, setelah
campurtangan oleh pihak British, pentadbiran dan hal ehwal Islam mengalami

perubahan. Walaupun British telah mengecualikan agama Islam dan adat Melayu
daripada pengaruh British, namun begitu, pada hakikatnya British telah campur tangan
dalam pentadbiran agama dan Undang -undang Islam di negeri-negeri Melayu melalui
peranan “Penasihat” dan kedudukan “Residen” British (Mashitah 2013).
Dari segi pentadbiran, undang-undang Inggeris menjadi undang-undang asas dan
undang-undang negeri di Malaysia. Bidang kuasa Undang-undang Islam hanya dikenakan
kepada orang-orang Islam yang terhad kepada perkara yang berhubung dengan
kekeluargaan dan individu Muslim serta penyebaran agama Islam dan aktiviti-aktivitinya.
Manakala pentadbiran hukum-hukum jenayah, muamalah, muahadahdan seumpamanya
diperuntukkan di bawah undang-undang Inggeris (Ahmad Ibrahim 1977).
Dengan ini, Undang-undang Pentadbiran Agama Islam yang dikuatkuasakan di
negara ini jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam sedia ada ini merupakan
warisan daripada campur tangan penjajah yang sengaja memperkecilkan peranan
perundangan Islam yang luas dan menyeluruh yang pada suatu masa dahulu menjadi
undang-undang dasar di negara ini. Kesannya, Islam bukan lagi satu dasar pentadbiran
negara, akan tetapi secara praktisnya ditanggapi sebagai satu konsep agama,seperti mana
fahaman Barat dalam maksud material dan politik yang hanya sekadar ibadat khusus dan
bukan al-Dinyang sempurna (Berhanundin 1999, Suhaimi, 1984). Apabila bidang

pentadbiran diperketatkan peruntukannya tidak hanya kepada masyarakat Islam, bahkan

Islam tidak lagi menjadi satu amalan kehidupan yang menyeluruh dalam politik,
ekonomi, sosial dan pentadbiran (Mashitah 2013).
Kesimpulan
Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat
Melayu Nusantara dan kesannya kita dapat melihat dalam semua aspek kehidupan seperti
politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya sehingga kini. Namun begitu, masih
lagi terdapat beberapa amalan yang dilaksanakan dalam masyarakat bercanggah dengan
ajaran Islam. Usaha dakwah yang berterusan dan hikmah perlu dilakukan bagi
mendaulatkan syariat Islam dalam segenap aspek kehidupan orang Melayu.
Rujukan
Abd. Rahman. 2000. “Wacana Globalisasi.” Dlm. Noraini Othman dan Sumit
K.Mandal (Pnyt). Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau Mangsa?. Bangi:
Penerbit UKM.
Abu Hassan Sham. 1980. “Tariqat Napsyabandiah dan Peranannya dalam
Kerajaan Melayu Riau Sehingga Awal Abad Kedua Puluh” dalam Prof Khoo et al (sidang
Pengarang) Tamadun Islam di Malaysia. K.L: Persatuan Sejarah Malaysia.
Ahamad Jama’ Amin Yang. 2014. Kosmologi Melayu-Islam: Suatu Pengamatan
Sejarah Sosiopolitik Melayu. Prosiding Persidangan Antarabangsa. Kelestarian Insan: 10120.
Ahamad Jama’ Amin Yang, Mohd Samsudin & Izuan Razali. 2016. Pemaknaan
Kuasa dalam Kepimpinan Politik Melayu di Malaysia: Suatu Interpretasi Sejarah.
International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 4(3), 2016: 65 - 78
Ahmad Ibrahim. 1977. “Kedudukan Hukum Islam Dalam Masyarakat Melayu”.
Dalam Islam dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia
dan Sukan, Malaysia
Ali Mohammad. 2008. Sumbangan Tamadun Islam dalam Kehidupan Masyarakat
di Alam Melayu hingga Abad ke-17M. Journal of Al-Tamadun. 3(1): 68-84.
Berhanundin Abdullah. 1999. “Sejarah Pengaruh Adat dan Barat dalam
Pentadbiran Islam di Malaysia”. Malaysia dari segi SEJARAH (Malaysia in History), 27,
81-86

Hashim Musa. 2001.Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam: Ke Arah Pembinaan
Sebuah Tamadun Dunia Alaf Ketiga. Kuala Lumpur: Akademik Pengajian Melayu.
Universiti Malaya.
Idris Zakaria. 2012. Islam dan Falsafah dalam Kebudayaan Melayu. Jurnal
Hadhari Special Edition: 91-108
Ishak Saat. 2006. Sejarah Sosiobudaya Melayu. Shah Alam: Karisma Publication.

Mana Sikana. 1966. Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Pustaka.
Mashitah Sulaiman. 2013. Islam Dan Transformasi Sosial Masyarakat Melayu
Malaysia: Suatu Kajian Eksploratori. Proceeding of the International Conference on
Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013. Penang. Malaysia.
Mohammad Redzuan Othman. 2005. Islam dan Masyarakat Melayu. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Muhammad Hassan Dato’ Kerani Mohd Arshad.1968. Al-Tarikh Salasilah di
Negeri Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pires, Tome. 1944. The Suma Oriental of Tome Pires : an account of the East,
from the Red Sea to Japan, written in Malacca and India in 1512-1515 and the book of
Francisco Rodrigues, rutter of a voyage in the Red Sea, nautical rules, almanac and maps,
written and drawn in the East before 1515. London: the Hakluyt Society.
Sejarah Melayu. 1938. Raffles MS No. 18. JMBRAS. Vol. XVI(3), 82-157.
Siti Nur Hadis A. Rahman, Maimun Aqshs Lubis, Nurul Istiqamah Mohamad
Zaki, Muhammad Asyraf Jaapar dan Nur Suhada Mukhtar. 2016. Adat Istiadat Alam
Melayu sebelum dan Selepas Kedatangan Islam. Proceeding of The 9Th International
Workshop and Conference of Asean Studeis on Islamic and Arabic Education,
Technology. Polmed, UKM dan UMSU. 19 September 2016: 80-86.
Suhaimi Said. 1984. Orang Melayu di Sisi Perlembagaan.Pahang: Penerbit Ujud.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1972. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan
Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shah Rul Anuar b Nordin. 2012. Pemikiran Politik Islam di Aceh pada Abad Ke
17M: Perbandingan antara kitab: Tajul al-Salatin, Sulalah al-Salatin dan Bustan alSalatin. Tesis Doktor Falasah. Universisti Kebangsaan Malaysia.
Winstedt, R.O. 1950. The Malays: A Cultural History. Singapore: Graham Brash
(Pte) Ltd.
Zainal Kling. 1986. Kesedaran Nilai Budaya Nasional; Alternatif Polarisasi Etnik.
Jurnal Negara. Jilid X (1):30-37.