YANG TERSURAT DAN YANG TERSIRAT DI DALAM (1)

YANG TERSURAT DAN YANG TERSIRAT DI DALAM
FILEM-FILEM ARAHAN MAMAT KHALID oleh Hassan Abd. Muthalib
Kalau aku bikin filem
cerdik, aku perlukan audiens yang sama cerdik.
- UWe
i
Haj
isa
ari
Parodi adalah genre filem yang menjadi pilihan Mamat Khalid untuk
berkarya. Parodi adalah pendekatan yang lucu dalam membuat kritikan terhadap
sesuatu yang telah benar-benar berlaku atau pun yang berkait dengan seseorang
atau sesuatu kumpulan. Maka semestinya ia memerlukan audiens yang sudah
mengetahui apa yang berlaku atau pun kepada siapa ianya berlaku. Oleh yang
demikian, karya-karya Mamat boleh dianggap sebagai sangat jujur kerana ia
mengajak audiens untuk turut terlibat di dalam penceritaannya.
Antara elemen-elemen yang sentiasa menjadi rujukan Mamat ialah sejarah,
samada yang berkaitan dengan masyarakat, bangsa dan negara mahu pun yang
berkaitan dengan filem. Jika menggunakan a historical approach ke atas filemfilem Mamat untuk tujuan melihat pemikirannya, maka akan ditemui nuances of
meaning yang menjadi renungannya tentang sesuatu perkara. Dan subjek Mamat
tidak lain tidak bukan, hanya tentang industri hiburan tanah air yang diceburinya.

Maka dengan itu, filem-filem Mamat boleh dilihat sebagai satu autobiografi sama
seperti apa yang pernah dibuat oleh Mansor Puteh, Anuar Nor Arai dan U-Wei
Hajisaari melalui beberapa karya mereka. Mamat memilih genre parodi untuk
membuat kritikan-kritikannya agar tidak menyakiti hati sesiapa. Namun, mereka
yang jauhari akan tetap mengetahui siapa dan apakah peristiwa-peristiwa yang
menjadi sindiran tajam Mamat.

Genre parodi mula diterokai dalam industri filem tempatan oleh P Ramlee
melalui siri filem Labu dan Labi sekitar tahun 1960-an. P Ramlee juga
menggunakan satira untuk menyampaikan sindirannya seperti di dalam filem-filem
Musang Berjanggut dan Tiga Abdul. Di milennia baru, muncul beberapa pengarah
yang menggunakan satira dan parodi untuk menyampaikan kritikan mereka. Satira
digunakan oleh Hishamuddin Rais di dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee
(2001). Amir Muhammad dan Naeim Ghalili menggunakannya di dalam Susuk
(2007), dan Chris Chong melalui Karaoke (2009). Genre parodi menjadi pilihan
Ng Tian Hann dengan First Take, Final Cut (2004), Yeo Joon Hann dengan $ell
out!, James Lee dengan filem-filemnya, Sini Ada Hantu (2010), Tolong! Awek Aku
Pontianak! (2011) dan Petaling Street Warriors (2012), dan Namewee dengan
Nasi Lemak 2.0 (2011) dan Hantu Gangster (2012).
Genre parodi menjadi pilihan Mamat Khalid untuk kesemua filemnya.

Berbeza dengan pengarah-pengarah lain, Mamat membawa satu gaya yang
tersendiri, ia itu, yang merujuk kepada sejarah, milieu dan kosmologi Melayu.
Mulai dari filem pertamanya, Lang Buana (2003) sehingga ke filem terbarunya,
Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012), watak-watak, milieu dan subjek Mamat
berdiri di bumi nyata dengan merujuk kepada beberapa aspek negara dan sejarah
bangsa. Penelitian Mamat dapat dilihat di semua aspek produksi, ia itu, dari sudut
pemilihan pelakon, kostum, set, kata bual dan musik. Dengan itu, karya-karya
Mamat wajar dijadikan kajian tentang sesuatu zaman dalam sejarah negara oleh
sejarawan, ahli antropologi dan sosiologi. Sudah pasti, ada di antara filemnya yang
akan dianggap klasik.
Namun begitu, karya-karya Mamat tetap menghiburkan walaupun
mempunyai subteks yang berlapis. Filem Lang Buana sudah mula menampakkan
genre dan gaya persembahan yang menjadi trademark Mamat. Milieu Lang Buana
ialah zaman feudal di Perak. Tiga sahabat, yang sebenarnya hamba-hamba Orang
Kaya, akhirnya menjadi wira yang tak dijangka. Dan di akhir cerita, Mamat
menampakkan betapa mulia, bijak dan sopan tuanku sultan dibanding Residen
British yang sombong dan licik, yang menggunakan Orang Kaya untuk tujuan
memperdayakan orang-orang Melayu. Seperti kesemua filem-filemnya, subteks
Mamat ialah tentang masalah-masalah yang melanda industri filem tempatan. Tiga
sahabat tadi adalah pembikin filem yang jujur manakala Orang Kaya dan Residen

adalah mereka yang menghisap darah karyawan kerana hanya melihat produksi

filem dari sudut bisnes atau pun menggunakan kaedah Ali Baba. Dari filemnya
yang terawal ini, Mamat juga menghadirkan bangsa-bangsa lain di Malaysia di
dalam penceritaannya kerana, baginya, itulah realiti di tanahair.
Apakah penanda-penanda yang berulang-ulang di dalam filem-filem Mamat
Khalid yang menjadi petunjuk bahawa subjeknya ialah industri perfileman
tempatan? Bukan sahaja jauhari yang boleh mengenal maknikam. Anda
memerlukan ilmu firasat (yang sudah kian lama berada di dalam kosmologi
Melayu dan sudah digunakan dengan sepenuhnya oleh P Ramlee). Ilmu ini perlu
disokong pula dengan ilmu tajalli, bukan hanya dengan ilmu mantik. Di dalam
Lang Buana, kampong yang didatangi tiga sahabat, Gunung, Daik dan Cabang,
ialah metafora untuk pentas industri filem yang diceburi pelbagai bangsa dan jenis
manusia. Terdapat yang miskin (tetapi meminati filem), yang kaya (hanya mengaut
keuntungan), dan yang angkuh (yang menjadi taukeh). Yang berloghat Jawa pun
ada! (rujukan kepada mereka yang terlalu berpegang kepada adat dan cara lama).
Satu perkara yang menarik adalah pemilihan dua pelakon, Hasnul Rahmat dan
Bront Palarae, graduan Akademi Filem Malaysia yang mula muncul di layar perak.
Di akhir cerita, watak yang dimainkan Hasnul, yang berkerja dengan Orang Kaya
dan tidak menerima bayaran setimpal, tidak lagi mahu bersekongkol dengannya

kerana sudah menjadi pengkhianat bangsa.
Era rock dalam filem Rock (2005) adalah milieu industri perfileman di mana
mereka yang terlibat tidak ada apa-apa pemikiran dan hanya mengejar glamor.
Begitu juga dengan para promoter dan penerbit musik semasa itu yang sebenarnya
tidak mengetahui bidang musik rock. Lebih lucu lagi, para juri di peringkat awal
dalam pertandingan musik rock juga terdiri dari manusia yang pelik. Salah
seorangnya (dimainkan oleh Hamid Gurkha) mengatakan ia sebenarnya diundang
untuk pertandingan masak memasak tetapi diminta menjadi juri pertandingan
musik rock! Filem Rock berkisar pada era rock di tahun 1980-an. Ramai remaja
tergila-gila dengan gaya dan musik Barat di zaman itu. Mamat juga tidak terlepas
daripada pengaruhnya. Sebagai seorang muda di waktu itu, dia juga menjadi
sebahagian dari sejarah rock di tanahair namun tidak dikenali secara umum.
Selepas dua puluh tahun, Mamat menjadi self-reflexive tentang era rock serta
penglibatannya. Dia mentertawakan dirinya sendiri (dan rakan-rakannya) kerana
terpengaruh dengan satu gaya yang begitu terasing dengan adat dan budaya
bangsanya. Namun, semuanya itu sudah menjadi sejarah, dan kemudian menjadi

bahan untuk dia berkarya. Filem Rock hari ini adalah antara filem tempatan yang
wajar dianggap sebagai sebuah filem klasik dalam Sinema Malaysia.
Mamat juga membuat komen tentang nasib seniman tempatan yang bertaruh

nasib pada mereka yang menguasai tempat hiburan. Beberapa rocker berdiri
merenung bangunan tersergam indah di mana mereka akan beraksi dalam
pertandingan. Tetapi tempat itu adalah milik orang bukan sebangsanya. Remaja
Melayu sebagai penonton tidak tahu mengenai ini semua. Mamat menunjukkan
mereka berlari dengan ghairah masuk melalui pintu. Dengan suntingan dan
sinematografi, Mamat menampakkan masa depan yang gelap bagi kumpulan rock.
Pentas dan audiens berada dalam kegelapan. Aksi rocker di pertandingan pula tidak
ditunjuk. Seterusnya mereka berada di dalam van untuk pulang. Hanya muka
mereka kelihatan di dalam kegelapan dalam van. Dan di akhir cerita, rupa rockerrocker ini seperti ‘manusia biasa’ dan bermain musik’biasa’ di majlis perkahwinan
salah seorang ahli mereka. Ternyata, kegilaan mereka pada musik rock tidak
membawa mereka ke mana-mana.
Pendekatan parodi Mamat tentang kumpulan rock dibawa ke dalam
filemnya, Zombi Kampung Pisang (2008). Empat ahli kumpulan rock tersesat di
Kampung Pisang dan berhadapan dengan zombi-zombi. Jika dilihat dari kostum
dan solekan mereka, tiada perbezaan di antara rocker dan zombi! (Malah, rupa
kumpulan rock, Malaikat Maut,di dalam filem Rock sudah awal-awal lagi dilihat
sebagai zombi.) Mungkin persoalan Mamat ialah: Orang Melayu mempunyai adab
dan budaya yang begitu tinggi. Mengapa harusnya mengikut budaya asing
sehingga wajah pun tidak lagi macam manusia?
Filem Man Laksa (2006) adalah parodi tentang industri musik dan filem.

Dalam pada itu, Mamat menampakkan kekagumannya terhadap beberapa penyanyi
1970 dan 80-an seperti Saloma dan Ahmad Jais. M. Daud Kilau pula dianggap
hanya sebahagian daripada budaya popular. Lirik lagu Ahmad Jais seakan pantun
dan sangat Melayu manakala lirik lagu Saloma penuh dengan nasihat, antaranya:
“Kasih yang dulu kini berganti. Kasih yang baru simpan di hati.” Kata-kata ini
amat signifikan dan menyokong tema yang dibawa Mamat, ia itu, gaya lama (filem
hiburan semata-mata) mesti ditinggalkan; perubahan perlu dilakukan dan gaya
yang baru (filem alternatif) mesti diterima dengan hati yang terbuka. Tiga penyanyi
muda kampung (M Nasir, Ramli Sarip dan Loloq sewaktu kecil) yang mewakili
generasi baru ingin membawa perubahan tetapi bakat dan visi mereka tidak

diiktiraf kerana mendahului zaman. Inilah dilemma yang dihadapi beberapa
karyawan filem generasi baru. Di akhir cerita, melalui adegan pengadilan
Pertandingan Ratu Kebaya, Mamat menyindir festival-festival filem di Malaysia di
mana ada ahli panel juri yang mempunyai kepentingan atau pun keputusannya
menguntungkan kroni.
Kala Malam Bulan Mengambang (2008) juga merupakan parodi tentang
industri filem. Mamat merujuk kepada genre film noir dan elemen gothic dalam
filem-filem Hollywood dan sejarah awal Sinema Malaysia dengan menggunakan
bidang hitam putih. Gaya dan teknik persembahan seakan seperti tahun 1950-an

yang tidak lagi sesuai masakini, namun menjadi ikutan. Penggunaan hitam putih
melalui filem adalah penanda tentang sesuatu keburukan. Di sini, ia menjadi
petunjuk tentang industri perfileman masakini yang sedang berundur ke belakang
dengan pengisian yang lemah serta ghairah dengan cerita-cerita tahyol walaupun
era sedemikian sudah berakhir pada tahun 1950 dan 60-an. Lambang keris dan
bulan adalah petunjuk kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk mengubah
keadaan tetapi tidak berbuat apa-apa. Watak Kuswadinata adalah representasi
orang yang diutuskan untuk membantu Sinema Malaysia. Sebaliknya, dia
membawa idea-ide yang lapok (dilihat pada kostumnya yang biasanya terlihat
dalam pementasan sandiwara). Lihat bagaimana is memandang kamera dan
memberikan (terutama kepada penggiat industri) jari hantunya di mana tersarung
cincin yang besar dan mahal. Dia hanya mengkayakan diri sendiri. Adegan ini
mungkin mencipta sejarah di dalam Sinema Malaysia di mana isyarat lucah, Up
Yours, tidak dipotong oleh penapis!
Filem Estet (2010) adalah parodi tentang milieu dan perpaduan pelbagai
kaum di Malaysia yang hanya berlaku pada Hari Kebangsaan. Ini diperlihatkan
melalui adegan tari menari pelbagai kaum dengan rentangan kain pelbagai warna
di akhir filem. Filem ini juga satu parodi tentang filem-filem Tamil yang terlalu
over dalam lakonan dan dialog di samping memparodikan industri filem tempatan.
Filem Hantu Kak Limah Balik ke Rumah (2010) menjadi sindiran tentang

keghairahan dengan filem-filem hantu yang menjadi kegilaan penerbit dan audiens.
Jika bomoh yang menghalau hantu bermaharajalela di dalam filem-filem tempatan,
Mamat membuatkan bomoh dalam filem Hantu Kak Limah memerlukan seorang
bomoh untuk memulihkannya! Isu dan subjek tentang perfileman dibawa lagi ke
dalam Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012). Filem ini menjadi kesinambungan

kritikan Mamat tentang industri filem yang diceburinya yang masih seronok
dengan cerita-cerita fantasi dan tahyol.
Warung Munawir di dalam Zombi Kampong Pisang adalah representasi
gelanggang industri filem dan zombie-zombi sebagai penggiatnya. Sesiapa yang
masuk dan memakan kuah daging, akan menjadi zombi (maksudnya yang tidak
melahirkan ide-ide baru dan mahu merosakkan otak audiens dengan karya picisan).
Warung Pak Jabit di dalam Jin Pakai Toncit juga gelanggang penggiat filem. Dari
rupa pengunjung ke warung, dapatlah dilihat rupa penggiat filem yang sudah
ketinggalan zaman. Pak Abu adalah representasi pengarah-pengarah lama yang
merapu, yang mengulangi cerita-cerita lapok tetapi tetap diminati pengunjung ke
warung. Mon adalah representasi filem Melayu yang tulen tetapi yang telah
‘dirosakkan’ oleh filem-filem yang memaparkan cerita hantu, toyol dan pontianak
picisan yang hanya begantung kepada teknik suntingan dan kesan bunyi. Husin
tetap menyintai Mon sehingga rela menelan mee ‘berkerang’. Husin yang

menyintai Mon sebenarnya mewakili Mamat Khalid yang menyintainya Sinema
Melayu. Adegan bersantapan di sungai digambarkan seakan sebuah set di dalam
filem dan dilakukan dengan penuh ketelitian untuk visualkan perasaan Husin.
Niat Mamat untuk menyelamatkan Sinema Malaysia juga dapat dilihat dalam
Kala Malam. Puteh (Umie Aida) juga adalah representasi filem Melayu yang tulen,
yang sudah bertukar menjadi hantu, pontianak, toyol, dsbnya. Watak Saleh (yang
mewakili Mamat Khalid) menyiasat tentang sebab-sebab Puteh menjadi hantu dan
sanggup mengurungnya untuk sewaktu. Watak yang dimainkan Kuswadinata
muncul semula di dalam Jin Pakai Toncit melalui watak Dr Shamsuddin
(dimainkan oleh Rashidi Ishak). Mamat memparodikan seorang penggiat industri
yang dipertanggungjawabkan membantu mengangkat martabat industri tetapi ia
tidak menghasilkan apa-apa. Husin tiba dari Singapura dan di akhir cerita, kembali
semula ke Singapura. Bagi Mamat Khalid, Sinema Malaysia sukar diselamatkan.
Visual istana (ia itu, martabat filem Melayu) diperlihatkan dari jauh, yang setia
menunggu cahaya harapan di hujung terowong. Filem Jin Pakai Toncit berakhir
dalam suasana suram. Saki baki hantu di Kampong Pisang masih belum dihalau
sepenuhnya walau pun Dr Shamsuddin sudah tiada. Hantu-hantu ini terapung di
udara, menunggu masa untuk melakukan kerosakkan. Filem-filem tahyol yang
picisan masih ‘berkeliaran’ di pawagam dan masih diminati audiens tempatan (dan


tak lama lagi oleh audiens Melayu di Singapura!). Persoalan dari Mamat ialah:
Apakah kesudahannya? Apakah Sinema Malaysia dapat diselamatkan?
Karya yang baik kebanyakannya datang daripada pengalaman hidup
seseorang pengkarya. Sejarah penglibatan Mamat di era rock, dan kemudian di
dalam industri perfileman tempatan, menjadi rujukan baginya. Walaupun Mamat
tidak mendapat pendidikan formal di dalam bidang filem, namun dia berkarya
bersandarkan ilmu filem. Pendekatan yang digunakannya datang dari fahamannya
mengenai B Movies dan genre film noir dari Hollywood serta juga musik Barat. Ini
membuatkan kemahiran berparodi Mamat diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kala
Malam Bulan Mengambang dan Zombi Kampung Pisang dipilih menyertai festival
filem Udine di Itali dan beberapa festival yang lain di seluruh dunia. Hantu Kak
Limah memperolehi kutipan box-office yang luar biasa. Mamat Khalid sudah pun
diiktiraf di negaranya sendiri. Tetapi lebih penting, beliau menjadi perakam sejarah
bangsa dan negaranya sendiri, dan sekaligus beliau juga menjadi sebahagian
daripada sejarah itu.
Mamat Khalid seorang nasionalis tetapi dia tidak termasuk dalam golongan
yang mengetuk gendang, mengibar bendera dan berdeklamasi puisi untuk
menunjukkan nasionalismenya. Mamat bukan juga seorang sejarawan. Dia hanya
seorang pembikin filem yang menyintai sejarah, bangsa, budaya dan negaranya.
Apakah itu juga boleh ditafsirkan sebagai satu ‘parodi’? Hanya jauhari mengenal

maknikam.