MEDIA ELEKTRONIK DAN SUMBANGANNYA DALAM

MEDIA ELEKTRONIK DAN SUMBANGANNYA DALAM DAKWAH
Syafiq bin Zulakifli
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
syafiqzulakifli@siswa.um.edu.my

Abstrak
Media elektronik berperanan menyampai mesej tanpa sedar di dalam sistem
penyampaian dan komunikasi. Di Malaysia, perkembangan media elektronik begitu pantas
selepas Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bermula dengan TV hitam putih pada tahun
1963 dan berkembang melalui Radio Malaya sebelum itu lagi. Perkembangan ini merentasi fasa
penerbitan melalui Media Prima Berhad dan tidak ketinggalan Pusat Penyiaran Asia (Astro)
dan TV Unifi (Telekom Malaysia) yang merangkumi penerbitan televisyen dan radio.
Transformasi ini menjadi salah satu wasilah di dalam gerakan dakwah melalui siaran
televisyen dan radio yang diterbitkan di Malaysia. Kajian ini menumpukan dua sumber utama
media elektronik di Malaysia iaitu radio dan televisyen yang berperanan sebagai pelengkap di
dalam gerakan dakwah di Malaysia melalui siarannya.
Rancangan dan siaran yang berkonsepkan dakwah ditelusuri melalui perkembangan
tersebut dengan meneliti sumbangannya kepada perkembangan dakwah di Malaysia untuk
kepentingan ummah sejagat pada hari ini.
Pendahuluan
Perkembangan industri media amat dirasai pada pertengahan abad 1990-an apabila kerajaan telah

mengubah dasarnya terhadap perkhidmatan penyiaran dengan pindaan akta penyiaran yang
membolehkan wujudnya siaran satelit. Begitu juga di pertengahan tahun 1990an, di dapati
perubahan dasar kerajaan yang memberikan lesen untuk mengendalikan perkhidmatan siaran
kepada beberapa stesyen televisyen dan radio swasta bagi merancakkan lagi perkembangan
media massa di Malaysia (Samsudin A.Rahim, 1998).

Radio dan televisyen yang merupakan media elektronik di Malaysia juga tidak ketinggalan
mengisi ruang dakwah sebagai satu alternatif menyampai dan meluaskan pengaruh pendidikan
melalui medium popular. Penerbitan rancangan dan siaran yang berkonsepkan dakwah diterokai
dan dibina dengan pelbagai bentuk agar matlamat berdakwah sampai kepada mad’u yang
menjadi sasaran.
Program keagamaan sentiasa dinantikan penonton yang sukakan kepada pembangunan minda
untuk membentuk individu berjiwa kasih sayang dalam masyarakat berbilang bangsa di negara
ini (Berita Harian, 2009). Perkembangan melalui rancangan yang diterbitkan serta bentuk
program yang disampaikan memberi kesan terhadap pendengar atau penonton melalui media
elektronik. Selain daripada rancangan berbentuk keagamaan, media elektronik di Malaysia juga
berkembang sebagai media dakwah melalui rancangan berkonsepkan hiburan.