KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP M

KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL
DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Negara Brunei Darussalam
syah289@live.com

Abstrak

Persoalan halal haramnya sesuatu makanan itu adalah sama pentingnya seperti perkara-perkara dan
masalah-masalah keagamaan yang lain. Walau bagaimanapun, masih ada lagi sebahagian daripada
masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam yang kurang peka dan prihatin terhadap isu makanan
halal ini. Senario ini boleh menjejaskan nama baik negara yang terkenal dengan falsafah MIB dan
konsep Negara Zikir. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji konsep makanan halal dalam
Islam, mengkaji pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam dan mengenal pasti
keprihatinan masyarakat Islam terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam. Kaedah
tinjauan telah digunakan sebagai metod kajian. 380 responden dari bangsa melayu yang beragama
Islam di daerah Brunei dan Muara telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Data dikumpul
menggunakan soal selidik. Data-data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian SPSS
Windows 16.0. Kajian mendapati agama Islam mengarahkan supaya manusia memakan makanan
yang halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu Watacālā di darat mahupun di laut.

Sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat nas-nas yang membuktikan
pengharamannya. Di samping, makanan halal ini terbukti mempunyai kelebihan dan keberkatannya
yang tersendiri. Begitu juga sebaliknya. Kajian juga mendapati pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah
berusaha sebaik mungkin dalam menjaga kehalalan makanan di negara ini. Industri makanan halal
semakin berkembang maju dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam
(Makanan) 1998 serta Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan perlaksanaan projek Jenama
Brunei Halal. Akhir sekali, kajian mendapati secara keseluruhan keprihatinan masyarakat Islam
terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi, namun masih
ada beberapa sudut yang perlu diperbaiki dan diberi penekanan. Apabila segala usaha dan pendekatan
dipertingkatkan, sudah tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal
dan seterusnya akan menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat.

PENDAHULUAN

Persoalan halal haramnya sesuatu makanan itu adalah sama pentingnya seperti perkara-perkara dan
masalah-masalah keagamaan yang lain. Sesungguhnya yang halal itu menyihatkan dan yang haram itu
memudaratkan. Justeru itu, wajib bagi kita untuk menjaga diri kita, keluarga kita mahu pun
masyarakat kita daripada makanan yang mengandungi keraguan atau syubhah (al-Qarḍāwī 2009: 2829).
Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang kecil, aman damai dan kaya

dengan khazanah yang tersendiri. Ia terletak di sebelah utara Pulau Borneo dan diapit oleh Sabah,
Sarawak dan Kalimantan. Rakyatnya hidup dalam keadaan yang permai lagi sentosa di bawah
pimpinan Sultan yang adil lagi bijaksana. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama
Islam sebagai agama rasmi. Dengan adanya komponen keislaman yang telah sebati dengan asam
garam kehidupan di Negara Brunei Darussalam, maka adalah wajib bagi masyarakat Islam di Negara
Brunei Darussalam untuk menjaga elemen keperibadian Islam tersebut. Ini termasuklah dari segi
pemakanan (Abdul Aziz Umar 2001: 25-26).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga tidak
ketinggalan untuk membicarakan isu halal haram makanan dalam titah Baginda sempena ulang tahun
Hari Keputeraan Baginda yang ke-51 tahun pada 15 Julai 1997. Titah itu berbunyi:
Maka di akhir-akhir ini, timbul pula kekhuatiran terhadap makanan dan minuman serta
barang-barang gunaan yang dikhuatiri bercampur dengan bahan-bahan yang haram,
termasuklah kekhuatiran khusus mengenai dengan daging-daging import yang sedang
beredar di pasaran pada masa ini. Dalam konteks ini, sudah tiba masanya bagi pihak-pihak
berkenaan dalam kerajaan untuk mengkaji kemungkinan bagi mengadakan satu badan atau
seumpamanya selaku pihak yang mengawal halal haram bahan-bahan makanan dan,
termasuk segala jenis daging serta lain-lain bahan gunaan di negara ini. Kewajipan ini
menjadi prioriti, kerana kedudukan kita selaku sebuah negara Islam adalah wajib memelihara
agama dan ibadat rakyat serta penduduk yang berada di dalamnya.

Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan berkaitan dengan isu makanan halal ini.
Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) telah ditubuhkan demi menyahut titah Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang
telah disampaikan pada 15 Julai 1997. Seiring dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta
Kesihatan Awam (Makanan) 1998 dan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005, BKMH
bertanggungjawab mengawal dan menangani segala pemakanan halal di negara ini khususnya daging
mentah sama ada tempatan ataupun import (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Bahagian Kawalan
Makanan Halal).
Bagi mencapai matlamat meneroka pasaran eksport, Kementerian Perindustrian dan SumberSumber Utama dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Majlis
Ugama Islam Brunei (MUIB) telah memperkenalkan projek Jenama Brunei Halal. Antara objektif
projek Jenama Brunei Halal ini ialah menunaikan kewajiban fardu kifayah iaitu kewajipan untuk
memudahkan pembekalan makanan bagi umat Islam di seluruh dunia, mempelbagaikan ekonomi
negara dan sebagai platform bagi memajukan produk tempatan (Jabatan Pertanian 2009: 11-12).
Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama (2010: 4), Rancangan Strategik Kementerian Hal
Ehwal Ugama 2010-2014 telah dilancarkan dan antara bidang fokus strategiknya ialah bidang
pemakanan halal. Objektif bidang pemakanan halal itu pula ialah:
1) Mempertingkatkan usaha mengawal dan memastikan pemakanan dan barang-barang gunaan
yang dikeluarkan dan dipasarkan dalam negeri adalah halal dan suci.
2) Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan halal dan haram dalam pemakanan dan
barang gunaan terhadap ibadat.

3) Menjadikan pensijilan halal dihayati sepenuhnya di Negara Brunei Darussalam dan diiktiraf
di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan berkaitan dengan
pentadbiran makanan halal. Walau bagaimanapun, sejauhmanakah masyarakat Islam di Negara Brunei
Darussalam mengambil berat berkaitan dengan makanan halal ini?
Khutbah Jumaat di Negara Brunei Darussalam yang juga berperanan sebagai ‘lidah kerajaan’,
pada 2 April 2010 yang lalu telah menjelaskan bahawa walaupun pihak kerajaan telah membuat
inisiatif memastikan produk-produk makanan yang dijual kepada masyarakat Islam adalah halal dan
bersih, memantau kemasukan bekalan ayam dan daging dari luar negara, menanda tempat-tempat
makan yang bukan tempat makan orang Islam dan sebagainya. Tetapi masih juga terdapat segelintir
masyarakat Islam di negara ini yang menyeludup bekalan ayam dan daging yang diragui
kehalalannya, menyeludup arak dan ada juga yang sengaja makan di tempat-tempat makan yang
bertanda ‘Bukan makanan untuk orang-orang Islam’ (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2010:
Kepentingan Makanan Halal). Sebelum itu, pada 12 Februari 2010, khutbah Jumaat telah menyatakan
bahawa statistik Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada tahun 2009 pula menunjukkan daripada
sejumlah 385 kes penyeludupan arak yang dicatatkan, seramai 167 orang pesalah adalah beragama
Islam (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2010: Pengharaman Arak).
Selain itu, sejak mula Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dikuatkuasakan, hanya 29
buah syarikat produk makanan tempatan dan 36 buah restoran telah mendapatkan Sijil Halal, Permit

Halal dan Label Halal, berdasarkan statistik BKMH dari Januari 2011 hingga April 2012. Terdapat
lebih 1,500 syarikat produk makanan tempatan dan restoran di seluruh negara, tetapi setakat ini yang
memohon dan diluluskan belum pun mencapai lima peratus. Perkara ini tentulah agak
mendukacitakan, walaupun beberapa usaha telah dijalankan di keempat-empat daerah di seluruh
negara seperti jerayawara yang menyeluruh, penerangan-penerangan melalui media massa mahupun
khutbah Jumaat. Pegawai-pegawai yang berkenaan juga telah memberikan tunjuk ajar berkaitan
dengan prosedur-prosedur dalam menghadapkan permohonan tetapi sambutannya masih kurang
menggalakkan (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: MUIB Keluarkan Sijil, Permit Halal).
Apa yang lebih mendukacitakan lagi, hanya dua buah restoran hotel di negara ini yang telah
mendapat Sijil Halal iaitu Jeruton Hotel Sdn. Bhd. yang terletak di Jerudong dan Riviera Cafe &
Restaurant yang terletak di Kuala Belait. Restoran-restoran hotel yang lain nampaknya seolah-olah
tidak berminat untuk memberikan kerjasama mereka kepada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam
sama-sama melaksanakan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005. Restoran-restoran hotel selalunya
menjadi tumpuan para pelancong dan biasanya digunakan oleh agensi-agensi Kerajaan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi
mengadakan persidangan, mesyuarat, seminar, jamuan rasmi serta menjadi tempat penginapan tetamu
kerajaan dari luar negara. Oleh itu, restoran-restoran hotel secara tidak langsung selayaknya patut
menjadi contoh serta pelopor dalam menunaikan tanggungjawab bagi mendapatkan Sijil Halal bagi
restoran masing-masing.

Berdasarkan maklumat ini, nampaknya masih ada lagi sebahagian daripada masyarakat Islam
di Negara Brunei Darussalam yang kurang peka dan prihatin terhadap isu makanan halal ini. Konsep
makanan halal masih tidak disemai sepenuhnya seperti belum memahami sepenuhnya istilah halal
atau hanya mengetahui istilah halal semata-mata tanpa menitikberatkan soal kebersihan ataupun
memilih makanan sesuka hati dengan melihat kelazatannya semata-mata tanpa melihat isi
kandungannya atau ingredients.
Senario ini juga secara tidak langsung dilihat boleh menjejaskan nama baik negara yang
terkenal dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Negara Brunei Darussalam memerlukan bangsa
Melayu dan sistem pemerintahan Beraja yang sentiasa melaksanakan ajaran agama Islam yang syumul
dan taat kepada Allah Subḥānahu Watacālā. Konsep MIB yang menjadi falsafah Negara Brunei
Darussalam ini bukan sahaja untuk mempertahankan identiti, malah sebagai inti kehidupan
masyarakat di Negara Brunei Darussalam. Yang paling penting, komponen Islam yang terkandung di
dalamnya hendaklah menjadi ideologi sebagai penentu dan rujukan bagi setiap tindakan (Hashim
Abdul Hamid 2003: 183-186).
Di samping itu, ia juga boleh menjejaskan konsep Negara Zikir yang baru diperkenalkan oleh
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
Waddaulah. Konsep Negara Zikir merupakan satu pendekatan yang ingin membawa masyarakat Islam
di Negara Brunei Darussalam agar berpegang teguh dengan ajaran Islam, sentiasa taat kepada Allah

Subḥānahu Watacālā dan menjauhi larangan-Nya. Falsafah MIB dan konsep Negara Zikir hendaklah

dikekalkan untuk mencapai sebuah negara Islam yang sebenar dan dominan dalam semua aspek
(Ummi Faizah Abdul Rahman 2011: 75)

KONSEP MAKANAN HALAL DALAM ISLAM

Dari sudut kacamata Islam pula, Allah Subḥānahu Watacālā telah menjadikan dengan iradah-Nya
bahawa setiap manusia mempunyai naluri untuk makan (Aḥmad cAṭā t.th.: 127). Islam mengarahkan
supaya manusia memakan makanan yang halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu
Watacālā di darat mahupun di laut (Tabbārah t.th.: 419-420).
Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal)
yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya
beribadat kepada-Nya (al-Baqarah 2:172).
Kepentingan memilih makanan yang halal lagi bersih sangat dititikberatkan dalam Islam.
Makanan yang haram sudah pasti akan mendatangkan azab kepada sesiapa yang memakannya (alZuḥaylī 1989: 505-507).
Sebagaimana ḥadīth Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam:

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abī Hurayrah, Rasullullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam bersabda:
Akan datang kepada manusia suatu zaman bahawa seseorang itu tidak peduli apa yang diambilnya,

adakah yang diambilnya itu daripada yang halal atau yang diambilnya itu dari yang haram. Razīn
menambah: Jikalau demikian tiadalah dimakbulkan (diterima) permohonan (doa) mereka (al-Bukhārī
t.th.: 2059).
Secara umumnya, sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat
nas-nas sama ada dari al-Qur’ān, ḥadīth Rasullullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam, ijmāc ataupun qiyās
yang membuktikan pengharamannya (Pusat Da’wah Islamiah 2006: 3). Agama Islam juga telah
memberikan prinsip panduan yang jelas berhubung dengan makanan yang haram dimakan. Antara
faktor yang boleh menyebabkan berlakunya hukum pengharaman tersebut ialah kebiasaan dan cara
hidup masyarakat Arab, terdapat kemudaratan padanya mahupun makanan yang bukan hak miliknya
(al-Zuḥaylī 1989: 505-507).
Kebiasaan dan cara hidup masyarakat Arab sejak dari zaman Rasullullah Ṣallallahu cAlaihi
Wasallam lagi turut dinilai sebagai salah satu kaedah dalam mengukur maksud antara bersih dan
kotor. Sesuatu makanan itu dianggap sebagai haram jika ia kotor atau menjijikkan pada selera
masyarakat Arab. Biasanya ia dikaitkan dengan makanan dari jenis binatang. Sesungguhnya,
kebersihan adalah salah satu daripada cabang keimanan dan segala yang kotor itu adalah diharamkan
(al-Aṣfahānī 1993: 342-343).

Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada

mereka segala yang buruk (al-Acrāf 7:157).
Selain itu, semua jenis makanan yang diketahui akan memudaratkan seperti mengandungi
racun, bisa atau kuman adalah dilarang untuk kita memakannya. Begitu juga dengan arak, ia
diharamkan kerana kemudaratannya yang boleh menghilangkan kewarasan akal walaupun sekejap
apabila meminumnya (al-Shayrāzī 2001: 875-880).
Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) Yang dihalalkan
bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu (memakan) lazat-lazat serta baikbaik (al-Mā’idah 5:4).
Di samping itu juga, pemilikan yang sah dan sempurna ke atas setiap makanan dan minuman
hendaklah dititikberatkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Agama Islam melarang keras perbuatan
mengambil benda yang haram sumbernya dan menegaskan seseorang yang beriman dan beramal soleh
akan hanya mengambil makanan yang benar-benar miliknya sahaja (al-Zuḥaylī 1409H/1989M: 505507).
Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi
baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman (al-Mā’idah 5:88).
Dalam hal yang berkaitan, janganlah pula kita terlepas pandang terhadap makanan yang
dianggap syubhah. Islam telah memberi peringatan kepada setiap Muslim supaya meninggalkan
perkara-perkara yang syubhah ini, agar tidak terjerumus kemudiannya kepada perkara-perkara yang

ternyata haramnya. Oleh yang demikian, sesiapa yang berusaha menjauhkan diri daripada syubhah,
dia telah menyelamatkan agamanya, kritikan dan dirinya daripada azab api neraka (al-Qarḍāwī 2009:
20-21).
Sebagaimana ḥadīth Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam:

Maksudnya: Diriwayatkan daripada al-Nucmān ibn Bashīr, katanya: Aku telah mendengar Rasulullah
Ṣallallahu cAlaihi Wasallam: - al-Nucmān berkata sambil menghulurkan kedua–dua jari tangannya ke
telinganya (sebagai isyarat bahawa dia benar-benar mendengarnya secara langsung daripada
Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam): Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan
sesungguhnya perkara yang haram jelas. Dan antara keduanya ada perkara-perkara syubhah, yang
diragukan, di mana ramai yang tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa yang menjaga diri daripada
perkara syubhah, sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Dan
barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara syubhah, sesungguhnya dia telah terjatuh ke dalam

perkata haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan,
dikhuatiri dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah, sesungguhnya setiap raja ada
sempadan, dan sesungguhnya sempadan itu ialah perkara-perkara yang diharamkan. Ketahuilah,
sesungguhnya dalam setiap jasad itu ada seketul daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan
jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, sesungguhnya ia adalah hati (Muslim 2006:
4070).


PENTADBIRAN MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Agama Islam telah diberi kedudukan yang istimewa dalam pentadbiran dan hala tuju negara.
Perlembagaan Brunei 1959 telah memperuntukkan bahawa agama rasmi bagi Brunei adalah agama
Islam dan ketua ugama negara adalah Sultan (Jabatan Perdana Menteri 2008: 48). Tafsiran agama
Islam bermaksud agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shāficī (Jabatan
Perdana Menteri 2008: 40).
Wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam yang merdeka lagi
berdaulat dengan jelasnya terkandung dalam titah pemasyhuran kemerdekaan oleh Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah
semasa Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984. Titah itu
berbunyi:
Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin dan limpah kurnia Allah Subḥānahu Watacālā,
akan selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka,
berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahli
Sunnah Wal Jamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan
petunjuk serta keredhaan Allah Subḥānahu Watacālā jua akan sentiasa berusaha pada
memperolehi ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat Beta,
dan demikian juga pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atau
dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan
(kukuh) wilayah bagi semua negara yang bebas dan campur tangan dari luar negeri.
Sejarah pentadbiran makanan halal yang sistematik di Negara Brunei Darussalam bermula
apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu’izzaddin Waddaulah telah bertitah mengenai usaha untuk menubuhkan sebuah badan yang
bertanggungjawab ke atas kawalan makanan halal di Negara Brunei Darussalam. Titah sempena Hari
Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-51 tahun, pada 15 Julai 1997, itu berbunyi:
Dalam konteks ini, sudah tiba masanya bagi pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan untuk
mengkaji kemungkinan bagi mengadakan satu badan atau seumpamanya selaku pihak yang
mengawal halal haram bahan-bahan makanan dan, termasuk segala jenis daging serta lainlain bahan gunaan di negara ini. Kewajipan ini menjadi prioriti, kerana kedudukan kita selaku
sebuah negara Islam adalah wajib memelihara agama dan ibadat rakyat serta penduduk yang
berada di dalamnya.
Demi menyahut titah Baginda itu, sebuah badan yang dikenali sebagai Badan Pengeluar
Permit Import Daging Halal Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan pada 13 Oktober 1997.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama (2011: Garis Panduan Kawalan Makanan Halal),
antara tugas-tugas yang telah ditetapkan ialah:
1) Mengeluarkan permit import kepada pengimport-pengimport berkenaan yang berhajat untuk
membawa masuk daging-daging halal ke negara ini.
2) Meluluskan setiap permohonan yang dihadapkan kepada badan ini dengan segera, dengan
syarat pengimport-pengimport berkenaan memenuhi peraturan-peraturan dan ketetapanketetapan yang telah ditentukan.

3) Membatalkan dan menarik balik permit yang telah dikeluarkan itu jika pengimportpengimport yang berkenaan didapati melanggar ketetapan yang telah ditentukan.
Sejak Badan Pengeluar Permit Import Daging Halal ini ditubuhkan oleh pihak kerajaan, ia
telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan membuat pemeriksaan ke atas pusat-pusat
penyembelihan, restoran-restoran, hotel-hotel, gedung-gedung perniagaan mahupun kedai-kedai runcit
bersama dengan agensi-agensi yang berkenaan. Langkah ini telah banyak mendapat penghargaan
daripada orang ramai terutama sekali daripada umat Islam yang mempunyai kesedaran beragama dan
ingin sentiasa memelihara ibadah dan kesucian agama Islam. Kemudian, pada 26 September 1998,
ditubuhkan pula satu lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal
(Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Garis Panduan Kawalan Makanan Halal).
Pada 17 April 1999, Akta Daging Halal 1998 telah dikuatkuasakan. Akta ini bertujuan untuk
mengawal kemasukan daging halal ke negara ini termasuk pusat-pusat penyembelihan dalam negera
ini sendiri. Apabila akta ini dikuatkuasakan, ia dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Negara
Brunei Darussalam telah mendapat pujian di atas ketegasan dan ketelitiannya dalam menjalankan
hukum syarak serta aturan yang ditetapkan dalam akta berkenaan. Beberapa syarikat dari luar negara
juga telah berminat untuk mendapatkan pengesahan halal bagi pusat-pusat penyembelihan mereka.
Antaranya, syarikat-syarikat dari Arab Saudi, Australia, India, Indonesia dan Malaysia (Kementerian
Hal Ehwal Ugama 2011: Garis Panduan Kawalan Makanan Halal).
Sejajar dengan penguatkuasaan ini juga, Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal ini
telah ditempatkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama berdasarkan
surat Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Bil: SCRWO/23/59 bertarikh 27
Januari 2000 (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Sejarah Penubuhan Bahagian Kawalan Makanan
Halal Negara Brunei Darussalam).
Seterusnya, pada 15 Julai 2000, sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan yang ke-54 tahun,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
Waddaulah telah bertitah mengenai kepentingan kawalan makanan halal. Titah itu berbunyi:
Di samping itu, peranan negara yang tersendiri dalam bidang ekonomi serantau dan
antarabangsa akan semakin menyerlah apabila kita mempunyai kemampuan untuk menjadi
pengeluar barangan dari makanan halal. Pada tahun lalu, kita sudah pun mengadakan akta
yang berkaitan dengannya, bagi menjamin bahawa perbekalan daging dan ayam adalah
benar-benar halal menurut hukum syarak. Beta berharap, langkah ini bukan saja terhad
kepada dua jenis barangan yang disebutkan itu, malahan juga termasuk makanan-makanan
yang sudah diproses. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam menjadi
cara hidup, maka kita akan terus bergerak menjalankan ajaran-ajaran yang indah itu dalam
kehidupan kita.
Demi menyahut titah Baginda tersebut, pada 22 Januari 2001, nama Lembaga Mengeluarkan
Permit Import Halal telah diubah menjadi Bahagian Halal Haram, Jabatan Hal Ehwal Syariah,
Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bahagian Halal Haram ini telah dikemaskinikan lagi pada 13 Julai
2006 dan dikenali sebagai Bahagian Kawalan Makanan Halal. Selain itu, Akta Kesihatan Awam
(Makanan) 1998 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2001. Begitu juga dengan Perintah Sijil Halal
dan Label Halal 2005 yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1 Ogos 2008. Akta dan perintah ini
secara tidak langsung merupakan satu usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kehalalan makanan
di negara ini (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Bahagian Kawalan Makanan Halal).

Bahagian Kawalan Makanan Halal

Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) merupakan sebuah organisasi berwibawa yang mengawal
pemakanan halal di Negara Brunei Darussalam pada masa ini. Bahagian ini ditempatkan di bawah
Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan terletak di Bandar Seri Begawan
(Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Bahagian Kawalan Makanan Halal).

Menurut Pusat Da’wah Islamiah (2006: 19-20), antara skop tugasan dan tanggungjawab
BKMH ini ialah:
1) Menguatkuasakan Akta Daging Halal 1998.
2) Menguatkuasakan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005.
3) Mengawal kemasukan daging-daging yang akan dipasarkan di negara ini dan memastikan
ianya bersumberkan dari pusat-pusat penyembelihan yang diiktiraf halal oleh MUIB.
4) Mengawasi dan memerhatikan perjalanan operasi pusat-pusat penyembelihan yang telah
diberi sijil penyembelihan halal oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah.
5) Membantu Kementerian Kesihatan dalam menguatkuasakan Akta Kesihatan Awam
(Makanan) 1998. Bahagian ini bertanggungjawab ke atas pengesahan kehalalan sesuatu
makanan dan penggunaan perkataan ‘halal’ atau ungkapan yang sama maknanya.
Dalam hal ini, BKMH bersama agensi-agensi yang berkaitan mempunyai tanggungjawab
yang berat dalam mengawal dan menangani segala pemakanan halal di negara ini. Usaha pihak
kerajaan ini memerlukan kerjasama semua pihak pemilik ataupun pengurus pusat-pusat
penyembelihan, restoran-restoran, hotel-hotel, gedung-gedung perniagaan mahupun kedai-kedai runcit
bagi memastikan semua makanan yang dihidangkan dan dijual adalah halal, tidak diragui
kehalalannya ataupun mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Pihak-pihak yang berkenaan perlulah
memahami dan mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta dan perintah yang telah
dikuatkuasakan dalam mendapatkan pengiktirafan pusat penyembelihan binatang untuk diimport ke
Negara Brunei Darussalam, Sijil Penyembelihan, Lesen Membekal Daging Halal, Sijil Halal, Permit
Halal dan Label Halal.

Jenama Brunei Halal

Jenama Brunei Halal merupakan satu projek utama kerajaan yang dilaksanakan oleh Kementerian
Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian
Hal Ehwal Ugama dan MUIB. Projek Jenama Brunei Halal ini akan memperkenalkan Negara Brunei
Darussalam ke pasaran antarabangsa, menarik pelaburan asing ke Negara Brunei Darussalam dan
memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan (Jabatan Pertanian 2009: 11-12).
Antara objektif projek ini ialah menunaikan kewajipan fardu Kifayah. Ia bermaksud
kewajipan untuk memudahkan umat Islam mendapatkan produk-produk halal. Di samping itu, ia juga
bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan sebagai platform bagi memajukan produk
tempatan. Dalam projek ini, Negara Brunei Darussalam bukan hanya mengiktiraf produk yang
dihasilkan di negara ini, malah juga akan mengiktiraf halal bagi produk-produk daripada luar negara
yang menepati kualiti yang telah ditetapkan dalam piawaian Jenama Brunei Halal. Melalui inisiatif
ini, Negara Brunei Darussalam akan meningkatkan pendapatan melalui bayaran pendaftaran dan
royalty (Jabatan Pertanian 2009: 12).
Pembangunan Jenama Brunei Halal yang diusahakan ini diharap berupaya mendukung
pencapaian sasaran jangkamasa sederhana pengeluaran produk proses tanaman dan ternakan, iaitu
B$340 juta pada tahun 2013. Status pencapaian projek ini pada setakat ini ialah pembentukan sebuah
label halal baru, mengeluarkan produk-produk Jenama Brunei Halal dan melantik pakar-pakar
perunding untuk melaksanakan program-program membina laman web serta penetapan bayaran
pendaftaran dan royalty. Al-Ghanim International Food Corporation Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai
agen pemasaran Jenama Brunei Halal sementara Fusan Enterprise Sdn. Bhd. dan National Trades
Union Congress (NTUC) Fairprice Co-Operative Ltd. telah dilantik sebagai agen pengeluar produk.
Selain itu, beberapa dokumen juga telah diterbitkan bagi mendukung pelaksanaan projek Jenama
Brunei Halal. Antaranya ialah Standard Makanan Halal Negara Brunei Darussalam, Garis Panduan
bagi Pensijilan Halal, Garis Panduan untuk Audit Pematuhan, Garis Panduan untuk Pensijilan
Juruaudit Pematuhan Halal, Garis Panduan untuk Audit pemantauan Halal dan Garis Panduan
Pengilangan dan Pengendalian Produk-Produk Ubat, Ubat Traditional dan Tambahan Kesihatan Halal

Brunei Darussalam (Brunei Halal 2010: Why Choose Brunei Halal Brand). Di samping itu, tiga projek
sokongan juga sedang dijalankan iaitu Pusat Sains Halal, Taman Agro teknologi Brunei dan
Pembesaran Pulau Muara Besar (Jabatan Pertanian t.th.).

Pengharaman Arak

Pengharaman terhadap arak atau minuman keras bagi Negara Brunei Darussalam juga berlaku secara
berperingkat-peringkat. Peringkat pertama, pengharaman daripada Syarikat Penerbangan Diraja
Brunei atau Royal Brunei Airlines (RBA) yang tidak lagi menghidangkan arak dalam sebarang
penerbangannya berkuatkuasa mulai 30 November 1988. Peringkat kedua, pengharaman daripada
kelab-kelab Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkuatkuasa mulai 31 Julai 1990. Peringkat
terakhir, pengharaman secara menyeluruh iaitu menegah kemasukan arak ke Negara Brunei
Darussalam yang berkuatkuasa mulai 1 Disember 1991. Semua permit untuk kemasukan segala jenis
arak yang dikeluarkan sebelum tarikh tersebut adalah dibatalkan dengan serta-merta. Sementara itu,
arak yang sudah dimasukkan atau dibuat dalam negara ini adalah dimansuhkan pada 1 Januari 1991
(Abdul Aziz Juned 1992: 168).
Langkah tegas ini juga diambil berikutan semakin ramainya umat Islam daripada pelbagai
peringkat termasuk kanak-kanak sekolah dan belia-belia terlibat meminum minuman keras. Pihak
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam hanya membenarkan kemasukan arak bagi kegunaan persendirian orang-orang
bukan Islam. Itupun hanya terhad dalam jumlah yang ditetapkan. Hukuman denda dan penjara boleh
dikenakan ke atas mana-mana orang Islam yang sabit bersalah meminum minuman keras di tempat
awam. Langkah tegas melarang kemasukan segala jenis minuman keras ke Negara Brunei Darussalam
ini mencerminkan kesungguhan kerajaan menyelaraskan nilai dan kehendak hukum Islam yang
berkonsepkan MIB. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga boleh memastikan segala macam pintu
maksiat ditutup seberapa yang boleh (Pusat Da’wah Islamiah 2011: 37-39).
Pada 22 Mac 2010, dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, berlaku percubaan untuk
membuka ruang kemasukan arak ke Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, Yang
Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin
Haji Serudin menolak dengan tegas cadangan supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk
pelancong bukan Islam di Negara Brunei Darussalam. Beliau berkata:
Selepas itu mungkin akan timbul yang kedua, mengadakan night-night club, mengadakan
cabaret. Selepas itu, timbul nanti ada zon pelacuran dan selepas itu kasino. Semua ini
membawa kerosakan kepada Negara Brunei Darussalam. Yang paling ditakuti ialah
kemurkaan Allah. Kerana maksiat yang berlaku itu mendatangkan kemurkaan Allah.
Kemurkaan Allah bukan sahaja pelakunya yang menerima, bahkan orang lain pun akan
terkena. Eloklah kita kekalkan Brunei Darussalam yang aman sejahtera.
Sepanjang pengharaman minuman keras masuk ke Negara Brunei Darussalam, banyak
percubaan untuk menyeludup masuk minuman tegahan ini tetapi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya menghalang sebarang
penyeludupan minuman keras. Kesedaran orang ramai memberikan maklumat berkaitan dengan
sebarang penyeludupan ini juga banyak membantu pencegahan ini (Ahmad Abdussalam Abdul
Rahman 2010:75).
Langkah Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam mengharamkan penjualan, pengedaran
dan sebagainya yang berkaitan dengan arak merupakan satu langkah yang bijak. Di samping
menjalankan hukum yang terdapat dalam al-Qur’ān, ianya juga sebagai langkah untuk menutup segala
ruang untuk terjadinya perkara maksiat yang lain. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah juga pernah membicarakan berkaitan
dengan pengharaman arak ini dalam titah baginda sempena Sambutan Nuzul al-Quran 1416H/1996
pada 7 Februari 1996. Titah itu berbunyi:

Kalau dahulu arak pernah beredar di negara kita, di daratan mahupun di udara, sekarang
Alhamdulillah, arak sudah menjadi barang terlarang dan haram di negara yang kecil mongel
ini. Namun dalam pada itu pun, Penerbangan RBA masih sahaja tetap laku, dan semua
kalangan dan peringkat.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian yang menggunakan kaedah tinjauan atau survey research telah dijalankan dari Januari 2011
hingga Disember 2011 dan menumpukan kepada keprihatinan masyarakat Islam di Negara Brunei
Darussalam terhadap makanan halal. Soal selidik telah diedarkan sebagai instrumen kajian. Ia
melibatkan wakil setiap rumah dari bangsa Melayu yang beragama Islam di daerah Brunei dan Muara
sahaja sebagai populasi dan sampel kajian. Ini kerana majoriti penduduk Negara Brunei Darussalam
adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Manakala daerah Brunei dan Muara pula merupakan
pusat pentadbiran kerajaan, pusat industri ekonomi negara dan sudah semestinya menjadi pusat
tumpuan segenap lapisan masyarakat. Sampel kajian ditentukan mengikut kaedah persampelan mudah
atau convenience sampling. Seramai 380 orang responden telah dipilih sebagai sampel kajian dengan
menggunakan jadual penentuan saiz sampel Krejce & Morgan.
Soal selidik bagi kajian ini dibina berdasarkan soal selidik yang digunakan oleh pengkaji
terdahulu (Zamzarina et al. 2005: 186-196). Walau bagaimanapun, untuk menyesuaikan dengan kajian
ini, pengkaji telah melakukan sedikit pengubahsuaian serta penyelarasan bahasa sesuai dengan
objektif dan tempat kajian.
Soal selidik meliputi 52 item dan dibahagikan kepada lima bahagian terdiri daripada
bahagian A hingga bahagian E. Item-item Bahagian A bertujuan untuk mengumpul maklumat
berkaitan dengan latar belakang responden yang merangkumi jantina, umur, status perkahwinan, taraf
pendidikan, pekerjaan dan purata pendapatan sebulan. Manakala bahagian B hingga bahagian E
merangkumi item-item yang berkaitan dengan keprihatinan masyarakat Islam terhadap prinsip
makanan halal, keprihatinan masyarakat Islam terhadap kesan makanan halal kepada diri dan
keluarga, keprihatinan masyarakat Islam terhadap pentadbiran makanan halal di Negara Brunei
Darussalam dan keprihatinan masyarakat Islam dalam memilih makanan halal. Respons bahagian B
hingga bahagian E tersebut menggunakan persetujuan dalam bentuk skala Likert 1 hingga 5 iaitu
bermula dari sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju hinggalah kepada sangat setuju.
Data yang telah dikumpulkan melalui soal selidik tersebut dianalisis dengan menggunakan
perisian Statistic Package for Social Science Windows. Kaedah analisis deskriptif digunakan seperti
kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Item-item Bahagian A akan menggunakan analisis
kekerapan dan peratusan. Sementara analisis min dan sisihan piawai pula digunakan untuk
menganalisis item-item bahagian B hingga bahagian E. Melalui analisis min, pengkaji
mengkategorikan dan menginterpretasikan nilai min kepada lima tahap iaitu sangat rendah, rendah,
sederhana, tinggi dan sangat tinggi.

DAPATAN KAJIAN

Hasil kajian mendapati responden sangat bersetuju dengan penyataan yang diajukan oleh pengkaji dari
aspek prinsip makanan halal. Hal ini menunjukkan bahawa responden mempunyai kefahaman yang
baik berkaitan dengan prinsip makanan halal. Responden mengetahui bahawa prinsip makanan halal
tidak hanya terhad kepada isi kandungannya sahaja. Makanan halal bukan hanya berfokus kepada
sudut isi kandungannya sahaja, bahkan ia merangkumi skop yang lebih luas. Seperti yang telah
dijelaskan oleh al-Zuḥaylī (1989: 505-507), halal haramnya sesuatu makanan itu boleh dilihat kepada

beberapa faktor seperti kebiasaan dan cara hidup masyarakat arab, tahap keselamatan makanan
tersebut mahupun status hak milik ke atas makanan tersebut.
Di samping itu, responden juga sangat bersetuju dengan penyataan berkaitan dengan
makanan haram dan syubhah. Ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman mengenai perkara tesebut
adalah pada tahap yang sangat tinggi. Ia merupakan satu perkembangan yang sangat baik kerana
responden bersikap sangat optimistik dan positif terhadap setiap penyataan tesebut. Unsur syubhah ini
perlulah diketahui dan diberi perhatian. Seperti yang telah dinyatakan oleh al-Qarḍāwī (2009: 20-21),
kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini, agar tidak terjerumus kemudiannya
kepada perkara-perkara yang ternyata haramnya. Sesiapa yang berusaha menjauhkan diri daripada
syubhah, dia telah menyelamatkan agamanya, kritikan dan dirinya daripada azab api neraka.
Sementara dari aspek kesan makanan halal kepada diri dan keluarga pula, hasil kajian
mendapati responden sangat bersetuju dengan penyataan yang diajukan oleh pengkaji. Hal ini
menunjukkan bahawa responden sangat mengambil berat berkaitan dengan kesan makanan halal
kepada diri dan keluarga masing-masing. Responden sangat bersetuju dengan kepentingan tuntutan
pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga dengan pemakanan haram dan syubhah. Responden sangat
bersetuju bahawa amalan pemakanan yang haram dan syubhah memberi impak yang negatif kepada
individu, keluarga serta masyarakat. Seperti yang telah dijelaskan oleh Mohd. Zain Serudin (2002: 6),
makanan yang haram sama ada ia daripada bahan yang dicampur najis ataupun benda bersumberkan
punca yang tidak halal, akan mendatangkan kesan kepada pemakannya. Makanan itu akan
mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta
benci kepada kerja kebajikan dan ketaatan. Sebarang doanya juga tidak akan dimakbulkan oleh Allah
Subḥānahu Watacālā.
Hasil kajian juga menunjukkan responden sangat bersetuju bahawa seseorang individu itu
bertanggungjawab menyediakan makanan halal kepada dirinya mahupun keluarganya sendiri. Selain
itu, sebagaimana maklum balas sebelumnya, responden memberikan pandangan yang sangat positif
terhadap isu-isu lain yang berkaitan dengan kesan pemakanan halal dan haram ke atas diri dan
keluarga. Isu-isu itu merangkumi kesan pemakanan itu terhadap kesihatan fizikal serta mental,
pembentukan akhlak dan perkembangan rohani. Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat Islam harus
sensitif dan peka terhadap kesan setiap makanan yang dinikmati oleh mereka ataupun keluarga
mereka. Makanan yang halal akan mendatangkan berkat sebaliknya makanan yang tidak halal akan
membawa kemudaratan. Ini selari dengan hasil kajian Ruaain Mustari (1994: 1-214) yang menyatakan
bahawa pola pemakanan yang halal, sihat dan bersih haruslah diamalkan untuk mencapai
pembentukan individu muslim yang sihat dan berperibadi mulia.
Bagi aspek pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam pula, hasil kajian
mendapati responden bersetuju dengan penyataan yang diajukan oleh pengkaji. Hal ini menunjukkan
bahawa responden mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan dengan perkembangan kawalan
makanan halal di negara ini. Aspek pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam yang
dikemukakan oleh pengkaji meliputi beberapa perkara iaitu prosedur Pensijilan Halal dan Label Halal,
Jenama Brunei Halal, pusat-pusat penyembelihan dalam negara dan luar negara, syarikat-syarikat
produk makanan serta restoran-restoran.
Tidak syak lagi, responden prihatin dengan langkah-langkah kawalan makanan halal yang
telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Hal ini sekaligus memberi gambaran bahawa
langkah-langkah pihah kerajaan ini dapat diterima oleh masyarakat. Ia selaras dengan hasil kajian
Abdul Tamin Sani (2000: 1-97) yang mendapati kebanyakan orang ramai amat berpuas hati dengan
perlaksanaan undang-undang dan tindakan pihak kerajaan yang mengambil berat berkaitan dengan
penjualan daging dan kemasukan daging ke Negara Brunei Darussalam
Seperti yang telah dijelaskan oleh Aini Yusrina Nayan (2006: 1-150), pihak kerajaan telah
berusaha keras dalam mengawal pemakanan halal di Negara Brunei Darussalam. Sejarah pentadbiran
makanan halal yang sistematik bermula sejak tahun 1997 apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah bertitah mengenai
usaha untuk menubuhkan sebuah badan yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran makanan halal di
Negara Brunei Darussalam. Pengkaji amat berkeyakinan bahawa sokongan penuh daripada bagindalah
yang memberi sumbangan kepada pentadbiran makanan halal. Ketegasan, keprihatinan dan sifat
kepimpinan yang dimiliki oleh baginda terhadap agama Islam amnya dan pentadbiran makanan halal

khasnya tidak dapat disangkal lagi. Industri makanan halal semakin berkembang maju dengan
penggubalan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam (Makanan) 1998 serta Perintah Sijil
Halal dan Label Halal 2005. Begitu juga dengan pembangunan Jenama Brunei Halal. Semua kejayaan
ini adalah berkat daripada rahmat Allah Subḥānahu Watacālā dan juga kewibawaan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dalam
pentadbiran Negara Brunei Darussalam.
Negara Brunei Darussalam akan dapat terus menjadi sebuah negara ‘makanan halal’ jika
pemimpin yang mentadbir terus konsisten ketika menekankan penghayatan dan kepentingan makanan
halal kepada rakyatnya. Pengkaji berharap agar sistem monarki yang diamalkan berabad lamanya di
Negara Brunei Darussalam adalah merupakan wasilah yang terbaik untuk mencapai matlamat, iaitu
sebuah negara Islam yang berlandaskan al-Qur’ān dan sunnah Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi
Wasallam.
Hasil kajian dari aspek pemilihan makanan halal juga mendapati responden bersetuju dengan
penyataan yang diajukan oleh pengkaji. Hal ini menunjukkan bahawa responden berhati-hati dalam
memilih dan membeli makanan halal di persekitaran mereka. Sensitiviti responden dalam pemilihan
makanan halal berada pada tahap yang tinggi. Pengkaji berkeyakinan bahawa keprihatinan responden
dalam memilih makanan halal ini mempunyai hubungan secara langsung dan signifikan dengan tahap
kefahaman dan pengetahuan mereka terhadap makanan halal itu sendiri. Ini sekaligus menunjukkan
responden mempunyai kefahaman yang baik dan memuaskan. Ia selari dengan hasil kajian Ferdaus et
al. (2002: 1-34) yang menyatakan bahawa keprihatinan pengguna dalam pemilihan makanan adalah
bergantung kepada pendidikan dan pengetahuan.
Oleh itu, secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan keprihatinan masyarakat Islam
terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi. Hasil kajian ini
nampaknya selari dengan hasil kajian Zamzarina et al (2005: 1-202). Hasil kajian yang dijalankan di
Skudai Johor itu juga menunjukkan keprihatianan responden berada pada tahap yang tinggi.
Walaupun keadaan dilihat baik dan memuaskan, namun ia bukanlah satu jaminan untuk kita berpuas
hati berkaitan dengan isu makanan halal. Kita perlulah terus prihatin dan peka terhadap pemilihan
makanan halal. Ia bukan sahaja melibatkan status ‘halal’ nya sahaja, bahkan kesannya kepada diri dan
keluarga perlulah dititikberatkan.
Pengkaji berkeyakinan bahawa apabila segala usaha dan pendekatan dipertingkatkan, sudah
tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal dan seterusnya akan
menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat. Ini selaras dengan
hasil kajian Moon dan Balasubraniam (2001) yang menyatakan bahawa keprihatinan pengguna
terhadap makanan mempunyai kaitan dengan persepsi mereka terhadap risiko dan kesan makanan,
pandangan terhadap aspek moral dan etika, pandangan terhadap orang yang dipilih untuk mentadbir,
kepercayaan terhadap pemerintah serta pengetahuan pengguna terhadap makanan itu sendiri. Selain
itu, ia juga selaras dengan kajian Nor Liana Mohd. Noor (2008 : 1-188) yang mendapati keprihatinan
dan keyakinan masyarakat Islam terhadap sesuatu produk makanan halal itu berkait rapat dengan
galakan daripada pihak kerajaan.
Gaya pemakanan yang halal, sempurna, bersih dan berkualiti perlu diamalkan kepada dalam
diri dan keluarga lebih-lebih anak-anak yang masih kecil agar menjadi tabiat yang positif apabila
mereka dewasa kelak. Pengambilan dan cara makan yang teratur serta berdisiplin boleh memaparkan
sikap dan peribadi sebagai seseorang yang berbudi luhur. Lantaran itu, wajarlah diamalkan pola
pemakanan yang dianjurkan oleh agama Islam yang telah sedia mengambil kira kesihatan dari segi
fizikal, rohani dan juga kesejahteraan mental.
Di samping itu, janganlah kita lupa bahawa duit halal ataupun haram turut memberi kesan
kepada status sesuatu makanan. Oleh itu, sumber pendapatan mestilah disalurkan sebagai sedekah
ataupun membayar zakat kerana ia dapat membersihkan harta. Daripada harta itulah, kita
mendapatkan makanan yang akhirnya membentuk darah daging. Keprihatinan terhadap sumber
pendapatan ini merupakan sesuatu yang amat penting. Kurangnya kepekaan kita dalam isu ini boleh
menyebabkan kita mahupun keluarga kita terjerumus dalam perkara yang haram dan syubhah.

KESIMPULAN

Terdapat beberapa perkara penting yang boleh dirumuskan berkaitan dengan kajian ini. Antaranya
ialah hasil kajian mendapati agama Islam mengarahkan supaya manusia memakan makanan yang
halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu Watacālā di darat mahupun di laut.
Sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat nas-nas sama ada dari alQur’ān, ḥadīth Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam, ijmak ataupun qiyas yang membuktikan
pengharamannya. Tidak syak lagi, makanan halal mempunyai kelebihan dan keberkatannya yang
tersendiri. Begitu juga sebaliknya. Islam telah memberikan prinsip panduan yang jelas berhubung
dengan makanan yang haram dimakan. Antara faktor yang boleh menyebabkan berlakunya hukum
pengharaman tersebut ialah kebiasaan dan cara hidup masyarakat Arab, terdapat kemudaratan padanya
mahupun makanan yang bukan hak miliknya.
Pengkaji juga mendapati pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berusaha sebaik mungkin
dalam menjaga kehalalan makanan di negara ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah memberi sokongan penuh kepada
pentadbiran makanan halal. Hal ini dibuktikan melalui rangkaian titah baginda yang sentiasa ingin
meningkatkan pembangunan industri makanan halal. Industri makanan halal semakin berkembang
maju dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam (Makanan) 1998 serta
Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan perlaksanaan projek Jenama Brunei Halal.
Kajian ini juga menunjukkan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam sangat prihatin
terhadap makanan halal dari aspek prinsip makanan halal dan kesan makanan halal kepada diri dan
keluarga. Selain itu, keprihatinan mereka terhadap pentadbiran makanan halal dan juga keprihatinan
mereka dalam memilih makanan halal adalah pada tahap yang tinggi. Walaupun dapatan kajian secara
keseluruhan menunjukkan bahawa keprihatinan masyarakat Islam terhadap makanan halal di Negara
Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi, namun masih ada beberapa sudut yang perlu
diperbaiki dan diberi penekanan. Pengkaji berkeyakinan bahawa apabila segala usaha dan pendekatan
dipertingkatkan, sudah tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal
dan seterusnya akan menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat.
Ini bermakna pendekatan dan hala tuju berkaitan dengan makanan halal haruslah sentiasa dirancang
dengan sistematik mengikut kesesuaian peredaran zaman dan masyarakat. Dapatan kajian ini
sekaligus memberi implikasi terhadap pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam.
BKMH sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam mengawal pemakanan halal
di Negara Brunei Darussalam hendaklah terus bertindak efisyen dalam menyampaikan kefahaman
berkaitan dengan konsep makanan halal kepada masyarakat. Bahagian ini juga perlu terus
membuktikan kewibawaan mereka dalam mengawal kemasukan daging-daging yang akan dipasarkan
di negara. Begitu juga dengan pengawasan ke atas perjalanan operasi premis-premis perniagaan,
restoran-restoran dan pusat-pusat penyembelihan dalam dan luar negara. Di samping itu, pengkaji
turut mencadangkan beberapa perkara untuk dilaksanakan. Antara perkara itu ialah:
1) Bengkel, ceramah dan khutbah
2) Jerayawara
3) Penelitian semula ke atas prosedur pensijilan halal dan label halal
4) Penyelidikan ilmiah
5) Pendedahan di sekolah-sekolah
6) Inisiatif masyarakat
Kajian ini telah memberi gambaran yang jelas bahawa masyarakat Islam di Negara Brunei
Darussalam prihatin dan peka terhadap pengambilan makanan halal dalam kehidupan sehari-hari.
Namun ia bukanlah tiket untuk kita bermegah-megah. Biarlah keprihatinan terhadap makanan halal itu
terus bersemadi di jiwa masyarakat.

Dapatan daripada kajian yang dijalankan diharap akan dapat digunakan dalam membantu
pihak-pihak yang berkuasa seperti MUIB, BKMH, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian
Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Kementerian Kesihatan dalam memantau keprihatinan
masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam terhadap makanan halal.
Pihak-pihak pengusaha makanan di Negara Brunei Darussalam seperti RBC Sdn. Bhd. dan
BMC Food Industries Sdn. Bhd. pula akan dapat menjadikan kajian ini sebagai penanda aras untuk
sama-sama menyumbang di dalam industri halal global yang semakin membesar.
Sementara itu masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam pula diharapkan akan
mendapat pengetahuan dan kefahaman berkaitan dengan makanan halal ini. Sentiasa berhati-hati dan
sentiasa peka terhadap kehalalan setiap makanan y