Masalah bacaan dalam solat rumi

MASALAH PENGUASAAN BACAAN ASAS SOLAT DALAM KALANGAN
PELAJAR BERMASALAH PENDENGARAN DI POLITEKNIK TUANKU SYED
SIRAJUDDIN
Ainul Farhaan Harun
Abstrak
Kajian ini dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan bacaan asas solat bagi kursus Pendidikan
Islam 1 AK 101 dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Jabatan Pelancongan
dan Hospitaliti, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Objektif kajian adalah untuk membantu pelajar
menguasai bacaan asas solat, meningkatkan keupayaan pelajar menghafal bacaan tersebut dan
meningkatkan kefahaman pelajar mengenai ayat hafalan bagi memudahkan proses mengingat
bacaan solat. Seramai 10 orang responden daripada kelas Kemahiran Khas Hotel Katering semester
1 bagi sesi Jun 2011 terlibat dalam kajian ini. Dua kaedah telah digunakan untuk mengumpul data
awal iaitu kaedah kualitatif dan kuantitatif melalui pelaksanaan ujian dan juga soalselidik. Bentuk
pelaksanaan ujian adalah melalui ujian pra bacaan asas solat yang dijalankan secara individu
semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hasil dapatan menunjukkan tahap
penguasaan pelajar di dalam bacaan asas solat adalah pada tahap yang lemah di mana hanya 20%
responden yang tahu membaca Al-Fatihah manakala 80% responden masih lemah dalam
penguasaan bacaan tersebut. Beberapa cadangan tindakan telah dikenalpasti untuk meningkatkan
tahap penguasaan bacaan asas solat pelajar. Perancangan tindakan adalah berfokuskan kepada
aktiviti dalam kelas, bimbingan rakan sebaya serta face-to-face di antara pelajar dan pensyarah.
Kata kunci: Penguasaan, bacaan solat, pelajar bermasalah pendengaran.


REFLEKSI KAJIAN
Kursus Pendidikan Islam Khas (AK 101) merupakan kursus wajib bagi pelajar bermasalah
pendengaran semester 1 di politeknik. Kursus ini mengandungi empat topik utama iaitu,
kewajipan menuntut ilmu, akidah, ibadah umum dan ibadah khusus serta akhlak Islam. Di
dalam topik ibadah, pelajar-pelajar bermasalah pendengaran didedahkan dengan topik asas
kewajipan seorang muslim iaitu pelaksanaan solat yang betul. Topik solat juga dinilai
berdasarkan amali yang dijalankan secara individu sepanjang semester. Kriteria yang dinilai
di dalam amali solat termasuklah bacaan asas solat seperti al-Fatihah, bacaan rukuk, iktidal,
sujud, bacaan duduk di antara dua sujud dan bacaan tahiyat akhir. Kajian ini akan
difokuskan kepada bacaan asas tersebut.
Hasil daripada rekod penilaian bacaan solat tersebut didapati kesemua 10 orang pelajar Sijil
Kemahiran Hotel Katering menghadapi masalah untuk menguasai bacaan asas dalam solat.
Masalah yang telah dikenalpasti adalah berkaitan dengan keupayaan para pelajar untuk
menghafal bacaan asas solat yang diterjemahkan kepada bahasa isyarat. Ini adalah kerana,
keupayaan mental golongan bermasalah pendengaran berbeza dengan golongan biasa
disebabkan kekurangan rangsangan deria pendengaran dan pertuturan yang mereka alami.
Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh Woolfolk (1998), yang menegaskan bahawa
pemprosesan maklumat merupakan aktiviti mental manusia yang berkaitan dengan proses
menerima maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya semula untuk digunakan. Aktiviti ini

melibatkan ingatan sensori yang melibatkan deria penglihatan, deria pendengaran, deria
rasa, deria bau dan sentuhan.
Oleh itu, sedikit kekurangan kepada golongan bermasalah pendengaran memberi impak
besar terhadap tahap kognitif mereka untuk menerima sesuatu maklumat . Selain itu,

mereka juga tidak mempraktikkan bacaan solat yang dipelajari semasa peringkat sekolah
dalam amalan solat harian. Pengkaji juga mendapati para pelajar bermasalah pendengaran
ini hanya melakukan rukun fi’li (perbuatan) solat semata-mata tanpa melibatkan rukun qauli
(perkataan). Sedangkan setiap binaan memerlukan tiang sebagai penyokong begitu juga
dengan manusia. Setiap manusia memerlukan solat untuk bertindak sebagai tiang dalam
menyokong akhlak dan peribadi yang baik. Selain itu, solat merupakan kombinasi di antara
unsur fizikal dan rohani iaitu rukun fi’li (perbuatan) dan juga rukun qauli (perkataan). Bacaan
di dalam solat memainkan peranan di dalam menyuburkan rasa kehambaan di samping
mengukuhkan lagi ikrar keimanan kepada Allah.
Hasil penilaian yang dijalankan oleh pengkaji juga didapati hanya 20% pelajar bermasalah
pendengaran yang tahu membaca al-Fatihah. Manakala kesemua 10 orang pelajar tidak
menguasai semua bacaan asas solat yang lain termasuklah al-Fatihah dan bacaan asas lain
seperti rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

FOKUS KAJIAN

Berdasarkan penilaian yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa pelajar menghadapi
masalah untuk menguasai bacaan asas dalam solat. Masalah yang dikenalpasti adalah
berkaitan tiada pendedahan mengenai bacaan asas tersebut serta kelemahan pelajar dalam
menghafal dan mengingati ayat bacaan dalam solat.

OBJEKTIF KAJIAN
Objektif am
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap penguasaan bacaan asas dalam solat
para pelajar bermasalah pendengaran.
Objektif khusus
1. Membantu pelajar menguasai bacaan asas solat.
2. Meningkatkan keupayaan pelajar menghafal bacaan asas solat.
3. Meningkatkan kefahaman pelajar mengenai ayat hafalan bagi memudahkan
proses hafalan bacaan asas solat

KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan pelajar semester 1 Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS.
Responden kajian terdiri daripada 10 orang pelajar kelas Sijil Kemahiran Hotel Katering
semasa pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran kursus Pendidikan Islam 1
(Khas) dan penilaian amali solat.


PELAKSANAAN KAJIAN
Proses pengumpulan data dilakukan melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif iaitu
pelaksanaan ujian dan juga soalselidik.

Ujian pra
Bentuk pelaksanaan penilaian adalah melalui ujian lisan yang dijalankan di dalam
bahasa isyarat secara individu di dalam kelas. Bacaan asas solat dilaksanakan
menggunapakai bahasa isyarat, hasil terjemahan daripada Bahasa Melayu. Ujian ini
melibatkan keseluruhan 10 orang pelajar dan dijalankan secara berperingkat di setiap
akhir sesi pembelajaran. Seramai dua orang pelajar dipilih bagi setiap sesi ujian dan
diperuntukkan masa selama 10 minit bagi setiap seorang. Kriteria yang dinilai di dalam
ujian yang dijalankan adalah pengetahuan mengenai bacaan asas dalam solat dan
kelancaran bacaan para pelajar. Semua hasil ujian direkodkan di dalam borang penilaian
ujian lisan.
Soalselidik
Soalselidik dilaksanakan selama 15 minit bagi setiap pelajar setelah selesai ujian
bacaan solat dijalankan. Soalselidik yang dijalankan terdiri daripada 9 soalan dan
dikemukakan kepada setiap pelajar. Soalan yang dikemukakan merangkumi aspek
pengetahuan sedia ada pelajar mengenai bacaan solat, masalah yang dihadapi dalam

proses menghafal bacaan asas solat dan amalan bacaan asas dalam solat semasa
melaksanakan solat. Soalan bagi soalselidik diterjemahkan ke dalam bentuk bahasa
isyarat dan direkodkan oleh pengkaji untuk tujuan pengumpulan maklumat.

ANALISIS TINJAUAN MASALAH
Ujian: Penguasaan bacaan asas dalam solat
Analisis data berdasarkan ujian yang telah dijalankan, mendapati bahawa penguasaan
bacaan asas solat pelajar semester 1 bermasalah pendengaran Sijil Kemahiran Hotel
Katering adalah seperti berikut:

Rajah 1: Penguasaan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar
bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel
Katering, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

PETUNJUK
Bil Item

Item

Lemah


Sederhana

Baik

A1

Bacaan al- Fatihah.

80%

10%

10%

A2

Bacaan rukuk.

100%


0%

0%

A3

Bacaan iktidal.

100%

0%

0%

A4

Bacaan sujud.

100%


0%

0%

A5

Bacaan duduk antara dua sujud.

100%

0%

0%

A6

Bacaan tahiyat akhir.

100%


0%

0%

Berdasarkan Rajah 1, didapati sebanyak 80% responden lemah di dalam bacaan al-Fatihah
untuk item 1 yang melibatkan penguasaan para pelajar membaca al-Fatihah. Responden
yang lemah ini adalah mereka yang tidak dapat menguasai al-Fatihah dan tidak membaca
surah tersebut semasa melaksanakan kewajipan solat. Manakala, sebanyak 10% responden
berada pada tahap sederhana dan 10% pula dapat menguasai bacaan surah tersebut
dengan baik. Bagi item 2 pula, sebanyak 100% responden tidak dapat menguasai bacaan
rukuk ketika melaksanakan solat. Ini menunjukkan bahawa kesemua 10 orang responden
bermasalah pendengaran tersebut tidak dapat menguasai bacaan rukuk. Seterusnya item 3
yang berkaitan dengan bacaan iktidal pula menunjukkan dapatan yang sama dengan item 2
di mana tiada seorang daripada pelajar yang tahu membaca bacaan ketika iktidal. Ini
menunjukkan bahawa 100% responden tidak menguasai bacaan ketika iktidal. Item 4 pula
adalah berkaitan dengan bacaan sujud.
Dapatan menunjukkan 100% responden lemah dalam penguasaan bacaan ketika sujud.
Begitu juga dengan item 5, sebanyak 100% responden tidak pernah membaca bacaan
duduk antara dua sujud ketika melaksanakan solat kerana tidak tahu mengenainya. Akhir

sekali bagi item 6 iaitu berkaitan bacaan tahiyat akhir, kesemua 10 responden lemah dalam
menguasai bacaan tersebut dan sekaligus menunjukkan 100% responden lemah dalam
penguasaan bacaan ini dan tidak pernah mengamalkannya ketika menunaikan solat.
Sebagai rumusan, penguasaan bacaan asas dalam solat responden adalah pada tahap
yang lemah. Hanya dua responden yang tahu mengenai bacaan al-Fatihah dan ini
menunjukkan hanya 20% responden sahaja yang boleh membaca al-Fatihah dalam solat
yang dilaksanakan. Di samping itu, dapatan ini jelas menunjukkan bahawa responden
melaksanakan solat secara fi’li (perbuatan) semata-mata tanpa rukun qauli (perkataan).
Sedangkan ibadah solat terdiri daripada bacaan yang merupakan doa untuk mengukuhkan
keimanan seorang hamba kepada PenciptaNya.

Soalselidik: Pendedahan berkaitan bacaan asas dalam solat.

Rajah 2: Pendedahan berkaitan bacaan asas solat dalam kalangan
pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran
Hotel Katering, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Bil Item
B1
B2

B3
B4

PETUNJUK
Item
Pernah mempelajari bacaan asas dalam solat.
Mempelajari bacaan asas dalam solat melalui ahli
keluarga.
Pernah mempelajari bacaan asas dalam solat
semasa di peringkat sekolah .
Pernah menghadiri kelas fardhu ain mengenai
bacaan asas dalam solat.

Ya
30%

Tidak
70%

30%

70%

100%

0%

0%

100%

Berdasarkan rajah 2, item 1 menunjukkan sebanyak 30% responden menyatakan mereka
pernah mendapat pendedahan asas mengenai bacaan asas solat. Manakala 70% pula
menyatakan sebaliknya. Item 2 pula menunjukkan sebanyak 70% responden menyatakan
bahawa mereka tidak pernah mendapat pendedahan bacaan asas dalam solat daripada ahli
keluarga. 30% responden pula menyatakan bahawa mereka mendapat pendedahan
mengenai bacaan dalam solat melalui ahli keluarga terdekat. Bagi item 3 pula, kesemua
responden bersetuju bahawa mereka pernah mendapat pendedahan mengenai bacaan
asas dalam solat semasa di peringkat sekolah. Seterusnya item 4 pula menunjukkan tiada
seorang pun daripada responden yang pernah menghadiri kelas fardhu ain yang
menyediakan pembelajaran berkaitan bacaan dalam solat untuk pelajar bermasalah
pendengaran. Kesimpulannya, semua responden yang terlibat pernah mendapat
pendedahan awal mengenai bacaan asas dalam solat samada secara formal atau tidak
formal.

Faktor yang menyebabkan masalah penguasaan bacaan asas dalam solat.

Rajah 3: Faktor masalah penguasaan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar
bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel Katering,
Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.
PETUNJUK
Item

Bil Item

Setuju

C1

Sukar menghafal.

80%

Tidak
Setuju
20%

C2

Tidak memahami maksud ayat bacaan asas solat.

70%

30%

C3

Mudah lupa hafalan bacaan asas solat.

100%

0%

C4

Tidak berminat untuk menghafal bacaan asas solat.

0%

100%

C5

Tidak mendapat pengajaran yang berterusan
mengenai bacaan dalam solat.

100%

0%

Berdasarkan rajah 3, faktor yang menyumbang kepada masalah penguasaan bacaan asas
solat menunjukkan 80% responden bersetuju mereka mengalami masalah dalam menghafal
bacaan asas solat manakala 20% pula tidak bersetuju. Bagi item 2, berkaitan faktor tidak
memahami maksud ayat bacaan asas solat pula, 70% responden bersetuju dan 30% pula
berpendapat sebaliknya. Seterusnya bagi item 3, 100% responden bersetuju bahawa
mereka mudah lupa bacaan asas solat yang dihafal. Manakala bagi item 4 yang berkaitan
tiada minat untuk menghafal bacaan asas solat, 100% responden tidak bersetuju dengan
pernyataan tersebut. Bagi item 5, 100% responden bersetuju bahawa tiada pengajaran
berterusan merupakan faktor yang menyumbang kepada permasalahan penguasaan
bacaan solat yang mereka alami. Sebagai rumusan, faktor utama yang dihadapi oleh
responden adalah berkaitan masalah menghafal dan kebolehan mengingat maklumat yang
telah dihafal.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN UNTUK MENGATASI MASALAH
Berdasarkan analisa yang telah dijalankan, tahap penguasaan bacaan asas solat responden
adalah pada tahap yang lemah. Ini adalah kerana, hanya dua daripada sepuluh responden
yang dapat menguasai bacaan al-Fatihah. Di antara faktor yang menyumbang kepada
berlakunya permasalahan ini adalah kurangnya pendedahan khusus berkaitan bacaan asas
solat dan kemampuan para responden dalam mengingati ilmu yang telah dipelajari. Pengkaji
mendapati bahawa kekurangan deria pertuturan dan pendengaran turut menyumbang
kepada masalah menghafal dalam kalangan responden.
Aspek pendedahan asas juga turut dianalisa oleh pengkaji. Ini adalah kerana pengetahuan
asas berkaitan bacaan asas dalam solat memainkan peranan penting di dalam menentukan
penguasaan pelajar. Mereka tidak mendapat pendedahan asas yang mencukupi mengenai
asas bacaan solat. Hal ini disebabkan perbezaan bahasa di antara pelajar bermasalah
pendengaran dengan ahli keluarga yang normal. Pelajar bermasalah pendengaran
bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat berbanding dengan golongan normal yang
menggunakan bahasa pertuturan biasa. Jurang bahasa juga menyumbang kepada masalah
penguasaan bacaan asas solat yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut.
Di samping itu, hasil analisa juga menunjukkan keseluruhan responden hanya
melaksanakan ibadah solat tanpa bacaan asas solat. Ini menunjukkan bahawa mereka
melaksanakan solat secara gerakan fizikal dan tidak melibatkan bacaan asas solat
disebabkan tiada pendedahan khusus untuk golongan bermasalah pendengaran sejak di
peringkat asas persekolahan. Pengkaji berpendapat responden sepatutnya mampu
menguasai bacaan asas dalam solat dengan baik, kerana mereka telah didedahkan dengan
kurikulum Pendidikan Islam seperti mana pelajar biasa. Menurut Chua dan Koh (1992),
murid-murid bermasalah pendengaran di Malaysia belajar mengikut kurikulum biasa yang
diubahsuai mengikut keperluan dan pencapaian mereka. Bagi murid-murid biasa
persekolahan wajib adalah enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah
menengah. Walau bagaimanapun khusus untuk murid-murid bermasalah pendengaran,
mereka diberi masa tambahan selama dua tahun.
Hasil daripada analisa di atas, pengkaji akan menjalankan tindakan untuk mengatasi
masalah tersebut. Tindakan yang dicadangkan adalah seperti berikut:
1) Melaksanakan program “Saya lihat..Saya ingat” yang melibatkan penggunaan video
solat dalam bahasa isyarat.
2) Menjalankan aktiviti ‘Bimbingan rakan sebaya’ (My learning partner) untuk
meningkatkan tahap ingatan dan hafalan bacaan asas solat.
3) Menjalankan program perjumpaan berkala di antara pensyarah dan pelajar
(`Program dari mata turun ke minda’).
Tindakan yang dicadangkan ini adalah merangkumi keseluruhan aspek bacaan asas dalam
solat. Tindakan yang akan dilaksanakan bukan sahaja melibatkan pengajaran berpusatkan
pensyarah malah turut berfokus kepada pembelajaran aktif para pelajar dalam menguasai
ilmu yang mereka pelajari. Pengkaji berpendapat bahawa penglibatan pelajar secara
langsung akan merangsang penyimpanan maklumat ke dalam ingatan jangka panjang. Ini
bersesuaian dengan pendapat Rohizani, Shahabudin & Mohd Zohir (2005), yang
menegaskan bahawa pengajaran kemahiran perlu menekankan kepada arahan,
demonstrasi dan pembaikan kesilapan pelajar. Selain itu, menurut Abdul Raof (1998),
gabungan pelbagai aktiviti pengajaran yang melibatkan strategi, pendekatan, kaedah dan
teknik akan membawa kepada pengajaran yang berkesan.

Selain itu tindakan pelaksanaan yang akan dijalankan juga diimplementasikan secara
berulang untuk memastikan para pelajar bermasalah pendengaran dapat menguasai
bacaan solat dengan baik. Safani Bari, Manisah Ali, Norani Mohd dan Aliza Alias (2002)
menyatakan bahawa kanak-kanak bermasalah pendengaran amat sinonim dengan
masalah-masalah komunikasi, sosial serta akademik. Maka pengulangan terhadap topik
yang dipelajari perlu dilakukan bagi memastikan mereka benar-benar mengingati apa yang
telah dipelajari.
PELAKSANAAN TINDAKAN DAN PEMERHATIAN
Pelaksanaan tindakan ini telah dijalankan dalam tempoh enam minggu. Manakala
pemerhatian terhadap hasil tindakan dilakukan selama seminggu terhadap pelajar
berkenaan.
Tindakan ( 1 ) dilaksanakan oleh pensyarah semasa proses pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas selama dua minggu berturut-turut. Pensyarah mengambil masa 1 jam untuk
menunjukkan video bacaan solat dan mengulanginya beberapa kali untuk mengukuhkan
ingatan pelajar.
Tindakan ( 2 ) pula dilaksanakan secara berterusan selama lima minggu. Pelajar
dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada tiga atau dua orang ahli. Pelajar
yang dapat menguasai bacaan dengan lancar akan bertindak membantu rakan yang lain.
Aktiviti ini diadakan pada setiap hari Jumaat di antara pukul 8 hingga 9 pagi sepanjang
tempoh tersebut.
Manakala, tindakan ( 3 ) pula dilaksanakan setelah pelajar di dalam setiap kumpulan dapat
menguasai bacaan dengan baik. Mereka dikehendaki bertemu face-to-face dengan
pensyarah yang bertindak menilai bacaan mereka. Setiap pelajar diperuntukkan selama 15
minit bagi setiap sesi bacaan. Semasa sesi ini, pensyarah akan memperbaikki mutu bacaan
dan hafalan pelajar. Perjumpaan dengan pensyarah diadakan berterusan sepanjang tempoh
lima minggu tersebut.
REFLEKSI KAJIAN
Hasil daripada ujian pra dan temubual yang dijalankan selama satu minggu, didapati
sebanyak 30% pelajar bermasalah pendengaran dapat menguasai manakala 70%
daripadanya tidak tahu membaca al-Fatihah. Selain itu, keseluruhan 10 orang pelajar
tersebut tidak menguasai bacaan asas solat yang lain seperti bacaan rukuk, iktidal, sujud,
bacaan duduk antara dua sujud dan juga tahiyah akhir.
Walaubagaimanapun setelah beberapa tindakan kajian dilaksanakan, seperti program `Saya
lihat ... Saya ingat’ yang menayangkan video solat di dalam bahasa isyarat, aktiviti
bimbingan rakan sebaya dan ‘Program dari mata turun ke minda’ yang melibatkan
perjumpaan face-to-face di antara pensyarah dan pelajar didapati tahap penguasaan pelajar
semakin meningkat.
Bagi melihat hasil daripada tindakan yang telah dilaksanakan, satu ujian pos telah
dijalankan selama seminggu ke atas setiap pelajar bermasalah pendengaran yang terlibat.
Hasil ujian pos yang dijalankan, didapati peratusan tahap penguasaan bacaan asas solat
pelajar dapat ditingkatkan. Ini menunjukkan bahawa tindakan yang berkesan di samping
mengambilkira keperluan khusus pelajar bermasalah pendengaran dapat meningkatkan
penguasaan bacaan asas solat mereka ke tahap yang lebih baik. Hasil ujian pos yang
dijalankan adalah seperti berikut :

Rajah 4: Ujian pos penguasaan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar
bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel Katering,
Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Bil Item
D1
D2
D3
D4
D5
D6

PETUNJUK
Item
Baik
Bacaan al- Fatihah.
70%
Bacaan rukuk.
90%
Bacaan iktidal.
100%
Bacaan sujud.
100%
Bacaan duduk antara dua sujud.
60%
Bacaan tahiyat akhir.
50%

Sederhana
30%
10%
0%
0%
40%
50%

Lemah
0%
0%
0%
0%
0%
0%

Rajah 4 adalah berkaitan dapatan ujian pos bacaan dalam solat responden. Bagi item 1,
70% responden dapat menguasai bacaan al-Fatihah dengan baik manakala hanya 30%
responden masih dalam tahap sederhana. Bagi item 2 pula, hanya 10% responden sahaja
yang masih berada pada tahap sederhana dalam penguasaan bacaan rukuk manakala 90%
daripada responden pula, dapat menguasainya dengan baik. Seterusnya bagi item 3, 100%
daripada responden dapat menguasai bacaan iktidal dengan baik. Begitu juga dengan item
4, 100% daripada responden dapat menguasai bacaan sujud dengan baik.
Sebaliknya, bagi item 5 pula, hanya 60% daripada responden dapat menguasai bacaan
duduk antara dua sujud dengan baik manakala selebihnya masih berada pada tahap
sederhana. Bagi item 6 pula, sebanyak 50% daripada responden dapat menguasai bacaan
tahiyat akhir dengan baik manakala 50% responden pula masih di tahap sederhana.
Kesimpulannya, pendedahan yang berterusan serta kaedah pengajaran yang menekankan
penglibatan secara aktif para pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu
meningkatkan penguasaan mereka di dalam bacaan asas solat.
CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Terdapat beberapa kajian tindakan susulan yang boleh dilaksanakan berkaitan dengan
penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar-pelajar bermasalah
pendengaran. Antaranya adalah:

Kajian mengenai kesan penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Islam Khas (bermasalah pendengaran). Kajian ini dapat melihat sejauh mana
penggunaan multimedia dapat menambahkan lagi kefahaman para pelajar pendidikan khas
dalam kursus Pendidikan Islam. Ini adalah kerana pengkaji berpendapat, penggunaan
multimedia dapat meningkatkan daya ingatan para pelajar pendidikan khas bermasalah
pendengaran.
Selain itu, pengkaji juga akan meluaskan lagi skop kajian berkaitan dengan peranan
pensyarah pendidikan khas di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di dalam meningkatkan
minat pelajar-pelajar bermasalah pendengaran terhadap kursus. Penyelidik akan
memfokuskan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh
pensyarah-pensyarah di dalam kelas.
Seterusnya, kajian yang dijalankan hanya melibatkan pelajar semester 1 di Politeknik
Tuanku Syed Sirajuddin sahaja. Adalah dicadangkan, untuk kajian seterusnya pengkaji
membuat kajian mengenai tahap penguasaan bacaan solat bagi pelajar bermasalah
pendengaran di politeknik-politeknik lain.
RUJUKAN
Abdul Raof Dalip. (1998). Teknik pengajaran dan pembelajaran agama Islam di sekolah
menengah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Chua T. T., & Koh, B.B. (1992). Pendidikan khas dan pemulihan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Rohizani Yaakub, Shahabudin Hashim, & Mohd Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi: Strategi
dan teknik mengajar dengan berkesan. Bentong: PTS Publications & Distributors
Sdn. Bhd.
Safani Bari, Manisah Ali, Norani Mohd, & Aliza Alias. (2002). Penggunaan alat bantuan
pendengaran di kalangan murid-murid bermasalah pendengaran. Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Woolfolk, A.E. (1998). Educational Psychology. (7th ed.). Boston: Allyn & Bacon.

Ainul Farhaan Harun, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik
Tuanku Syed Sirajuddin. Emel: eyenul04@yahoo.com