Modal Sosial Mantap Tingkat Perpaduan

Modal Sosial Mantap Tingkat Perpaduan
Laporan Tahunan World Bank (2000) berjudul Entering the 21st Century mengiktiraf satu lagi modal baru
yang menjadi pelengkap kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara, iaitu ‘modal sosial’ (social capital).
Apakah yang dimaksudkan dengan modal sosial ?
Satu artikel yang terdapat dalam laman sesawang (website) Bank Dunia (World Bank) bertajuk What is
Social Capital mentakrifkan ‘modal sosial’ merujuk kepada institusi, jalinan hubungan masyarakat serta
norma yang membentuk kualiti dan kuantiti interaksi sosial sesuatu masyarakat.
Persoalannya, bagaimana kita dapat mengukur pencapaian modal sosial itu? Menurut Robert D. Putnam
dalam bukunya Bowling Alone: The Collapse and Revival of American Community (2000), indeks modal
sosial boleh diukur melalui penyertaan komuniti dalam organisasi atau persatuan; kehadiran masyarakat dalam
aktiviti dan acara awam; penglibatan komuniti dalam aktiviti sukarela; dan aspek kepercayaan antara individu
dalam komuniti.
Pembangunan dan kejayaan modal sosial ini dapat dicapai dengan baik sekiranya setiap individu dalam
komuniti itu saling mempercayai, bertoleransi, persefahaman serta mengamalkan prinsip penerimaan.
Di sinilah rasionalnya Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak menekankan
prinsip
‘penerimaan’ melalui gagasan 1Malaysia yang diperkenalkannya. Nilai penerimaan terutamanya yang
membabitkan masyarakat berbilang kaum adalah berkaitan dengan tingkat kepercayaan dan jaringan
(hubungan) dalam masyarakat.
Sekiranya wujud tingkat kepercayaan dan penerimaan yang tinggi di dalam masyarakat kita yang bersifat

majmuk ini maka lebih mudahlah modal sosial itu dicapai dengan baik dan berkesan.
Di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), elemen ‘modal sosial’ ini dapat dikesan dalam komponen
‘keterangkuman’ (inclusiveness) yang merupakan salah satu daripada tiga komponen asas di bawah MBE.
‘Keterangkuman’ atau penyertaan menyeluruh merupakan pra syarat utama bagi memupuk semangat kekitaan
dan permuafakatan masyarakat.
Penyertaan bersama tanpa mengira kaum mampu membentuk modal sosial yang saling bantu-membantu yang
akhirnya dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat. Untuk mencapai hasrat tersebut
maka mereka harus berupaya membina ‘jambatan penghubung’ (bridging social capital) ke arah kerjasama
dan perpaduan di kalangan anggota masyarakat atau komuniti yang bersifat heterogeneous.
Kesan daripada jaringan modal sosial yang mantap akan dapat meningkatkan mobilisasi sumber komuniti
serta mempertingkatkan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Ia sekali gus dapat menjayakan inclusiveness
sama ada dalam aspek ekonomi ataupun sosial (economic and social inclusion).
Kesimpulan, pembangunan modal sosial yang mantap akan dapat menjadikan masyarakat kita lebih berdaya
saing, dinamik, proaktif dan memiliki daya tahan yang tinggi ketika berlakunya sebarang krisis sama ada krisis
politik ataupun krisis ekonomi. – BH 4 Julai 2012
PENULIS ialah penganalisis media di bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.