Impak Kolonialisme Ke Atas Sistem Pendid

IMPAK KOLONIALISME KE ATAS SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA:
Satu Tinjauan Dari Perspektif Perubahan Sosialisasi Masyarakat1
Oleh
SOLAHUDDIN BIN ISMAIL2
solahuddin@uum.edu.my
MOHD NIZHO ABDUL RAHMAN3
nizho@uum.edu.my

Abstrak
Era penjajahan Barat (kolonialisme) hampir lima ratus tahun ke atas Tanah Melayu telah
memberi kesan yang mendalam terhadap jiwa dan kehidupan rakyat. Dengan konsep “ God Gold
and Glory”, penjajah telah berjaya merubah lanskap sosial masyarakat melalui sistem dan dasardasar yang telah mereka perkenalkan. Proses yang memakan masa berzaman lamanya umpama
api dalam sekam yang setiap saat dan ketika menunggu untuk membaham sedikit demi sedikit
yang akhirnya jika tidak dikawal akan memusnahkan seluruh struktur dalam tamadun
masyarakat. Antara aspek penting yang diberi perhatian oleh penjajah adalah pendidikan. Atas
alasan mentamaddunkan rakyat maka penjajah memperkenalkan satu bentuk sistem pendidikan
mengikut acuan (moule) dan model Barat yang asasnya adalah kapitalisme. Aplikasi acuan ini
telah memberi impak mendalam dalam kehidupan bermasyarakat pada ketika ini. Kertas ini cuba
untuk membincangkan dua perkara pokok iaitu sejarah dan latarbelakang sistem pendidikan
Barat terutamanya perkembangan pendidikan di zaman British dan pengaruhnya terhadap sistem
sosial masyarakat Malaysia mutakhir ini.


PENDAHULUAN
Kedatangan penjajah ke Alam Melayu telah memberikan kesan yang mendalam ke atas
sistem kehidupan mereka. Perubahan demi perubahan dilaksanakan atas alasan mentamadunkan
masyarakat pribumi khususnya orang-orang Melayu. Ia selari dengan kehendak dan keinginan
masyarakat Eropah ketika itu yang merasakan pada pandangan mereka perlu memajukan
penduduk di tanah jajahan agar dapat menikmati nilai ketamadunan mengikut acuan seperti mana
mereka kecapi hasil dari arus perubahan yang dibawa oleh proses Renaissance. Potugis, Belanda
dan British adalah antara kuasa besar penjajah yang pernah menguasai Alam Melayu - Tanah
Melayu - telah berusaha untuk mewujudkan pembaharuan berasaskan citarasa dan kehendak
Barat.
Malaysia yang pada waktu itu dikenali dengan nama Tanah Melayu turut tidak terlepas
dari arus perubahan sistem yang dibawa oleh kolonial. Perubahan atas tema “The White Man
Burden” sebenarnya cuba dimanipulasi oleh penjajah dalam rangka mengaburi mata rakyat
tempatan disebalik keinginan mereka untuk mendominasi, menguasai dan mengaut secara
optimum sumber kekayaan dari hasil bumi yang dimiliki oleh Tanah Melayu, menyebarluaskan
1

Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Dasar Malaysia Peringkat Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi
MARA (UiTM) Sabah & INQKA pada 6-8 Oktober 2009 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Kota Kinabalu

Sabah.
2
Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembangunan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
(COLGIS) Universiti Utara Malaysia SINTOK Kedah.
3
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum Kolej Sastera dan Sains (CAS) Universiti Utara Malaysia SINTOK Kedah.

1

ajaran Kristian dan membina empayar baru Barat berasaskan paksi demokrasi sekular dalam
urustadbir negeri-negeri di bawah naungan mereka.
Untuk menjayakan hasrat penjajah ini maka penstrukturan semula dalam urusan
pentadbiran Kerajaan Melayu telah dilakukan khususnya oleh penjajah British. Neri-negeri
Melayu telah dibahagi-kelompokkan kepada tiga bentuk iaitu Negeri-Negeri Selat, NegeriNegeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Negeri-negeri ini telah
dipaksa oleh British untuk menerima Gabenor dan Residen mereka sebagai penasihat untuk
urusan urustadbir negeri. Hasilnya kuasa pemerintahan negeri oleh sultan dan raja Melayu telah
didominasi oleh penasihat British melainkan hal yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat
Melayu.
Perubahan kepada sistem pentadbiran ini memerlukan tenaga kerja untuk menggerakkan
urustadbir negeri-negeri di bawah naungan British. pada peringkat awal, British telah membawa

masuk para pegawai yang terdiri daripada pentadbir British untuk membantu mengukuhkan
sistem pemerintahan mereka. Suasana ini semakin berkurangan apabila British mula
mengkaderisasi golongan pentadbir melalui penubuhan sekolah-sekolah Inggeris sebagai langkah
dan persediaan untuk melancarkan pengurusan pentadbiran mereka.
LATAR BELAKANG PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusiawi. Di
Malaysia, sistem pendidikan telah melalui arus perubahan zamannya yang tersendiri. Ia boleh
dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu zaman tradisional 4, zaman kolonial dan zaman pasca
kolonial. Menurut Muhammad Yusuf, pembahagian ini adalah untuk tujuan teknikal bagi
membezakan penulisan tempatan dengan penulisan yang dipengaruhi oleh Barat (Muhammad
Yusuff Hashim, 1992; xiii). Peranan yang dimainkan oleh sistem pendidikan telah banyak
memberi nilai tambah kepada pembangunan kerohanian sehingga berupaya melahirkan modal
insan yang setanding dengan negara maju. Begitu juga dengan perkembangan pembangunan
fizikal negara yang secara tidak langsung terbina daripada intelektualisme cerdik pandai yang
lahir dalam sistem pendidikan terdahulu.
Zaman Tradisional
Pendidikan tradisional telah mencipta zaman kecemerlangannya yang tersendiri. Ia
menjadi pemangkin dalam melahirkan banyak kerajaan kecil di Tanah Melayu seperti Kerajaan
Kedah Tua, Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Gangga Negara. Kerajaan Tan-Tan (Abdullah Ishak,
1990; 5-9) dan sebagainya. Arus perkembangan pendidikan pada zaman ini boleh dibahagikan

kepada dua fasa iaitu fasa Hinduisme-Buddhisme dan zaman Islam. Period ini menyaksikan
bermulanya perkembangan aliran keagamaan di dalam masyarakat Melayu. Namun kepercayaan
ini telah dicampur adukkan bersama fahaman animisme yang telah sebati dengan jiwa orangorang Melayu.
Fasa Hinduisme-Buddhisme
4

Suatu konsepsi pengistilahan yang menunjukkan satu unsur pribumi (yang amat totok) yang secara disedari atau
tidak menyerapkan budaya asing seperti Arab atau Farsi dan Siam tetapi belum dipengaruhi oleh unsur penulisan
dari Barat (Muhammad Yusuff Hashim, 1992; xiii) .

2

Kegiatan keilmuan dan kependidikan di Tanah Melayu telah bermula sejak zaman HinduBuddha lagi. Akan tetapi ia hanya tertumpu kepada golongan raja dan bangsawan sahaja.
Pedekatan yang bersifat elit ini menjadikan nilai pendidikan itu hanya terangkum dan terhad
kepada kalangan golongan atasan sahaja. Skop pendidikan yang sempit yang tertakluk hanya
kepada golongan bangsawan ini memperlihatkan agenda pengukuhan terhadap konsep dewaraja5
dan nirvana (Abdul Rahman, 1989; 23-27) bagi meyakinkan rakyat supaya memberi taat setia
dan menurut perintah dan arahan raja dan pembesar secara menyeluruh tanpa ragu-ragu.
Manakala istana, kuil dan candi pula dijadikan tempat dan medan untuk menjalankan kegiatan
ilmu di kalangan mereka.

Fokus utama terhadap kegiatan ilmu lebih menjurus kepada hal yang bersifat keagamaan
yang bertujuan untuk memahami dan mendalami secara mendalam tentang nilai dan amalan di
dalam ajaran Hindu. Epik Ramayana dan Mahabrata dipentaskan bukan hanya sekadar hiburan
golongan bangsawan semata-mata tetapi juga sebagai nilai untuk mendidik masyarakat
terutamaya para pembesar agar berpegang teguh dengan aliran Hinduisme (Abdul Rahman,
1989; 66-68). Baghavad Ghita dan Bharatayuddha ditulis untuk memenuhi tuntutan pembesar
dalam mengukuhkan lagi konsep devaraja di kalangan rakyat (al-Attas, 1999; 12-13). Pengajaran
dan pembelajaran secara tidak langsung ini telah menjadi asas pengukuhan dan penerimaan yang
menyeluruh terhadap ajaran agama Hindu.
Perkembangan Hinduisme-Buddhisme disebarkan kepada masyarakat Melayu dengan
menggunakan bahasa Sanskrit (Nik Safiah Karim at all, 1991; 4). Manakala bentuk tulisan pada
zaman ini telah menggunakan tulisan Pallava (Berita Harian, 19 Nov 2008; 2). Penggunaan
bahasa dan tulisan yang menjadi medium utama dalam pendidikan dapat dilihat menerusi
penemuan arkeologi ke atas inskripsi-inskripsi (Nik Hassan Suhaimi: 1992; 11) kerajaan Melayu
zaman tersebut. Mantra (agama) dan sastra (syair dan puisi) ditulis oleh agamawan supaya ia
dapat disampaikan dengan lebih sempurna kepada masyarakat.
Fasa Islam
Islam mula didakwahkan kepada masyarakat di Tanah Melayu sejak kurun ke 7M lagi
(Abdullah Ishak, 1990; 70-71). Penyebaran Dakwah Islamiah meliputi tiga tahap iaitu tahap
persinggahan, tahap pertapakan dan tahap penyebaran pengaruh secara besar-besaran (Abdul

Rahman, 1989; 89-91) dan disebarkan oleh bangsa Arab/Farsi dan India yang datang berdagang
dan bertukar barangan di Tanah Melayu. Namun penyebaran Islam menjadi lebih pesat
menjelang kurun ke 15M dan 16M. Islam diterima secara positif disebabkan oleh beberapa factor
yang saling berkaitan antara satu sama lain. Antara faktor tersebut ialah (Abdullah Ishak, 1990;
71):
a)
b)
c)
d)
e)
f)

Perlumbaan penyebaran agama
Perkahwinan
Perdagangan
Penguasaan syahbandar
Politik dan penaklukan
Keperibadian pendakwah dan ahli sufi

5


Suatu konsep yang memanifestasikan raja sebagai jelmaan atau anak Tuhan. Mereka adalah titisan - incarnation
-daripada Dewa Siva atau Dewa Vishnu (Abdullah Ishak, 1990; 14).

3

g) Penulisan dan kesusasteraan
h) Kemurnian (kequddusan) Islam
Misi dakwah Islamiah di Tanah Melayu tersebar seawalnya kepada masyarakat melalui
raja. Ia kemudiannya diikuti oleh pembesar dan juga rakyat jelata. Kesan daripada pengIslaman
raja Melaka telah menyebabkan Islam telah berkembang pesat ke Tanah Jawa, Meluku, Borneo
serta tanah jajahan Melaka di Tanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Kedah,
Pattani, Johor, Kampar, Inderagiri, Rokan, Siak dan Bengkulis (Abdullah Ishak, 1990; 100).
Perkembangan Islam ini menjadikan Melaka sebagai pusat bagi penyebaran Islam terbesar di
rantau Melayu ketika itu. Kedudukan ini diperkukuhkan lagi dengan kedatangan ulama-ulama
besar yang bukan sahaja berperanan setaraf dengan pembesar dan pentadbir negeri malahan
diberi tanggungjawab dalam hal ehwal keagamaan dan pendidikan masyarakat.
Pembesar bersama-sama rakyat jelata sentiasakan dahagakan ilmu menggambarkan
bahawa Islam telah berjaya mengubah kehidupan masyarakat Melayu yang sebelumnya
menggemari kehidupan berfoya-foya kepada kehidupan yang cintakan ilmu pengetahuan Islam.

Istana, rumah, masjid dan surau dijadikan pusat bagi kegiatan ilmu-ilmu Islam. Silibus yang
diindoktranisi dari zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat dan tabi’in diaplikasikan dengan
memberi penekanan terhadap pembacaan, penulisan dan pengajian al-Quran serta asas-asas
Islam seperti Fiqh, Tawhid, Tasawwuf, Sejarah Islam, Falsafah Islam dan sebagainya secara lebih
komprehensif (Abdullah Ishak, 1995; 131).
Melaka telah meletakkan batu asas kepada kelahiran sistem pendidikan Islam yang lebih
tersusun dan teratur. Mata pelajaran berserta sukatannya diatur secara sistematik menjadikan
pendidikan Islam itu mudah untuk dipelajari dan dihayati. Manakala kesanggupan ulama-ulama
besar seperti Sayyid Abdul Aziz, Maulana Sadar Jahan, Maulana Jalaluddin dan sebagainya
untuk turut serta menyampaikan ilmu telah memberikan kesan mendalam dalam sanubari rakyat
untuk terus mempraktis ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Islam yang dilihat sebagai agama
sejagat meliputi bangsawan dan marhaen telah berjaya memikat dan menarik minat masyarakat
untuk terus beramal dengan suruhannya hingga ke hari ini.
Zaman Kolonial
Kolonialisme di Tanah Melayu (1511M-1957M) terbahagi kepada tiga fasa penjajahan
iaitu Portugis (1511M-1641M), Belanda 1641M-1786M) dan British (1786M-1957). Ia memberi
kesan mendalam ke atas keseluruhan sistem pemerintahan kerajaan Melayu. Zaman kolonialisme
terutamanya British telah melakukan perubahan dari sistem pemerintahan Islam kepada sistem
pemerintahan sekular. Pensekularan sistem pemerintahan ini telah memecah belahkan urustadbir
negeri-negeri Melayu dengan meletakkan pentadbiran negeri di bawah kekuasaan penjajah

manakala urusan keagamaan di bawah pengurusan raja/sultan Melayu. Dengan demikian, wujud
dua aliran kuasa mengurus dalam satu sistem pemerintahan. Pihak British memegang tampuk
kuasa pemerintahan pentadbiran negeri manakala sultan dan raja Melayu disempitkan dan
dikekang portfolio kuasa pentadbiran mereka hanya ke atas hal ehwal Islam dan adat istadat
Melayu sahaja. Inilah alasan British untuk tidak campur tangan dalam hal yang berkaitan dengan
keagamaan dan istiadat Melayu.

4

Dalam aspek pendidikan, penjajah Portugis merupakan pelopor kepada sistem pendidikan moden
di Tanah Melayu. Ia bertujuan untuk menghalang dan menggagalkan perkembangan Islam.
Portugis telah menyediakan alternatif pendidikan melalui pembinaan gereja-geraja Kristian
sebagai usaha untuk menyaingi masjid orang-orang Melayu Islam. Gereja pertama dibina atas
perintah Albuquerque dan ia ia siap sepenuhnya pada tahun 1515M. Selepas itu sebuah lagi
gereja bernama Gereja Our Lady of the Visitation telah dibina. Pada tahun 1521M, Duerte
Coelho telah membina Gereja St. Paul daripada kayu lalu diubahsuai pada tahun 1590M dengan
bangunan batu. Usaha Portugis untuk menyebarkan agama Kristian Katolik menjadi lebih giat
dengan kehadiran Francis Xavier pada tahun 1545M. Pembinaan Pusat Mubaligh Jesuit dan
Sekolah St. Paul dilaksanakan untuk mengkaderkan pendakwah-pendakwah Kristian. Beliau juga
telah menyelenggara penterjemahan Rukun Sepuluh Kristian dan doa-doa yang berkaitan ke

dalam bahasa Melayu. Namun Francis Xavier merasa kecewa kerana ajaran Kristian kurang
mendapat sambutan daripada penduduk tempatan (Khoo Kay Kim, 1992; 61-62).
Belanda telah berjaya menawan Melaka pada tahun 1641M. Polisi dan dasar penjajah
Belanda sama seperti Portugis iaitu politik dan ekonomi di samping mengembangkan Kristian.
Sebaliknya, Belanda menghadapi saingan politik dan perdagangan dari kuasa Barat seperti
Portugis dan juga kuasa tempatan seperti Kerajaan Bantam dan Kerajaan Mataram. Kekalutan ini
menjadikan Belanda hanya memberi fokus kepada aspek perniagaan dan pemerintahan serta
tidak berusaha untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada masyarakat Melayu Islam. Semasa
penjajahan Belanda, kegiatan dan aktiviti berkaitan keagamaan dan pendidikan mengalami
kelesuan dan tidak ditonjolkan secara ketara. Abdullah Ishak mengatakan hal ini berlaku
disebabkan dua kemungkinan. Pertama; tidak wujud sebarang bentuk penulisan atau laporan dari
mana-mana pihak sama ada bersifat ilmiah atau tidak yang melaporkan tentang kegiatan
pendidikan yang dijalankan. Kedua; sikap intelektual yang sengaja merahsiakan kegiatan yang
berlaku bagi mengelakkan tentangan dan ancaman ganas daripada penjajah Belanda. Namun
berpandukan pernyataan-pernyataan zaman kemudiannya, maka dibuat rumusan bahawa
kegiatan agama dan pendidikan tetap berjalan semasan penjajahan Belanda tetapi situasinya
tidak menonjol (Abdullah Ishak, 1995; 133).
Penstrukturan pemerintahan mengikut acuan British juga turut berlaku di dalam sistem
pendidikan masyarakat Melayu. Zaman ini memperlihatkan berpecahnya pendidikan kepada lima
kategori iaitu pendidikan pondok, sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan juga sekolah

Inggeris (Shahril Marzuki at all; 36-47). Pemecahan sekolah-sekolah ini adalah berasaskan status
bangsa yang terdapat di Tanah Melayu pada ketika itu. Dan ia dikenali sebagai sistem pendidikan
vernakular yang mana pengajaran dan pembelajarannya diterapkan dalam bahasa ibunda masingmasing. Dengan itu wujud Sekolah Arab, Sekolah Melayu Sekolah Cina, sekolah Tamil yang
bergerak selari dengan Sekolah Inggeris walaupun metod pengajaran dan pembelajaran,
kurikulum, prasarana/infrastuktur dan tenaga pengajarnya tidaklah sesempurna yang dimiliki
oleh Sekolah Inggeris. Ia sekadar memenuhi tuntutan agar bangsa yang terdapat di Tanah Melayu
menguasai sedikit ilmu untuk membaca dan mengira di peringkat awal pendidikan di kalangan
penduduk berbilang bangsa.
Menurut William Roff, ruang pendidikan yang diberikan oleh pihak British terutama
kepada bangsa Melayu hanya sekadar untuk memenuhi kekosongan perjawatan kecil dalam
pentadbiran British ketika itu disebabkan pihak British tidak mampu untuk menanggung gaji
yang besar yang perlu dibayar kepada pegawai-pegawai Inggeris yang dibawa masuk dari luar
5

Tanah Melayu (W.R. Roff, 2004; 19-21). Agenda pendidikan yang dibawa oleh British hanya
sekadar melepaskan batuk di tangga kerana keperluan pendidikan untuk masyarakat di Tanah
Melayu bukanlah untuk mencelikkan mereka dari buta huruf tetapi sekadar memenuhi tuntutan
dan memudahkan gerak kerja dalam urusan pentadbiran mereka sahaja. Penubuhan Penang Free
School (1816M), Melaka Free School (1826M) dan Singapura Free School (1834M) yang
masing-masing terletak di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura adalah sekolah aliran Inggeris
yang cuba untuk memberikan pendidikan kepada semua bangsa di Tanah Melayu. Ia dinamakan
‘free’ kerana sekolah-sekolah ini diberi kebebasan untuk menerima murid yang terdiri daripada
pelbagai kaum dang agama (Choong Lean Keow, 2008; 12-13). Namun begitu, sekolah-sekolah
ini kurang mendapat sambutan dari kalangan anak-anak Melayu kerana ditakuti jika belajar di
sekolah Inggeris, anak-anak mereka akan menjadi ‘Kristian’ (W.R. Roff, 2004; 23).
Pada tahun 1821M, sekolah Melayu pertama telah dibina di Gelugor Pulau Pinang tetapi
ia kurang mendapat sambutan serta mengalami masalah kekurangan guru. Dan pada tahun
1856M, sekolah Melayu di Teluk Belanga dan Kampung Gelam Singapura. Penubuhan sekolahsekolah Melayu ini sebenar tidak bertujuan untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada
anak-anak Melayu. Ia sekadar untuk memenuhi keperluan politik penjajah yang cuba untuk
mengambil hati pembesar Melayu. Kurikulum yang ditawarkan pula banyak diambil dari ceritacerita dongeng yang melekakan pemikiran orang-orang Melayu. Manakala lepasan sekolah
Melayu hanya dilantik untuk menjawat jawatan rendah dalam pentadbiran British (Shahril
Marzuki dan Habib Mat Som, 1999; 3-4). Justeru, pendidikan di Tanah Melayu oleh pihak
British bukanlah bertujuan untuk mendidik masyarakatnya menjadi manusia yang berilmu
pengetahuan tetapi sekadar memenuhi tuntutan semasa terutamanya oleh golongan pembesar
Melayu yang menginginkan orang-orang Melayu ada sedikit pengetahuan untuk kelangsungan
kehidupan mereka. Ini dtegaskan sendiri oleh George Maxwell (dipetik dari Mohd Ali
Kamarudin, 1981; 10):
Tujuan kerajaan bukanlah hendak mengadakan segelintir pemuda-pemuda yang
berpendidikan baik, tidak juga sebilangan budak-budak yang kurang terdidik
melainkan ialah untuk memperbaiki keadaan bilangan terbesar penduduk dan
menjadikan anak nelayan-nelayan atau petani-petani itu seorang nelayan atau
petani yang lebih cerdik daripada bapanya serta menjadikan ia mengerti
menerusi pelajarannya yang keberuntungannya dalam hidup ini adalah sesuai
dengan cara hidup disekelilingnya.
Sikap sambil lewa penjajah British dalam menunaikan tanggungjawab sosial mereka
terhadap penduduk Tanah Melayu dalam aspek pendidikan memberi gambaran bahawa usaha
untuk mentamadunkan masyarakat peribumi sekadar menanam tebu dibibir mulut sahaja. Polisi
dan dasar penjajah British hanya sekadar untuk mengaut keuntungan hasil sumber bumi sematamata tanpa ada kesungguhan untuk memartabatkan peradaban bangsa Melayu terutamanya
dalam bidang pendidikan. Penubuhan sekolah Inggeris dan sekolah vernakular untuk penduduk
di Tanah Melayu hanya untuk mengambil hati penduduk agar mereka tidak disalahkan akibat
dari kemunduran pelajaran masyarakat ketika zaman pemerintahan mereka dan bukan sebagai
mekanisme untuk melepaskan bebanan orang kulit putih (the white man burden) seperti yang
mereka laungkan sebelumnya.

6

Walau bagaimanapun sekitar tahun 1900an, atas inisiatif golongan muda yang terkesan
dengan modenisasi dan gerakan reformasi di Timur Tengah telah membuka ruang perbincangan
dalam Majalah al-Imam (1906M) untuk mengubah pemikiran orang-orang Melayu berlandaskan
ilmu pengetahuan. Mereka berpendapat bahawa pendidikan sahaja yang dapat membuka ruang
untuk orang-orang Melayu keluar dari belenggu penjajah dan kemelaratan hidup (B.W. Andaya
& L.Y. Andaya, 1982; 203). Mereka ngajak masyarakat Melayu supaya berijtihad dalam
kahidupan dan tidak bertaklid secara membuta tuli sebagai jalan keluar untuk memajukan
kehidupan (Syed Muhammad Khairudin al-Junied & Dayang Istiaisyah Hussin, 2005; 252).
Tahun 1908M, Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah telah ditubuhkan di Singapura sebagai alternatif
pendidikan moden bagi orang-orang Melayu. Institusi ini menggabungkan aliran pendidikan
Timur Tengah dan Barat dengan dalam satu sekolah yang mempunyai infrastruktur moden
seperti yang terdapat pada sekolah Inggeris. Sekolah ini menjadi perintis kepada percambahan
sekolah-sekolah lain di Tanah Melayu ketika itu (W.R.Roff, 2004; 71).
Dengan kesedaran bahawa pendidikan sebagai satu wahana untuk membangunkan
bangsa, maka segelintir anak-anak muda Melayu yang berpendidikan agama dari Timur Tengah
telah mengambil resiko yang tinggi sehingga sanggup mencabar bangsa mereka untuk keluar
(ijtihad) dari kemelaratan dan kemiskinan akibat kebebalan mereka yang mengikut (taklid)
secara membuta tuli dan menolak arus medenisasi yang di bawa oleh Barat. Hasilnya wujud satu
rangkaian pendidikan Melayu yang stabil dan bersifat moden tanpa mengabaikan teras
pendidikan Islam kepada anak bangsa Melayu hingga ke hari ini.
Zaman Pasca Kolonial
Sistem pendidikan telah berkembang pesat setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957M. Sekolah-sekolah dibina dengan banyak sekali hingga ke luar bandar untuk
member pendidikan yang sempurna kepada rakyat. Jaringan pendidikan ini bukan hanya setakat
di peringkat rendah sahaja malahan di kembangkan di peringkat menengah dan di peringkat
pengajian tinggi seperti mana yang terkandung di dalam syor-syor yang dikemukakan oleh
Penyata Razak 1956M dan Penyata Rahman Talib 1960M. Pendemokrasian pendidikan
dilaksanakan dengan dengan member jaminan pendidikan untuk anak-anak untuk tempoh
sekurang-kurangnya enam tahun. Peluang mendapat pendidikan dipertingkatkan dan ruang
pendidikan percuma yang menyeluruh kepada rakyat telah diperkenalkan pada tahun 1962M (Ee
Ah Meng, 1996; 27-37).
Namun begitu, tragedi berdarah pada Mei 1969M telah menggugat sistem pemerintahan
negara. Pergolakan yang mencetuskan pergaduhan antara kaum menjadikan kedudukan Negara
dalam keadaan tidak stabil dan huru hara. Untuk mengharmoniskan hubungan antara kaum maka
kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rukun Negara. Hala tuju pendidikan
negara terarah kepada memperkukuhkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan masyarakat
yang berintegrasi dan progresif berasaskan sains dan teknologi. Di samping itu, ia juga bertujuan
untuk memenuhi keperluan ekonomi negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk
menjayakan prlaksanaan dasar DEB (Shahril Marzuki & Habib Mat Som, 1999; 18). Keperluan
mempertingkatkan ekonomi kaum melalui sains dan teknologi sebagai langkah untuk berubah
dari sistem ekonomi yang berteraskan pertanian kepada sistem ekonomi industri yang
memerlukan tenaga mahir untuk mengoperasikan mesin-mesin berteknologi tinggi. Justeru
7

tenaga mahir yang dihasilkan terutamanya melalui sistem pendidikan vokasional adalah tepat
dan memenuhi kehendak pasaran pada ketika itu.
Pendidikan di Malaysia berkembang maju dengan bertambahnya institusi pengajian
tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan negara ke arah
perindustrian. Sekolah dan institut latihan dan vokasional diperkenalkan dengan penawaran
kursus-kursus berasaskan sains dan teknologi agar pelajar mampu untuk menghadapi perubahan
zaman seperti yang disasarkan oleh pihak kerajaan. Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti
Kebangsaan Malaysia (1970), Universiti Teknologi Malaysia (1971) dan Universiti Pertanian
Malaysia (Ee Ah Meng, 1996; 52) ditubuhkan dengan matlamat untuk mendidik mahasiswa yang
mahir di peringkat pengajian tinggi yang mampu mengurus perkembangan sains dan teknologi
selari dengan tuntutan semasa. Sehingga hari ini, sistem pendidikan negara telah berkembang
maju dengan kursus-kursus yang lebih efision untuk memartabatkan pendidikan Negara selaras
dengan tuntutan globalisasi dunia kini.
PENDIDIKAN DAN PERUBAHAN SOSIAL MASYARAKAT MELAYU
Sistem pendidikan telah mengalami evolusi yang ketara setelah berlakunya kolonialisme
ke atas Tanah Melayu. Masyarakat Melayu yang secara tradisinya terdidik dengan pendidikan
bersifat keagamaan yang dianggap tidak formal telah diperbaharui dengan ssuatu sistem
pendidikan yang lebih tersusun dengan berpaksikan sekolah dan institusi bermodelkan
pendidikan Barat. Penyususnan semula sistem pendidikan orang-orang Melayu oleh golongan
reformis Islam yang berpendidikan Timur Tengah telah berjaya membangunkan semula
kehidupan masyarakat Melayu yang sebelumnya bertaklid tanpa hala tuju yang jelas kepada
hidup secara lebih saintifik berasaskan ijtihad berlandaskan tatasusila yang diajar oleh Islam.
Melalui pendidikan, masyarakat Melayu telah ditransformasikan pemikiran mereka agar
menerima sistem pendidikan yang menggabungkan urusan duniawi dan urusan ukhrawi. Mereka
tidak lagi terikat dengan sistem pendidikan tradisional yang semata-mata membincangkan
persoalan-persoalan keagamaan sahaja tetapi juga perlu mendalami ilmu yang berkaitan dengan
lapangan kehidupan seharian. Inilah yang menjadi landasan kepada sistem pendidikan Malaysia
hari ini yang menekankan pembangunan aspek rohani dan jasmani seperti yang termaktub dalam
Falsafah Pendidikan Negara.
Namun begitu, unsur kolonialisme dalam sistem pendidikan di Malaysia masih lagi
kukuh diamalkan. Acuan yang dibentuk selama kurang lebih empat abad telah memberi kesan
mendalam ke atas falsafah dan struktur pendidikan negara. Institusi pendidikan sama ada di
peringkat rendah mahu pun peringkat pengajian tinggi dengan model dan kurikulum Barat yang
berteraskan sekularisme masih menjiwai sistem pendidikan negara walaupun telah banyak
dimodifikasi mengikut kehendak dan acuan keMelayuan. Identiti Melayu Islam masih lagi
didominasi oleh kerangka pemikiran Barat masih menebal dengan wujudnya pemisahan secara
diskriminasi terutamanya dalam pendidikan keagamaan. Namun begitu, impak pendekatan
pendidikan yang dibawa oleh kolonialisme harus dilihat dari dua sudut pandangan yang berbeza.
Pertama; impak kemajuan pendidikan yang dibuat oleh kolonialisme sehingga menjadikan
institusi pendidikan Malaysia berkembang pesat kini dan kedua; impak terhadap peminggiran
pendidikan agama yang menjadi indentiti masyarakat Melayu itu sendiri. Kesan positif dan
negative ini perlu dinilai agar penambahbaikan dapat dibuat untuk memantapkan lagi inistitusi
pendidikan negara.
8

Kesan Positif
Sungguhpun kolonialisme telah menerjah dalam pelbagai aspek dalam sistem
pemerintahan Negara tetapi ia juga telah memberikan input baru yang boleh diambil manfaat
untuk kemajuan bangsa Melayu itu sendiri. Dalam aspek pendidikan, kolonialisme telah
mewujudkan satu bentuk sistem pendidikan yang berorganisasi dengan susunan yang teratur
sebagaimana yang sepatutnya ada dalam sesebuah institusi pendidikan. Kolonialisme yang
memperkenalkan sekolah Inggeris telah mewujudkan prasarana pendidikan moden dengan
adanya struktur bangunan sekolah, kelas-kelas pengajian yang dikenali sebagai bilik darjah,
kurikulum pengajian mengikut tahap kemajuan murid, tenaga pengajar yang dilatih khusus untuk
sesuatu subjek, sistem peperiksaan sebagai kayu ukur kefahaman murid, persijilan sebagai
meknisme untuk mendapatkan pekerjaan serta pejabat untuk mengurus operasi sesebuah institusi
pendidikan. Ini menjadikan institusi pendidikan itu lebih bermakna bukan hanya sebagai pusat
untuk menimba ilmu pengetahuan tetapi juga sebagai sebuah institusi yang menjadi tapak dalam
mendapatkan pekerjaan. Konsep serampang dua mata ini telah berjaya mendidik masyarakat
Melayu agar bersungguh-sungguh dalam pendidikan supaya mereka mendapat kesenangan
melalui peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan setelah tamat pengajian.
Sistem persekolahan yang sistematik dan tersusun telah membuka peluang dan ruang
untuk bangsa Melayu mendapat pendidikan. Kurikulum yang disusun atur oleh pentadbir sekolah
Inggeris semestinya memihak kepada pendekatan sekularisme yang ternyata memisahkan
pelajaran sekular dan pelajaran agama. Subjek-subjek sekular diajar kepada murid di sebelah
pagi manakala subjek agama pula diberi pilihan untuk murid mendudukinya dan di ajar di
sebelah petang (Muhd Ali Kamaruddin, 1981; 4). Sungguhpun begitu, murid-murid yang belajar
telah distrukturkan secara sistematik mengikut kelas-kelas tertentu berdasarkan keupayaan
mereka agar ilmu yang diterima sama ada yang berbentuk sekular atau agama dapat dikuasai
dengan sebaiknya. Kaedah ini telah membezakan dengan pendidikan tradisional yang hanya
menumpukan kepada subjek atau ilmu keagamaan semata-mata. Pengintegrasian ilmu ini
menjadikan nilai ilmu itu bertambah kukuh kerana murid bukan hanya mantap dalam ilmu
agama tetapi juga menguasai ilmu harian yang bersifat duniawi.
Pendidikan yang telah dilaksanakan oleh kolonialisme telah membuka dimensi baru
dalam kehidupan orang-orang Melayu. Mereka telah berjaya menempatkan diri dalam jawatan
penting semasa zaman pemerintahan British. Keadaan ini telah mengubah kehidupan masyarakat
Melayu yang sebelumnya terpinggir dan melarat kepada kehidupan yang lebih baik melalui sijilsijil yang diperolehi dari sistem pendidikan Inggeris. Pembaharuan dalam kehidupan telah
memberi jaminan hidup yang lebih sempurna apabila berbekalkan ilmu pengetahuan yang dicari
gali melalui modenisasi pendidikan yang dibawa oleh kolonialisme. Abdullah Munsyi sebagai
contohnya telah terdidik oleh pemikiran dan corak hidup yang dibawa oleh Stamford Raffles dan
beliau menjadi rujukan oleh Raffles untuk memahami kehidupan masyarakat Melayu. Kemajuan
hidup orang Melayu wujud kerana desakan kolonialisme untuk memperkukuhkan pentadbiran
mereka melalui pendidikan. Matlamat awalnya untuk mengelak dari membayar gaji yang
berlebihan kepada para pegawai Inggeris yang diimport masuk pegawai dari Eropah (W.R. Roff,
2004; 19-21) telah membenihkan institusi pendidikan yang mendidik segelintir masyarakat untuk
dikaderkan menjadi pegawai kerajaan secara tidak langsung telah memberi impak kepada
kemajuan bangsa Melayu dan memartabatkan pendidikan orang-orang Melayu walaupun
mengikut acuan dan struktur pendidikan British.
9

Dengan adanya institusi pendidikan yang sistematik juga telah melahirkan semangat
nasionalime di kalangan orang-orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari
penjajah British. Pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra,
Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Fuad Hassan, Zulkifli Muhammad, Ahmad Boestaman dan
ramai lagi telah mendapat pendidikan asas melalui acuan dan struktur pendidikan yang dibawa
oleh British. walaupun dari sudut nama institusi pendidikan yang mendidikan mereka mungkin
berbeza kerana adanya sekolah Agama/Arab, sekolah Melayu dan sekolah Inggeris tetapi acuan
pendidikan moden itu datangnya dari model dan sistem yang dibawa kolonial. Cuma mungkin
atas kesedaran dan penghayatan ilmu yang ditimba maka timbul rasa ingin melepaskan diri dari
bayangan British lalu memperjuangkan tindakan-tindakan untuk menuntut kemerdekaan dari
kuasa penjajah.
Justeru pendidikanlah yang memainkan peranan penting dalam member nilai tambah
kepada perkembangan dan kemajuan hidup orang-orang Melayu. Status social masyarakat
Melayu berubah setalah adanya sistem pendidikan yang tersusun dan sistematik yang diterokai
oleh kolonial. Namun dengan kebijaksanaan orang-orang Melayu sendiri untuk membebaskan
mereka dari belenggu kemiskinan dan penguasaan penjajah, maka sistem pendidikan kolonial
telah diubahsuai mengikut budaya dan adat resam Melayu serta menokok tambah elemen agama
agar pendidikan yang mereka perolehi sesuai dengan ajaran Islam yang dianuti oleh bangsa
Melayu serta tidak menghakis kebudayaan Melayu yang menjadi intipati dalam kehidupan
seharian mereka. Modifikasi yang dilakukan dalam pendidikan Melayu telah memberi impak
yang kuat untuk mengubah sosialisasi hidup Melayu serta menjadi pemangkin kepada
kelangsungan pendidikan hari ini.
Kesan Negative
Walaupun banyak manfaat yang diperolehi dari sistem pendidikan kolonial, terdapat juga
kelemahan yang sedikit sebanyak mendominasi kehidupan orang-orang Melayu. Dengan
wujudnya sekularisme dalam sistem pemerintahan maka tempiasnya juga terkena dalam sistem
pendidikan. Perkembangan pendidikan Inggeris yang diberikan secara percuma dan disertakan
dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang sempurna telah memberikan cabaran yang besar
ke atas sistem pendidikan tradisional yang lebih member tumpuan kepada sukatan pelajaran yang
bersifat keagamaan semata-mata. Masyarakat Melayu terutamanya Kaum Tua yang menolak
sistem pendidikan moden telah merugikan orang-orang Melayu. Banyak anak-anak Melayu
terdahulu yang mengikuti kaedah pendidikan tradisional hanya mengikuti jejak langkah keluarga
mereka sama ada menjadi petani ataupun nelayan. Ini kerana kehendak kolonialisme zaman itu
memerlukan sijil sebagai ‘alat’ untuk menjawat sesuatu jawatan dalam kerajaan dan ia berterusan
hingga ke hari ini. Sebab penolakan kepada sistem pendidikan moden adalah kerana ditakuti
anaka-anak mereka yang terpesong akidah mereka dan bertukar agama menjadi Kristian. Sikap
tidak rasional ini amat merugikan bangsa Melayu kerana hingga mutakhir ini bangsa Melayu
masih lagi ketinggalan dalam bidang-bidang professional seperti kedoktoran, kejuruteraan,
perakaunan dan sebagainya.
Dengan wujudnya pemisahan antara ilmu agama dan ilmu sekular dalam sistem
pendidikan maka telah mewujudkan juga pemikiran-pemikiran yang bersifat sekular dan agama.
Bibit-bibit ini diperkukuhkan lagi apabila wujud ideologi yang bersifat kebangsaan dan bersifat
Islamdalam parti-parti politik. Suasana ini telah menimbulkan perpecahan dan pergolakan
10

sesama sendiri di kalangan orang-orang Melayu yang masing-masing berpegang teguh dengan
pendirian politik kepartian mereka. Ini adalah hasil dari pendekatan sekularisme yang ditaja oleh
kolonial dalam sistem pendidikan negara. Faham kebangsaan yang ditinggalkan oleh penjajah
British telah bertembung dengan aliran Islam sehingga memecah belahkan institusi
kemasyarakatan orang-orang Melayu. Semuanya bersusur galur dari sistem pendidikan yang
terpisah secara spiritualnya tetapi wujud dalam acuan dan sistem adalah satu.

Kesimpulan
Dasar dan polisi pendidikan kolonial telah membawa perubahan yang ketara dalam
kehidupan bermasyarakat orang-orang Melayu. Kalau zaman tadisional, masyarakat Melayu
diletakkan di bawah satu naungan (sultan dan raja Melayu) tetapi apabila berlakunya
kolonialisme Barat maka terjadinya pemisahan antara pemerintahan dan agama (sekularisme)
sehingga mengubah keseluruhan corak hidup orang-orang Melayu. Paksi kepada pemisahan ini
dapat dilihat dengan jelas melalui sistem pendidikan yang diberikan kepada rakyat. Unsur
material yang dipersembahkan kepada melalui pengenalan sijil-sijil atau anugerah-anugerah
tertentu dalam peperiksaan menjadikan masyarakat Melayu terikat dengan budaya
kecemerlangan akademik semata-mata dengan matlamat menjadikan pendidikan sebagai asas
untuk mendapat pekerjaan yang baik. Inilah yang amat ditekankan oleh ibu bapa agar anak-anak
mereka cemerlang dalam pelajaran di sekolah ataupun di universiti tetapi ramai dari kalangan ibu
bapa yang tidak prihatin akan ketidakuapayaan dan kelemahan anak-anak mereka dalam
pengajian keagamaan seperti pembacaan al-Quran dan penguasaan ilmu fardu ain yang menjadi
kewajipan bagi setiap individu Muslim.
Tidak adapat dinafikan bahawa gabungan ilmu sekular dan ilmu Islam banyak
dilaksanakan di sekolah-sekolah harian malahan di universiti di dalam negara kita tetapi
penghayatannya amat kurang sekali. Diskriminasi terhadap kurikulum agama jelas berlaku
apabila ia diajar di waktu petang dan diberi pilihan sama ada murid ingin menghadirinya atau
tidak. Ini memberi kesan jangka panjang dan tidak mustahil pada masa hadapan ramai dari
kalangan murid yang tidak akan tahu membaca al-Quran dan mengenal Islam. Perubahan
sosialisasi masyarakat Melayu akibat dari pelaksanaan sistem pendidikan sekular amat
membimbangkan sekali dan tindakan segera perlu difikirkan secara kolektif agar yang dikejar
akan diperolehi dan yang dikendong tidak berciciran.

RUJUKAN

Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1989; Islam Dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisional, KL:
Penerbit Pena Sdn. Bhd.

11

Abdullah Ishak, 1990; Islam di Nusantara Khususnya di Tanah Melayu, Penerbit alRahmaniah.
al-Attas, Syed Muhamad Naquib, 1999, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, KL:
Angkatan Belia Islam Malaysia.
B.W. Andaya & L.Y. Andaya, 1982, A History of Malaysia, The Macmillan Press Ltd.
Choong Lean Keow, 2008, Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, KL: Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng, 1996; Pendidikan di Malaysia 1; Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah,
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Khoo Kay Kim, 1992, Kedatangan Orang Eropah dalam Zainal Abidin Abdul Wahid at. all.,
Malaysia Warisan dan Perkembangan, KL: DBP
Mohd Ali Kamarudin, 1981, Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, KL:
Penerbit UKM
Muhammad Yusuf Hashim, 1992, Pensejarahan Melayu: Kajian Tentang Tradisi Sejarah
Melayu Nusantara, KL: DBP.
Nik Hassan Suhaimi, 1992, Zaman Protosejarah Malaysia dalam Zainal Abidin Abdul Wahid at.
all., Malaysia Warisan dan Perkembangan, KL: DBP
Nik Safiah Karim at all, 1991, Tatabahasa Dewan, jilid 1, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahril Marzuki at all; 1994, Pendidikan di Malaysia, Utusan Publications and Distributors
Sdn. Bhd.
Shahril Marzuki dan Habib Mat Som, 1999, Isu Pendidikan di Malaysia Sorotan dan
Cabaran, Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.
Syed Muhammad Khairudin al-Junied & Dayang Istiaisyah Hussin, August 2005, Estranged
From The Ideal Past: Historical Evolution of Madrasahs in Singapore, Journal of Muslim
Minority Affairs, Vol. 25, No. 2.
William R. Roff, 2004, Nasionalisme Melayu, terj., KL: Penerbit Universiti Malaya.

12