Pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional

First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)

PELAKSANAAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL (SLDN) DI KOLEJ
VOKASIONAL WILAYAH SELATAN; SATU KAJIAN AWAL
Akhmal Annas Hasmori a
Fakulti Pendidikan Teknikal dan
Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia

Jailani Md Yunos b
Fakulti Pendidikan Teknikal dan
Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia

Rohana Hamzahc
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi
Malaysia

Noor Hisham Jalanid
Fakulti Pendidikan Teknikal dan
Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn

Malaysia

akhmalannas@yahoo.coma, jailani@uthm.edu.myb, anahaiqal@yahoo.com,
jnhisham@gmail.comd
ABSTRACT
This preliminary study aimed to get the overview of National Dual Training System (NDTS) held in
Southern Regions’ Vocational Colleges (VC) and henceforward to identify gap and opportunity
towards empowerment the quality of current high potential skill training system. The participants of
this study consist of two Officers from Southern Regions’ Department of Skills Development (DSD)
and two Officers of Southern Regions’ VC. Data collected from the interviews were coded and
analysed to answer research objectives and research questions set. There are four main components
that are the focus in this preliminary study which are the current status of implementation of the
NDTS; methods of implementation and evaluation of NDTS; methods of application and assessment
of Social Skills and Social Values’ competency; and how the quality of Social Skills and Social Values’
competency can be enhanced in the implementation of NDTS at Southern Regions’ Vocational
Colleges. The overall outcomes of this preliminary study find that the implementation of NDTS at
Southern Regions’ VC already on the right track and very potential in producing competent Holistic
K-Workers in this country. However, there are some aspects contained in National Educational
Philosophy (NEP) which have long admired in this country have been identified as having potential to
be integrated into this current skills training system. This holistic integration process thus seen to have

great potential in improving the NDTS Holistic K-Workers’ competency developed in this country.
Keywords: National Dual Training System (NDTS), Vocational College (VC), Holistic K-Workers,
National Educational Philosophy (NEP).

ABSTRAK
Tujuan utama kajian awal ini dijalankan adalah untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berkenaan
pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dijalankan di Kolej Vokasional (KV) Wilayah
Selatan dan seterusnya mengenalpasti ruang dan peluang ke arah memperkasakan lagi kualiti sistem
latihan kemahiran berpotensi tinggi yang sedia ada ini. Peserta kajian ini terdiri daripada dua orang
Pegawai dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Selatan dan dua orang Pegawai dari
KV Wilayah Selatan. Data yang dikumpul dari temubual telah dikodkan dan dianalisis bagi menjawab
objektif dan persoalan kajian yang telah ditetapkan. Terdapat empat komponen utama yang menjadi
fokus dalam kajian awal ini iaitu status terkini pelaksanaan SLDN; kaedah pelaksanaan dan penilaian
SLDN; kaedah penerapan dan penilaian kompetensi Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial; dan
bagaimana kualiti kompetensi Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial dapat dipertingkatkan dalam
pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan. Dapatan menyeluruh daripada kajian awal yang dilakukan
ini mendapati bahawa pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan telah berada pada landasan yang
betul dan amat berpotensi dalam melahirkan K-Pekerja Holistik yang kompeten di negara ini. Namun
yang demikian, terdapat beberapa aspek yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) yang telah sekian lama disantuni di negara ini telah dikenalpasti mempunyai potensi untuk

diintegrasikan ke dalam sistem latihan kemahiran sedia ada ini. Proses integrasi holistik ini
seterusnya dilihat mempunyai potensi yang besar dalam mempertingkatkan lagi kualiti kompetensi KPekerja Holistik SLDN yang dibangunkan di negara ini.
Kata Kunci: Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Kolej Vokasional (KV), K-Pekerja Holistik,
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
1

First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)

1. PENGENALAN
Kemajuan dalam pengetahuan tentang tingkah laku manusia dan matlamat sebenar sebuah
kehidupan telah menjadikan sesebuah pekerjaan itu pada masa kini tidak lagi hanya dilihat
sebagai kaedah pencarian sumber rezeki semata-mata. Ianya kini juga tidak dilihat sebagai
kaedah peningkatan taraf ekonomi serta status seseorang individu itu kerana ianya sudah
berkembang menjadi perkara yang lebih luas dan melampaui keperluan melahirkan tenaga
kerja sahaja (Salleh, 2010). Pekerjaan atau kerjaya telah diberi nafas baru yang mana ianya
dianggap sebagai sebuah pengalaman yang mempunyai kaitan rapat dengan pilihan gaya
hidup, dorongan psikologi dan kesannya terhadap kesejahteraan individu dan komuniti. Oleh
yang demikian, dalam meningkatkan lagi taraf seseorang pekerja di negara ini, pelbagai
inisiatif dan perancangan telah dilakukan bagi memenuhi konsep atau idea modal insan
yang sering disebutkan pada masa kini. Konsep modal insan merupakan suatu konsep yang

berasal daripada model ekonomi kapitalisme sumber manusia yang mementingkan
hubungan di antara elemen produktiviti dan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan
sumber manusia (Borham, Abidin, Ahmad, & Razak, 2011). Antara inisiatif yang telah
diambil bagi mencapai cita-cita ini ialah dengan melaksanakan transformasi dalam sistem
Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang dijalankan di negara ini.
Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) merupakan satu usaha untuk merekayasa
sistem pendidikan vokasional sedia ada sehingga terbina suatu sistem baru yang dapat
menyumbang kepada agenda transformasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
Proses transformasi ini akan dilakukan secara berperingkat iaitu bermula dengan fasa
lonjakan (2011-2013), fasa peningkatan (2014-2016), dan seterusnya fasa pemerkasaan
(2017-2020). Secara keseluruhannya, Pelan Strategik TPV merupakan merupakan usaha
merekayasa kurikulum, institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir urus, dan
sumber manusia ke arah pembangunan sistem TVET baharu di Malaysia (KPM, 2011).
Konsep TPV secara keseluruhannya dapat dilihat pada Rajah 1. Proses transformasi ini
diperkukuhkan lagi dengan wujudnya hubungan kerjasama di antara dua agensi kerajaan
yang merupakan nadi utama kepada pelaksanaan sistem TVET di Malaysia iaitu
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM). Keduadua agensi ini iaitu masing-masing melalui Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
(BPTV) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memetrai perjanjian bersama
untuk melaksanakan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di beberapa buah Kolej
Vokasional yang terpilih.

Antaranya ialah pelaksanaan SLDN di semua 79 buah KV di seluruh Malaysia termasuk
Sabah dan Sarawak bermula tahun 2013, dengan projek rintis telah dilaksanakan di KV
Kajang dan KV Sungai Buloh bermula sesi kemasukan pelajar pada 2011/2012. Sejumlah
42 perantis telah menamatkan latihan pada Disember 2012 dengan mendapat Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3 dan bagi kemasukan 2012/2013 seramai 87 perantis
telah mendaftarkan diri (JPK, 2013). Menurut JPK (2013) lagi, pelaksanaan projek rintis ini
secara keseluruhannya akan melibatkan 15 buah KV dengan enrolmen seramai 3,500
pelajar dan meningkat kepada 15,000 pelajar pada tahun hadapan. Tempoh pengajian
antara dua hingga empat tahun dengan kelulusan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang
diiktiraf oleh JPK menawarkan 53 bidang pengajian termasuk pertanian, pelancongan dan
penerbangan. Pihak KSM dan KPM juga akan meneruskan kerjasama ini bagi membantu
perantis-perantis yang telah menamatkan latihan untuk mendapatkan pekerjaan untuk di
syarikat-syarikat yang berdaftar dengan KSM. Secara keseluruhannya, pelaksanaan SLDN
di semua KV seluruh negara merupakan satu usahasama yang amat baik dalam
menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten dan berkemahiran tinggi, malah
berkeupayaan untuk memberi sumbangan secara optimum kepada pembangunan agama,
masyarakat, dan negara.

2


First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)

Rajah 1: Konsep TPV (KPM, 2011)
Tujuan utama pelaksanaan SLDN adalah untuk menghasilkan K-Pekerja Holistik yang mana
definisinya di Malaysia ialah seorang pekerja yang kompeten dalam bidang teknikal,
metodologi pembelajaran, kemahiran sosial dan nilai sosial (Leong, Yunos, & Spottl, 2009;
Othman, 2005; Sail et al., 2007). SLDN yang menggunakan konsep dual system dari negara
Jerman ini boleh dianggap sebagai satu sistem latihan yang holistik kerana ianya bukan
sahaja mementingkan aspek pembangunan kemahiran semata-mata, tetapi sistem ini turut
menekankan aspek integrasi di antara pengetahuan, kemahiran, nilai dan bahasa dalam
proses pembelajaran. SLDN menggunakan National Occupational Core Curriculum (NOCC)
iaitu Kurikulum Teras Pekerjaan Kebangsaan yang dibangunkan berasaskan kepada polisi
semasa kerajaan dalam program pembangunan peringkat nasional dan dilakukan oleh
sekumpulan pakar dalam sesuatu bidang pekerjaan (Leong et al., 2009). Kompetensi KPekerja Holistik SLDN dapat dilihat dalam Rajah 2. Integrasi tiga kompetensi utama iaitu
kemahiran teknikal, kemahiran metodologi pembelajaran, dan kemahiran sosial diyakini
dapat membentuk beberapa nilai-nilai sosial yang positif (Aripin, 2012).

Rajah 2: Kompetensi K-Pekerja Holistik SLDN (Sail et al., 2007)
3


First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)
Pelaksanaan SLDN di KV ini diharapkan dapat memperkasakan lagi proses pembangunan
individu berkemahiran yang berkualiti tinggi. Berkualiti tinggi yang dimaksudkan di sini dapat
didefinisikan sebagai seorang pelatih yang bukan sahaja kompeten dalam aspek
pekerjaannya semata-mata, tetapi juga kompeten dalam aspek untuk meneruskan
kelangsungan iaitu survival dalam keseluruhannya aspek kehidupannya pada jalan yang
benar. Ringkasnya, KV dilihat berpotensi untuk menjadi platform terbaik dalam usaha untuk
menerapkan nilai-nilai kemanusiaan di dalam latihan kemahiran kepada para pelatih. Hal ini
terbukti apabila terdapat beberapa kajian yang telah mengenalpasti elemen kemanusiaan ini
sebagai agen pemangkin yang amat berpotensi dalam meningkatkan keberkesanan sesuatu
sistem latihan kemahiran. Hal ini juga bertepatan dengan pernyataan Baba (2011) yang
menyatakan bahawa modal insan yang berkualiti ialah modal insan yang mempunyai ciri-ciri
seperti disiplin akal iaitu minds-on, disiplin hati iaitu hearts-on, dan disiplin amal iaitu handson.
2. OBJEKTIF DAN PERSOALAN KAJIAN
Objektif kajian ini adalah untuk:
i.
ii.

Mendapatkan gambaran keseluruhan tentang pelaksanaan SLDN di KV Wilayah
Selatan.

Mengenalpasti potensi dalam membantu JPK untuk meningkatkan kualiti pelaksanaan
program SLDN di KV Wilayah Selatan.

Berdasarkan objektif kajian di atas, persoalan bagi kajian ini adalah:
i.
ii.
iii.
iv.

Apakah status terkini pelaksanaan SLDN di KV Wilayah Selatan?
Apakah kaedah pelaksanaan dan penilaian SLDN yang dijalankan di KV Wilayah
Selatan?
Bagaimanakah kaedah penerapan kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial
dijalankan ke atas pelatih SLDN di KV Wilayah Selatan?
Bagaimanakah kualiti kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial pelatih SLDN
dapat dipertingkatkan?

Dapatan kajian ini diharapkan dapat memberi impak yang signifikan kepada JPK dan BPTV
amnya dalam meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan SLDN di Kolej Vokasional; dan
khususnya memperkasakan lagi kualiti kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial bakal

K-Pekerja Holistik SLDN.
3. METODOLOGI DAN PROSEDUR KAJIAN
Rekabentuk kajian yang digunakan adalah kualitatif dengan menggunakan kaedah temubual
dan analisis dokumen. Sesi temubual telah dijalankan pada 13 April 2014 dan 22 April 2014
masing-masing di bilik mesyuarat JPK Wilayah Selatan dan pejabat KV Wilayah Selatan.
Kesemua data dan dokumen juga telah dikutip pada hari yang sama. Etika temubual seperti
kerahsiaan, keselesaan, dan professionalisme (Piaw, 2012) sentiasa dipatuhi sepanjang
sesi temubual dijalankan. Responden kajian ini terdiri daripada 2 orang pegawai dari JPK
Wilayah Selatan dan 2 orang pegawai dari KV Wilayah Selatan. Keempat-empat responden
kajian ini merupakan individu professional yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan
aspek program SLDN yang dijalankan di KV Wilayah Selatan.
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah soalan temubual semi-struktur yang
dibangunkan sendiri oleh pengkaji bagi menjawab objektif dan persoalan kajian yang
ditetapkan. Analisis data temubual secara manual dimulakan dengan membuat transkripsi
lengkap setiap sesi temubual yang dijalankan. Kemudian, transkrip temubual dibaca
berulang kali bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh berkenaan isu yang dikaji.
Beberapa tema juga telah dibentuk bagi memudahkan proses refleksi dan perbincangan
dilakukan (KPM, 2008).
4


First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)

4. DAPATAN KAJIAN
4.1 Status Terkini Pelaksanaan SLDN
SLDN merupakan salah satu program latihan kemahiran yang dijalankan oleh JPK dan
melalui kerjasama yang dilakukan bersama dengan BPTV, SLDN telah dapat mula
dilaksanakan di peringkat KV (JPK, 2013). Sehingga kini, pelaksanaan SLDN di KV Wilayah
Selatan masih lagi bergiat aktif dengan penglibatan 4 buah KV dengan sejumlah 115 orang
perantis berdaftar dari pelbagai kursus. Antara kursus yang ditawarkan ialah Juruteknik
Kenderaan Motor, Jurukimpal Arka Logam Berperisai, Pembuat Perabot, Juruteknik Elektrik
Rendah, Peralatan Penyamanan Udara HVAC, Proses Shielded Metal Arc Welding, dan
Penyediaan dan Pembuatan Makanan. Salah seorang responden yang terlibat turut
menyatakan bahawa “KV kami merupakan antara perintis pelaksanaan SLDN bagi KV
wilayah selatan yang telah mula dijalankan pada tahun 2013 dan masih lagi aktif sehingga
kini“. Hal ini merupakan sesuatu yang positif kerana boleh memberi peluang yang sama
kepada pelatih-pelatih KV Wilayah Selatan yang berminat untuk mengikuti program SLDN
ini.
4.2 Kaedah Pelaksanaan Dan Penilaian SLDN
SLDN menggunakan kurikulum latihan yang dibangunkan berdasarkan kepada National
Occupational Skills Standard (NOSS) yang dibentuk oleh pakar dalam sesuatu bidang

latihan pekerjaan. Ringkasnya, kandungan kurikulum SLDN adalah seperti berikut; Training
Occupation atau Latihan Pekerjaan, Occupational Profile atau Profil Pekerjaan,
Occupational Core Work Processes atau Teras Pekerjaan dan Proses Kerja, Core
Competencies atau Kompetensi Teras, Training Content Outline atau Panduan Kandungan
Latihan, dan Learn and Works Assignments (LWA) atau Tugasan Kerja dan Belajar (Sail et
al., 2007). Daripada sesi temubual yang dijalankan, pengkaji telah dimaklumkan bahawa
“Kerjasama di antara BPTV dan JPK sebenarnya telah bermula sejak lama dahulu iaitu
semasa menjalankan kursus-kursus SKM”. Hal ini menunjukkan bahawa, kedua-dua badan
ini telah mempunyai pengalaman dan rekod yang baik dalam menjalankan program
bersama.
Daripada kajian ini, pengkaji juga telah dimaklumkan bahawa proses penilaian SLDN adalah
satu proses untuk menilai tahap pencapaian keterampilan seseorang perantis yang
mengikuti program ini. Keterampilan perantis pula merangkumi Kompetensi Teknikal,
Pembelajaran dan Metodologi, dan Kompetensi Sosial dan Kemanusiaan. Penilaian juga
akan dilakukan dengan pelbagai kaedah yang telah digariskan oleh kedua-dua pihak iaitu
pihak KV dan pihak Industri yang terlibat. Sistem penilaian adalah penting untuk
dilaksanakan bagi memastikan seseorang perantis itu telah mencapai tahap keterampilan
yang standard dan layak untuk penganugerahan Sijil. Hal ini turut telah disahkan oleh salah
seorang responden yang meyatakan bahawa “SLDN yang dilaksanakan di KV ini mengikuti
sepenuhnya struktur pelaksanaan dan penilaian yang telah distandardkan oleh JPK, untuk
memastikan setiap daripada mereka benar-benar kompeten”.
Antara kekuatan SLDN yang dijalankan pada peringkat awal seperti pada peringkat KV ini
ialah, proses integrasi kemahiran sosial dan nilai sosial dalam kurikulum teknikal yang dilihat
berpotensi dalam memenuhi permintaan serta kehendak daripada industri atau majikan. Hal
ini terbukti apabila salah seorang responden menyatakan bahawa “Keunikan SLDN ini
sendiri ialah kita cuba masukkan juga kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial, yang
juga akan dinilai bersama-sama dengan industri”. Ringkasnya, SLDN dianggap sebagai satu
sistem latihan teknikal dan juga sistem latihan kemanusiaan yang mana ianya telah menjadi
satu kekuatan SLDN sendiri apabila sistem ini dapat menggabungkan kedua-dua
kompetensi yang penting ini pada masa yang sama dalam satu sistem latihan.

5

First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)
4.3 Kaedah Penerapan Kompetensi Kemahiran Sosial Dan Nilai Sosial
Proses penerapan kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial dalam SLDN dijalankan
dengan menggunakan sebuah buku panduan yang telah diterbitkan oleh KSM Malaysia
sendiri. Buku ini telah ditulis oleh sekumpulan pakar dalam kaedah pelaksanaan dan
penerapan kemahiran sosial dan nilai sosial dalam latihan kemahiran di Malaysia ini (Sail et
al., 2007). Menurut salah seorang responden yang terlibat, “Buku inilah yang digunakan
sebagai panduan oleh tenaga pengajar atau coach untuk membantu pelatih dari aspek
kompetensi kemahiran sosial dan nilai sosial di dalam setiap sesi latihan yang dijalankan”.
Berdasarkan Rajah 1 di atas, Kemahiran Sosial yang cuba diterapkan ialah kemahiran
komunikasi, konsepsual, interpersonal, pembelajaran, kepimpinan, melaksanakan pelbagai
tugas mengikut keutamaan, disiplin diri, dan kerja berpasukan.
Manakala Nilai Sosial pula terdiri daripada semangat kebersamaan, kepatuhan, kerjasama,
keberanian, ketekunan, rasa terima kasih, jujur, adil, ketelitian, kesederhanaan, sabar, budi
bahasa, tepat masa, rasional, rasa hormat, dan berdikari. Berdasarkan perkongsian yang
dilakukan oleh salah seorang responden yang terlibat, perubahan ketara dari aspek
kemanusiaan ini memang boleh dilihat telah berlaku pada pelajar-pelajar yang mengikuti
program SLDN ini. Beliau berkata “Pernah ada satu kumpulan pelajar yang baru balik dari
industri ini, bila sampai waktu solat terus ajak semua solat bersama, kalau dulu mesti kena
tunggu saya yang suruh”. Beliau turut menyatakan bahawa, di samping perubahan dalam
aspek akademik atau kemahiran, perubahan-perubahan aspek sebegini juga adalah penting
dalam pembangunan kompetensi setiap pelatih-pelatih yang terlibat. Menurut beliau,
“Pelatih kita juga manusia, bukannya mesin”.
4.4 Peningkatan Kualiti Kompetensi Kemahiran Sosial Dan Nilai Sosial
Di antara kekuatan pelaksanaan SLDN di peringkat KV berbanding di Institut Latihan
Kemahiran Awam (ILKA) yang lain ialah wujudnya keperluan untuk menerapkan nilai-nilai
FPK ke dalam setiap pelatih yang terlibat. Hal ini kerana, keseluruhan pengoperasian KV,
BPTV, dan pembangunan potensi pelatih itu sendiri masih lagi tertakluk kepada falsafah
pendidikan yang telah ditetapkan oleh KPM sejak sekian lama (PPK, 1988). Ringkasnya,
teras-teras yang terkandung di dalam FPK ialah:
“Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha yang berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani,
rohani, emosi, dan intelektual berasaskan kepercayaan dan keyakinan kepada
Tuhan”

(Ismail & Hassan, 2009)
Pengkaji juga telah mencuba untuk mendapatkan pandangan daripada responden yang
terlibat berkenaan potensi untuk mengintegrasikan nilai-nilai yang terkandung di dalam FPK
terutamanya aspek Ketuhanan dengan aspek Kemanusiaan yang cuba diterapkan dalam
SLDN. Di antara maklumbalas yang diterima ialah “Idea ini memang merupakan sesuatu
yang bagus, namun yang demikian, kita mungkin akan menerima sedikit kesukaran dan
halangan daripada pihak industri, sebab kita kena faham industri ni business oriented”.
Seterusnya, “Penerapan aspek ketuhanan ini sememangnya merupakan sesuatu yang amat
baik jika diterapkan dalam latihan kemahiran, namun ianya memerlukan kerjasama positif
dari seluruh komuniti, termasuklah ibu dan bapa pelajar, bukan dari pihak sekolah sahaja”.
Pandangan Beliau ini dilihat bertepatan perhatian yang dinyatakan oleh Hamzah (2010)
yang menyatakan bahawa pada masa kini kita sering menyaksikan pelbagai masalah yang
berlaku dalam komuniti adalah disebabkan oleh kejatuhan nilai kemanusiaan yang
dibangunkan atas dasar kemajuan sains dan teknologi yang terpisah dengan nilai agama
(Hamzah, 2010).

6

First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)
Seterusnya, pengkaji juga telah mendapatkan pandangan responden berkenaan dengan
kaedah yang terbaik untuk menerapkan integrasi nilai Ketuhanan dan Kemanusiaan ini
kepada pelatih SLDN di KV. Di antara pandangan yang diberikan ialah “Mungkin
penggunaan modul khas ke arah aspek tersebut perlu diwujudkan, dan pembangunan
modul itu sendiri mestilah dilakukan dengan teliti terlebih dahulu”. Beliau turut menyatakan
bahawa “Kalau boleh pelaksanaan modul kepada pelatih itu nanti di outsource kan bagi
meminimumkan beban kepada pihak KV sendiri atau pihak industri”. Pada akhir sesi
temubual yang dijalankan, kesemua responden yang terlibat telah menyatakan aspirasi dan
harapan yang sangat positif berkenaan bagaimana potensi pelaksanaan SLDN di KV ini
dapat dipertingkatkan lagi dengan menggunakan pendekatan yang bersepadu ini.
Pendekatan sebegini adalah sangat penting kerana ia merupakan proses menanamkan
kefahaman tentang kesihatan spiritual secara teoritikal, praktikal, dan empirikal melalui
proses pendidikan dan latihan bagi menjamin perkembangan akal budi yang sejahtera
setiap pelatih yang terlibat (Aripin, Hamzah, Othman, & Norihan, 2011; Baba, 2006, 2011).
5. REFLEKSI DAN PERBINCANGAN
Daripada data temubual yang dilakukan, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan SLDN
pada peringkat awal seperti di KV Wilayah Selatan ini sememangnya mempunyai potensi
yang amat besar. Hal ini kerana, pada peringkat awal remaja para pelatih telah diberikan
peluang pendedahan kepada aspek World of Work yang sebenar. Perkara seperti ini
sememangnya merupakan sesuatu yang amat baik serta bertepatan dengan konsep
Technical and Vocational Education and Training (TVET) itu sendiri yang menekankan
aspek persediaan untuk pekerjaan (UNESCO, 2012). Namun yang demikian, kita juga perlu
berhati-hati dengan sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang pada masa kini dilihat
semakin memberi fokus kepada pencapaian akademik yang berasaskan pengetahuan
intelektual dan kemahiran semata-mata.
Aspek pembangunan potensi spiritual atau kejiwaan seseorang pelatih itu semakin kurang
diberikan perhatian. Akibatnya, perkara ini menjadi tidak ubah seperti kilang pelajar yang
cemerlang peperiksaan namun tidak mampu menyumbang secara optimum kepada proses
pembangunan keilmuan dan seterusnya tidak terbuka untuk menghayati proses
pembangunan diri secara berterusan (Baba, 2011; Hamzah, 2010). Komponen-komponen
Kemanusiaan dan Ketuhanan juga seringkali dilihat dari perpekstif yang terpisah-pisah
dalam subjek yang tertentu sehingga menyukarkan pelatih untuk membuat perkaitan antara
subjek, nilai, dan pembangunan akhlak yang ingin diterapkan melalui sistem latihan yang
dilalui (Aripin, 2012). Hal ini ternyata bertentangan dengan strategi pembangunan
menyeluruh yang terdiri daripada aspek perpaduan nasional, kualiti hidup dan nilai spiritual
(Yunos, Ahmad, Kaprawi, & Razally, 2005).
Oleh yang demikian, pengkaji menyimpulkan bahawa pelaksanaan sistem latihan yang amat
berpotensi tinggi seperti SLDN di platform awal pendedahan seperti pada peringkat KV ini
merupakan ramuan yang terbaik dalam membangunkan modal insan berkualiti di negara ini.
Simbiosis ini telah terbukti boleh dan telah berjaya dilakukan di negara-negara seperti
Jerman, Austria, dan negara-negara lain di Eropah (Leong, Narunan, & Sim, 2010; Loose,
Spottl, & Sahir, 2008). Namun, sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat, potensi modal
insan di negara ini seharusnya dibangunkan berpandukan kepada nilai-nilai universal agama
Islam supaya negara kita boleh terus maju ke hadapan mengikut acuan negara kita sendiri
seperti mana yang terkandung di dalam FPK (Baba, 2011; PPK, 1988). Hal ini turut
ditegaskan oleh Daud (2005) dalam penulisannya yang berkaitan dengan Falsafah dan
Amalan Pendidikan Islam; apa sahaja yang mempunyai perkaitan dengan pendidikan atau
latihan, sama ada cita-cita atau tujuan peringkat kebangsaan, kandungan kurikulum dan
kaedah pelaksanaannya seharusnya menekankan kepentingan falsafah pendidikan yang
bersifat menyeluruh dan tidak sama sekali dipisahkan daripada nilai agama dan hakikat
kebenaran penciptaan manusia. Integrasi aspek kejiwaan ini kemudiannya ternyata akan
mampu membawa manusia kepada kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga di dunia lain
selepas dunia ini.
7

First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014)
RUJUKAN
Aripin, M. A. (2012). Modul Pendekatan Pendidikan Integrasi Holistik Dalam Latihan
Penguruan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Universiti Teknologi Malaysia.
Universiti Teknologi Malaysia.
Aripin, M. A., Hamzah, R., Othman, M. Z., & Norihan, I. S. (2011). Hala Tuju Pendidikan
Teknik dan Vokasional: Integrasi Kaedah Avicenna dan Konsep Pendidikan Untuk
Semua. Jurnal Teknologi (Sains Sosial), 56(Sept), 151–160.
Baba, S. (2006). Pendidikan Rabbani; Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia. Karya Bestari
Sdn Bhd.
Baba, S. (2011). Tajdid Ilmu dan Pendidikan. Techknowlogic Trading Sdn Bhd.
Borham, A. J., Abidin, A. F. M. Z., Ahmad, H., & Razak, M. A. (2011). Mengangkasa Modal
Insan; Isu dan Cabaran. Penerbit UMP.
Daud, W. M. N. W. (2005). Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas;
Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi. Penerbit UM.
Hamzah, R. (2010). Mengenal Manusia; Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti. Penerbit
UTM.
Ismail, H., & Hassan, A. (2009). Holistic Education in Malaysia. European Journal of Social
Sciences, 9(2), 231–236.
JPK. (2013). Laporan Tahunan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) 2012. Kuala
Lumpur: JPK.
KPM. (2008). Buku Manual Kajian Tindakan. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan
Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
KPM. (2011). Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional. Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Leong, P. C., Narunan, R., & Sim, S. (2010). Background Paper For Malaysia: Skills
Development in The Workplace in Malaysia. ILO/SKILLS-AP/Japan Regional Technical
Workshop and Study Programme on Skills Training in the Workplace Overseas
Vocational Training Association, Chiba, Japan, (February).
Leong, P. C., Yunos, J. M., & Spottl, G. (2009). Comparative Review Of The National
Occupational Skills Standard (Noss) - Based Training System And The National Dual
Training System (Ndts) In Malaysia: Issues And Themes. Malaysian Labour Review,
3(1), 110–138.
Loose, G., Spottl, G., & Sahir, Y. M. (2008). “Re-Engineering” Dual Training – The Malaysian
Experience. Deutsche Nationalbibliothek.
Othman, A. (2005). The National Dual Training System : An Alternative Mode of Training for
Producing K-Workers in Malaysia? In Human Resource Development: Practices and
Directions for a Developed Malaysia (pp. 3–8). Penerbit UPM.
Piaw, C. Y. (2012). Kaedah Penyelidikan. McGraw Hill (Malaysia) Sdn Bhd.
PPK. (1988). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sail, R. M., Aroff, A. R. M., Samah, A. A., Hamzah, A., Noah, S. M., & Kasa, Z. (2007).
Sistem Latihan Dual Nasional; Buku Panduan Kemahiran Sosial dan Nilai Sosial dalam
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Kementerian Sumber Manusia Malaysia.
Salleh, A. M. (2010). Pendidikan Kerjaya dan Pembangunan Modal Insan. Penerbit UKM.
UNESCO. (2012). Transforming TVET- from idea to action. UNESCO-UNEVOC
International Centre for Technical and Vocational Education and Training.
Yunos, J. M., Ahmad, W. M. R. W., Kaprawi, N., & Razally, W. (2005). System of Technical
& Vocational Education & Training in Malaysia (TVET) (pp. 1–13).

8