ANAK TAK SAH TARAF DARI PERSEPEKTIF ISLA

ANAK TAK SAH TARAF DARI PERSEPEKTIF ISLAM
Muqaddimah

Perkahwinan adalah satu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang merupakan
pelaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Ia bertujuan menjalinkan ikatan
teguh antara lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah.
Perkahwinan disyari`atkan dalam Islam melalui akad nikah yang sah.
Perkahwinan disyari`atkan untuk mengembangkan zuriat manusia melalui cara
yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia
dan di akhirat. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisaa` ayat 1 :

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu Yang
telah menjadikan kamu (bermula) dari diri Yang satu (Adam), dan Yang
menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga Yang
membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan Yang
ramai.

Sebaliknya Islam mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
sebelum akad nikah. Ini bagi mengelakkan terjadinya perlanggaran terhadap
hukum Allah yang menyebabkan manusia terjebak kepada pelbagai masalah
antaranya melahirkan anak luar nikah.


Pengertian

Anak luar nikah atau anak tak sah taraf adalah anak yang lahir daripada ibu yang
tidak mempunyai sebarang ikatan perkahwinan dengan lelaki yang
menyetubuhinya dan bukan anak daripada perhubungan perkelaminan salah
sangka ( wati syubhah ).
Dalam kebanyakkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri di
Malaysia, anak tak sah taraf ditafsirkan sebagai : Seorang anak yang dilahirkan
di luar nikah iaitu samada berpunca daripada perbuatan zina atau dirogol atau
melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum Syara`.

Anak tak sah taraf juga bukan anak daripada persetubuhan syubhah atau bukan
daripada anak perhambaan atau anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan
dua lahzah daripada tarikh akad nikah. [1]

Anak tersebut (TST) dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah (tahun
qamariyyah) dari waktu “Imkan al-Dukhul” dan ia bukan daripada persetubuhan
syubhah.


Manakala anak tersebut juga (TST), boleh dinasabkan kepada lelaki yang
menyebabkan kelahirannya dengan syarat lelaki tersebut tidak menafikan yang
anak tersebut bukan daripada hasil hubungannya dengan ibu kepada anak
berkenaan. Disamping itu juga tidak berlaku penafian oleh kedua-dua belah
pihak iaitu ibu dan bapa kepada anak tersebut, juga pengisytiharan penafiannya
tidak dihebahkan kepada orang ramai, dan anak tersebut lahir setelah enam
bulan atau lebih daripada tarikh pernikahan, maka anak tersebut dikira sebagai
anak yang sah taraf menurut pandangan Islam walaupun anak tersebut terhasil
sebelum dari akad nikah yang sah dan lelaki tersebut menanggung segala yang
telah diperakukannya.[2]

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf

Persoalan anak tak sah taraf adalah satu persoalan berat mengikut hukum
syara` kerana ia melibatkan nasab keturunan, pesaka, wasiat, perwalian, nafkah,
pergaulan dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda :
(( ‫)) ْالجولدد ْلهرلِهفجراش ْجوهللِجعاَههرر ْالجحججرر‬

Maksudnya : “ Anak luar nikah itu adalah hak ibunya dan bagi bapa (penzina)

adalah batu sahaja (pembalasan)”.

Daripada hadith ini jelas bahawa anak yang dilahirkan di luar nikah atau
disebabkan oleh perzinaan, maka ianya dinasabkan kepada ibunya dan bapa
penzina / perogol tidak mendapat apa-apa.

Tempoh Minimum Kehamilan

Tempoh paling minimum adalah enam bulan ( Qamariyyah) dan dua lahzah.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 :

Maksudnya : “ Tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan
susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan ”.

Seterusnya firman Allah di dalam Surah al-Baqarah :

‫والوالدات ْيرضعن ْأولدهن ْحولين ْكاَملِين ْلمن ْأراد ْأن ْيتم ْالرضاَعة‬

Maksudnya : “ Dan ibu-ibu yang menyuskan anaknya selama dua tahun

(sempurna) bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan ”.

Berdasarkan dua ayat inilah para Fuqaha` menentukan bahawa tempoh minimun
kehamilan ialah enam bulan qamariyyah dan dua lahzah. Iaitu lahzah
percantuman benih suami isteri dan lahzah berlakunya kelahiran.
Pendapat Fuqaha` berkenaan al-Dukhul al-Haqiqiyy atau Imkan al-Dukhul

1) Imam Abu Hanifah :
Sesungguhnya nasab itu disabitkan dengan semata-mata akad nikah yang sahih
walaupun suami dan isteri tidak sempat berjumpa ( Dukhul). Sekiranya suami di
barat dan isteri di tiumr bernikah dan kemudiannya mendapat zuriat, maka anak
tersebut dinasabkan kepadanya (suami) sekalipun tidak sempurna pertemuan
(dukhul) di antara keduanya selepas akad.[3]

2) Imam al-Syafie, Malik dan Ahmad ( salah satu qaul Ahmad ) :
Sesungguhnya nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dengan
Imkan al-Dukhul dan al-Talaaqi. [4]

3) Pendapat Imam Ahmad ( qaul lain)
Nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dukhul haqiqiyy.[5]


Tempoh dan keadaan untuk Menafikan Nasab

Berkata Imam Malik , al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah :
Seseorang lelaki boleh dan hendaklah menafikan kandungan isterinya semasa
hari kandungannya dan melakukan penafian dengan meli`an isterinya di
Mahkamah.

Imam Malik juga berpendapat bahawa sekiranya seseorang lelaki berada di
samping isterinya semasa isterinya sedang mengandung, maka tempoh untuk
menafikan anak tersebut bermula dari isteri mula mengandung sehingga
bersalin. Tidak ada penafian lagi selepas isteri melahirkan anak tersebut.

Adapun sekiranya seseorang suami bermusafir atau ghaib semasa isterinya
mengandung sehinggalah melahirkan anak tersebut, maka baginya
(suami)menafikan anak tersebut apabila ia (suami) mengetahuinya.

Para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang lelaki mengingkari nasab
anaknya, maka wajib melakukan li`an di antaranya dan isterinya. Begitu juga
para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang suami telah menerima

anaknya sebelum daripada menafikan nasabnya – samada penerimaannya
sebelum itu adalah secara soreh (lafaz yang jelas) atau dengan perbuatan yang
menunjukkan penerimaannya seperti menerima ucapan tahniah, memberi
didikan atau mengasihani anak tersebut seperti selayaknya seorang bapa
mengasihi anaknya – maka tidak ada lagi baginya selepas itu HAK MENAFIKAN
bahawa anak tersebut bukan dari keturunannya.

Sekiranya seseorang suami menafikan nasab anak tersebut selepas
penerimaannya (lafaz soreh atau melalui perbuatan dan tindak tanduknya),
maka wajib ke atasnya Had Qazaf.

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf dari Segi Hukum Syara`.

a) Nasab Keturunan dan Penamaan

Dia tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia
juga tidak boleh dibin atau dibintikan kepada ibunya kerana mungkin boleh

menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut. Dia
hendaklah dibin atau dibintikan kepada salah satu nama Asma` al-Husna atau

sifat-sifat Allah yang berpangkalkan Abdul.

Surah al-Ahzab ayat 5 :

Maksudnya : “ Panggilah anak-anak angkat itu Dengan ber"bin"kan kepada bapabapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah ”.
Rasulullah SAW telah memutuskan (qadha) di antara suami dan isteri yang telah
berli`an bahawa anak perempuan (isteri) itu tidak dibin atau dibintikan kepada
ayahnya (suami).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali pertama pada 28-29 Januari
1981 telah memutuskan “ anak zina atau anak luar nikah (anak tak sahtaraf)
sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua pasangan ibu bapanya atau
tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah ”.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan :

GARIS PANDUAN MENGENAI ANAK TAK SAH TARAF
MENURUT HUKUM SYARA’

Sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah:
(1) Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau

melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara’.

(2) Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu
“Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

(3) Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu
“Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa
anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang
berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4
orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.[6]

( Warta pada 28hb April 2005 )

b) Kewajipan Memberi Nafkah

Segala nafkah dan sara hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab
ibunya. Ini kerana anak tersebut dinasabkan kepada ibunya dan bukan kepada
lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

c) Hak Mewarisi Harta Pusaka


Anak tak sahtaraf tidak terpuus hubungan dengan ibunya. Maka kedua-duanya
boleh mewarisi antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka
ia mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka ibunya bersama-sama ahli waris
yang lain. Begitulah sebaliknya jika ia meninggal terlebih dahulu. Seseorang
anak tak sah taraf tidak boleh sama sekali mewarisi harta pusaka orang yang
menyebabkan kelahirannya (bapanya yang tak sahtaraf) kerana ia bukan ahli
waris, begitu juga sebaliknya bapa itu tidak berhak untuk mewarisi harta
pusakanya.

d) Hak Perwalian dalam Perkahwinan dan Penjagaan

Wali kepada anak tak sahtaraf secara amnya adalah terletak kepada ibunya.
Walau bagaimanapun perwalian dalam pernikahan anak perempuan tak sahtaraf
ditetapkan kepada wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tisak sah
menjadi wali di dalam urusan perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya
sebelum akad nikah yang sah, samada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan
ibunya selepas itu, tetap tidak sah menjadi walinya. Berhubung dengan
penjagaan anak tak sahtaraf adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada
ibu dan saudara mara sebelah ibunya kerana tiada bukti yang boleh disabitkan

siapakah sebenarnya lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Walau
bagaimanapun perkahwinan seseorang anak tak sahtaraf (perempuan) dengan
seseorang lelaki biasa adalah sah.

e) Hubungan Mahram

Perhubungan anak tak sahtaraf dengan anak-anak dan ahli keluarga sebelah
ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang satu. Tetapi perhubungan
ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu.

Jika dia seorang perempuan maka wuduknya dan wuduk suami ibunya tidak
batal apabila bersentuhan. Pergaulan antaranya dan suami ibunya adalah
pergaulan anak tiri dengan bapa tirinya.

f) Kematian dan Perkara yang Berkaitan

Seseorang anak tak sahtaraf yang belum baligh adalah mengikut hukum agama
ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang
beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara
pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang Islam maka ia dihukum

sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi
ibunya itu seorang Islam. ( berlainan sedikit dengan anak temuan, al-Laqiit ).

g) Amal Kebajikan / Perlindungan

Jika semasa hidupnya dia telah melakukan amal soleh samada untuk dirinya atau
untuk masyarakat, maka segala manfaatnya dari segi pahala atau lain-lain akan
kembali kepada dirinya. Tidak ada bezanya di antara dirinya dengan diri orangorang soleh yang lain.

Kalau dia berilmu tinggi dia harus memegang apa sahaja jawatan yang diberikan
kepadanya, samada yang berkaitan dengan urusan agama atau urusan-urusan
lainnya.

Seorang anak tak sahtaraf hendaklah diberi perlindungan dan juga nafkah sama
seperti anak-nak lain dari sudut agama dan undang-undang. Dia juga berhak
mendapat perlindungan sepenuhnya daripada ibunya, keluarga ibunya dan
pemerintah.

h) Anak Tiada Identiti

Jika seseorang anak yang tidak dikenalpasti identitinya (anak pungut) dan tidak
dapat ditentukan keturunannya iaitu samada Islam ataupun bukan Islam, maka
adalah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah Islam / pentadbir (kerajaan)
membesarkannya menerusi rumah kebajikan dalam menjaga kebajikannya serta
mendidiknya menurut agama Islam.

Penutup

Dari huraian di atas, dapatlah difahami bahawa seorang anak tak sahtaraf
bukanlah seorang insan yang terbiar dan tidak bermaruah. Malahan dari sudut
agama dan undang-undang dia mendapat perlindungan sepenuhnya.

Masyarakat hendaklah memberi pertimbangan yang adil terhadap
kedudukannya. Dengan itu diharapkan akan terhapus tekanan yang sering
menghantui hidupnya. Dengan itu dia mampu menjadi insan yang soleh dan
berguna untuk agama, bangsa dan negaranya.