TEORI ANTROPOLOGI DAN SOSIOLOGI SERTA KE (1)

TEORI ANTROPOLOGI DAN SOSIOLOGI SERTA
KEPENTINGANNYA DALAM KEHIDUPAN SOSIAL
SEHARIAN
Ismahalil Ishak
Muhammad Hisyam Mohd
1.0

Pendahaluan

Di dalam menelusuri kehidupan seharian, manusia akan berhadapan dengan pelbagai fenomena,
cabaran dan permasalahan. Manusia juga turut berhadapan dengan persoalan-persoalan seperti
mengapa kita bertindak seperti yang kita inginkan? Mengapa kita seringkali mempunyai
pandangan yang berlainan tentang sesuatu isu dan mengapa perkara atau senario itu berlaku?
Para sarjana percaya bahawa untuk memahami dan menjawab persoalan yang wujud di sekeliling
manusia ia memerlukan satu bentuk pemikiran dan alat yang dapat membantu manusia
memahami apa yang berlaku dan ia dikenali sebagai ‘Teori’. Esei ini terdiri daripada dua
bahagian utama iaitu; pertama, konsep asas teori dan bahagia kedua akan membincangkan
berkenaan pemahaman dan kepentingan teori antropologi dan sosiologi di dalam masyarakat
serta cuba mengupas dua teori utama dengan contoh-contoh yang sesuai.

2.0


Konsep Asas Teori

2.1

Definisi dan peranan teori

Secara umumnya, teori merupakan satu bentuk gagasan pemikiran yang membantu manusia
memahami dan menerangkan realiti sosial dalam persekitaran sosial manusia. Karl Popper
(1959) menerusi buku beliau yang bertajuk The Logic of Scientific Discovery menyatakan
bahawa teori merupakan satu bentuk jaringan yang digunakan untuk menggambarkan ‘Dunia’
dan ia membantu untuk memahami kenyataan yang berlaku di dalamnya. Seterusnya Cohen
(1980) pula berpandangan bahawa teori adalah proses pengembangan idea-idea yang akan
membantu kita menjelaskan bagaimana dan mengapa sebuah kejadian itu berlaku. Ritzer dan
1

Smart (2001) menyatakan bahawa teori adalah rumusan dan sintesis terhadap sesuatu yang
diketahui di dalam sesebuah bidang di mana ia merupakan asas kepada ilmu pengetahuan
manakala Sullivan (2012) menyatakan bahawa teori adalah proses yang sistematik dalam
merumus dan mengorganisasikan idea untuk menjadi sebuah fenomena tertentu yang dapat

difahami. Dapat diperhatikan daripada definisi konsepsual yang diutarakan oleh para sarjana ini
bahawa teori merupakan sesuatu yang abstrak dan memerlukan satu bentuk gagasan pemikiran
yang kritis untuk difahami.
2.2

Teori dalam aspek sosial

Dalam konteks sosial, teori berperanan dalam menjelas, memahami dan meramal realiti dan
perubahan sosial yang berlaku serta mampu memberikan jawapan kepada fenomena dan isu
sosial yang berlaku dalam masyarakat. Teori secara amnya merupakan satu bentuk pemikiran
mengenai sesuatu fenomena yang terjadi dan khususnya realiti sosial yang menekankan
bagaimana dan mengapa fakta berhubung dengan fenomena lain (Ritzer&Smart 2001).

Teori ialah komponen penting dalam memahami pengalaman hidup manusia yang
melibatkan pembentukan suatu interpretasi abstrak yang boleh digunakan untuk menerangkan
pelbagai situasi dalam dunia sosial. Di dalam memahami teori sosial, pemahaman tentang
hubungan antara konsep-konsep adalah begitu penting. Rokiah Ismail (2006) menyatakan
bahawa teori merupakan satu bentuk sistem idea yang cuba untuk menunjukkan perkaitan antara
satu konsep dengan konsep yang lain sehingga dapat mengatur dan merumus sesuatu keadaan
alam sosial. Misalnya isu kemiskinan yang berlaku di dalam masyarakat. Di dalam memahami

bagaimanakah kemiskinan dalam masyarakat boleh terjadi, teori berperanan di dalam
menjelaskan tentang bagaimanakah isu kemiskinan seperti hubungan antara konsep kelas sosial
yang wujud dalam masyarakat, peluang pekerjaan yang disediakan dan pengagihan pendapatan
negara yang saksama dalam masyarakat. Ia akan memberikan idea kepada pengkaji di dalam
bidang sosiologi dan ekonomi misalnya dalam memperhalusi isu kemiskinan yang berlaku di
dalam sesebuah masyarakat.

Konsep merupakan antara elemen penting di dalam pembinaan sesebuah teori. Konsep
adalah elemen abstrak yang mewakili fenomena sosial yang dianggap sebagai binaan asas
2

sesebuah teori (Neuman 1997), sebagai contoh konsep yang sesuai untuk menjelaskan teori
anomi iaitu anomi, nilai, norma dan kawalan sosial. Hubung kait antara konsep ini dapat
menerangkan tentang bagaimana peranan teori anomi dalam menjelaskan kejadian jenayah yang
berlaku dalam masyarakat.

3.0

Pemahaman dan Kepentingan Teori Antropologi dan Sosiologi (ANSOS)


3.1

Perkembangan Teori ANSOS

Perkembangan ilmu sosiologi bermula di atas kesedaran manusia untuk memahami perihal
masyarakat dan anggota-anggota yang berada di dalam masyarakat tersebut. Perkembangannya
telah bermula berabad dahulu di mana perkembangannya dipelopori oleh golongan-golongan
pemikir barat. Menurut Bierstedt (1979), perkataan sosiologi hanya digunakan pada abad ke-19
apabila Auguste Comte di dalam buku beliau iaitu Positive Philosophy membincangkan
berkenaan penggunaan terma sosiologi yang secara umumnya bermaksud satu bidang yang
mengkaji mengenai masyarakat dan hubungannya dengan pelaku-pelaku masyarakat yang terdiri
daripada institusi, kelompok dan manusia. Beliau juga berpandangan bahawa setiap kemunculan
ilmu dan pengetahuan mempunyai sejarah yang tersendiri sebelum sesuatu ilmu itu berkembang
dan diterima oleh umum.

Bidang pengajian sosiologi juga seringkali dikaitkan dengan ilmu antropologi iaitu
bidang pengajian yang mengkaji dan memfokuskan kepada budaya di dalam sesebuah
masyarakat. Dalam konteks hubungan kedua-dua disiplin ilmu ini di Malaysia, Rahimah Abdul
Aziz (2005) menyatakan bahawa ilmu antropologi amat penting dikaitkan dengan ilmu sosiologi
dalam memahami masyarakat di Malaysia kerana masyarakat di Malaysia adalah terdiri daripada

pelbagai etnik dan peranan budaya amat penting dalam kehidupan bermasyarakat ini.

Ahli sosiologi melihat masyarakat daripada beberapa sudut yang berbeza. Terdapat
mereka yang melihat masyarakat dan persekitaran sebagai suatu keadaan yang stabil, ada juga
mereka yang melihat masyarakat sebagai terdiri daripada kelompok-kelompok yang berkonflik
dan ada juga dalam kalangan mereka yang berminat terhadap aspek-aspek yang simbolik dalam
3

realiti sosial masyarakat seperti unsur-unsur interaksi antara individu di dalamnya
(Rohana Yusof 2010). Ketiga-tiga keadaan ini secara umumya memberikan gambaran bahawa
perspektif yang berbeza mengenai masyarakat ini adalah kaedah-kaedah bagi menerangkan
fenomena dan senario yang sama. Menurut Jones (2003), manusia adalah makhluk sosial yang
berinteraksi dalam pola-pola yang tersendiri dan interaksi ini telah mendapat perhatian oleh para
ahli sosiologi semenjak abad ke-19 lagi di mana ketika itu pendekatan non-social telah
menjelaskan bahawa manusia dapat dan masyarakat dapat difahami daripada pendekatan
‘naturalistic’ dan ‘individualistic’.
3.2

Teori ANSOS


Ahli ANSOS melaksanakan penyelidikan dan memperoleh maklumat dan data dalam mentafsir
sesuatu realiti sosial yang berlaku. Dengan pendekatan ini, maka wujudlah konsep-konsep dan
seterusnya membolehkan sebuah teori dibentuk. Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh
Rohana Yusuf (2010) mengenai teori ANSOS, teori ialah penerangan yang saintifik mengenai
sesuatu fenomena dan beliau juga merujuk kepada definisi teori sosiologi oleh Robert K. Merton
iaitu teori sosiologi merupakan himpunan andaian yang saling kait-mengait secara logik dan
daripadanya keseragaman yang empirikal dapat dirumuskan.

Teori ANSOS lazimnya merupakan perhatian terhadap penerangan dan ramalan secara
sistematik terhadap sifat, pola dan elemen dalam perhubungan manusia dalam masyarakat.
Selain itu, teori ANSOS juga menggabungkan hasil pemerhatian mengenai kehidupan sosial ke
dalam satu bentuk pola yang konsisten. Cohen (1980) menghujahkan berkenaan teori ANSOS
perlu mampu untuk membuat andaian yang saintifik, mampu untuk memberikan idea dan
mampu untuk menjadi penunjuk arah dalam memahami fenomena dan senario yang berlaku
dalam masyarakat.

Dalam disiplin ANSOS, Sullivan (2012) menyatakan bahawa terdapat teori yang cuba
untuk menerangkan satu aspek realiti atau permasalahan kecil yang berlaku dalam masyarakat
seperti mengapa seseorang itu menjadi penagih dadah. Teori dalam kategori ini dikenali sebagai
teori mikrososiologi dan ada pula bentuk teori ANSOS yang cuba untuk menerangkan masalah

4

yang berlaku dalam masyarakat yang begitu kompleks seperti masalah perubahan sosial dan
kategori ini dikenali sebagai teori yang berbentuk makrososiologi. Di samping itu, terdapat juga
para sarjana yang telah mengklasifikasikan teori ANSOS kepada dua kategori iaitu teori ANSOS
yang bersifat grand theory dan teori-teori moden. Grand theory merujuk kepada teori klasik
yang muncul sekitar penghujung abad ke-19 manakala teori moden muncul hasil daripada
pengembangan teori klasik oleh para sarjana ANSOS bermula pada pertengahan abad ke-20.
Terdapat 3 perspektif penting yang mendasari teori sosiologi iaitu perspektif fungsional,
perspektif konflik dan perspektif interaksionisme.

Terma fungsi dalam sosiologi bermakna tujuan atau tugas tertentu bagi setiap anggota
masyarakat kepada sistem dalam masyarakatnya dan akibat yang dihasilkan terhadap orang lain.
Ahli-ahli fungsional mengatakan bahawa masyarakat ialah satu sistem yang terdiri daripada
kombinasi benda, bahan dan manusia yang membentuk keseluruhan masyarakat. Setiap daripada
elemen ini berhubung kait dan saling membantu. Perubahan dalam satu bahagian akan mengubah
bahagian-bahagian lain sehinggalah tercapai titik keseimbangan. Teori ini dipelopori oleh para
sarjana seperti Auguste Comte, Herbert Spencer dan Emile Durkheim. Perspektif atau teori ini
memberi penekanan dari aspek masyarakat dan hubung kaitnya antara institusi-institusi dan
bukannya daripada segi individu atau kelompok seperti institusi keluarga yang merupakan unit

terkecil atau asas dalam masyarakat (Anderson&Taylor 2013).

Perspektif konflik menekankan satu aspek penting dalam susunan sosial sesuatu
masyarakat iaitu dominasi satu kelompok individu ke atas satu kelompok yang lain. Selain itu,
para sarjana yang mendasari perspektif ini secara amnya bersependapat dan menyatakan cara
terbaik tentang sesuatu masyarakat ialah dengan membuat analisa dari sudut konflik dan kuasa
(Rohana Yusof 2010).Perspektif ini mempercayai bahawa masyarakat ialah gelanggang
berlakunya pergelutan antara kelas sosial yang berlainan bagi mendapatkan sumber-sumber
ekonomi. Antara andaian perspektif atau teori ini adalah mentafsirkan interaksi sosial dalam
bentuk pergelutan bukannya kerjasama. Perspektif konflik dalam bidang sosiologi banyak
dipengaruhi oleh sarjana Karl Marx di mana beliau berpendapat bahawa ketegangan dan
perjuangan antara kelas sosial mempunyai pengaruh sejarah dan punca utama perubahan sosial
(Anderson&Taylor 2013).
5

Perspektif atau teori interaksionisme ini dipengaruhi oleh sarjana Max Weber yang
membahaskan perihal pentingnya memahami dunia sosial dalam sesebuah masyarakat daripada
sudut pandangan individu yang bertindak atau berinteraksi di dalam dunia sosial tersebut. Dalam
kehidupan seharian, manusia sering berinteraksi dengan anggota sama ada dalam kelompok
utama atau kelompok sekunder. Interaksi sosial berkaitan dengan sosialisasi kerana melalui

agen-agen sosialisasi itulah seseorang pelajar itu belajar berinteraksi dengan persekitarannya.
Proses seseorang itu bertindak atau memberi gerak balas kepada orang lain kenali sebagai
‘interaksi sosial’. Perspektif atau teori ini menekankan sesuatu proses yang memfokuskan
individu dan persoalan yang ditimbulkan ialah perkaitan dengan pengertian yang sama dipegang
oleh beberapa individu dalam satu kelompok kecil. Teori ini sedikit sebanyak membawa kita
kembali kepada bahawa ‘manusia’ juga mampu untuk mempengaruhi keseluruhan sistem
masyarakat dan kehidupan manusia sentiasa berubah mengikut masa dan watak yang dimainkan
(Rohana Yusof 2010).

Ketiga-tiga perspektif atau teori ini telah berkembang dengan peranan besar dimainkan
oleh para sarjana bidang ANSOS. Dengan perkembangan masyarakat yang semakin kompleks,
para sarjana telah mengembangkan teori-teori ini dalam memahami masyarakat dengan lebih
mendalam. Contohnya, aliran strukturlisme lahir daripada perspektif fungsionalisme di mana
setiap fungsi dalam masyarakat perlu mempunyai struktur yang khusus bagi memastikan
masyarakat akan terus harmoni. Selain itu, perspektif atau teori klasik ini juga membawa
munculnya teori-teori moden yang dipelopori oleh para sarjana ANSOS pada pertengahan abad
ke-20 yang ketika itu modenisasi telah menjadi tunjang kepada pembangunan negara dan juga
masyarakat. Maka, timbullah sarjana seperti Anthony Gidden yang banyak membahaskan
berkenaan teori modeniti dan memperkenalkan teori Juggernaut yang menekankan aspek risiko
dalam masyarakat. Justeru, bahagian seterusnya akan membincangkan berkenaan dua teori utama

iaitu struktur fungsionalis dan juggernaut dalam melihat kepentingan teori ANSOS dalam
memahami masyarakat dan kehidupan sosial manusia.

6

3.3

Teori ANSOS dan Kehidupan sosial

3.3.1 Teori struktur fungsionalisme

Teori struktur fungsionalisme merupakan satu teori yang dikemukakan bagi memperbaiki dan
mengatasi kelemahan-kelemahan yang terdapat pada teori evolusi yang diperkenalkan sebelum
itu. Teori ini terhasil daripada penggunaan kaedah-kaedah yang diuji secara sistematik dan
menyebabkan penghasilan teori ini dianggap lebih saintifik dan empirikal (Fatimah Daud 1992).
Teori ini pada kebiasaannya dikaitkan dengan Malinowski dan Radcliffe Brown dan beberapa
orang lagi yang mengkritik idea asal dan memberikan penambahan kepada teori tersebut
antaranya ialah Parsons, Merton, Herbert Spencer dan beberapa orang lagi. Namun begitu
sebelum daripada terhasilnya teori ini, tokoh-tokoh seperti Ibnu Khaldun, Durkheim dan Comte
telah menerangkan mengenai idea struktur fungsionalisme ini tetapi pada teori evolusi

(Merton 1949).
Struktur merupakan perhubungan yang berlaku di antara satu unit sosial dengan unit
sosial yang lain dalam keadaan yang stabil serta mempunyai identiti yang tersendiri. Manakala
fungsi pula menerangkan tugas dan perkara yang sepatutnya yang dilakukan oleh mereka yang
berada dalam unit sosial tersebut (Fatimah Daud 1992). Secara keseluruhannya struktur
fungsionalisme ini bermaksud setiap ahli yang berada dalam unit sosial itu berfungsi mengikut
kepada perkara yang telah ditetapkan untuk mereka oleh struktur.
Teori struktur fungsionalis ini amat penting dalam sesebuah masyarakat kerana dengan
menggunakan kaedah ini masyarakat dapat disusun atur dengan baik serta mempunyai disiplin
dalam melakukan fungsi yang telah ditetapkan kepada mereka. Sebagai contoh, struktur yang
mendisiplinkan rakyat untuk melakukan fungsi yang telah ditetapkan kepada mereka ialah
perlembagaan. Perlembagaan merupakan badan tertinggi negara dalam menerangkan mengenai
perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh rakyat. Perlembagaan yang digubal
memberikan garis panduan kepada rakyat dalam menjalankan fungsi setiap daripada mereka.
Struktur ini akan mendisiplinkan masyarakat yang berada di dalamnya, namun begitu, terdapat

7

juga mereka yang tidak mengikuti struktur yang telah di tetapkan kepada mereka sebagaimana
yang telah dinyatakan oleh Merton.
Bagi masyarakat yang lebih kecil pula, mereka distrukturkan oleh nilai dan budaya yang
dipegang oleh masyarakat, nilai dan budaya inilah yang menentukan perkara yang boleh dan
tidak boleh dilakukan dalam menjalankan fungsi mereka. Walaupun pada hakikatnya perkara
tersebut merupakan perkara yang negatif bagi masyarakat lain namun bagi mereka perkara
tersebut positif dan mereka perlu ikutinya, maka mereka akan melakukannya. Perkara inilah
yang akan menyebabkan masyarakat berfungsi dengan baik dan kefungsian masyarakat tersebut
tidak lari daripada perkara yang diingini oleh mereka.

Talcott Parson (1902-1979) merupakan seorang tokoh terkemuka dalam bidang ANSOS
yang mempelopori teori struktur fungsionalis ini. Beliau melihat dan membincangkan bagaimana
setiap elemen struktur sosial dalam masyarakat membantu mewujudkan kestabilan masyarakat
tersebut. Beliau juga percaya bahawa setiap masyarakat perlu memenuhi empat fungsi dalam
memastikan yang masyarakat tersebut akan terus kekal. Pertama adalah penyesuaian. Masyarakat
perlu menyesuaikan dengan alam persekitaran untuk terus hidup. Oleh itu, tugas utama
masyarakat ialah untuk mengeluarkan dan mengagihkan sumber-sumber material bagi keperluan
anggotanya. Kedua, masyarakat perlu ada matlamat. Apabila kehendak telah dipenuhi, matlamat
masyarakat perlulah misalnya berazam untuk menaikkan pula taraf hidup masyarakat tersebut.
Ketiga perlu ada integrasi dan kerjasama dalam kalangan semua anggota masyarakat tersebut
untuk mencapai matlamat yang telah dipersetujui bersama dan ke empat adalah perlu ada
pengekalan pola iaitu sikap anggota masyarakat mesti bersetuju dan berkongsi nilai-nilai dan
mematuhi segala norma dan kebudayaan masyarakat tersebut dalam usaha mengintegrasikan
aktiviti mereka (Anderson&Taylor 2013) . Keempat-empat fungsi ini merupakan kerangka yang
penting dalam teori struktur fungsional atau lebih dikenali sebagai ‘AGIL’.
Untuk memastikan empat fungsi AGIL ini berfungsi dalam masyarakat, Parson membuat
penjelasan dengan menyatakan struktur masyarakat itu terdiri daripada empat sistem yang
berkaitan antara satu sama lain dan ini sistem ini dikenali sebagai ‘the four-system hierarchy’.
Empat sistem ini terdiri daripada sistem kebudayaan, sistem sosial, sistem personaliti dan sistem
8

perlakuan. Sistem perlakuan bertujuan memenuhi keperluan manusia untuk terus hidup dan
berkaitan dengan fungsi masyarakat dalam proses penyesuaian tadi. Sistem personaliti pula
bertindak untuk mewujudkan cara-cara bagaimana manusia dapat digerakkan untuk bekerjasama
menjalankan aktiviti bagi mencapai matlamat sosial masyarakat tadi. Sistem ini berkait rapat
dengan fungsi masyarakat untuk memenuhi matlamatnya. Parson berpendapat bahawa anggota
dalam sesuatu masyarakat akan berinteraksi antara satu sama lain berdasarkan pola norma sosial
yang telah diasaskan. Pola perlakuan yang tersusun dan konsisten ini merupakan sistem sosial
yang dikaitkan dengan fungsi masyarakat yang memerlukan kepada proses integrasi tadi. Akhir
sekali, sistem kebudayaan akan merangkumi simbol yang dibentuk oleh manusia dalam usaha
untuk mencari makna dalam kehidupan mereka dan sistem kebudayaan ini ialah masa yang
paling kuat dan berpengaruh dalam sesuatu masyarakat seperti nilai-nilai budaya yang dominan
yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain sebagai panduan kepada masyarakat dalam
membentuk dan mengekalkan struktur sosial yang tersusun. Secara tidak langsung, sistem
kebudayaan adalah cara bagaimana masyarakat memenuhi fungsinya untuk mencapai
pengekalan pola (Rohana Yusof 2010). Teori struktur fungsionalis ini memfokuskan kepada
peranan setiap institusi yang wujud dalam masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing
dalam memastikan masyarakat akan sentiasa dalam keadaan yang harmoni.

3.3.2 Teori Juggernaut

Teori Juggernaut mempunyai perkaitan yang rapat dengan modenisasi. Perkaitan ini dilihat
daripada aspek kesan kepada masyarakat hasil daripada arus kemodenan yang berlaku di dalam
sesebuah masyarakat. Seorang tokoh penting dan berpengaruh masa kini yang banyak
membincangkan tentang modenisasi adalah Anthony Giddens. Hal yang menarik daripada
pandangan Anthony Giddens mengenai modenisasi ialah beliau beranggapan modenisasi dapat
dilihat dalam dua perspektif. Pertama, modenisasi sebagai mesin yang merosakkan nilai dan
tradisi. Modenisasi dianggap oleh pengkritiknya sebagai anti tradisi kerana dianggap cuba
meruntuhkan agama, nilai-nilai atau norma-norma yang berkaitan dengan sifat tradisional. Tiada
nilai-nilai tradisi yang dianggap dapat wujud bersama dengan nilai moden. Sesebuah masyarakat
yang mahukan kemodenan perlu mengikut paten pemodenan barat yang meninggalkan sama
sekali unsur-unsur tradisional. Semua perubahan dalaman ini dianggap kunci perubahan yang
9

penting kerana masyarakat tradisional disaluti oleh ciri-ciri keusangan dan lapuk dalam nilai,
kepercayaan, sikap dan perwatakan anggota-anggotanya (Maharam 2009). Perspektif kedua
menurut pandangan Giddens mengenai modeniti ialah ia juga boleh menjadi sebuah peluang
untuk menuju masyarakat yang lebih maju. Menurut Comeliau (2002), modenisasi membawa
kesan yang ketara kepada negara dunia ketiga di mana ia mempengaruhi dari segi pembangunan
ekonomi, politik, teknologi, dan pada masa yang sama masalah sosial semakin meningkat.
Tambah beliau lagi, modeniti juga merupakan satu set lengkap mengandungi makna yang
kritikal mengenai kebebasan dan tanggungjawab individu, menitik berat mengenai kemajuan
sosial bersandarkan kepada kemajuan sains dan teknologi, serta perindustrian dan demokrasi.

Giddens melihat modeniti sebagai juggernaut di mana ia merupakan kuasa besar yang
bergerak ke hadapan dengan begitu cepat dan pantas sukar dikawal oleh manusia (Ritzer 2003).
Juggernaut merupakan tanggapan yang sangat abstrak. Hal yang demikian kerana pemikiran

beliau adalah untuk memberi pendekatan serta pendedahan supaya kita dapat berfikir tentang
keadaan bahaya serta risiko yang perlu ditanggung oleh masyarakat dalam kehidupan seharian
mereka sama ada ia membawa kepada kebaikan mahupun keburukan (Giddens 1991).

Giddens (2001), konsep run away world yang dinyatakan oleh beliau memberi petanda
bahawa modenisasi telah merubah dunia dan merangkumi masyarakatnya dengan risiko dan rasa
ketidakpastian. Mereka sedar akan perubahan yang berlaku namun terpaksa menurut bagi
meneruskan kelangsungan hidup. Dari titik tersebut, masyarakat mula belajar untuk memupuk
sikap kepercayaan terhadap institusi yang diwujudkan oleh golongan yang cerdik pandai dan
mereka belajar untuk percaya dengan apa yang dicipta oleh golongan tersebut. Giddens (1999)
berpendapat moderniti telah mewujudkan satu profil risiko yang tersendiri. Risiko menjadi
semakin global kerana ia memberikan kesan yang lebih besar. Di sebabkan oleh kesedaran
tentang risiko tersebut, ia telah memberikan perasaan tidak selamat yang diadaptasi dalam tema
juggernaut. Melalui elemen ruang dan masa, distantiation wujud di tengah-tengahnya bagi
mengawal isu-isu serta perubahan yang berlaku. Akibat daripada perubahan serta transformasi
berlaku, ia telah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk sikap ‘sense of
trust’/kepercayaan bagi mengawal kesan dan akibatnya. Seterusnya, rentetan daripada ‘sense of
trust’ tersebut, wujud elemen refleksiviti bagi mengimbangi pertimbangan positif dan negatif.
10

Refleksiviti membantu manusia/individu untuk berfikir secara mendalam dan terperinci dengan
keadaan serta permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka. Ia merangkumi persoalan kenapa
dan bagaimana sesuatu perkara berlaku dan wujud seterusnya diterjemahkan dalam bentuk
tingkah laku yang rasional dan logik (Giddens 2001).

Giddens (1999) menyatakan modenisasi adalah sesuatu yang berisiko. Ini bukan
bermaksud bahawa kehidupan sosial kini lebih berbahaya daripada dahulu tetapi ia menyatakan
bahawa masyarakat yang hidup dalam era globalisasi adalah mencabar dan memerlukan sikap
trust

yang tinggi.

Risiko tersebut

dapat

menjejaskan

pembangunan pengetahuan

individu/masyarakat. Beliau menambah, masyarakat/individu perlu mampu berubah dengan
mencipta dan mewujudkan kehidupan yang diinginkan untuk jangka masa panjang dengan
refleksitiviti. Ledakan ICT, perindustrian, masalah sosial, penyakit dan globalisasi merupakan

agen sosialisasi kepada masyarakat/individu moden berada dalam juggernaut.
Ledakan ICT telah membawa faedah dan banyak memberikan impak kepada kehidupan
manusia. Dilihat dari segi kemudahan dan kesenangan, dengan pengenalan “Online Banking”
dan “Online Shopping” telah merubah cara keseluruhan bagaimana masyarakat berurusan.
Walaupun dengan penggunaan ICT dan teknologi sebagai bantuan untuk membuat pembelian
dan urusan perbankan, masyarakat tidak seharusnya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada
sistem komputer dan ICT semata-mata. Ini adalah kerana, setiap sistem itu kadangkala akan
membawa kepada masalah. Dengan itu, masyarakat haruslah berjaga-jaga dan sentiasa membuat
pemantauan bagi memastikan tidak berlakunya masalah pada masa akan datang.

Penggunaa robot dan jentera dalam menggantikan sumber manusia pada masa kini juga
semakin berleluasa. Dengan ledakan teknologi dan pengetahun yang semakin canggih
menyebabkan banyak jentera dicipta untuk memudahkan penguluaran. Walaupun begitu, konsep
reflektiviti haruslah diaplikasi supaya tidak timbul masalah pada masa akan datang. Pihak kilang
dan pengurusan harus memantau penggunaan robot, jentera dan mesin yang ada supaya ia
berfungsi seperti yang sepatutnya.

11

Penyebaran penyakit HINI dan SARS pada sedikit masa dahulu mencetuskan rasa cemas
dalam kalangan penduduk di Malaysia. Terkini, penularan virus E-bola turut memberi kesan
kepada masyarakat Malaysia sungguhpun negara pembawa virus terletak ribuaan kilometer
daripada Malaysia. Masyarakat kini terdedah dengan pelbagai penyakit yang tidak dijangka
menyebabkan masyarakat kini hidup dalam keadaan yang berisiko. Konsep ruang dan masa yang
dahulu menjadi penghalang kini tidak lagi. Kerana dengan adanya ledakan juggernaut ini,
penyakit yang bermula di negara luar lalu menerobos masuk ke dalam negara. Dengan penularan
virus ini, masyarakat mula berjaga-jaga dengan penjagaan kesihatan dan pihak kerajaan mula
mengambil langkah serius dengan membuat kawalan di setiap lapangan terbang bagi menapis
suhu orang yang masuk ke dalan negara bagi menghalang dan mengawal penularan virus ini di
dalam negara.

Kesimpulannya, teori juggernaut sangat releven untuk menggambarkan arus modenisasi
yang dialami oleh masyarakat global. Individu dan masyarakat tidak dapat mengelakkan diri
daripada konsep ini kerana setiap apa yang terjadi dalam kehidupan mempunyai hubung kait dan
menjadi medium serta agen sosialisasi rutin harian. Manusia memerlukan antara satu sama lain
bagi mencapai objektif serta matlamat yang diimpikan mengikut keperluan dan kehendak
masing-masing. Masyarakat hari ini perlu sedar akan pengaruh serta kesan daripada juggernaut
agar dapat menghindari diri daripada dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak yang ingin
mengambil kesempatan.

4.0

Penutup

Kesimpulannya, teori menawarkan suatu huraian bagi sesuatu hal atau kejadian. Dalam
disiplin ANSOS, teori dan konsep merupakan dua elemen penting dalam memahami fenomena
dan tingkah laku individu serta interaksi yang wujud dalam masyarakat. Teori ANSOS akan
terus berkembang oleh kerana struktur masyarakat yang semakin kompleks dan dinamik.

12

RUJUKAN

Anderson, M. L. & Taylor, H. F. 2013.
Wadsworth Cengage Learning.

Sociology the Essential. United States of America:

Bierstedt, R. 1979. Sociological Thought in the Eighteenth Century. Dlm. Bottomore, T. &
Nisbet, R. (pnyt.). A History of Sociological Analysis hlm. 39. London: Heinemann
Educational Books Ltd.
Cohen, B. P. 1980. Developing Sociological Knowledge Theory and Method. United States
of America: Prentice-Hall Inc.
Comeliau, C. 2002.

The Impasse of Modernity. New York: Zed Books.

Fatimah Daud. 1992. Pengenalan Teori-Teori Sosiologi. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Giddens, A. 1991. Modernity and Self-Identity: Self and Society in the Late Moden Age.
Starnford University Press: USA.
Giddens, A. 1999. Runaway World: How Globalization is Reshaping Our Lives. Profile Books:
London.
Giddens, A. 2001. Sociology (4th ED). Polity Press: London.
Jones, P. 2003. Introducing Social Theory. Polity Press: London.
Maharam Mamat. 2009. Impak Modenisasi Terhadap Alam Sekitar: Penelitian Beberapa Buah
Novel Sarawak. Jurnal Elektronik, Bahasa dan Kebudayaan Melayu, (2): 81-83.
Merton, R. K. 1949.
Social Theory Ad Social Structure. New York: Free Press. Dlm.
Fatimah Daud. 1992. Pengenalan Teori-Teori Sosiologi. Kuala Lumpur, Malaysia:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Neuman, W. N. 1997. Social Research Methods: Qualitative and Quantitative Approaches.
Boston: Allyn & Bacon Publications.
Popper, K. 1959.

The Logic of Scientific Discovery. London: Hutchinson & Co.

Rahimah Abdul Aziz.
2005.
Pengajian Ilmu Antropologi Dan Sosiologi Di Universiti
Kebangsaan Malaysia: Menoleh Ke Belakang, Melangkah Ke Hadapan. Akademika
66(51-80.
Ritzer, G & Goodman, D. J. 2003. Sociological Theory (International Edition). McGraw Hill:
New York.
13

Ritzer, G. & Smart, B. 2001. Introduction: Theorists, Theories and Theorizing. Dlm. (pnyt.).
Handbook of Social Theory, hlm. 1-9. Great Britain: SAGE Publication Ltd.
Rohana Yusof. 2010. Asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Rokiah Ismail. 2006. Fungsi Teori Dalam Penyelidikan Dan Penulisan Ilmiah. Dlm. (pnyt.).
Penulisan Ilmiah, hlm. 23-27. Malaysia: Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan
Persekitaran dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Sullivan, T. J. 2012.

Introduction to Social Problem. Ninth Edition. Boston: Pearson.

.

14