TEORI DAN PRINSIP PEMBELAJARAN MEMBACA B

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

1

UNIT 1
TEORI DAN PRINSIP PEMBELAJARAN MEMBACA
BERDASARKAN DAPATAN KAJIAN
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini anda akan dapat :
1. Definisi dan maksud membaca.
2. Psikolinguistik dan pembelajaran membaca.
3. Teori dan prinsip pembelajaran membaca.
4. Dapatan kajian.

PENGENALAN
Kemahiran membaca merupakan satu proses yang dinamik dan kompleks.
Menguasainya, bukanlah satu kerja yang mudah. Ia melibatkan keupayaan
membaca dengan pantas, memahami dan mengingat fakta, dan kebolehan
membuat tafsiran secara bijak dan analitis. Membaca merupakan percantuman
beberapa proses yang kompleks, iaitu proses mengamati, mengingat, mendengar
dan membezakan bunyi-bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut lambang- lambang

huruf yang mewakili bunyi-bunyi tertentu, menggabungkan bunyi-bunyi untuk
membentuk perkataan dan memindahkan lambang- lambang yang dibaca itu
kepada sistem kognitif untuk difahami dan diterjemah (Smith, 1978). Penguasaan
kemahiran ini hanya dapat dilakukan melalui proses pengajaran dan pembelajaran
secara formal.

ISI KANDUNGAN
Definisi Dan Maksud Membaca
Apakah maksud membaca? Pelbagai pengertian membaca telah diberi oleh ahli-ahli
bahasa dan para pendidik. Kebanyakan definisi yang diketengahkan adalah
berdasarkan pandangan individu tentang proses membaca dan bagaimana
kemahiran membaca itu terbentuk. Menurut Danald J. Leu dan Charles K. Kinzer
(1955: 11), membaca ialah:
A developmental, interactive, and global process that involves
learning. It is a personal process specially incorporating an individual's

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

2


linguistic knowledge and can be both positively and negatively
influenced by nonlinguistic internal and external variables orfactors.
Berdasarkan definisi di atas, adalah jelas bahawa membaca melibatkan
proses mentafsir dan memahami simbol-simbol tulisan. Kemahiran membaca amat
penting untuk membolehkan pelajar menimba ilmu pengetahuan daripada pelbagai
sumber dan bidang. Oleh itu, bacaan yang berkesan penting bagi mencapai
kemahiran belajar yang sempurna.
Membaca ialah proses seseorang itu membina semula mesej yang dirakam
oleh penulis dalam bahasa yang bertulis. la merupakan suatu proses bahasa yang
aktif dan amat bergantung kepada ramalan (Goodman, 1976 ). Ramalan yang
dimaksudkan itu ialah pembaca sentiasa cuba menyusun semula maklumat yang
hendak disampaikan oleh penulis mengikut apa yang dibaca dan difahami.
Dalam hal ini, Goodman seterusnya menjelaskan bahawa membaca
dipengaruhi oleh faktor-faktor yang melibatkan kewibawaan bahasa lisan, seperti
sistem sintaksis, semantik dan fonologi. Menurut beliau. Jika semua maklumat ini
digunakan serentak, membaca menjadi sebagai suatu aktiviti asas bagi
menyelesaikan masalah, atau mengumpulkan maklumat. Membaca juga memberi
pertimbangan pada klu-klu konteks yang terdapat dalam teks yang dibaca. Ia turut
merupakan pembinaan semula makna yang menggunakan sistem kiu yang terdapat
dalam bahasa.

Sementara itu, Smith (1973) pula menambah dengan memberikan definisi
pemahaman membaca sebagai memahami apa yang dibaca dengan menggunakan
apa yang diketahui. Dengan itu, faktor pengetahuan sedia ada turut sama
memainkan peranan dalam pemahaman membaca seseorang itu.
Membaca melibatkan dua jenis maklumat dalam sesuatu bahan yang dibaca,
iaitu maklumat visual dan maklumat nonvisual. Maklumat visual yang dimaksudkan
ialah bahan-bahan bercetak yang menjadi medium manakala maklumat nonvisual
pula produksi minda yang terkandung dalam sesebuah teks yang dibaca.

Psikolinguistik Dan Pembelajaran Membaca
Masalah pada umur berapa pengajaran membaca sebaik-baiknya dimulakan
merupakan satu masalah yang telah lama menjadi perbincangan ahli-ahli psikologi.
Masalah yang kedua pula ialah pendekatan apakah yang sebaik-baiknya diterapkan
dalam pengajaran dan pembelajaran membaca. Kedua-dua masalah ini
menimbulkan pertentangan pendapat kerana mereka meninjaunya dari sudut yang
berlainan, iaitu sudut luaran seperti persekitaran, struktur luaran bahasa dan sistem
tulisan.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan


3

Walau bagaimanapun, keadaan ini mula berubah apabila wujudnya disiplin
psikolinguistik. Disiplin baru ini merupakan gabungan antara disiplin psikologi yang
mengkaji perilaku manusia dengan disiplin linguistik yang mengkaji manusia secara
ilmiah. Dengan adanya kerjasama antara kedua-dua disiplin ini, segala aspek
bahasa dan bidang yang berkaitan dengannya, dapat dikaji dengan sempurna.
Perkara yang penting dalam kerjasama ini ialah penekanan yang diberikan pada.
aspek-aspek dalaman bahasa, yang berada dalam otak, selain aspek-aspek
luarannya.
Pengetahuan psikolinguistik kognitif yang menekankan peranan otak dalam
proses pembelajaran telah memberi kita banyak maklumat tentang aktiviti-aktiviti
yang berlaku di dalam otak pada masa seseorang kanak-kanak itu memperoleh
bahasa ibunda. Ini termasuklah proses yang berlaku ketika kanak-kanak itu
bercakap, memahami kalimat-kalimat yang didengarnya, dan juga proses yang
berlaku pada masa kanak-kanak- itu belajar membaca. Selain aspek tersebut,
psikolinguistik kognitif memberi perhatian khusus pada masalah-masalah negatif
yang dihadapi oleh kanak-kanak itu, umpamanya tidak, boleh bercakap, tidak boleh
membaca, dan tidak dapat memahami kalimat-kalimat yang didengar atau dibaca.
Menurut penemuan psikolinguistik kognitif, pemerolehan bahasa dan

keupayaan membaca seseorang bermula sejak dia dilahirkan. Setelah seseorang
itu dilahirkan, dia terus berusaha mempelajari dunia dan alam sekeliling ini melalui
pancainderanya. Pengetahuan inilah nanti yang menjadi dasar pemerolehan
bahasa dan kebolehannya membaca. Dengan kata lain, berbahasa dan membaca
tidak mungkin berlaku tanpa pengetahuan dunia ini. Dengan peniruan ini, jelaslah
bahawa pengajaran membaca yang bersistem dan teratur sudah boleh dimulakan
pada waktu kanak--kanak mula pandai bercakap, iaitu pada peringkat umur dua.
atau tiga tahun.
Kekhuatiran yang sering dibangkitkan oleh pakar psikologi adalah sama
ada atau tidak pengajaran membaca yang terlalu awal itu boleh menjejaskan
perkembangan akal kanak-kanak pada kemudian hari. Menurut penyelidikan yang
dilakukan oleh ahli-ahli psikologi, pengajaran membaca yang awal tidak akan
menjejaskan perkembangan kognitif kanak-kanak, asalkan la dilakukan dengan
cara yang betul menurut pendekatan dan kaedah psikolinguistik kognitif. Malah
dengan pendekatan yang betul, perkembangan kognitif kanak-kanak akan dapat
dipertingkatkan lagi. Dengan demikian, jelaslah bahawa pengajaran dan
pembelajaran membaca lebih baik dimulakan pada peringkat awal.
Untuk membolehkan kita memahami pendekatan dan kaedah pengajaran
membaca dengan baik, kita harus terlebih dahulu memahami proses-proses yang
berlaku pada waktu kita sedang membaca. Proses membaca mengikut

psikolinguistik kognitif bermula dengan makna dan berakhir dengan makna juga.
Makna ini ditentukan oleh pengetahuan dunia kita yang kita peroleh melalui
pancaindera sejak kita dilahirkan.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

4

Ini bermakna seorang pembaca yang baik selalu mengarahkan pengetahuan
dunianya untuk memberi makna pada lambang-lambang tulisan yang dibacanya
untuk mendapatkan erti daripada lambang-lambang tulisan Itu. Dengan demikian,
proses membaca menurut pandangan psikolinguistik kognitif merupakan satu
proses dua hala. Hala pertama ialah hala dari lambang ke otak yang jauh lebih kecil
daripada hala kedua, iaitu hala dari otak ke lambang tulisan.
Membaca menurut fahaman psikolinguistik kognitif melibatkan banyak faktor
umpamanya, faktor lambang bertulis, penglihatan, ingatan jangka pendek, bahasa
dan tatabahasa, erti, pengetahuan mengikut fahaman ini adalah satu proses
psikolinguistik yang berlaku apabila seseorang pembaca membentuk semula dalam
fikirannya makna yang ingin disampaikan oleh seseorang penulis melalui
lambang-lambang bertulis yang dibaca oleh pembaca tadi.

Ini bermakna, seseorang pembaca itu tidak perlu membunyikan lambanglambang bertulis itu terlebih dahulu sama ada secara, kuat atau secara senyap, dan
selepas itu mengenal kata-kata yang dibunyikan dan kemudian baru memahamkan
ertinya. Menurut definisi ini, seseorang pembaca harus dapat memberi makna
daripada teks dengan bantuan yang minimum daripada tanda saran yang didapati
daripada, lambang-lambang bertulis dalam teks itu tanpa membunyikan kata satu
persatu.
Dengan demikian psikolinguistik kognitif menolak definisi membaca, menurut
fahaman teori pembelajaran lama yang mengatakan bahawa membaca adalah satu
kegiatan mengenal kata-kata dengan cara, membunyikannya (dalam hati) dan
kemudian memahamkan erti daripada kata-kata itu. Definisi ini seolah-olah
mementingkan pengenalan kata yang tepat satu persatu dengan cara
membunyikannya terlebih dahulu sebelum dapat difahamkan erti sesuatu kalimat.
Definisi ini mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca
merupakan satu organisme yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari
luar. Ini merupakan proses satu hala yang sangat bercanggah dengan
keadaan
membaca yang sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik
kognitif kerana ia tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.
Jelaslah bahawa, tujuan utama, membaca adalah untuk mendapatkan erti
yang sebenarnya. Untuk ini, tanda saran daripada huruf atau kalimat bertulis adalah

diperlukan. Tanda saran inilah yang merangsang otak untuk mengarahkan
pengalaman dan pengetahuan dunia seseorang itu meramalkan, erti dan
seterusnya merumuskan erti yang sebenarnya dengan melakukan penyepaduan
dan pembinaan semula.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

5

Soalan-soalan
1. Membaca melibatkan dua faktor penting, iaitu pemahaman dan pentafsiran
idea yang dilambangkan melalui tulisan. Jelaskan pernyataan tersebut.
2. Adakah anda bersetuju bahawa membaca melibatkan proses berfikir secara
aktif, analitis dan kritis? Mengapa?

Teori Dan Prinsip Pembelajaran Membaca
1. Frank Smith (1971, 1975) telah menerangkan bahawa proses membaca
merupakan satu proses kognitif. Menurut Smith, Noam Chomsky dengan
aliran transformasi-generatifnya telah mempengaruhi pemikiran manusia
tentang proses membaca iaitu dengan memasukkan unsur kognitif

dalamnya. Daripada pelbagai huraian tentang membaca yang dikemukakan
oleh ahli-ahli bahasa dan ahli-ahli psikolinguistik, proses membaca dapat
dirumuskan seperti yang berikut:
Perlakuan membaca ternyata merupakan perlakuan yang
kompleks, yang, terdiri daripada kemahiran mengenal dan
memahami apa yang dibaca.
2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan kefahaman pada
pihak pembaca dan tidak memadai setakat dapat mengecam dan menyebut
perkataan-perkataan sahaja.
3. Dalam proses membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasakan dan
membayangkan apa yang dibaca. Ini bermakna tujuan asas pembacaan
adalah untuk penginteraksian apa yang dibaca. Jadi, perlakuan membaca
tidak- berlaku dalam ruang yang kosong. Sebaliknya, la terjadi dalam satu
ruang untuk mewujudkan interaksi antara, pembaca dengan penulis serta
berfokus pada tujuan tertentu yang dimaksudkan.
4. Pembacaan yang dilakukan oleh seseorang pelajar tidak berlaku tanpa
pemikiran dan tujuan, jangkaan dan pengetahuan serta pengalaman lalu
tentang apa yang hendak dibaca. Lazimnya, seseorang pembaca itu akan
mengaitkan tujuan, jangkaan dan pengetahuan lalu pada apa yang akan
dibacanya. Justeru itu, dalam perlakuan membaca, kebolehan untuk

mengaitkan dan mengintegrasikan semua aspek tersebut adalah penting
bagi menghasilkan satu, pembacaan dengan kefahaman.
5. Dalam proses membaca terdapat beberapa susunan tugas yang perlu
dilakukan oleh pembaca. Susunan tugas itu adalah;
a) Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

6

b) Mengaitkan lambang atau perkataan itu dengan bunyi atau makna.
c) Menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya pada apa
yang telah sedia ada dalam kepala.
d) Mengumpulkan dan mencantumkan idea, perkataan dan ayat sehingga
menjadi sebuah idea yang lengkap.
e) Cuba menghuraikan atau menjelaskan idea-idea yang didapati kepada
diri sendiri, kawan-kawan, guru atau ibu bapa.
Berdasarkan susun tugas di atas, dapat disimpulkan bahawa proses
membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif pada pihak
pembaca. Penyelidik-penyelidik seperti Artley (1966), Niles (1969), Russell (1972)

dan Dechant (1974) berpendapat bahawa peringkat-peringkat pemikiran yang
berlaku dalam kepala. seseorang semasa, membaca adalah seperti jadual yang
berikut:

Peringkat
i
Literal
ii

Interpretasi

Iii

Penilaian

Iv Asimilasi

Jenis-jenis Pemikiran
Membuat pengamatan tentang bentuk, bunyi
dan
makna perkataan.
Mengaitkan dan menterjemahkan lambang
kepada makna.
Memberi tindak balas terhadap apa yang
dihadapi berdasarkan pengetahuan sedia
ada.
Membuat penapisan terhadap apa yang,
disimpan.

Jadual 1.1: Peringkat dan Jenis Pemikiran
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa bacaan dan pemahaman tidak boleh
dipisahkan antara satu sama lain. Membaca perkataan demi perkataan dengan
tidak memahami makna ayat dan keseluruhan teks yang dibaca bukanlah bacaan
yang sebenar. Ini disebut sebagai word calling atau barking at print. Dalam jadual di
atas jelas menunjukkan bahawa dalam proses bacaan terdapat beberapa peringkat
iaitu literal, interpretasi, penilaian dan asimilasi yang kesemuanya melibatkan
proses mental. Oleh itu, proses bacaan perlu dilihat dan sudut psikolinguistik untuk
memahami sepenuhnya keseluruhan proses dan seterusnya mengaplikasikannya
dalam pengajaran kemahiran membaca.

Dapatan Kajian
Sofiah Hamid (1983) berpendapat, pemahaman membaca mempunyai hubungan
yang erat dengan pencapaian seseorang dalam bidang-bidang yang lain. Dengan
wujudnya kebolehan membaca dan memaham yang sempurna, seseorang itu dapat

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

7

dengan mudah mengumpul pelbagai maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai
bahan dan sumber. Di sekolah, keupayaan menguasai tahap pemahaman
membaca yang tinggi seperti ini akan membolehkan pelajar meningkatkan
pencapaian mereka dengan lebih berkesan. Ini kerana mereka mampu mengamati,
mengingat, mendengar dan membezakan bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut
lambang huruf yang mewakili bunyi-bunyi tertentu, menggabungkan bunyi-bunyi
tersebut untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang
dibaca itu kepada sistem kognitif untuk difahamkan dan ditafsirkan dengan baik.
Menurut Stauffer (1969), seseorang yang melakukan pembacaan tanpa
pemahaman, bererti dia belum boleh dikira sebagai berkebolehan membaca. Ini
kerana membaca ialah proses berfikir untuk pemahaman yang memerlukan
pembaca menterjemah, mengaplikasi, menganalisis, meramal, dan membentuk
imaginasi. Harris dan Hodge (1981) menganggap pemahaman membaca adalah
satu kebolehan atau kemampuan memahamkan sepenuhnya apa yang dibaca, la
merupakan satu proses yang berlaku dalam otak untuk mendapatkan maklumat
daripada satu komunikasi, sama ada komunikasi itu dilakukan melalui lisan, tulisan,
atau melalui penggunaan simbol-simbol tertentu. la adalah satu proses mentaI yang
kompleks. Pemahaman membaca memerlukan lebih daripada hanya memahamkan
makna satu-satu perkataan. la melibatkan pengecaman, pemilihan makna-makna
yang sesuai, keupayaan membina satu generalisasi, dan juga membuat penilaian
(Rubin 1975, Cohen 1990).
Kingston (1961) menganggap membaca sebagai hasil komunikasi, iaitu
produksi akibat daripada interaksi antara pembaca dengan penulis. Perkara ini
didefinisikan oleh Farr (1971) sebagai mendapatkan pemikiran. Robinson (1972)
pula berpendapat bahawa pemahaman membaca adalah proses mengenal dan
menterjemah simbol-simbol bahasa yang kemudiannya melibatkan proses
berinteraksi dengannya. Menurut beliau, interaksi ini mungkin berlaku dalam
bentuk-bentuk yang berikut:
a)
b)
c)
d)
e)

Penerimaan atau penolakan sesuatu idea yang dikemukakan.
Penghayatan bahasa itu sendiri.
Penyimpanan fakta-fakta.
Perasaan atau inspirasi.
Dorongan untuk membolehkan tindakan yang seterusnya diambil sama
ada positif atau negatif.

Lapp (1978) berpendapat bahawa bacaan adalah kefahaman, andainya apa
yang dibaca itu tidak difahami, maka pembacaan yang sempurna belum lagi
berlaku. Harris dan Sipay (1980) menyifatkan membaca sebagai proses untuk
memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau
bertulis. Kenedy (1981) mentafsirkan membaca sebagai keupayaan seseorang
untuk mengecam bentuk visual grafik yang mewakili bahasa atau perkataan.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

8

Walau apa pun pengertian yang diberikan, secara keseluruhannya,
membaca ialah satu tindakan komunikasi, iaitu satu proses berfikir yang melibatkan
idea, kenyataan, dan perasaan yang disampaikan oleh penulis kepada pembaca
melalui perantaraan lambang-lambang bahasa. Membaca adalah tindak balas
kemahiran terhadap pengalaman melalui penggunaan kata, frasa, dan tatabahasa
yang memerlukan
kemahiran mentafsir serta pemikiran yang tinggi untuk
memahami makna daripada teks (Cohen 1990). Oleh itu, pembaca yang baik
bukanlah seorang penerima yang pasif. Sebaliknya, dia harus mampu merasa,
menimbang, menyoal dan menyingkir, serta memahami bahan yang dibaca.
Seseorang itu dikatakan terlibat dalam bacaan apabila ia mampu mengikuti dan
mentafsirkan pemikiran yang bertulis.
Pemahaman membaca harus mempunyai kaitan dengan tujuan membaca
pembaca itu (Kingston 1970). Tay (1979) menyenaraikan empat tujuan kefahaman
bacaan, seperti yang diperlihatkan berikut:
a) Berkebolehan mengecam idea daripada petikan yang dibaca, kemudian
menceritakan dengan perkataan sendiri bahan bacaan.
b) Mengesan isi-isi yang lebih terperinci dan penting serta menyelesaikan
soalan-soalan yang ditimbulkan.
c) Membantu pelajar mencari isi-isi dan berkemampuan merumuskan
idea-idea yang dibaca.
d) Membantu pelajar menyusun idea-idea mengikut urutan, dan dapat
menghuraikan bahan yang dibaca berdasarkan pemahaman sendiri.
Justeru, membaca mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Untuk
mencapai matlamat tersebut, seseorang itu mesti mampu mencungkil makna
daripada teks yang dibaca. Makna ini diperoleh dengan maklumat nyata teks dan
dimengertikan melalui pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada. Pembaca
harus boleh menterjemah lambang bertulis kepada bunyi bahasa, dan mendapatkan
maklumat serta makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan itu
(Kementerian Pendidikan Malaysia 1992).
Pemahaman dalam bacaan adalah penting kerana ia merupakan dorongan
yang kuat untuk seseorang itu meningkatkan keupayaan berfikir, la merangsangkan
operasi mental dan penjanaan pemikiran. Sekiranya pelajar membaca tanpa dapat
menggerakkan pemikirannya ke arah apa yang dibaca, maka dia masih dianggap
belum sampai ke peringkat pemahaman membaca yang sebenarnya (Durkin 1977).
Faridah Jaafar (1986) telah membuat kajian di sekolah rendah di Kuala
Lumpur dengan menggunakan dua bahan bacaan, iaitu dalam bidang sains dan
sains sosial. Empat aspek yang dikaji ialah pemahaman bacaan pelajar pada
peringkat mengenal butiran, menterjemah idea utama, membuat inferensi dan
mengkaji sama ada bidang bacaan kefahaman mempengaruhi pemahaman
membaca. Hasil kajian beliau menunjukkan bahawa taraf penguasaan pelajar pada

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

9

keseluruhan ujian pemahaman dan pada empat peringkat kefahaman bacaan yang
diuji adalah tinggi.
Secara keseluruhan, pelajar dapat memahami bahan bacaan dengan
sempurna. Faridah membuat kajian di dua buah sekolah rendah di Wilayah
Persekutuan. Sampel kajian terdiri daripada 226 orang pelajar darjah enam. Ujian
pemahaman yang diberi mengandungi empat peringkat soalan berdasarkan enam
bahan teks, iaitu tiga berkaitan dengan bidang sains dan tiga lagi berkaitan dengan
bidang sains sosial. Empat peringkat soalan yang digunakan oleh pengkaji ini
adalah berdasarkan peringkat pemahaman yang dikemukakan oleh Santoz, iaitu
peringkat mengenal dan mengecam butiran, peringkat mengenal dan menterjemah,
peringkat membuat inferens, dan peringkat membuat analisis. Hasil kajian beliau
menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pencapaian pelajar pada peringkat
pemahaman. Tahap pemahaman yang paling tinggi ialah peringkat mengenal dan
mengecam butiran dengan min skor pelajar ialah 85.4. Ini diikuti dengan peringkat
membuat inferens dengan min skor pelajar 71.3 dan peringkat mengenal atau
menterjemah idea utama 69.4.
Safiah Osman (1990) berpendapat, ada banyak perkara yang boleh menjadi
sebab mengapa seseorang pembaca itu gagal memahami dengan baik teks atau
petikan yang dibaca. Ada kemungkinan seseorang itu membaca hanya setakat
mendapatkan maklumat daripada teks yang dibaca dan tidak mempunyai niat lain
daripada itu. Atau mungkin juga pembaca tersebut tidak dapat membuat inferensi
atau perkaitan bagi menambahkan pemahamannya terhadap teks yang dibaca. Hal
ini berlaku kerana pembaca tidak mempunyai pengetahuan latar yang berkaitan
dengan bahan yang dibaca. Oleh itu, pembaca tidak dapat menghubungkaitkan apa
yang dibaca dengan maklumat yang sedia ada padanya.
Beliau menyebut bahawa ramai pelajar sekolah menengah turut mengalami
kesukaran memahamkan isi kandungan sesuatu teks yang dibaca. Kelemahan ini
adalah lanjutan daripada masalah yang berlaku di sekolah rendah. la berpunca
daripada kegagalan pelajar yang tidak dapat menguasai asas-asas yang kukuh
dalam kefahaman bacaan, sama ada dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau
mata-mata pelajaran yang lain. Menurut Goets (1977), masalah pemahaman
membaca ini timbul kerana pelajar tidak dapat membuat inferensi apabila membaca
teks. Smith (1971) berpendapat perkara ini berlaku kerana pembaca hanya
membaca huruf demi huruf atau perkataan demi perkataan tanpa menghubungkan
makna perkataan-perkataan tersebut. Marohaini Yusof (1999) memberitahu, makna
perkataan atau semantik memang merupakan satu faktor yang boleh menyebabkan
susah senangnya sesuatu teks yang dibaca. Susah senangnya perkataan dalam
teks, secara bebas mempengaruhi kefahaman dalam membaca.
Kemerosotan prestasi para pelajar perlu dilihat daripada pelbagai perspektif.
Kelemahan dalam pencapaian akademik bukan bergantung kepada faktor
pengajaran di dalam kelas sahaja, malah beberapa faktor lain yang berkaitan
dengan proses pembelajaran turut memainkan peranan dan mempengaruhinya.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

10

Caroll (1967) menegaskan bahawa faktor-faktor yang menentukan kejayaan
seseorang ialah bakat, kecerdasan, ketabahan, mutu pengajaran, dan peluang
pelajaran. Mackey (1965) pula menganggap bahawa faktor-faktor linguistik, sosial,
dan psikologi memainkan peranan penting dalam pencapaian seseorang individu,
manakala Marohaini Yusof (1999) menegaskan dua kategori besar yang
mempengaruhi kebolehan membaca. Pertama ialah faktor yang ada pada muridmurid, dan kedua ialah faktor yang ada pada bahan bacaan itu sendiri.
Berdasarkan pelbagai pendapat dan kelemahan yang diketengahkan itu, satu
kajian secara khusus perlu dilakukan untuk meninjau prestasi keseluruhan pelajar,
dan mengenal pasti sama ada terdapat atau tidak kelemahan pada tahap
keupayaan pemahaman membaca di kalangan mereka. Sekiranya ada, kajian perlu
diteruskan untuk melihat perbezaan keupayaan dan bentuk-bentuk penguasaan
yang telah dapat dikuasai. Kajian juga harus melihat dengan jelas akan kesukaran
teks dan sekiranya terdapat kelemahan, teks yang bagaimana yang mereka
mengalami masalah untuk memahamkannya? Hasil kajian ini nanti diharap dapat
dikongsikan bersama, oleh pihak-pihak yang bertanggung jawab dan dicari satu
alternatif penyelesaian untuk menyekat kegagalan daripada merebak dan terus
berlaku.

Soalan-soalan Kefahaman
1.

Apakah pendapat anda tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah
rendah / sekolah Menengah yang menegaskan bahawa para pelajar harus
cekap membaca dan memahami pelbagai bahan dengan kritis dan analitis.

2.

Bincangkan pendapat Wardhaugh (1969) tentang membaca.

3.

Secara sumbang saran, kemukakan pelbagai alasan mengapa kita
membaca?

4. Apa yang anda boleh simpulkan daripada pelbagai pendapat tentang
membaca?
5. Bincangkan pendapat ahli-ahli psikolinguistik tentang membaca.

RUMUSAN
Melalui bab ini, perbincangan berkaitan dengan definisi dan maksud yang
berkaitan dengan bacaan telah pun dibincangkan bagi membolehkan gambaran
awal berkaitan dengan prinsip pengajaran bacaan diperolehi. Teori dan prinsip yang
berkaitan turut telah dibincangkan di dalam bab ini di samping beberapa dapatan
kajian yang berkaitan dengan pengajaran bacaan.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

11

RUJUKAN
Abd. Ghafar Md. Din (1993).Meningkatkan Keberkesanan Dalam Penulisan
Pembacaan, dan Pemahaman. Jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Brown, A.L. (1980). Metacognitive Development and Reading dalam Theoritical
Issues In Reading Comprehension Perspectives From Cognitive Psychology
Linguistics, Artifical, Intelligence And Education. Spiro R.J (ed.) Hillsdale. Lawrence
Erlbaum Associates.
Dale D. Johnson dan P. David Pearson (1978). Teaching Reading and Reading
Vocabulary. New York. Holt, Rinehart dan Winston.
Dorothy Grant Henning (1993).Reading With Meaning. New Jersey. Prentice Hall.
Dorothy Rubin (1993).A Practical Approach to Teaching Reading. Boston. Allyn and
Bacon.
Frank B. May (1990). Reading as Communication. Ohio. Merrill Publication
Company.
Frank Smith (1971). Understanding Reading. New York. Holt, Rinehart dan Winston.
H. Alan Robinson (1978). Teaching Reading And Study Strategies. The Content
Area. Boston. Allyn and Bacon.
Irwin L. Joffe. (1980). Opportunity For Skinful Reading. Sixty Edition. California.
Wadsworth Publishing Company.
Kathleen T. McWhorter (1984). Academic Reading. Harper Collins College
Publishers. New York.
Marohaini Yusof (1989). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala
Lumpur. Karya Bistari.
McNeil, J.D. (1992). Reading Comprehension. New Directions For Classroom
Practice. New York. Harper Collins Publishers.
Safiah Osman (1990). Peningkatan Kemahiran Membaca dalam Safiah Karim (ed.)
Membaca : Satu Pengenalan. Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn. Bhd.
Sharon J. Crawley & Lee H. Mountain (1988). Strategies For Guiding Content
Reading. Boston. Allyn & Bacon, Inc.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

12