KONSEP PENDIDIKAN ANAK ANAK MENURUT SURA

1

BAB I

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan
Anak-anak merupakan anugerah yang begitu berharga dari Allah s.w.t terhadap
hamba-hambaNya. Namun anak-anak yang dilahirkan juga merupakan satu ujian dari
Allah s.w.t kepada setiap ibu bapa. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam alQuran yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu
hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah
pahala yang besar.”
Surah Al-Anfal (8) : 28.

Pendidikan dan pengajaran merupakan dua perkara yang berbeza. Pengajaran
merupakan satu proses penyampaian ilmu pengetahuan terhadap seseorang individu,
seperti seorang guru yang mengajar di dalam kelas. Namun pendidikan adalah sesuatu
yang datang dari hati dan disampaikan juga melalui hati agar lekat di hati orang yang
mendengarnya.


Corak pendidikan yang dilaksanakan oleh ibu bapa sangat

mempengaruhi perkembangan pendidikan anak-anak pada masa hadapan. Ibu bapa juga
dianggap sebagai pemberi contoh yang awal kepada anak-anak. Hal ini disebabkan
segala pengajaran dan pengalaman yang mereka terima melalui interaksi dengan ibu
bapa bermula sejak hari pertama kelahiran lagi. Pendidikan dan pengalaman ini
bersemadi dalam jiwa sebelum mereka keluar berinteraksi dengan individu lain.

2

Kesempurnaan pendidikan yang diterima akan melahirkan insan yang baik serta
bertanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan negara. Justeru Islam telah
menyediakan kaedah pendidikan yang mantap dan sesuai untuk sepanjang zaman seperti
yang ditunjukkan dalam al-Quran oleh Surah Luqman.

1.2

Latar Belakang Kajian
Masalah sosial yang berleluasa dan berkembang subur dari semasa ke semasa


membuktikan nilai-nilai pendidikan di rumah yang diberikan kepada anak-anak mulai
pudar dan terhakis. Keruntuhan akhlak dan moral anak-anak pada masa kini membawa
kepada pelbagai gejala dan penyakit sosial yang kritikal seperti penagihan dadah,
pergaulan bebas, lari dari rumah dan sebagainya. Keadaan keluarga yang menyimpang
daripada landasan Islam akan lebih memudahkan lagi gejala tersebut tersebar luas.

Islam telah menggariskan panduan yang jelas dalam proses pendidikan anakanak. Ia bermula sejak dari awal kelahiran seorang anak sehinggalah mereka meningkat
dewasa. Pendidikan pertama yang perlu diberikan adalah dengan memperkenalkan
anak-anak kepada Pencipta yang Maha Kuasa yakni Allah s.w.t. Pencipta yang telah
menetapkan peraturan hidup melalui syariatNya agar manusia dapat hidup dengan aman
dan tenteram. Konsep pendidikan ini ada disebut di dalam surah Luqman melalui
kaedah dialog dari seorang bapa kepada anaknya.

Oleh itu, penulis terdorong untuk mengkaji dan menyelami rahsia al-Quran
khususnya yang terdapat dalam Surah Luqman ini. Kajian ini merupakan satu analisis
khusus tentang pendidikan Luqman al-Hakim, iaitu insan soleh yang digelar Allah s.w.t

3

sebagai hakim dan hamba yang bijaksana. Cara Luqman mendidik anak-anaknya begitu

lengkap dan menyeluruh dengan menekankan tiga aspek penting iaitu akidah, ibadah,
dan akhlak.

Justeru, penelitian yang khusus terhadap pendekatan konsep pendidikan anakanak yang telah diperkenalkan oleh Allah s.w.t menerusi Surah Luqman ini sewajarnya
diberikan perhatian agar kaedah ini dapat diaplikasikan di dalam pendidikan anak-anak
pada masa kini. Masalah yang berlaku terhadap anak-anak pada hari ini dikatakan
berpunca daripada beberapa faktor. Namun, faktor utama yang sering ditekankan adalah
faktor asuhan ibu bapa. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin terhadap pendidikan
anak-anak seharusnya menjadikan kisah Luqman sebagai panduan dalam membentuk
anak-anak yang soleh dan solehah.

1.3

Permasalahan Kajian
Remaja mutakhir kini seringkali dikaitkan dengan budaya hedonisme iaitu

budaya yang mementingkan keseronokan semata-mata. Ekoran daripada budaya
hedonisme yang semakin menular dalam kalangan remaja kini, keruntuhan akhlak dan
jati diri remaja turut meningkat. Pada masa yang sama, gejala ini turut menimbulkan
kebimbangan banyak pihak termasuklah keluarga, masyarakat dan negara.


Menurut satu

kajian mengenai persepsi ibu bapa terhadap faktor-faktor

keruntuhan akhlak remaja Islam masa kini, Sezali Din (1997) mengatakan bahawa
punca keruntuhan akhlak di kalangan remaja adalah disebabkan kegagalan didikan ibu
bapa. Beliau menyebut bahawa:

4

“Hubungan kekeluargaan yang renggang merupakan antara faktor
yang menyebabkan gejala sosial berlaku di kalangan remaja. Ibu
bapa yang terlalu sibuk mengejar kemewahan dan mementingkan
kerjaya sehingga interaksi di antara ibu bapa dan anak-anak terabai
menimbulkan perasaan kecewa dan tertekan dalam jiwa mereka.”
(Jurnal: Persepsi Ibu Bapa Terhadap Faktor-Faktor Keruntuhan
Akhlak Remaja Islam Masa Kini).

Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa betapa pentingnya asuhan dan didikan

yang bertepatan oleh ibubapa kepada anak-anaknya.

Selain itu, penulis laman web pembina.com.my mengatakan bahawa punca
keruntuhan akhlak yang utama bermula daripada didikan yang diterima daripada ibu
bapa. Beliau mengatakan bahawa:
“Punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan
dari segi asuhan, didikan dan bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa
atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan
serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa
dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap,
berbincang dan berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang
jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa
cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.”
(http://pembina.com.my: 3 November 2012, 11.23 am)
Sehubungan dengan itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dalam
mencorak sahsiah anak-anak sejak dari kecil lagi. Ibarat pepatah Melayu, “melentur
buluh biarlah dari rebungnya”. Rebung digunakan sebagai perumpamaan kepada anak
kecil adalah kerana rebung merupakan pucuk muda kepada buluh yang mudah dibentuk
dan dilentur. Begitulah juga anak kecil yang masih kurang menerima pengaruhpengaruh negatif daripada persekitaran mereka. Namun sekiranya rebung tersebut sudah
menjadi buluh, adalah sukar untuk dibentuk bahkan buluh tersebut boleh patah


5

sekiranya dipaksa. Begitu juga dengan didikan terhadap anak-anak di mana anak-anak
yang telah meningkat dewasa agak sukar untuk dididik dan diberi nasihat.

Oleh itu, Islam telah menyediakan satu metodologi dalam mendidik anak-anak
iaitu berdasarkan Surah Luqman. Surah Luqman merupakan surah penting berkaitan
dengan soal pendidikan anak-anak. Garis panduan yang jelas tentang pendidikan ini
menepati kehendak dan keperluan semasa malah bersesuaian sepanjang zaman.
Berdasarkan ayat 12 dalam surah ini terdapat dua perkara utama yang perlu diberi
penelitian khusus oleh penulis iaitu akhlak ibu bapa dan kaedah pendidikan anak-anak.
Setiap Muslim mesti memahami dengan mantap tentang dasar-dasar penting dalam
Islam dan keEsaan Tuhan serta mengamalkan ilmu dalam kehidupan seharian agar
dapat menjadi pendidik yang berakhlak mulia (Syed Muhammad al-Naquib al-Attas,
1978). Lantaran itu, penulis berhasrat untuk mengkaji dengan lebih mendalam
berdasarkan ayat suci al-Quran mengenai metodologi pendidikan anak-anak di dalam
Surah Luqman ini.

1.4 Objektif Kajian

Antara objektif kajian ini ialah:
1.4.1 Mengenalpasti kaedah pendidikan anak-anak menurut Surah Luqman.

1.4.2 Menjelaskan ciri-ciri utama yang perlu diterapkan dalam pendidikan anak-anak
menurut surah Luqman.

6

1.5 Soalan Kajian
Soalan kajian yang ditimbulkan adalah:
1.5.1

Apakah kaedah pendidikan anak-anak yang diterapkan di dalam surah
Luqman?

1.5.2

Apakah ciri-ciri utama yang perlu diberikan penekanan dalam proses
pendidikan anak-anak seperti yang terdapat dalam surah Luqman?


1.6

Definisi Operasional dan Konseptual

1.6.1

Konsep pendidikan anak-anak
Berdasarkan Kamus Dewan, pendidikan berasal daripada kata dasar didik yang

membawa pengertian memelihara dan memberi latihan berupa ajaran ataupun pimpinan
mengenai akhlak dan kecerdasan fikiran. Pendidikan pula membawa maksud proses
mengubah sikap dan tata laku seseorang dalam usaha mematangkan individu tersebut.
Secara jelasnya, pendidikan bolehlah ditakrifkan sebagai proses penyemaian ilmu secara
berterusan kepada seseorang.

Oleh kerana luasnya konsep pendidikan itu disamping pertalian intimnya dengan
ilmu, para cendekiawan seringkali memberi pendefinisian tentang pendidikan
berdasarkan cabang ilmu masing-masing bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas.
Menurut Ibn Sina, pendidikan anak adalah integrasi antara pendidikan akhlak (jiwa) dan
fizikal. Keduanya harus berjalan seiring dan ia saling mempengaruhi satu sama lain.

Namun, sesungguhnya peranan

jiwa sangat mendominasi terhadap tingkah laku

seorang anak. Maka seharusnya pendidikan anak semenjak kecil lebih banyak

7

diutamakan pada pendidikan akhlak (jiwa), selain keperluan fizikal yang juga harus
selalu dipenuhi.

1.6.2

Surah Luqman
Surah Luqman pula merupakan surah yang ke 31 dalam al-Quran. Surah ini

terdiri dari atas 34 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Namun, kajian
ini hanya merangkumi ayat 12-19 di dalam Surah Luqman. Surah ini diturunkan
setelah surah As-Saffat. Nama Luqman diambil dari kisah Luqman yang diceritakan
dalam surah ini tentang bagaimana beliau mendidik anak-anaknya dengan penuh

hikmah.

1.7

Kepentingan Kajian
Hasil kajian ini dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak terutama terhadap

institusi kekeluargaan dalam membentuk sahsiah anak-anak. Kajian ini dapat membuka
mata ibu dan bapa mengenai kepentingan mendidik anak-anak mengikut garis panduan
yang betul berteraskan ayat suci al-Quran. Islam sangat membenci dan mencela sikap
orang tua yang melayan buruk anak-anak mereka dan mengabaikan pendidikan mereka.
Akhlak anak-anak yang buruk dan rosak sebahagian besar disebabkan oleh pendidikan
yang diterima daripada kedua orang tua. Anak-anak belum matang dalam melaksanakan
tanggungjawab mereka kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu, para ibu
bapa bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan yang berterusan agar mereka
tidak terbiar dan leka dengan kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

8

Selain itu, hasil kajian ini dapat digunakan oleh seseorang individu dalam

menuju jalan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan mengaplikasikan nasihat yang
disampaikan oleh Luqman al-Hakim ketika berhadapan dengan masyarakat seperti
adab-adab ketika berjalan dan dalam memelihara diri dari perbuatan mungkar.

Kesimpulannya, hasil daripada kajian ini ianya boleh digunakan oleh pelbagai
pihak dalam membentuk sahsiah serta akhlak yang mulia kerana sahsiah serta akhlak
yang mulia bermula dari dalam diri individu terlebih dahulu seterusnya barulah
berkembang kepada keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negara.

1.8

Tinjauan Literatur
Tujuan adanya tinjauan literatur adalah untuk mengkaji perkaitan antara kajian

terdahulu dengan kajian yang bakal dilaksanakan oleh penulis ini. Antara sumbersumber yang dijadikan sebagai tinjauan literatur adalah buku-buku akademik, koleksi
jurnal, laporan tesis, kitab-kitab tafsir yang muktabar dan sebagainya.

Antara salah satu sumber tinjauan literatur adalah diambil daripada laporan tesis
yang bertajuk “Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman” oleh Wan
Nurulhuda binti Wan Jusoh dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2011. Kajian
tersebut dijalankan dengan mengedarkan soal selidik kepada staf-staf Universiti
Teknologi Malaysia bagi melihat kecenderungan mereka dalam mengaplikasikan
kaedah pendidikan anak berdasarkan surah Luqman. Namun, kajian yang ingin
dijalankan oleh penulis sedikit berbeza iaitu kajian kualitatif berbentuk deskriptif.

9

Penulis menggunakan kaedah dokumentasi yang terdiri daripada rujukan al-Quran,
kitab tafsir yang muktabar, buku-buku, jurnal dan sebagainya.

Selain itu, sumber sokongan lain yang dijadikan rujukan ialah jurnal yang
bertajuk “Pendidikan Keibubapaan Berdasarkan Surah Luqman” oleh Rosnaaini Hamid,
Suhanim Abdullah dan Syahrul Faizaz Abdullah dari Universiti Utara Malaysia pada
tahun 2004. Hasil kajian yang ditemui mendapati bahawa bentuk pendidikan surah
Luqman terdiri daripada tiga iaitu strategi pendidikan Luqman al-Hakim, pendidikan
anak-anak berkaitan hubungan dengan Allah s.w.t dan hubungan sesama manusia.

Penulis juga menggunakan jurnal yang bertajuk “Pendidikan Keibubapaan: Satu
Pengenalan Ringkas” sebagai salah satu rujukan. Kajian tersebut ditulis oleh Profesor
Madya Dr. Mustafa Hj. Daud dari Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan, Universiti
Utara Malaysia. Hasil kajian beliau mendapati bahawa ibu bapa yang mempunyai sikap,
ilmu dan kemahiran yang tinggi berkaitan dengan keibubapaan berkeupayaan untuk
menjadi ibu bapa mithali.

Selain Luqman al-Hakim, Ibn Khaldun juga terkenal dengan teori-teori
pendidikan dalam karyanya. Setelah melakukan tinjauan terhadap kajian-kajian lepas,
penulis mendapati bahawa terdapat sebuah jurnal yang bertajuk “Konsep Pendidikan
Islam Menurut Pemikiran Ibn Khaldun” dan dijadikan rujukan dalam kajian yang
dijalankan oleh penulis. Kajian ini telah ditulis oleh Syahrul Riza (2008) dari Universiti
Sains Malaysia. Beliau telah mengkhususkan kajiannya kepada konsep pendidikan
Islam dan elemen-elemen kemasyarakatan berdasarkan pemikiran Ibn Khaldun.

10

Pengkaji juga membuat tinjauan dari pelbagai buku-buku dan kitab tafsir
daripada sumber primer dan sekunder. Makna sumber primer adalah data yang diambil
secara langsung daripada sumber aslinya tanpa ada perantara. Sumber primer dalam
kajian ini terdiri daripada kitab-kitab yang ditulis oleh Sayyid Qutb bertajuk Tafsir Fi
Zhilalil Quran Jilid 9 pada tahun 2005 dan kitab bertajuk Fi Zilal al-Quran, Juzu’ 5 pada
tahun 1988. Kitab-kitab ini banyak membantu penulis untuk memahami makna sesuatu
ayat dengan lebih mendalam khususnya dalam surah Luqman. Kitab ini juga memberi
tafsiran yang pelbagai daripada para pengkaji hadith. Selain itu, penulis juga
menggunakan kitab yang ditulis oleh Said Hawa bertajuk Al-Asas Fi al-Tafsir. (1989).

Sumber sekunder dalam kajian ini pula adalah semua buku-buku utama yang
masih ada hubungannya dengan persoalan yang dibahas. Data sekunder adalah data
yang bukan ditulis sendiri pengumpulannya oleh penulis seperti buku yang ditulis oleh
Abdullah Nasih Ulwan bertajuk Pendidikan Anak dalam Islam Jilid I pada tahun 2002.
Selain itu, buku yang ditulis oleh Abdul Rashid Ahmad (2008) bertajuk Surah Luqman:
Mendidik Anak Cemerlang. Pengkaji juga merujuk kepada buku bertajuk Hikmah di
Sebalik Wasiat Luqman al-Hakim yang ditulis oleh Ahmad Hasan Mohd Nazam dan
Mohd Nizam Mohd Ali. (2001). Di dalam buku ini lebih berfokus kepada wasiat-wasiat
yang ditinggalkan oleh Luqman kepada anak-anaknya bahkan kepada orang ramai
menggunakan kata-katanya yang bijaksana.

1.9

Skop Kajian
Kajian ini tertumpu kepada pendekatan konsep pendidikan yang terdapat dalam

Surah Luqman. Surah ini merupakan surah yang ke 31 mengikut susunan surah di

11

dalam al-Quran dan mengandungi 34 ayat. Namun, kajian ini memfokuskan pada ayatayat yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak yang merangkumi lapan ayat sahaja
iaitu bermula dari ayat 12-19. Ayat 12 menceritakan tentang peribadi Luqman al-Hakim
manakala ayat 13-19 menceritakan secara khusus tentang kaedah pendidikan yang
diaplikasikan oleh Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya.

Ayat-ayat tersebut dapat diklasifikasikan kepada tiga aspek penting iaitu
pendidikan akidah, pendidikan akhlak, dan pendidikan ibadah. Di dalam pendidikan
akidah, penumpuan diberikan dalam mengajar anak-anak supaya mentauhidkan Allah
s.w.t iaitu larangan mensyirikkan Allah s.w.t terhadap sesuatu perkara. Manakala,
dalam pendidikan akhlak, penulis memberi perhatian tentang kepentingan berbakti
kepada ibu bapa. Anak-anak hendaklah mengikut segala suruhan ibu bapa mereka selagi
suruhan tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Aspek yang terakhir dan perlu
diberi penekanan dalam mendidik anak-anak ialah pendidikan ibadah. Aspek ini
menumpukan pada amalan solat serta suruhan melakukan kebaikan dan mencegah
kemungkaran berdasarkan ayat 17 dalam surah Luqman.

1.10

Metodologi Kajian

1.10.1 Kaedah Kajian
a) Reka bentuk kajian
Metodologi kajian adalah kaedah atau teknik yang digunakan untuk
mendapatkan maklumat, mengumpul serta menganalisis data. Perkara ini sangat
penting bagi melihat kaedah-kaedah yang dirangka boleh mencapai objektif
yang dicadangkan. Oleh kerana itu, kajian ini dijalankan dengan menggunakan

12

pendekatan kualitatif. Kualitatif bermaksud kajian yang lebih tertumpu kepada
kualiti dan lebih bersifat deskriptif iaitu menghuraikan makna terhadap perkara
yang dikaji. Ia memerlukan penaakulan yang mendalam terhadap kajian. Bagi
tujuan itu, penulis telah menganalisis dokumen-dokumen, buku-buku dan
manuskrip yang berkaitan dengan kajian iaitu untuk mengenalpasti pendekatan
konsep pendidikan anak-anak menurut Surah Luqman. Oleh itu, penulis juga
perlu mengenalpasti serta memahami maksud sebenar konsep pendidikan anakanak yang termaktub di dalam al-Quran terutamanya ayat-ayat yang terdapat di
dalam Surah Luqman.

b) Instrumen kajian / alatan kajian
Alatan kajian yang digunapakai bagi mendapatkan maklumat dalam kajian ini
adalah melalui kajian dokumen.

1.10.2 Kaedah Pengumpulan Data
a) Kajian dokumen
Data kualitatif merujuk kepada maklumat dan data yang berbentuk teks atau
ayat-ayat yang tidak mempunyai struktur dan tidak dapat dirumuskan dalam
bentuk nombor atau statistik seperti data kualitatif. Selain itu, data tersebut juga
berbentuk dokumen dan perlu dianalisis oleh penyelidik. Kajian ini juga boleh
membantu kajian kuantitatif dengan memberi penjelasan kepada hasil data
penyelidikan kuantitatif. Di dalam kajian ini, data-data dikumpul menggunakan
kaedah dokumentasi yang terdiri daripada rujukan al-Quran, buku-buku, kamus,
tesis, jurnal, manuskrip, dan artikel. Kitab tafsir yang muktabar menjadi sumber
rujukan utama kepada penulis untuk memahami sesuatu ayat.