ASAL USUL BAHASA DAN BANGSA MELAYU

1.0

PENGENALAN

Melayu yang dilihat pada hari ini seperti yang tertakrif dalam Perlembagaan Malaysia adalah
mereka yang berbangsa Melayu, beragama Islam serta mengamalkan cara hidup dan budaya
Melayu. Itu adalah konsep Melayu yang tertulis pada masa ini. Sehubungan dengan itu, apabila
berbicara mengenai Melayu di Malaysia khususnya, sudah pasti Melayu itu merujuk kepada
sebuah kaum majoriti yang rata-ratanya adalah penganut agama Islam. Pernahkah terlintas di
fikiran bahawa Melayu itu sebenarnya bukanlah satu kaum seperti yang tergambar dalam
Perlembagaan, sebaliknya Melayu adalah sebuah bangsa yang meliputi seluruh Tanah Melayu,
Kepulauan Melayu, dan Alam Melayu.
Sudah pasti hal ini kedengaran agak aneh terutamanya dalam kalangan masyarakat yang
bukan pengkaji bahasa atau linguistik. Hal ini demikian kerana bangsa Melayu sering
disempitkan dengan maksud bahawa Melayu itu adalah kaum Melayu serta timbulnya dakwaan
sesetengah pihak bahawa Melayu itu adalah pendatang dan bukan berasal dari Tanah Melayu.
Bertitik tolak daripada perkara ini, sesebuah bangsa yang wujud di dunia ini mempunyai bahasa
mereka sendiri. Hal ini berikutan kerana setiap bahasa yang ada di dunia ini mempunyai
penuturnya. Begitu juga dengan bangsa Melayu, mereka mempunyai bahasa Melayu sebagai
bahasa komunikasi, bahkan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu bukan sahaja berfungsi
sebagai alat komunikasi tetapi bahasa Melayu dahulu mempunyai peranan yang sangat luas.

Antara peranan bahasa Melayu ialah sebagai bahasa lingua franca. Hal ini cukup jelas
untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa
perantaraan yang sangat penting dalam hubungan perdagangan dua hala antara pedagang luar
dengan pedagang di Melaka misalnya. Tambahan pula, bahasa Melayu juga pernah menjadi
bahasa perhubungan dan bahasa diplomasi antara orang Siam dan pedagang yang datang ke
1

Thailand semasa zaman keagungan bahasa Melayu di Asia Tenggara. Sungguh berbeza sekali
peranan bahasa Melayu dahulu dan kini yang mana bahasa Melayu dahulu dijulang sebagai
bahasa antarabangsa namun bahasa Melayu kini telah disempitkan penggunaannya hanya sebagai
bahasa kebangsaan negara Malaysia malah terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri
yang tidak berbangga untuk menuturkan bahasa Melayu hanya kerana bahasa Inggeris telah
menguasai dunia dalam segenap aspek kehidupan.
Sementara itu, Melayu pada asalnya merujuk kepada kerajaan yang mana bukti-bukti
sejarah menunjukkan bahawa perkataan ‘Melayu’ dirujuk sebagai kerajaan atau kawasan. Hal ini
berikutan kerana penemuan istilah yang berkaitan dengan Melayu dijumpai dalam catatan
sejarah yang merujuk kepada kerajaan atau kawasan. Menurut Nik Safiah Karim (2010), istilah
‘Melayu’ yang merujuk kepada kerajaan atau kawasan dikesan pada sekitar tahun 100-150M.
Dalam sebuah karya Geographike Sintaxis oleh Ptolemy menunjukkan bahawa istilah Maleukolon dianggap berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Malayakolam atau Malaikurram yang
merujuk kepada sebuah tempat di utara Pantai Semenanjung Malaysia iaitu Tanjung Kuantan.

Selain itu, istilah Malaya dvipa dalam kitab Hindu Purba iaitu Purana yang ditulis sebelum
zaman Gautama Buddha sehingga 500M, dikatakan sebagai Pulau Sumatera yang mana istilah
dvipa bermaksud tanah yang dikelilingi air dan banyak lombong batu yang berbeza.
Tambahan lagi, istilah Mo-lo-yu yang menjadi tempat asal utusan yang dihantar ke negeri
China untuk mempersembahkan hasil bumi dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina
pada dinasti Tang (644-645M) dimaksudkan sebagai sebuah kerajaan yang terletak di Selatan
Pulau Sumatera dan Srivijaya yang terletak di Palembang. Menurut catatan I’tsing, dalam
perjalanan dari Canton ke India, beliau singgah di Bhoga (tanah Jajahan Palembang termasuk
Moloyu) dan kemudiannya dihantar oleh Raja Bhoga ke negeri Moloyu yang ketika itu disebut
2

sebagai Sri Bhoga (Palembang; ibu negeri Srivijaya. Srivajaya ketika itu adalah kerajaan Melayu
yang teragung).
Seterusnya, istilah Melayu yang menunjukkan bangsa wujud setelah adanya kerajaan
Melaka yang berkembang menjadi kerajaan yang agung. Pada mulanya, istilah Melayu yang
menunjukkan bangsa merujuk kepada keturunan raja-raja Melayu dari Sumatera. Bermula abad
ke-17, barulah penggunaan istilah Melayu yang merujuk kepada bangsa serumpun di Nusantara
mulai meluas. Pada ketika itu, konsep ‘Melayu’ telah merujuk kepada suku bangsa yang ada di
seluruh Nusantara, Madagaskar dan diaspora Melayu (Sri Lanka dan Afrika Selatan). Dalam
pada itu, perkataan “Melayu” menurut Raja Shariman Raja Aziddin (2016) adalah berasal

daripada perkataan Mala’u yang bermaksud bangsa yang agung disebabkan oleh keterbukaan
orang Melayu yang mudah menerima kebaikan misalnya semasa kedatangan Islam di Nusantara.

2.0

OBJEKTIF KAJIAN

3

Dalam melakukan kajian terhadap asal usul bahasa dan bangsa Melayu, pengkaji mendapati
bahawa terdapat dua objektif yang diperlukan dalam melaksanakan kajian ini iaitu:
i.

Membincangkan asal usul bahasa Melayu.

ii.

Menghuraikan asal usul bangsa Melayu.

3.0


KEPENTINGAN KAJIAN

Sesebuah kajian yang dilakukan adalah amat penting bagi perkembangan dan pertumbuhan ilmu
dalam sesuatu bidang yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Kajian yang dilakukan
bukanlah bermaksud untuk melihat pengkaji manakah yang lebih hebat dalam mengaplikasikan
ilmunya tetapi ilmu yang bagaimanakah yang boleh digunapakai untuk menghasilkan sebuah
kajian yang bukan sahaja bermanfaat kepada pengguna ilmu tersebut namun secara amnya
terhadap seluruh masyarakat yang mementingkan ilmu. Dalam menghasilkan kajian mengenai
asal usul bahasa dan bangsa Melayu, pengkaji menyedari bahawa pengkaji sendiri kurang
mempunyai pengetahuan akan asal usul bahasa dan bangsa Melayu sedangkan pengkaji sendiri
adalah bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini sebenarnya
penting untuk pengetahuan masyarakat tidak mengira kaum Melayu, Cina, India atau lain-lain
kerana mereka perlu menyedari bahawa mereka juga sebenarnya tergolong dalam bangsa Melayu
kerana mereka kini berada dalam lingkungan kawasan Kepulauan Melayu.
Di sinilah, pengkaji berharap supaya kajian ini sedikit sebanyak dapat membuka mata
masyarakat supaya tidak mengetepikan soal bangsa kerana terdapat sesetengah masyarakat dari
dua negara berbeza sering sahaja bertelagah mengenai isu pemilikan budaya. Sekiranya mereka
menghayati dan mengkaji sejarah asal negara mereka, sudah pasti tidak timbul isu merampas
4


atau mencuri sesuatu budaya kerana sejarah menunjukkan bahawa budaya-budaya yang
dikatakan dicuri itu pada asalnya adalah dari negara yang serumpun misalnya Malaysia dan
Indonesia adalah dua negara yang berbeza pada masa ini, namun kedua-dua negara ini asalnya
adalah negara serumpun yang terletak dalam lingkungan Kepulauan Melayu yang sudah pasti
memiliki budaya yang sama.
Bagi pengkaji, tidak salah sekiranya masyarakat mempunyai pengetahuan sejarah
mengenai asal usul bangsa dan bahasanya supaya mereka tidak terlalu cepat melatah dengan isuisu yang sengaja dibangkitkan oleh orang yang tidak memahami sejarah asal negaranya. Oleh hal
yang demikian, peri pentingnya kajian ini untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat
tentang asal usul bahasa dan bangsa Melayu menurut bukti sejarah agar masyarakat dapat
memupuk semangat patriotik untuk mencintai bangsa dan bahasanya dan tidak sesekali bertindak
untuk meretakkan hubungan antara negara-negara yang serumpun biarpun kini negara-negara
tersebut adalah negara yang terpisah dan berdiri di atas kaki sendiri.

4.0

SOROTAN KAJIAN

5


Sorotan kajian lepas amatlah penting dalam pelaksanaan sesebuah kajian bagi mengukuhkan
serta menyokong kajian yang sedang dilakukan. Hal ini berikutan kerana kajian yang hendak
dijalankan ini tidaklah diumpamakan seperti kajian “syok sendiri” dan perlu disokong oleh
kajian-kajian terdahulu yang dilakukan oleh pengkaji lain walaupun kajian tersebut tidak
membincangkan terlalu banyak mengenai bidang kajian yang hendak dikaji. Oleh hal yang
demikian, kajian ini bagaimanapun telah merujuk kepada kajian-kajian terdahulu yang
menumpukan aspek bahasa dan bangsa Melayu dari sudut sejarah, bahasa, arkeologi mahupun
geografi bagi mengumpulkan data kajian yang penting.
Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dalam kajiannya bertajuk “Peri nama, asal usul
dan identiti Melayu: Ke arah pencerahan yang dinantikan” (2014) menyentuh soal perbincangan
serta perbandingan terhadap pandangan dan teori mengenai nama Melayu, tempat asal, migrasi
dan identiti Melayu dalam pembentangan Wacana Fikrah Ummah Siri Ke-9 anjuran Bahagian
Majalah DBP di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasil perbincangan mendapati bahawa kata nama
“Melayu” telah digunakan untuk merujuk tempat, kerajaan, kelompok manusia atau bangsa
melalui bukti catatan Geographia oleh Ptolemy, kitab Hindu Purba Purana, catatan oleh
pengembara China I Tsing, catatan oleh Mpu Prapanca dalam karya Desawarnama serta catatan
dalam karya agung Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin.

Seterusnya,


perbincangan dilakukan terhadap asal usul orang Melayu yang mana asal usul orang Melayu ini
menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan sarjana. Daripada hasil perbincangan
ini, disimpulkan bahawa teori “Keluar dari Taiwan” dan teori “Keluar dari benua Sunda”
merupakan teori yang menjelaskan asal usul orang Melayu.
Teori “Keluar dari Taiwan” menjelaskan bahawa rumpun manusia Austronesia telah
berhijrah dari selatan China melalui Taiwan keluar ke Asia Tenggara kerana desakan oleh
6

kepadatan populasi di tempat asal. Teori ini bagaimanapun didapati tidak mempunyai bukti
kukuh yang menyokong perpindahan orang Melayu dari selatan China biarpun teori ini diterima
oleh kebanyakan pengkaji, ahli akademik dan kajian genomik. Hasil penelitian rujukan ini
mendapati bahawa teori “Keluar dari benua Sunda” merupakan teori yang lebih berwibawa
kerana mempunyai bukti ethnologi, arkeologi, kajian samudera, linguistik, analisis DNA dan
folklor. Penemuan bukti genetik oleh Human Genome Organisation (2009) iaitu bukti bahawa
migrasi di Asia berlaku melalui kepulauan Asia Tenggara tanpa penghijrahan dari Tanah Besar
Asia serta penemuan bukti DNA oleh Martin Richards (2008) bahawa penyebaran penduduk di
Asia Tenggara ribuan tahun lalu yang melibatkan pergerakan ke arah utara disebabkan oleh
fenomena banjir besar di benua Sunda telah menyokong teori “Keluar dari benua Sunda”.
Selain itu, terdapatnya bukti kajian genomik yang menyokong pergerakan “Dari Selatan
ke Utara” oleh Hong Shi et.al (2005), dan Su. B et.al (1999), kajian genetik dan folklor etnik

Yami oleh Jun-Hun Loo (2011), kajian pengalaman dan dapatan George Leslie serta oleh
Michael Stainton (2007), kajian mengenai lagenda puak Amis yang memperingati ketibaan
nenek moyang mereka dari arah selatan oleh Janet Montgomery McGovern serta tulisan
berkenaan asal usul puak Amis oleh Mabuchi Toichi (1974) dan asal usul puak Yami oleh
Miyamoto Nobuto (1985). Kemudian, kajian mendapati bahawa identiti Melayu terbahagi
kepada tiga definisi iaitu Malayo-Polinesia dalam konteks rumpun bangsa, Melayu di Kepulauan
Melayu termasuk Filipina dan Diaspora Melayu serta Melayu di Malaysia yang identiti
kemelayuannya ditentukan oleh Perlembagaan Negara.

Kajian seterusnya yang telah dijadikan rujukan dalam melaksanakan kajian asal usul
bahasa dan bangsa Melayu ialah kajian “Asal usul orang Melayu: Menulis semula sejarahnya”
7

oleh Mohamed Anwar Omar Din (2011). Kajian ini merupakan satu usaha untuk merekonstruksi
semula landasan penjelasan tentang asal usul orang Melayu yang lebih serasi dengan realiti
sebenar. Sumber-sumber penulisan artikel ini terdiri daripada sumber-sumber yang telah
digunakan dalam tulisan-tulisan yang sudah terkenal mengenai topik ini tetapi dibuat penilaian
semula terhadapnya. Walau bagaimanapun, asas penjelasan dalam artikel ini adalah sumbersumber primer sejak era Masihi dan juga tulisan-tulisan klasik peribumi. Dihujahkan bahawa
asal-usul orang Melayu tidak boleh dinilai berasaskan sumber-sumber yang digunakan dalam
tulisan-tulisan yang sedia ada kerana kesemuanya bukti yang belum tentu sahih. Oleh sebab itu,

tulisan-tulisan yang ada pada hari ini dikatakan hanyalah spekulasi yang tidak masuk akal.
Artikel ini mengusulkan bahawa pencarian asal-usul orang Melayu tidak boleh dianalisis
berasaskan bahasa purba (Austronesia dan Austroasia), bahan arkaeologi, bahan antropologi,
rupa-fizikal, fosil dan genetik sebaliknya, dihujahkan bahawa pencarian asal-usul orang Melayu
perlu diasaskan daripada sumber sejarah. Hal ini demikian kerana orang Melayu yang ada pada
hari ini adalah suatu ‘bangsa jadian’ yang terbentuk sejak abad ke-18 hasil daripada
pengembangan identiti yang asalnya hanya terbatas dalam kalangan kerabat pengasas Kesultanan
Melayu Melaka. Imagine communities itu terbentuk setelah berakhirnya zuriat Kesultanan
tersebut. Pengembangan tersebut berkembang daripada dorongan dinamisme Islamisasi.

5.0

METODOLOGI KAJIAN

8

5.1

Pemilihan teori


Dalam melaksanakan kajian ini, teori migrasi bahasa telah digunakan untuk membincangkan
serta menghuraikan asal usul bahasa dan bangsa Melayu. Teori ini telah dikemukakan oleh Gorys
Keraf pada tahun 1984 yang mana teori ini menjelaskan bahawa migrasi bahasa terjadi kerana
perpindahan penduduk dari suatu tempat ke tempat yang lain. Perpindahan tersebut bagaimana
pun turut membawa bersama bahasanya ke tempat perpindahannya. Keraf turut menjelaskan
bahawa terdapat dua dalil yang menghuraikan teori migrasi bahasa yang dikemukakannya iaitu
wilayah asal bahasa kerabat merupakan daerah yang bersambung dan jumlah migrasi mungkin
direkonstruksi akan berbanding terbalik dengan jumlah perpindahan dari setiap bahasa.

5.2

Penggunaan bahan

Bahan yang digunakan dalam kajian ini adalah berdasarkan sumber primer dan sekunder. Kajian
ini menggunakan data primer daripada buku “Bahasa Melayu Bahasa Dunia: Sejarah Singkat”
oleh James T. Collins (karya terjemahan 1998) pada 2011, “Panorama Bahasa Melayu Sepanjang
Zaman” oleh Nik Safiah Karim (2010), “Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu” oleh Asmah
Haji Omar (2005), dan “Sejarah Bahasa Melayu” oleh Abdul Rashid Daeng Melebek (2005).
Sumber sekunder yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah penulisan jurnal oleh Md. Salleh
Yaapar (2014), Mohamed Anwar Omar Din (2011), Uri Tadmor (2007), dan Shaharir Mohd Zain

(2003) serta penulisan artikel daripada sumber majalah Dewan Bahasa dan akhbar Utusan
Malaysia, New Straits Time dan Berita Harian sebagai bahan rujukan.

5.3

Kaedah pengumpulan data
9

Kajian menggunakan kaedah analisis kandungan teks yang terdapat dalam buku, jurnal, artikel
akhbar dan majalah seperti yang telah dijelaskan dalam bahagian penggunaan bahan seperti yang
tertera di atas.

6.0

PERBINCANGAN

Bahasa lahir kerana adanya penutur. Seharusnya untuk mengenali sesebuah bahasa, kita perlu
mengenali bangsanya. Hal ini demikian kerana bahasa tidak wujud tanpa penuturnya. Meskipun
begitu, kajian ini akan membincangkan terlebih dahulu mengenai bahasa Melayu sebelum
10

dihuraikan asal usul bangsa Melayu dengan lebih terperinci. Hal ini timbul ekoran terdapat
pelbagai pendapat dan percanggahan dalam kalangan ahli akademik, pakar sejarah, ahli politik
dan ahli antropologi mengenai asal usul bangsa Melayu. Oleh sebab itu, kajian akan
memfokuskan terlebih dahulu mengenai bahasa dan kemudiannya barulah difokuskan kepada
bangsa Melayu sendiri.
Sehingga kini, asal usul bahasa Melayu masih lagi menjadi pertikaian antara pelbagai
pihak. Hal ini berikutan kerana kurangnya bukti-bukti konkrit yang boleh menjelaskan asal usul
bahasa Melayu sehingga menyebabkan bahasa Melayu masih belum dapat diketahui dengan
tepat mengenai tempat lahirnya bahasa Melayu. Timbulnya pelbagai pendapat mengenai tempat
asal bahasa Melayu oleh para pengkaji Barat merancakkan lagi persoalan akan isu asal usul
sebenar bahasa Melayu. Sungguhpun begitu, melalui pembacaan dari teks bertulis yang menjadi
rujukan dalam kajian ini, pengkaji mendapati bahawa asal usul bahasa melayu tidak dapat
dipisahkan dengan masyarakat penuturnya. Hal ini demikian kerana bahasa wujud setelah adanya
penutur. Oleh sebab itu, sedikit sebanyak hipotesis atau andaian penemuan asal usul bahasa
Melayu ini mempunyai kaitan dengan penuturnya iaitu penduduk yang dikatakan tinggal di
kawasan yang menjadi pusat kelahiran bahasa Melayu.

6.1

Asal usul bahasa Melayu

6.1.1

Bahasa Melayu dari turunan bahasa Austronesia Purba.
Sebelum kajian beralih kepada asal usul bahasa Melayu dari segi tempat, pengkaji
mendapati bahawa bahasa Melayu sebenarnya berasal dari bahasa induk Austronesia
11

Purba. Bahasa Melayu merupakan keluarga bahasa Austronesia Purba yang mana bahasa
Austronesia Purba ini dikatakan terbentuk di pulau asalnya di Taiwan. James T. Collin
(1998) berpendapat bahawa penutur bahasa Austronesia Purba ini telah bermigrasi ke
arah selatan dan melalui Filipina untuk membangunkan kebudayaan manusia di pulaupulau yang masih kosong dan seterusnya bahasa Austronesia Purba ini telah tersebar di
Kepulauan Pasifik. Hal ini dapat dilihat melalui penerbitan kamus yang dihasilkan oleh F.
de Houtman pada awal tahun 1603 telah membuktikan bahawa bahasa Madagaskar
mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu malah seluruh kerabat bahasa Austronesia
turut dikenali sebagai kerabat bahasa Melayu-Polinesia sehingga sekarang.
Menurut James T. Collin, bahasa Melayu merupakan turunan bahasa Austronesia
Purba yang digunakan di Kalimantan Barat sejak kurang lebih dua juta tahun yang lalu.
Hal ini berdasarkan pendapat yang disepakati sebahagian besar ahli terkemuka dalam
bidang arkeologi Austronesia dan lingusitik perbandingan bahawa bahagian barat
Kalimantan merupakan tempat asal bahasa Melayu yang dikaitkan dengan sejarah
perpindahan dan penempatan baru penutur bahasa Melayu Purba. Pada mulanya, penutur
bahasa Melayu purba ini mendiami daerah yang berhampiran dengan kawasan pengairan
seperti tanah basah, delta dan pantai menyebabkan mereka mahir dengan teknologi
pelayaran. Akibat daripada kemajuan dalam teknologi pelayaran, penutur bahasa Melayu
Purba ini telah bermigrasi ke arah barat menyeberangi Laut Cina Selatan melalui Pulau
Tambela dan Riau ke Sumatera sehingga ke hujung selatan benua Asia yang dikenali
sebagai Semenanjung Malaysia sekitar 100M.

6.1.2

Bahasa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia atau Asia Tengah
12

Orang Melayu diandaikan berasal dari bahagian selatan China. Walau bagaimanapun,
bahagian selatan China yang dimaksudkan tidaklah dapat dimengertikan dengan tepat
kerana wujudnya pelbagai hipotesis yang mana bahagian selatan China yang
dimaksudkan ialah Indo- China, ada juga yang menyatakan pantai timur China Selatan
yang merujuk kepada kawasan Champa dan Kampuchea serta ada yang merujuk
bahagian selatan China sebagai Burma. Sungguhpun begitu, orang Melayu dikatakan
telah bermigrasi ke Nusantara secara berkelompok dan menduduki Nusantara sekitar
tahun 2000SM. Hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Tanah Besar Asia atau Asia
Tengah telah dikemukakan oleh P. Sarasin dan F. Sarasin (1982) serta disokong oleh
R.H. Geldern pada tahun 1932.
Hipotesis ini disokong oleh R.H. Geldern kerana beliau telah melakukan kajian
arkeologi ke atas bahan artifak iaitu dengan penemuan sebilah kapak tua di Nusantara
yang didapati mempunyai bentuk dan jenis yang sama dengan kapak tua yang ditemui di
Sungai Hwang Ho, Yang Tze, Mekong, Brahmaputra, Salween dan Irrawadi. Oleh sebab
itu, penemuan bukti artifak tersebut yang mempunyai persamaan dengan artifak yang
ditemui di Tanah Besar Asia menyebabkan Geldern mengandaikan bahawa kapak tua
tersebut telah dibawa oleh orang Asia Tengah ke Nusantara semasa berlakunya proses
migrasi kawasan.
Seterusnya, penemuan bukti budaya yang mana J.R. Logan pada sekitar tahun
1955

dalam kajiannya mendapati bahawa terdapatnya persamaan antara adat resam

antara penduduk di tanah pergunungan di antara negeri Assam, India dengan penduduk
di kepulauan Hindu Timur. Hal ini dapat dibuktikan dalam kajian Logan yang melihat

13

amalan adat resam yang diamalkan oleh penduduk di Sumatera sama dengan adat resam
yang diamalkan oleh suku kaum Naga di Assam, India.
Aspek bahasa turut menjadi bukti yang dikemukakan oleh para sarjana untuk
membuktikan bahawa bahasa Melayu itu berasal dari Tanah Besar Asia. Hal ini telah
dinyatakan oleh J.H.C. Kern (1833-1917) melalui kajian perbandingan perkataan asas
yang mana kajian mendapati bahawa terdapatnya persamaan antara perkataan asas di
Nusantara dengan perkataan yang ada di Madagaskar, Filipina, Taiwan dan beberapa
pulau di Lautan Pasifik. Sebagai contoh, antara perkataan asas yang menjadi data
perbandingan dalam kajian tersebut ialah perkataan pisang, besi, buluh dan lalat.
Daripada penemuan bukti kosa kata tersebut, J.H.C Kern pada akhirnya merumuskan
bahawa bahasa Melayu berasal daripada satu induk yang ada di rantau Asia yang
dimaksudkannya sebagai Tanah Besar Asia.

6.1.3

Bahasa Melayu berasal dari Nusantara
Ada dalam kalangan pengkaji yang tidak menyetujui hipotesis asal usul bahasa Melayu
dari Tanah Besar Asia atau Asia Tengah sebaliknya, mereka menemukan bahawa bahasa
Melayu itu diandaikan berasal dari Nusantara atau pun dikenali sebagai Kepulauan
Melayu. Hal ini dapat dilihat menerusi analisis kajian John Crawfurd (1852) yang
membandingkan bahasa Melayu dan Jawa dengan bahasa di Sumatera, Borneo dan
kawasan Polinesia.
14

Daripada kajian perbandingan yang dilakukan, John Crawfurd mendapati bahawa
terdapat banyak perkataan dari bahasa Jawa dan Melayu serupa dengan bahasa serumpun.
Pendapat ini kemudiannya membawa kepada kesimpulan bahawa tempat asal bahasa
serumpun adalah di Pulau Jawa yang melahirkan bahasa Jawa dan di Sumatera yang
melahirkan bahasa Melayu. Hal ini disebabkan oleh perkembangan kebudayaan yang
sangat menonjol berlaku di Pulau Jawa dan Sumatera pada abad ke-19. Perkembangan
kebudayaan tersebut menampakkan bahawa Pulau Jawa dan Sumatera memiliki
ketamadunan tinggi yang hanya dapat dicapai selepas perkembangan budaya dalam
tempoh yang sangat lama sekaligus tempoh tersebut menunjukkan bahawa orang Melayu
berasal dan berkembang di Nusantara.
Seterusnya, William Marsden (1754-1836) melalui bukti bahasa telah mendapati
bahawa bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia
daripada aspek bentuk kata dan struktur bahasa. Ketiga-tiga bahasa yang disebutkan ini
juga berasal daripada induk yang sama dengan bahasa Melayu iaitu bahasa Austronesia
Purba. Persamaan ketiga-tiga bahasa ini dengan bahasa Melayu menunjukkan bahawa
adanya hubungan kekerabatan antara bahasa-bahasa tersebut yang menjadi bukti bahawa
bahasa-bahasa tersebut adalah dalam rumpun bahasa yang sama.
Bahasa Melayu sebenarnya didapati memang telah sedia ada di Kepulauan
Melayu dan penduduk di Kepulauan Melayu menuturkan bahasa keluarga Nusantara
termasuklah bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa penutur bahasa Melayu
bukanlah berasal dari mana-mana sebaliknya mereka merupakan induk yang memang
sedia ada di Nusantara dan kemudiannya menyebar ke tempat lain dengan membawa
bersama bahasa Melayu pada ketika itu.
15

Bertitik tolak daripada pernyataan ini, para sarjana yang menolak hipotesis asal
usul bahasa Melayu dari Asia Tengah ini menemukan bahawa bahasa di Nusantara yang
berasal dari induk bahasa Austronesia berbeza dengan bahasa di Asia Tengah yang
merupakan turunan dari induk bahasa Indo-Eropah. Hal ini demikian diperlihatkan oleh
bukti sejarah bahasa yang mana bahasa Austronesia telah tersebar ke bahagian pesisir
Pantai Timur Laut (Lautan Pasifik), pantai barat (Lautan Hindi) dan selatan (kawasan
Nusantara). Sungguhpun begitu, penyebaran bahasa Austronesia sama sekali tidak
melibatkan kawasan Asia Tengah sekaligus menafikan hipotesis asal usul bahasa Melayu
dari Asia Tengah.
Jika dilihat pada susur galur salasilah bahasa, bahasa Melayu adalah turunan
bahasa Austronesia yang tergolong dalam subkeluarga Indonesia Pusat manakala bahasa
Cina, Tibet, Siam atau Annam yang dituturkan oleh penduduk di wilayah selatan China
adalah berasal dari rumpun Cina-Tibet. Sejarah keluarga bahasa ini juga tidak dapat
dinafikan telah menolak hipotesis asal usul bahasa Melayu dari Asia Tengah.
6.2

Asal usul bangsa Melayu

6.2.1

Bangsa Melayu berasal dari Yunnan
Asal usul bangsa Melayu dikatakan berasal dari wilayah selatan China iaitu Yunnan atau
kini dikenali sebagai Mongolia. Menurut Zafarina Zainuddin (2015), kepercayaan ini
timbul daripada pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal
daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan
seterusnya ke Asia Tenggara yang mana pergerakan keluar tersebut adalah dari arah utara
ke selatan. Kepercayaan mengenai asal usul bangsa Melayu yang dikatakan berasal dari
16

Yunnan ini juga turut dipersetujui oleh Datuk Dr. Ananda Kumaraseri (2012) yang
menyebutkan pernyataannya dalam akhbar New Straits Times bahawa bangsa Melayu
yang merupakan etnik paling dominan di Malaysia dikenal pasti berasal dari Tibet dan
wilayah Yunnan yang terletak di Selatan China. (Amar Shah Mohsen, 2015).
Bertitik tolak daripada hal ini, Abdullah Hassan (2005) menyatakan bahawa
penghijrahan orang Melayu dari Yunan ke Nusantara sejak 2500SM telah melahirkan
bangsa Melayu Proto atau Melayu Kuno yang merupakan kelompok pertama nenek
moyang orang Melayu. Oleh hal yang demikian, asal usul bangsa Melayu dari wilayah
Selatan China ini juga dikenali sebagai “Teori Keluar dari Yunnan” yang dikemukakan
pada tahun 1980 yang mana teori ini disandarkan kepada teori penghijrahan beramairamai orang Melayu dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar melalui Sungai
Mekong ke Laut Cina Selatan dengan menggunakan sampan. Antara pendukung teori
“Keluar dari Taiwan” ialah R.H. Geldern, J.H.C. Kern dan J.R Foster malah Asmah Haji
Omar juga turut menjadi pendukung teori ini bagi menjelaskan asal usul Melayu Proto
yang merupakan kelompok Melayu pertama kira-kira 2500 SM adalah berasal dari
Yunnan yang kemudiannya mewujudkan bangsa orang Asli.

6.2.2

Bangsa Melayu berasal dari New Guinea
Hafizahri Hamid (2016) menyatakan bahawa terdapatnya andaian bangsa Melayu berasal
dari New Guinea. Teori asal usul bangsa Melayu dari New Guinea merupakan teori asal
usul bangsa Melayu yang dipelopori oleh Issobel Dyen dan muncul pada tahun 1965
secara jelasnya mempunyai sedikit perbezaan dengan teori-teori lain. Asas teori “Keluar
17

dari New Guinea” dikaitkan dengan kegiatan ekonomi orang Melayu pada ketika itu yang
bekerja sebagai seorang pelayar, kelasi kapal dan buruh yang berkhidmat untuk pedagang
antarabangsa selama lebih 2000 tahun.
Interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab telah
membawa kemajuan kepada orang Melayu dan pada akhirnya, mereka telah menubuhkan
sebuah bangsa baru iaitu bangsa Melayu. Walaupun teori ini memperlihatkan keupayaan
orang Melayu dalam kegiatan maritim namun pada anggapan Hafizahri Ahmad,
kemunculan teori ini adalah paling menghinakan kerana seolah-olah memperlihatkan
bahawa bangsa Melayu ketika itu hanyalah bangsa minoriti yang terbentuk daripada
proses perkahwinan campur serta kegiatan orang Melayu yang hanya bekerja sebagai
buruh atau dalam bahasa kasarnya, bangsa Melayu adalah golongan hamba. Teori asal
usul bangsa Melayu dari New Guinea ini juga kekurangan bukti dan kajian saintifik yang
dapat menjelaskan kebenaran teori tersebut bagi membuktikan bahawa New Guinea
adalah tempat asalnya bangsa Melayu seperti mana pendapat Issobel Dyen.
6.2.3

Bangsa Melayu berasal dari Taiwan
Menurut Anwar Omar Din (2011), orang Melayu-Polinesia ataupun rumpun Melayu
berasal dari Taiwan. Teori “Keluar dari Taiwan” yang dipelopori oleh Peter Bellwood
(1997) dalam bukunya “The Austronesian” turut dikenali dengan nama “Teori Kereta Api
Ekpress ke Polinesia”. Teori yang juga disokong oleh Eusibio Dizon ini menjelaskan
bahawa orang Melayu keluar dari Taiwan sejak 6000 tahun lalu dan bergerak ke arah
Asia Tenggara setelah berhijrah ke Taiwan dari tempat asal mereka di Selatan China.
Berdasarkan kajian arkeologi dan linguistik, sekitar 4000 tahun lalu, rumpun manusia
Austronesia termasuklah bangsa Melayu berhijrah dari selatan China melalui Taiwan ke
18

Asia Tenggara dan seterusnya ke pulau di Pasifik Selatan dan Madagaskar disebabkan
oleh kepadatan populasi di tempat asal.
Wujudnya andaian bahawa bangsa Melayu berasal dari Taiwan pada perspektif
Datuk Dr. A. Murad Merican (2016) mungkin disebabkan oleh asas kepada teori
Bellwood tentang konsep Austronesia iaitu keluarga bahasa Austronesia termasuklah
bahasa Melayu serumpun berasal dari Taiwan. Sejarah bahasa Austronesia menunjukkan
bahawa bahasa tersebut berasal dari pulau asalnya di Taiwan dan faktor sejarah ini
menyebabkan munculnya andaian bahawa bangsa Melayu juga berasal dari Taiwan
seperti andaian yang dikemukakan oleh Bellwood. Walaupun begitu, bukti ini masih
tidak cukup kukuh untuk membuktikan kebenaran teori Bellwood kerana jika benar orang
Melayu berasal dari Taiwan, sudah pasti ada ditemukan persamaan ciri fizikal antara
orang Melayu dan orang Taiwan ataupun persamaan dari sudut linguistik bahasa di
Taiwan yang nyata sekali tidak mempunyai unsur persamaan dengan ciri bahasa Melayu.
6.3.4

Bangsa Melayu dari Nusantara
Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar
seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung
Malaysia. Nusantara atau disebut sebagai Kepulauan Melayu turut dikatakan sebagai
tempat asal bangsa Melayu. Hal ini dapat dilihat menerusi pendapat Lim Swee Tin (2008)
berkenaan kewujudan kerajaan Melayu Melaka yang dapat dikaitkan dengan
kependudukan Melayu di Alam Melayu. Melaka yang menjadi pusat persinggahan utama
pedagang dari Barat ke Timur telah menunjukkan peradaban dan tamadun tinggi pada
ketika itu yang hanya dapat dicapai dalam tempoh berabad lamanya.

19

Hal ini dapat dibuktikan melalui tertubuhnya negeri Melaka selepas berundurnya
Parameswara dari Majapahit dan terbinanya sebuah kerajaan Melaka sehingga mencapai
tahap kegemilangan pada abad ke-15 sebagai sebuah empayar yang berpengaruh di
seluruh Tanah Melayu dan di Sumatera. Ketamadunan tinggi menerusi pencapaian
kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung menjadi bukti bahawa
orang Melayu bukan sahaja menjadi penduduk asal di Melaka malah telah menjadi
penduduk asal di seluruh kawasan Nusantara. Bukti sejarah ini secara tidak langsung juga
membuktikan bahawa bangsa Melayu berasal dari Nusantara dan telah menduduki
Nusantara sejak era kegemilangan kerajaan Melayu di seluruh Kepulauan Melayu.
Sementara itu, kajian genetik juga dijadikan sebagai bukti untuk membenarkan
bahawa asal usul Melayu adalah dari Nusantara. Berdasarkan kajian DNA Mitokondria
yang dilakukan oleh penyelidik, Zafarina Zainuddin (2015), kajian mendapati bahawa
DNA Melayu di Kepulauan Melayu berusia antara 50000 sehingga 60000 tahun iaitu
15000 tahun lebih tua dari orang China. Selain itu, penemuan arkeologi membuktikan
bahawa sudah ada kehidupan di Kepulauan Melayu sejak 30000 tahun yang lalu. Hal ini
turut dinyatakan oleh Pakar Antropologi, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh bahawa
rumpun Melayu bersama-sama rumpun bangsa orang Asli telah mendiami alam Melayu
sejak sekitar 75,000 tahun yang dahulu berdasarkan kajian DNA yang dilakukan bersama
penyelidik, Zafarina Zainuddin pada tahun 2015.

6.3.5

Bangsa Melayu berasal dari Benua Sunda

20

Dr. Steven Oppenheimer (1998) dalam bukunya “Eden in the East: The Drowned
Continent of Southeast Asia” telah mengemukakan teori “Keluar dari Benua Sunda”
yang mengaitkan asal usul bangsa Melayu dari sebuah tamadun yang hilang iaitu Benua
Melayu Sunda sejak 15000SM. Asia Tenggara menurut kajian Zaharah Sulaiman et.al
(2016) pada mulanya adalah sebuah benua yang bercantum dengan Tanah Besar Asia dan
Pentas Sahul yang menghubungkan Australia dengan New Guinea. Hakikat mengenai
teori “Keluar dari Benua Sunda” didasarkan kepada bukti ethnologi, arkeologi, kajian
samudera, linguistik, analisis DNA dan folkfor. (Zaharah Sulaiman, 2017).
Benua Sunda pada mulanya merupakan pusat awal peradaban dunia dan sudah
lama mempunyai penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Sekitar 16000 tahun lalu,
Benua Melayu Sunda memiliki saiz benua yang besar malah anggaran saiznya adalah 2
kali lebih besar dari saiz Benua India. Zaman pencairan glasier menyebabkan berlakunya
banjir besar yang menenggelamkan permukaan bumi sehingga berlakunya pemisahan
kawasan seperti mana bentuk muka bumi kepulauan Asia Tenggara yang ada di atas
perairan pada masa ini. Bencana tersebut menyebabkan dataran rendah Benua Sunda
ditenggelami air serta kini menjadi Laut Cina Selatan, Selat Melaka dan Selat Karimata.
Bahagian bumi yang tenggelam ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang
dinyatakan sebagai Atlantis adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa.
Tenggelamnya kawasan tersebut menyebabkan sebahagian penduduk Benua Sunda
bermigrasi ke Taiwan, China, New Zealand, Pasifik Selatan dan Madagaskar untuk
membina penempatan baru namun begitu, aktiviti perpindahan tersebut hanya berlaku
selepas banjir surut.

21

Akibat peristiwa tersebut, dataran tinggi Benua Sunda pula telah menjadi sebuah
pulau yang masih didiami oleh sebahagian penduduk asal Benua Sunda. Teori ini juga
dipersetujui oleh Prof. Arysio Nunes dos Santos (2005) yang muncul dengan kenyataan
dalam bukunya bahawa Benua Sunda ialah lokasi Benua Atlantis yang hilang. Selain
peristiwa Zaman Ais, dos Santos telah menghubungkaitkan peristiwa banjir dan
perpindahan penduduk dengan peristiwa letusan gunung berapi Krakatoa dan Toba pada
zaman purba menyebabkan Benua Sunda telah terpisah sehingga membentuk
Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Filipina dan Borneo sebagaimana mengikut
pendapat Zaharah Sulaiman (2013).
Berdasarkan bukti pemetaan genetik dan artifak arkeologi yang dijalankan
penyelidikannya sejak tahun 2009, Zaharah mendapati bahawa masyarakat Orang Asli
Semang dan Senoi yang berhijrah dari Afrika dan mendiami Benua Sunda (Asia
Tenggara) merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum Melayu
hari ini yang berpindah ke rantau Asia Tenggara sejak 65,000 tahun dahulu. Secara tidak
langsung, penemuan bukti genetik sejarah ini dapat membuktikan bahawa Asia Tenggara
yang dahulunya merupakan sebuah benua besar dikenali sebagai Benua Sunda adalah
tempat asalnya orang Melayu Proto serta genetik Melayu lain yang telah dikenal pasti
sebagai orang Jawa, Dayak, Batak, Champa, Madagaskar dan Polinesia.
Jelasnya lagi, penyelidikan khusus yang dijalankan ke atas etnik di Yunnan
mendapati bahawa penggunaan bahasa Melayu tidak digunakan langsung di sana
manakala ciri-ciri fizikal orang Yunnan juga tidak menyerupai bangsa Melayu malahan
penemuan penyelidik juga mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan penghijrahan
petani Taiwan ke Benua Sunda. Hasil penyelidikan ini sebenarnya telah menolak teori
22

“Keluar dari Yunnan” dan “Keluar dari Taiwan” yang menjadi pegangan kebanyakan
penyelidik sejarah akan asal usul bangsa Melayu. (Zaharah Sulaiman, 2015).

7.0

KESIMPULAN

Kesimpulannya, daripada dapatan kajian yang diperoleh, pengkaji mendapati bahawa asal usul
bahasa dan bangsa Melayu masih lagi samar-samar kerana terdapat banyak percanggahan dan
pertikaian pendapat dalam menentukan bangsa Melayu berasal dari Yunnan, New Guinea,
Taiwan, Nusantara atau pun Benua Melayu Sunda. Walau bagaimanapun, daripada hasil
penelitian bukti yang dikemukakan oleh para sarjana Barat mahupun Melayu, pengkaji
menyimpulkan bahawa pendapat yang paling tepat untuk menjelaskan asal usul bahasa dan
bangsa Melayu adalah andaian bahawa bahasa dan bangsa Melayu adalah dari Nusantara dan
23

Benua Melayu Sunda. Dari perspektif negara serumpun, konsep Melayu tidak dapat lari dari
dikaitkan dengan Alam Melayu selain melihat faktor penggunaan bahasa Melayu antara negaranegara serumpun misalnya Malaysia, Indonesia, dan Brunei menguatkan lagi hujah bahawa
bangsa Melayu adalah dari Nusantara dan Benua Melayu Sunda dan mereka telah tersebar ke
seluruh dunia akibat proses migrasi yang berlaku pada suatu ketika dahulu. Oleh sebab itu,
seharusnya sebagai manusia yang mempunyai darah keturunan Melayu, tidak seharusnya kita
menyempitkan konsep Melayu seperti yang tergambar pada hari ini. Melayu itu bukan hanya di
Malaysia bahkan Melayu adalah bangsa yang terdapat di seluruh dunia serta bangsa yang paling
mahir dalam teknologi pertanian dan pelayaran sehingga memudahkan proses migrasi bahasa
terutamanya semasa berlakunya pemecahan Benua Melayu Sunda. Kewujudan ujian DNA
berdasarkan ujian kepada tulang orang Melayu asli membuktikan bahawa Melayu sejak awal lagi
telah berada di Alam Melayu sekaligus teori yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu
berasal dari kepulauan Yunnan dan Taiwan perlulah ditolak. Perkembangan bahasa Melayu
kemudiannya mewujudkan bahasa Melayu kuno dan bahasa Melayu klasik yang seterusnya
berevolusi kepada bentuk bahasa Melayu moden.
RUJUKAN

A

Murad Merican. (2016). Debate on origins of Malays. Diambil daripada
http://www.nst.com.my/news/2016/08/167152/debate-origins-malays pada 12 April
2017.

Abdullah Hassan. (2005). Kedudukan bahasa Melayu di dunia. Linguistik am. Kuala Lumpur:
PTS Publication. Hlmn: 24.

Abdullah Mohd Yassin. (2012). Cabaran bahasa Melayu dan gagasan 1Malaysia. Diambil
daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?cat=13&paged=6 pada 17 April 2017.
24

Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. Sejarah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributors Sdn Bhd.

Asmah Haji Omar. (2005). Alam dan penyebaran bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Fairuz Izyana Ayub. (2015). Bangsa Melayu keturunan orang Asli asal. Diambil daripada
http://m.utusan.com.my/berita/nasional/bangsa-melayu-keturunan-orang-asli-asal pada 9
April 2017.

Hafizahri Hamid. (2016). Asal orang Melayu dari Atlantis. Diambil daripada
http://www.utusan.com.my/rencana/asal-orang-melayu-dari-atlantis-1.401264 pada 1
April 2017.

James T. Collins. (2011). Bahasa Melayu bahasa dunia: Sejarah singkat. Jakarta: Yayasan
Pustaka Obor Indonesia.

Kasanabilah Kamarul Zaman. (2015). Orang Melayu, Asli sebaka. Diambil daripada
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Re
ncana_Utama&pg=ru_01.htm pada 13 April 2017.

Lim Swee Tin. (2008). Melayu pendatang satu pemesongan fakta. Diambil daripada
http://psasir.upm.edu.my/1197/1/0108.pdf pada 29 Mac 2017.

Md.

Salleh Yaapar. (2015). Melayu bukan pendatang. Diambil daripada
https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/261-melayu-bukan-pendatang-md-sallehyaapar pada 5 April 2017.

Md. Salleh Yaapar. (2014). Peri nama, asal usul dan identiti Melayu: Ke arah pencerahan yang
dinantikan. Diambil daripada http://eseminar.dbp.gov.my/dokumen/wacanafikrah_okt.pdf
pada 28 Mac 2017.

Mohamed Anwar Omar Din. (2011). Asal usul orang Melayu: Menulis semula sejarahnya.
Diambil daripada http://journalarticle.ukm.my/3186/1/1.pdf pada 28 Mac 2017.

25

Nik Safiah Karim. (2010). Panorama bahasa Melayu sepanjang zaman. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.

Phaosan Jehwae. (2012). Bahasa Melayu mendamaikan Nusantara. Diambil daripada
http://dwnbahasa.dbp.my/?p=885 pada 17 April 2017.

Salim

Md.
Zain.
Bahasa
dan
bangsa
Melayu.
Diambil
http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1259 pada 1 April 2017.

daripada

Shahrizal Ahmad Zaini. (2016). Terus pertahan bangsa Melayu. Diambil daripada
http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/terus-pertahan-bangsa-melayu-1.597784
pada 1 April 2017.

Zafarina Zainuddin. (2015). DNA dan asal usul Melayu. Diambil daripada
http://www.utusan.com.my/rencana/dna-dan-asal-usul-melayu-1.163353 pada 1 April
2017.

Zaharah Sulaiman. (2013). Kajian sahkan Melayu bukan pendatang. Diambil daripada
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_05/Kajian-sahkanMelayu-bukan-pendatang pada 5 April 2017.

26