KONSEP BUDAYA DAN MASYARAKAT MELAYU

KONSEP BUDAYA DAN MASYARAKAT MELAYU (2)
https://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysiayang-berdaulat/konsep-budaya-dan-masyarakat-melayu-2/
2. Perkembangan Kebudayaan Melayu
A)Kekeluargaan
Dari segi kekeluargaan, masyarakat Melayu dibagikan kepada dua kelompok:
* yang mengamalkan sistem kekeluargaan dwisisi (bilateral)
* yang mengamalkan sistem kekeluargaan nasab ibu (matrilineal system)
Tetapi disebabkan kedua-dua kelompok tersebut menganut agama Islam, maka
sistem kekeluargaan Melayu itu banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan
Islam.
Orang Melayu melakukan perkawinan monogami dan poligami. Bentuk perkawinan
endogami (pipit sama pipit, enggang sama enggang), eksogami juga terjadi, malah
di sebagian tempat diutamakan. Perkawinan campur juga ada, tetapi tidak begitu
populer. Semua perkawinan Melayu dijalankan mengikut peraturan dan undangundang perkawinan Islam (Mazhab Shafie).
ADAT RESAM KELAHIRAN
Pengenalan
Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap
pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam,
adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masingmasing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini,
masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak
turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan

selepas lahir.
Sewaktu Mengandung
Melenggang Perut
Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara
Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian.
Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika
kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh
seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa
wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam
perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk
Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
Segantang beras

Sebiji kelapa
Beberapa urat benang mentah
Damar
Minyak kelapa atau minyak urut
Lilin
Tepak sirih yang lengkap isinya

Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam
wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan
di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa
bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu
ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur
tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita
tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak
yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai
bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di
atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut.
Bidan akan mengurut ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa
atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu
menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak
tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke
atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya.
Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita
hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan

beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa
selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan
pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga
berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan
bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga
sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut
kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan
kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang
hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu
juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran
ini.
Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah
lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan
dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang

perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin
emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus

dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu
tanggal sendiri.
Azan/Qamat
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala
bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan
melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan
berunsur keagamaan.
Membelah Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat
dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara
bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti
dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada
juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut
bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera
dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat
Melayu hari ini.
Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa
berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar
pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh

berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari
mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut
kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan.
Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan
diseluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta
memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung
kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan
memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan dibenarkan
minum air suam atau susu.
Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku.
Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal.
Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian
tungku itu dibalut dengan kain yang dilapik dengan beberapa helai daun yang tebal
seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di
samping berfungsi sebagai ubat. Tungku akan dituam pada bahagian perut dan
bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin.
Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur
dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan


untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping
memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.
Selepas lahir
Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.
Tanggal Pusat/Cuci Lantai
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu.
Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga
dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak
boleh dibuaikan dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan
pada hari Isnin atau Khamis.
Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.
Nasi kunyit dan lauk-lauk
Seekor ayam hidup
Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
Hadiah untuk bidan sepersalinan pakaian
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan
akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengaisngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu
akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum
itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara
tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada

bidan tersebut.
Memberi Nama
Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang
baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut
nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak
nabi akan dipilih.
Cukur Rambut/ Potong Jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat
potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.
Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras
kunyit dan bertih.
Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok
siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air
sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu
dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.
Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam
yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi
seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil


berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para
hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan
dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi
tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan
seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak
perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat
bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa
sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan
ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah
bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa
anak itu dilahirkan.
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak,
akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas
anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih
ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir.
Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syaratsyarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk
akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor
kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah
sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat
dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat

mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada
hari yang lain.
Naik Buai
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat
sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam
suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat
anak atau cucu sulung.
Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang
menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan.
Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa
upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh
sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan
dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan
adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.
Jejak Tanah/Turun Tanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai
meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak
kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya.
Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain
baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.

Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas
kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak

berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai
jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di
dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain,
kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang
diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih
barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.
Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa
depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika
kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat
kerja tangan. Adat ini juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan
memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi,
beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan.
Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.
Bersunat / Berkhatan
Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil
iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak
perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun

atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka
akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka
dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok
Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam
menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi
kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan
kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis
perkahwinan.
ADAT RESAM KEMATIAN
Pengenalan
Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati daripada jasad yang
hidup. Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban
menguruskan mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah.
Semasa Kematian
Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si
mati ialah memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan
kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. Di kampungkampung misalnya, pengumuman akan dibuat di masjid oleh tok imam.
Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta
ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke
arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan
atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayatayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah
tempat bara dan kemenyan akan dibakar.
Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan
diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum

dikebumikan, mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan
cermat. Mayat perempuan akan dimandikan oleh tukang mandi mayat perempuan
dan begitulah sebaliknya. Namun begitu mereka yang paling baik memandikan
mayat ialah di kalangan ahli keluarga si mati sendiri.
Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan
kain putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala
jenazah wanita pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan
dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli
keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air
mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan
samada di rumah atau di masjid.
Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati
akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati
jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil
tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum
dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada
waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak
tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu
pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi
dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini.
Semasa Pengebumian
Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah
perkuburan.
Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum
wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut.
Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak
digalakkan dalam Islam.
Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan turun ke dalam kubur dan
membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat serta membukakan
ikatan di kepala.
Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas
diazankan di telinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus. Dua batang
batu nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas
kubur sebagai tanda. Seterusnya upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok
imam. Selepas talkin dan doa selesai dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati
dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga
rampai pula ditabur .
Selepas Kematian
Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas
jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh,
keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan
kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu
yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu

kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari
seseorang itu meninggal dunia.