KEFAHAMAN PELAKSANAAN DAN PENGHAYATAN SO

KEFAHAMAN, PELAKSANAAN DAN PENGHAYATAN SOLAT BAKAL GURU
SUMAIYAH SULAIMAN
RAHAILA OMAR Ph.D
MAHAWA PILUS
ABD RASHID ZAINAL
Abstrak
Solat merupakan jambatan yang menghubungkan hamba dengan Tuhan. Kertas kerja ini
bertujuan untuk mengenal pasti kefahaman, pelaksanaan dan penghayatan solat bakal guru ke
arah membantu membina jatidiri mereka sebagai penghuni kolej kediaman. Modul “Motivasi
Solat” oleh Pusat Motivasi Harmoni yang mengetengahkan solat sebagai asas pembinaan
peribadi agung dijadikan sebagai dasar kajian. Dua kaedah utama digunakan dalam kajian ini
iaitu soalselidik dan temubual. Pemerhatian tanpa penyertaan turut dijalankan sebagai
triangulasi. Sampel soal selidik terdiri daripada 60 orang bakal guru. Dapatan soalselidik
menunjukkan bahawa kefahaman dan pelaksanaan solat bakal guru berada pada tahap tinggi
tetapi penghayatan solat bakal guru berada pada tahap sederhana. Dapatan temubual
menunjukkan guru pelatih yang mempunyai akhlak yang mantap mempunyai kefahaman, realiti
amalan pelaksanaan dan penghayatan solat yang tinggi. Kesimpulannya penghayatan solat
adalah penting dan perlu dibudayakan supaya dapat berperanan sebagai pemangkin jatidiri dalam
kehidupan seharian bakal guru.
Kata kunci : kefahaman, pelaksanaan, penghayatan, solat, bakal guru
Pengenalan

Ibadat solat merupakan rukun Islam dan amalan utama di antara ibadat-ibadat yang lain. Para
sahabat dan salafussoleh menganggap ibadat solat adalah jambatan dan perantara antara hamba
dengan Tuhan. Ia meletakkan manusia dalam situasi yang istimewa di hadapan Pencipta tanpa
dibatasi sebarang tabir (Abdullah: 2012). Maka tidak hairanlah para sahabat dan salafussoleh
bukan sahaja dapat menghayati kelazatan dan kemanisan ibadah ketika solat, bahkan hasil ibadah
yang dijiwai melahirkan peribadi agung dan mulia yang berjiwa tauhid, kemas syariat, tinggi
akhlaknya dan berlumba-lumba ke arah kebaikan dan amal soleh. Dalam erti kata yang sebenar
ibadah solat yang dihayati, berperanan membentuk sahsiah dan jatidiri yang mulia.
Dalam konteks mencorakkan generasi masa depan yang tinggi jatidiri, sebagai pendidik yang
bukan sahaja berperanan mendidik tetapi juga ada kalanya perlu melaksanakan tugas sebagai
warden, para pendidik tidak kira sama ada yang bertugas di Institut Pendidikan Guru (IPG)
mahupun di sekolah, perlu memberikan perhatian tentang tugas dan tanggunggjawab warden
iaitu menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar.
Kebajikan yang dimaksudkan bukan setakat aspek lahiriah seperti kesihatan dan keselamatan,
bahkan kebajikan rohani mereka juga perlu seimbang. Sepanjang menjalankan tugas sebagai
1

pensyarah mahupun warden di kolej kediaman, pengkaji mendapati terdapat aspek yang kurang
diambil berat oleh bakal guru yang menghuni kolej kediaman hingga membawa kepada
pengabaian sudut syariat dan akhlak. Sebagai contoh, kehadiran untuk solat berjemaah di masjid

dan solat pada waktunya. Pengkaji terpanggil untuk menjalankan kajian penghayatan solat
kerana solat adalah tonggak yang menentukan sikap dan perlakuan mereka. Lebih-lebih lagi
kerana mereka merupakan bakal guru pelbagai pengkhususan memandangkan pelajar-pelajar di
sekolah akan menerima didikan daripada mereka kelak.
Justeru, kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenal pasti kefahaman, pelaksanaan
serta penghayatan solat dalam kalangan bakal guru ke arah meningkatkan jatidiri dalam
kehidupan seharian mereka.
Hubungan Solat Dengan Jatidiri Muslim
Hubungan ibadah solat dengan ibadah lain saling kait mengait. Udah (2008) menyenaraikan
hubungan solat dengan beberapa perintah Allah yang melibatkan hubungan dengan Allah dan
hubungan dengan manusia. Antara bentuk hubungan tersebut ialah hubungan solat dengan
menutup aurat, menjauhi zina, bersifat adil, amanah dan tidak cepat marah terhadap orang lain.
Melalui solat yang dihayati akan membentuk jatidiri yang mulia, yang cintakan kebaikan dan
menghindar segala larangan.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira
sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT ia juga berfungsi
sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Namun, masih terdapat umat Islam yang
solat, tetapi masih melakukan maksiat yang berpunca daripada tiadanya penghayatan ketika
solat. Akibatnya, ibadah solat tidak membuahkan hasil yang diharapkan sedangkan apabila
ibadah solat dihayati, pelbagai masalah dapat diatasi.

Modul Solat Pusat Motivasi Harmoni
Pendekatan penghayatan solat dalam kajian ini diambil daripada modul motivasi solat yang
dijalankan oleh Pusat Motivasi Harmoni (PMH). PMH ialah sebuah NGO yang berpengalaman
mengendalikan beberapa kursus-kursus bina insan iaitu motivasi solat, perkahwinan,
kekeluargaan, remaja insaf dan lain-lain. Ia beroperasi dengan hasrat dan cita-cita utama untuk
merealisasikan sebuah masyarakat idaman yang hanya akan lahir bila manusia telah
diperkenalkan dengan Tuhan-Nya hingga lahir di dalam diri seseorang itu rasa bertuhan yang
kental dan jitu sehingga Tuhan dibesarkan, disembah, dipuja dan diagungkan dengan selayaknya
(http://pusatmotivasiharmoni.blogspot.com/). Modul motivasi solat PMH dibahagikan kepada
dua sesi iaitu sesi pertama melibatkan pendedahan tentang perkara asas dalam solat iaitu cara
bersuci, rukun fi‟li dan rukun qauli diikuti dengan amali. Manakala sesi kedua ialah modul rukun
qolbi untuk menghayati solat melalui pendekatan rasa kehambaan dan rasa berTuhan
Modul solat tersebut menekankan, penghayatan solat melibatkan soal perasaan yang patut hadir
ketika bersolat iaitu:
2

1. Takut kepada Allah SWT kerana banyak melakukan dosa.
2. Malu kerana tidak bersyukur terhadap nikmat Allah SWT yang banyak.
3. Cemas kerana berhadapan dengan Allah SWT dalam keadaan derhaka kepadaNya.
4. Bimbang kalau-kalau amalan yang dibuat tidak terima.

5. Gerun kerana bakal berhadapan dengan Allah SWT yang menghitung tiap-tiap perbuatan
sepanjang hidup.
6. Merasai setiap gerak dan lintasan hati, sama ada baik atau jahat, diketahui Allah SWT.
7. Rasa dikuasai oleh Allah SWT, kerana dengan kehendak dan izinNya jugalah maka manusia
dapat bersyukur, beramal dan mentaatiNya.
Penghayatan solat berdasarkan modul PMH bermaksud, menghayati dan merasakan dalam hati
setiap lafaz dan ungkapan dalam solat dan bukan sekadar tahu maknanya sahaja. Menghayati
solat bermakna dapat membangun jiwa dan pemikiran serta memperoleh hikmah dan didikan,
sehingga terbina peribadi agung yang memiliki tujuh ciri. Tujuh ciri itu ialah keyakinan yang
kuat, keimanan yang mantap, akhlak yang terpuji, berdisiplin dalam kehidupan, penyucian jiwa
dari sifat-sifat mazmumah, kebersihan lahir dan batin dari maksiat dan kemungkaran, dan
pegangan syariat yang jitu. Sesiapa yang memiliki tujuh ciri tersebut akan membolehkan
individu-individu lain bernaung di bawah mereka kerana pemilik peribadi agung dinaungi oleh
Allah SWT yang Maha Agung.
PMH menekankan bahawa solat itu sendiri adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati
dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk
menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung jika ia
benar-benar dijiwai dan dihayati. Tujuan Allah SWT menyuruh melaksanakan solat ialah agar
manusia merasai berbagai-bagai rasa kehambaan kerana manusia hakikatnya adalah hamba.
Hamba mestilah benar-benar mengenal Allah SWT itu, tepat sebagaimana layaknya Allah SWT

itu Tuhan yang Maha Sempurna. Hamba mestilah rasa takut kepada Allah SWT, bimbang,
cemas, gementar, mengharap, rindu, rasa dilihat, rasa didengar, rasa diketahui lubuk hati, rasa
gerun dan sebagainya. Serentak dengan itu hamba juga mestilah ada rasa berTuhan yang
mendalam, merasa Allah SWT Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Pencipta, Maha Gagah dan
sebagainya. Rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang mendalam akan membakar dan
memusnahkan segala sifat-sifat mazmumah seperti sombong, tamak, bakhil, hasad, dendam,
riya‟, ujub, sumaah, cinta dunia dan pemarah.
Objektif Kajian
1. Mengenal pasti tahap kefahaman bakal guru mengenai solat.
2. Mengenal pasti tahap pelaksanaan solat bakal guru.
3. Mengenal pasti tahap penghayatan solat bakal guru dalam membentuk peribadi agung.
Metodologi kajian
Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif. Melalui pendekatan kuantitatif kajian ini,
pengumpulan data dilaksanakan secara tinjauan kerana kaedah tinjauan sesuai digunakan
terutama dalam bidang sains sosial (Chua 2006). Kaedah tinjauan juga popular dalam
3

penyelidikan pendidikan kerana penggunaannya yang menyeluruh untuk mendapatkan maklumat
dan menerangkan pelbagai aspek seperti sikap, perasaan, pendirian, perlakuan, kepercayaan,
nilai, persepsi dan pendapat individu tentang sesuatu dasar atau isu serta personaliti (Creswell

2005). Malahan, tinjauan dengan lebih meluas boleh dilaksanakan ke atas saiz sampel melalui
teknik pensampelan (Babbie 2001) dan dapat menerangkan tentang sampel pada satu masa
tertentu. Tambahan lagi, kaedah tinjauan melalui pengedaran soal selidik membolehkan
jawapan dikumpulkan secara terus daripada responden dalam masa yang singkat (Chua 2006).
Kaedah tinjauan menggunakan soal selidik juga merupakan kaedah terbaik kajian ini untuk
memungut data yang asli. Oleh itu, data kuantitatif daripada soal selidik yang telah dikumpul,
dianalisis dan keputusan analisis tersebut dikenal pasti untuk diperbincangkan.
Saiz sampel kajian ditentukan dengan mengambil kira pandangan dan garis panduan yang
dikemukakan oleh beberapa orang pengkaji. Berpandukan jadual penentuan Kreijcie dan Morgan
(1970), jumlah minimum sampel yang diperlukan hanyalah 52 orang bagi populasi seramai
60 orang. Namun, mengambil kira pandangan-pandangan Best dan Kahn (2003), Cohen et al.
(2001) dan Sekaran (2003), serta pandangan Gay dan Airasian (2003) yang menyatakan bahawa
saiz sampel yang melebihi had akan lebih dipercayai dan meyakinkan, kajian ini menetapkan
soal selidik diedarkan kepada seramai 60 orang. Mereka ialah bakal guru Program Ijazah sarjana
Muda Perguruan (PISMP) semester tiga yang menghuni salah sebuah kolej kediaman di IPG
KPI. Responden dipilih berdasarkan kaedah pensampelan bertujuan atau purposive sampling
kerana tujuan kajian ini bukan untuk membuat generalisasi tetapi untuk menumpukan kepada
ciri-ciri tertentu populasi kolej kediaman bagi membolehkan objektif-objektif kajian tercapai dan
seterusnya kajian kualitatif dapat dilaksanakan di masa hadapan. Oleh itu, sampel yang dikaji
bukan mewakili populasi.

Kajian ini menggunakan instrumen soal selidik sebagai alat kajian untuk mengumpul data
mengenai kefahaman, pengamalan dan penghayatan solat bakal guru perempuan Institut
Pendidikan Guru. Responden diminta memberi jawapan dalam bentuk persepsi mereka tentang
item-item kefahaman, pengamalan dan penghayatan solat. Responden memberi skor terhadap
item berdasarkan Skala Likert 1 hingga Skala 5. Skala 1 ialah tahap sangat tidak setuju, skala 2
ialah tahap tidak setuju, skala 3 ialah tahap kurang setuju, skala 4 ialah tahap setuju manakala
skala 5 ialah tahap sangat setuju.
Sebelum kajian sebenar dilaksanakan, kajian rintis terlebih dahulu dilaksanakan. Melalui kajian
rintis, seseorang penyelidik akan memperoleh pengalaman yang bermakna dan berguna
memandangkan masalah yang tidak dijangkakan akan ditemui (Gay & Airasian: 2003) dan
kekeliruan dalam format dan perkataan yang digunakan dalam soal selidik dapat dikurangkan
(Sekaran: 2003). Dalam kajian ini, kajian rintis terlebih dahulu dijalankan kepada responden
yang bukan termasuk pensampelan sebenar bagi mendapat kesahan dan kebolehpercayaan itemitem dalam soalselidik. Setelah kajian rintis dilaksanakan, penambahbaikan dilakukan ke atas
kertas soal selidik agar senang difahami oleh responden. Ini meningkatkan kebolehpercayaan dan
kesahan item soal selidik (Mohd. Majid: 2004). Dengan itu, maklumat awal dapat diperoleh bagi
memastikan sama ada item-item yang telah direka bentuk sesuai untuk mengukur setiap konstruk
atau sebaliknya. Dengan itu, item yang perlu dikekalkan, diperbaiki atau digugurkan dapat
dikenal pasti bagi memantapkan soal selidik serta memudahkan proses analisis data.
4


Sebanyak 45 responden daripada pelbagai pengkhususan mengembalikan soalselidik, namun
hanya 44 set soal selidik yang dapat diproses.
Data diproses menggunakan program SPSS (Statistical Package for Social Science version 11.0).
Analisis deskriptif yang dijalankan adalah untuk menjawab tiga persoalan kajian di mana tahap
setiap konstruk diinterpretasikan dengan mengguna pakai skor interpretasi oleh Barnett (2000);
Jainabee (2005) dan Jamil (2002). Interpretasi skor min tersebut ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 1 Interpretasi Skor Min
Min

Interpretasi

3.67 – 5.00

Tahap kefahaman, pelaksanaan dan penghayatan
solat bakal guru yang tinggi

2.34 – 3.66

Tahap kefahaman, pelaksanaan dan penghayatan
solat bakal guru yang sederhana


1.00 – 2.33

Tahap kefahaman, pelaksanaan dan penghayatan solat
bakal guru yang rendah

Sumber : Adaptasi Barnett (2000); Jainabee (2005) dan Jamil (2002)
Skor min 3.67 hingga 5.00 menunjukkan tahap tinggi. Ini bermaksud tinggi kefahaman,
pengamalan dan penghayatan solat bakal guru. Skor min 2.34 hingga 3.66 menunjukkan tahap
sederhana. Ini menunjukkan, walaupun kefahaman, pengamalan dan penghayatan solat bakal
guru mencukupi tetapi perlu dipertingkatkan. Manakala skor min 1.00 hingga 2.33 menunjukkan
tahap rendah. Maknanya, bakal guru kurang kefahaman, pelaksanaan dan penghayatan solat dan
perlu diberi bimbingan oleh pihak pengurusan asrama.
Dapatan Kajian
1.

Tahap kefahaman bakal guru mengenai solat.

Dapatan kajian menunjukkan hampir keseluruhan min bagi pernyataan-pernyataan kefahaman
bakal guru mengenai solat mencatat paras tinggi. Min yang tertinggi iaitu 5.00 diperolehi

menerusi pernyataan „Solat fardhu wajib dilaksanakan lima waktu‟. Seterusnya pernyataan „Solat
wajib dilaksanakan walaupun sakit‟, „Khusyuk dalam solat adalah perkara yang dituntut‟,
„Meninggalkan solat fardhu adalah berdosa besar‟ dan „Solat yang dihayati akan melahirkan
peribadi mukmin‟ memperolehi min kedua tertinggi iaitu 4.98. Manakala pernyataan „Perkara
pertama dihisab di akhirat adalah solat„ memperolehi 4.89 dan diikuti oleh pernyataan „Orang
5

yang meninggalkan solat secara sengaja adalah kufur‟ memperolehi 4.75. Min yang terendah
ialah pernyataan „Melengah-lengahkan solat tanpa keuzuran adalah tidak dibenarkan‟
memperolehi 4.55. Analisis keseluruhan kefahaman tentang solat menunjukkan majoriti
responden bersetuju tentang kewajipan solat dalam agama. Purata min bagi keseluruhan item 1
hingga 8 ialah berada pada tahap tinggi iaitu 4.89.
2.

Tahap pelaksanaan solat bakal guru.

Hasil analisis tentang pelaksanaan solat bakal guru menunjukkan tiga pernyataan mencatat min
yang tinggi manakala tiga pernyataan lagi mencatat min yang sederhana. Tiga min yang tinggi
ialah pernyataan „Saya solat lima waktu sehari semalam‟ sebanyak 4.91 diikuti pernyataan „Saya
melaksanakan setiap rukun dalam solat‟ sebanyak 4.77. Manakala pernyataan „Saya melafazkan

bacaan dalam solat dengan lancar‟ memperolehi skor min 4.66. Tiga min yang sederhana ialah
pernyataan „Saya bersedia untuk solat sebelum azan‟ dengan 3.55, diikuti „Saya sentiasa
mengusahakan untuk solat berjemaah‟ dengan 3.36 dan yang paling rendah „Saya mengerjakan
solat pada awal waktu‟ dengan 3.02. Purata min keseluruhan bagi tahap pelaksanaan solat bakal
guru adalah tinggi iaitu 4.04.
3.

Kesan penghayatan solat bakal guru.

Dapatan kajian tentang kesan penghayatan solat bakal guru menunjukkan bahawa kesemua
pernyataan memperoleh min yang kurang berbanding bahagian kefahaman dan amalan solat.
Item berkaitan dengan “Saya faham makna setiap bacaan dalam solat”, mencatatkan nilai min
3.59. ini menunjukkan bahawa majoriti responden masih kurang faham makna setiap bacaan
dalam solat. Pernyataan “Apabila mendengar azan saya berhenti meneruskan kerja” mencatatkan
nilai min 3.21. Pernyataan „Saya tiada sifat-sifat mazmumah‟ juga memperolehi min sederhana
iaitu 2.43. „Saya mempunyai ilmu bagaimana memperoleh solat yang khusyuk‟ hanya mencapai
min 2.39. Penyataan “Saya mudah khusyuk dalam solat” memperolehi nilai min paling rendah
iaitu 1.86.. Purata min keseluruhan bagi bahagian ini ialah 2.69. Nilai min keseluruhan berada
pada tahap sederhana. Ini menunjukkan bahawa walaupun secara keseluruhan, penghayatan solat
bakal guru berada pada tahap sederhana tetapi kekhusyukan bakal guru berada pada tahap
rendah.

Perbincangan
Merujuk kepada objektif kajian yang pertama iaitu berkaitan dengan tahap kefahaman bakal guru
mengenai solat, kebanyakan responden sangat bersetuju dengan pernyataan yang diajukan. Ini
menunjukkan kefahaman mereka tentang solat berada pada tahap yang sangat tinggi. Ini
menunjukkan kefahaman mereka berada pada tahap yang tinggi. Secara dasarnya, mereka faham
Allah telah menjadikan manusia dan jin adalah untuk beribadat dan mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana firman Allah:

6

Maksudnya: “ Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi
kepada-Ku”.
(Az-Zariat, 51:56)
Keseluruhan responden faham kewajipan solat sesuai dengan kedudukannya sebagai syiar
pertama dalam Islam kerana ia merupakan satu bentuk penghambaan diri kepada Allah SWT.
Orang yang mengerjakan solat mempunyai hubungan yang rapat dengan Tuhan (Udah: 2008)
kerana dalam solat ada ketenangan, penyerahan, pengaduan dan pengharapan yang mutlak.
Sabda Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang bernama Bilal:

Maksudnya:
Wahai Bilal, Dirikanlah solat dan berikan aku kerehatan dengannya.
(Sunan Abu Daud)
Sejarah memaparkan solat juga merupakan ibadat yang paling agung berbanding dengan ibadatibadat lain kerana Allah telah mewahyukan solat kepada Rasullulah dengan cara yang istimewa
iaitu ketika baginda dimikrajkan. Sedangkan rukun Islam lain tidak seistimewa ibadat solat. Ini
adalah kerana solat merupakan amal ibadat dan tiang seri kepada agama Islam. Namun terdapat
responden yang masih kurang faham dan perlu dibimbing apabila menyetujui pernyataan bahawa
melengah-lengahkan solat tanpa keuzuran adalah dibenarkan. Sedangkan salah satu ciri munafik.
Pada zaman Rasulullah s.a.w orang-orang munafik sama-sama mengerjakan solat bersama
baginda
tetapi
mereka
malas
dan
tidak
menampakkan
kesungguhan.
Firman Allah

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah,sedang Allah menipu
mereka(membalas tipuan mereka). Apabila mereka berdiri hendak solat,mereka berdiri dengan
malas serta riak terhadap manusia dan mereka tiada mengingati Allah,melainkan hanya sedikit.
(An-Nisa 142)
Hasil kajian juga mendapati, walaupun bakal guru mempunyai kefahaman yang mantap tentang
solat, namun terdapat amalan bakal guru tentang solat yang perlu diperbaiki. Terdapat
responden yang tidak cenderung untuk sentiasa mengusahakan solat berjemaah dalam
kehidupan seharian mereka. Ini jelas menunjukkan mereka kurang berminat untuk melakukan
solat berjemaah. Dapatan ini selari dengan pemerhatian pengkaji, masjid IPG kurang
7

diimarahkan oleh bakal guru walaupun kedudukannya berhampiran dengan kolej kediaman. Ini
mencerminkan imej yang kurang baik kerana solat berjemaah wajar menjadi agenda utama bakal
guru di kampus. Tambahan pula solat berjemaah mempunyai kelebihan yang dijanjikan oleh
Allah, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith:

Maksudnya: Daripada Ibn „Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sembahyang berjemaah
lebih utama dari sembahyang sendirian sebanyak dua puluh tujuh darjah.
(al-Bukhari, no: 645, Muslim, no: 249)
Selain itu, fenomena ini mungkin berlaku kerana rakan sebilik memainkan peranan yang cukup
besar dalam mempengaruhi seseorang itu untuk melakukan solat berjemaah. Merujuk dapatan
kajian Napisah et. al (2004) menunjukkan bahawa lebih daripada separuh (65%) responden
mengatakan pendidikan agama dan pengaruh rakan mempengaruhi pelaksanaaan ibadah solat
fardhu. Dapatan kajian juga menunjukkan faktor beban kuliah dan pengaruh rakan sebagai
faktor yang tidak menggalakkan pelaksanaan ibadah solat.
Berdasarkan objektif yang ketiga iaitu tahap penghayatan bakal guru mengenai solat, nilai min
yang berada pada tahap yang sederhana iaitu pernyataan tentang kefahaman bakal guru akan
makna setiap bacaan dalam solat, sikap bakal guru yang tidak meneruskan kerja setelah
mendengar azan, tidak berupaya menghindari sifat-sifat mazmumah. Manakala min kedua
terendah berkaitan bakal guru mempunyai ilmu bagaimana memperoleh solat yang khusyuk.
Nilai min paling rendah berkaitan dengan penyataan mudah khusyuk dalam solat. Ini
menunjukkan masih ada yang tidak faham makna setiap bacaan dalam solat. Kajian ini selari
dengan satu kajian yang mendapati ramai pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian
tinggi (IPT) masih tidak memahami erti bacaan al-Fatihah dalam solat mereka
(http://www.bharian.com.my/articles/Pelajarsekolah_IPTtakfahammaknaal-Fatihah/Article/).
Kajian menunjukkan lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Dua dari beberapa sekolah menengah
serta penuntut sebuah universiti, gagal menjelaskan makna dalam bacaan al-Fatihah. Dalam hal
ini pengkaji berpendapat ia berpunca kerana sikap kurang serius memperbaiki amalan solat.
Selain itu, para responden mengakui kurang ilmu bagaimana untuk mendapat khusyuk. Justeru,
langkah membimbing berterusan perlu diberi perhatian oleh pihak institusi di mana bakal guru
berada. Asmawati & Lukman (2009) dalam kajian mereka mendapati pelaksanaan program Kem
Bestari Solat adalah berkesan dan berjaya. Malah, program ini boleh dijadikan penyelesaian bagi
menarik minat murid-murid mengamalkan solat.
Allah menyebut bahawa orang beriman adalah golongan yang beruntung kerana khusyu‟ dalam
solat.
Firman Allah

8

Maksudnya: “ Sesungguhnya telah memperoleh kemenangan orang-orang beriman iaitu mereka
khusyu‟ dalam solatnya
(Al-Mu‟minun :1-2)
Walaupun tahap kefahaman dan realiti pelaksanaan mereka tinggi, ini membuktikan bahawa
sudut hubungan hati dengan Allah dan tuntutan solat yang khusyuk tidak berlaku. Ini bertepatan
dengan modul PMH bahawa solat itu berat tuntutannya kerana khusyuk di dalam solat bermula
dengan hati yang khusyuk di luar solat. Ia bermula dengan hati yang terhubung dengan Tuhan
semasa di luar solat. Ia sukar namun perlu diusahakan. Bahkan khusyuk dalam solat merupakan
perkara yang pertama dicabut oleh Allah dari permukaan bumi (Abdul Baqi: 2008). Di sini jelas
menunjukkan penghayatan bukanlah perkara mudah, namun ia perlu diusahakan oleh setiap
bakal guru mahu pun pihak institusi pendidikan berkenaan. Inilah juga antara bidang yang giat
diperjuangkan oleh PMH dalam usaha memberi kesedaran dan penghayatan kepada masyarakat.
Manakala pernyataan yang berkaitan tentang sifat mazmumah, para responden juga mengakui
masih memiliki sifat mazmumah. Ini menunjukkan, penghayatan ibadah solat kalangan bakal
guru masih perlu ditingkatkan kerana berdasarkan modul solat PMH, solat yang dihayati mampu
membawa ruh ibadah itu dalam kehidupan seharian di mana sahaja berada, bukan sekadar
memenuhi tuntutan fardu, manakala peribadi yang lahir hasil menghayati ibadah ini, mampu
membentuk masyarakat yang terdidik, yang sangat berakhlak dengan Allah dan manusia,
menghindari salahlaku dan dosa, gejala sosial, keruntuhan jatidiri, serta melahirkan peribadi
yang sentiasa mengharap rahmat dan keampunan Allah serta rindu kepada keredhaan dan kasih
sayangNya.
Berdasarkan Modul Motivasi Solat (t.th), minit pertama membawa hati merasakan rasa
kehambaan (benar-benar hamba) dengan merintih kelemahan diri, menghina diri dan mengakui
dosa dan kesalahan. Manakala minit kedua membawa hati merasakan berTuhan dengan malu
nikmat banyak tidak disyukuri, takut akan kehebatan Allah, takut Allah tak pandang dan tarik
hidayah, bimbang tidak selamat di akhirat, bimbang janji dan ikrar tak tertunai, mengharap
rahmat dan kasih sayang Allah dan merindui Allah yang Maha Pengasih. Persediaan untuk solat
iaitu sekurang-kurangnya dua minit sebelum masuk waktu sepatutnya sudah berada di saf dan
menunggu azan dilaungkan juga penting untuk seseorang menghayati solatnya. Oleh yang
demikian, kajian ini merumuskan kefahaman mantap dan pelaksanaan jitu tentang solat
merangkumi rukun fi‟li (perbuatan), rukun qauli (bacaan) dan rukun qalbi (rasa kehambaan dan
rasa berTuhan seperti dalam Rajah 1 berikut:

Peribadi Agung

Sifat Mahmudah

9

Penghayatan Solat

Rukun Fi’li

Rukun Qauli

Rukun Qalbi
(rasa kehambaan dan rasa
berTuhan

Kefahaman Mantap dan Pelaksanaan Jitu Tentang Solat

Rajah 1 : Kefahaman Mantap dan Pelaksanaan Jitu Solat Melahirkan Peribadi Agung
Memandangkan pendidikan di Malaysia yang sedang memasuki era pendidikan bertaraf dunia
menyaksikan betapa pentingnya modal insan yang berkualiti tinggi, insan guru adalah role model
yang dilihat sebagai faktor penting menjana kecemerlangan pendidikan negara. Lantaran itu,
guru bukan sekadar pemindah ilmu atau mudarris, bahkan berperanan sebagai muallim, muaddib,
murabbi dan mursyid sebagaimana yang dituntut agama (Shofuan Anuar et. al: 2011). Maka,
adalah diharapkan guru yang bakal mencorak generasi masa depan adalah dalam kalangan
mereka yang terbangun insaniah dan tinggi jatidirinya hasil ibadah yang dihayati.
Daripada keputusan yang diperolehi satu rumusan umum yang boleh dibuat ialah untuk membina
jatidiri mukmin, solat perlu difahami dilaksanakan dan dihayati dengan rasa kehambaan dan rasa
berTuhan. Pemahaman dan pelaksanaan adalah peringkat lahir, kerana ia bertapak di akal.
Manakala penghayatan lahir dari amalan rohani yang bertapak di hati. Usaha untuk mendapatkan
solat khusyuk yang dijiwai perlu diusahakan dan diteruskan. Akta 174 menjelaskan erti warden
sebagai pegawai yang menjaga sesuatu asrama dan termasuklah seseorang yang diberi kuasa
dengan sewajarnya untuk bertindak bagi pihak warden tersebut atau untuk membantunya (Akta
174 Kementerian pelajaran Malaysia). Maka, sesuai dengan konsep „in-loco-parentis‟ dalam
institusi pendidikan yang bermaksud mengambil tempat ibu bapa atau penjaga (Sharizan: 2010),
kebajikan bakal guru antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pensyarah dan pengurusan
IPG.
Justeru, langkah meningkatkan penghayatan solat perlu dipandang serius dan dilakukan
berterusan. Ini kerana penghayatan solat sesuatu yang subjektif dan berubah-ubah. Adalah
sesuatu yang sukar menentukan penghayatan itu berterusan di dalam jatidiri seseorang bakal
guru itu samada dalam kawasan IPG mahupun luarnya kerana hati adalah wadah perebutan
10

antara malaikat dan syaitan. Solat yang tidak mencapai tujuan, iaitu yang tiada rasa kehambaan
dan rasa bertuhan yang mendalam, tidak akan membakar mazmumah yang menjadi punca
kerosakan hidup manusia.
Kesimpulan
Secara umumnya dapatan kajian menunjukkan kefahaman dan pelaksanaan bakal guru terhadap
solat adalah tinggi. Namun penghayatan mereka terhadap solat adalah sederhana. Terdapat
beberapa aspek menunjukkan dapatan yang sederhana dan rendah yang perlu dibaiki. Kajian
yang dijalankan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada bakal guru pentingnya penghayatan
solat memandangkan mereka merupakan aset yang penting dan merupakan contoh ikutan
kepada pelajar kelak. Kajian ini juga boleh memotivasikan bakal guru supaya memperbaiki solat
mereka agar dapat dihayati. Seterusnya, kajian ini dapat dimanfaatkan oleh IPG Kementerian
Pendidikan Malaysia supaya dapat membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang
bagi memastikan pelajar-pelajar yang beragama Islam faham dan menghayati ibadah solat.
Rujukan
al-Qur‟an. Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran 30 Juzuk. Terj. Sheikh
Abdullah Bin Muhammad Basmith. Kuala Lumpur: Darul Fikr.
Abdul Baqi Shabran. (2008). 77 Petua Meningkatkan Kualiti Solat Anda. Kuala Lumpur, Jasmin
Enterprise.
Abdullah Hamzah. (2012). Solat-santapan rohani, pembersih jiwa dlm. Majalah Iman. Utusan
Karya Sdn. Bhd.
Akta 174. Edisi 2009. Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
Al-Ghazali. (2012). Bimbingan Mukmin. Terj Johari Yaman & Azhari Ibrahim. Nadi
Minda Resources, Rawang Selangor.
Anon. Pelajar Sekolah, IPT Tak faham Makna Al Fatihah. 28.2.2011.
http://www.bharian.com.my/articles/Pelajarsekolah_IPTtakfahammaknaalFatihah/Article/
Asmawati Suhid & Lukman Abdul Mutalib. (2009). Tinjauan Terhadap pelaksanaan Kem
Bestari Solat. Journal of Islamic and Arabic Education 1(1) 15-28.
journalarticle.ukm.my/762/1/2_4.pdf Babbie, E.R. 2001. The Practice Of Social Research. Ed. ke-9. USA: Thomson Learning.Chua,
C. 2004. Perception of quality in higher education. Proceedings of The Australian
Universities Quality Forum.
Cohen, L., Manion, L., & Morrison, K. (2001). Research Methods in Education. Ed. ke-5.
London: Routledge Falmer.
Gay, L. R & Airasian, P. (2003). Educational Reserch: Competencies for Analysis and
Application. Ed. ke-6. New Jersey: Pearson Education.
Imam al-Hafiz bin Daud. (1995). Sunan Abu Daud. Maktabah al-asriyyah Shaida Beirut.
Jainabee. 2005. Budaya organisasi dan kepuasan kerja di Maktab Perguruan Malaysia. Tesis Dr.
Fal, Universiti Kebangsaan Malaysia.

11

Jamil Ahmad. (2002). Pemupukan Budaya Penyelidikan di Kalangan Guru Sekolah: Satu
Penilaian. Tesis Dr. Fal, Universiti Kebangsaan Malaysia.Modul Motivasi Solat (t.th).
Pusat Motivasi Harmoni.
Mohd. Abd. Halim Mohamed. (2000). Perbandingan akhlak Islamiyyah di kalangan murid aliran
agama dan buka agama di luar bandar. Satu tinjauan di dua buah sekolah di daerah Sabak
Bernam, Selangor Darul Ehsan. Latihan Ilmiah Fakulti Pendidikan, UKM.
Mohd Majid Konting. (2004). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka
Mohd. Abd. Halim Mohamed. (2000). Perbandingan akhlak Islamiyyah di kalangan murid aliran
agama dan buka agama di luar bandar. Satu tinjauan di dua buah sekolah di daerah Sabak
Bernam, Selangor Darul Ehsan. Latihan Ilmiah Fakulti Pendidikan, UKM.
Muhammad Fauzan bin Abd Malek. (2010). Penghayatan Solat Jumaat: Satu Kajian Terhadap
Mahasiswa Kuis. Latihan Ilmiah, Jabatan Syariah Akademi Islam Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor
Mustafa Mashur. (1987). Al-Hayatu Fi Mihrabis Solat. Darul Tauzik Wa An Nasrul Islamiyah,
Mesir.
Napisah Humni, Salehudin Sabar, Mahadi Khalid & Mohamed Razi Mohd. Suradi (2004).
Perlaksanaan Ibadah Solat Farhu Di Kalangan Guru Pelatih Islam Maktab Perguruan
Batu Lintang
http://www.ipbl.edu.my/BM/penyelidikan/jurnalpapers/Jurnal2004/ustazah2004.pdf
Pusat Motivasi Harmoni. http://pusatmotivasiharmoni.blogspot.com/
Rasid Muhammad, Zulkarnain Yusoff & Wan Fauzi Wan Mamat. (1999). Permasalahan pelajar
di Institusi Pengajian Tinggi. Satu kajian kes di Institut Teknologi MARA Cawangan
Pahang. Jurnal Perspektif Islam Tasawwur Islam. Jil. 4. 98/99. Melaka: Jabatan Agama
Islam Melaka.
Sharizan Abdul Halim. (2010). Perbandingan di antara peranan institusi pendidikan tinggi
dengan peranan ibu bapa terhadap anak-anaknya selari dengan doktrin in-loco-parentis.
PSP‟s Research
Digest.http://www.politeknik.gov.my/webjpp2/penyelidikan/jurnal/abstrak/16-In-LocoParentis2-Edit.pdf
Sekaran, U. (2003). Research Methods for Business: A Skill Building Approach. Ed. ke-4. John
Wiley & Sons Inc.
Shofuan Anuar Ahmad. (2011). Guru Jutawan Akhirat. Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah
Sekolah-sekolah Malaysia (PEKDIS) Cawangan Selangor.
Udah Mohsin. (2008). Mari Kita sembahyang sebelum Kita disembahyangkan. Jabatan
Usuluddin
dan Falsafah. Fakulti Pengajian Islam. Bangi, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Wahbah al-Zuhaili. (1994). Fiqh Dan Perundangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

12