TUNTUTAN DAKWAH DAN KEPELBAGAIAN PARTI P

TUNTUTAN DAKWAH DAN KEPELBAGAIAN PARTI POLITIK ISLAM1
Oleh
Mior Isfandy Mior Azizan

Tuntutan Dakwah
Allah SWT berfirman (bermaksud), “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang
yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata, “aku termasuk
orang-orang yang menyerah diri?”2.

FirmanNya lagi (bermaksud), “Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang
mengajak kepada kebaikan, menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang
mungkar”3

Intipati daripada Al-Kitab di atas adalah mengenai dakwah. Jelas dan tuntas. Ia prinsip dan
tanggungjawab bagi seorang insan yang diciptakan Allah SWT di muka bumi. Lantas, ia
menafikan nafsu manusia yang hanya memikirkan ruang tipu daya dunia yang fana’. Misi yang
jelas dan terarah menuju syurga yang abadi.

Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya yang masyhur iaitu Usul Da’wah mendefinisikan
bahawa dakwah ialah seruan kepada Allah SWT. Seruan kepada Allah bermakna seruan kepada
agamaNya iaitu Islam yang syumul. Oleh yang demikian, ia merupakan teras atau asas utama

(maudhu’) daripada rukun dakwah. Inilah denyut nadi kehidupan dan perjuangan Rasulullah
SAW hingga ke hembusan nafas terakhirnya.

                                                             
1

 Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Pemikiran dan Peradaban Islam 2011 bertempat 
di Auditorium Akademi Islam Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pada 24 November 2011.   
2
 Al‐Fussilat : 33 
3
 Ali‐Imran : 104  

Allah SWT berfirman (bermaksud), “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskan kamu
sebagai saksi, pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) dan pemberi amaran
(kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru kepada Allah dengan taufiq yang
diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi”4

Bagi permulaan kertas kerja yang tidak seberapa ini, penulis ingin memfokuskan kepada
persoalan dan perbahasan mengenai hukum tanggungjawab menyampaikan dakwah dan akhirnya

ia mengheret kepada keperluan pembentukan organisasi dakwah yang tersusun untuk
menghadapi sasaran dakwah yang bersifat rencam. Beberapa ilmuan dakwah termasuk para
mufassirin tidak terkecuali dalam membahaskan isu ini. Sebilangan mereka mendakwa bahawa
tugasan dakwah hanya terbeban di puncak sekumpulan khusus manusia manakala sebahagian
yang lain berpendapat ia perlu digalas oleh setiap Muslim.

Doktor Abdul Aziz Berghouth menyimpulkan dua kelompok pandangan ulama’ yang dominan
terhadap hukum menyampaikan dakwah.5 Pertama adalah pandangan kelompok yang berijtihad
bahawa tugasan dakwah merupakan fardhu kifayah manakala keduanya ialah pandangan mereka
yang berijtihad bahawa ia merupakan fardhu ‘ain.

Pandangan ulama’ yang berpegang kepada hukum fardhu kifayah tegas menyatakan bahawa
dakwah tidak diwajibkan ke atas setiap Muslim tetapi ia diwajibkan ke atas sekelompok
kumpulan khusus yang mempunyai kemampuan, kebolehan, dan keahlian yang tertentu. Mereka
mengistinbathkan hukum tersebut berdasarkan kepada ayat 104, Surah Ali-Imran (maksud).
“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebaikan,
menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar”6

Mereka merujuk kepada kalimah “dan hendaklah” yang menunjukkan kata suruhan (wajib) dan
kalimah “diantara kamu” yang ditakrifkan sebagai sebahagian iaitu sekumpulan manusia yang

khusus untuk menegakkan kewajiban berdakwah.
                                                             
4

 Al‐Ahzab : 45‐46 
 Dr. Abdul Aziz Berghouth, Manahij Da’wah, Cetakan Keempat, Dar At‐Tajdid, m/s 78  
6
 Ali‐Imran : 104  
5

Mereka turut mengqiyaskan hukum tersebut berdasarkan satu lagi firman Allah (maksud) yang
lain iaitu, “Tidaklah orang mu’min itu semuanya pergi (medan perperangan), mengapa tidak
tiap-tiap golongan antara mereka mendalami ilmu agama, dan memberikan peringatan
kepada kaumnya, apabila mereka kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka boleh
menjaga diri”7

Kemudian, terdapat pula pandangan ulama’ yang berpegang kepada hukum fardhu ‘ain. Mereka
berhujah bersandarkan juga kepada ayat yang sama seperti di atas (Ali-Imran : 104) tetapi
mempunyai ijtihad dan penafsiran yang berbeza. Mereka berpendapat bahawa kalimah “diantara
kamu” bukan bermaksud sebahagian bahkan ia bertujuan untuk penerangan atau penyataan.


Bagi mengukuhkan pandangan mereka, maka ia dikuatkan dengan firman Allah SWT yang lain
(bermaksud),
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu
menyuruh melakukan perkara yang ma’ruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar”8

Selain itu, mereka turut memetik sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam
kitab Iman, khusus dalam bab ‘Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar iaitu,
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW
bersabda, “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah
dia mengubahnya dengan tangan...”

Maka, kalimah “sesiapa” dalam hadith tersebut mengisyaratkan bahawa sesiapa sahaja yang
bersifat umum yang merangkumi lelaki, perempuan, orang kaya mahupun miskin.

Sementara yang lain, Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat 104, Surah Ali-Imran ini, beliau
berijtihad bahawa perlu wujud satu kumpulan dalam umat ini yang melaksanakan tugasan
dakwah meskipun pada dasarnya ia merupakan kewajiban setiap individu.

                                                             

7
8

 At‐Taubah : 122 
 Ali‐Imran : 110 

Sungguh, perbahasan mengenai hukum menyampaikan dakwah sedikit mendalam terutamanya
apabila ia melibatkan beberapa salah faham terhadap beberapa istilah. Walaubagaimanapun,
tidakkan kita berasa janggal apabila tanggungjawab asasi para rasul ini tidak disambut oleh umat
Islam? Ia bukan sahaja dibebankan ke atas bahu Rasulullah SAW, bahkan ia turut dikendong
oleh Musa AS, Ibrahim AS, Nuh AS, Isa AS dan yang lain-lainnya. Bukankah ini merupakan
salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW yang terbesar?

DAKWAH SECARA KOLEKTIF
Dalam aspek ini, penulis tertarik untuk berilzam dengan pandangan Dr Abdul Karim Zaidan
dalam kitabnya Usul Da’wah. Beliau berpendirian bahawa dakwah adalah wajib dilaksanakan
oleh setiap muslimin dan muslimat. Walaubagaimanapun, dari segi pelaksanaannya ia boleh
dilakukan secara individu dan berjemaah.

Perkara asas ini telah dianologikan dalam budaya masyarakat Melayu. Contohnya, jika sebatang

lidi boleh dipatahkan begitu mudah, bagaimana dengan seberkas lidi? Begitu juga, jika dua jari
hanya boleh memegang sebatang pen, berapa batang pen boleh dipegang dengan menggunakan
lima jari? Secara seriusnya, mampukah kita memerangi jenayah rasuah yang membarah hanya
dengan seorang diri atau kita memerlukan setumbukan pasukan untuk menghapuskannya? Inilah
hikmah dan kekuatan berjama’ah atau berorganisasi secara kolektif.

Maka, wujudlah tuntutan untuk membentuk sebuah organisasi dakwah yang komprehensif,
sistematik, berperancangan dan berwawasan untuk menggalas misi yang murni tersebut. Tidak
dapat tidak, terdapat juga segelintir umat Islam yang lebih selesa memaknakan dirinya secara
individu untuk memperjuangkan Islam dalam ‘circle’-nya yang tersendiri. Namun, terdapat
banyak juga fraksi-fraksi dakwah yang lantang dan tegar dalam memposisikan maudhu’ dakwah
dalam arena yang lebih luas semata-mata untuk melebarkan pengaruh Islam.

Mengenai perihal ini, penulis lebih cenderung untuk menarik perhatian pembaca untuk
memahami sedikit sebanyak kerangka dan tabiat organisasi dakwah sepertimana yang digarap
oleh ulama’-ulama’ hafizahumullah sebelum ini. Dua tokoh aktivis Islam dan anggota Ikhwanul
Muslimin, Dr Salah As-Sawi serta As-Shahid Abdullah Azzam telah menukilkan sebuah buku

yang ilmiah9 untuk mengajak manusia berintima’ dan mendaulatkan Islam melalui mekanisme
berjama’ah.


Muqaddimah pengarang dalam buku tersebut tertulis,
“Di dalam Islam, jamaah atau perkumpulan merupakan suatu kemestian yang dituntut
oleh akal disamping menjadi kewajiban syarak. Sesungguhnya tabiat Islam dan
manhajnya yang meliputi segenap aspek kehidupan sangat menuntut supaya ditegakkan
sebuah jemaah Islam yang meninggikan syiarnya dan mampu merealisasikan
kewujudannya dalam alam realiti. Islam diasaskan atas dasar perlunya wujud sebuah
jamaah yang menjadikan Islam sebagai aqidah, syariah dan manhaj yang mencerminkan
segala maksudnya.

Mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Mustafa Masyhur juga senada dengan pendirian ini.
Beliau yang terkenal sebagai ikon dakwah menekankan bahawa untuk mencapai tujuan
mendirikan kerajaan Islam sedunia tidak mungkin akan dicapai kecuali dengan berjama’ah.
Malah, 1300 tahun dahulu, sunnah Rasulullah SAW telah membuktikan, perjuangan Islam
didokongi oleh sekumpulan individu yang utuh dan ampuh.

Penguasaan 500 tahun Kerajaan Islam Uthmaniah telah berakhir dengan tragedi kejatuhan dan
pemfaraidan bumi umat Islam kepada kuasa barat serta pengaruh Kristian pada tahun 1924.
Kolonialisme bukan hanya menjarah sempadan tanah dan pengairan, malah turut meragut akar
aqidah, akhlak dan ketamadunan umat Islam. Akhirnya, nasib umat Islam umpama buih di

lautan. Tidak berupaya menangkis fitnah musuh. Longlai dan luluh.

Di celahan keparahan tersebut, muncul seorang pemuda kelahiran Mahmudiah, Mesir yang gigih
mengartikulasikan

dakwah

kepada

masyarakat

sekitarnya.

Lantas,

beliau

berjaya

menghimpunkan enam orang anak muda yang sanggup mewaqafkan diri dan berbaiah untuk

memperjuangkan Islam. Hasilnya, Hassan Al-Banna dan enam pemuda tersebut mengasaskan
gerakan Ikhwan Muslimin pada bulan Mac 1928 dan menjadikan beberapa satelit strategik
                                                             
9

 Dr. Salah Al‐Sawi dan Al‐Syahid Dr. Abdullah Azzam, Siapakah Jemaah Islam Yang Sebenar?, penterjemah Mohd 
Hapiz Mahaiyadin, Perniagaan Jahabersa, 2004  

seperti Madrasah At-Tahzib, Darul Ikhwan dan Sekolah Islam Al-Hira’ sebagai pusat
pengembangan Islam.10

Disepanjang sejarah perjuangan dakwahnya, Ikhwanul Muslimin menjadi nukleus di dada kota
Kaherah dan menghambat penghuni Mesir dengan mesej-mesej Islam menerusi pelbagai jaringan
pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi sosial. Terbukti ia sangat mengesankan jiwa
dan hati penduduk Mesir meskipun dibantai kezaliman regim Hosni Mubarak.

DAKWAH MENERUSI PARTI POLITIK
Ikhwan Muslimin menderap selangkah lagi. Dalam sistem quasi-demokrasi Mesir, Ikhwan
Muslimin telah menaja dan berpartisipasi secara agresif dalam saluran pilihanraya menentang
parti pemerintah yang korup dan angkuh pada Disember 2005. Natijahnya, mereka berjaya

memenangi 88 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.11

Model gerakan dakwah dan politik Ikhwan Muslimin terpercik ke luar negara Mesir seperti di
rantau sub-continent khususnya Karachi. Seorang tokoh pemikir Islam Pakistan, Maulana AlMaududi telah menggariskan dasar dan halatuju sebuah organisasi dakwah di negara tersebut.
Beliau yang dibantu dengan beberapa tokoh-tokoh Islam dan profesional yang lain akhirnya
berjaya melahirkan Jami’at Islami pada 26 Ogos 1941 di Lahore.

Sepertimana Ikhwan Muslimin, Jami’at Islami juga tegar mempromosi Islam melalui pelbagai
saluran yang berjaya menawan hati rakyat Palestin. Keutamaan pembentukan kualiti ahli dan
pengislahan rakyat dijadikan sebagai satu fokus utama di era perkembangan gerakan. Tidak
dinafikan sumbangan dakwah yang dipelopori oleh Jami’at Islami sungguh besar dan mampu
menarik ribuan pendokong untuk bersama-sama dalam arus perjuangannya.

                                                             
10

 Riduan Mohd Nor, Pengaruh Pemikiran Ikhwanul Muslimin Terhadap Parti Islam Se‐Malaysia (PAS), 
Penerbitan Hemah, Cetakan Kedua 2005, m/s 23 
11
 Ibid. m/s 25 


Jami’at Islami turut mendepani tribulasi politik yang dicatur oleh regim Pro-Amerika dan dakyah
Barat. Perkara menarik yang perlu diberikan perhatian pembaca adalah usaha yang dirintis oleh
Jami’at Islami dengan menghimpunkan enam buah parti politik Islam dibawah satu pakatan
politik yang dikenali sebagai Muttahida Majlis Al-Amal (MMA).12 Pakatan yang dipimpin oleh
Qazi Husain Ahmad yang juga Presiden Jami’at Islami ini bertujuan bagi mencabar dominasi
kuasa parti pemerintah dan mempertahankan kesucian agama Islam daripada dirobek oleh
agenda liberal-sekular.

Selain daripada gerakan Islam Ikhwan Muslimin dan Jami’at Islami, terdapat pelbagai lagi usaha
memartabatkan Islam dan membebaskan tanah air daripada kolonialis Barat yang membebalkan
rakyat dengan agenda penyingkiran aqidah serta penyuburan ideologi sesat. Pengaruh model
gerakan tersebut sedikit sebanyak telah melangkaui sempadan geografi. Antara yang menarik
untuk dijadikan subjek kajian dan pemerhatian ialah gerakan HAMAS di Palestin, MASYUMI di
Indonesia, Front Islamic Salvation (Barisan Penyelamat Islam) di Algeria serta tidak lupa juga
Hizbul Muslimin dan Parti Islam Se-Malaysia.

Selain daripada menjuarai arena dakwah, kesemua gerakan Islam tersebut turut meniti jalur
politik moden dan terlibat dalam acuan demokrasi berpilihanraya. Sudah tentu, penglibatan
tersebut disokong oleh ijtihad siyasi yang dicedok daripada nas-nas Al-Qur’an, As-Sunnah dan
ijma’ ulama’ disampingkan memberikan keuntungan yang besar kepada nilai dakwah serta
politik semasa.

PARTI POLITIK ISLAM DI MALAYSIA
Malaysia dianggap sebagai mini Asia. Ia terkenal dengan kepelbagaian lingual, ras dan dianggap
sebagai sebuah negara yang bercirikan divided society. Asasnya, Malaysia sebuah negara yang
mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Jika dilihat daripada
aspek pengamalan sistem parti di negara ini, ia lebih sinonim dikenali sebagai multiparty
political system. Sejak kemerdekaan, negara diperintah oleh Parti Perikatan yang berteraskan
parti-parti komunal dan kemudiannya membentuk sebuah pakatan politik yang lebih besar iaitu
Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973. Disebabkan BN sentiasa menguasai dua pertiga majoriti
                                                             
12

 Riduan Mohd Nor, Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, MHI Publication, 2007, m/s 57.   

di Dewan Rakyat, maka Malaysia diklasifikasikan sebagai negara yang bersifat dominant party
system.13

Dalam menelusuri sejarah permulaan gerakan dakwah di Malaysia, elok kiranya kita
menyingkap kembali rekod temuramah yang diajukan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada
tarikh 30 Mei 2001 kepada Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

“Kumpulan Islam yang dahulunya bergabung dalam United Malays National
Organization (UMNO) ketika Malayan Union kemudian mencetuskan penubuhan Hizbul
Muslimin yang diharamkan oleh pihak penjajah. Ketika Hizbul Muslimin diharamkan,
UMNO pula terus diizinkan. Diambang perjuangan untuk menerima kemerdekaan yang
sebenar, satu kumpulan pemimpin Islam telah menubuhkan PAS yang terdiri daripada
kumpulan-kumpulan Islam dalam Hizbul Muslimin, golongan intelektual Islam dan
sebahagian lagi daripada kalangan UMNO”

Parti politik Islam pertama di Tanah Melayu ialah Hizbul Muslimin yang dilahirkan di Madrasah
Al-Ihya’ As-Sharif, Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948. Ia dipimpin oleh mudir madrasah
tersebut iaitu Ustaz Abu Bakar Al-Baqir (Almarhum).14 Kegigihan dan kelantangannya untuk
memartabatkan Islam, memerdekakan tanahair daripada penjajah British dan mendirikan sebuah
negara Islam akhirnya telah dimatikan pada 29 Julai 1948. Kini, institusi tersebut telah mendapat
bantuan separa daripada kerajaan dan dilabelkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan
(SABK). Masih terdapat beberapa bangunan tradisi yang kukuh tersergam disebalik usia tua.

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Hizbul
Muslimin. Berdasarkan kepada beberapa kajian ilmiah antaranya oleh Nabir Haji Abdullah,
Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Safie Ibrahim, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ustaz Riduan
Mohd Nor, sejarah penubuhannya agak kompleks dan mungkin mengelirukan ramai orang. PAS
dan Hizbul Muslimin kedua-duanya ditubuhkan atas semangat kesatuan ulama’ meskipun
terdapat beberapa tokoh awalnya bergerak dalam organisasi UMNO seperti Ustaz Ahmad Fuad
                                                             
13

 Abdul Rashid Moten, Chapter One (Society, Politics and Islam : An Overview) , Book of Government and Politics 
in Malaysia, Cengage Learning, 2008, m/s 15  
14
 Nasharudin Mat Isa, 50 Tahun Mempelopori Perubahan, Penerbitan Ahnaf, 2001, m/s 4 

bin Hassan. Beliau merupakan lulusan Madrasah Ihya’ As-Sharif yang juga digelar sebagai
Ahmad Fuad Dahmat Al-Bariaq.15

Beliau secara lantang ingin mengemukakan satu wadah kesatuan ulama’ yang boleh
membangunkan Islam secara lebih aktif dan untuk mencapai menyerlahkan keindahan Islam.
Bermula dengan desakan tersebut, sebanyak tiga kali Persidangan Ulama’ diadakan. Dalam
persidangan kedua pada tanggal 23 Ogos 1951, beberapa ulama’ UMNO melontarkan idea
penubuhan Persatuan Ulama’. Sambutannya cukup menerujakan! Malah, Ustaz Ahmad Maliki
secara lebih pro-aktif mencadangkan agar ia dijadikan sebagai sebuah parti politik yang bebas
seperti MASYUMI di Indonesia.

Pada persidangan ketiga yang dianjurkan di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil, nama
Persatuan Islam SeMalaya (PAS) diterima sebulat suara atas cadangan Muhammad Ma’sum dari
Jama’ah Masjid, Telaga Air, Butterworth.16 Bermula daripada saat itu, muncullah parti siasah
yang memacu pertumbuhan Islam di Malaysia. Ia terpisah daripada kerangka pentadbiran
UMNO. Ia hasil daripada keringat dan dahaga mereka yang bercita-cita tinggi untuk meletakkan
Islam sebagai asas bernegara dan kehidupan.

Melihat kepada perkembangan Islam di Malaysia, rakyat tidak boleh menolak sumbangan PAS.
Ia adalah satu-satunya wadah Islam yang bergerak dalam jalur politik untuk memaknakan
kemerdekaan yang sebenar. Sejak pilihanraya diperkenalkan pertama kalinya di Malaysia, PAS
telah turut serta sehingga ke hari ini. Konsistensinya bertarung dalam medan demokrasi sedikit
pun tidak menganjakkannya daripada dasar Islam yang tulen. Malah, telah banyak ijtihad siyasi
telah diluncurkan sehingga menjadi satu kajian akademik yang baik.

Dalam teras demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, wujud juga beberapa
pertubuhan Islam yang mempunyai dasar, matlamat dan uslub yang tersendiri seperti Angkatan

                                                             
15

 Ibid 
 Nama Persatuan Islam SeMalaya telah ditukar dalam satu persidangan pada 25‐27 Disember 1971 kepada Parti 
Islam Se‐Malaysia (PAS) 
16

Belia Islam Se-Malaysia (ABIM), Jema’ah Islah Malaysia (JIM), Tabligh dan Al-Arqam17.
Kepelbagaian jama’ah Islam ini wujud disebabkan uslub pendekatan dan perbezaan pendapat
yang timbul. Ia dianggap sebagai satu kelaziman kerana perbedaan ini telah muncul sejurus
selepas kewafatan Rasulullah SAW.

PAS sebagai sebuah Jama’ah Islam mengambil bahagian dalam politik sebagai salah satu uslub
dakwahnya. Ia adalah misi yang lahir sejak semangat penubuhannya separuh abad yang lalu.
Sehingga artikel ini ditulis, hanya terdapat sebuah parti politik Islam sahaja yang berdaftar di
Malaysia iaitu PAS. Manakala, jema’ah Islam yang lain khususnya ABIM dan JIM didaftarkan
sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Penulis ingin mengajak pembaca memahami konsep sistem parti politik dan NGO dari
pandangan disiplin sains politik dan perspektif Islam. Seorang pensyarah Sains Politik terkenal
di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Mokhtar telah menulis satu topik
khas iaitu ‘Political Parties and Party System’ dalam satu kompilasi buku Government and
Politics in Malaysia. Beliau memetik sekurang-kurangnya dua pandangan tokoh sarjana politik
bagi mendefinisikan parti politik. Pertama, beliau mengambil pandangan Joseph LaPalombara
yang menyatakan bahawa, “A political party is a formal organization whose self-concious,
primary purpose is to place and maintain in public office persons who will control, alone or in
coalition, the machinery of government”. Kedua, Alan Ware turut menerangkan maksud parti
politik iaitu, “an institution that seeks influence in a state, often by attempting to occupy
positions in government, and usually consists of more than a single interest in the society and so
to some degree attempts to aggregate interests”.

Manakala, maksud NGO mempunyai sedikit perbezaan. Penulis lebih selesa menggunakan
istilah interests group atau pressure group. Michael Curtis berpendapat, interests group wujud
disebabkan “a collection of individuals sees something to be gained by such an association,
either material gains, psychological gains, recreational gains, humanitarian gains and so on”.18
Selain itu, sebilangan pemikir politik mendakwa ia sangat penting dalam arena politik kerana
                                                             
17

 Al‐Arqam telah diharamkan pada tahun 1993 dan beberapa pimpinannya telah ditangkap dan dihumban ke 
dalam ISA.  
18
 Michael Curtis, Comparative Government and Politics, New York : Harper and Row, 1978, pp 141 

mempunyai linkage mechanisms yang mampu menjadi komunikator yang efektif kepada
segmentasi pemikiran rakyat.

Walaubagaimanapun, parti politik dan NGO memainkan peranan yang penting dalam sebuah
sistem politik. Apatah lagi Islam telah membuka ruang yang paling efektif malah menjadi satu
amanah untuk meluruskan sikap pemimpin seandainya berlaku kezaliman, penindasan, korupsi
dan sebagainya. Ia telah pun dipamerkan oleh Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Sayyidina
‘Umar Al-Faruq tatkala mereka diangkat menjadi khalifah memimpin zaman. Perbahasan
mengenai kesahihan pembentukan parti politik dalam Islam telah dirungkai secara tuntas oleh
Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh Daulah.

KEPELBAGAIAN PARTI POLITIK ISLAM
Persoalannya sekarang ialah, apakah langkah yang terbaik bagi menjamin keberkesanan survival
Islam apabila terdapat pelbagai jama’ah Islam dan parti politik Islam dalam sebuah negara?
Dalam membicarakan hal ini, tokoh veteran Ikhwan Muslimin iaitu Syeikh Dr Mustafa Masyhur
dan Syeikh Sa’id Hawwa mencadangkan secara idealnya, jama’ah-jama’ah Islam bergabung
dibawah satu organisasi Islam bagi mengelakkan kemudharatan dan persengketaan yang lebih
luas. Ia mampu lengkap melengkapi dan bantu-membantu dalam sebuah organisasi induk yang
tersusun meskipun mempunyai pendekatan yang tersendiri.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi pula berfikir lunak mengenai kepelbagaian kewujudan parti untuk
mengembangkan Islam dalam satu negara.
Beliau menegaskan,19
“Berbilangnya parti yang dibenarkan ialah di atas dasar berbilangnya pemikiran,
method dan jalan politik yang dibawakan oleh setiap kumpulan yang masing-masing
mempunyai hujah dan dalil. Lalu ia disokong oleh mereka yang mempercayainya dan
merasakan bahawa proses baik pulih umat akan berlaku melaluinya. Ia akan ditolak oleh
mereka yang melihat baik pulih adalah lebih baik melalui badan yang lain.

                                                             
19

 Syeikh Dr Yusuf Al‐Qardhawi, Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, terjemahan Ustaz Haji Juanda Haji Jaya, 
Maktabah Al‐Qardhawi, Selangor, 1998, m/s 249‐251 

Berbilangnya parti dalam arena politik adalah hampir menyerupai berbilangnya mazhab
dalam bidang fiqh.
Ia diharuskan dengan syarat berbilangnya perkara ini adalah dari jenis berbilang yang
berbentuk kepelbagaian dan pengkhususan, bukannya berbilang yang membawa kepada
percanggahan dan penentangan.
Apa yang kita tolak dalam arena politik adalah sama dengan apa yang kita tolak dalam
bidang fiqh iaitu ketaatan melulu dan taksub buta serta memberikan kesucian kepada
sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi. Inilah punca kerosakan dan
perpecahan.”

Mendepani sistem demokrasi berpilihanraya benar-benar menguji PAS. Kemenangan pilihanraya
bergantung kepada jumlah perolehan undi yang diberikan oleh rakyat (pengundi) kepada parti
yang bertanding. Secara tradisi dan strategiknya, PAS meletakkan sasaran meraih undi daripada
kawasan majoriti Melayu seperti di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Memandangkan demografi pengundi ekoran daripada tsunami politik 2008 dan 14 siri
pilihanraya kecil sebelum ini, kecenderungan orang Melayu kepada PAS tidak banyak berubah
dan kebanyakannya masih setia bersama UMNO.

Walaupun begitu, dalam eksperimen politik yang dilakukan dalam Pilihanraya Umum Ke-12
yang lalu, kerusi-kerusi PAS yang dipertandingkan di kawasan yang mempunyai komposisi
kaum yang hampir seimbang seperti di Kota Raja dan Kuala Selangor mendapat respon yang
baik daripada pengundi. Teori ini boleh diperkukuhkan lagi pasca Pilihanraya Umum Ke-13
kelak.

Seandainya muncul sebuah lagi parti politik Islam di Malaysia yang mempunyai pendekatan dan
uslub berbeza, adakah ia menjanjikan persaingan yang sihat ataupun ia boleh membentuk
pakatan yang lebih besar seterusnya memberikan tekanan politik untuk menghasilkan impak
berganda? Eksperimen ini belum berlaku dalam wajah politik di negara ini. Kebarangkalian itu
juga sukar ditelah.

Namun, kerjasama jama’ah Islam atas dasar isu-isu yang melibatkan Islam sebelum ini telah
menampakkan kesan yang positif seperti isu menentang kebiadapan kartunis dan media Denmark
yang menghina Rasulullah SAW, isu perjuangan pembelaan umat Islam Palestin, isu kontroversi
murtad dan isu penubuhan interfaith commission (IFC).

Indonesia melayari perkembangan politik yang panjang dan penuh liku. Ia boleh dikategorikan
kepada tiga fasa iaitu era penjajahan Belanda, era penjajahan Jepun dan pasca kemerdekaan.
Bermula pada tahun 1945, demokrasi di Indonesia mula menampakkan sinar. Pelbagai parti
dengan ideologi dan orientasi yang tersendiri telah muncul dan ia menjadi sebuah negara contoh
yang menunggangi multiparty system.

Ketika fasa penjajahan Jepun, bangkit sebuah paksi politik yang menyatukan gerakan umat Islam
membela tanahair dan agama Islam iaitu Majlis Syura Muslimin Indonesia (MASYUMI)
pimpinan Mohamad Natsir. Ia telah ditubuhkan melalui resolusi Kongres Umat Islam Indonesia
yang diadakan pada 7 dan 8 November 1945 dan berjaya menghimpunkan banyak gerakan Islam
seperti Nahdatul Ulama’, Muhammadiyyah, Persatuan Ulama’ Seluruh Acheh, Persatuan Islam
Bandung dan lain-lain lagi.20

Pada tahun 2004 sebagai contoh, kira-kira 24 buah parti politik telah mengambil bahagian. Lima
daripadanya merupakan parti politik yang berteraskan Islam iaitu Partai Bulan Bintang, Partai
Persatuan Pembangunan, Partai Persatuan Nahdatul Ulama’ Indonesia, Partai Keadilan Sejahtera
dan Partai Bintang Reformasi.

Penulis ingin menampilkan bagaimana pandangan beberapa penganalisis politik di Indonesia
melihat perkembangan parti politik berteraskan Islam memainkan peranan dalam lapangan
politik di negara majoriti umat Islam itu. Dalam satu artikel yang ditulis oleh Direktor Eksekutif
The Wahid Institute, beliau mengambil pandangan Peter G. Riddel yang menulis mengenai
kepelbagaian suara politik Islam pasca pemerintahan Suharto. Peter G. Riddel membahagikan
kekuatan politik Islam di Indonesia kepada empat bahagian iaitu golongan modernis,

                                                             
20

 Riduan Mohd Nor, Sejarah dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, MHI Publication, 2007, m/s 32 

tradisionalis, neo-modernis dan Islamis. Setiap satu mempunyai aliran pemikiran politik yang
sedikit berbeza dan diketuai oleh aktor politisi yang berpengaruh.

Jika diintip implikasi dan mencongak masa depan pergerakan Islam di Indonesia, penulis ingin
mempersembahkan bagaimana seorang pengamat pergerakan Islam di Indonesia membuat satu
rumusan yang kritikal ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Muzakarah Ilmiah di
Masjid Fathullah Syarif Hidayatullah UIN, Jakarta pada 19 Disember 201021.

Pertama, beliau menggariskan enam faktor kelemahan yang semakin membarah iaitu;
a) Wujud pelbagai pemikiran tidak Islami yang menghadang dunia Islam.
b) Pola integrasi umat Islam yang mengidap penyakit firaunisme, sektarisme dan vestedintereses yang menyebabkan disintegrasi umat Islam.
c) Pemisahan kepemimpinan addien dan siyasah.
d) Kurangnya pentarbiyahan yang baik.
e) Hilangnya tanggung jawab dakwah dan jihad pada umat ini.
f) Berjuang untuk mencapai mahamat yang bukan Islam
Kedua, faktor luaran yang menjejaskan dari strategi musuh-musuh Islam iaitu;
a) Merubah al-Islam dengan jalan memberikan gambaran yang salahtentang Islam. Sebagai
contoh mentafsirkan Al-Qur’an dengan cara menggunakan metode Hermeneutik.
b) Memisahkan umat Islam dari ajarannya yang hakiki, yakni Al-Islam.
c) Memisahkan dan mempertentangkan golongan umat Islam yang satu dari dan terhadap
golongan Islam yang lainnya.

Mencapai cita-cita politik Islam merupakan satu tuntutan ‘aqidah. Namun, strategi dan
mekanisme untuk mendapatkannya perlu kepada penelitian yang cermat dan perjuangan yang
berhemah supaya tidak mengundang kemudharatan yang lebih besar. Jauh di sudut hati kecil
penulis, kita amat mengharapkan para alim ulama’ yang berkecimpung dalam dunia politik
                                                             
21

 Dr. H. Amir Mahmud, Dosen Pasca Sarjana UNU, UMS dan beberapa perguruan tinggi swasta 

memberikan ijtihad yang tepat dan saling bersinergi dengan jama’ah Islam yang lain agar misi
menegakkan pemerintahan Islam tidak larut dalam acuan politik yang merugikan.

TAMAT

Maklumat Penulis
Tajuk Kertas Kerja

: Tuntutan Dakwah dan Kepelbagaian Parti Politik Islam

Nama

: Mior Isfandy bin Mior Azizan

Nama Institusi

: International Education College, UiTM

Alamat Lengkap

: 21, Jalan P8E 2/4, Presint 8, 62250 Putrajaya

Nombor Telefon

: 019 385 7924

Alamat Emel

: mior.isfandy.azizan@gmail.com