SEJARAH KOMUNIS DI SELANGOR DAN TANAH ME

SEJARAH KOMUNIS DI SELANGOR DAN TANAH
MELAYU
Rahmat Serangan Jepun
Jepun menduduki Tanah Melayu bermula dari pendaratan di Singgora, Thailand, Patani
dan Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Seterusnya menduduki Kajang dan Kelang pada
11 Januari 1942.
Serangan Jepun 1941-1945 merupakan ' rahmat tersembunyi' kepada pergerakan
komunis. Parti Komunis Malaya yang dikenali sebelumya sebagai MPAJA dapat senjata
yang dibekalkan oleh British. Selain itu kekejaman Jepun terhadap orang Cina
menyebabkan komunis mendapat simpati daripada kaum Cina.
Pada Mac 1942 , hasil rundingan pemimpin komunis Lai Tek atau Loi Tak dengan pegawai
tentera British Mejar Chapman , seramai 165 orang pemuda Cina komunis telah dilatih di
101 Special Training School di Singapura. Mereka ini kemudian dihantar ke Selangor ,
Negeri Sembilan dan Johor untuk membentuk tentera MPAJA atau tentera Bintang Tiga.
Kebanyakan pemuda ini berumur 19 tahun ke atas.
Rejimen Menuntut Kemerdekaan yang dijuarai oleh Bintang Tiga telah dibentuk di
Selangor pada Mac 1942. ( First Independent Regiment ). Hampir keseluruhannya disertai
oleh pemuda Cina. Tidak ada pemuda Melayu atau India , walaupun Bintang tiga
bermaksud tiga kaum iaitu Melayu , Cina dan India.
Ambil alih kuasa selama 15 hari
Apabila Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945 dan British pula lambat 15 hari

mengambil alih kuasa daripada Jepun, menyebabkan komunis mengambil alih kuasa.
Pasukan komunis telah keluar dari hutan dan mengambilalih kuasa di kampung , pekan
dan bandar di Kajang, Rasa, Semenyih dan lain-lain . Pihak komunis merasakan
perjuangan bersenjata mereka telah berjaya dan patut diberi kuasa memerintah. Mereka
menipu rakyat bahawa Jepun kalah dan berundur dari Tanah Melayu kerana tentangan
hebat daripada mereka.
Kekejaman komunis dan tindakan silap mereka selama 15 hari itu ialah :
-mengadakan perbicaraan sendiri
-melakukan kezaliman
-membunuh orang Melayu dan Cina
-mengamcam seluruh penduduk
-mengutip wang secara kekerasan.
-merampas bangunan yang diperlukan untuk dijadikan pejabat.
-mendakwa komunis telah menewaskan tentera Jepun.
-Mencari polis Melayu yang didakwa bersubahat dengan tentera Jepun.
-Menggeledah kampung -kampung Melayu yang didakwa bersubahat dengan Jepun.
MPAJA telah membunuh seramai 2542 orang Cina, Melayu dan India yang disyaki menjadi
tali barut Jepun.
Keganasan yang komunis lakukan
20 % senjata tidak dipulangkan oleh komunis. Hanya 6800 ahli MPAJA menyerahkan

senjata dan rela menyerahkannya kepada pihak berkuasa di seluruh Tanah Melayu.
Pada 18 Jun 1948 darurat diisytiharkan oleh Sir Edward Gent di Tanah Melayu kerana

perjuangan komunis semakin hebat dan memuncak. Komunis berikrar melakukan
pemberontakan bersenjata.
15 Oktober 1949 seramai 28 setinggan Cina di Batangkali dihukum bunuh kerana
menjadi talibarut komunis.
29 November 1951 Sekolah Menengah Chung Hua di Kelang , Selangor telah ditutup
kerana diresapi pengaruhi komunis, menyimpan bendera komunis dan menjalankan
kegiatan subversif.
Seorang guru telah ditahan oleh pihak berkuasa British di Tanah Melayu kerana
menjalankan kegiatan bawah tanah. Beliau ialah guru sekolah malam Phing Man di Rasa,
Selangor. Kertas-kertas, buku, catatan harian dan surat-surat telah dirampas kerana
terbukti dia amat aktif dalam kegiatan menyebar fahaman komunis.
Aktiviti komunis di Kajang dan Semenyih , Selangor
1948 pihak berkuasa telah menjumpai satu tempat simpanan senjata komunis di Kajang.
Senjata ini dipercayai senjata yang dibekalkan oleh British semasa pendudukan Jepun
dahulu.
Pada 27 Jun 1948, seorang mandur penoreh getah berangsa Cina di Estet Braemar ,
Kajang telah ditembak mati di luar sebuah kedai di sebuah kampung kecil di Sungai

Kantan pada 10.15 malam. Dalam badannya diselitkan secebis nota dalam bahasa Cina
yang berbunyi " to destroy labour thief" Estet Braemar ialah Taman Saujana Impian,
Kajang sekarang ini.
Pada 23 Julai 1948, pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan telah
diperkenalkan di seluruh Tanah Melayu. Ia bertujuan untuk membezakan penduduk yang
mematuhi undang-undang dengan mereka yang berniat untuk menyebarkan unsur
subversif. Mereka yang tiada kad pengenalan akan dituduh sebagai komunis.
Julai - 2 November 1948 beberapa kejadian subversif berlaku di Kampung Kachau,
Semenyih .
Julai 1948 seorang kanak-kanak lelaki British telah dibunuh di Kampung Kachau,
Semenyih.
Sejak 10 Ogos 1948 kedai-kedai Cina yang meriah di Kajang ditutup , jalan raya yang
sibuk menjadi lengang kerana ancaman dan ungutan komunis
15 Ogos 1950 pengurus ladang getah Sir Day dari Ladang Glenshiled , Kajang dibunuh.
Turut terbunuh 2 polis konstable dan keraninya Lee Bien Chee. 13 orang pengganas
komunis membunuh mereka ketika dalam perjalanan ke Sungai Reko. Turut hilang wang
RM4062.30 , 1 senapang riflle jenis 313 , senapang pendek.
Jam 2 pagi, 2 November 1948, segerombolan komunis telah membakar rumah asap dan
gudang getah di Ladang Dominion jam 2.00 pagi . Semenyih. Mereka mengancam
seluruh penduduk Semenyih .

2 November 1948 Rumah-rumah setinggan Cina dan kedai-kedai di Kampung Kachau,
Semenyih telah dibakar oleh pasukan keselamatan British dan diarahkan pindah ke

pekan Semenyih, Seremban dan negeri Johor. Sebahagian yang lain diarahkan pindah ke
Kampung Baru Semenyih. Kampung Kachau ini disyaki menjadi tempat persembunyian
komunis . Di belakang Kampung Kachau ada sebuah bukit dan dijadikan sebagai kubu
komunis. Kini tempat tersebut dijadikan Tanah Perkuburan Nirwana , Semenyih.
Seluruh kampung telah hangus dijilat api. Lebih kurang 500 penghuni kehilangan tempat
tinggal. Mereka diarahkan pindah dalam tempoh sejam pada malam itu juga . Mereka
turut berdepan dengan kekurangan makanan. Sebanyak 61 buah rumah di Kampung
Kachau ( berhadapan dengan rumah Cikgu Abdul Azis bin Mohd Noor di Kampung Pasir /
Kampung Kachau ) telah dibakar. Kesan-kesan peninggalan tapak rumah yang terbakar
masih ada sehingga sekarang. Contohnya perigi, batu lapik tiang rumah , tapak kedai
dan lain-lain. Kebanyakan ialah rumah setinggan Cina dan deretan beberapa buah kedai
Cina.
Pihak pengganas komunis telah melancarkan serangan hendap ke atas penduduk
kampung di Kajang dan Semenyih sehingga menyebabkan seorang pengurus ladang
terbunuh.
2 November 1949 polis menangkap 500 orang yang disyaki menjadi talibarut komunis di
Semenyih dan Kajang. Polis telah menemui 10 buah khemah dan 13 pondok atap.

Kebanyakan mereka ialah orang tua, kanak-kanak dan kaum wanita. Sedangkan kaum
lelaki majoritinya telah masuk ke hutan menyertai pengganas komunis. Penahanan dan
pembakaran pondok atap setinggan-setinggan Cina ini telah menyebabkan penghuni
mencari perlindungan di bandar atau di Kuala Lumpur dan menyebabkan kesesakan di
bandar.
Seramai 2000 penduduk Balakong diarahkan pindah kerana bersimpati dengan komunis .
Mereka turut memberi bantuan ubat, makanan , wang dan pelbagai peralatan lain
kepada pengganas komunis. Sebahagian mereka membantu komunis secara paksa atau
sukarela.
Pada 1950 seramai 60 penduduk setinggan sekitar Semenyih telah ditahan oleh pihak
komunis atas tuduhan kerana memberi bantuan kepada komunis. Mereka merahsiakan
maklumat tentang pergerakan komunis di Semenyih. Sebaliknya mereka memberi
pelbagai jenis bantuan secara sukarela kepada pengganas komunis.
28 Februari 1950 pembunuhan seorang guru di sebuah sekolah Melayu di Semenyih .
Tapi kes ini tidak dilaporkan kerana ketika itu mahu merahsiakan kes pembunuhan
tersebut oleh pengganas komunis.
Pada 12 Mac 1950 kira-kira jam 11 pagi, tiga pengganas Cina bersenjata menembak mati
dua orang Melayu di Ladang Kampung Kachau , Semenyih , Selangor ketika mangsa
sedang memetik buah kelapa.
Sebuah lori yang membawa susu getah dalam perjalanan menuju Estet Sungai Tangkas ,

Bangi telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Pemandu lori dibunuh dan lori
telah dibakar. Semua penoreh getah di ladang itu diancam bunuh ketika menoreh getah
lagi.
Pada Disember 1950, seorang [[Pegawai Daerah] Mantin , ngeri Sembilan bersama 5
orang polis konstable dan 1 polis berbangsa Cina telah di serang hendap di Batu 11 ,

Semenyih. Tempat itu berhampiran dengan Kampung Sungai Pening berhampiran dengan
Perkuburan Cina Nirwana dan air terjun Sungai Tekala, Semenyih .
Pada 1950 Sarjan Blenkinsop , seorang pegawai British bersama SC Jarmari, SC Haji
Abdul Ghani , SC Akri dan SC Basir dan seorang pekerja ladang dan jip polis mereka telah
diserang hendap di Batu 15, Jalan Jekang, Dengkil ketika dalam perjalanan ke Ladang
Teras Jernang , Bangi . Sarjan Blenkinsop dan SC Abdul Ghani terbunuh.
Sir Harold Brigg mengklasifikasikan Kampung Kachau sebagai kawasan komunis yang
aktif. Tambahan pula sejak 30 Oktober 1948, bilangan setinggan Cina meningkat secara
mendadak di Semenyih . British telah mengadakan ‘operasi Menyoal siasat di Kampung
Kachau ‘ pada 20 Julai 1948. Rumah-rumah setinggan ini disyakki menjadi rumah
persembunyian komunis.
25 Januari 1950 seorang penghulu Hulu Langat telah ditembak . Beliau telah cedera dan
keretanya rosak teruk. Beliau dalam perjalanan pulang dari pejabat ke kampungnya.
1950 kerajaan bertindak melaksanakan Peraturan Darurat 17D untuk memutuskan

hubungan penduduk Semenyih dengan pihak komunis. Di bawah peraturan tersebut ,
seramai 1500 penduduk Semenyih telah dipindahkan dan dihantar ke pusat pemulihan di
Kluang, Johor.
Seramai 6 orang penduduk Sungai Long , Kajang telah ditangkap oleh polis berikutan
penemuan enam buah khemah komunis . Mereka telah ditahan di Kajang dan kemudian
dihantar pulang ke negara China. Tindakan ini dibawah Peraturan Darurat 17D .
Beberapa orang penduduk di Sungai Jelok. Kajang turut dikenakan tindakan yang sama.
Terdapat banyak ladang getah dan kawasan bukit-bukit di Sungai Jelok . Sebahagian
kawasan Sungai Jelok telah dibina Penjara Kajang dan lebuhraya Seremban - Kajang
( Kajang - Seremban Highway KASEH ) .
15 Februari 1951 seramai 1500 penduduk melayu Jenderam, Sepang, Selangor telah
dipindahkan ke kem tahanan Kluang , Johor . Kebanyakan pengganas komunis Melayu
yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datangnya dari pemuda
Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan
tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia.
Pada 28 Mac 1951 , jam 9 pagi , Wong Kim Poh yang bertugas sebagai Timbalan Pegawai
Penempatan Semula telah ditembak mati oleh pengganas komunis dalam satu serang
hendap di Balakong . Beliau bertugas bersama dengan kontraktor dan beberapa orang
pekerja penempatan semula.
Pada 1 Julai 1951, perintah darurat dilaksanakan di Kajang, Semenyih dan Broga akibat

pembunuhan enam pegawai polis dalam satu kejadian serang hendap.
Menurut W.G.S Cony, terdapat 46 buah kampung baru di Selangor.Antaranya ialah
Kampung Baru Semenyih dan Kampung Baru Melayu ( Kampung Sentosa ) Semenyih.
13 Januari 1953, kerajaan mengumumkan catuan dan kawalan makanan di selatan
Selangor bagi menghapuskan saki baki gerombolan pengganas komunis di Kajang.
Polis memburu secara besar-besaran ketua pengganas komunis bernama Liew Kon Kim di
Sungai Pelek, Sepang. Liew Kon Kim ada janggut dan orang Melayu Semenyih
menggelarnya Janggut sahaja.

Pada 1954 pengasas pengganas komunis bernama Liew Kon Kim dan Lau Cheng telah
dapat dibunuh di Kuala Selangor .Tempat operasi Liew Kon Kim ialah di sekitar Sungai
Jelok . Dia telah melarikan diri ke Kuala Selangor.
16 Januari 1956 - Timbalan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya bernama Yeong Kwo
telah dapat dibunuh . Kawasan utama operasinya ialah di Semenyih dan Kajang .
Pembunuhan ini memberi tamparan hebat kepada pergerakan pengganas komunis. Moral
mereka semakin merosot untuk berjuang. Pengganas komunis yang terselamat telah
menyerah diri dan keluar dari hutan. Sebahagiannya pula berundur ke kawasan
sempadan Thailand.
31 Julai 1960 Darurat diisytiharkan tamat setelah mendapati pergerakan komunis
semakin lemah dan berjaya dipatahkan.

Namun sakibaki komunis masih wujud dan bertempur dengan tentera Malaysia di
Lebuhraya Timur Barat terutama dalam Operasi Gonzales.
2 Disember 1989 , Perjanjian Perletakan Senjata antara Kerajaan Malaysia , Kerajaan
Thailand dengan Parti Komunis Malaya telah dibuat di Hotel Le Garden , Haadyai,
Thailand ditandatangani .Perjanjian ini dinamakan Perjanjian Haadyai. Ini berikutan
keruntuhan kerajaan komunis di Rusia dan Kerajaan komunis China tidak berminat lagi
membantu Parti Komunis Malaya. Turut serta dalam perjanjian tersebut ialah Chin Peng,
Rashid Maidin, Dato Rahim bin Noor, Dato Megat Junid Megat Ayub dan lain-lain.
Rujukan
Ho Hui Ling , Bintang Tiga dan Darurat di Negeri Selangor , hlm 32, Malawati, jurnal
Sejarah Negeri Selangor Darul Ehsan, Bil 4, 2001 Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan
Selangor
Wong Siew Kuon, Masalah-masalah Setinggan Cins Di Daerah Ulu Langat, Selanngor
1948-1960 , Mbras, 1999
Tuan Haji Abdul Aziz Mohd Noor , bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Engku
Husain yang kini duduk di Kampung Pasir.
Raja Alias bin Raja Abdul Rahman , bekas pengetua SMK Engku Husain.
Cikgu Alias Toyan - Kampung Pasir.
Cikgu Chong Tat Keong, SMK Engku Husain.
Mohd Amin, Kampung Sungai Lalang, Semenyih.

Abdul Rafai Alias, Kampung Sungai Purun, Semenyih.

KOMUNIS DAN DARURAT DI TANAH MELAYU
6.1

PENGENALAN

Keganasan komunis dan darurat yang berlaku dari tahun 1948-1960 tidak dapat
dipisahkan daripada pengkajian dan penghayatan dalam memahami perkembangan
negara kita Malaysia. Apakah yang anda fahami mengenai dua perkataan tersebut
sebagai seorang rakyat atau warganegara? Lebih-lebih lagi sebagai warganegara
yang telah didedahkan dengan pengajian kenegaraan ini? Sebagai jawapannya, sila
baca dan hayati sepenuhnya penulisan ini yang bermula dari latar belakang
perkembangan ideologi komunis dan terjejasnya kelancaran proses mencapai
kemerdekaan akibat daripada berlaku darurat.
Secara umum, perbincangan bab ini berkisar kepada:
(a) Latar belakang kewujudan Parti Komunis di Tanah Melayu yang lebih dikenali
dengan nama Parti Komunis Malaya (PKM).

(b) PKM pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

(c) Peristiwa darurat.
(d) Kesan akibat darurat.
6.2

PARTI KOMUNIS MALAYA

6.2.1

Latar Belakang Awal

Masyarakat Cina1 yang tinggal di Tanah Melayu amat prihatin dan sensitif terhadap
apa yang berlaku di tanah besar China. Keadaan sedemikian berlaku kerana ramai
yang berpendirian bahawa Tanah Melayu hanya sebagai tempat sementara untuk
mencari rezeki dan kuatnya ikatan hubungan kekeluargaan dengan tanah air
mereka. Hal ini juga disebabkan oleh proses migrasi yang berterusan menyebabkan
ramai dari kalangan mereka yang baru datang menyebarkan berita atau memberi
pandangan apa yang sedang berlaku di sana. Dengan itu, apa yang berlaku di tanah
besar China menarik perhatian mereka yang tinggal di sini dan sering pula menjadi
ikutan.
Kemunculan ideologi dan pengaruh komunis2 di Tanah Melayu dapat di kesan pada
tahun 1921 atau 1922. Sebelum ini, pengaruh nasionalis Parti Kuomintang (KMT)
pimpinan Dr. Sun Yat Sen telah bertapak sejak tahun 1911 serentak dengan
kejayaan membentuk sebuah republik di China. KMT telah mewujudkan cawangancawangan partinya. Lebih awal dari itu, masyarakat Cina telahpun mempunyai
kesedaran politik dan cita-cita revolusioner melalui Persatuan Kemuafakatan Pusat
(Chung Ho Tang) yang ditubuhkan pada 1904 di Tanah Melayu dan Singapura. Pada
tahun 1906, Dr. Sun Yat Sen sendiri pula menubuhkan Persatuan Perikatan (Tung
Meng Huim) yang mempunyai matlamat yang sama.
Kemunculan awal ideologi komunis dapat dikesan melalui beberapa penerbitan
komunis dalam bahasa Cina yang tersebar, antaranya ialah
(a)
Berita mengenai negeri China dan Rusia yang dihantar terus dari
Canton.
(b)
Berita propaganda mengenai buruh dan wanita yang diterbitkan di
Canton.
(c)
Risalah kaedah mengajar ideologi komunis di Rusia dan China serta
manifesto Parti Komunis Amerika.
(d)
Buku bertajuk “Komunis dan Negara China” karangan Tsz Yan.
(e)
Risalah komunis yang bertajuk “Parintis” (Pioneer).
Bahan bacaan ini hanya sebagai bukti terhadap adanya penyebaran ideologi
komunis. Namun dari segi sokongan dan pengaruhnya masih boleh diperdebatkan.
Ini kerana sehingga tahun 1924 belum ada usaha dari Parti Komunis China (PKC)
untuk mengembangkan sayap ke sini. PKC mula menjalin hubungan dengan
masyarakat Cina di Tanah Melayu pada 1925 melalui usaha Alimin dan Tan Melaka.
Mereka ialah dua orang tokoh utama Parti Komunis Indonesia yang telah mendesak
PKC supaya menghantar wakil dan mengembangkan ideologi komunis di kalangan
puak yang radikal dan revolusioner. Usaha mereka terbatas kepada orang Cina
sahaja setelah orang Melayu tidak menunjukkan minat untuk turut serta.

Pada peringkat awal, Singapura dijadikan pangkalan penyebaran pengaruh. Parti
Komunis Nanyang (South Seas Communist Party – PKN) yang ditubuhkan di
Singapura ditugaskan untuk mengawasi dan menyelaras perkembangan komunis di
Asia Tenggara (kecuali Burma). Ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan pihak sayap
kiri yang menganggotai KMT. Bagi menggerakkan organisasi, PKN mempunyai dua
badan massa iaitu Kesatuan Sekerja Umum Nanyang (Nanyang General Labour
Union) dan Liga Belia Komunis (Communist Youth League). Melalui kedua-dua
badan ini, komunis telah dapat meresap masuk ke dalam pertubuhan pekerja dan
juga belia. Akibatnya kesatuan sekerja telah lantang dan sering berbalah dengan
pihak pengurusan atas alasan eksploitasi buruh. Justeru itu, sering berlaku siri-siri
pemogokan yang sesetengahnya berakhir dengan pertempuran dengan pihak polis.
Kejadian sebegini banyak berlaku pada tahun 1927 dan 1928. Sebagai tindak balas,
selepas peristiwa rusuhan yang dikenali “Peristiwa Kereta” Air pada Mac 1928 di
Singapura, kerajaan telah mengharamkan Kesatuan Sekerja Umum Nanyang dan
ramai pemimpinnya ditahan atau dihantar pulang ke China. Di sana mereka
menerima tekanan pula oleh pihak KMT. Di samping itu, kerajaan juga membuat
tangkapan atau tekanan terhadap penyokong dan pihak yang disyaki anggota
komunis atau penyokongnya.
6.2.2

Pergerakan Berorganisasi

Pengharaman ke atas kesatuan sekerja dan penangkapan pemimpinnya tidak
mematikan perjuangan dan penyebaran ideologi komunis. Ini kerana Liga Belia
masih dapat bergerak walaupun ada tekanan dan halangan. Dengan ini pengaruh
komunis tidak berjaya disekat, malahan bertambah mantap. Bagi meneruskan
perjuangan, akhirnya komunis memerlukan sebuah parti yang boleh menggerakkan
perancangannya. Parti Komunis Malaya (PKM) berjaya ditubuhkan pada 30 April
1930 dengan Fu Ta Ching menjadi Setiausaha Agungnya yang pertama. Kelahiran
PKM turut sama melahirkan kembali kesatuan sekerja dan diberi nama Kesatuan
Sekerja Umum Malaya (Malayan General Labour Union). Sekali lagi fokus komunis
ialah pekerja dan kaum buruh yang dikatakan sering tertindas oleh majikan. Dalam
tempuh setahun, PKM mengaku telah mempunyai ahli seramai 1500 orang, 50
anggota wanita yang aktif, 10,000 anggota kesatuan sekerja yang dikuasai dan 200
orang anggota Liga Anti-Imperialis.
Melalui pertubuhan yang berorganisasi ini, PKM bukan sahaja memberi tumpuan
kepada orang Cina yang ramai menganggotai kesatuan sekerja dan pertubuhan
buruh, malahan cuba mengembangkan pengaruh kepada seluruh masyarakat Tanah
Melayu. Ini sejajar dengan hasrat mereka untuk menubuhkan sebuah republik
komunis Tanah Melayu. Bagi tujuan tersebut, sokongan orang Melayu dan bangsa
lain amat diperlukan. Namun usaha ini sekali lagi gagal apabila orang Melayu tidak
dapat menerima ideologi komunis3. Dengan itu kekallah PKM sebagai parti yang
mirip kecinaan kerana keseluruhan pemimpin dan ahlinya terdiri daripada orang
Cina.
Sokongan terhadap PKM semakin meningkat apabila Jepun menyerang Manchuria
pada 1931. Atas semangat kenegerian, mereka telah mengeksploitasi sentimen ini
untuk meraih sokongan dengan menganjurkan beberapa siri tunjuk perasaan dan
rusuhan anti-Jepun. Apabila ada masyarakat Cina menubuhkan Tabung Bantuan
Perang dan Persatuan Tentera Pembebasan Nasional (National Salvation Army

Association), PKM memberi sokongan yang akhirnya berjaya mempergunakan
mereka pula. Melalui eksploitasi semangat bencikan Jepun, pertubuhan ini telah
ditukar nama menjadi Liga Anti-Imperialis Malaya (The Malayan Anti-Imperialist
League). Tindakan-tindakan sedemikian menyebabkan ramai daripada pemimpin
mereka ditangkap termasuklah Setiausaha Agung dan Joseph Ducroix, ejen
Comintern di Singapura.
PKM berjaya berkembang dan mendapat sokongan kerana keadaan semasa itu.
Antaranya ialah berlaku kemelesetan pada tahun 1929 hingga awal 1930an,
peristiwa serangan Jepun ke atas Manchuria pada 1931 dan diikuti dengan
serangan dan penaklukan Jepun ke atas China pada tahun 1937. Seterusnya sikap
majikan yang “tidak mesra pekerja” atau dalam kata lain lebih menekan dan
mengeksploitasi tenaga pekerja. Meskipun setelah ekonomi pulih, majikan masih
enggan memberi layanan sepatutnya terutama dalam soal kenaikan gaji. Keadaan
ini memudahkan komunis menghasut untuk melakukan pemogokan di ladang getah,
lombong bijih dan arang batu. Seperti di Singapura, terdapat juga pemogokan di
Selangor dan Negeri Sembilan yang berakhir dengan pertempuran.
Faktor keempat ialah PKM berjayanya dipulihkan dengan munculnya tokoh baru
dalam memimpin parti. Pada tahun 1935, atas usaha Loi Teck seorang anggota
komunis yang berasal dari wilayah Annam telah berjaya menyusun kembali jentera
dan disiplin parti. Melaluinya, usaha menubuhkan beberapa organisasi tempatan
dan sel-sel dalam parti telah dapat diwujudkan. Tumpuan mereka masih lagi kepada
kaum buruh dan para pekerja. Kemuncak kejayaan Loi Teck ialah apabila dilantik
menjadi Setiausaha Agung parti pada tahun 1939.
Faktor kelima ialah PKM sekali lagi berusaha membuka pintu dan bekerja keras
menarik kaum lain menjadi anggotanya. Keadaan ini sejajar dengan perkembangan
semasa bila mana puak-puak radikal telah muncul di kalangan orang Melayu.
Meskipun tidak ada bukti jelas yang mereka menyertai PKM, namun arah tuju
perjuangan hampir sama iaitu menghalau penjajah dari bumi Tanah Melayu.
Walaupun tidak berjaya mendapat sokongan dari orang Melayu, PKM melalui
kerjasama dengan pihak bukan komunis telah berjaya menempatkan diri dalam
Barisan Bersatu Pergerakan Pembebasan Nasional (National Salvation Movement)
yang di tubuh khas bagi menentang imperialis Jepun. Melalui pertubuhan ini, PKM
berjaya mempertingkatkan lagi kekuatannya.
Faktor seterusnya ialah faktor semasa yang memerlukan wujudnya kerjasama
antara PKM dengan kerajaan. Keadaan ini berlaku kerana suasana politik semasa
itu. Akibat daripada meletusnya Perang Dunia Kedua (PDK) pada tahun 1939 di
Eropah, telah menjadikan komunis Rusia sebagai angkatan bersekutu kepada
Inggeris. Penglibatan Jepun pula dalam peperangan itu di sebelah Asia sekali lagi
memaksa kerajaan mencari jalan untuk berbaik-baik dengan PKM. Dengan itu,
kelihatan seperti PKM dan kerajaan saling memerlukan. Kerajaan perlukan PKM
untuk sama-sama mempertahankan Tanah Melayu yang akan diserang oleh Jepun,
dan PKM memerlukan pengiktirafan kerajaan demi untuk mengesahkan kewujudan
dan perjuangan mereka. Oleh yang demikian, apabila adanya arahan dari pihak
komunis antarabangsa, PKM telah akur dan memberi sokongan kepada kerajaan.
6.3

PKM DALAM ZAMAN JEPUN

Penglibatan Jepun dalam PDK dan slogan “Asia Untuk Asia” banyak memberi
manfaat kepada PKM. Ini dapat di lihat melalui beberapa peristiwa yang berlaku.
Setelah berjaya mendapat pemimpin yang berdedikasi, PKM pula berpeluang
bekerjasama dengan kerajaan. Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 8
Disember 1940, PKM menerima tawaran untuk bekerjasama bagi menentang Jepun.
Sebagai ganjaran, kerajaan akan melatih rekrut-rekrut baru pilihan PKM dalam
peperangan secara gerila atau gerakan bawah tanah. Intisari lain perjanjian ini ialah
(a)
Kerajaan akan membebaskan semua anggota PKM yang ditangkap dan
ditahan pada 15 Disember 1941.
(b)
PKM akan menyatukan semua rakyat bagi menentang Jepun dan
mempertahankan Tanah Melayu bersama British.
(c)
Membasmi semua gerombolan sayap kelima (Fifth Colummiist); ejen
musuh dan pembelot.
(d)
Semua anggota parti dan rakyat akan dilengkapi dengan senjata untuk
menentang kemaraan Jepun.
(e)
Menubuh pasukan gerakan bawah tanah bagi menentang Jepun
melalui keganasan.
Sama ada perjanjian ini membawa kerjasama sepenuhnya ataupun ada muslihat
lain dapat di lihat secara tidak langsung melalui perbincangan seterusnya. Sebagai
memenuhi perjanjian, PKM berjaya mengumpul 200 orang pemuda Cina yang
terpilih untuk dihantar ke Singapura dan dilatih di Sekolah Latihan Khas 101 (101
Special Training School). Kumpulan inilah yang kemudiannya menjadi pemangkin
(nucleus) kepada Kumpulan Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (Malayan
People’s Anti-Japanese Army – MPAJA). Isi kandungan lain perjanjian telah
diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat PKM pada 21 Disember 1941 setelah
anggota mereka dibebaskan oleh kerajaan pada 15 Disember 4.
Kekuatan dan kecekapan Jepun berperang tidak mampu diatasi oleh kerajaan dan
pasukan PKM. Setelah mendarat di Kota Bahru, Kelantan, pada 8 Disember dan
mengalahkan pertahanan kerajaan di Jitra, Kedah, menjadikan arah mara mereka ke
selatan melalui dua laluan semakin mudah. Akhirnya Jepun sampai ke Singapura
pada 8 Februari dan berjaya menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada 15
Februari 1942. Kemenangan Jepun hanya memberi kekalahan kepada kerajaan dan
tidak PKM. Melalui cawangan militannya iaitu MPAJA, komunis semakin mendapat
perhatian dan sokongan masyarakat Cina. Kelompok yang memberi sokongan kuat
ialah mereka yang teraniaya oleh keganasan Jepun dan terpaksa melarikan diri ke
pinggir-pinggir hutan untuk meneruskan kehidupan.
Sepanjang tempoh tiga tahun penjajahan Jepun, MPAJA telah berjaya
menambahkan keanggotaan mereka menjadi seramai 7000 orang. Sokongan ini
tidak mengambil kira lagi pihak yang memberi sokongan dan simpati. Dalam usaha
menentang Jepun, didapati MPAJA sering mengelak daripada mencetuskan
peperangan secara berhadapan atau terbuka bagi mengelakkan kemalangan jiwa
dan kerugian logistik. Tumpuan diberikan kepada pengumpulan maklumat dan
membuat serang hendap. Bagi pihak PKM pula mereka meneruskan usaha
memantapkan organisasi dan merekrut ahli bagi menentang Jepun dan
kemudiannya sebagai persiapan menghadapi Inggeris apabila mereka kembali
semula.

PKM dan MPAJA mendapat rangsangan baru di akhir penjajahan Jepun apabila
kerajaan melancarkan perang gerila melalui Pasukan 136 (Force 136) 5 yang mula
beroperasi pada Mei 1943. Pada peringkat ini, operasi mereka hanya tertumpu
kepada usaha untuk mendapat dan mengumpulkan maklumat. Pihak pemerintah
Force 136 di Colombo begitu bangga dengan maklumat dan perjuangan yang telah
dibuat oleh MPAJA. Sebagai satu tindakan susulan hasil daripada perundingan
dengan Loi Teck dan Chin Peng (pemimpin PKM negeri Perak), pihak kerajaan dan
Force 136 telah bersetuju untuk melatih gerila MPAJA dan memberi bantuan
makanan serta peralatan logistik. Melihat kepada perkembangan semasa,
Pemerintah British Asia Tenggara (The British South East Asia Command)
menetapkan supaya dapat menduduki kembali Tanah Melayu menjelang bulan
November 1945.
Dengan kehadiran Force 136, MPAJA banyak melakukan serangan ke atas Jepun.
Keadaan ini bukan sahaja memperkuatkan kekuatan mereka malah telah
menambahkan lagi pengalaman anggotanya dari segi teknik dan taktik peperangan
gerila. Setiap kejayaan dalam serangan akan menambahkan lagi nama baik dan
sokongan masyarakat kepada MPAJA, terutama daripada kalangan yang amat
bencikan Jepun. Oleh yang demikian, penjajahan Jepun telah dapat memantapkan
lagi organisasi PKM dan cawangan militannya, MPAJA. Namun satu keadaan baru
telah muncul apabila keanggotaannya dimonopoli oleh orang Cina (terlalu sedikit
militan Melayu yang terlibat dalam MPAJA setelah pendudukan Jepun) dan pihak
yang dikatakan menjadi tali barut Jepun ialah orang Melayu. Sebenarnya mereka ini
ditugaskan oleh Jepun untuk menjadi polis ataupun polis rahsianya yang dikenali
sebagaikempetai. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kehidupan yang susah dan
berlakunya penindasan, maka ramai juga yang sanggup menjadi perisik upahan
demi sesuap nasi atau jaminan kehidupan semasa. Inilah kemudiannya memberikan
satu kesan yang buruk kepada Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah.
6.4

SEBELUM PERISTIWA DARURAT

6.4.1

Pengalaman Zaman Kekosongan

PKM dan MPAJA mendapat banyak pengalaman yang berguna dan membantunya
semasa zaman Jepun. Kekalahan Jepun akibat daripada serangan bom atom di
Hiroshima pada 6 Ogos dan serangan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 menyebabkan
berlakunya zaman kekosongan di Tanah Melayu apabila tentera Jepun menyerah
kalah dan pentadbiran Inggeris belum lagi sampai kerana peperangan ditamatkan
dalam masa yang tidak dijangka. Melihat kepada keadaan yang sedemikian PKM
dan MPAJA telah merayakan kemenangan. Gerila yang berpangkalan di hutan telah
keluar ke bandar-bandar bagi merayakan kemenangan. Mereka juga bertindak
menawan beberapa balai polis dan melakukan kekejaman membunuh orang Melayu
bagi membalas dendam terhadap mereka yang dianggap bersubahat dengan Jepun.
Akhirnya berlaku tindak balas yang menyebabkan terjadinya rusuhan kaum di
beberapa tempat di Tanah Melayu seperti di Kampong Bekor, Manong, Kuala
Kangsar dan Sungai Maniak di Perak serta di Batu Pahat, Johor 5. Suasana ini
berlangsung kira kira dua minggu. Peristiwa inilah yang telah menyebabkan imej
PKM tercemar di kalangan orang Melayu yang akhirnya tidak mendapat sokongan
mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka berbelah bagi sama ada untuk

menentang kedatangan semula Inggeris atau memberikan kerjasama. Akhirnya,
PKM memutuskan untuk bekerjasama dan meneruskan perjuangan kemerdekaan
Tanah Melayu melalui saluran perlembagaan atau politik.
Ketibaan Pentadbiran Tentera British (BMA) pada September 1945 telah diterima
semula oleh PKM dan penduduk. Tugas utama BMA ialah untuk memulihkan
kembali keamanan dan ketenteraman rakyat. Bagi tujuan itu, BMA telah meminta
pasukan MPAJA yang dianggarkan seramai 10,000 orang dibubarkan pada 1
Disember 1945. Mereka diberi ganjaran wang sebanyak RM300 seorang tanpa
mengira pangkat dan dijanjikan untuk dibantu mendapatkan pekerjaan bagi
memulakan penghidupan baru. Ramai yang bersetuju menyerah diri dan banyak
senjata serta peralatan logistik yang dibekalkan oleh kerajaan semasa Jepun
diserah kembali. Namun begitu masih ramai juga yang tidak mahu menyerah diri dan
banyak juga peralatan ketenteraan mereka yang masih tersimpan di dalam hutan.
Kumpulan ini adalah pasukan rahsia PKM yang tidak pernah terlibat dengan
sebarang kerjasama. Hal keadaan ini haruslah difahami kerana PKM mempunyai
muslihat tersendiri sejak mereka bekerjasama pada tahun 1940 lagi.
Pembubaran MPAJA tidak bermakna PKM telah memutuskan hubungan mereka
sesama sendiri. Kelompok ini masih disatukan melalui Persatuan Bekas Tentera
Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA Ex-Comrades Association). Matlamatnya
ialah bagi menjaga kebajikan ahli dan dalam masa yang sama untuk terus
meletakkan mereka di bawah pengawasan dan pengaruh parti.
6.4.2

Zaman Malayan Union dan Pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu

Pelaksanaan Malayan Union bermakna kerajaan mahu meneruskan cengkamannya
terhadap Tanah Melayu dalam bentuk penjajahan yang lebih nyata. Ini bermakna
kerajaan akan mengetepikan PKM yang mengharapkan untuk berkongsi kuasa
memerintah. Inilah harapan mereka semasa memberi kerjasama awal dan
menerima kedatangan semula kerajaan. Tindakan sedemikian telah menyebabkan
PKM memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam arena politik tanah air.
Melalui “strategi bandar” dari model Revolusi Rusia tahun 1917 dan usaha
menguasai pertubuhan buruh, PKM melancarkan gerakannya sebagai sebuah parti
politik yang sah. Dengan pemulihan kesatuan-kesatuan sekerja yang digabungkan di
bawah Kesatuan Sekerja Umum (General Labour Union), PKM memainkan semula
peranan lama mereka. Dari strategi pentadbiran pula, PKM mengguna serampang
dua mata dengan meletakkan Loi Teck dan Chin Peng sebagai pemerintah gerakan
bawah tanah, Liew Yit sebagai ketua jawatankuasa politik, dan Lau Yew mengetuai
jawatankuasa tentera yang menguruskan pentadbiran di ibu pejabat parti Kuala
Lumpur. Dalam masa yang sama, PKM meneruskan perhubungan dengan BMA.
Dengan ini usaha tetap diteruskan bagi mendapat sokongan masyarakat menerusi
organisasi depannya Malayan Democratic Union (MDU) yang ditubuhkan pada 21
Disember 1945. Dengan kerjasama organisasi politik lain dan kesatuan sekerja,
PKM telah memperkukuhkan badan utamanya Barisan Bersatu untuk menuntut
kemerdekaan. PKM mengharapkan BMA akan berkompromi dengan tuntutan
mereka setelah menghentikan perjuangan secara militan bagi menegakkan Republik
Komunis Tanah Melayu.

Apabila dilancarkan “kertas putih” mengenai Malayan Union (MU) pada bulan
Januari 1946, MDU menerimanya kerana ada syarat longgar mengenai
kewarganegaraan tetapi mendesak kerajaan memasukkan sama Singapura. Apabila
kerajaan terpaksa menangguhkan MU atas desakan orang Melayu dan tidak
menerima cadangan MDU serta tidak membawa mereka dalam perundingan
perlembagaan baru, PKM bertindak dengan mencadangkan di tubuh satu Barisan
Bersatu Baru bersama-sama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Dewan
Perniagaan Cina bagi menentang kerajaan. Hasilnya tertubuhlah Majlis Tindakan
Bersama (Council of Joint Action) pada 14 Disember 1946 yang kemudiannya diberi
nama Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA). Tujuan PMCJA adalah
berunding dengan kerajaan mengenai isu memasukkan Singapura, taraf kerakyatan
dan hak menubuhkan kerajaan sendiri.
PMCJA kemudiannya bergabung dengan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) yang
kemudiannya membentuk gabungan PMCJA-PUTERA. PUTERA adalah hasil
daripada gabungan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf
(API) yang bergabung dengan PKMM yang keluar dari PMCJA. Atas faktor
kewangan, akhirnya PUTERA terpaksa bergabung semula dengan PMCJA. Dalam
gabungan ini, peranan PKM ialah meresapkan ideologi mereka untuk membentuk
sebuah negara merdeka berideologi komunis. Tamparan hebat pada gabungan ini
apabila kerajaan menolak Cadangan Perlembagaan Rakyat yang mereka
kemukakan pada bulan Oktober 1947 agar Tanah Melayu diperintah secara
demokrasi. Kegagalan ini merupakan kegagalan strategi komunis untuk mendapat
kuasa memerintah negeri ini.
PKM terpaksa mengambil strategi kedua iaitu menggunakan pertubuhan buruh dan
kesatuan sekerja yang berada di bawah gabungan Pan Malayan Federation of Trade
Unions (PMFTU). Mereka telah mendalangi beberapa pemogokan di Tanah Melayu
dan Singapura dengan menghasut pekerja membuat tuntutan kepada majikan yang
kebanyakannya orang Eropah. Kerajaan pula bertindak balas dengan mengawal dan
membuat sekatan terhadap kesatuan-kesatuan dan menuduh PKM menjadi dalang
dan penggeraknya. Atas kekecewaan tidak dapat bergerak bebas lagi dan tidak
mahu ditangkap, seramai kira-kira 3,000 anggota komunis terpaksa melarikan diri ke
hutan. Mereka telah melancarkan tindakan propaganda, intimidasi (ugutan) fizikal,
pemerasan, kekacauan atau gangguan, penganiayaan (sabotaj) dan pembunuhan.
Perang gerila di hutan juga dilancarkan. Tindakan ini dibuat atas arahan komunis
antarabangsa yang bersidang di Culcutta pada 19 – 25 Februari 1948 dan
sebelumnya di Prague pada 1947 dan di London pada awal 1948, yang menetapkan
supaya mencetuskan revolusi bagi menentang kezaliman imperialis dan golongan
reaksioner di setiap negeri di Asia.
Satu lagi faktor yang menggerakkan tindakan revolusi ialah pertukaran pucuk
pimpinan PKM dari Loi Teck kepada Chin Peng pada bulan March 1947. Pada masa
itu beliau ialah Pengerusi PKM negeri Perak yang bersikap militan kerana
peranannya dalam perang gerila semasa Jepun dan bersama Force 136. Satu lagi
faktor ialah pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 yang
merupakan satu tamparan hebat dan kekalahan kepada perjuangan golongan kiri
yang menjadi dokongan PKM.

Sebagai memenuhi arahan yang ditetapkan di Culcutta, Chin Peng telah
mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Singapura pada 21 March 1948.
Keputusannya difahamkan ialah menubuhkan Republik Soviet Komunis Tanah
Melayu secara keganasan dan bersenjata. Tarikh pelancaran pemberontakan akan
ditentukan berdasarkan perkembangan dan peristiwa semasa. Namun usaha-usaha
awal telah dijalankan sebagaimana yang dinyatakan dalam perbincangan di atas.
Menjelang bulan Jun 1948, keadaan menjadi semakin tegang. Tindakan mogok dan
ancaman keselamatan semakin serius. Dilaporkan dalam satu sidang akhbar
Pesuruhjaya Tinggi Sir Edward Gent pada 13 Jun menyatakan telah berlaku sepuluh
kejadian pembunuhan dan tiga kes serangan ke atas pengurus ladang getah di
seluruh negara dalam beberapa hari ini. Dianggarkan dari bulan Oktober 1945
hingga Disember 1947, sebanyak 191 kejadian pembunuhan berlaku dan dalam
masa enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 kejadian lagi. Kejadian begini
berterusan. Pada 16 Jun, tiga orang peladang Inggeris telah dibunuh di Sungai
Siput, Perak. Atas desakan tuan punya ladang dan juga lombong-lombong yang
menjadi tumpuan utama gerakan komunis menyebabkan Pesuruhjaya Tinggi
mengisytiharkan darurat6 ke seluruh negara pada hari yang sama berpandukan
undang-undang BMA (Essential Regulation Proclamation). Apabila Rang Undangundang Peraturan Darurat (Emergency Regulation Bill) diluluskan oleh Sidang Majlis
Perundangan (Legislative Council) pada 5 Julai 1948, undang-undang BMA di atas
telah dibatalkan.
6.5

PERISTIWA DARURAT8

6.5.1

Kempen Awal

Undang-undang darurat memberi banyak kuasa kepada kerajaan. Pada 23 Julai
1948 kerajaan mengharamkan PKM dan membuat tangkapan besar-besaran
terhadap ahli, penyokong dan pihak yang bersimpati dengannya. Tidak kurang
daripada 1000 orang berjaya ditangkap dan kerajaan mengenakan hukuman mati
kepada mereka yang menyalahgunakan senjata api. Dalam tangkapan besarbesaran itu, tertangkap sama Liew Pit yang menjadi wakil Jawatankuasa Pusat
PKM. Keadaan ini menyebabkan bertambah ramai ahli PKM melarikan diri ke hutan
dan bermulalah perjuangan bersenjata secara rasmi apabila PKM mengisytiharkan
‘Perang Pembebasan Anti-British’.
Dalam keadaan tidak menduga yang kerajaan akan bertindak sebegitu keras dan
persiapan yang masih belum lengkap, PKM masih lagi berjaya menghimpunkan
kembali anggota-anggota MPAJA. Dengan kekuatan seramai kira-kira 12,000 orang,
PKM berjaya membentuk sebanyak lapan rejimen yang dinamakan Tentera Rakyat
Anti-British (Malayan People Anti-British Army – MPABA). Nama ini ditukarkan
menjadi Tentera Pembebasan National Malaya (MRLA) pada bulan Februari 1948.
Bagi mendekatkan mereka dengan rakyat, PKM membentuk sel-sel yang dikenali
sebagai Min Yuen di kalangan anggota komunis. Mereka akan bertugas menjadi
ejen untuk mendapatkan bekalan makanan, rekrut baru dan juga maklumat dari
rakyat. Perkara ini amat perlu kepada perjuangan kerana kuasa darurat
memperuntukkan banyak kuasa dan kelebihan bagi kerajaan bertindak.
Mengikut peraturan darurat, kerajaan diberi kuasa:

(a)
Menahan sesiapa sahaja yang disyaki tanpa bicara dalam tempoh dua
tahun.
(b)
Melarang sebarang penulisan, penerbitan dan penjualannya, atau
melarang menyebarkan mana-mana dokumen, poster, sepanduk yang pada
pandangan polis menimbulkan suasana menghasut.
(c)
Kerajaan boleh menduduki atau menggunakan mana-mana bangunan
atau kenderaan bagi tujuan menjaga keamanan.
(d)
Membuat kawalan ke atas semua laluan jalan raya.
(e)
Menyurai sebarang bentuk perhimpunan.
(f)
Menguatkuasakan perintah berkurung.
(g)
Menangkap sesiapa sahaja yang disyaki tanpa waran.
(h)
Mengenakan hukuman mati kepada mereka yang menyalahgunakan
senjata api.
(i)
Menghukum mana-mana individu yang sengaja membuat laporan palsu
kepada polis.
(j)
Merampas sebarang perniagaan yang keuntungannya disalurkan
kepada perjuangan komunis.
(k)
Menangkap semua penduduk yang kawasannya disyaki sebagai tempat
menyalur sumber makanan, tenaga dan maklumat keselamatan kepada komunis.
(l)
Kerajaan boleh mengguna sebarang kekerasan terhadap rakyat yang
tidak patuh dengan arahan penggunaan senjata api atau bagi tujuan untuk
menangkapnya.
(m)
Memindahkan rakyat yang menggunakan atau menduduki tanah kerajaan.
Melihat kepada keadaan di atas, kelihatan PKM sedang berjuang menentang
kerajaan Inggeris dan juga sebahagian besar rakyat yang telah dikepung dengan
undang-undang darurat yang menyekat pergerakan mereka. Sebagai satu tindakan
susulan agar perjuangan menubuhkan negara komunis di Tanah Melayu mencapai
matlamatnya, simpati, sokongan, bantuan dan penyertaan orang Melayu amat
diperlukan. Kesilapan masa lalu mahu diperbetulkan dengan mendekati kembali
orang Melayu. Untuk tujuan itu, satu rejimen khas untuk orang Melayu ditubuhkan. Ia
dinamakan Rejimen Kesepuluh yang beroperasi di Lubuk Kawah, Temerloh,
Pahang. Angka sepuluh itu diambil dari tarikh 10 Zulhijah (Hari Raya Korban)
sempena dengan tarikh penubuhannya. Rejimen ini diletakkan di bawah pimpinan
Abdullah C.D., dan Rashid Maidin.
6.5.2

Tindakan Awal Kerajaan

PKM melancarkan operasi secara gerila. Mereka membuat gangguan, sabotaj dan
keganasan, ugutan atau percubaan membunuh kepada penduduk ladang, pekerja
lombong dan penduduk di kawasan terpencil. PKM juga sering melakukan serang
hendap ke atas pusat kawalan kecil keselamatan mahupun semasa pasukan
keselamatan menjalankan tugas rondaan. Operasi mereka adalah di kawasan
terpilih tetapi menyeluruh. Di samping membuat gangguan kepada penduduk dan
kerajaan, PKM meneruskan usaha mendapatkan sokongan, makanan, logistik,
tenaga dan maklumat. Sebagai tindak balas terhadap operasi yang dilancarkan oleh
PKM, kerajaan telah melancarkan beberapa tindakan mencegah, membendung dan
mengawal agar ideologi dan pengaruh komunis dapat disekat dan tidak
berkembang.

1.

Memperkuatkan Pasukan Keselamatan

Keganasan yang dilakukan oleh PKM perlu dibendung bagi mengembalikan
keyakinan rakyat. Pasukan keselamatan perlu diperkemas dan ditambah
keanggotaan serta peralatannya. Ini sejajar dengan dasar keselamatan pada masa
itu sebagai dasar bertahan kerana masalah kekurangan kekuatan anggota,
kelengkapan logistik dan persenjataan. Bagi menambahkan kemampuan,
kecekapan dan moral anggota polis yang seramai kira-kira 10,000 orang pada masa
itu, mereka hanya dikerah menjalankan tugas untuk mempertahankan kawasan
bandar atau kampung sahaja daripada diserang oleh komunis. Manakala pasukan
tentera infantri yang sebanyak 10 batalion ditugaskan memburu musuh di pinggir
atau dalam hutan. Ini bertujuan untuk menyekat jaringan perhubungan dan
komunikasi serta memusnahkan pangkalan yang telah diwujudkan. Dalam masa
yang sama untuk menghalang kewujudan pangkalan baru.
Bagi memenuhi keperluan tugas ini, kerajaan telah menambahkan kekuatan
pasukan polis dan juga tentera. Pada akhir tahun 1949, kekuatan polis telah
meningkat menjadi seramai 47,000 orang. Dari jumlah tersebut seramai 17,000
adalah anggota polis biasa (termasuk 3500 EPC) manakala baki 30,000 adalah
pasukan Polis Khas (Special Constable – SC) yang dibentuk pada 26 Jun 1948.
Pasukan tentera juga ditambah dan diperbesarkan kekuatan. Sebanyak tiga batalion
Pasukan Pengawal telah dibawa dari England untuk memperkuatkan kawalan
keselamatan. Sehingga pada tahun 1950, dianggarkan seramai 32,000 orang
tentera telah ditugaskan di Tanah Melayu dan Singapura bagi tujuan tersebut.
Selain daripada menambahkan kekuatan dari segi jumlah anggota keselamatan,
kerajaan juga berusaha mempertingkatkan banyak perkara dalam tugas
keselamatan. Antaranya ialah meningkatkan kualiti kecekapan anggota. Tempoh
latihan anggota rekrut telah ditambah dari enam bulan kepada lapan bulan bagi polis
biasa. Ini bertujuan untuk membolehkan mereka mendapat latihan yang secukupnya
berkaitan taktik melawan musuh secara perang gerila. Sistem perhubungan
wayarles diperluaskan. Di samping itu, balai polis, pondok dan pos-pos baru
diperbanyakkan di seluruh negara.
Satu lagi perkara penting dalam mempertingkatkan kekuatan pasukan keselamatan
ialah terbentuknya Pasukan Sempadan (Frontier Force) yang bertugas bagi
mengawal sempadan Tanah Melayu-Thailand. Tugas utama pasukan ini ialah untuk
mengawal sempadan daripada menjadi tempat penyeludupan senjata dan
mengawal penduduk daripada memberi kerjasama dengan komunis. Sebagai
tindakan susulan, kerajaan telah mengadakan perjanjian dengan kerajaan Thailand
bagi kerjasama menentang musuh bersama komunis. Kedua-dua kerajaan telah
bersetuju membenarkan pasukan polis masuk ke kawasan jiran bagi tujuan
memburu komunis sehingga ke tempat yang dihadkan. Perkara yang tidak kurang
juga pentingnya dalam menangani komunis ialah tindakan kerajaan melaksanakan
rancangan Pendaftaran Kebangsaan bermula pada bulan September 1948.
Rancangan ini telah dilakukan dalam tempoh dua tahun dengan mencapai kejayaan.
Dengan ini gerakan gerila komunis peringkat pertama telah dapat dikawal.
Keupayaan kerajaan mengawal tindakan keganasan PKM bukanlah terletak sematamata kepada faktor kekuatan pasukan keselamatan. Ia berkait rapat dengan

tindakan komunis itu sendiri juga. Tindakan keganasan yang mereka lakukan
terhadap masyarakat di ladang, lombong atau di kampung terpencil telah
menyebabkan perjuangan mereka dibenci dan ditakuti. Lebih-lebih lagi tumpuan
mereka ialah kepada orang Melayu dan majoriti anggota PKM pula terdiri daripada
kaum Cina. Sentimen ini telah mengurangkan sokongan kepada mereka yang hanya
mendapat sokongan satu kaum sahaja. Walau bagaimanapun sentimen ini juga
berbalas apabila pasukan keselamatan mengambil tindakan yang keras terhadap
penduduk yang disyaki dan tidak dapat memberi kerjasama yang memuaskan
kepada kerajaan. Wujud juga sentimen anti-kekerasan yang dilaksanakan oleh
kerajaan, terutamanya terhadap orang Cina di pinggir hutan atau kawasan
pendalaman. Misalnya antara bulan Jun 1948 hingga Disember tahun yang sama,
seramai 5097 orang telah ditahan tanpa bicara atau pertuduhan yang jelas. Kerajaan
juga telah memusnahkan perkampungan Kachau di Selangor dan Pulai di
pendalaman Kelantan kerana mereka tidak memberi kerjasama kepada pasukan
keselamatan. Secara kebetulan pula majoriti anggota pasukan keselamatan terdiri
daripada kalangan orang Melayu. Jadilah keadaannya orang Cina membenci
kerajaan, dan orang Melayu membenci komunis. Namun begitu, tindakan kerajaan
memperkuatkan pasukan polis bagi mengawal bandar dan kampung serta tindakan
tentera yang sentiasa memburu anggota komunis di pinggir dan di dalam hutan telah
menjadikan kedudukan mereka semakin terancam dan terputus hubungan dengan
massa. Dengan itu, PKM terpaksa mengurangkan gerakan keganasan mereka.
2.

Rancangan Briggs

Leftenan General Sir Harold Briggs ialah Pengarah Gerakan Tanah Melayu yang
dilantik pada bulan April 1950. Beliau berpendapat bahawa komunis tidak boleh
dihapuskan selagi adanya sokongan rakyat kerana gerakan PKM melibatkan
ideologi dan kepercayaan. Baginya gerakan ketenteraan semata-mata tidak akan
mampu mengatasi keganasan selagi mereka mendapat sokongan rakyat dari segi
tenaga, makanan, logistik dan maklumat pergerakan pasukan keselamatan. Untuk
itu beliau telah memperkenalkannya Rancangan Briggs bagi mengawal sokongan
massa dan memutuskan hubungan mereka dengan komunis. Rancangan ini
merupakan satu usaha bersepadu pasukan keselamatan meneruskan pemburuan
dan memusnahkan komunis dan dalam masa yang sama rakyat “dimenangi hati dan
perasaan” mereka (to win the hearts and minds of the people) untuk memberi
sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan. Untuk itu beberapa langkah yang
telah dilaksanakan seperti memperkenalkan rancangan kampung baru,
memperkukuhkan bidang perisikan dan beberapa rancangan lain yang akan
dibincangkan seterusnya.
(a)

Memperkenalkan Rancangan Kampung Baru

Konsep ini ialah menempatkan penduduk Cina yang tinggal bertaburan di pinggirpinggir hutan atau perkampungan ke satu kawasan yang boleh dikawal. Ia
dilaksanakan melalui undang-undang penempatan dalam Peraturan Darurat
(Emergency Regulations). Pemindahan dan penempatan semula ini telah dilakukan
secara besar-besaran dan segera di seluruh negara. Penempatan semula ini
melibatkan lebih 650,000 penduduk dengan ditempatkan ke 600 petempatan baru
yang dikenali sebagai Kampung Baru. Petempatan ini telah memakan masa selama

empat tahun dengan belanja AS$44.3 juta. Selain diberi kawalan, kampung ini diberi
kemudahan asas kawasan perumahan dan kemudahan sosial yang diperlukan.
Selain daripada mengumpulkan penduduk yang bertaburan di pinggir hutan,
kerajaan juga mengumpulkan pekerja ladang dan lombong yang berselerak di
kawasan baru yang mudah diberi kawalan atau perlindungan di tempat mereka
bekerja. Misalnya, di kawasan ladang, mereka dikumpulkan dekat dengan kawasan
jalan laluan utama masuk ke ladang dan tidak jauh dari kawasan pentadbiran.
Manakala pekerja lombong pula mereka di tempatkan dekat dengan bandar atau
pekan yang tidak jauh dari kawasaan lombong mereka. Dengan petempatan yang
sebegini, menyebabkan perhubungan antara mereka dengan ejen, penyokong atau
komunis sendiri dapat dikurangkan dan akhirnya terputus sama sekali kemudiannya.
(b)

Memperkukuhkan Bidang Perisikan

Dalam situasi berperang atau melawan gerila, perisikan merupakan alat terpenting
bagi menangani musuh. Pada awal zaman darurat, badan perisikan Malayan
Security Service (MSS) amat kecil dan kekurangan kakitangan. Ia juga sering
bercanggah peranan dengan Jabatan Siasatan Jenayah (CID). Dengan itu, badan ini
telah dibubarkan kemudiannya. Semua tugas perisikan dan siasatan diserahkan
kepada CID. Namun CID lebih banyak memberi tumpuan kepada tugas siasatan dan
membasmi jenayah. Bagi menangani masalah ini, Pengarah Gerakan telah melantik
Guy C. Madoc mengetuai badan perisikan yang dinamakan Cawangan Khas
(Special Branch – SB). Badan ini telah dijadikan sebahagian daripada pasukan polis
yang tugasnya mengumpul, mengklasifikasikan, menilai dan menyebarkan maklumat
komunis dan hal-hal keselamatan kepada pihak berkenaan.
(c)

Menubuhkan Pasukan Kawalan Keselamatan Tambahan

Selain daripada menubuhkan pasukan SC, kerajaan juga telah menubuhkan
Pasukan Kawalan Ka