PRODUK PELANCONGAN DAN BUDAYA DI

PRODUK PELANCONGAN DAN BUDAYA DI GEORGETOWN

Menurut sejarah, Bandaraya George Town secara rasminya ditubuhkan oleh Sir Francis Light
pada tahun 1786. Keunikan bandaraya berkeluasan 109.38 hektar yang dihuni berbagai kaum
ini masih dapat dilihat kepada fabrik-fabrik kawasan tradisional yang masih dipelihara seperti
struktur bangunan-bangunan rumah kedai, enklaf-enklaf kediaman kaum dan institusiinstitusi kebudayaan dan keagamaan. Selain daripada bangunan kolonial, bandar ini
dicatatkan mempunyai lebih daripada 1700 bangunan bersejarah dan 5000 unit rumah kedai
tradisional yang mempunyai nilai warisan yang unik.
Kewujudan tinggalan warisan yang mempunyai nilai estetika, sejarah, saintifik dan
sosial ini membolehkan Bandaraya Georgetown disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia
oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO) pada tahun 2008. Kepelbagaian cara hidup dan budaya masyarakat di bandar ini
juga merupakan salah satu produk pelancongan yang boleh dipasarkan kepada pelancong.
Inisiatif untuk mempelbagaikan produk pelancongan ini termasuk dengan memperluaskan
usaha membaik pulih kawasan perniagaan tradisional seperti restoran, rumah kedai, bangunan
komersial, dan bangunan warung kopitiam yang telah bertapak dan beroperasi sejak lebih 100
tahun yang lalu.
Signifikan warisan dan kebudayaan pelancongan terhadap peranan bandar ditonjolkan
melalui penjenamaan sejarah perancangan bandar, susun atur zon kawasan guna tanah, seni
bina bangunan dan fungsi reka bentuk pembandarannya yang unik. Hal ini merujuk kepada
penyesuaian semula penggunaan bangunan-bangunan bersejarah yang menghasilkan

kesamaan fungsi dalam bentuk alam bina seperti kafe, kedai-kedai cenderamata, kedai-kedai
barangan, pusat perniagaan dan lain-lain aktiviti perdagangan yang beroperasi ketika ini. Hal
ini tidak terkecuali melalui penonjolan konsep pelancongan pekan warisan etnik seperti
“Little India” di Lebuh Chulia dan “Chinatown” di Lebuh Campbell.

Kawasan perniagaan warisan di
Chinatown, Georgetown

Kawasan perniagaan warisan di Little
India, Georgetown

Selari dengan fenomena baru iaitu pemuliharaan warisan bandar dan pelancongan
komersial, produk pelancongan ini dilihat sebagai strategi terhadap pembangunan semula
sumber sejarah ke arah pemeliharaan ikon bangunan kolonial bersejarah dan seterusnya
meningkatkan imej sektor perniagaan di kawasan tersebut. Lokasi pelancongan di
Georgetown yang terlibat dalam menonjolkan dan membangunkan imej berasaskan konsep
aktiviti komersial adalah seperti Lebuh Campbell, Rope Walk, Pasar Chowrasta, Lorong
Cheapside di Lebuh Chulia dan disekitar Lebuh Acheh - Lebuh Armenian. Kawasan-kawasan
ini kesemuanya terletak di dalam zon pelancongan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang
merupakan kawasan tumpuan penduduk dan pelancong.

Keistimewaan kawasan-kawasan ini adalah merupakan tempat perniagaan tradisional
yang telah bertapak sejak tahun 1930an. Aktiviti harian, rutin perniagaan, sosiobudaya dan
sosioekonomi masyarakat setempat merupakan salah satu produk pelancongan yang menjadi
elemen utama kepada penjenamaan dan promosi imej Georgetown itu sendiri. Berbeza
dengan fungsi pembandaran di bandar lain, nilai warisan kebudayaan di Georgetown
ditonjolkan secara fizikal (tangible) dan bukan fizikal (intangible). Kelestarian pelancongan
bandar di bandaraya ini dikekalkan melalui kepelbagaian aktiviti perdagangan mengikut etnik
penduduk, seni bina yang unik termasuk bangunan keagamaan dan penganjuran acara atau
festival perayaan.