TV AlHijrah Inovasi Baru Dalam Landskap

TV AlHijrah: Inovasi Baru Dalam Landskap Dunia Penyiaran Islam
Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani
Prof. Dr. Musa Abu Hassan
Fauziah Hassan
Suria Hani A. Rahman
Universiti Sains Islam Malaysia
Abstrak
Penubuhan stesen TV AlHijrah pada tahun 2009 ternyata telah membawa satu inovasi
baru dan mewarnai dunia penyiaran dengan berkonsepkan Islamik. Pembaharuan yang
dinamik ini mencetuskan fenomena baru kepada seluruh dunia dengan pendekatan
falsafah penyiaran yang berorientasikan Islam dan kandungan TV program yang telah
disusun dan disiarkan untuk tontonan masyarakat. Konteks tajdid ataupun ‘renewal’
dalam media penyiaran yang dibawa oleh stesen TV ini sekaligus mengangkat imej
positif Islam ke seluruh pelusuk dunia. Walaupun penubuhan stesen TV ini masih baru
namun konsep Islam yang diperkenalkan nyata memberi perubahan besar dalam
landskap dunia penyiaran. Penelitian awal juga menunjukkan terdapat perbezaan di
antara konsep penyiaran yang dibawa oleh TVAlHijrah dan stesen televisyen lain yang
sedia ada. Justeru, kertas konsep ini akan menelusuri sejarah penubuhan TV AlHijrah
serta meneliti objektif dan idea yang cuba dibawa oleh stesen ini. Selain itu, kajian ini
juga akan cuba merungkai segala isu, cabaran dan pendekatan dakwah Islamiah yang
dibawa oleh TV AlHijrah dalam usaha mencipta kreativiti baharu untuk mengubah

landskap media penyiaran demi kebaikan dan pembangunan ummah sejagat.
Kata kunci : TV AlHijrah, penyiaran Islam, media dakwah
Pendahuluan
Selari dengan konsep al thabat (tetap) dan murunah (fleksibel) yang dianjurkan oleh Islam, penubuhan
media penyiaran yang berkonsepkan Islam dilihat sebagai satu perubahan yang mengikut peredaran masa
dan sesuai di alaf 21 ini (Zulkiple Abd Ghani, 2009). Media penyiaran Islam dilihat semakin mendapat
perhatian dan mencetuskan fenomena positif di kalangan masyarakat. Penubuhan media penyiaran yang
berkonsepkan Islam ini juga dilihat sebagai satu platform untuk mengembangkan dan memberi alternatif
baru kepada proses penyampaian dakwah kepada masyarakat. Melalui siaran rancangan televisyen yang
berkonsepkan dakwah ini akan dapat membantu memberi kefahaman mengenai Islam dengan lebih
mendalam dan mudah melalui bentuk audiovisual kepada audien.
Di Yemen, Menteri Penerangan, Hassan al-Lawzi menyatakan bahawa Yemen sedang dalam usaha untuk
melancarkan saluran al-Eman yang mana berfungsi untuk mengangkat imej Islam daripada aspek moral
dan nilai. Dalam ucapannya di salah satu seminar yang bertajuk ‘Islamic Press and Horizons of Media
Work’, beliau menyatakan bahawa objektif utama saluran al-Eman adalah untuk menyebarkan Islam dan
memberi kesedaran tentang Islam serta membincangkan bahawa Islam sebenarnya bukan agama yang
menyeru kepada keganasan dan bersifat fanatik (P. Quereshi, 2009).
1

Seperti yang tertulis dalam Surah Al Imran ayat 104, Islam menganjurkan untuk semua penganutnya agar

menyeru kepada kebaikan dan membuat makruf serta meninggalkan segala yang dilarang. Oleh itu, di era
ini dengan kelebihan teknologi yang semakin meluas telah secara tidak langsung membantu untuk
mengajak manusia melakukan kebaikan dan sekaligus menyampaikan dakwah melalui media sama ada
media cetak ataupun elektronik. Berdakwah melalui media bukanlah satu perkara yang baru dan semua
masyarakat Islam perlu mengambil peluang ini untuk menyebarkan kebaikan dan memupuk nilai-nilai
murni sama ada melalui tulisan, maya atau audiovisual.
Justeru, program-program keislaman di televisyen yang berbentuk dokumentari dan bual bicara memberi
peluang kepada para penonton untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel yang diundang dan
menganalisa intipati yang disampaikan dengan lebih mudah. Lebih menarik lagi, rancangan sebegini
sudah semakin mendapat tempat di hati penonton dan meraih rating yang tinggi.
Menurut Mohd Nasran Mohamad (2009) rancangan-rancangan televisyen yang berbentuk seperti berita,
hal ehwal semasa, rancangan berbentuk ilmu pengetahuan, agama dan juga hiburan dan kesenian yang
selari dengan syariat Islam dikategorikan sebagai siaran yang membawa kepada kebaikan.
Dalam hal ini, Dr. Muhyiddin Abdul Halim (1984) dalam Mohd Nasran Mohamad (2009), menegaskan
media Islam berperanan untuk menggalas tanggugjawab dan matlamat seperti yang berikut:
a) Memantapkan media massa ummah dengan memberi kefahaman hakikat agama Islam untuk
melindungi masyarakat Islam dari segi kejahilan terhadap ajaran agama.
b) Membentuk suasana media massa yang sesuai dengan tuntutan agama, membentuk akhlak,
khususnya golongan belia untuk melahirkan generasi yang beriman dan cintakan negara dengan
mengukuhkan asas kebenaran, kebaikan, keutamaan dan menerapkan nilai-nilai Islam.

c) Menentang pengaruh fahaman kebendaan yang menjadi budaya zaman moden kini yang
menguasai pemikiran serta mencorakkan tindak balas mereka terhadap pelbagai isu.
d) Memperbaiki interaksi dan komunikasi antara sesama manusia.
e) Memperkukuh kecenderungan dalam melaksana ibadat.
f) Membanteras keyakinan palsu dan salah faham yang tersebar di kalangan masyarakat dengan
menonjolkan tafsiran keilmuan yang betul terhadap hakikat Islam.
g) Menggunakan konsep agama untuk meyakinkan masyarakat mengenai idea-idea baru dan isu-isu
semasa yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
h) Menggunakan hakikat dan fakta-fakta keagamaan, membimbing media massa ummah secara
yang tepat dengan cara mempengaruhi pemikiran dan hati budi mereka.
Oleh itu, rancangan-rancangan televisyen yang berunsurkan kebaikan dan memberi manfaat kepada
ummah adalah perlu diutamakan berbanding dengan rancangan televisyen yang membawa kepada
keburukan yang mengajak kepada hasutan, fitnah, mendedahkan aurat dan sebagainya yang tidak selari
dengan hukum Islam.
Justeru kertas konsep ini akan memfokus kepada falsafah penyiaran penubuhan TV AlHijrah yang
berkonsepkan Islam untuk melihat impak daripada kesan penubuhan stesen TV tersebut sebagai media
Islam yang bertanggungjawab menyatupadukan ummah. Selain itu, kajian ini juga akan menjurus kepada
2

pendekatan dakwah dan cabaran yang diperkenalkan oleh stesen TV ini demi memartabatkan agama

Islam.
Dunia Penyiaran Malaysia
Televisyen merupakan medium komunikasi yang popular dan menjadi pilihan ramai. Peranan televisyen
dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui visual dan audio sememangnya tidak dapat
dinafikan. Pengaruh televisyen yang meluas sehingga setiap isi rumah di Malaysia kini mesti mempunyai
sebuah televisyen. Kini, rancangan-rancangan di televisyen juga sudah boleh ditonton melalui telefon
bimbit. Televisyen mengikut sejarahnya dilancarkan pada 28 Disember 1963 di mana salah satu siarannya
beroperasi di studio sementara yang terletak di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (Mohd
Yusof Hussain, 2003).
Menurut Fuziah Kartini Hassan Basri (2009), siaran televisyen terbahagi kepada tiga iaitu televisyen
kerajaan yang mengoperasikan TVI dan TV2 dan stesen-stesen televisyen swasta yang dimiliki oleh
Kumpulan Media Prima seperti TV3, ntv7, TV9 dan 8TV. Selain itu, Malaysia juga mempunyai
televisyen satelit dan ini adalah milikan swasta dan ianya perlu dilanggan iaitu ASTRO yang
menyalurkan saluran-saluran antarabangsa seperti HBO, AXN, ESPN, MTV, CNN, BBC, Disney dan
Discovery.
Kini dengan penubuhan stesen TV AlHijrah yang merupakan milik penuh kerajaan telah memberi
persaingan yang sihat terhadap stesen televisyen yang sedia ada. Dengan memperkenalkan konsep dan
falsafah penyiaran yang berbeza diharapkan stesen TV ini dapat menjadi peneraju dan mewarnai media
penyiaran Islam di Malaysia.
Penubuhan TV AlHijrah: Satu Inspirasi

TV AlHijrah yang ditubuhkan pada tahun 2009 merupakan saluran televisyen digital Islam pertama di
Malaysia yang beroperasi di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Secara idealnya, TV AlHijrah yang dikendalikan
oleh Al Hijrah Media Corporation ini adalah untuk merealisasikan pengendalian sebuah stesen siaran
secara percuma seluruh negara dan menerbitkan pelbagai variasi rancangan televisyen melalui media
yang berdasarkan ajaran agama Islam dan kandungan yang bernilai universal.
Objektif penubuhan TV AlHijrah ialah:
 Sebagai sebuah stesen yang menyatupadukan ummah serta memupuk perpaduan
masyarakat majmuk sepertimana yang dianjurkan Islam.
 Sebagai sebuah media yang merangsang dan menggerakkan ekonomi ummah mengikut
acuan Islam.
 Untuk memperkenalkan kepada masyarakat majmuk; Islam yang cantik, menarik dan
indah serta Islam sebagai “way of life”.
 Untuk membentuk akhlak dan moral serta peribadi mulia masyarakat terutama golongan
muda dan remaja.
 Untuk menangkis propaganda buruk terhadap Islam dari dalam dan luar negara.
 Untuk menyebarkan kandungan Islam ke peringkat serantau dan antarabangsa dan juga
menjadikan Malaysia sebagai hub kandungan Islam.
3

Berdasarkan kepada enam objektif yang digariskan oleh TV AlHijrah, dapat dilihat dengan jelas bahawa

salah satu matlamat penubuhannya adalah untuk menggemilangkan agama Islam ke serata dunia di
samping untuk menangkis imej negatif mengenai Islam. Menurut Zulkiple Abd Ghani (2009), cabaran
yang sentiasa dihadapi oleh umat Islam sehingga kini ialah tanggapan negatif yang dilemparkan kepada
agama Islam dan umat Islam seluruhnya dan selalu dikaitkan dengan keganasan dan kekejaman. Selain
itu, stesen TV ini juga berfungsi untuk membentuk dan memupuk akhlak, moral dan nilai-nilai yang
mulia bagi membentuk peribadi Muslim yang unggul. Justeru, stesen televisyen ini dapat disimpulkan
sebagai satu platform untuk memberi penerangan dengan jelas mengenai Islam serta menerapkan unsurunsur dakwah, nasihat, mendidik dan berhikmah menerusi kandungan rancangan televisyen yang
disiarkan.
Menurut, Bukhari Che Muda, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah semasa bengkel Fiqh Penyiaran di
Institut Latihan Islam Malaysia Bangi (ILIM) pada 2011 menyatakan bahawa salah satu justifikasi
penubuhan TV AlHijrah adalah kerana di Malaysia peratusan rumah orang Melayu dengan set televisyen
di Semenanjung Malaysia pula ialah 63 peratus atau 12.237 juta iaitu tertinggi berbanding Cina (27
peratus
atau
5.1
juta)
dan
India
(10
peratus

atau
1.9
juta)
(http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_DakwahdiTVperlukreativiti/Article/index_html)
Stesen televisyen itu mula bersiaran di lima kawasan iaitu Lembah Klang, Terengganu, Mersing, Sabah
dan Sarawak mulai 1 Disember 2010 yang lalu dengan waktu siaran bermula jam 3 petang hingga 12
tengah malam dan pada jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Jika dilihat dari aspek kandungan TV program yang disusun, stesen televisyen ini mensasarkan kepada
golongan kanak-kanak dan remaja berusia 4 tahun hingga 17 tahun serta golongan muda dan berkeluarga
berusia 18 hingga 39 tahun. Selain itu, kandungan siaran juga lebih menumpukan kepada rancangan
terbitan tempatan iaitu sebanyak 60% dan 30% daripadanya adalah terbitan TV AlHijrah itu sendiri.
Berdasarkan temubual bersama Cik Izyan Liyana Khairul Anuar, Eksekutif Penjenamaan di TV AlHijrah,
rating penonton di stesen TV tersebut semakin meningkat walaupun tidak menunjukkan jumlah
peningkatan yang terlalu tinggi. Seperti contoh (setakat 11 Ogos hingga 24 Ogos 2012) rancangan 30
Minit Ustaz Don boleh mencapai sehingga 99,000 jumlah penonton dari kalangan mereka yang berumur 4
tahun ke atas dan berbangsa Melayu. Selain itu, program Anak Tengi (sebuah program keislaman) juga
telah menunjukkan jumlah audien yang tertinggi iaitu sebanyak 111,000. Namun, masih juga terdapat
beberapa siaran rancangan di TV AlHijrah ini yang mendapat rating serendah 4,000 penonton seperti AlFatihah/Negaraku, Al-Khawater, Al-Qur’an The New Dawn, Ayat Riwayat, Bacaan Al-Qur’an/Negaraku,
Berita Ringkas AlHijrah, Dikir Zikir, Empayar Islam dan Ihya’ Ramadhan.
Antara rancangan-rancangan yang disusun ialah seperti bual bicara (The Dr. Oz Show, City Sisters, The

Deen Show, Assalamualaikum), Aulad Zon (Tareeq Wa Shireen, 3 rd & Bird, Pada Zaman Dahulu, Tou
Shu), Dokumentari (Uteh, Al Quran: The New Dawn, Destination Guide, Metropolis,Bazaar, Treks in a
Wild World) Majalah (Misteri Alam Melayu, Menu Alam, Sinar Baru, Majalah Islam, Agen Halal),
Drama (Saifullah: Khaled Ibn Waleed, Alauddin, Villa Tepi Surau, Telah Dihalalkan Epal Itu, Paksu
Man), Filem (Emak Ingin Naik Haji, Half a Confession, Perempuan Berkalung Serban), Santapan Rohani
(Muhasabah Diri, 30 Minit Bersama Ustaz Don, Majlis Iqra’), Realiti TV (Imam Muda, Ustazah Pilihan)
dan Hiburan (KL Berselawat).
4

Falsafah Penyiaran dan Kandungan TV AlHijrah
Menurut Zulkiple Abd Ghani (2009) falsafah bermaksud usaha pemikiran yang tuntas di mana ianya
merupakan kurniaan Allah s.w.t yang terbesar untuk mencapai hikmah dan bermatlamatkan kebenaran.
Menurut beliau lagi, dengan adanya falsafah yang jelas, ia akan membantu membentuk dasar komunikasi
yang jelas dan terpimpin serta selari dengan pembangunan negara.
Justeru, falsafah komunikasi yang berdasarkan wahyu perlu digubal dan dicadangkan agar selari dengan
Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini.
Oleh itu, nilai-nilai budaya juga perlu mengikut hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh agama Islam.
Mohd Safar Hashim (2009) menyatakan bahawa falsafah komunikasi yang ada dan digunapakai di
sebahagian dunia pada hari ini termasuk Malaysia adalah bersumberkan barat sama ada dari segi
amalannya mahupun dari segi world-viewnya. Menurut beliau lagi walaupun Islam mempunyai ciri-ciri

unggul untuk diikuti oleh seluruh masyarakat namun Islam masih lagi tidak menjadi rujukan dalam
pembentukan falsafah komunikasi.
Bertitik tolak daripada itu, Malaysia telah menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan
televisyen yang berkonsepkan Islam iaitu TV AlHijrah sama ada daripada sudut pengisian dan matlamat
penubuhannya.
Penubuhan stesen televisyen ini dilihat bertepatan dengan pembentukan falsafah komunikasi Islam
terutamanya bagi negara-negara Islam. Menurut Mohd Safar Hashim (2009) agama Islam merupakan
agama kedua terbesar di dunia, justeru usaha untuk membentuk falsafah komunikasi mengikut Al Quran
dan As Sunnah adalah perlu dalam usaha menjulang nama Islam ke seluruh dunia. Menurut beliau lagi,
sudah sampai masanya agama Islam menjadi sumber kepada pembentukan falsafah komunikasi Islam dan
segala tanggapan negatif mengenai Islam dapat dihapuskan sama sekali. Sekiranya masyarakat barat
boleh menerima sistem kewangan dan perbankan Islam, maka falsafah komunikasi menurut Islam juga
seharusnya boleh diterima oleh semua penduduk di dunia ini.
Mohamad Sabri Haron (2009) pula menambah bahawa dalam usaha untuk membentuk falsafah media
menurut Islam ini, ianya perlu mengikut beberapa garis panduan yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan
As Sunnah. Antaranya media itu sendiri perlu berpaksikan kepada paradigma Tauhid iaitu media atau
kandungan yang dihasilkan tidak lari daripada ajaran Tauhid dan sekaligus mengajak audien untuk
menghayati mesej yang disampaikan sekaligus menambah ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
Selain itu, beliau juga mensarankan dalam usaha untuk memupuk generasi Muslim yang bertaqwa,
rancangan televisyen yang disiarkan juga perlu berorientasikan ilmu dan bertujuan untuk mendidik. Oleh

sebab itu, setiap maklumat yang diterima dan akan disampaikan perlulah disaring dan dikenal pasti
tujuannya serta mengetahui akan kesahihan dan sumbernya.
Menurut Surah Al Hujurat ayat 49 :
“Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik
membawa berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan sesuatu
musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu
menyesal atas perbuatannya”.
5

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa setiap sesuatu maklumat yang datang kepada kita perlu diselidiki
akan kebenarannya terlebih dahulu dan disaring oleh mereka yang pakar dan berilmu dalam sesuatu
bidang. Oleh itu, peranan sebuah stesen televisyen Islam seperti TV AlHijrah amat bertepatan dan
mendokong suruhan Allah s.w.t ini dengan menyiarkan pelbagai program berbentuk dokumentari dan bual
bicara Islam dapat membantu memberi kefahaman dan kebenaran mengenai Islam dengan jelas.
Menurut Mohd Nasran Mohamad (2009), media Islam tidak boleh menyiarkan berita-berita yang berniat
buruk dan meragukan. Oleh itu, media perlulah berhati-hati dan memastikan sumber berita kebenarannya.
Menurut beliau lagi, mana-mana berita yang tersiar yang ternyata tidak benar maka stesen penyiaran
Islam seperti TV AlHijrah bertindak untuk menafikannya serta membuat pembetulan. Mengambil contoh
pergolakan yang berlaku di Syria, media barat seakan-akan mengambil kesempatan dengan melagalagakan umat Islam yang berlainan mazhab untuk terus berperang dan merebut kuasa. Di sinilah peranan
TV AlHijrah untuk terus bertindak sebagai wadah penyiaran yang membantu memberi kefahaman yang

sebenar.
Penubuhan TV AlHijrah ini sebenarnya ingin mengangkat falsafah penyiaran yang berdasarkan ajaran
agama Islam dan nilai-nilai universal selagi mana ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah
yang di bawa Nabi Muhammad SAW. Kandungan rancangan yang disiarkan juga merangkumi segala
aspek kehidupan seseorang muslimin dan muslimat dan tidak hanya menyentuh kepada ibadah khususiah
seperti sembahyang, zakat, haji dan puasa malah meliputi aspek ekonomi, politik, sosial dan
kemasyarakatan, persekitaran dan budaya.
Menurut Solahin (1997) dalam Mohd Nasran Mohamad (2009) menyatakan bahawa media ialah alat yang
boleh membawa seseorang kepada kebaikan dan kemungkaran. Maka siaran-siaran yang membawa
kepada kebaikan, faedah dan manfaat seperti bacaan Al-Quran, ceramah-ceramah agama, nasihat, berita,
kisah-kisah sejarah adalah diharuskan dan diperbanyakkan.
Jika dikaji daripada aspek genre kandungan, TV AlHijrah menawarkan program untuk kanak-kanak,
remaja, wanita dan untuk tontonan keluarga. Rancangan-rancangan yang disiarkan ialah seperti sitkom,
hiburan, program berbentuk ilmiah dan pendidikan, berita dokumentari dan majalah, drama dan filem,
sukan dan rekreasi, tazkirah, forum dan perbincangan. Kesemua program yang disiarkan ini akan
dipastikan memenuhi serta mencapai misi dan falsafah penyiaran Islam yang diperkenalkan oleh stesen
TV ini.
Berdasarkan beberapa garis panduan yang disenaraikan di atas, dapat disimpulkan bahawa media yang
menjadi pembentuk budaya dan minda masyarakat perlu bertindak untuk menjadi alat mendekatkan
manusia kepada penciptaNya. Malaysia sebagai sebuah negara Islam wajib mempelopori dan menjadi
peneraju kepada pembentukan falsafah komunikasi dan media Islam.
Maka, dengan penubuhan stesen TV AlHijrah ini dilihat sebagai satu idea yang komprehensif untuk
kebaikan dan maslahah semua. Justeru visi penubuhan stesen ini yang ingin mendidik, menghibur dan
menyatupadukan ummah melalui rancangan televisyen yang berlandaskan Islam akan tercapai sekiranya
falsafah penubuhannya benar-benar disokong dan dihayati.

6

Isu, Cabaran dan Strategi Dakwah oleh TV Al Hijrah
Usaha untuk memperkembangkan dakwah Islamiah pasti tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran yang
perlu dihadapi. Begitu juga dengan penubuhan stesen TV ini yang pastinya menghadapi pelbagai isu dan
cabaran di sebalik penubuhannya. Persoalannya, bagaimanakah untuk membuat seluruh masyarakat
menerima kehadiran stesen TV ini dengan positif tanpa menimbulkan keraguan kepada kepelbagaian
budaya yang lain di Malaysia ini?
Antara cabaran-cabaran yang dikenalpasti ialah dari sudut penerimaan bangsa lain terhadap stesen TV
yang berunsurkan Islam ini. Walaupun di ketika ini terdapat banyak stesen televisyen swasta yang
menyiarkan rancangan-rancangan sama ada terbitan tempatan atau pun diimport untuk semua bangsa
dalam pelbagai bahasa, namun penubuhan stesen TV ini ditubuhkan khusus berkonsepkan Islam.
Mungkin akan ada demand atau permintaan daripada bangsa lain untuk mempunyai stesen TV mereka
sendiri, justeru perlu ada pihak yang berwajib untuk menangani isu ini agar mereka yang bukan Islam
tidak keliru dan salah faham terhadap penubuhan stesen TV ini. Ini kerana TV AlHijrah bertujuan untuk
meningkatkan ilmu pengetahuan Islam kepada umat Islam dan berperanan memberi kefahaman yang jelas
mengenai Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam.
Selain daripada itu, cabaran lain yang dilihat ialah peratusan rating audien. Oleh kerana stesen TV ini
berunsurkan Islam, maka pastinya audien yang menonton rancangan-rancangan di stesen TV ini adalah
terdiri daripada masyarakat Islam sahaja. Benar, bahawa stesen TV yang menjadi milik penuh kerajaan
tidak perlu risau tentang isu bajet kerana akan diperuntukkan sejumlah yang tertentu pada setiap tahun,
namun usaha untuk meningkatkan promosi dan menambah peratusan audien juga adalah perlu.
Persoalannya, berapa peratuskah penonton Muslim yang memilih TV AlHijrah sedangkan stesen
televisyen yang lain pada masa yang sama menyiarkan siaran rancangan yang lebih menarik, terkini dan
diimport daripada barat?
Oleh itu, satu inovasi yang kreatif perlu disusun untuk menarik lebih ramai penonton Muslim dan bukan
Muslim memilih stesen televisyen ini dan sekaligus dapat meningkatkan ratingnya setiap tahun. Ini
supaya ianya tidaklah dilihat terlalu jumud dan hanya fokus kepada kelompok tertentu sahaja. Seperti
contoh dengan menyiarkan rancangan yang berbentuk drama, filem dan dokumentari yang relevan, jalan
cerita yang boleh diterima semua bangsa, menggunakan pelbagai bahasa, kontemporari dan
mengetengahkan konsep yang mudah dan ringan difahami asalkan tidak lari daripada ajaran Islam
dipercayai dapat membantu menaikkan rating stesen TV ini. Selain itu, waktu siaran juga perlu
dititikberatkan seperti menyiarkan rancangan yang boleh menarik audien di waktu utama atau ‘prime
time’. Apabila rating sudah meningkat, maka akan mudah mendapat iklan yang boleh membantu menjana
pendapatan yang lebih lumayan.
Selain daripada itu, media personnel di stesen TV ini perlu meningkatkan strategi pemasaran dan
mempelbagaikan idea kreativiti mereka untuk memperluaskan lagi pengaruh dan mempromosikan stesen
TV ini agar lebih dikenali dan diterima semua pihak. Seperti contoh, mungkin boleh menyiarkan iklan
mengenai program-program yang ditayangkan di TV AlHijrah di stesen televisyen yang lain untuk
menarik lebih ramai audien. Selaras dengan objektif penubuhannya yang ingin membawa TV AlHijrah ke
peringkat antarabangsa, maka semua rancangan-rancangan di stesen ini perlu dimuat turun agar boleh
ditonton oleh semua orang di dalam dan luar negara secara online streaming.
7

Isu lain yang dilihat ialah batas kreativiti untuk menerbitkan rancangan televisyen di stesen TV ini adalah
terhad dan terbatas. Ini kerana semua rancangan yang disiarkan mestilah berkonsepkan Islam dan
menerapkan nilai-nilai murni baik dari sudut idea, konsep, lakonan, skrip dan sebagainya. Jika
dibandingkan dengan siaran rancangan daripada stesen televisyen yang lain yang menyiarkan rancanganrancangan berbentuk hiburan terutamanya sememangnya isu ini menjadi cabaran besar kepada TV
AlHijrah. Drama-drama seperti Ayat-Ayat Cinta, Geng Surau, Nur Kasih, Ustaz Amirul dan sebagainya
perlu diperbanyakkan dan dihasilkan dengan lebih kreatif lagi.
Menurut Asiah Sarji (2009), persepsi yang mengatakan bahawa kawalan yang berasaskan nilai-nilai Islam
dan penapisan filem telah menghalang proses kreativiti dalam berkarya perlu dihapuskan. Ini kerana
menurut beliau, idea sebegini perlu difikirkan semula kerana para karyawan sepatutnya perlu lebih
bekerja keras dan memeras otak dengan lebih kuat untuk menghasilkan karya yang kreatif dan tidak lari
daripada konsep Islam dan bertentangan dengan akta. Mengambil contoh Iran dan Cina yang sudah
berjaya menghasilkan karya yang mempamerkan keunikan dan budaya mereka kepada dunia, maka stesen
TV di Malaysia juga dipercayai mampu untuk mencontohi dua negara ini.
Selain daripada isu kreativiti yang terhad, perkara lain yang menjadi penghalang adalah kos yang terlalu
mahal untuk mengupah atau membeli filem-filem atau drama dari negara luar. Oleh itu, pihak produksi
TV AlHijrah itu sendiri perlu menghasilkan ‘in-house production’ untuk menjimatkan kos penerbitan.
Selari dengan konsep dakwah yang dibawa oleh TV AlHijrah, produksi penerbitan juga boleh melakukan
inovasi baharu dengan membawa satu kelainan di mana dengan menerbitkan rancangan yang melibatkan
para remaja yang bermasalah seperti mat rempit, remaja lari dari rumah, suka bersosial dan sebagainya.
Dengan menghasilkan satu program yang diluar kotak seperti ini boleh membantu untuk memvariasikan
siaran rancangan dan sekaligus memberi kelainan dengan stesen TV yang lain.
Kesimpulan
Tajdid media yang seiring dengan perkembangan teknologi maklumat seperti stesen televisyen digital
nyata telah membawa manfaat kepada semua. Dengan penubuhan TV AlHijrah telah menjadi mercutanda
untuk mengangkat imej Islam dan sekaligus memberi impak kepada media barat. Menurut Teori
Penyuburan yang diperkenalkan oleh Geroge Gerbner (1986), pendedahan yang berterusan dengan
kekerapan yang tinggi terhadap mesej tertentu daripada media boleh membantu mengubah pendapat,
sikap dan tingkah laku seseorang (Saodah Wok, Narimah Ismail & Mohd Yusof Hussain, 2004). Hal ini
seterusnya berjaya menanamkan nilai-nilai murni melalui rancangan-rancangan televisyen yang
berunsurkan Islam apabila siaran berbentuk keislaman semakin kerap diulangtayang.
Menurut Mohd Safar Hashim (2009) Malaysia juga perlu melihat kepada kaedah syariah bagi membentuk
falsafah komunikasi di negara ini. Ini kerana syariah merangkumi keseluruhan tatacara kehidupan Islam
yang meliputi hukum hakam dan perbahasan dalam pelbagai bidang. Jika sesuatu itu terkeluar daripada
nilai-nilai Islam, maka tidak selayaknyalah ianya diketengahkan kepada umum. Justeru, yang perlu
ditekankan oleh para sarjana Islam ialah mengkaji dan mendalami falsafah komunikasi Islam untuk
diterjemahkan ke dalam media penyiaran Islam.
8

Usaha untuk mengetengahkan, mengukuhkan dan memupuk nilai-nilai murni melalui rancanganrancangan televisyen merupakan satu usaha yang realistik. Ini kerana untuk mencapainya dilihat tidak
mustahil sekiranya mendapat sokongan dan penglibatan daripada semua pihak. Walaupun ianya perlu
melalui proses yang panjang namun berbekalkan dengan pendirian kita yang teguh untuk menyuburkan
media Islam, pasinya usaha murni ini akan tercapai.
Rujukan
Al Quran.
Asiah Sarji. (2009). Pembangunan Industri Perfileman Malaysia Dalam Konteks Islam Hadhari. Dalam
Mohd Safar Hashim dan Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia: Satu Penelitian Awal
Pendekatan Islam Hadhari. Bangi Malaysia: Institut Islam Hadhari. (hal 193-218).
Fuziah Kartini Hassan Basri (2009). Televisyen dan Islam Hadhari: Potensi dan Kekangan. Dalam Mohd
Safar Hashim dan Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia: Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam
Hadhari. Bangi Malaysia: Institut Islam Hadhari. (hal 219-236).
Harian
Metro.
3
November
2011.
Dakwah
di
TV
Perlu
Kreativiti.
(http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_DakwahdiTVperlukreativiti/Article/index_html)
http://tvalhijrah.com/
Mohamad Sabri Haron (2009). Konsep dan Falsafah Islam dalam Media. Dalam Mohd Safar Hashim dan
Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia: Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam Hadhari. Bangi
Malaysia: Institut Islam Hadhari. (hal 35-48).
Mohd Nasran Mohamad (2009). Kerangka Media Menurut Perundangan Islam. Dalam Mohd Safar
Hashim dan Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia: Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam
Hadhari. Bangi Malaysia: Institut Islam Hadhari. (hal 49-62).
Mohd Safar Hashim (2009). Islam Sebagai Asas Falsafah Komunikasi. Dalam Mohd Safar Hashim dan
Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia: Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam Hadhari. Bangi
Malaysia: Institut Islam Hadhari. (hal 19-34).
Mohd Yusof Hussain. (2003). Mass Media in Selected Muslim Countries. Research Center: International
Islamic University Malaysia (IIUM).
P. Quereshi. (2009). Islamic Media. MD Publications PVT LTD: New Delhi.
Saodah Wok, Narimah Ismail & Mohd Yusof Hussain. (2004). Teori-Teori Komunikasi. PTS Publications
& Distributors Sdn Bhd.
Temubual bersama Cik Izyan Liyana Khairul Anuar, Eksekutif Penjenamaan di TV AlHijrah. 30 Ogos
2012.
Zulkiple Abd Ghani (2009). Dasar Komunikasi Negara dalam Konteks Pendekatan Islam Hadhari. Dalam
Mohd Safar Hashim dan Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia: Satu Penelitian Awal
Pendekatan Islam Hadhari. Bangi Malaysia: Institut Islam Hadhari. (hal 3-34).

9