PERAKAUNAN ZAKAT PADI DAN HUBUNGKAITNYA

Perakaunan Zakat Padi dan Hubungkaitnya Dengan Kesejahteraan Sosial Petani:
Kajian Kes di Negeri Perlis1
DR. MOHD SHUKRI HANAPI2
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
E-mel: hshukeri@yahoo.com; hshukri@usm.my
Abstrak
Kertas kerja ini bertujuan meneliti dan menganalisis hubungkait antara perakaunan zakat padi
dengan kesejahteraan sosial para petani di Negeri Perlis. Penelitian dan penganalisisan ini
dibuat berdasarkan buku panduan dan amalan perakaunan zakat pertanian di Negeri Perlis.
Menurut Manual Pengurusan Pengiraan Zakat yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat
dan Haji (JAWHAR), perakaunan zakat pertanian dibuat dengan menolak kos pengeluaran
daripada pendapatan kasar. Setelah itu barulah dikeluarkan zakat pertanian. Salah sebuah
negeri yang didapati mengguna pakai manual JAWHAR ini ialah Negeri Perlis. Mereka bukan
sahaja mengguna pakai manual ini, malah lebih daripada itu kerana selain menolak kos
pengeluaran pertanian mereka juga menolak kos sara hidup. Hal ini bermakna, perakaunan
zakat pertanian di Negeri Perlis dibuat dengan menolak kos pengeluaran pertanian dan kos
sara hidup. Persoalannya, kenapakah Perlis mengamalkan hal sedemikian sedangkan fatwa
yang dikeluarkan oleh majoriti negeri di Malaysia tidak membenarkan kos pengeluaran
pertanian ditolak daripada pendapatan kasar? Kenapakah Perlis membenarkan kos sara hidup
ditolak? Apakah hujah dan alasan mereka dalam hal ini? Adakah mereka mengambil kira

aspek kemaslahatan kesejahteraan sosial para petani? Bagi menjawab kesemua persoalan ini,
perbincangan dalam kertas kerja ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama,
membincangkan pandangan fuqaha’ tentang kos pengeluaran dan kos sara hidup; kedua,
membincangkan keselarian amalan perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan pandangan
fuqaha’; dan ketiga, membincangkan hubungkait antara perakaunan zakat padi di Negeri
Perlis dengan kesejahteraan sosial para petani. Berdasarkan analisis kandungan terhadap data
sekunder dan data primer, kertas kerja ini mendapati amalan perakaunan zakat padi di Negeri
Perlis adalah selari dengan pandangan fuqaha’. Mereka mempunyai hujah-hujah yang kukuh
dan turut mengambil kira aspek kemaslahatan kesejahteraan sosial para petani.
Kata Kunci: perakaunan, zakat, usahawan tani, kos pengeluaran, dan kos sara hidup

1

Kertas kerja yang dibentangkan di International Social Development Conference (ICDC2014), anjuran Pusat
Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 12-13 Ogos 2014, bertempat di Hotel
Bayview, Langkawi, Kedah Darul Aman.
2

Dr. Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Tel. 04-653 2665 / 3422, faks 04-653 2124, dan e-mail

hshukri@usm.my atau hshukeri@yahoo.com.

1

PENGENALAN
Hasil pertanian yang dikenakan zakat di Malaysia ialah padi. Padi yang diproses menjadi
beras merupakan makanan asasi di Malaysia. Padi di utara semenanjung Malaysia iaitu di
Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak menjadi sumber pendapatan dan diusahakan
sama ada sekali atau dua kali setahun. Kewajipan zakat hasil padi ini adalah mengikut musim
tuaian setelah mencukupi nisab tanpa perlu syarat hawl (tempoh masa).
Dalam melaksanakan kewajipan ini, setiap negeri mempunyai kaedah perakaunan zakat hasil
padi masing-masing. Perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di negeri-negeri di utara
semenanjung Malaysia agak berbeza antara satu sama lain. Perbezaan perakaunan zakat hasil
padi ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, zakat hasil padi dikenakan terhadap
pendapatan kasar; kedua, zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah
ditolak kos pengeluaran; dan ketiga, zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan bersih
setelah ditolak kos pengeluaran dan kos keperluan asasi.
Kebanyakan negeri mengenakan zakat hasil padi terhadap pendapatan kasar dan terhadap
pendapatan bersih setelah ditolak kos pengeluaran, kecuali Negeri Perlis. Di Perlis,
perakaunan zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos

pengeluaran (modal pertanian) dan kos sara hidup (keperluan asasi) pada kadar 10 peratus
(Temu bual Haji Mohd Nazim Mohd Noor, 27 Februari 2014). Sebenarnya, perakaunan zakat
hasil padi di negeri Perlis ini bukan sahaja menuruti Manual Pengurusan Pengiraan Zakat
yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) (2008:46), iaitu perakaunan
zakat pertanian dibuat dengan menolak kos pengeluaran daripada pendapatan kasar, malah
lebih daripada itu kerana selain menolak kos pengeluaran pertanian mereka juga menolak kos
sara hidup.
Persoalannya, kenapakah Perlis mengamalkan hal sedemikian sedangkan fatwa yang
dikeluarkan oleh majoriti negeri di Malaysia tidak membenarkan kos pengeluaran pertanian
ditolak daripada pendapatan kasar? Kenapakah Perlis membenarkan kos sara hidup ditolak?
Apakah hujah dan alasan mereka dalam hal ini? Adakah mereka mengambil kira aspek
kemaslahatan kesejahteraan sosial para petani? Untuk menjawab kesemua persoalan ini,
kertas kerja ini mempunyai tiga objektif utama. Pertama, mengenal pasti pandangan fuqaha’
tentang kos pengeluaran dan kos sara hidup; kedua, menganalisis keselarian amalan
perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan pandangan fuqaha’; dan ketiga, merumuskan
hubungkait antara perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan kesejahteraan sosial para
petani.
Untuk mencapai kedua-dua objektif ini, kajian kualitatif ini melibatkan kedua-dua jenis data
iaitu data primer dan sekunder. Data primer diperoleh melalui temu bual tidak berstrukur
dengan Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Pengurus Baitulmal, Majlis Agama Islam dan

Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIP), pada 27 Februari 2014 yang lalu. Manakala data
sekunder pula diperoleh melalui kajian perpustakaan. Kesemua data ini dianalisis
menggunakan kaedah analisis kandungan. Secara umumnya, hasil penganalisian ini
dibahagikan kepada empat bahagian utama. Pertama, membincangkan pandangan fuqaha’
tentang kos pengeluaran dan kos sara hidup; kedua, membincangkan keselarian amalan
perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan pandangan fuqaha’; dan ketiga,
membincangkan hubungkait antara perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan
kesejahteraan sosial para petani.

2

ASAS PERAKAUNAN ZAKAT PADI
Perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Perlis adalah berasaskan dalil-dalil daripada
al-Qur’an dan Hadith tentang zakat pertanian kerana padi adalah sejenis tanaman pertanian.
Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Dia-lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar
tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan
tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan
delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya).
Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya

(zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau
(pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan). Sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang melampau” (al-An‘am, 6:141).
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian
daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa-apa yang
Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih
yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian
zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu
(kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan
ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji” (al-Baqarah,
2:267).
Kedua-dua ayat ini menerangkan kewajipan seseorang individu yang memiliki hasil pertanian
daripada usaha penanaman yang dilakukannya untuk memenuhi keperluan sosial dengan
mengeluarkan zakat (al-Tabari, 1992:362; Ibn Kathir, 1992:188; al-Qurtubi, 1993:208).
Sebenarnya, zakat pertanian seperti padi adalah berbeza dengan zakat-zakat lain. Sifat khusus
yang membezakan antara zakat pertanian dengan zakat-zakat hasil ternakan, emas dan perak
serta zakat barang perniagaan ialah zakat pertanian merupakan zakat yang dikenakan terhadap
hasil sahaja, sedangkan zakat-zakat tersebut merupakan zakat ke atas hasil dan modalnya
sekali. Oleh yang demikian, tidak seperti zakat-zakat yang lain, zakat hasil pertanian tidak

tertakluk kepada hawl.
Walau bagaimanapun, kedua-dua ayat ini tidak menjelaskan nisab dan kadar zakat yang wajib
dikeluarkan ke atas sesuatu hasil pertanian yang diperoleh. Kadar zakat pertanian tersebut
hanya dijelaskan dalam Hadith Rasulullah SAW. Antara hadith yang menjadi asas kepada
perakauan zakat ini ialah:
Diriwayatkan daripada ‘Attab bin Usaid r.a. katanya: Rasulullah SAW telah
memerintahkan agar anggur basah dianggarkan kadarnya ketika ia menjadi anggur
kering sebagaimana juga tamar basah dianggarkan kadarnya ketika ia menjadi
tamar kering dan zakatnya diambil dalam bentuk anggur kering (zabib-kismis)
sebagaimana zakat kurma diambil dalam bentuk tamar kering (Riwayat Abu
Daud, Hadith no. 1603, al-Khin, al-Bugha & al-Syarbaji, 2009:26)
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW
bersabda: “Tidak dikenakan zakat terhadap hasil tanam-tanaman dan buah-buahan

3

yang tidak mencukupi kadar lima awsaq” (Riwayat al-Tirmizi, Hadith no. 622, alMubarakfuri, t.t.:210).
Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin ‘Amru r.a. katanya: Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud, “Tanaman yang diairi oleh hujan, sungai-sungai dan
mata air atau yang mendapat air dari saliran (atau melalui akarnya) hendaklah

dikeluarkan (zakatnya) sepersepuluh (1/10). Tanaman yang diairi dengan unta
pengangkut air atau dengan penimba, hendaklah dikeluarkan seperduapuluh
(1/20)”. (Riwayat al-Bukhari, Hadith no. 1483, Ibn Hajar, 1989:443).
Kedua-dua hadith ini berperanan sebagai pentafsir kepada ayat 141 daripada Surah al-An‘am
dan ayat 267 daripada Surah al-Baqarah yang dikemukakan sebelum ini. Ketiga-tiga hadith ini
bukan sahaja menjelaskan kewajipan zakat pertanian, malah ia menjelaskan nisab dan kadar
zakat yang wajib dikeluarkan ke atas sesuatu hasil pertanian termasuklah padi. Dalam taksiran
zakat pertanian, terdapat dua kaedah asas yang diterangkan oleh nas sebagai panduan kepada
para petani untuk mengeluarkan zakat hasil padi, iaitu cukup nisab sebanyak lima wasaq dan
kadar yang perlu dikeluarkan zakat pula ialah 5 peratus atau 10 peratus daripada hasil
tanaman bergantung kepada jenis pengairan yang digunakan oleh petani.
Zakat Hasil Padi = 5% @ 10% x 5 wasaq
Rajah 1: Nisab dan Kadar Zakat Hasil Padi

Persoalannya, adakah kadar lima wasaq diukur daripada hasil tanaman kasar atau setelah
ditolak terlebih dahulu kos penanaman dan kos sara hidup para petani? Kemajuan dan
perkembangan dalam sektor pertanian memerlukan petani juga mengamalkan pertanian
moden. Mereka perlu membeli benih yang bermutu tinggi dan pelbagai jenis baja untuk
mendapat hasil tanaman yang baik dan berkualiti contohnya seperti tanaman padi. Pokok padi
juga terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti penyakit karah, virus merah, hawar

seludang, hawar bakteria, bintik perang dan pelbagai jenis penyakit lagi yang akan
mengakibatkan kerugian kepada para petani. Para petani perlu membeli pelbagai jenis racun
untuk mengawal dan merawat penyakit-penyakit tersebut. Selain itu, petani padi juga
menggunakan jentera untuk memudahkan dan mempercepatkan proses penanaman, penuaian
dan pengangkutan padi ke kilang pemprosesan padi. Semua aktiviti ini akan menambah kos
penanaman padi berbanding penanaman padi yang dijalankan secara tradisonal pada zaman
dahulu yang menggunakan kos yang sangat minimum.
PANDANGAN FUQAHA’ TERHADAP MODAL KOS PENANAMAN
Tidak ada nas yang menjelaskan sama ada wang yang dikeluarkan oleh para petani untuk
dijadikan modal pertanian ditolak terlebih dahulu daripada hasil perolehan tanamannya dan
baki bersih tanamannya barulah dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisab. Majoriti fuqaha’
berpendapat bahawa kos penanaman mestilah ditanggung oleh petani dan nisab zakat dikira
apabila petani memperoleh hasil tanaman dan tidak perlu menolak kos penanaman apabila
hendak mengeluarkan zakat (al-Zuhayli, 1989:812).
Menurut pandangan majoriti fuqaha’ ini, kos penanaman tidak perlu ditolak terlebih dahulu
kerana tiada nas yang menyatakan perlu menolak kos penanaman. Nas yang ada hanyalah
menerangkan kadar pengeluaran zakat sebanyak 5 peratus atau 10 peratus berdasarkan kaedah
pengairan yang digunakan. Nas-nas yang ada hanyalah membezakan kadar pengeluaran zakat
berdasarkan jenis pengairan yang digunakan oleh petani sama ada tanaman yang
menggunakan pengairan semula jadi atau pengairan yang menggunakan tenaga buruh.

4

Berdasarkan hujah majoriti fuqaha’ ini, maka kos penanaman perlu ditanggung oleh petani
dan zakat diwajibkan ke atas semua hasil tanpa perlu menolak terlebih dahulu kos
penanaman. Oleh itu, kadar pengeluaran zakat pertanian ialah 5 peratus atau 10 peratus
berdasarkan bentuk pengairan tanaman tersebut. Menurut al-Buhuti (1999:274), kadar 10
peratus dikenakan jika pengairan yang sampai ke ladang tidak mengeluarkan modal yang
banyak atau kerja yang berat kerana beban pengairan menyebabkan tinggi rendahnya kadar
tersebut. Tanaman yang dikenakan zakat pada kadar 5 peratus ialah tanaman yang diairi
dengan bantuan binatang, kincir air, jentera dan sebagainya.
Hal ini berbeza dengan pandangan al-Qaradawi (1969:396-397) yang menyatakan kos
penanaman perlu ditolak terlebih dahulu kerana ia merupakan satu bebanan bagi petani.
Dalam hal ini, beliau mengemukakan tiga hujah mengapa kos penanaman perlu ditolak
terlebih dahulu. Ketiga-tiga hujah beliau adalah seperti berikut:
1. Bebanan dan kos merupakan faktor yang memberi kesan dalam hukum. Kadar
pengeluaran zakat berbeza disebabkan adanya bebanan dan kos. Contohnya, bagi
pengairan yang memerlukan peralatan atau tenaga manusia kadar pengeluaran zakat
ialah 5 peratus sahaja.
2. Bagi zakat binatang ternakan pula, sekiranya penternak perlu mencari makanan untuk
binatang ternakannya sepanjang tahun maka binatang ternakan tersebut tidak

dikenakan zakat ternakan. Oleh sebab itu adalah wajar kos yang digunakan untuk
mengusahakan tanaman itu tidak dikenakan zakat.
3. Zakat diwajibkan kerana adanya pertumbuhan. Apabila adanya pertumbuhan ini
bererti wujud pertambahan. Dalam konteks ini, pertambahan tidak mewujudkan
kekayaan kerana kos penanaman juga besar.
Pandangan al-Qaradawi (1969) ini boleh dikuatkan dengan athar yang dilaporkan oleh Abu
‘Ubayd (1988:611) bahawa Jabir bin Zaid r.a telah diminta pandangan mengenai tindakan
seorang lelaki yang telah berhutang dan menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan
keluarga dan ladangnya. Jabir menjelaskan bahawa:
“Ibn ‘Abbas r.a berpandangan bahawa lelaki itu boleh membelanjakan hutangnya
itu kepada ladangnya. Ibn ‘Umar r.a. pula berpendapat orang itu boleh
membelanjakannya untuk ladang dan keluarganya”.
Menurut Abu ‘Ubayd (1988:611), dalam hal ini Ibn ‘Abbas r.a. dan Ibn ‘Umar r.a.
bersependapat bahawa zakat pertanian dikeluarkan setelah petani menolak hutang yang
dijadikan modal untuk kos perbelanjaan bagi mengusahakan sesuatu penanaman. Oleh itu,
dapatlah disimpulkan bahawa adalah wajar untuk menolak hutang kos penanaman sebelum
dikenakan zakat terhadap tanaman tersebut berdasarkan pandangan Ibn ‘Abbas r.r. dan Ibn
‘Umar r.a. itu (Muhammad Kamal ‘Atiyyah, 1995:28).
Jelaslah bahawa sekiranya seseorang petani itu berhutang untuk membeli bahan input untuk
penanaman padinya seperti berhutang untuk membeli baja, racun, biji benih, upah menuai,

membajak dan sebagainya, maka petani tersebut dibenarkan menolak terlebih dahulu kos
tersebut daripada pendapatan kasar. Hasil tanaman bersih barulah dikenakan zakat.

5

PANDANGAN FUQAHA’ TENTANG KOS SARA HIDUP
Syarat utama kewajipan zakat adalah apabila seseorang itu mempunyai lebihan kekayaan.
Sekiranya kekayaan yang dimilikinya sekadar cukup untuk memenuhi keperluan dirinya dan
orang yang berada di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak, ibu bapa yang uzur dan
sebagainya, maka tidak wajar dipungut zakat daripada orang tersebut. Keperluan di sini ialah
keperluan asasi seorang manusia mengikut tahap keperluan semasa seperti makanan, pakaian,
tempat tinggal, pendidikan dan juga keperluan-keperluan asas yang lain sesuai dengan
keperluan semasa (Asmak Ab. Rahman & Pazim@Fadzim Othman, 2005)
Sebenarnya tiada nas yang menjelaskan kos sara hidup wajar ditolak terlebih dahulu sebelum
dikenakan zakat. Walaupun Ibn ‘Abbas r.a. dan Ibn ‘Umar r.a. bersependapat bahawa hutang
yang digunakan untuk dijadikan modal penanaman ditolak terlebih dahulu sebelum dikenakan
zakat, tetapi mereka tidak bersependapat tentang hutang yang dibelanjakan untuk kos sara
hidup petani. Ibn ‘Umar r.a. sahaja yang berpendapat bahawa zakat dikira setelah ditolak
hutang kos pengeluaran pertanian dan juga hutang kos sara hidup (Abu ‘Ubayd, 1988:611;
Yahya Ibn Adam, t.t.:162; Ibn Qudamah, 1997:265). Dari segi penolakan kos sara hidup
sebelum dikenakan zakat tiada nas yang menerangkan tentang perkara tersebut. Walau
bagaimanapun, satu asas dalam pengeluaran zakat harta ialah orang yang mengeluarkan zakat
mestilah orang kaya kerana penerima zakat ialah golongan fakir miskin. Hal ini berdasarkan
amalan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu baginda telah memerintahkan supaya zakat
dipungut daripada orang kaya sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Ambillah daripada orang-orang kaya dan kembalikan kepada orang yang
miskin” (Riwayat al-Jama‘ah, Hadith no. 1531, al-Syawkani, 1996:431-432).
Sebenarnya indikator kekayaan seorang petani itu tidak hanya dilihat pada hasil tanamannya
yang mencukupi kadar nisab tanpa mengambil kira sama ada pendapatan daripada hasil
pertaniannya mencukupi untuk keperluan perusahaan pertanian dan perbelanjaan keluarganya.
Oleh sebab nafkah adalah satu tanggungjawab kepada ketua keluarga, sudah tentu seseorang
itu perlu menunaikan tanggungjawab tersebut terlebih dahulu sebelum membelanjakan
kekayaannya untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Prinsip ini berdasarkan kisah yang
berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. bahawa
Rasulullah SAW berkata kepada seseorang dengan sabdanya yang bermaksud:
“Berikanlah terlebih dahulu untuk kepentingan dirimu; apabila lebih berikanlah
untuk isterimu; apabila masih lebih berikanlah kepada keluarga yang terdekat
dengan mu; dan apabila masih lebih berikanlah kepada yang lain-lain” (alNawawi, 1997:53-54)
Jelas di sini bahawa kos sara hidup wajar diambil kira dan perlu ditolak terlebih dahulu
sebelum dikenakan zakat hasil tanaman padi kerana Rasulullah SAW sendiri amat mengambil
berat tentang kesejahteraan sosial para petani. Mengikut amalan Rasulullah SAW, baginda
meminta supaya penaksir zakat menolak 1/3 atau 1/4 daripada hasil tanaman dan zakat
ditaksir berdasarkan 2/3 atau 3/4 daripada hasil tanaman. Hal ini sebagaimana yang
dilaporkan oleh Sahal bin Abu Hathrnah yang bermaksud:
“Apabila kamu membuat penaksiran hendaklah kamu ambil zakatnya dan
tinggalkan 1/3. Jika kamu tidak tinggalkan 1/3 hendaklah tinggalkan1/4” (Abu
‘Ubayd, 1988:585).

6

PERAKAUNAN ZAKAT HASIL PADI DI NEGERI PERLIS
Perlis satu-satunya negeri yang mengamalkan perakaunan zakat hasil padi dengan menolak
kos pertanian (modal) dan kos sara hidup (keperluan asasi) daripada pendapatan kasar. Hasil
pendapatan bersih daripada penolakan itu dikenakan zakat dengan kadar 10 peratus (Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, 2001:16-20). Sebenarnya, perakaunan zakat
hasil padi di negeri Perlis ini bukan sahaja menuruti Manual Pengurusan Pengiraan Zakat
yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), iaitu perakaunan zakat
pertanian dibuat dengan menolak kos pertanian daripada pendapatan kasar, malah lebih
daripada itu kerana selain menolak kos pengeluaran pertanian mereka juga menolak kos sara
hidup. Menurut Haji Mohd Nazim Mohd Noor (Temu bual pada 27 Februari 2014), perkara
ini telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis. Lagipun, dalam Undang-Undang Tubuh
Negeri ada dinyatakan bahawa Perlis tidak terikat dengan sebarang mazhab dalam
pengamalan hal-hal keagamaan.
Contoh Pengiraan3:
1.
2.
3.
4.
5.

Mula Mengusaha Tanah
Hasil Diperoleh
Jumlah Hari
Hasil Perolehan Padi Bersih
Penolakan Kos Pengeluaran

: 1 Muharram 1414
: 19 Rejab 1414
: 195 hari
: RM12,000 (tidak termasuk subsidi)

Jadual 1: Kos Pengeluaran
Bil
i.
ii.
iii.
iv.
v.
vi.

Perkara
Sewa Tanah (Jika Disewa)
Membajak Dan Menanam
Harga Baja
Racun Seranggan
Upah Menuai
Upah Pengangkutan
Jumlah Kos Pengeluaran

Kos (RM)
RM RM1,250.00
RM6.00
RM250.00
RM650.00
RM200.00
RM2,356.00

6. Penolakan Kos Keperluan Asasi (Sara Diri)
Jadual 2: Kos Keperluas Asasi
Bil
i.
ii.
iii.
iv.
vi.
vii.

Perkara
Diri RM14.12 x 195 hari
(maksimum RM5000.00 setahun)
Isteri RM8.47 x 195 hari
(maksimum RM3000.00 setahun)
Anak RM3.38 x 195 hari x 2 orang
(maksimum RM1,200.00 setahun untuk seorang anak)
Pemberian Kepada Ibu Bapa
(Jumlah yang sebenar jika diberi)
Perubatan (perbelanjaan sebenar)
Ibu bapa

3

Kos (RM)
RM2,754.00
RM1,652.00
RM1,318.20
RM RM140.00
RM300.00

Contoh pengiraan ini dibuat berdasarkan Panduan Mengeluarkan Zakat yang dikeluarkan oleh Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) (2001) dan temu bual dengan Haji Haji Mohd Nazim Mohd
Noor, Pengurus Baitulmal, MAIPs, pada 27 Februari 2014, jam 4.00 pm hingga 5.00 pm, bertempat di Pejabat
Baitulmal.

7

viii.

Hutang Daruriyyat (Kenderaan & Rumah)
a. Kenderaan
b. Rumah
Jumlah Kos Keperluan Asasi

RM975.00
RM RM7,139.20

7. Jumlah Perlu Bayar Zakat
Pendapatan Kasar (RM12,000.00) – Kos Pengeluaran + Kos Keperluan Asasi (RM2,356.00 +
RM7,139.20 = RM9,495.20) = RM1,459.80 (Pendapatan Bersih)
RM1,459.80 melebihi nisab RM542.69
Jumlah zakat yang perlu dibayar = RM2,504.80 x 10%

RM250.48

*** Nisab zakat pertanian iaitu 2 kunca 7 naleh atau 986.7 kg bersamaan RM542.69. Jika baki
*** mencapai jumlah RM542.69 atau lebih, maka baki itu didarab dengan 10%

Jelas di sini bahawa perkaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Negeri Perlis didapati
masih lagi selari dengan kehendak syarak. Meskipun Perlis membenarkan petani menolak kos
pengeluaran dan kos sara hidup, namun tidak menjadi halangan sekiranya ada dalam kalangan
petani yang mahu mengenakan zakat terhadap pendapatan kasar (Temu bual Haji Mohd
Nazim Mohd Noor, 27 Februari 2014).
HUBUNGKAIT PERAKAUNAN ZAKAT HASIL PADI DI PERLIS
DENGAN ASPEK KESEJAHTERAAN SOSIAL PARA PETANI
Berdasarkan perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Negeri Perlis sebelum ini, jelas
mempamerkan bahawa perakaunan zakat hasil padi di Negeri Perlis bukan sahaja selari
dengan kehendak syarak, malah turut mengambil kira aspek kesejahteraan sosial para petani.
Dalam hal ini, pihak pengurus zakat di Negeri Perlis melihat kos pengeluaran dan kos
keperluan asasi sebagai satu bebanan bagi petani. Bebanan dan kos merupakan faktor yang
memberi kesan terhadap hukum dan kehidupan para petani, maka ia perlu ditolak.
Bagi membuktikan lagi bahawa perakaunan zakat hasil padi di Negeri Perlis mementingkan
aspek kesejahteraan sosial, kekayaan seseorang petani tidak hanya dilihat pada hasil
tanamannya yang mencukupi nisab untuk dikeluarkan zakat. Sebenarnya indikator kekayaan
seseorang petani itu tidak cukup jika hanya dilihat pada pertambahan hasil tanamannya yang
mencukupi kadar nisab tanpa mengambil kira sama ada pendapatan daripada hasil
pertaniannya mencukupi untuk menampung kos penanaman dan perbelanjaan keluarganya
atau tidak.
Misalnya, pada masa kini kemajuan dan perkembangan dalam sektor pertanian memerlukan
petani mengamalkan pertanian moden. Mereka perlu membeli benih padi yang bermutu
tinggi dan pelbagai jenis baja untuk mendapat hasil tanaman yang baik dan berkualiti. Oleh
sebab tanaman padi sering terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti penyakit karah,
virus merah, hawar seludang, hawar bakteria, bintik perang dan pelbagai jenis penyakit lagi
yang boleh mengakibatkan kerugian terhadap para petani, maka para petani perlu membeli
pelbagai jenis racun untuk mengawal dan merawat penyakit-penyakit tersebut. Selain itu,
petani padi juga menggunakan jentera untuk memudahkan dan mempercepatkan proses
penanaman, penuaian dan pengangkutan padi ke kilang pemprosesan padi. Semua aktiviti ini
akan menambah kos penanaman padi berbanding penanaman padi yang dijalankan secara
tradisonal pada zaman dahulu yang menggunakan kos yang sangat minimum.
8

Di samping kos penanaman, seseorang petani itu juga mempunyai tanggungjawab terhadap
keperluan dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak,
ibu bapa yang uzur dan sebagainya. Keperluan di sini ialah keperluan asasi seorang manusia
mengikut tahap keperluan semasa seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan
juga keperluan-keperluan asas yang lain sesuai dengan keperluan semasa. Jika kos keperluan
asasi ini tidak ditolak, maka ia menjadi satu bebanan kepada para petani.
Berdasarkan aspek bebanan yang ditanggung oleh para petani inilah, maka amalan
perakaunan zakat hasil padi di Negeri Perlis tidak dikenakan pada pertambahan kasar hasil
padi semata-mata. Meskipun ada pertambahan hasil padi, namun disebabkan bebanan yang
perlu ditanggung oleh para petani seperti hutang kos pertanian dan keperluan asasi ahli
keluarga yang agak besar, maka pertambahan seperti itu tidak mewujudkan kekayaan.
KESIMPULAN
Berdasarkan perbincangan sebelum ini dapatlah dirumuskan bahawa perakaunan zakat hasil
padi yang diamalkan di Negeri Perlis, iaitu zakat dikenakan terhadap pendapatan bersih
setelah ditolak kos pengeluaran dan kos sara diri adalah selari dengan kehendak syarak. Di
samping selari dengan kehendak syarak, ia juga jelas mengambil kira aspek kesejahteraan
sosial para petani. Aspek kekayaan tidak hanya dilihat pada hasil tanaman yang mencukupi
nisab untuk dikeluarkan zakat, tetapi melihat kepada kecukupan pendapatan daripada hasil
pertaniannya untuk menampung keperluan perusahaan pertanian dan perbelanjaan
keluarganya atau tidak. Tidak bermakna jika zakat dikenakan pada hasil padi semata-mata,
sedangkan seseorang petani itu mempunyai bebanan yang perlu ditanggung seperti hutang kos
pertanian dan keperluan asasi ahli keluarganya.
Penghargaan:
Kertas kerja ini adalah sebahagian daripada hasil kajian yang berjudul Perakaunan Zakat
Pertanian Usahawan Tani di Malaysia (1001/PSOSIAL/816218) yang dibiayai oleh Geran
Universiti Penyelidikan (RUI), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia.
SENARAI RUJUKAN
Abu ‘Ubayd, al-Qasim bin Salam. 1988. Kitab al-Amwal. Beirut, Lubnan: Beirut Dar al-Fikr.
Al-Buhuti, Mansur bin Yunus bin Idris. 1999. Kasyf al-Qina‘, Jil. 2. Beirut, Lubnan: Dar Ihya’
al-Turath al-‘Arabi.
Al-Kasani, Abu Bakr bin Mas’ud. 1998. Bada’i‘ al-Sana’i‘, Jld. 2. Beirut, Lubnan: Dar Ihya’
al-Turath al-‘Arabi.
Al-Khin, Mustafa.; al-Bugha, Mustafa.; & al-Syarbaji, ‘Ali. 2009. Al-Fiqh al-Manhaji, Jld. 2,
terjemahan Zulkifli Mohamad al-Bakri. Bangi, Selangor: Darul Syakir Enterprise.
Al-Mubarakfuri, Abi al-‘Ula Muhammad ‘Abd al-Rahman Ibn ‘Abd al-Rahim. t.t. Tuhfah alAhwazi bi Sayrh Jami‘ al-Tirmizi, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Nawawi, Muhyi al-Din Abi Zakariyya Yahya bin Syarf. 1997. Sahih Muslim bi Syarh
Imam al-Nawawi, Jld. 7. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.
Al-Qaradawi, Yusuf. 1969. Fiqh al-Zakah Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi
Daw’ al-Qur’an wa al-Sunnah. Beirut, Lubnan: Dar al-Irsyad.
Al-Qurtubi, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansari. 1993. Al-Jami‘ li Ahkam alQur’an, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Syawkani, Muhammad bin ‘Ali. 1996. Nayl al-Awtar min Ahadith Sayyid al-Akhyar Sayrh
Muntaqa al-Akhbar, Jld. 4. Beirut, Lubnan: Dar al-Khayr.
Al-Tabari, Abi Ja‘far Muhammad bin Jarir. 1992. Tafsir al-Tabari al-Musamma Jami‘ alBayan fi Ta’wil al-Qur’an, Jld. 5. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
9

Al-Zuhayli, Wahbah. 1989. Al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Jld. 2. Damsyiq: Dar al-Fikr.
Asmak Ab. Rahman & Pazim@Fadzim Othman, 2005. Kaedah Taksiran Zakat Padi dan
Kesannya Terhadap Petani: Kajian di Selangor, Jurnal Syariah, 13 (1). Hlm. 37-63.
ISSN 0128-6730.
Ibn Hajar, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani. 1989. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari,
Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ibn Kathir, al-Hafiz Abi al-Fida’ Isma‘il. 1992. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 2. Beirut,
Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.
Ibn Qudamah, Mawaffaq al-Din ‘Abd Allah Ibn Ahmad al-Maqdisi. 1997. Al-Mughni, Jld. 4.
Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub.
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2008. Manual Pengurusan Pengiraan Zakat.
Putrajaya: JAWHAR, Jabatan Perdana Menteri.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), 2001. Panduan Mengeluarkan
Zakat. Kangar, Perlis: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
Muhammad Kamal ‘Atiyyah, 1995. Perakaunan Zakat: Teori dan Praktis, terjemahan Mohd
Nor Ngah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Temu bual Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Pengurus Baitulmal, Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pada 27 Februari 2014, jam 4.00 pm hingga 5.00 pm,
bertempat di Pejabat Baitulmal.
Yahya Ibn Adam. t.t. Kitab al-Kharaj. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.

10