ISU ETIKA GURU ISU KESANTUNAN GURU

ISU ETIKA GURU : ISU KESANTUNAN GURU
1.0

PENDAHULUAN

Profesion keguruan merupakan profesion amat terpuji dan mulia di kaca mata
masyarakat.

Menurut Mohd. Fadzly (2011), fungsi dan peranan guru dipandang

tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur
perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.
Hal ini kerana guru bukan sahaja mengajar subjek tertentu di dalam kelas malah
mereka merupakan ejen kepada perubahan minda masyarakat.
Guru yang bertindak sebagai agen perubahan perlu memainkan peranan
berkesan dengan sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Di
samping itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melakukan pelbagai
usaha untuk menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan
disegani ramai (Noriati et.al, 2010). Sehubungan dengan itu, para guru dituntut agar
sentiasa profesional dalam menjalankan amanah mereka sebagai seorang pendidik.
Seorang guru yang profesional perlu mematuhi peraturan yang termaktub dalam

etika profesion keguruan.
Etika membincangkan sama ada betul atau salahnya sesuatu perlakuan.
Menurut Thiroux (2000) dalam Foo (2005), etika merujuk kepada satu bahagian
moral (morality) yang mengkhususkan perbincangan tentang tingkah laku dan nilai
manusia. Di Malaysia, para guru perlu mematuhi kod etika keguruan. Kod etika
keguruan ini dirangkakan sebagai panduan kepada para guru agar tidak melakukan
sesuatu yang boleh mencemarkan imej profesion keguruan.

Kod etika ini juga

mengingatkan para guru agar tidak melibatkan diri dalam salah laku semasa
memberi perkhidmatan pendidikan di negara ini.
Walau bagaimanapun, kerjaya profesion perguruan pada abad ini tidak
terlepas daripada isu-isu yang boleh mencalar imej profesion perguruan itu sendiri.
Walaupun isu yang diperkatakan berpunca daripada segelintir guru, namun perkara
ini secara tidak langsung telah menyebabkan pandangan masyarakat terhadap
profesion perguruan turut tercalar.

Oleh itu, bagi tugasan Asas Kepimpinan dan


Perkembangan Profesional Guru (EDU 3083 ini), penulis akan mengupas mengenai
isu salah laku guru dan membuat ulasan mengenai isu kesantunan guru berdasarkan
artikel yang telah dipilih.

1

2.0

ISU ETIKA GURU

Paparan mengenai isu salah laku guru sering dilaporkan. Antara isu etika guru yang
dilaporkan adalah seperti isu kesantunan guru, isu kepedulian guru, isu penampilan
guru, isu guru berniaga di sekolah, pengurusan kewangan, pengurusan masa dan
kerjaya sambilan guru. Kesemua isu ini boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran
organisasi di sekolah.

Walau bagaimanapun, penulis hanya akan memfokuskan

perbincangan terhadap isu kesantunan tingkah laku guru.


2.1

Isu kesantunan tingkah laku guru

Ibu bapa amat bergantung harap sepenuhnya kepada para guru supaya dapat
membentuk dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Namun,
berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman yang
dikenakan guru terhadap murid secara melampau sering kali dilaporkan.

Hal ini

memberikan gambaran bahawa penerapan nilai kesantunan tingkah laku dalam diri
segelintir guru semakin terhakis.
Menurut Noriati et. al (2010), kesantunan ialah perlakuan yang mampu
menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain yang menjadikan sesuatu
pergaulan itu berada dalam keadaan harmoni dan mesra. Menurut Awang Sariyan
(2007) pula, kesantunan ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab,
memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang
menjadi


teman

bicara.

Manakala

Syed

Ismali

dan Ahmad

Subki

(2010)

mendefinisikan kesantunan sebagai perilaku yang ditetapkan dan disepakati oleh
suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut menjadi
prasyarat dalam perilaku sosial.
Jika merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula, kesantunan atau

perihal santun bermaksud kesopanan dan kehalusan budi bahasa atau budi pekerti.
Kehalusan budi bahasa atau budi pekerti pula merujuk kepada seseorang yang
mempunyai perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak yang baik.
Berdasarkan rujukan kamus dan pendapat tokoh-tokoh akademik dapatlah
diringkaskan bahawa seseorang yang santun bukan sahaja perlu menjaga tutur kata
malah tingkah lakunya juga perlu dijaga. Oleh itu, nilai kesantunan tingkah laku ini
perlu ada dalam diri setiap guru kerana guru merupakan ‘role model’ yang menjadi
contoh dan teladan kepada murid-murid.

2

Selain menjadi rol model kepada murid, keperluan mempunyai nilai
kesantunan tingkah laku dalam diri seorang guru juga adalah supaya tidak
berlakunya pelanggaran kod etika keguruan.

Merujuk kepada prinsip kesetiaan

dalam kod etika keguruan, seorang guru tidak harus mengamalkan tingkah laku yang
tidak sopan terhadap murid yang boleh menyebabkan jatuhnya martabat profesion
keguruan (Foo, 2005). Oleh itu, apabila berlakunya kes guru pukul murid, guru dera

murid, guru mencederakan murid dan sebagainya, guru tersebut boleh dikatakan
sebagai guru yang tidak mempunyai ciri kesantunan tingkah laku dan telah
melanggar kod etika keguruan yang telah digariskan.
Penulis telah menjumpai sebuah artikel yang berkaitan dengan isu
kesantunan tingkah laku guru. Seorang guru dikatakan ‘naik angin’ lalu membaling
kasut setelah mendapati seorang murid perempuan ingkar arahannya supaya tidak
bermain di dalam kelas. Bukan setakat itu sahaja, guru tersebut juga langsung tidak
menghiraukan kecederaan yang dialami mangsa setelah berlaku insiden tersebut.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa guru tersebut telah bertindak mengikut
emosi tanpa menghiraukan keselamatan murid berkenaan. Penulis akan mengupas
dan mengulas dengan lebih lanjut lagi mengenai artikel tersebut.

3.0

ULASAN ARTIKEL ISU GURU ‘NAIK ANGIN’

Dasar Kementerian Pelajaran menjelaskan tiada seorang pun warga pendidik yang
boleh melakukan sesuka hati mereka di sekolah. Pihak kementerian juga sudah
menyediakan garis panduan berhubung tindakan disiplin (Sapora Sipon, 2007). Oleh
itu, memberi hukuman terhadap murid yang melakukan kesalahan tidak boleh

menyalahi etika keguruan yang ditetapkan.

Pendedahan-pendedahan salah laku

guru oleh media massa sedikit sebanyak boleh mengakibatkan kewibawaan
profesion keguruan tergugat pada mata umum.
Sebuah artikel daripada sumber akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Julai 2014
bertajuk “Cikgu Naik Angin Baling Kasut” yang dikarang oleh Nurulatiq Ahmad Bandi
membuktikan bahawa seorang guru telah melakukan perbuatan yang menyalahi
etika perguruan. Berdasarkan artikel tersebut, seorang guru lelaki di sebuah sekolah
kebangsaan di Port Dickson telah didakwa kerana membaling kasut kepada seorang
murid perempuan tahun dua sehingga menyebabkan kecederaan di dahi dan
menerima tiga jahitan.

Kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada tindakan

3

murid tersebut yang bermain di belakang kelas bersama dua rakannya ketika guru
terbabit sedang mengajar mata pelajaran Pendidikan Moral.


Berikut merupakan

keratan akhbar yang dimaksudkan :
Penulis
: Nurulatiq Ahmad Bandi
Tarikh : 11 Julai 2014
Tajuk
: “Guru Naik Angin Baling Kasut”
Sumber
: Sinar Harian Online

(Rujuk lampiran 1 untuk artikel penuh)
Berdasarkan isu yang dilaporkan ini, guru tersebut jelas telah melanggar kod
etika keguruan kerana melakukan perbuatan yang mendatangkan kecederaan
kepada muridnya. Merujuk kod etika perguruan di Malaysia, guru perlu menjalankan
tanggungjawabnya kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan
negara (Foo, 2005).

Keadaan ini jelas menunjukkan perbuatan guru tersebut


bertentangan dengan akauntabiliti keguruannya terhadap murid. Jika diamati, kes
yang dilaporkan ini termasuk dalam isu kesantunan tingkah laku guru. Dalam kes ini,

4

guru tersebut seharusnya bertindak secara matang untuk menyelesaikan masalah
yang dihadapi tanpa bertindak mengikut emosi.
Apabila melihat kepada kes yang berlaku ini, boleh dikatakan bahawa guru ini
tidak mempunyai sifat santun kepada anak muridnya. Guru seharusnya menegur
perbuatan muridnya dengan lebih berhemah. Berdasarkan maklumat yang terdapat
dalam artikel tersebut, guru yang berkenaan mengajar subjek Pendidikan Moral.
Dimanakah letaknya nilai moral seseorang guru jika menegur murid dengan
menggunakan kekerasan? Kelas pendidikan moral sepatutnya mengajar murid-murid
tentang budi bahasa dan nilai-nilai moral, namun sebaliknya pula yang berlaku.
Persoalannya, mengapakah guru itu tidak menegur perbuatan murid-murid
tersebut tidak dengan cara yang lebih berhemah? Apakah yang mendorong guru
tersebut melakukan perbuatan tersebut?

Segalanya menjadi persoalan yang


bermain di minda penulis sedangkan para guru sudah tahu akibat yang bakal
dihadapi sekiranya mereka melanggar kod etika keguruan yang telah ditetapkan.
Keadaan ini juga mendorong penulis untuk mengenal pasti punca-punca yang
mendorong guru melakukan perbuatan tersebut, cara mengatasi dan implikasinya
terhadap profesion perguruan.

4.0

ANALISIS KRITIKAL ISU GURU ‘NAIK ANGIN’
4.1

Definisi ‘naik angin’

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), ‘naik angin’ diertikan sebagai
ketidakkawalan diri kerana terlalu marah. Selalunya istilah ‘naik angin’ ini
dimaksudkan juga sebagai perbuatan mengamuk.

Mengamuk berasal


daripada perkataan ‘amuk’ membawa maksud menyerang secara membabi
buta kerana terlalu marah.

Jika dilihat daripada definisi yang diberikan,

apabila seseorang guru ‘naik angin’, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa
guru tersebut tidak dapat mengawal emosi marahnya secara waras.

4.2

Punca-punca guru ‘naik angin’ terhadap murid

Menurut kenyataan yang dibuat oleh Dunham dan Varma (1998) dalam
Noriati et. al (2010),

tekanan yang dihadapi oleh guru adalah berpunca

daripada ketidakmampuan guru mengawal disiplin di dalam bilik darjah dan
sekolah. Oleh itu, masalah disiplin murid boleh dijadikan sebagai punca

5

seseorang guru ‘naik angin’ terhadap murid dan melakukan sesuatu diluar
kawalan emosinya.
Dalam era modenisasi kini, murid kurang menghargai dan menghormati
perasaan guru. Guru sering kali dikejutkan dengan tindakan murid diluar jangkaan
seperti tidak mematuhi arahan, melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Oleh itu,
sekiranya masalah disiplin murid tidak dapat ditangani dengan baik, guru cenderung
untuk melakukan tindakan yang tidak profesional sebagai penyelesaian kepada
permasalahan tingkah laku murid yang kurang disenangi.
Selain itu, tekanan kerja guru juga merupakan salah satu punca yang boleh
menyebabkan seseorang guru ‘naik angin’ terhadap murid. Mengikut Kyriacou &
Sutcliffe (1978) dalam Kamaruzaman (2007) menyatakan bahawa tekanan guru
boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah,
kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka
sebagai guru.

Oleh itu, tidak hairan jika tekanan kerja yang dialami oleh guru

menyebabkan segelintir guru hilang pertimbangan semasa mengenakan hukuman
terhadap murid.
Bersangkutan dengan isu tekanan kerja guru, bekas Menteri Pelajaran, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah mendedahkan bahawa beban kerja para
guru pada masa kini adalah terlalu berat. Selain tugas-tugas hakiki selaku pendidik,
isu longkang sumbat, isu siling bocor juga antara bebanan yang terpaksa dipikul
guru.

Pengharapan untuk menaikkan tahap akademik pelajar dan sekolah turut

meningkatkan bebanan kerja para guru selain tanggungjawab remeh-temeh yang
terpaksa digalas mereka (Utusan Online, Januari 2008).
Kenyataan ini disokong juga oleh Sapora Sipon (2007) yang menyatakan
bahawa bidang perguruan adalah satu profesion yang amat terdedah kepada
tekanan. Menurut beliau lagi, tekanan yang dihadapi oleh guru boleh memberi kesan
kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu pengajaran dan
pembelajaran.

Keadaan ini berlaku apabila guru tidak mampu untuk mengawal

emosi akibat tekanan. Oleh itu, tekanan kerja yang dihadapi oleh guru ini perlu
dianalisis dengan lebih mendalam lagi agar tidak menjejaskan hubungan guru
dengan murid termasuklah mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Gangguan emosi guru juga boleh dikatakan sebagai punca guru ‘naik angin’
terhadap murid.

Menurut Goleman (1998) dalam Mok Soon Sang (2010),

6

kecerdasan emosi adalah kemampuan untuk mengawal dan mengelolakan diri
sendiri dan orang lain dari aspek perasaan, emosi dan tingkah laku.

Kecerdasan

emosi juga merupakan tindakan dan kepintaran untuk mengubahsuai sesuatu
tingkah laku bersesuaian dengan masa dan keadaan. Emosi yang tidak stabil akan
boleh mengakibatkan berlakunya sesuatu perbuatan di luar kewarasan akal.
Emosi yang tidak stabil ini boleh terhasil apabila guru tidak mencapai
keperluan peribadi. Misalnya, seorang guru mempunyai sasaran terhadap tingkah
laku murid agar tidak bermain semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Apabila telah berulang kali tingkah laku yang sama dilakukan, guru akan merasa
kecewa, rasa putus asa dan akhirnya menyebabkan guru bertindak diluar kawalan
kerana berasa tercabar apabila murid ingkar arahannya.
Punca

seterusnya

ialah

kurangnya

pembelajaran daripada pihak pentadbir.

pemantauan

pengajaran

dan

Semasa pemantauan dilakukan, guru

yang dipantau akan dinilai daripada pelbagai aspek.

Menurut Ab. Aziz (1999),

penilaian pengajaran merupakan suatu sistem formal untuk menilai prestasi kerja
seseorang dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti kerja yang dibuat. Menurut
beliau lagi, penilaian ini perlu dilakukan secara berterusan bagi tujuan pembangunan
prestasi kerja. Namun, jika kurangnya pemantauan daripada pihak pentadbir, maka
para guru cenderung untuk menjadi agresif kepada murid kerana mereka tidak perlu
risau akan akibat daripada tindakan mereka. Pemantauan yang kurang juga akan
menyebabkan guru dengan sewenang-wenangnya bertindak mengikut perasaan
tanpa menghiraukan keselamatan murid.
Profesion

guru

dijadikan

sebagai

kerjaya

pilihan

terakhir

oleh

sesetengah graduan juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan
berlakunya pelanggaran kod etika guru. Hal ini kerana graduan yang menjadikan
kerjaya guru sebagai pilihan terakhir mereka tidak mempunyai jiwa sebagai seorang
pendidik. Mereka juga dilihat kurang memberikan komitmen dalam kerja, kurang
nilai dalam kehidupan dan mempunyai etika kerja yang lemah.
Ramai yang menganggap tanpa latihan asas pun mereka masih boleh
menjadi guru sandaran atau guru sementara. Hal ini kerana menurut Shuib & Johari
(2001), pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah
sama, iaitu untuk mengajar, mendidik manusia yang bernama murid dari keadaan
yang tidak mengenal huruf, tidak tahu mengira dan tidak boleh membaca kepada

7

celik huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya. Namun jika tiada jiwa
sebagai seorang pendidik, tugas guru tidak mampu digalas dengan sempurna juga.
Apabila sikap ini wujud, maka individu yang menjadikan kerjaya guru sebagai
pilihan terakhir tersebut akan mengambil ringan tugas yang telah diamanahkan
sehinggakan tiada lagi rasa tanggungjawab untuk bersungguh-sungguh dalam
mendidik anak bangsa dan apa yang penting bagi mereka hanyalah gaji yang bakal
diterima pada setiap bulan.
Faktor penghargaan boleh juga menjadi punca guru berkelakuan agresif
terhadap murid.
perbuatan

Menurut Raja Maria (2011), penghargaan merujuk kepada

menghargai,

penghormatan,

penyanjungan.

Menurut

beliau

lagi,

penghargaan juga merujuk kepada penghargaan ke atas pengajaran yang baik,
struktur kerjaya, peluang naik pangkat, mempunyai suara dalam membuat keputusan
dan persepsi guru terhadap gaji yang diterima berbanding dengan tugas yang
dipikul.
Secara mudahnya, penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang
sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan cemerlang
dalam akademik dan kokurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-benar memberi
komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun penghargaan
yang sewajarnya masih belum diperolehi. Sehubungan dengan itu, jika diamati faktor
kurang penghargaan merupakan faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja
kepada guru seterusnya menyebabkan emosi guru tidak stabil apabila berhadapan
dengan murid.
Berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan, jelaslah bahawa isu salah laku
guru terhadap murid berpunca daripada pelbagai faktor.

Faktor-faktor yang

mendorong kepada masalah salah laku guru ini menjadi satu cabaran kepada
pelbagai

pihak

termasuklah

pihak

Kementerian

Pelajaran

Malaysia

dalam

memikirkan cara-cara untuk memartabatkan semula profesion perguruan yang
semakin dipandang serong oleh masyarakat.

8

4.3

Cadangan mengatasi masalah guru ‘naik angin’ terhadap murid

Cadangan pertama bagi mengatasi masalah guru ‘naik angin’ terhadap murid ini
ialah peranan pihak pentadbir untuk menganjurkan program berkaitan
pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar.
Hal ini kerana menurut Sapora Sipon (2010), program pengurusan tekanan mampu
membantu individu mengurus punca-punca tekanan selain diberikan input-input
tentang cara untuk menterjemahkan perasaan dengan cara yang betul tanpa
menggangu prestasi kerja.
Cadangan kedua pula ialah para guru disarankan untuk melaksanakan
peraturan berkaitan dengan sifar masalah disiplin di dalam kelas.

Menurut

Noriati et.al (2009), penguatkuasaan peraturan di dalam kelas ini merujuk kepada
Model Disiplin Asertif yang telah diperkenalkan oleh Lee dan Marlene Canter setelah
mendapati majoriti guru tidak mampu mengawal tingkah laku yang tidak diingini
berlaku dalam bilik darjah. Cadangan ini juga releven setelah mendapati masalah
disiplin murid merupakan salah satu punca guru bertindak diluar kawalan emosinya.
Dengan adanya peraturan kelas sebegini, murid akan dikenakan tindakan
berdasarkan hukuman yang telah dipersetujui secara bersama sahaja.

Oleh itu,

masalah disiplin di dalam kelas berjaya dikurangnya sekali gus dapat mengelakkan
kejadian guru bertindak secara keterlaluan bagi tujuan menghukum murid yang
melanggar disiplin.
Cadangan ketiga ialah para guru perlu

menghadiri kursus yang

dikendalikan oleh kerajaan bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab
sebagai pendidik. Nilai murni seperti kemanusiaan, kasih sayang, nilai moral, etika,
tanggungjawab dan sebagainya perlu diterapkan ke dalam diri setiap guru. Nilai
hidup yang baik ini dapat memelihara mereka daripada melakukan tindakan yang
bertentangan dengan norma hidup masyarakat. Dengan kata lain, para guru perlu
melibatkan diri secara produktif dalam setiap proses perubahan yang mempunyai
tujuan moral yang dikaitkan dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
Cadangan seterusnya pula ialah kerajaan digesa agar mengurangkan
penempatan guru sandaran atau guru sementara yang tidak terlatih.
Kekosongan jawatan guru sama ada di sekolah biasanya diisi oleh guru sandaran

9

yang tidak mendapat latihan secara formal sama ada di institut perguruan ataupun
universiti. Umum tidak dapat menafikan mengenai keperluan mengisi kekosongan
tersebut atas dasar keperluan pendidikan murid di sekolah, namun pandangan
masyarakat terhadap profesion keguruan ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila
ada sesetangah pihak yang menganggap tanpa mengikuti latihan perguruan di
tempat-tempat tertentu, mereka masih boleh menjadi seorang guru. Bahagian Dasar
dan Penyelidikan Pendidikan perlu mengambil langkah yang proaktif terhadap
lambakan guru-guru sandaran tidak terlatih di sekolah yang sekali gus akan
merendahkan martabat profesion keguruan.
Cadangan yang terakhir ialah pemilihan calon guru yang benar-benar
layak dan cinta akan profesion keguruan.

Menurut Wan Zahid (1998), kajian

yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian ‘burn-out’ jelas
menunjukkan bahawa guru yang sering kali menghadapi masalah ini ialah guru yang
kurang berminat menjadi guru sejak dari awal lagi. Calon-calon guru yang dipilih
perlulah bukan dalam kalangan graduan yang menjadikan profesion keguruan
sebagai kerjaya terakhir. Hal ini kerana sekiranya profesion ini adalah pilihan yang
terakhir bagi calon guru tersebut, minat utama terhadap profesion ini sebenarnya
hanya sedikit sahaja dan akibatnya selepas dua atau tiga tahun menjadi guru,
mereka mula bosan dengan tugas sebagai seorang guru.

4.4

Implikasi salah laku guru terhadap profesion keguruan

Sekiranya tingkah laku negatif guru terhadap murid tidak dibendung dengan baik,
berkemungkinan besar masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Implikasi
daripada perlakuan negatif guru ini bukan sahaja memberikan kesan kepada diri
guru dan mangsa malah kewibawaan profesion perguruan turut terjejas akibat
perbuatan segelintir guru ini.

Bak kata pepatah, “kerana nila setitik, rosak susu

sebelanga”.
Salah satu implikasinya ialah profesion perguruan akan dipandang rendah
oleh masyarakat. Akibat tindakan segelintir guru, masyarakat sudah mula hilang
kepercayaan kepada pentadbiran sekolah secara amnya dan para guru secara
khususnya dalam menyediakan pendidikan yang selamat dan berkesan. Jika dahulu
masyarakat menganggap kerjaya guru sebagai kerjaya yang mulia, namun akibat
tindakan segelintir guru yang mencemar nama baik profesion ini, bidang perguruan
ini tidak akan dihormati lagi oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.

10

Selain itu, implikasi salah laku guru terhadap profesion perguruan ialah
generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru. Hal ini kerana mengikut
Lilia dan Norlena (1998) dalam Noriati et.al (2010), penyusutan kuasa untuk
menjalankan tugas secara profesional menyebabkan imej profesion perguruan
menurun di kaca mata masyarakat.

Apabila hal ini terjadi profesion ini akan

kekurangan genarasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Kerajaan
pula tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek
kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini.
Perbuatan guru yang melampaui batas semasa menghukum murid juga
telah menjejaskan nama baik guru yang bekerja dalam profesion perguruan
terutamanya apabila berita kurang baik ini berleluasa disebarkan di dada-dada
akhbar. Selain itu, akibat daripada tindakan guru terbabit, guru-guru yang lain juga
menerima tempiasnya terutamanya guru-guru yang berada di sekolah berkenaan
sekali gus menyebabkan mereka dipandang serong oleh masyarakat setempat.
Tambahan lagi, guru yang bertindak tanpa memikirkan nilai sahsiah dan
moral terhadap anak muridnya telah bergerak selangkah untuk menggelapkan
masa depannya sendiri. Hal ini kerana guru tersebut boleh dikenakan tindakan
tatatertib jika disabitkan kesalahan. Tindakan di luar kewarasannya itu juga turut
memberikan kesan terhadap murid yang dicederakan termasuklah trauma dan
hilang motivasi untuk ke sekolah. Kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa
murid terbabit terhadap guru sebagai penyampai ilmu turut dimusnahkannya dengan
perlakuan tersebut.

Murid-murid yang lain di dalam kelas juga akan berasa takut

untuk mengikuti kelas yang dilaksnakan oleh guru terbabit.
Implikasi lain yang dihadapi oleh guru yang melakukan perbuatan ini ialah
hubungan guru dan murid menjadi renggang di mana semua murid akan menjadi
takut untuk menuntut ilmu dengan guru tersebut. Dalam situasi ini murid berasa
tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu hubungan guru dan
rakan sejawat juga akan musnah kerana guru lain tidak akan percaya kepada guru
tersebut. Guru tersebut juga akan mengalami masalah jiwa terhadap perbuatan
yang dilakukannya.

11

5.0

PENUTUP

Profesion keguruan merupakan satu profesion yang memainkan peranan yang
sangat penting dalam menjulang martabat pendidikan di negara kita Malaysia. Hal
ini kerana golongan guru merupakan golongan utama yang diamanahkan untuk
membantu negara dalam mencapai matlamat utama pendidikan negara iaitu bagi
menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui
perkembangan bersepadu individu yang menyeluruh dari segi jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Semua warga guru bertanggungjawab untuk membantu segala usaha bagi
mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan menjadikan negara ini sebagai
pusat kecemerlangan bertaraf dunia. Sifat-sifat yang luhur, bertanggungjawab serta
mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi semestinya menjadi amalan
sepanjang menggalas jawatan sebagai guru.
Guru juga seharusnya mempunyai etika kerja supaya dapat menanamkan
sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas
yang diamanahkan bagi meningkatkan kualiti kerja. Selain itu, etika kerja ini juga
dapat meningkatkan disiplin diri bagi menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang
kepada murid-murid dan organisasi serta dapat memberikan sumbangan positif yang
berterusan kepada negara
Walaupun isu tingkah laku negatif guru ini sedikit sebanyak telah menjejaskan
imej profesion perguruan, namun masyarakat seharusnya bijak menilai bahawa tidak
semua guru mempunyai sikap yang sama. Masih ramai lagi guru yang bertungkuslumus mendidik anak-anak bangsa dengan jujur dan ikhlas.

Masyarakat tidak

seharusnya menghakimi para guru dengan gelaran-gelaran tertentu yang tidak enak
didengar.
Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya
yang cukup mencabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seseorang
guru dalam memberikan sesuatu yang terbaik kepada murid. Sesuatu yang positif
perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan, pentadbiran sekolah dan juga guru
sendiri bagi mengelakkan punca-punca tingkah laku negatif guru ini membawa kesan
yang lebih teruk sekiranya dibiarkan berterusan.

12

13