Sejarah menurut pandangan sarjana tokoh

PENGERTIAN SEJARAH
MENURUT PANDANGAN
SARJANA MUSLIM DAN BARAT
Pendahuluan
Manusia dan peristiwa adalah dua perkara yang amat berkait rapat antara satu
sama lain. Oleh itu, sejarah tidak dapat dipisahkan dari rentetan kehidupan manusia
masa lampau hinggalah kini. Ia merupakan satu interaksi berterusan yang tiada
penghujungnya.
Pada hakikatnya, kepentingan sejarah telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran
Al-Karim. Ulama telah menganggarkan kira-kira satu perenam daripada Al-Quran
adalah terdiri daripada kisah-kisah sejarah. Salah satu contoh ayat Al-Quran yang
menyentuh tentang sejarah yang disebut sebagai ‘kisah’ adalah seperti berikut:

Terjemahannya:
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran
ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah
termasuk orang yang belum mengetahui.1
Manakala dalam Surah al-Qasas, sebahagian besarnya menceritakan kisah Nabi
Musa (as) menentang Firaun dan kaumnya. Antaranya ialah:

Terjemahannya:

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas,
serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya
dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak
perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat
kerosakan.2

Terjemahannya:
Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta
hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka
apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. Dan Kami ilhamkan
kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu
bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)
lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula
berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami
akan melantiknya menjadi seorang dari Rasul-rasul Kami. Setelah itu dia dipungut
oleh orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan
dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orangnya adalah
golongan yang bersalah.3
Manakala Surah al-Kahfi pula menceritakan kisah sekumpulan pemuda yang tidur di
dalam gua. Antara ayatnya ialah:


Terjemahannya:
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashabul Kahfi” dan
“Ar-Raqim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang muda pergi ke
gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu,
dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan
agama kami”. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu,
bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari

tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang
lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami
ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar;
sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan
kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.4
Pengertian Sejarah Secara Umum
Pengertian sejarah sebenarnya amat kompleks untuk diperbincangkan. Sejarawan
mendefinisikan sejarah mengikut ide masing-masing yang dipengaruhi oleh zaman,
tempat dan budaya masing-masing. Sebagai contohnya pengertian sejarah dari segi
bahasa itu sendiri berbeza menurut sesuatu bangsa.

Dalam bahasa Melayu perkataan sejarah itu sendiri mempunyai pelbagai makna
tetapi maksudnya sama. Menurut Kamus Dewan, sejarah bererti asal-usul
(keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau,
kisah, riwayat, tambo dan tawarikh.5
Menurut R.O. Winstedt, perkataan sejarah berasal dari bahasa Arab yang membawa
makna salasilah, tawarikh dan babad.6 Melalui kenyataan Winstedt ini, sejarawan
Melayu seperti Ibrahim Alfian dan Mahayuddin Yahaya berpendapat, perkataan
sejarah berasal dari perkataan Arab ‘syajarat’ (‫ ) شجرة‬yang bererti pohon. Pohon
atau pokok yang mempunyai dahan dan ranting dinisbahkan kepada salasilah dan
jurai keturunan yang bercabang-cabang.7
Perkataan tawarikh yang diguna pakai oleh orang Melayu sekitar awal abad ke 19
dikatakan juga diambil dari perkataan Arab ‘al-tarikh’ (‫)التاريخ‬. Selain dari ‘tawarikh’
antara istilah yang agak popular digunakan ketika itu adalah ‘hikayat’ dan ‘riwayat’.
Ketiga-tiga istilah ini telah digunapakai sehingga tahun 1950an dan 60an.8 Akhir
tahun 1960an, perbicaraan sejarah telah menggunakan istilah ‘sejarah’ secara
menyeluruh, namun begitu, istilah ‘riwayat’ terus digunakan bagi merujuk karyakarya pensejarahan yang berbentuk biografi dan riwayat hidup.9
Manakala dalam bahasa Inggeris perkataan ‘history’ yang berasal dari perkataan
Yunani, ‘historia’ adalah membawa maksud penyelidikan. Namun terdapat perbezaan
antara perkataan historia zaman Yunani dengan perkataan history pada zaman
moden. Historia adalah karya-karya sejarah yang berunsur mitos dan legenda.

Manakala history adalah karya sejarah yang berdasarkan kajian dan penyelidikan.
Contoh karya Yunani ialah Illiad dan Odyssey yang dihasilkan oleh Homer. Antara
sejarawan Yunani yang terkenal ialah Herodotus yang menghasilkan Historia pada
abad ke 5 SM, buku tersebut dianggap sebagai karya ulung orang Yunani dalam
bidang sejarah.10
Menurut Kamus Oxford Fajar, ‘history’ bermaksud sejarah, tawarikh, asal-usul,
riwayat (hidup).11 Jika kita merujuk kepada Shorter Encylopedia of Islam, ‘tarikh’
ialah era, kronologi. Asal perkataan ini ‘ta’rikh’ adalah bererti penentuan tarikh dan
juga bermaksud asal-usul, kerja-kerja penyelidikan, sejarah dan jurai keturunan.12
Dalam bahasa Arab, terdapat dua perkataan yang digunakan sebagai sejarah iaitu
‘ta’rikh’ (‫ )تأريخ‬dan ‘tarikh’ (‫) تاريخ‬. Penggunaan perkataan ‘ta’rikh’ adalah berasal dari
akar kata ‘arrakha’ (‫ ) أرخ‬yang bermaksud penulisan sejarah (to write the history).13

Ta’rikh juga didefinisikan sebagai catatan peristiwa yang dikaitkan dengan masa,
waktu dan haribulan atau zaman.
Perkataan ‘tarikh’ digunapakai oleh bangsa Arab yang bermaksud sejarah secara
umum, tahun-tahun dan kronologi. Perkataan tersebut kebiasaannya menjadi tajuk
kepada penulisan sejarah yang hebat seperti Tarikh At-Tabari, Tarikh al-Rusul walMuluk dan Tarikh al-Andalus. Perkataan ‘tarikh’ juga digunakan sebagai tajuk bagi
kamus seperti Tarikh Al-Hukama oleh Ibn Al-Kifu.14
Saydina ‘Umar al-Khattab dikatakan sebagai orang pertama yang melahirkan istilah

‘tarikh’, tujuannya untuk membezakan makna sejarah di zaman Yunani dan Jahiliyah
dengan makna sejarah di zaman Islam. Ta’rikh adalah suatu istilah yang diarabkan.
Ia berasal dari bahasa Parsi ‘mah roz’. Pada zaman pemerintahan Saydina ‘Umar,
pada suatu ketika Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada Khalifah ‘Umar, beliau
berkata: “Kami telah menerima sepucuk surat daripada khalifah, tetapi kami tidak
tahu apa yang nak dibuat. Kami ada menerima arahan bayaran pada bulan Syaaban,
tetapi kami tidak tahu Syaaban yang mana satu, yang lepas atau yang akan
datang.” Ada pendapat lain yang menyebut mengenai peristiwa ini mengatakan
sebaliknya, iaitu Saydina ‘Umar yang menerima surat daripada Abu Musa untuk
pembayaran bulan Sya’ban dan Saydina ‘Umar menanyakan persoalan yang sama.
Hurmuzan, raja al-Ahwaz yang ditawan dalam peperangan Fars berada dalam
tawanan Saydina Umar. Beliau berkata: “Orang Ajam mempunyai takwim mereka
yang dipanggil mah roz.” Rentetan daripada itu, Saydina ‘Umar berkata: “Ajarlah
manusia tentang masa (ta’rikh) kerana dengan itu mereka boleh mengatur urusan
perniagaan mereka dengan baik.” Dari perkataan inilah diarabkan menjadi mu’arikh
dari kata akar ta’rikh. Setelah berbincang, orang-orang Islam mengambil tahun
penghijrahan Nabi Muhammad (saw) sebagai permulaan takwim Hijrah. Oleh itu
permulaan penggunaan tahun Hijrah dikuatkuasakan pada tahun ke 17 Hijrah. 15
Pengertian Sejarah Mengikut Pandangan Sarjana Muslim
Kebanyakan tokoh sarjana Islam cuba membuat pembaharuan dari segi teori, metod

dan pengkaedahan sejarah Islam daripada bentuk hanya mencatat tarikh-tarikh
tertentu secara kronologi kepada pensejarahan berdasarkan zaman-zaman tertentu
atau tema-tema tertentu. Untuk menjelaskan tentang erti sejarah mengikut
pandangan sarjana muslim, tokoh-tokoh zaman awal dipilih. Ini kerana tokoh-tokoh
inilah yang meng-hasilkan teori tentang sejarah mengikut pandangan mereka
sendiri. Berbeza dengan sarjana muslim zaman moden, mereka mendefinisikan
sejarah dengan merujuk kepada tokoh-tokoh yang lebih awal dari mereka.
Al-Iji atau nama sebenarnya Muhammad bin Ibrahim al-Iji yang hidup pada
kurun ke 8H/14M menyebut tentang teori sejarahnya dalam bukunya, Tuhfat al-Faqir
ila Sahib al-Sarhir. Dalam buku ini, teori sejarahnya berdasarkan prinsip-prinsip
agama yang dibahas mengikut perbahasan ilmu falsafah. Antara rujukannya ialah
daripada karya-karya Ibn Al-Jawzi, al-Tabari, Ibn Ishaq, Al-Isfahani. Beliau yang
berpendidikan ilmu agama yang berpengkhususan dalam bidang hadis, telah
menyebabkan idea-ideanya tentang sejarah dipengaruhi oleh disiplin agama dan
falsafah. Kerana itulah beliau berpendapat sejarah ialah suatu kajian tentang alam

tabii seperti geografi, fizik dan alam metafizik. Sejarah juga membicarakan tentang
manusia, tokoh-tokoh tertentu atau lebih khususnya penyebar-penyebar agama.
Disebabkan oleh terpengaruh dengan hadis, beliau lebih suka menggunakan
perkataan khabar (jamak: akhbar) daripada tarikh (jamak:tawarikh) bagi sejarah.

Pada pandangan beliau khabar lebih umum kerana sebarang berita atau peristiwa
dianggap sebagai khabar, manakala tarikh hanya merujuk kepada era, masa atau
kronologi bagi peristiwa tertentu sahaja.
Kesimpulannya, pengertian sejarah menurut al-Iji ialah suatu ilmu mengenai alam
yang dicipta Allah (swt) yang mengandungi ruang lingkup masa dan peristiwa yang
menjadi objeknya ialah makhluk itu sendiri terutama manusia dan kesan daripada
aktiviti-aktiviti manusia tersebut melahirkan maklumat dan peristiwa. Matlamat dan
tujuannya ialah mengkaji kedudukan pemimpin-pemimpin atau individu-individu
yang terkenal di dunia, dan juga pelbagai jenis manusia yang dijadikan Allah di dunia
ini. Faedahnya yang paling utama ialah untuk mengakui hasil penciptaan Allah (swt)
dengan kewujudan alam ini.16
Al-Kafiyaji atau nama sebenarnya Muhyiddin Muhammad bin Sulayman
adalah seorang ahli sejarah Islam dari Turki yang lahir di Anatolia pada tahun
788H/1386M dan meninggal pada 879H/1474M. Kitabnya mengenai sejarah Islam
ialah Al-Mukhtasar fi Ilm al-Tarikh. Kitab ini merupakan monograf tertua tentang
pensejarahan Islam. Al-Kafiyaji telah meng-gunakan pendekatan ilmu-ilmu agama
seperti fekah dan hadis dalam penulisan sejarah. Menurut beliau, pensejarahan ialah
cabang ilmu yang mengkaji ruang masa dan keadaannya dan juga suasana-suasana
yang berkaitan dengannya serta memberikan penentuan dan waktunya.
Al-Kafiyaji telah menjelaskan erti ‘ta’rikh’ dalam buku-nya, iaitu dari segi bahasa

adalah masa dan waktu. Dari segi istilah pula ‘ta’rikh’ bermaksud penentuan masa
yang sesuai bagi masa lalu, sekarang dan akan datang. Ada juga yang mengatakan
ta’rikh itu bermaksud waktu bagi satu-satu peristiwa yang pertama kali terjadi dan
terus merebak, seperti terjadinya sesuatu agama, atau kejadian-kejadian besar
seperti angin taufan, gempa bumi dan lain-lain malapetaka di langit dan di bumi.
Pendapat lain pula mengatakan bahawa ta’rikh ialah tempoh tertentu di antara satu
peristiwa dengan peristiwa yang lain. Menurut al-Kafiyaji, semua definisi di atas
adalah benar, terpulanglah kepada individu tersebut untuk memilih yang mana
satu.17
Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Abd Ar-Rahman bin Muammad
(732/1332-808/1406) adalah seorang sejarawan Arab yang cukup terkenal dengan
buku Mukaddimahnya. Beliau lahir di Tunis dengan mendapat pendidikan di
Andalus. Ahli sejarah berpendapat kaedah yang digunakan oleh Ibn
Khaldun dalam penulisan sejarah beliau adalah berbeza dengan ahli sejarah tradisi
seperti Al-Iji dan Al-Kafiyaji kerana pendekatan yang digunakan lebih global seperti
menggabungkan ilmu agama yang berbentuk naqliyyah dengan ilmu bukan agama
yang berbentuk aqliyah.
Oleh kerana luasnya ilmu yang digunakan dalam penyelidikan maka Ibn Khaldun
lebih banyak menekankan soal tamadun dalam penulisannya daripada sejarah.
Fenomena ini berlaku disebabkan oleh umat Islam pada masa itu menghadapi


tekanan politik dari negara-negara Barat. Oleh itu penekanan aspek tamadun
diutamakan untuk menyedarkan umat Islam pada masa itu bahawa perubahan telah
berlaku dalam sejarah manusia. Tamadun material mesti berjalan seiring dengan
tamadun rohani.
Oleh yang demikian, menurut Ibn Khaldun, tarikh atau sejarah adalah disiplin ilmu
yang dipelajari secara luas oleh banyak bangsa dan kaum. Sejarah mengandungi
penelitian dan usaha mencari kebenaran (tahqiq), penjelasan yang halus tentang
sebab dan asal benda; pengertian dan pengetahuan tentang substansi, esensi, dan
pengetahuan tentang bagaimana dan sebab terjadinya peristiwa-peristiwa.18
Mukaddimah menurut Lewis merupakan ensiklopedia sintesis sains sosial yang
sangat penting menolong ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan karya-katya sejarah
yang benar dan ilmiah. Kaedah yang digunakan oleh Ibn Khaldun adalah
merangkumi dua aspek penting iaitu pertama, melihat sesuatu peristiwa itu, dan
kedua mengetahui sebab sesuatu peristiwa itu berlaku. Dalam bahagian
pendahuluan kitab Mukaddimah, Ibn Khaldun menyebut bahawa sejarah adalah
suatu disiplin ilmu yang memiliki pelbagai pendekatan. Sejarah membuat kita faham
akan hal ehwal sesuatu bangsa terdahulu kerana ia boleh dilihat melalui perilaku
mereka. Oleh itu sejarah menurut beliau adalah sesuatu yang merujuk kepada
peristiwa khusus mengenai suatu zaman dan bangsa. Perbicaraan umum tentang

keadaan sesuatu daerah, bangsa dan zaman itu merupakan dasar bagi ahli sejarah.
Kebanyakan permasalahan sejarah dibangun di atas dasar tersebut dan maklumat
sejarah itu menjadi jelas oleh dasar tersebut.19
Dengan penjelasan di atas, jelas bahawa pemikiran dan falsafah sejarah Ibn Khaldun
tidak dipengaruhi oleh pemikiran dan falsafah Yunani. Sebaliknya idea-idea sejarah
Ibn Khaldun telah mempengaruhi pemikiran persejarahan orang-orang Barat. Ini
bertepatan dengan pendapat F. Rosenthal yang mengatakan bahawa perkembangan
persejarahan Eropah pada abad ke 17 M dan seterusnya telah banyak dipengaruhi
oleh persejarahan Islam.

Pengertian Sejarah menurut Sarjana Barat
Menurut E. H. Carr, sejarah ialah suatu proses berterusan antara ahli sejarah
dengan fakta-faktanya, suatu dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini
dengan masa lampau.20
Disebabkan Carr hidup pada kurun ke 20, idea-ideanya mengenai sejarah tidak lagi
terpengaruh dengan cara pensejarahan orang Yunani, kerana Carr telah berpegang

kepada fakta-fakta untuk mengkaji sejarah.
Menurut G. Geff, sejarah yang biasa difahami ialah pengajian tentang masa lalu
seseorang dan menjurus kepada manusia yang tinggal dalam sesebuah kelompok

sosial. Sejarah bukan sahaja berkaitan dengan individu atau masyarakat tertentu
sahaja tetapi ia berkaitan dengan pelbagai manusia yang hidup dalam pelbagai
masyarakat. Sejarah membincangkan tentang dunia yang dibentuk oleh manusia itu
sendiri.21
Menurut Robert V. Daniels, sejarah adalah memori pengalaman sekelompok
manusia. Jika ia dilupakan atau dibiarkan maka tamatlah kisah tentang manusia.
Tanpa sejarah kita tiada pengetahuan terhadap siapa kita atau bagaimana kita
menjadi seperti ini, seperti seorang penjenayah yang hilang ingatan dan berada
dalam gelap. Sejarah adalah rakaman masa lalu yang menggambarkan emosi, nilai,
kesuaian yang membolehkan hidup kita lebih bermakna yang memberi seseorang
individu sesuatu untuk terus hidup, berjuang atau untuk mati. Dengan mengkaji
peristiwa-peristiwa masa lalu, maka akan mewujudkan semangat ketaatan kepada
negara, agama mahupun kelas-kelas dalam masyarakat. Sejarah juga merupakan
inspirasi untuk mengamalkan sesuatu yang dianggap tradisi dan memuliakannya.22
A. Marwick pula membahagikan pengertian sejarah kepada tiga; pertama, sejarah
merupakan keseluruhan masa lalu seperti sebenarnya berlaku; kedua, sejarah
merupakan percubaan manusia menghurai dan mentafsir masa lalu, dan ketiga,
sebagai kajian yang sistematik terhadap masa lalu untuk suatu displin ilmu.23
Kebanyakan pendapat sarjana Barat tersebut adalah berbentuk moden kerana kajian
sejarah zaman mereka tidak lagi mencontohi kajian sejarah zaman Yunani. Kajian
sejarah mereka berdasarkan penyelidikan dan fakta yang sahih dan bukan lagi
berbentuk mitos dan legenda.
Walaupun sejarawan Barat menggunakan kaedah penyelidikan dalam penulisan
sejarah mereka tetapi mereka tidak boleh lari daripada pengaruh tokoh-tokoh
sejarah Yunani mengenai pengkaedahan dan falsafah sejarah. Daripada pengaruh
tersebut di atas menurut Collingwood, ringkasnya sejarah berdasarkan sarjana Barat
ialah penyelidikan (research), tindak tanduk masyarakat (human actions), pemikiran
(self knowledge) dan penyusunan semua pemikiran yang telah dikaji (interpretation
of evidence).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa perbezaan tentang pengertian sejarah
mengikut pandangan sarjana Muslim dan Barat. Sejarah mengikut pandangan Barat
lebih terpengaruh dengan erti sejarah orang Yunani. Manakala Islam tidak
terpengaruh dengan mana-mana bangsa lain. Ini bermakna sarjana Islam
menghasilkan idea tentang sejarah yang tulen dan asli. Selain dari itu matlamat
pensejarahan dalam Islam adalah untuk memberi kesedaran, mengambil iktibar dan
juga untuk menambah keimanan kepada Allah (swt). Matlamat pen-sejarahan Barat
adalah semata-mata untuk mengkaji sejarah secara maddi dan menjadikannya
sebagai suatu displin imu semata-mata.

Nota Kaki
1 Al-Quran al-Karim, Surah Yusuf: ayat 3.
2 Al-Quran al-Karim, Surah Qasas: ayat 4.
3 Al-Quran al-Karim, Surah Qasas: ayat 6-8.
4 Al-Quran al-Karim, Surah Al-Kahfi: ayat 8-13.
5 Teuku Iskandar(peny.), Kamus Dewan, Edisi Baru, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1989, hlm: 1133. ‘Tambo’ yang dimaksudkan di sini adalah riwayat
dahulu kala. (Ibid., 1277).
6 R.O. Winstedt, Kamus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Marican & Sons Sdn Bhd.,
1970, hlm 272. ‘Babad’ yang dicatatkan dalam Kamus Dewan adalah juga
bermaksud sejarah, tambo dan riwayat.
7 Penggunaan perkataan sejarah telah digunapakai dalam Sejarah Melayu pada abad
ke 17 lagi dan pernah digunakan oleh Raja Ali Haji dalam buku beliau Tuhfat AlNafisuntuk membicarakan sejarah Bugis.
8 Mohd Yusof Ibrahim, 1977, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977, hlm: 6.
9 Ibid.
10 Chamber’s Encylopedia, Vol VII, New Revised Edition, London: International
Leraning System, 1971, hlm. 118-119.
11 Joyce M. Hawkins,Kamus Oxford Fajar, Edisi Kedua, Shah ALam: Penerbit Bakti,
1997, hlm:181.
12 H.A. R. Gibb and J. H. Kramers, Shorter Encylopedia of Islam, Leiden: E.J. Brill,
1961, hlm: 578.
13 Munir Baalbaki, Al-Mawrid Al-Quareeb, Lebanon: Dar Al-Ilm li Al-Malayin, Beirut,
2001, hlm. 28.
14 First Encylopedia of Islam 1913-1936,Vol VIII, New York: E. J. Brills, 1987, hlm:
672.
15 Rizqullah Manquaris as-Sarqi, Tarikh Duwal al-Islam, juz 1, ilmiyah. t.tp, 1986,
dalam mukaddimah.
16 Mahayudin Hj. Yahaya, Ensiklopedia Sejarah Islam, Vol V, Bangi: Penerbit UKM,
1989, hlm: 1529 &1563-4.
17 Untuk keterangan lanjut Lihat Mahayudin, Ensiklopedia Sejarah Islam, yang
memetik ulasan megenai buku Tuhfat al-Faqir ila Sahib al-Sarhir dari F. Rosenthal, A
History of Muslim Historiography, Leiden, E. J. Brill, 1968)
18 Ibn Khaldun, Mukadimah Ibn Khaldun, terjemahan, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 2002, hlm. ix.
19 Mahayudin, Ensiklopedia Sejarah Islam, hlm: 1561.
20 E. H. Carr, What is History?, Penguin Books Ltd, Middlesex, 1980, hlm: 27.
21 Gordon Geff, 1969, History and Social Theory, London: Merlin Press, hlm: 11.
22 Robert V. Daniels, 1966, Studying History: How and Why, New Jersey: Prentice Hall

Inc., hlm: 3-4.
23 Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, hlm: 10.