PENGARUH SISTEM NILAI KELAS MENENGAH MEL

PROSIDING PERSIDANGAN ANTARABANGSA DA’WAH DAN PENGURUSAN
ISLAM: PENGAMALAN DAN MASA DEPAN (IC-DAIM 2010)
ISBN: 978-967-5852-08-4
PENGARUH SISTEM NILAI KELAS MENENGAH MELAYU DALAM MEMILIH
KEPEMIMPINAN POLITIK
OLEH: HAIROL ANUAR HJ MAK DIN1

ABSTRAK
Kepesatan arus globalisasi mendedahkan kaum Melayu khususnya kelompok kelas menengah Melayu
berhadapan dengan risiko hakisan jati diri. Hal ini boleh di rujuk melalui tiga elemen iaitu
kecelaruan sistem nilai, liberalisasi pemikiran dan ketirisan identiti bangsa Melayu dikalangan
kelompok ini. Pengaruh sistem nilai di kalangan kelompok kelas menengah Melayu amat penting bagi
kelangsungan bangsa Melayu khususnya di dalam soal mengatasi kemelut pemilihan pemimpin.
Anteseden sistem nilai masyarakat kelas menengah Melayu ini bakal mencorakkan hala tuju dan
survival adikuasa politik bangsa Melayu secara keseluruhannya pada masa hadapan. Justeru kajian
terhadap pegangan sistem nilai amat penting di dalam menilai sejauhmanakah sistem ini
berpengaruh di kalangan kelompok kelas menengah Melayu di dalam menentukan kepimpinan politik
di Malaysia. Sehubungan itu kertas kerja ini akan menyentuh sebahagian daripada pegangan sistem
nilai kelompok sasaran dengan mengupas beberapa isu yang berkaitan.

PENGENALAN

Sistem Nilai merupakan elemen yang amat penting dan mempunyai jalinan yang erat dengan sejarah
peradaban manusia. Kegemilangan atau keruntuhan sesuatu tamadun bangsa di corakkan oleh sistem
nilai masyarakatnya. Seandainya masyarakat mempunyai sistem nilai yang kukuh maka kerajaan yang
dibina akan makmur dan gemilang, sebaliknya jika sistem nilai yang longgar dan seleweng
dampaknya kerajaan yang dibina bakal runtuh dan musnah. Justeru pengaruh sistem nilai amat
penting di dalam menjamin kelangsungan riwayat sesebuah negara bangsa.
Nilai ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk
bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Mengikut kajian sejarah,
ilmu, kebijaksanaan, keadilan, dan iktidal (temperance) merupakan nilai-nilai utama dalam
masyarakat. Penerimaan dan penghayatan nilai-nilai utama oleh masyarakat akan menjamin rakyat
yang berpendidikan lengkap dalam hubungan masyarakat-perilaku etiket sosial dan budaya ilmu
(INTAN 1991).
Islam amat menekankan soal nilai, hal ini amat kelihatan samaada secara tersurat mahupun tersirat di
dalam Al-Quran dengan memperihalkan kisah-kisah para rasul yang diterangkan bermatlamatkan agar
manusia mengambil iktibar daripadanya. Namun semua manusia yang telah diterangkan sehingga
kini, mempunyai nilai-nilai yang sama seperti: bersikap zalim kepada Allah, menyekutukan Allah,

1

Pensyarah, Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Selangor. H/P: 013-3749457 Emel: hairolanuar@kuis.edu.my

bersikap sombong di atas bumi, memakan harta benda orang lain, melakukan seks yang sumbang dan
tidak bermaruah (Harun Yahya 2004).
Sehubungan itu, teras awal penyelidikan ini yang menjadi asas perbincangan adalah dengan
menganalisa terhadap perkataan ‘pengaruh’ di awal tajuk dengan ukuran yang dirujuk kepada objektif
kajian:
1. Mengkaji kefahaman dan pegangan sistem nilai kelas menengah Melayu dan pengaruh sistem
nilai di kalangan kumpulan kajian dalam aspek pemilihan kepimpinan politik.
2. Mengkaji hubungan (regrasi) antara sistem nilai dengan sistem politik.
3. Merumuskan korelasi antara sistem nilai kumpulan kajian dengan pemilihan kepimpinan
politik.

Kefahaman dan pegangan sistem nilai kelas menengah Melayu dan pengaruh sistem
nilai di kalangan kumpulan kajian dalam aspek pemilihan kepimpinan politik

Berkualiti tinggi atau rendahnya sesebuah tamadun yang terbina akan banyak bergantung pada nilai
diri manusia itu sendiri. Dalam perspektif Islam, manusia yang dipertanggungjawabkan dengan tugas
berat pembina tamadun itu mestilah di sediakan, atau dalam kata lain dibangunkan, sebaik mungkin
dengan nilai-nilai diri yang diperlukan (Zakaria Stapa 2009). Justeru sistem nilai merupakan elemen

yang amat penting dan mempunyai jalinan yang erat dengan sejarah peradaban manusia.
Oleh yang demikian relevansi pengaruh sistem nilai adalah bagi menjamin kelangsungan riwayat
sesebuah negara bangsa. Dr Mahathir Mohamed berpandangan ”Sejarah merupakan suatu khazanah
yang amat bernilai. Sejarah adalah gedung pengalaman. Bangsa yang agung adalah bangsa yang
menempuh sejarah dan yang mahu mempelajari dari sejarah. Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari
daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan kejatuhan
bangsa itu. Dengan sejarah kita menghargai kehormatan diri kita” (Hairol Anuar 2010).
Bertitik tolak daripada itu, kefahaman dan pegangan sistem nilai kelas menengah Melayu wajar di kaji
dan di fahami. Hal ini kerana sistem nilai mempunyai pengaruh signifikan khususnya di dalam aspek
pemilihan kepimpinan politik. Kenyataan ini di perkukuhkan apabila sistem nilai dilihat sebagai
elemen utama dalam kehidupan manusia. Firman Allah SWT di dalam al-Quran menyatakan:
Maksud: ”Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan
bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat
daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih
daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh
Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka
mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak
sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”
(Surah Ar-Ruum: 9)


Kepentingan pegangan dan pengaruh sistem nilai turut di dokongi oleh Teori Pola Pusingan Budaya
yang dipelopori oleh Ibn Khaldun. Teori ini telah mengariskan tamadun dalam pelbagai bangsa
berkembang melalui empat tahap utama iaitu tahap nomad/ primitif, tahap urbanisasi, tahap
kemewahan dan tahap kemunduran yang membawa kepada kehancuran. Menurut Ibn Khaldun

kemerosotan sesebuah tamadun adalah disebabkan oleh putaran sejarah. Pada peringkat awal berjaya
kerana didasari oleh nilai-nilai yang baik tetapi sejurus mencapai kejayaan, nilai-nilai baik mula di
cemari dengan kemewahan serta penyelewengan dan dampaknya tamadun tersebut bakal runtuh.
Berdasarkan sejarah, umumnya elemen keagamaan memainkan peranan yang cukup penting dalam
pembinaan dan keruntuhan sesebuah ketamadunan. Sesebuah tamadun itu boleh merosot disebabkan
oleh beberapa faktor antaranya ketidakadilan sosial, penindasan dan kezaliman, keruntuhan moral dan
kepupusan nilai dalam masyarakat, sikap tertutup serta menolak perubahan dan bencana alam
(Chandra Muzaffar, Che Wan Jasimah, Hashim dan Mohd Zuhdi 2001).
Realiti masa kini seolah-olah menzahirkan kelompok kelas menengah Melayu berhadapan dengan
konflik ketidakfahaman terhadap pegangan sistem nilai mereka dan seandainya tiada tindakan segera
dilakukan dikhuatiri hal ini bakal memberi impak terhadap pengaruh sistem nilai yang tidak menentu
di dalam aspek pemilihan kepimpinan politik. Terdapat tiga isu yang cuba di ketengahkan:
1. Kelas menengah Melayu ada masalah dengan sistem nilai.
2. Kaum Melayu terlalu obsesi terhadap fahaman “Occidentosis”(The Plague from the west).
3. Hakisan terhadap ketuanan politik Melayu.


1. Kelas menengah Melayu ada masalah dengan sistem nilai

Kecelaruan sistem nilai, liberalisasi pemikiran dan ketirisan identiti bangsa Melayu dikalangan
kelompok ini, lewat masa ini amat kelihatan. Kenyataan ini adalah selari dengan pandangan Prof
Diraja Ungku Aziz mengenai aliran pemikiran bangsa Melayu dan keadaan masyarakat Melayu ketika
ini yang amat berlainan dan berlawanan dengan aliran pemikiran bangsa Melayu dan keadaan
masyarakat Melayu masa lampau (Berita Minggu, 8 Julai 2007)
Teras yang mendasari pembinaan negara-bangsa di negara ini adalah kaum Melayu. Muktahir ini
kelompok sasaran mulai berhadapan dengan gejala hakisan jati diri Melayu-Islam. Penanda aras
dalam membincangkan pemasalahan ini dapat di rujuk melalui peningkatan data jenayah kolar putih.
Menurut Polis Diraja Malaysia jenayah kolar putih boleh ditakrifkan sebagai kegiatan jenayah yang
dilakukan oleh seorang yang dihormati dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya. Jenayah kolar putih
juga lebih teknikal dalam pelaksanaanya contoh dalam memanipulasi perakaunan, rekod kewangan,
rekod inventori, rasuah, penipuan maklumat, salah guna kuasa, pecah amanah, penyelewengan,
penipuan, jenayah siber dan sebagainya. Contoh: Gejala rasuah yang berleluasa secara terangterangan mampu mengheret Malaysia kepada satu situasi yang amat membimbangkan. Pada tahun
2009 sahaja didapati seramai 500 individu telah melakukan rasuah, daripada jumlah itu, 22 orang
adalah ahli politik, manakala sejumlah 191 orang penjawat awam telah melakukan rasuah, selain itu
107 orang awam turut melakukan kesalahan yang sama dan selebihnya seramai 180 pekerja swasta
melakukan rasuah. Tiga jenis kesalahan yang dilakukan oleh pesalah iaitu 294 kes memberi rasuah,

108 terima rasuah, 50 tuntutan palsu; Datuk Zakaria Jaafar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya
(Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Utusan Malaysia, 17
Mac 2010).
2. Kaum Melayu terlalu obsesi terhadap fahaman “Occidentosis”(The Plague from the west)

Fahaman ini mula berkembang dengan giat. Hal ini di sebabkan oleh hakikat bangsa barat mulai
menghegemoni keseluruhan dunia. Barat menginginkan tamadun yang berkembang adalah tamadun
yang bersesuaian dengan keinginan mereka sekaligus menjadikan tamadun barat sebagai satu-satunya
kebudayaan antarabangsa. Pekara ini di sebabkan oleh pendidikan kita yang sudah terpengaruh oleh
barat sama ada budaya atau pemikirannya. Juga dengan pemikir-pemikir dan budayawan kita yang
sebahagian besar rujukannya berasal dari barat (Dr Yusuf al Qaradhawy 2009)

53 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan dan di dalam mendayausahakan pembinaan negarabangsa, Negara berhadapan dengan serangan arus globalisasi. Hal ini bakal menimbulkan implikasi
yang pelbagai antaranya kebanjiran elemen sosial yang terasing, kemasukan budaya luar, beranekanya
aktiviti perdagangan, kepesatan teknologi, penyebaran idealism, corak pemikiran baru dan kecelaruan
nilai. Pengaruh sosial dan budaya merentasi fikiran terhadap seks, perkauman, peniruan tingkah laku,
konflik nilai dan kuasa mempengaruhi melalui pelbagai aktiviti secara terang-terangan atau sembunyi
(Mohamad Zahir 2006)
Menurut Awang Had Salleh ketirisan jati diri Melayu amat membimbangkan dan beliau berhujah
dengan memilih empat petunjuk bagi mengukur kedudukan masyarakat Melayu dalam bidang

sosiobudaya. Pertama, dari segi kedudukan status sosioekonomi. Kedua, dari segi penyertaan dalam
kegiatan budaya tinggi seperti kesenian, kesusteraan dan kebudayaan. Ketiga, dari segi sosiomoraliti
dan keempat, dari segi semangat kebangsaan dan deria jati diri dan rumusan daripada itu empat
kategori penemuan telah beliau kemukakan pertama, kedudukan bangsa Melayu dalam pendidikan
adalah genting. Kegentingan itu adalah dalam kedua-dua aspek, iaitu kuantiti dan kualiti. Kedua,
kedudukan sosioekonomi orang Melayu belum dapat mencapai ekuiti yang wajar dalam profesion
tertentu yang sebahagian besarnya bergantung kepada tahap dan jenis kelayakan yang dimiliki.
Ketiga, dalam bidang kesenian kesusteraan dan kebudayaan, penyertaan orang Melayu adalah tinggi
dari segi kuantiti berbanding dengan kaum lain tetapi tahap pencapaian dan penciptaan dalam bidang
itu masih amat sederhana. Kalangan belia Melayu, apresiasi budaya tinggi dan murni amat ketara
ditelan oleh aspresiasi budaya pop dari barat terutamanya yang menggugat jati diri bangsa mereka.
Keempat, dalam bidang sosiomoraliti, penyertaan masyarakat Melayu nampaknya amat tinggi
kadarnya dan membahayakan kedudukan martabat bangsa mereka. Penyertaan mereka melebihi ekuiti
yang wajar berbanding kaum lain secara relatif (Pemikir, 1996). Seandainya tiada tindakan yang
agreasif dilakukan di khuatiri hal ini bakal menjadi halangan besar di dalam merealisasikan aspirasi
menjadi negara maju pada tahun 2020. Ini kerana Cabaran keempat Wawasan 2020 “membentuk
sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai
keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti luhur” tidak dapat di tangani.
3. Hakisan terhadap ketuanan politik Melayu


Menurut Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof
jumlah penduduk pada tahun 2009 meningkat 1.54 peratus iaitu daripada 27.7 juta pada tahun 2008
kepada 28.2 juta pada tahun 2009. Pecahan penduduk pula terdiri daripada kaum Melayu 66.7
peratus, Cina 24.6 peratus dan India 7.4 peratus, manakala Bumiputra Sabah dan Sarawak pula
1.3 peratus (Berita Harian, 23 Januari 2010). Daripada jumlah ini bilangan belia Malaysia pada
tahun 2010 dianggarkan 11.65 juta dan enrolmen di 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
pada tahun 2009 berjumlah 437,425 orang (Kementerian Pengajian Tinggi, 2010).
Menurut Kementerian Belia Dan Sukan, Golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang
berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Pada masa ini golongan belia dianggarkan melebihi 12 juta
orang atau 41.5% daripada keseluruhan penduduk negara ini yang berjumlah seramai 28 juta orang.
Justeru itu kumpulan ini juga merupakan kelompok utama pengundi di Malaysia yang mampu
menentukan masa depan negara melalui kaedah pemilihan pemimpin di dalam pilihan
raya.Kebiasaanya, kawasan majoriti Melayu merangkumi antara 60%-70% kawasan pilihan raya (atau
114 kerusi Parlimen di Semenanjung), diikuti oleh kawasan majoriti Cina yang berkisar antara 14%17% (atau 24 kerusi Parlimen di Semenanjung), dan kawasan yang bercampur (tidak ada etnik
majoriti) antara 14%-17% juga (atau 28 kerusi Parlimen di Semenanjung) (Amer Saifude 2009).
Kuasa politik Melayu mula di gembar gemburkan bakal terhakis. Hal ini kerana senario politik
kelompok kajian telah berubah kepada satu bentuk dimensi yang baru. Situasi ini kelihatan terhadap
pola pengundian dengan merujuk keputusan pilihan raya umum ke-12. Perubahan nilai golongan ini
mula nampak ketara apabila kemelut ketidakstabilan politik mula melanda apabila kedapatan
segolongan kelas menengah Melayu mula mempertikaikan hak mereka sendiri di dalam Perlembagaan

Persekutuan khususnya dalam Perkara 153: hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Perkara 152:

yang berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Perkara 3: Islam sebagai agama rasmi
(Abdul Latif, Ramlah Adam, Ismail Hussein, Sahol Hamid: Utusan Malaysia, 16 Mac 2010).
Ketirisan kebergantungan bangsa Melayu terhadap Institusi Beraja semakin pudar apabila masyarakat
Melayu selepas merdeka mula beralih angin dari terlalu bergantung kepada kedudukan institusi beraja
kepada kebergantungan kepada parti-parti politik Melayu semata-mata (Chandra Muzzafar 1992).
Senario ini adalah amat merbahaya terhadap kekuatan bangsa melayu. Pekara ini telah dizahirkan oleh
Raja Dr Nazrin Shah didalam ucapan yang bertajuk Institusi Raja: Memperkukuh identiti bangsamemperteguh perpaduan warga di konvensyen perdana anjuran Biro Tata Negara, di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baginda menyatakan “kekuatan bangsa (Melayu) hari ini terlalu
bergantung kepada kekuatan politik. Kekuatan politik dalam sistem demokrasi boleh sementara
sifatnya. Kekuatan politik boleh terancam jika berlaku terlalu banyak pertelingkahan yang bukan saja
tercetus diantara parti-parti politik Melayu malah turut berlaku dalam sesebuah parti.”

Hubungan (regrasi) antara sistem nilai dengan sistem politik

Umumnya pemilihan kepimpinan politik amat terbatas dengan kaedah yang dipersetujui ramai dan
diterima oleh majoriti rakyat sesebuah negara. Kaedah yang sering digunakan untuk memilih kerajaan
yang diguna pakai oleh kebanyakan negara di peringkat global adalah pilihan raya yang juga elemen
penting dalam amalan demokrasi (Amer Saifude 2009). Kebiasaanya kajian terhadap keputusan

pilihan raya banyak di analisa oleh disiplin akademik Geografi Pilihan Raya. Sehubungan dengan itu,
Taylor dan Johnston (1979) berpendapat geografi pilihan raya adalah kajian yang berkaitan dengan
geografi pengundian, pengaruh geografi terhadap pengundian dan pengaruh geografi terhadap
perwakilan. Sementara Johnston dan rakan-rakan (2000), merumuskan geografi pilihan raya adalah
kajian aspek geografi yang berkaitan dengan pengurusan, kelakuan dan keputusan pilihan raya.
Bidang tumpuan dalam geografi pilihan raya agak luas umpamanya kajian pengurusan ruangan
pilihan raya, variasi ruangan corak pengundian, pengaruh faktor setempat ke atas sikap berpolitik dan
pembuangan undi, serta corak ruangan perwakilan dan variasi ruangan kuasa dan polisi. Bagi
Glassner (1996), terdapat beberapa bidang baru yang harus ditumpukan dalam kajian geografi pilihan
raya iaitu peranan ideologi kepada keputusan pilihan raya, proses pembentukan kerajaan, fungsi
sesebuah negara dan kaitan ekonomi dunia dengan pengundian (Amer Saifude 2009). Justeru kajian
terhadap sistem nilai boleh dianggap baru dalam bidang geografi pilihan raya khususnya dalam
menilai sejauhmanakah sistem ini berpengaruh di kalangan kelompok kelas menengah Melayu di
dalam menentukan kepimpinan politik di Malaysia.
Kajian terhadap pengaruh sistem nilai juga boleh di tinjau di dalam bidang akademik Sains Politik.
Salah satu cabang dalam bidang sains politik adalah kajian terhadap kelakuan mengundi. Hal ini amat
selari dengan penyelidikan ini dengan merujuk kepada sistem nilai yang dianuti oleh kelas menengah
Melayu dalam memilih kepimpinan politik. Bidang ini dipanggil psephology. Menurut Syed Ahmad
Hussein (1996) terdapat beberapa rumusan dan hipotisis utama yang timbul dari kajian-kajian ini yang
dijadikan panduan am kepada mereka yang berminat untuk mengkaji kelakuan pengundi dalam satusatu konteks sebenar. Antara sarjana-sarjana psephology yang dirujuk adalah Peter B. Harris (1979),

Richard Rose (1974) dan Angus Campbell (1966). Walaupun terdapat sembilan penemuan
penyelidikan tetapi dalam kajian ini hanya enam sahaja yang dianggap relevan dengan penyelidikan
iaitu; 1) Di kebanyakan negara demokratik liberal antara 80% hingga 90% pengundi tidak mengubah
ketaatan parti mereka, iaitu mereka terus menyokong parti yang sama dari satu pilihan raya ke satu
pilihan raya, 2) Tetapi mereka yang mengubah fikiran (atau yang digelar ‘pengundi terapung’)
mempunyai impact yang mendalam ke atas keputusan pilihan raya, 3) Manifesto-manifesto dan
kenyataan-kenyataan tentang pendirian calon atau parti terhadap isu-isu juga tidak banyak mengubah
fikiran pengundi, 4) Kebanyakan pengundi membuat keputusan sesuatu parti atau calon berdasarkan
angkubah-angkubah seperti kelas, agama, umur, kawasan, jantina dan pendapatan, 5) Pengaruh yang

terbesar ialah pengaruh keluarga, terutamanya di negara-negara membangun. Tetapi di Britain turut
didapati 90% pengundi mengundi parti yang sama seperti yang dipilih oleh bapa mereka, dan 6)
Kebanyakan pengundi menghubungkan sesuatu parti itu dengan imej-imej tertentu yang agak tetap
dan mereka mengundi berdasarkan imej (stereotype) ini dan bukannya perkiraan-perkiraan rasional
tentang isu-isu tertentu. Hasil penemuan kajian ini amat penting sebagai teras di dalam penyelidikan
ini untuk meninjau sejauh manakah pengaruh sistem nilai di kalangan kelas menengah Melayu di
Malaysia dalam memilih kepimpinan politik.
Justeru hubungan (regrasi) antara sistem nilai dengan sistem politik dapat ditinjau melalui
pendekatan politik kerana pendekatan ini merupakan paling popular di dunia Islam kini. Tonggak
kepada pendekatan ini ialah kekuasaan politik yang menjadi matlamat kepadanya dan menjadi kayu
ukur bagi menilai sama ada sesuatu kerja berjaya atau sebaliknya (Mahmood Zuhdi 2009).
Melalui penyelidikan ini secara tidak langsung dapat menjawab adakah hasil penyelidikan di atas
selari ataupun bertentangan dengan pemikiran dan tindakan kelas menengah Melayu atau
mengesahkan adakah anutan sistem nilai kelompok kajian ini mempunyai pengaruh dalam penentuan
kriteria pemilihan kepimpinan politik di Malaysia.

Korelasi antara sistem nilai kumpulan kajian dengan pemilihan kepimpinan politik
Nilai-nilai yang ada dalam masyarakat dan negara Islam sekarang sebenarnya boleh disifatkan sebagai
campuran antara nilai-nilai Islam dan nilai-nilai jahiliah. Di dalamnya terdapat unsur-unsur Islam
yang original dan unsur-unsur jahiliah yang mendatang. Oleh sebab itu, membezakannya antara
individu dan masyarakat serta juga sistem pemerintahan yang ada dalam menentukan apa-apa sifat
kepada masyarakat ini sangat penting sekali. Apa-apa hukum yang boleh dikaitkan dengan sistem atau
masyarakat berkenaan tidak semestinya dikenakan juga ke atas individu di dalamnya. Begitulah juga
sifat yang ada pada sistem masyarakat berkenaan tidak semestinya ada pada masyarakat itu sendiri
dan individu-individu di dalamnya (Mahmood Zuhdi 2009).
Pemimpin dalam Islam bukan seorang yang memiliki kekuasaan tanpa had kerana ada peraturan
syariat yang mengikat peraturan norma yang mengarahkannya, serta pelbagai undang-undang yang
menghadkannya. Peraturan dan undang-undang yang dibuat bukan oleh dirinya sendiri atau pun parti
yang menyokongnya, tetapi peraturan yang dibuat Tuhan untuk seluruh manusia (Dr Yusuf al
Qaradhawy 2009). Oleh yang demikian kawalan ini mampu diterjemahkan lagi melalui prinsipprinsip demokrasi iaitu pemilihan pemimpin politik melalui pengundian di dalam pilihan raya.
Kepimpinan ialah suatu subjek yang menarik perhatian kerana sering dikaitkan dengan pengaruh,
kuasa, dan kekayaan. Ada yang berpendapat bahawa kepimpinan ialah suatu topik tentang masa
depan, hala tuju, serta nasib bangsa (Khairil Annas 2009). Manakala syariat Islam telah mewajibkan
kepada kaum muslimin untuk sentiasa mempunyai seorang pemimpin bagi kehidupan masyarakat
Islam, baik masyarakat itu besar atau kecil, baik kelompok itu bersifat tetap mahupun sementara
(Abdul Qadir Djaelani 2001). Pemimpin dan rakyat mempunyai hubungan secara langsung dan
berhubung kait antara satu sama lain. Justeru jalinan antara sistem nilai dikalangan kelas menengah
Melayu begitu relevan dalam soal pemilihan pemimpin. Rasionalnya adalah dalam sebuah negara
yang mengamalkan demokrasi maka kumpulan kelas menengah Melayu ini adalah kelompok
pengundi yang terbesar sekali.
Pemimpin dan rakyat mempunyai hubungan secara langsung dan berhubung kait antara satu sama
lain. Justeru jalinan antara sistem nilai dikalangan kelas menengah Melayu begitu relevan dalam soal
pemilihan pemimpin. Dari perspektif politik kelas menengah Melayu mempunyai pengaruh dan kuasa
yang besar di dalam pemilihan pemimpin. Hal ini kerana komposisi etnik turut dapat dilihat dalam

taburan kawasan pilihan raya parlimen di Malaysia. Kebiasaanya, kawasan majoriti Melayu
merangkumi antara 60%-70% kawasan pilihan raya, diikuti oleh kawasan majoriti Cina yang berkisar
antara 14%-17% dan kawasan yang bercampur (tidak ada etnik majoriti) antara 14%-17% juga (Amer
Saifude 2009).
Bersandarkan fakta bahawa seorang pemimpin dipilih oleh rakyat secara demokarasi maka Dr Yusuf
al Qaradhawy menegaskan rakyat turut diminta pertanggungjawabannya, membetulkannya jika dia
menyeleweng, atau menarik balik kekuasaanya jika dia terus menyeleweng daripada undang-undang.
Setiap rakyat berhak menolak dan tidak mentaati pemimpin jika perintahnya merupakan perbuatan
maksiat kepada Allah SWT. Justeru kelas menengah Melayu yang kritis dan mempunyai kuasa
sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan wajib peka didalam ketidaktentuan
iklim politik pada masa kini.
Peralihan arah pemikiran kelas menengah Melayu ini perlu dianalisa memandangkan keputusan
pilihan raya 2008 telah menzahirkan beberapa bentuk persoalan antaranya; Adakah politik
pengundian berasaskan kaum semakin berkurangan? Namun begitu analisis parti secara individu
mencadangkan politik perkauman masih lagi berlaku dalam pilihan raya umum ini (Amer Saifude
2009). Perubahan nilai golongan ini mula nampak ketara apabila kemelut ketidakstabilan politik mula
melanda apabila kedapatan segolongan kelas menengah Melayu mula mempertikaikan hak mereka
sendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam Perkara 153: hak istimewa orang
Melayu dan bumiputera, Perkara 152: yang berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan
Perkara 3: Islam sebagai agama rasmi (Abdul Latif, Ramlah Adam, Ismail Hussein, Sahol Hamid:
Utusan Malaysia, 16 Mac 2010).
Firman Allah SWT di dalam al-Quran menyatakan:
Maksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu
(Wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang
kuasa pemerintahan dibumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum
mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama
mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan
bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka
terus beribadat kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganku dan
(ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang
derhaka”.
(Surah al-Nur: 5)
Pemimpin dan rakyat mempunyai hubungan secara langsung dan berhubung kait antara satu sama
lain. Justeru jalinan antara sistem nilai dikalangan kelas menengah Melayu begitu relevan dalam soal
pemilihan pemimpin. Rasionalnya adalah dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi maka
kumpulan kelas menengah Melayu ini adalah kelompok pengundi yang terbesar sekali. Di Malaysia
pemimpin mesti berupaya membawa perubahan positif lagi signifikan dan memperkenalkan gagasan
yang merentasi sempadan dan halangan. Rakyat sudah cukup matang untuk menilai pemimpin
mereka. Mereka tidak mahu lagi mendengar retorik, sebaliknya mereka mahukan hasil dan perubahan.
Gelombang perubahan menuntut ahli-ahli politik yang bukan sahaja tersenyum, tetapi kaya dengan
gagasan dan berpewatakan baik (Khairil Annas Jusoh 2009).

Oleh hal itu, kedapatan korelasi antara sistem nilai kumpulan kajian dengan pemilihan
kepimpinan politik. Seandainya pegangan nilai kelas menengah Melayu itu bersifat tradisi,
moden, bebas dan sebagainya sudah tentu pemimpin yang di pilih adalah dari kelompok yang

sealiran dengan pemikiran mereka. Senario ini bakal kelihatan melalui manifestasi
pengundian di dalam pilihan raya khususnya di dalam memilih kepimpinan politik.

PENUTUP
Sistem Nilai amat berpengaruh didalam menjamin kelangsungan survival sesebuah kerajaan. Hal ini
diterjemahkan melalui kepimpinan sesebuah kerajaan dan cerminan kuasa kepimpinan adalah dengan
merujuk kepada masyarakatnya khususnya golongan yang muda dan terpelajar. Hal ini kerana
diandaikan keadaan sudah berubah. Tahap pendidikan masyarakat Melayu pada keseluruhannya jauh
lebih tinggi berbanding dengan masa dahulu. Kelas menengah Melayu sudah bertambah besar dan
makin membesar. Kelas pekerja Melayu juga telah bertambah besar. Urbanisasi semakin pesat. Segala
perkembangan ini telah menjadikan sebahagian masyarakat Melayu lebih bebas dalam pemikiran dan
tindakannya. Mereka enggan bertaatsetia tanpa soal. Mereka tidak semudah mengikut telunjuk para
pemimpin (Chandra Muzaffar 1992) apatah lagi dalam soal pemilihan kepimpinan. Bangun atau
runtuhnya sesebuah peradaban hanya dapat dicongak melalui sistem nilai yang menjadi doktrin
masyarakatnya. Justeru relevansi terhadap kajian sistem ini amat penting dan wajar moga kita tidak
mengulangi kesilapan generasi terdahulu dan seandainya ada kepincangan terhadap nilai maka tidak
terlewat untuk perbaikinya.
Kita amat sedari kepimpinan politik amat penting dan Dr Yusuf al Qaradhawy ada menegaskan
seorang pemimpin atau pemerintah hanya sebagai manusia biasa yang tidak boleh dikultuskan dan
tidak dapat terlepas daripada kesalahan. Oleh sebab itu golongan kelas menengah Melayu yang
menjadi sebahagian daripada kompenan politik wajar berperanan kerana di dalam sejarah Islam
tersurat gabung jalin antara tanggungjawab pemimpin dan peranan golongan yang dipimpin, susurilah
nilai-nilai yang baik agar Allah melahirkan pemimpin yang baik untuk memimpin kita ke jalan yang
diredhai Allah swt.

RUJUKAN
Al-Qur’an al-Karim. 1995. Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an. Kuala
Lumpur. Bahagian Hal-Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
Abdul Qadir Djaelani. 2001. Negara Berdaulat Dalam Perspektif Islam. Kuala Lumpur. Pustaka Dini.
Amer Saifude. 2009. Geografi Pilihan Raya Malaysia . Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.
Awang Had Salleh. 1996. Masyarakat Melayu Dalam Pendidikan Dan Sosiobudaya . Dlm. Pemikir.
Julai-September.
Chandra Muzaffar, Che Wan Jasimah, Hashim dan Mohd Zuhdi. 2001. Tamadun Islam dan Tamadun
Asia . Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.

Chandra Muzaffar. 1992. Pelindung? . Pulau Pinang. Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN).
Hairol Anuar. 2010. Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Patriotisme. Bandar Seri Putra. Pusat
Penyelidikan dan Pembangunan Akademik KUIS.
Haron Yahya. 2004. Kaum-Kaum Yang Pupus. Kuala Lumpur. Saba Islamic Media.
Institut Tadbiran Awam Negara. 2008. Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur.
INTAN.
Khairil Annas. 2009. Evolusi Kepimpinan 1: Tinjauan Teori-Teori Terpilih. Kuala Lumpur. Kasturi
Jingga Corporation.
Mahmood Zuhdi. 2009. Pengungkapan Semula Politik Islam Melalui Pendekatan Islam Hadhari.
Dlm. Jurnal Hadhari. Bil 2.
Mohamad Zahir. 2006. Belia Dan Pembangunan Modal Insan: Merealisasikan Masyarakat Sejahtera.
Dlm. Konvensyen Kebangsaan Agenda Pembangunan Sosial Ke Arah Pembentukan
Masyarakat Sejahtera dan Saksama. 1-2 Jun 2006.
Syed Ahmad Hussein. 1996. Pengantar Sains Politik. Kuala Lumpur. DBP dan USM.
Willam R.Roff. 2005. Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.
Yusuf al Qaradhawy. 2009. Agama dan Politik: Wawasan Ideal dan Menyanggah Kekeliruan
Pemikiran Sekular-Liberal. Kuala Lumpur. Alam Raya Enterprise.
Zakaria Stapa. 2009. Manusia Pembina Tamadun: Perspektif Pemikiran Islam. Dlm. Jurnal Hadhari.
Bil 1.