NILAI DAN STRATEGI UNGGUL PEMIMPIN DALAM

NILAI DAN STRATEGI UNGGUL PEMIMPIN DALAM
MENANGANI MASALAH EKONOMI : ANALISIS DARIPADA
KISAH NABI YUSUF1
Oleh:
Lutfan Jaes dan Mohd Hisyam Abdul Rahim2
Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Parit Raja, Batu Pahat, Johor, Malaysia
lutfan@uthm.edu.my dan mdhisyam@uthm.edu.my

ABSTRAK
Masalah ekonomi amnya timbul daripada faktor sumber alam yang terhad dan kehendak manusia
yang tidak terbatas. Bagi menangani masalah tersebut, nilai dan strategik terbaik seorang
pemimpin dalam pengurusannya perlu diamalkan. Ini supaya sistem ekonomi di bawah
pimpinannya dapat berjalan dengan telus, cekap, profesional dan mencapai matlamat. Kertas
kerja ini berusaha untuk melihat amalan unggul pengurusan ekonomi Nabi Yusuf a.s, sewaktu
menangani krisis kemarau pada zaman baginda. Penelitian dilakukan secara induktif dengan
memberikan perhatian kepada seluruh surah Yusuf (12:1-111). Manakala pemerhatian deskriptif
terpilih kemudiannya dilakukan pada ayat-ayat surah tertentu bagi tujuan penulisan ini. Ia turut
mengambil kira pandangan ahli akademik, politik dan ekonomi lainnya. Hasil penelitian
mendapati bahawa nilai-nilai unggul seperti ketaqwaan (at-taqwa), kebertanggungjawaban

(mas’iliyyah) dan

keadilan (’adalah) diperlukan bagi seorang pemimpin dalam mengurus

ekonomi. Manakala kaedah penyimpanan yang baik, pembinaan bidang-bidang utama ekonomi
dan mekanisme pengawalan yang objektif adalah antara strategi terbaik yang harus diamalkan.
Secara asasnya al-Qur’an adalah panduan sepanjang zaman. Diharapkan penulisan ini mampu
memberi refleksi serta idea bagi melihat semula amalan unggul (menyeluruh) yang harus ada bagi
seorang pemimpin dalam mengurus kejayaan ekonomi dan pembangunan.
Kata Kunci : Pengurusan Krisis Ekonomi, Pemimpin dan Kepimpinan, Nilai Unggul, Yusuf
1

Kertas kerja ini telah dibentangkan di Seminar Ketahanan Nasional 2015 pada 08 Disember 2015
anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamed, Universiti Utara Malaysia.
2
En. Lutfan bin Jaes dan En. Mohd Hisyam bin Abdul Rahim merupakan staf akademik di Fakulti Sains,
Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat, Johor, Malaysia. No
telefon yang boleh dihubungi : (H/P) 019-7788034 dan 019-7408695.

1


1.0

Pengenalan

Setiap manusia mahupun kumpulan dalam sesebuah masyarakat menginginkan
pencapaian kesejahteraan. Dalam sesebuah negara moden masa kini, kesejahteraan ekonomi
sering menjadi keutamaan sehingga pencapaiannya menjadi ukuran utama dalam mencapai
pembangunan. Walaupun ia bukanlah ukuran kesejahteraan yang sebenar namun sering menjadi
tumpuan yang diusahakan oleh setiap pemimpin dan kepimpinannya dalam sesebuah negara.
Usaha-usaha pembangunan demi mencapai kesejahteraan ekonomi mendapat sentuhan yang
serius dengan pelbagai bentuk penerapan falsafah dan nilai sama ada dari Barat mahupun Timur.
Ini termasuklah penerapan falsafah serta nilai agama khususnya agama Islam.
Islam merupakan agama lengkap yang merangkumi segenap aspek kehidupan di dunia mahupun
di akhirat. Islam adalah satu cara hidup (ad-deen) dan aspek ekonomi tidak terkecuali daripada
Islam itu sendiri. Oleh yang demikian, Islam menyelaraskan matlamat-matlamat yang ingin
dicapai tidak kepada ukuran kebendaan semata-mata, namun ia melangkau jauh kepada matlamat
kehidupan akhirat yang kekal abadi. Bagi seorang pemimpin Muslim, segala pencapaian dan
matlamat daripada kegiatan ekonomi hanyalah alat untuk mencapai keredhaan Allah sematamata. Itulah merupakan tanda daripada penghayatan konsep tauhid yang sebenar dalam sesebuah
kehidupan seorang pemimpin mukmin.

2.0

Ulasan Karya

Secara umumnya ukuran kepada matlamat kesejahteraan ekonomi dikaitkan dengan
usaha kepada pencapaian kecekapan yang maksimum. Ia dilakukan ketika proses membuat
keputusan serta tindakan dalam penggunaan sumber-sumber ekonomi yang sedia ada dan terhad.
Kecekapan dalam memperuntukkan sumber dan keadilan dalam pengagihan akan menjamin
pencapaian kebebasan ekonomi yang meluas kepada segolongan besar masyarakat. Ia seterusnya
membolehkan kesejahteraan hidup yang mantap dan berterusan (Zakaria Man, 2002; hal 3).
Manakala Saiful Azhar (2002; hal 21) menyatakan bahawa masalah fundamental ekonomi yang
dihadapi oleh manusia amnya timbul dari fenomena “kekurangan” yang berlaku akibat dari dua
perkara iaitu a) Sumber alam yang terhad dan b) Kehendak manusia yang tidak terbatas.
2.1

Pemimpin dan Kepimpinan

Kepemimpinan diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan. Bagi menghadapi
cabaran dan mewujudkan perubahan, sudah pasti memerlukan gaya tindakan untuk mencapai
matlamat yang disasarkan. Pemimpin yang bermatlamat akan mendorong masyarakat ke arah

pencapaian dan kejayaan dalam sebarang tindakan yang dilakukan (Clark, 1999: hal 116).
Sehubungan itu, seseorang pemimpin yang hebat seharusnya mampu memikir dan
mengemukakan nilai-nilai, norma-norma dan aspirasi yang boleh mengekal serta merubah
golongan yang dipimpinnya (Mohd Ali, 1998: hal 29).
Kepemimpinan sesebuah negara juga perlulah dikendalikan oleh pemimpin politik atau kerajaan
yang pintar serta berkemampuan untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan
berkesan. Ini adalah kerana pemimpin sewajarnya memiliki gagasan ilmu, pemikiran yang
mantap dan menjayakan visi untuk mencapai matlamat bagi meningkatkan norma-norma
kemanusiaan, nilai-nilai kerohanian dan kemudahan prasarana dalam era kepemimpinan mereka
(Khairul Azman, 2009; hal 6).

2

Sehubungan dengan itu, pemimpin adalah tonggak kepimpinan dalam masyarakat dan negara.
Pemimpin dengan pendekatan tertentu bertanggungjawab menentukan hala tuju pembangunan
yang hendak dicapai. Matlamat yang berfokus oleh pemimpin akan membantu pengikut
melaksanakan tindakan-tindakan yang selari dengan apa yang dirancang oleh kepimpinan.
Pemimpin bertanggungjawab membina rangkaian hubungan dalam proses menjayakan tindakan
ke arah mencapai matlamat (Knippenberg dan Hogg, 2003; hal 7, William, 2005: hal 4-5).
2.2


Kepentingan Nilai dalam Kepimpinan

Persoalan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada persoalan kebudayaan dan nilai
khususnya dalam diri seorang pemimpin. Ignas, Gunawan dan Taufik (1998; hal 4-5) ketika
membincangkan pemikiran kebudayaan oleh Sutan Takdir Alisjahbana menyatakan bahawa tiaptiap perkembangan ekonomi memerlukan nilai-nilai budi, kebudayaan atau sekurang-kurangnya
nilai-nilai semu (terbitan). Ini kerana hanya dengan nilai-nilai lah maka sesuatu dorongan untuk
berusaha serta bekerja dengan teratur dan menerbitkan disiplin dalam kelakuan. Oleh itu dalam
memenuhi tuntutan bekerja dan berusaha dalam jangka masa yang panjang untuk mencapai
kemakmuran serta menghubungkan kehidupan ekonomi dan nilai budi atau kebudayaan, maka
persoalan ekonomi akan menjelma sebagai persoalan kebudayaan. Untuk bekerja dan berusaha
demi mencapai kemakmuran jangka masa panjang maka nilai-nilai yang lahir dari budi dan
kebudayaan harus mendahului nilai-nilai yang lahir dari kehidupan ekonomi.
Dalam sejarah pemerintahan Islam Bani Ummaiyah (680-720H), seorang tokoh pemimpin Islam
yang begitu disegani telah muncul iaitu Umar ibn Abd al-Aziz.3 Pada waktu inilah dikatakan
tiada siapa pun umat Islam yang layak menerima zakat sehingga harta zakat terpaksa diiklankan
kepada sesiapa yang tiada pembiayaan untuk bernikah dan juga hal-hal lain. Keadilan dan
ketegasan Umar dalam pemerintahannya benar-benar menjadikan rakyatnya hidup aman dan
kaya. Yahya ibn Sa'id pernah meriwayatkan;
“Umar ibn Abdil Aziz telah mengutus ku ke Afrika Utara untuk

membahagi-bahagikan zakat penduduk di sana. Aku pun melaksanakan
perintah tersebut. Aku mencari golongan fakir miskin untuk kuberikan
zakat itu kepada mereka. Akan tetapi ,kami tidak menemui seorang pun
dan tiada pula orang yang mahu menerimanya. Umar benar-benar telah
menjadikan rakyatnya kaya. Akhirnya, kubeli beberapa orang hamba
dengan harta zakat itu lalu ku merdekakan."
(Institut Kefahaman Malaysia, 2013)

Manakala pemimpin-pemimpin lain masa kini, khususnya di Asia telah melaksanakan berbagaibagai pendekatan dalam kerangka pembangunan yang sesuai dengan keperluan negara masingmasing seterusnya meningkatkan kesejahteraan ekonomi sekali gus kesejahteraan masyarakat. Di
antaranya seperti Deng Xiao Peng (1904-1997) pemimpin China generasi kedua yang mempunyai
nilai kepimpinan pragmatik yang digelar sebagai “capitalist roader” apabila berjaya mengadun
elemen kapitalis bersama-sama elemen sosialis-komunis dalam pembangunan negara China.
Tindakan–tindakan beliau yang pragmatik telah menggerakkan pertumbuhan ekonomi yang
terpantas di dunia daripada dasar-dasar ekonomi dan hubungan yang rapat dengan Barat dan
Jepun (Gitting, 2005, Carlos Wing, 1998: hal 11). Park Chung Hee pula dengan pendekatan
“Saemaul Undong” juga telah berjaya menukar wajah kampung di seluruh negara Korea Selatan

3

Beliau memerintah dari tahun 717 hingga tahun 720 Hijrah. Pemerintahannya singkat ( 2 tahun 5 bulan 5 hari) tetapi berkesan dan

menakjubkan.

3

dengan meningkatkan keupayaan dan menerapkan nilai-nilai kerjasama untuk mencapai
kemajuan (Sanusi, 2007, Vivek, 2002, Zainuddin, 1981).
2.3

Perkembangan Nilai-Nilai Islam

Huntington (2008; hal 12-15) berhujah bahawa selepas Perang Dingin, orang Asia dan
orang Islam sahajalah secara bersendirian dan kadangkala secara bersama semakin berani
mengakui keunggulan tamadun mereka berbanding dengan Barat. Tamadun-tamadun dominan
yang lainnya agak keberatan mengakui keunggulan budaya mereka berbanding dengan budaya
Barat, Islam dan Konfusius. Sarjana seperti Metzger (2007) turut berpendapat bahawa antara
kepelbagaian nilai yang dapat diperhatikan dalam masyarakat dunia, nilai-nilai agamalah yang
dilihat amat penting terutamanya dalam agama Islam.
Economist (1991) dalam Huntington (2008; hal 156) menyatakan ‘Kekuatan Kebangkitan
Semula’ dan daya tarikan pergerakan Islam ini telah mendorong kerajaan untuk menggalakkan
institusi dan amalan Islam serta untuk memasukkan lambang dan amalan Islam ke dalam

pemerintahan mereka. Pada tahun 1970 an dan 1980 an para pemimpin politik berebut-rebut
untuk menyekutukan pemerintahan mereka dan diri mereka sendiri dengan Islam. Raja Hussein
dari Jordan yang yakin bahawa kerajaan sekular tidak ada masa depan dalam dunia Arab telah
menyuarakan keperluan untuk mewujudkan “demokrasi Islam” dan “agama Islam yang moden”.
Raja Hassan dari Maghribi mendakwa beliau keturunan nabi dan peranannya sebagai “Panglima
Orang Yang Beriman”. Sultan Brunei pula yang dulunya tidak terkenal sebagai pengamal ajaran
Islam yang baik, sudah menjadi “semakin warak” dan mendefinasikan pemerintahan sebagai
“kerajaan beraja Melayu Islam”. Di Bangladesh, prinsip “sekularisme” telah digugurkan daripada
perlembagaan pada pertengahan tahun 1970 an dan menjelang awal tahun 1970 an, jati diri Turki
yang berteraskan ajaran Kemalis sekular itu buat pertama kalinya menerima tentangan yang
hebat.
Di Malaysia peranan agama Islam memainkan peranan penting dalam mempengaruhi
masyarakatnya. Nasionalisme Malaysia pada asasnya adalah berteraskan Islam. Masa depan
ekonomi Malaysia adalah sangat bergantung kepada aspek-aspek produktif “nilai Asia” seperti
pragmatis, rajin, kadar tabungan yang tinggi dan berorentasikan pencapaian (Han, 1999: hal 4-5).
Dalam hal ini Mahathir4 berpendapat, ia sebagai mekanisme penolakan terhadap sejarah Barat:
sebuah pengalaman industrialisasi yang membawa kepada masyarakat yang jahat, lemah moral
dan individualisme yang menjadi-jadi (Harper, 1997; hal 507).

3.0


Metodologi Kajian

Kajian ini bersifat kualitatif. Ia merupakan satu bentuk pemerhatian deskriptif yang
bertujuan untuk memberikan deskripsi terhadap suatu gambaran (mental) tentang sesuatu yang di
alami oleh pengkaji. Kaedah kualitatif membolehkan pengkaji memahami, mendekati dan
menjelaskan fenomena yang meliputi berbagai-bagai isu sosial, ekonomi dan politik dalam
masyarakat (Nahid, 2003: hal 600, Patton, 2001: hal 39). Ini lebih condong kepada ‘makna’, iaitu
bagaimana manusia memberi makna dan tafsiran untuk memahami kehidupan, pengalaman dan
struktur persekitaran mereka (Merriam, 1998). Penyelidikan kualitatif juga terkait dengan sikap,
pendapat, motivasi dan tingkah laku seseorang individu. Ia lebih prihatin dengan aspek makna,
4

Perdana Menteri Malaysia ke 4 dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003

4

konsep, definisi, ciri-ciri, metafora, simbol, dan memerihalkan sesuatu (Hakim, 1987 : hal 26)
dan (Bogdan &Taylor, 1975 : hal 4) dalam Mohammed Mustafa Ishak, 1999: hal 12-13).
Dalam hal yang lebih terperinci, metod induktif menjadi kaedah terpenting dalam kajian . Ia suatu

keadaan di mana data-data di bataskan kepada sesuatu topik (contoh seperti kepimpinan dan
permasalahan ekonomi) dikumpulkan. Kemudian ia di gabungkan bagi membentuk satu hipotesis
mahupun kesimpulan. Proses yang berlaku ialah dimulai dengan data-data kasar yang
kemudiannya dihubungkaitkan, dikategorikan dan dibina konsep abstrak yang seterusnya
membentuk gagasan teori. Ia menyusun maklumat untuk ditafsirkan. Proses penafsiran ini
bermula dengan menganalisis maklumat bersifat umum dan berakhir dengan maklumat khusus
dan mendalam5.
Namun demikian kajian ini bukanlah kajian yang berasaskan teologi sepenuhnya. Penulisan
kertas kerja ini masih terlalu jauh dari disiplin kajian agama. Ia sekadar analisa berbentuk
pemerhatian bagi mengambil ikhtibar secara refleksi perkara yang terkait dengan wahyu-wahyu
Allah. Penulisan ini cuba melihat nilai dan kepimpinan Nabi Yusof di dalam kaca mata penulis
serta di aplikasikan dengan realiti nyata moden masa kini. Nilai dan kepimpinan yang
diaplikasikan oleh Nabi Yusuf a.s yang berjaya membawa rakyatnya keluar dari krisis ekonomi
pastinya boleh diambil pengajaran dan menjadi ikutan.
4.0

Sejarah Ringkas Nabi Yusuf a.s dan Keistimewaan Surahnya

Nabi Yusuf a.s. adalah antara 313 orang rasul yang dipilih oleh Allah s.w.t daripada 124
000 orang nabi yang diutuskan kepada manusia. Baginda juga antara 25 orang rasul yang disebut

namanya oleh Allah dalam al-Qur’an. Nasab baginda ialah Yusuf a.s. bin Ya’qub a.s. bin Ishaq
a.s. bin Ibrahim a.s. dan merupakan putera ketujuh daripada dua belas (12) orang putera-puteri.
Nabi Yusuf dan adinda nya Bunyamin merupakan adik-beradik seibu sebapa daripada hasil
perkahwinan Nabi Ya’qub dengan Rahil. Nabi Yusuf a.s. dianugerahkan dengan paras rupa yang
menarik lagi tampan. Allah s.w.t menceritakan secara khusus kisah baginda dalam Surah Yusuf,
iaitu surah yang kedua belas (12) daripada susunan surah-surah al-Qur’an. Surah Yusuf
mengandungi seratus sebelas ayat (111) dan tergolong dalam kelompok surah makkiah.6 Di luar
surah ini, nama Nabi Yusuf a.s. disebut hanya dua kali sahaja iaitu dalam Surah al-An’am ayat
yang ke-84 dan Surah Ghafir ayat ke-34.7
Pengarang tafsir al- Maraghy juga ada menjelaskan keistimewaan surah tersebut dengan katakatanya
“Kisah yang turut menerangkan pelbagai ujian kehidupan yang
dilaluinya dalam penjara, usaha dakwah yang dilakukan olehnya
sampailah akhirnya baginda memegang tampuk pemerintahan negara.
Pemerintahan dan siasah negara dilakukan dengan baik dan sempurna
sehingga wajar menjadi teladan yang baik kepada semua orang, baik
mengenai kerasulannya atau semua masa kehidupan yang dilaluinya,
termasuk juga cara baginda mengendalikan usaha hidup dengan
sebaik-baiknya yang sesuai dengan pencapaian akal fikiran manusia.”
(Ahmad Mustafa, 2001; hal 3297)

5
6

7

Olahan semula dari : Dolet Unarajan, Pengantar Metode Penelitian Ilmu Sosial (Jakarta: Penerbit PT Grasindo 2000), hal 5
Surah yang diturunkan di Mekah.
Ash-Shabuni, Muhammad Ali. 1996. Kemuliaan Para Nabi. (pent) Saiful Mohd Ali. hal 562.

5

5.0

Kepimpinan Nabi Yusuf a.s. Dalam Menangani Masalah Ekonomi Negara

Kegawatan bermula dengan mimpi buruk raja tentang tujuh ekor lembu dimakan oleh
tujuh ekor lembu kurus, dan tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh lagi yang kering. Raja
sendiri tidak mengetahui maksud mimpi tersebut lantas baginda bertanyakan kepada para
pembesarnya. Mereka mengatakan ia adalah adghatu ahlam (mimpi yang kacau). Sama ada
mereka betul-betul tidak tahu, atau mungkin juga sengaja tidak mahu memberi tahu alamat buruk
yang bakal menimpa kepada raja.
Ketika situasi buntu inilah Nabi Yusuf ditampilkan. Ketika itu baginda sedang meringkuk dalam
penjara akibat fitnah. Raja diberitahu tentang keahlian Nabi Yusuf a.s. mentadbir mimpi. Lalu
segeralah dihantar utusan bagi bertanyakan maksud mimpi tersebut. Nabi Yusuf a.s. melayan
permintaan raja tanpa syarat dan tidak mengambil kesempatan untuk mengeluarkan dirinya
daripada penjara. Malahan ketika raja mahu membebaskannya, baginda Yusuf a.s. tidak mahu
keluar sehingga nama baik baginda dibersihkan terlebih dahulu. Perkara tersebut diceritakan
dalam al-qur’an menerusi surah Yusuf dari ayat 43 hingga ke ayat 49.
5.1

Strategi dan Tindakan Unggul Dalam Amalan Pengurusan Ekonomi

Antara strategi dan tindakan unggul dalam mengatasi krisis kegawatan ekonomi yang
dipamerkan oleh Nabi Yusof adalah seperti berikut:
5.1.1

Kaedah Penyimpanan Yang Baik.

Ekonomi sesebuah negara tidak dapat bertahan dan berkembang malah akan lumpuh
apabila kebuluran yang berlaku dikalangan rakyatnya tidak dapat dibendung. Justeru, satu
mekanisme penyimpanan stok bahan-bahan makanan yang baik amat penting. Ia memerlukan
ilmu pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kaedah dan teknologi bagi menjayakannya.
Sehubungan itu, Nabi Yusuf a.s. telah berjaya menemui kaedah penyimpanan makanan agar dapat
bertahan lama dengan gudang-gudang yang mampu menyimpan segala stok-stok yang diperlukan
untuk beberapa tempoh jangka masa yang panjang. Perkara tersebut dapat difahami daripada ayat
yang ke-47 dari surah Yusuf dan teks berikut:
47. Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya)
sebagaimana biasa; Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu
biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.
dan,
“Maka menyuruh Yusuf membuat akan gedung beberapa
khaza’in barang yang tiada dapat mengirakan dan tiada dapat
membilangkan dia dan tiada dapat diperikan panjangnya dan lebarnya
atas kadar lulus barang yang dapatnya daripada tanaman tahun itu.” 8

Dalam konteks negara masa kini, ia boleh diterjemahkan dalam beberapa tindakan secara
langsung mahupun secara tidak langsung oleh seseorang pemimpin.

8

Ali Ahmad. 1999. Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hal 132.

6

5.1.1.1 Stok Penimbal Beras Negara
Dalam mengurus sekuriti makanan negara, beras merupakan makanan ruji rakyat
Malaysia yang perlu diberikan perhatian serius. Keperluan dalam menyedia dan menyelia secara
efisien stok penimbal beras negara sangat diperlukan. Ia bagi memastikan harga serta bekalannya
stabil. Walaupun Malaysia bukanlah negara pengimport bersih beras 9 namun pendekatan yang
lebih proaktif dan sentiasa bersiap sedia sangat diperlukan. Negara tidak boleh menghadapi
sebarang krisis makanan yang seterusnya bakal mengundang permasalahan ekonomi.
Sehubungan dengan itu, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)10 mempunyai peranan utama
dalam perkembangan industri padi dan keperluan beras negara. Kerajaan melalui BERNAS perlu
secara serius mewujudkan formula terbaik dalam penyediaan simpanan dan stok penimbal beras
negara. Ia turut meminimumkan kebergantungan kepada sumber makanan import. Keselamatan
negara mampu tergugat akibat kekurangan bekalan makanan (beras) dan seterusnya kenaikan
harga bekalan bahan makanan asasi. Ia bakal meresahkan penduduk terutamanya golongan yang
berpendapatan rendah. Keadaan akan bertambah buruk dalam keadaan kos sara hidup yang
semakin meningkat.
Di samping itu, BERNAS perlu terus komited, konsisten, serius dan sentiasa up to date dalam
mengambil alih tanggungjawab sosial kerajaan. Ini termasuklah dalam pengurusan dan
pembayaran subsidi kepada petani, mengurus Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi
daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi dari
petani. Namun kepimpinannya perlu bergerak setapak lagi ke hadapan bersama kepelbagaian
fungsi sedia ada.
5.1.1.2 Rizab Negara
Rizab negara khususnya yang berbentuk wang perlu diambil perhatian. Wang Rizab
merujuk kepada mata wang dalam edaran 11, rizab berkanun12 dan lebihan rizab13. Andaian boleh
dilakukan seperti berikut;
"Berapa lamakah ekonomi negara boleh bertahan (melakukan
perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan yang telah
dirancang) sekiranya ekonomi rantau Asia Tenggara mengalami
kegawatan sekali lagi?”
“Paras rizab negara memadai untuk membiayai berapa bulan import
tertangguh dan ialah berapa kali hutang luar negeri jangka pendek?”.

9

Menurut Dr Amin Mahir Abdullah, Ketua Laboratori Dasar Perniagaantani dan Pengurusan, Institut Kajian Dasar Pertanian dan
Makanan (IKDPM), Universiti Putra Malaysia (UPM); Malaysia mengimport kira-kira 30 peratus keperluan beras.
10

Merupakan sebuah institusi yang telah diswastakan pada Januari 1996 dan mengambilalih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara
(LPN) sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan.
11
merujuk kepada wang kertas dan duit syiling yang dikeluarkan oleh BNM tidak termasuk pemegangan oleh institusi perbankan
(merangkumi bank perdagangan, syarikat kewangan, bank saudagar, bank-bank Islam dan syarikat diskaun).
12
rizab yang disimpan oleh institusi perbankan (kecuali syarikat diskaun) dengan BNM sebagai mematuhi keperluan rizab berkanun
yang telah ditetapkan. Kesemua institusi perbankan dikehendaki menyimpan dengan BNM jumlah yang sama dengan nisbah
keperluan rizab berkanun digandakan dengan tanggungan layak.
13
mata wang yang dipegang oleh institusi perbankan dan akaun semasa (termasuk akaun semasa Skim Perbankan Islam atau SPI)
yang disimpan oleh institusi perbankan dengan BNM.

7

Begitu juga dengan rizab antarabangsa rasmi negara yang meliputi rizab emas 14 dan rizab
pertukaran asing 15. Nilai-nilai ini perlu diurus, difahami dan dilindungi sepenuhnya oleh setiap
pemimpin dan pengurus ekonomi. Setiap penurunan mahupun kenaikan sesuatu komponen dalam
rezab negara hendaklah diteliti dan dikaji. Pengurusan rizab negara tidak semudah melihat angka
penurunan sebagai negatif dan kenaikan rizab negara sebagai sesuatu perkembangan positif.
Kegagalan pemimpin dan institusi memahami bagaimana sistem ekonomi ini beroperasi akan
menyebabkan negara mengalami krisis dan kerugian tanpa sebab dalam sekelip mata. Dalam hal
ini Tun Mahathir (2000) menyatakan
“Malaysia terus percaya bahawa punca sebenar kegawatan ekonomi
dan kewangan adalah perdagangan mata wang oleh dana lindung nilai
dan bank. Jika sesebuah negara perlu melakukan sesuatu dengan
caranya sendiri bagi melindungi dana lindung nilai, mekanisme
perdagangan mata wang perlu difahami sepenuhnya bagi membolehkan
sesuatu dirancang untuk mengalahkan spekulator mata wang dalam
arena permainan mereka”
(Mahathir, 2000; hal 33)

5.1.2

Pembinaan Bidang-Bidang Utama Ekonomi

Bagi menjana kemakmuran dan keselesaan hidup, pemerintah perlulah membangunkan
bidang-bidang utama yang dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi
yang baik, adil dan seimbang adalah antara faktor penyumbang kepada kesejahteraan hidup. Nabi
Yusuf a.s. sebagai pemerintah pada ketika itu telah merancakkan kegiatan pertanian demi
menjamin kelangsungan hidup mereka pada zaman kemarau. Kemewahan hasil tanaman dapat
disimpan untuk masa kegawatan dan selebihnya dinikmati sewaktu zaman kemakmuran. Perkara
tersebut dijelaskan seperti berikut :
“Maka menghimpunkan Yusuf akan ahli Mesir yang jauhnya, yang
dekatnya dan menyuruh mereka itu bahawa bertanam dan jangan
meninggalkan sedikit daripada bumi yang tanam. Maka
menyediakan bagi menghidupkan bumi dan membanyakkan dia.” 16

Apakah pembinaan bidang ekonomi utama Malaysia sejak Merdeka hingga kini tepat?!
5.1.2.1 Dekad 50-an dan 60-an
Dalam dekad ini, pertanian sara diri masih merupakan aktiviti utama kepada sebahagian
besar rakyat. Kepimpinan Tunku Abdul Rahman ketika itu, masih meneruskan strategi ala
penjajah (Dasar Pecah dan Perintah) dengan memberikan tumpuan kepada sektor komoditi utama
khususnya getah dan bijih timah. Syarikat seperti Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby masih
dimiliki British selain estet-estet persendirian yang turut menyumbang kepada hasil Keluaran
Negara Kasar (KNK)17 dan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) 18.
14

simpanan emas pegangan bank pusat atau negara yang bertujuan sebagai simpanan nilai dan jaminan untuk menebus janji untuk
membayar penyimpan, pemegang wang kertas, atau rakan dagang, atau mencagarkan mata wang.
15
simpanan matawang asing dan bon yang disimpan oleh bank pusat dan pihak berkuasa kewangan
16

Ali Ahmad. 1999. Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hal 131.
Ia adalah jumlah nilai tahunan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan sebuah negara. Ia seharusnya mencerminkan pendapatan
purata rakyat sebuah negara.
17

8

Namun kewujudan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) pada
tahun 1966 menjadi langkah permulaan berstrategi jangka panjang kepada pembangunan sektor
luar bandar dalam membantu penduduk menyertai aktiviti ekonomi negara khususnya pertanian
dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan. Ia menjadi fomular umum kepada
mana-mana negara dunia ke 3 yang baru sahaja merdeka pada masa itu.
Dalam masa yang sama program perindustrian juga telah mula dijalankan sebagai usaha untuk
mempelbagaikan ekonomi negara. Ini kerana harga komoditi berdasarkan eksport juga tidak
stabil. Dasar pembangunan perindustrian pada masa itu adalah tertumpu kepada industri-industri
yang bercorak gantian import.
5.1.2.2 Dekad 70-an dan 80-an
Sektor pertanian masih penting pada dekad 70-an dan 80-an dalam pembinaan bidang
utama ekonomi negara. Usaha-usaha membasmi kemiskinan, meningkatkan pendapatan,
menambah peluang-peluang pekerjaan, penyusunan semula masyarakat dan memperbetulkan ke
tidak seimbangan ekonomi masih menjadikan sektor ini sebagai strategi utama. Peranan besar
yang dimainkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-2 iaitu Tun Abdul Razak Hussein melalui
Federal Land Development Authority (FELDA)19 begitu signifikan.
Sejak tahun 70-an juga, kerajaan mula berusaha mempelbagaikan bidang ekonomi. Antara sektor
tumpuan ialah sektor pembuatan yang berasaskan eksport. Sektor seperti tekstil dan elektrik serta
elektronik menjadi tumpuan kerana kelebihan dalam penggunaan sumber buruh. Industri yang
berasaskan pengilangan ini telah menampung keperluan pekerjaan yang ramai di samping
memenuhi hasrat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Iklim politik serta dasar pelaburan yang “mesra”
turut menyumbang kepada peningkatan Foreign Direct Investment (FDI) seterusnya ekonomi
negara yang sihat.
Mulai tahun 80-an pula, industri pembuatan berat mula diperkenal dan digalakkan bagi
memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara serta menambahkan kemahiran rakyat di bidang
teknologi tinggi. Ketika itu kerajaan mengambil tempat pertama dalam merancang, melaksana,
membiayai dan mengurus industri-industri berat. Ini kerana sektor swasta tidak mampu
menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan projek-projek yang
bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya dapat memberi pulangan dalam
tempoh masa yang panjang.
5.1.2.3 Dekad 90-an dan 00-an
Walaupun bidang pertanian di Malaysia merupakan kegiatan ekonomi penting namun ia
diandaikan tidak mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi puluhan ribu lulusan sekolah dan
institusi pengajian tinggi setiap tahun. Malah pengalaman dalam dekad 80-an menyaksikan
bahawa harga komoditi utama mampu jatuh dengan teruk. Ia mampu menggugat prestasi
ekonomi lalu mendorong kerajaan memperkukuhkan sektor industri dan pembuatan.

18

Jumlah nilai pasarankeseluruhan barangan dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu.
Ia juga mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barangan dan perkhidmatan terakhir yang
dihasilkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu, dan diberi dalam nilai wang.
19
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP)

9

Sektor pembuatan diyakini mampu memainkan peranan lebih dinamik dengan sumbangansumbangan yang lebih besar dari segi menambah eksport, mengadakan lebih banyak peluangpeluang pekerjaan serta memperbanyakkan peluang-peluang latihan teknikal dan kemahiran.
Sehubungan dengan itu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke 4 (Tun Mahathir
Mohamed) telah menggariskan Pelan Induk Perindustrian (PIP) pada tahun 1986 dalam usaha
meletakkan asas lebih kukuh negara menjadi sebuah negara perindustrian yang maju.
Di era tahun 90-an juga dunia amnya dan Malaysia khususnya diperkenalkan dengan bidang ICT
(Information and Communication Technology). Elemen ini telah memperkukuhkan lagi bidang
industri pembuatan negara dan industri ICT itu sendiri. Kepimpinan Tun Mahathir telah
membawa idea dan gagasan ICT ke satu tahap tersendiri. Sektor utama ekonomi yang berasaskan
ICT di galakkan. Penubuhan Cyberjaya pada 1997 merupakan satu komitmen tertinggi
kepimpinan Tun Mahathir ketika itu dalam terus memacu pembangunan ekonomi negara.
Cuberjaya menjadi tulang belakang Koridor Raya Multimedia (MSC) dan diasaskan sebagai
bandar pintar mengikut konsep Lembah Silikon di Amerika Syarikat.
5.1.2.4 Alaf Baru Abad ke 21
Dalam menuju kepesatan negara industri, sektor pertanian dilihat mula tertinggal dan
dilupakan. Walaupun kerajaan mempunyai Dasar Pertanian Negara (DPN) yang komprehensif 20 ia
tidak diserlahkan menerusi prestasi dan hasil. DPN tidak mendapat sambutan dan tenggelam
dalam arus dasar-dasar lain yang dilihat lebih realistik serta memberikan ruang pekerjaan kepada
graduan. Sektor pertanian juga sinonim dengan tanggapan pekerjaan kotor dan tiada masa depan.
Akhirnya apa yang berlaku kini ialah persepsi bahawa mengimport bahan makanan lebih efisien
berbanding mengusahakannya sendiri. Peningkatan pelbagai kos input pertanian dan kelebihan
amalan ekonomi skala21 bidangan yang dilakukan oleh negara pertanian lainnya menambahkan
lagi persepsi negatif kepada bidang ini. Negara dilihat terperangkap dengan pilihan-pilihan
ekonomi yang berasaskan keuntungan semata-mata. Namun negara tidak boleh terus membiarkan
pilihan-pilihan ekonomi ini berterusan hingga menjejaskan keselamatan negara. Ini kerana
andaian serta spekulasi tentang punca kemerosotan makanan utama iaitu padi seharusnya diambil
iktibar. Sesebuah negara yang kuat ialah negara yang mempunyai sumber makanan yang
mencukupi serta sumber manusia yang berkualiti.
Kenaikan harga beras dan makanan asas lain seharusnya memberi petunjuk kepada kepimpinan
negara bahawa kawasan pertanian tidak boleh lagi ditukarkan statusnya kepada pelbagai kawasan
komersial atau perumahan. Kawasan penanaman padi yang baru harus dicari, per tingkatkan
teknologi, pengurusan serta penyelidikan agar penanaman padi dapat dijalankan melebihi 2 kali
setahun. Krisis makanan bakal wujud22 dan sekuriti makanan negara harus berada dalam keadaan
terbaik. risis yang melibatkan bahan makanan seperti beras dan tepung itu jika tidak dibendung
akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.

20

Dasar Pertanian Negara 1 (1984-1991), Dasar Pertanian Negara 2 (1992-1997) dan Dasar Pertanian Negara 3 (1998-2010)

21

"Ekonomi skala" ialah konsep jangka panjang yang memaksudkan penyusutkan kos seunit apabila meningkatkan saiz kemudahan
dan takat penggunaan masukan lain. Lebih banyak barangan maka akan lebih murah kos sunitnya.
22
atas pelbagai faktor seperti pertambahan penduduk dan faktor cuaca.

10

5.1.3

Perancangan Tepat Dan Berkesan.

Perancangan yang tepat dan kehadapan (futuristic) menyelamatkan ekonomi rakyat dan
negara dengan mengimbangi kadar penghasilan, penabungan, perbelanjaan serta reformasi sistem
perekonomian.23 Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah dalam ayat yang berikut :
47. Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya)
sebagaimana biasa; Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu
biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.
48. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit,
yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya
(tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.

Perancangan yang tepat dan berkesan lahir dari kepimpinan yang berpengetahuan. Pemimpin
perlu arif dalam bidangnya mahupun sanggup belajar dan menerima pendapat orang lain.
Walaubagaimanapun di akhir segala-galanya, tindakan pemimpin lah yang menentukan kejayaan.
Kecuaian dan kesilapan menyusun strategik mampu membawa bencana besar pada ekonomi
negara.
Sebagai contoh kepimpinan Tun Mahathir dalam menyelesaikan kegawatan ekonomi (1997-1999)
Malaysia ketika itu merupakan sesuatu keputusan yang tepat dan berkesan. Tun Mahathir (2000)
dalam bukunya “Krisis Matawang Malaysia: Bagaimana dan Mengapa Ia Berlaku” antara lain
merancangkan melakukan tukaran asing berpilih-pilih iaitu 1997-1999 iaitu:

 Pasaran ringgit luar pesisir dihapuskan!
 Penetapan kadar tukaran bagi ringgit iaitu RM3.80 bagi setiap dolar
Amerika!
 Satu “peraturan 12 bulan” bagi menyekat pengaliran keluar dana
portfolio bagi tempoh setahun!
5.1.4

Pengurusan Cekap dan Berwibawa.

Pengurus yang bijak, cekap dan berwibawa amat diperlukan sewaktu menangani situasi
yang getir. Oleh yang demikian maka tepatlah apabila Nabi Yusuf a.s. mengambil posisi yang
amat penting dan strategik bagi memastikan segala perancangan yang dibuat membuahkan hasil
yang diharapkan. Perkara tesebut juga dijelaskan oleh Allah dalam ayat 54 sehingga ayat ke-56.
Maksud ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut:
54. Dan raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, agar Aku memilih dia
sebagai orang yang rapat kepadaku". Maka tatkala raja Telah bercakapcakap dengan Dia, dia berkata: "Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini
menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai di sisi
kami".

23

Al-Khairun, Hasan Muhd. Bin Ghazali. 2003. 140 Tips Mencari Rezeki Yang Halal Untuk Mencapai Kekayaan. hal 314.

11

55. Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir);
Sesungguhnya Aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi
berpengetahuan".
56. Dan Demikianlah kami memberi kedudukan kepada Yusuf di
negeri Mesir; (Dia berkuasa penuh) pergi menuju kemana saja ia
kehendaki di bumi Mesir itu. kami melimpahkan rahmat kami kepada
siapa yang kami kehendaki dan kami tidak menyia-nyiakan pahala
orang-orang yang berbuat baik.

Adalah terlalu penting memilih pemimpin yang cekap, berwibawa, berintegriti, berpengetahuan
dan berkesan dalam mengurus ekonomi. Malaysia beruntung kerana mempunyai kepimpinan
seperti Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz 24 dalam mengurus kewangan
dan perbankan negara. Penyelesaian kepada kawalan inflasi, sasaran pertumbuhan ekonomi,
kestabilan mata wang, pengurusan kadar faedah dan lain-lain perlulah diserahkan kepada mereka
yang benar-benar “ahli”25.
Dari peringkat politik, Malaysia juga pernah menerima pimpinan seorang tokoh guaman dan
perniagaan (perbankan) terkenal seperti Tun Daim Zainuddin 26. Ketika era 1980an, ekonomi
Malaysia berada di landasan terbaik. Beliau sekali lagi membuktikan kecemerlangan dalam
menyelesaikan masalah ekonomi pada era 1990an. Tun Mahathir dalam catatannya “Doktor
Umum Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad” menukilkan;
“Di permukaan Tun Daim dilihat seperti tidak gemarkan politik tetapi
beliau memainkan peranan penting dalam politik Malaysia. Beliau
berjaya memandu ekonomi Malaysia pada tahun-tahun paling
mencabar tetapi tidak menunggu untuk menikmati hasil kejayaan dasardasar beliau. Beliau meletak jawatan tetapi sedia membantu kerajaan
dengan memberikan idea dan kritikan terbuka tanpa rasa takut dan
berat sebelah. Apabila dipanggil semula menganggotai kabinet, beliau
menerimanya secara sukarela dan apabila tiba masa untuk mengundur
diri beliau juga secara sukarela melepaskan jawatan kanan sebagai
Menteri Kewangan – tanpa drama, pengaliran air mata atau dendam
terhadap mereka-mereka yang memburukkannya”
(Mahathir, 2012. hal 617)

5.1.5

Mekanisme Pengawalan Pengurusan Yang Mencapai Objektif.

Islam menggariskan agar penggunaan pengeluaran dikawal selia dengan baik daripada
disalahgunakan. Ia merupakan tindakan penting untuk menjaga kebajikan semua selain daripada
menitikberatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran. 27 Justeru perkara tersebut dapat menghindarkan
daripada kegiatan monopoli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Peranan Nabi Yusuf
24

Gabenor Bank Negara Malaysia dari tahun 2000 hingga kini.

25

Pada Tahun 2009, Majalah Global Finance, menamakan beliau Ketua Pusat Bank terbaik dunia ini.
Pada Tahun 2010, sebagai "Tokoh Ma'al Hijrah 1432H". Pada 20 Mei 2011, kolumnis Bloomberg menamakan beliau sebagai calon
untuk mengetuai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada Tahun 2013, sekali lagi diberi "Gred A" di kalangan ketua-ketua bank
Pusat Untuk kali ke-10 oleh Majalah Global Finance. Pada masa kini beliau juga adalah Pengerusi Institut Kewangan Asia.
26

Menteri Kewangan pada 14 Julai 1984. Setelah enam tahun memegang jawatan Menteri Kewangan dan merasakan ekonomi
Malaysia benar-benar teguh dan mantap, beliau meletakkan jawatannya pada 15 Mac1991.Pada Januari 1999, beliau dilantik semula
sebagai Menteri Kewangan Pertama selepas Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet.
Walaupun beliau berada di luar kabinet selama tujuh tahun sejak 1991, beliau aktif terlibat dalam hal ehwal ekonomi negara atas
pelantikan beliau sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan. Pada 20 Disember 1997, dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis
Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 31 Mei 2001. Pernah memegang jawatan
Bendahari Agung UMNO antara tahun 1984 hingga 1999 dan juga Bendahari Barisan Nasional (BN).

12

mengumpul dan mengawal simpanan makanan pada ketika itu akhirnya mencapai objektif yang
diharapkan iaitu menghindari kebuluran sewaktu kemarau. Teks di bawah menjelaskan tindakan
baginda:
Maka dihimpunkan kepadanya dan dibelanjakan tiap-tiap satu
rumah dengan kadar orangnya dan nafkahnya atas kira-kiranya.28

Dalam konteks negara, Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 1961) 29 berfungsi mengawal bekalan
barang-barang yang telah diishtiharkan sebagai barang kawalan bagi memastikan bekalan yang
mencukupi. Ia juga memperuntukkan kuasa bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil
tindakan menyekat aktiviti-aktiviti haram seperti perbuatan menyorok atau enggan menjual
barang kawalan. Akta ini memberikan jaminan agar rakyat (pengguna) mendapat bekalan
sewajarnya. Begitu juga dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memberi
kuasa kepada kerajaan menetap dan mengawal harga bagi barangan yang disenaraikan. Namun
apa yang lebih penting daripada akta ini ialah pelaksanaan dan penguatkuasaan terhadap barangan
dan harga yang disenaraikan tersebut. Pemimpin perlu tegas dan tidak mudah terpengaruh dengan
alasan pengeluar, pemborong dan peniaga yang tidak kukuh. benar-benar kukuhg. Pasaran
domestik Malaysia yang tidak begitu luas memungkinkan sebilangan pemborong atau peniaga
mampun mengawal pasaran.
5.1.6

Pengagihan Dan Pengurusan Sumber Secara Tepat Dan Berkesan.

Islam mendukung prinsip keadilan dalam ajarannya. Keadilan dapat menghindarkan
daripada berlakunya penyelewengan dan memadamkan perasaan tidak puas hati. Nabi Yusuf telah
melakukan cara terbaik dalam aspek pengagihan makanan sewaktu zaman kemarau. Oleh itu,
penduduk Mesir terselamat daripada kebinasaan yang diakibatkan oleh kemarau selama tujuh
tahun. Teks yang sama (seperti perkara 5.1.5) juga telah menjelaskan tindakan tepat baginda pada
waktu itu:
“Maka dihimpunkan kepadanya dan dibelanjakan tiap-tiap satu
rumah dengan kadar orangnya dan nafkahnya atas kira-kiranya. ”
30

Peristiwa 13 Mei 1969 telah membuka mata semua pihak akan betapa pentingnya pengagihan dan
peruntukan sumber yang adil, tepat dan berkesan. Dasar “Pecah dan Perintah” British membentuk
polarisasi kaum berdasarkan sektor ekonomi yang terpaksa dibetulkan semula oleh kerajaan.
Sehubungan dengan itu Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenal oleh Tun Abdul Razak sebagai
satu program sosioekonomi mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan
meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat
Malaysia tanpa mengira kaum; dan mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat
Malaysia untuk memperbetulkan ke tidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan
seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
5.1.7

Skim Penyimpanan Buat Masa Hadapan (tabungan).

27

Abd. Al-Rahman Zaki Ibrahim. 1998. Petunjuk Amalan Ekonomi Islam. (pent) Mujaini bin Tarimin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. hal 62.
28
29
30

Ali Ahmad. 1999. Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. hal 132.
Barang-barang yang dikawal bekalannya seperti gula. susu, baja, petrol, roti dan lain-lain seperti yang tersenarai pada akta
ibid. hal 312.

13

Islam melarang umatnya daripada melakukan pembaziran daripada segenap aspek.
Lebihan pendapatan ataupun harta selain dikeluarkan zakat 31 perlulah disimpan buat masa akan
datang bagi persediaan perkara-perkara kecemasan, kesempitan hidup dan sebagainya. Nabi
Yusuf a.s. telah mempraktikkan usaha tersebut. Hasil simpanan makanan yang telah dikumpulkan
dapat mengelakkan mereka daripada mati kebuluran. Hal tersebut dapat difahami daripada teks
berikut:
“Maka menyuruh Yusuf membuat akan gedung beberapa khaza’in
barang yang tiada dapat mengirakan dan tiada dapat membilangkan dia
dan tiada dapat diperikan panjangnya dan lebarnya atas kadar lulus
barang yang dapatnya daripada tanaman tahun itu.” 32

Kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk memberikan kesedaran tentang pengurusan
kewangan peribadi kepada rakyatnya. Dalam hal ini, simpanan dan tabungan merupakan satu
prinsip asas yang telah diusahakan sama ada secara paksa mahupun sukarela. Ia perlu dipergiat,
digalak dan diefesyenkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan institusi
keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui
pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai. KWSP menyediakan sistem
yang efisien dan mudah bagi memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undangundang serta kewajipan moral mereka untuk mencarum kepada KWSP bagi pihak pekerja
mereka. Begitu jua dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang merupakan
syarikat pengurusan modal terbesar di Malaysia. PNB merupakan syarikat induk bagi Amanah
Saham Nasional Berhad (ASNB) yang menjalankan skim dana amanah khususnya untuk
kepentingan bumiputera.
5.1.8

Perbelanjaan Mengikut Keutamaan, Berjimat Cermat dan Bersederhana.

Pengurusan sumber negara hendaklah teratur dan tersusun mengikut prioriti keperluan
ekonomi negara semasa.33 Selain itu, perbelanjaan mestilah dilakukan dengan berhemat dan
bersederhana. Tindakan tersebut perlu bagi memanfaatkan secara optimum sumber-sumber terhad
sewaktu saat-saat genting. Ia juga dapat mengelakkan kebocoran sumber kepada perkara yang
sia-sia. Teks yang serupa juga dapat kita fahami akan perkara ini:
“Maka dihimpunkan kepadanya dan dibelanjakan tiap-tiap satu
rumah dengan kadar orangnya dan nafkahnya atas kira-kiranya.”
34

Berbelanja mengikut keutamaan, berjimat cermat dan bersederhana adalah merupakan satu sikap
yang perlu dibimbing dan dilatih. Ia sukar dibina kecuali dicontohkan oleh pemimpin sendiri.
Hanya dengan contoh-contoh maka rakyat akan menerima sikap serta nilai yang tidak popular
dan seterusnya membentuk budaya baru dalam masyarakat. Namun amalannya menjadi semakin
sukar dalam keadaan ekonomi makmur dan kehidupan masyarakat yang sejahtera. Amalan
berhutang dan berbelanja boros wajar dihindarkan. Krisis ekonomi mampu melanda secara tiba31

32

Setelah cukup segala syaratnya menurut syarak.
Ali Ahmad. 1999. Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. hal 132.

33

Nik Mustapha Hj. Nik Hassan. 1998. Pengurusan Makro Ekonomi Negara Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut
Kefahaman Islam. hal 8.
34

Ali Ahmad. 1999. Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. hal 132.

14

tiba dan pada ketika itu dibimbangi nilai dan sikap yang negatif sudah menjadi gaya hidup dan
sukar di tinggalkan. Krisis hutang dan perbelanjaan Negara Greece wajar dijadikan ikhtibar.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai
Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah
melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya)
perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara
(boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)

5.1.9

Pengurusan Risiko Bagi Melindungi Harta Dan Sistem Ekonomi.

Setiap individu mahupun organisasi sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko.
Pengurusan risiko dapat ditakrifkan sebagai suatu proses yang sistematik untuk mengenal pasti
dan menilai risiko yang mungkin dihadapi. Kemudian memilih dan melaksanakan teknik-teknik
pengendalian risiko yang paling sesuai untuk mengawasi risiko yang telah dikenal pasti selaras
dengan matlamat individu atau organisasi tersebut. 35 Kisah Nabi Yusuf menerangkan bahawa
risiko yang bakal dihadapi oleh sekalian penduduk Mesir adalah kemarau yang berpanjangan dan
langkah-langkah perlu untuk mereka, bagi mendepani perkara tersebut. Kecerdikan Nabi Yusuf
dalam menangani risiko telah menyelamatkan mereka daripada kebinasaan. Tindakan tersebut
dapat difahami daripada petikan berikut:
“Maka menyeru Yusuf a.s. akan segala manusia jangan kamu tanam
sesuatu hingga lalu masa tujuh tahun ini. Maka bahawasanya binasa
benih kamu dan tiada tumbuh bagi kamu sesuatu.” 36

Dalam konteks masa kini, pengurusan risiko (insurans) dalam kehidupan diterjemahkan kepada
penyelesaian sistem “Takaful” yang saling menjamin. Industri ini berkembang pesat malah
Malaysia merupakan negara perintis kepada pengurusan risiko berdasarkan syariah. Peserta yang
mengambil perlindungan takaful perlu berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan
mereka ketika ditimpa musibah. Secara amnya, objektif dalam industri takaful sebenarnya
mempunyai persamaan dengan industri insurans konvensional. Ia diungkapkan sebagai golongan
ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik. Lalu sektor ini perlu di
kembang luaskan dan galakan sokongan tidak berbelah bahagi
"Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan
taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan
permusuhan". (Al-Maaidah, ayat 2)

6.0

Nilai Kepimpinan Unggul Dalam Amalan Pengurusan Ekonomi Nabi Yusuf a.s.

Setelah meneliti nilai-nilai dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Nabi Yusuf a.s,
beberapa prinsip dapat dirumuskan sebagai panduan dalam menjalani kegiatan ekonomi. Ia boleh
dijadikan ikhtibar kepada pemimpin mahupun rakyat yang memilih pimpinan dalam mengurus
ekonomi sekali gus bersedia menghadapi krisis ekonomi sekiranya berlaku. Senarai prinsipprinsip tersebut adalah seperti berikut:

35
36

Lim Chee Chee. 2003. Pengurusan Risiko dan Insurans. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia. hal 41.
Ali Ahmad. 1999. Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu. hal 133.

15

6.1

Ketaqwaan (At-Taqwa)

Adalah penting memiliki pemimpin yang mempunyai sifat Taqwa. Iaitu pemimpin yang
memelihara hubungan yang baik dengan tuhan, memelihara diri jangan sampai terperusuk kepada
perbuatan yang tidak diredhai, memelihara segala perintahNya supaya dapat dilakukan dan
memelihara segala larangannya supaya dapat dijauhi. Ia sesuai dengan penyataan Rukun Negara
yang pertama di mana Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh
kepada Tuhan. “Longgar” dalam kehidupan beragama akan meruntuhkan keperibadian seseorang
pemimpin, masyarakat, bangsa dan negara.
Ketaqwaan merupakan asas penting kepada seseorang pemimpin dalam mengurus ekonomi
negara. Ketaqwaan dalam erti kata sebenar akan menyediakan seseorang itu ke arah kesucian hati
dan kebersihan luaran. Kesucian hati akan mencernakan akhlak yang murni seorang pemimpin
seperti amanah, keikhlasan, kejujuran dan sebagainya dalam melakukan sebarang tindakan.
Kebersihan luaran pula meliputi pembudayaan sikap positif seperti berdisiplin, bersih, kemas dan
keperibadian yang tinggi.37 Nilai taqwa perlu dipegang oleh setiap pemimpin terutamanya dalam
mengharungi krisis ekonomi. Ia tidak harus diambil remeh, kerana dalam masa yang sama ia
melibatkan elemen kepercayaan rakyat. Tidak akan berlaku pemulihan ekonomi tanpa pemulihan
kepercayaan dengan menampilkan orang-orang yang bersih dari sebarang kecacatan moral,
rasuah dan sebagainya. Oleh kerana itulah hikmah Allah menampilkan Nabi Yusuf a.s. yang
mempunyai akhlak dan ketaqwaan yang tinggi serta kebijaksanaan bagi mengatasi bencana yang
melanda.38

6.1.1

Keadilan dan Ihsan (al-Adl wal Ihsan)

Pemimpin harus adil, tidak berat sebelah, tidak memihak dalam keputusan, berpihak
kepada yang benar atau berpegang kepada kebenaran, berlaku sepatutnya dan tidak bertindak
sewenang-wenang. Manakala ihsan pula ialah berbuat baik. Di dalam Islam sesuatu keadilan
perlu di laksanakan bersekali dengan prinsip ihsan. Prinsip al-Adl wal Ihsan menganjurkan
bahawa sistem ekonomi dan pengurusannya mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan
ekonomi dan ekonomi kerjasama. Penghayatan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap
aktiviti ekonomi merupakan kemuncak keutuhan sistem ekonomi bernegara manakala ekonomi
kerjasama akan mewujudkan kestabilan dan kemapanan perjalanan ekonomi. 39 Konsep at-ta’awun
(tolong menolong dalam kebaikan) dapat diterapkan dan persaingan tidak sihat dapat dihindarkan.
Pemimpin yang mampu membawa gagasan ini, natijahnya ialah sebuah masyarakat yang adil
dengan segala kemaslahatannya diambil kira, suasana aman