JALAN RAYA DAN PENGANGKUTAN AWAL MELAKA

JALAN RAYA DAN PENGANGKUTAN AWAL MELAKA:
LAPORAN RINGKAS HASIL PENGAMATAN LAWATAN KERJA LAPANGAN
ILMIAH KE MELAKA
Muhammad Helmy Bin Abdul Gapar
Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia
Lockomotive.moskhva21@gmail.com
Fairuzzaman Shaharuddin
frzzmn@gmail.com
Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Lazimnya apabila kita melawat sesebuah tempat yang bersejarah, perkara yang menjadi
pesona dan tumpuan utama kita selalunya condong kepada kehalusan seni bina
bangunannya.Selain daripada kehalusan seni bina, kita juga sering kagum kepada kesankesan sejarah atau makna yang terkandung disebalik monumen-monumen yang
arkaik.Kekaguman kita juga sering terdorong akibat daripada perasaan hairan berdasarkan
anakronisme teknologi hari ini yang sebenarnya sudahpun wujud pada zaman dahulu.Tidak
dinafikan bahawa, latar sosial dan kegiatan perekonomian tempatan yang pernah dijalankan
di kawasan tersebut turut menjadi suatu maklumat yang baik dan menarik untuk disampaikan
kepada pelancong yang hadir.Perkara ini tidaklah menjadi kesalahan langsung terutamanya
dalam sektor pelancongan yang memang sebenarnya bertujuan untuk menarik ramai
pengunjung.Malah tempat-tempat bersejarah adalah faktor utama kedatangan pengunjung ke
sesuatu kawasan pelancongan. Hal ini disokong melalui kajian Er Ah Choy (2013) yang

mendapati kebanyakan responden yang berkunjung ke Melaka adalah bertujuan untuk
melawat kawasan Bandar Warisan dan melihat tapak bersejarah, di samping menghayati
pelancongan rekreasi yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.Namun pada pendapat peribadi
penulis, sejarah dan kepentingan sistem pengangkutan darat agak jarang dimaklumkan
kepada pelancong.Sistem pengangkutan darat memainkan peranan penting dalam
menghubungkan masyarakat bukan sahaja antara golongan pedagang, malah yang lebih lagi
hubungan antara penduduk asal itu sendiri dalam melakukan aktiviti mereka seharihari.Tetapi mungkin sahaja perkara berkenaan sistem pengangkutan darat atau jalan raya ini
sebenarnya menjadi topik khusus dalam kajian-kajian yang lebih bersifat ilmiah dan
mempunyai kelompok tersendiri berbanding monumen-monumen bersejarahnya yang sesuai
dengan masyarakat umum bersandarkan kepada naratifnya lebih popular.
Walaubagaimanapun, penulis agak bernasib baik apabila perkara ini menjadi antara
maklumat utama yang disampaikan oleh pemandu pelancong ketika menyertai program
lawatan kerja lapangan ke Melaka anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM).Umumnya negeri Melaka memang kaya dengan sejarah.Malah
penulis yakin bahawa hampir setiap warganegara Malaysia mengetahui tentang kewujudan
kegemilangan Kerajaan Melayu di negeri ini.Justeru, tidak hairanlah terdapat banyak tempattempat bersejarah di Melaka yang menjadi tumpuan pelancong seperti Perkampungan
Portugis, Kota Belanda, Kota A’Famosa, Pulau Besar, Perigi, Replika Keris, Pancuran Air

Ratu Victoria, Bukit St. John, gereja-gereja, perkuburan barat, Batu Megalith, dan makam
diraja (Ang Kean Hua 2015: 75).

Tidak sepenuhnya tertumpu kepada tempat-tempat bersejarah seperti yang dinyatakan,
perjalanan kami dilakukan secara khusus dari satu tempat ke satu tempat yang lain sekitar
‘Kota Melaka.’Kota Melaka yang asal adalah berbeza dengan negeri Melaka kontemporari.
Dalam konteks ini, penulis bermaksud untuk membezakan Kota Melakaketika era
pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka (KMM) pada abad ke-15 atau pada hari ini dikenali
sebagai Bandaraya Warisan yang diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and
Cultural Organization (UNESCO)dengan Melaka yang kita kenali ― daripada segi
persempadanan.Justeru, penulis berhasrat untuk merakamkan catatan pengalaman ketika
berjalan-jalan di Bandaraya Warisan.Catatan ini juga dikutip daripada beberapa maklumat
yang disampaikan ketika era kolonialisme Belanda, Portugis dan British.Perjalanan (dengan
berjalan kaki) kumpulan kami pada ketika itu berada hanya dalam lingkungan sekitar Gereja
Christ atau Red Church, Masjid Kampung Keling, Masjid Kampong Hulu dan Tokong Cheng
Hoon Teng yang kedudukannya tercakup dalam Bandaraya Warisan. Destinasi pertama
dimulakan dengan Red Church, yang mana penulis melihat terdapatnya batu nisan dan plak
memorial individu-individu yang telah meninggal dunia pada ketika itu. Sedikit sebanyak
penjelasan daripada pemandu pelancong mencitrakan bahawa keadaan Melaka pada ketika itu
yang sebenarnya agak kotor oleh kerana sistem perparitan, saliran dan sanitasi yang tidak
sempurna.Justeru, masyarakat tanpa mengira etnik pada waktu itu mengalami pertarungan
hidup dengan wabak-wabak penyakit bawaan air dan nyamuk khususnya taun dan malaria.
Kami melewati bangunan-bangunan lama sepanjang-panjang perjalanan yang

kebanyakannya masih beroperasi sekitar jalan-jalan utama bandaraya ini.Ketika itu juga
pemandu pelancong memerihalkan sejarah-sejarah tentang jalan-jalan yang sedang kami lalui
semasa kami sedang sebenar-benarnya berjalan (dan sesekali berhenti).Satu hal yang menarik
minat penulis apabila dinyatakan bahawa peranan Portugis tidaklah begitu signifikan
daripada segi infrastruktur berbanding dengan Belanda dan British. Hal ini dapat dilihat
daripada tugas-tugas missionarymereka yang utama untuk meluaskan ajaran Kristian di Asia
Tenggara termasuk Melaka ― tanpa menafikan peranan mereka yang turut melibatkan
penguatkuasaan sistem cukai kepada pedagang-pedagang dan pemonopolian barang
dagangan utama. Sementara itu, Belanda pula melalui Syarikat Bersatu Hindia-Timur
(Veerenigde Oost – Indische Compagnie) atau V.O.C yang sememangnya tertumpu kepada
misi penguasaan perdagangan rempah dan monopoli hasil bijih timah telah memainkan
peranan signifikan dalam perubahan infrastruktur Kota Melaka pada waktu itu dan seterusnya
mahu mengawal arah aliran perdagangan dunia. Wujudnya Melaka sebagai sebuah kota
pelabuhan seterusnya turut secara tidak langsung merubah infrastruktur kota tersebut.
Meskipun kemajuan perdagangan Melaka dikatakan tidak setanding Betawi (Jakarta) dan
dianggap sebuah kerugian oleh pihak V.O.C, namun pemerintah Belanda beranggapan
bahawa Melaka memiliki kedudukan geografi yang strategik dan masih dapat mengawal
perjalanan kapal perdagangan (Nordin Hussin 2008: 16).
Hubungkaitnya dapat penulis lihat melalui penetapan jumlah cukai oleh Belanda
berdasarkan pembinaan infrastruktur rumah dan keluasan tingkap. Menurut pemandu

pelancong tersebut, semakin banyak jumlah tingkap sesebuah rumah, semakin tinggi kadar
cukai. Hal ini disebabkan barang-barang dagangan pada ketika itu lazimnya dipindahkan

melalui tingkap rumah.Justeru, dengan terbinanya sistem begini, penulis memikirkan bahawa
perlunya sebuah sistem jalan raya yang sempurna untuk para pedagang mengalih barang
dagangan mereka ke gudang-gudang yakni rumah-rumah yang berada di sekitar kawasan
tersebut.Kertas kerja Zainudin Hassan dan Rozeyta Omar (2003: 16) membahaskan, aktiviti
keusahawanan pada waktu itu bukan hanya melibatkan para pedagang asing dan Raja-raja
Melaka, malah turut melibatkan pribumi.Perbahasan initurut memetik catatan daripada de
Eredia, Barbosa dan Albuquerque yang menyatakan urusniaga yang dijalankan oleh pedagang
pribumi sebagai peniaga di bazaar dan pasar Melaka.Malah kaum wanita turut
mengendalikan peranan aktif dalam mengendalikan kedai runcit dan gerai-gerai.Aktiviti ini
juga tidak terhad antara pribumi Melayu, malah Rozeyta Omar dan Paimah Atoma (2009)
menegaskan bahawa kedatangan imigran Cina sebelum abad ke-17berasimilasimembentuk
masyarakat Cina Peranakan dan seterusnya menetap di Melaka. Pada pandangan penulis,
perkara ini turut membentuk corak perdagangan yang turut mempengaruhi corak infrastruktur
jalan raya.Selain itu, pada pengamatan penulis, kebanyakan kedai-kedai yang usang di
kawasan ini diusahakan oleh orang-orang Cina sejak turun temurun.Keterangan daripada
pemandu pelancong turut merumuskan kegiatan perniagaan dalam kalangan orang Cina di
kawasan pekan itu terdiri daripada khidmat pergudangan.Namun sudah tentu jalan raya pada

waktu itu tidaklah sesempurna hari ini yang terbina daripada bahan-bahan yang kukuh seperti
asfalt.Namun sekurang-kurangnya pembangunan infrastruktur jalan-jalan darat yang
menghubungkan antara pelabuhan dan gudang telahpun dibangunkan seiring.
Pada hemat penulis lagi, kedatangan British turut menambah baik sistem
pengangkutan dan jalan raya yang sedia ada di Melaka pada ketika itu. Hal ini kukuh dengan
catatan-catatan sejarah yang menjelaskan peranan Inggeris yang giat membina jalan raya dan
jalan kereta api untuk kemudahan perdagangan mereka. Contoh-contoh ini dapat dilihat di
sekitar negeri-negeri Selangor dan Perak khususnya, justerupenaikan taraf dan sistem jalan
raya ini juga mungkin tidak terkecuali turut melibatkan Kota Melaka.Namun penulis tidaklah
bermaksud untuk menafikan keadaan infastruktur sebelumnya adalah tidak wujud, sebaliknya
dorongan keatas penguasaan ekonomi yang menyaksikan pertarungan tiga kuasa besar dunia
pada ketika itu antara Portugis, Belanda dan British telah secara tidak langsung turut memberi
kesan kepada perubahan infrastruktur Kota Melaka. Hal ini juga memberi manfaat kepada
penduduk pribumi dan masyarakat bawahan untuk menyertai pasaran awam dengan berjaja
dan berniaga di jalan raya dan pasar.Dengan adanya sistem jalan raya yang diperkemaskan
oleh British, hal ini sekaligus turut memudahkan para peniaga membawa barang-barang
dagangan mereka ke merata tempat.
Jalan raya juga tidak hanya berfungsi sebagai pemudah cara dalam regulasi ekonomi
untuk pedagang dan peniaga.Pada pendapat penulis kemudahan ini juga bersangkut dengan
hal-hal sosial seperti kematian dan pembinaan rumah-rumah ibadat. Menurut keterangan

pemandu pelancong kami, batu memorial dan nisan yang ditanam di lantai Gereja Christ
adalah merupakan batu sebenar yang diambil daripada tanah perkuburan ― jauh daripada
gereja itu sendiri. Jika kita mengambil kira beban batu tersebut yang sangat besar dan berat
serta jarak yang jauh ― selain daripada pengangkutan yang efisien ― sistem jalan raya pada
ketika itu haruslah maju dengan tujuan untuk mengangkut dan mengalihkan batu
tersebut.Malah untuk membawa si mati daripada gereja ke tanah perkuburan juga turut
memerlukan kemudahan asas ini; sama ada kedua-duanya menggunakan pengangkutan

mekanikal atau sekadar berjalan kaki.Begitu juga dengan kewujudan dua masjid utama iaitu
Masjid Kampung Keling dan Masjid Kampong Hulu. Keunikan kedua-dua masjid ini
daripada segi seni bina turut membuat penulis terfikir tentang pembinaannya, khususnya
daripada segi perolehan bahan-bahan asas dan kemasan-kemasan dalam dan luar masjid yang
didatangkan khas daripada negara-negara lain.Malah empat batang kayu besar di kedua-dua
masjid yang dijadikan tiang asas bangunan tersebut pastilah didatangkan dengan jalan darat
melalui pengangkutan yang bersesuaian kerana kedudukan geografinya yang jauh daripada
sungai Melaka, malah terdapatnya dakwaan asas bahawa pengangkutan utama di Melaka
pada waktu itu adalah kereta lembu dan kereta kerbau.
Sejujurnya, penulis tidak dapat mengesahkan secara fakta dan sejarah daripada segi
pemilihan nama-nama jalan yang digunakan sekitar Bandaraya Warisan pada hari ini.Malah
pertukaran nama-nama jalan raya yang berunsur kolonial telahpun dikuatkuasa. Beberapa

nama jalan seperti Church Street, Templer Avenue, Jonker Street, Fort Terrace dan Fort Road
telah diubah kepada Jalan Gereja, Jalan Panjang, Jalan Gelanggang, Jalan Istana dan Jalan
Kota (Melakacom.net 2003).Malah fungsi dan kewujudan jalan raya ini juga tidak dapat
dipastikanjika dinilai melalui turutan persejarahan oleh penulis.Namun kesimpulan yang
dapat dirumuskan melalui program lawatan kerja ini adalah, penulis kagum dengan
keupayaan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri Melaka sendiri atas
usaha mereka untuk mengekalkan warisan-warisan sejarah. Meskipun keadaan bangunan
yang rapat dan jalan raya yang sempit, kesesakan trafik tidak berlaku seperti di bandar-bandar
tumpuan yang lain.Ketika melewati jalan raya dan bangunan-bangunan sekitar bandar
ini,penulis sedikit sebanyak mampu membayang dan mengimbau keadaan-keadaan yang
pernah berlaku pada zaman silam.Menyaksikan percampuran antara unsur moden dan dalam
pada masa yang sama pengekalan unsur-unsur warisan ini merupakan pengalaman yang
sangat menyenangkan.

RUJUKAN
Er, Ah Choy. 2013. Pembangunan pelancongan lestari di Melaka: Perspektif pelancong.
Geografia Malaysian Journal of Society and Space9(3): 12-23.
Ang, Kean Hua. 2015. Melaka sebagai pusat pelancongan dunia: Dapatkah dipertahankan?
Geografia Malaysian Journal of Society and Space11(9): 75-85.
Nordin Hussin. 2008. Geografi dan perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada

perdagangan dunia, Asia dan dunia Melayu 1700-1800.Akademika.73: 3-26.
Zainudin Hassan & Rozeyta Omar. 2003.Aktiviti keusahawanan masyarakat melayu pada
zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Kertas kerja Seminar Za’aba
Mengenai Alam Melayu 1. Anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan
Sultan Idris Shah. Ipoh, 12-14 Ogos.
Rozeyta Bt. Omar&Paimah Bt. Atoma.2009. Pluraliti budaya dan etnik di Alam Melayu
zaman awal. Dlm Kassim Thukiman & Hamidah Abdul Rahman (pnyt.).Hubungan
etnik di Malaysia: Perspektif, teori dan praktik, hlm. 55-69. Skudai: Penerbit UTM
Press.
Gerbang
E-Dagang
Rasmi
Negeri
Melaka.
http://www.melakacom.net/malay/maklumat_am/jalanraya.htm[22 Julai 2016]

2003.