SEJAUH MANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORA

SEJAUH MANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT MEMBERIKAN
MANFAAT KEPADA MASYARAKAT ?
Globalisasi hari ini menyaksikan pertumbuhan pesat syarikat-syarikat korporat di
Malaysia yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas musim hujan.
Ironinya, kemunculan sektor korporat dilihat sebagai satu entiti yang sekadar mencari
keuntungan semata-mata. Walau bagaimanapun mereka turut memainkan peranan
yang cukup besar dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Peranan

mereka sebagai pembayar cukai primer, menyediakan peluang pekerjaan, penawaran
kepelbagaian produk dan sebagainya tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Tidak
dinafikan akan peranan yang diberikan oleh mereka, tetapi bersandarkan kepada
hukum alam bahawa kehendak manusia adalah tidak terbatas, rakyat marhaen seperti
kita memerlukan lebih daripada itu untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam
arus kemodenan dunia yang serba pantas dan berliku. Justeru tanggungjawab sektor
korporat

bukan

sekadar


ditagih

melalui

aspek

ekonomi

semata-mata

tetapi

tanggungjawab lain yang lebih holistik. Berpaksikan kepada faktor itu, Rancangan
Malaysia Ke Sembilan (RMK 9) telah menekankan aspek kerjasama erat di antara
sektor korporat dan kerajaan dalam usaha mencapai keseimbangan sosioekonomi
negara. Sektor korporat diminta untuk turut berada di saf hadapan dan seiring sejalan
dengan pihak kerajaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terbela dan tidak
sahaja tergalas di bahu sebelah pihak semata-mata. Gabungan kedua-dua entiti
penting ini dilihat menjadi perintis dan prasyarat utama untuk merealisasikan misi

nasional dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Penglibatan sektor
korporat secara aktif Inilah yang dimaksudkan tanggungjawab sosial korporat atau
Corporate Social Responsibility (CSR). Secara umumnya, tanggungjawab sosial

korporat membawa maksud penglibatan secara aktif sektor swasta melalui penyertaan
atau sumbangan kepada komuniti yang bertujuan untuk menambah baik kesejahteraan
masyarakat. Dalam hal ini sektor korporat boleh memainkan peranan dalam pelbagai
bidang merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi.
Ringkasnya tanggungjawab ini sekiranya direalisasikan dengan niat murni dan adil
pastinya memberi seribu satu manfaat kepada masyarakat.
Merencana perjalanan Malaysia ke arah pencapaian Wawasan 2020
memerlukan masyarakat yang mempunyai daya intelek tinggi. Hal seumpama ini akan
dapat dilahirkan hasil daripada pendidikan yang sempurna. Perkembangan pendidikan
di Malaysia sememangnya senantiasa berubah mengikut arus dan tidak jauh
ketinggalan jika dibandingkan negara-negara maju yang lain. Ramai rakyat Malaysia
berjaya menjadi cendekiawan dan muncul sebagai yang terbaik di mata dunia. Tiga
orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara Terendak, Melaka telah berjaya mendapat
pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas di Pertandingan Reka
Cipta Pemuda Antarabangsa 2011 di Taiwan. Idea mereka untuk menghasilkan tenaga
hanya dengan menggunakan air garam merupakan satu bukti yang jelas bahawa

pendidikan di Malaysia tidak harus dipandang lekeh. Justeru bagi memastikan usaha
untuk memastikan pendidikan Malaysia menjadi terbaik di kalangan yang terbaik,
peranan sektor swasta amat diperlukan. Sumbangan dan penglibatan mereka ialah
pemangkin dalam menjelmakan impian itu. Berpegang kepada tanggungjawab sosial
yang diamanahkan banyak sektor korporat menubuhkan universiti di bawah kendalian
sendiri. Seandainya dibuat telahan nakal mungkin akan mengatakan bahawa
penubuhan universiti tersebut adalah bertujuan untuk mencari keuntungan. Walau

bagaimanapun dilihat daripada perspektif positif manfaat daripada penubuhan universiti
ini akan dapat membantu anak muda daripada terbiar berpelesiran dan gelap masa
hadapan. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU) dan Lim
Kok Wing University merupakan di antara universiti terbaik di Malaysia yang mendapat
pengiktirafan antarabangsa. Berdiri kukuh universiti-universiti ini di celah-celah arus
pembangunan negara membantu dalam mencipta hala tuju anak bangsa Malaysia.
Tidak sekadar di peringkat universiti, pencapaian pendidikan di peringkat rendah dan
menengah juga perlu diberi perhatian. Sememangnya kerajaan sudah menyediakan
prasarana yang mencukupi tetapi adalah lebih molek untuk sektor korporat turut
memberi sumbangan sebagai melahirkan sesuatu yang lebih ’sempurna’. Ianya tidak
semestinya disalurkan dalam bentuk biasiswa semata-mata tetapi mungkin boleh
disalurkan melalui penambahbaikan prasarana sekolah. Persekitaran yang baik sudah

pasti menjamin keselesaan dalam pembelajaran. Keselesaan belajar pula akan dapat
meningkatkan kecemerlangan akademik para pelajar. Oleh kerana itu pasar raya Giant
melalui program Edufund Giant telah membantu beberapa buah sekolah melalui
sumbangan menaiktarafkan perpustakaan, pembelian komputer, buku rujukan dan
sebagainya. Program berkonsepkan ’win-win situation’ ini seharusnya diterima baik oleh
semua pihak memandangkan ia dapat memudahkan lagi sistem pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.
Manfaat daripada tanggungjawab sosial korporat yang diberikan melalui sistem
pendidikan negara tidaklah diharapkan untuk menjelmakan individu paling bijak di dunia
cukup sekadar menyelamatkan anak bangsa hari ini daripada terjebak ke kancah

hedonisme seterusnya membantu mereka membentuk sahsiah dan jati diri hasil
daripada kesempurnaan pendidikan yang diterima.
Kesihatan merupakan satu isu yang penting dan individu yang sihat boleh
memainkan peranan yang efektif dalam pembangunan masyarakat dan negara. Oleh
itu, tidak cukup rasanya tanggungjawab sosial korporat hanya berkisar kepada aspek
pendidikan semata-mata, tetapi peningkatan taraf kesihatan masyarakat juga satu
perkara yang begitu signifikan. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow
Tiong Lai, taraf kesihatan rakyat Malaysia kian menurun dan bilangan yang menghidapi
penyakit bukan berjangkit semakin tinggi. Mengambil kira tempoh lima tahun yang lalu,

bilangan pesakit yang mempunyai masalah kolesterol, obesiti dan diabetes meningkat
dengan begitu ketara. Bertunjangkan kepada faktor ini tanggungjawab sosial korporat
amat diharapkan di dalam usaha untuk meningkatkan kembali taraf kesihatan
masyarakat Malaysia. Program-program hasil anjuran dan tajaan sektor korporat dapat
memberi manfaat sepenuhnya untuk melahirkan masyarakat yang cergas tubuh badan
dan cerdas pemikiran. Syarikat gergasi AEON Co (M) Sdn. Bhd misalnya pernah
menganjurkan satu program yang dinamakan World Blood Donar Day Apprecaition
Ceremony 2010 yang memfokuskan kepada galakan kepada orang awam untuk
menderma darah bagi menampung keperluan darah negara. Hasil daripada aktiviti
seperti ini dapat meningkatkan tahap kesedaran serta memberi pemahaman yang lebih
luas dan jelas akan implikasi positif yang diterima apabila melakukan pendermaan
darah. Seterusnya membawa kepada rasa ikhlas untuk membantu sesama insan.
Berpegang kepada kesihatan yang baik menjamin pekerjaan yang sempurna syarikat
Telekom Malaysia Bhd secara langsung mewujudkan satu sistem yang dinamakan

Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja atau OSHAS. Idea ini
diterjemahkan bertujuan untuk melahirkan kesedaran dan mewujudkan peningkatan
daripada segi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Inisiatif ini dapat memberi
manfaat bukan sahaja kepada kakitangan Syarikat semata-mata malahan tempiasnya
boleh dirasai juga oleh masyarakat Malaysia amnya. Melalui OSHAS, Telekom

menganjurkan banyak program seperti ceramah dan pemeriksaan kesihatan percuma
yang tidak sekadar untuk ’anak buah’ sahaja tetapi secara menyeluruh termasuk
masyarakat

sekeliling. Adanya

program-program

seumpama

ini

tidak

setakat

mempromosi jenama produk atau perkhidmatan yang ditawarkan malahan telah
memberi manfaat yang begitu besar maknanya kerana ia membantu orang ramai untuk
mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan lebih mudah, murah dan cepat tanpa
perlu ke hospital yang memerlukan belanja besar dan masa menunggu yang begitu

lama. Selain daripada anjuran aktiviti-aktiviti kesihatan, penjagaan pemakanan harian
juga merupakan faktor penting yang perlu diberi penekanan. Pemakanan yang tidak
seimbang ditambah dengan lambakan ’makanan segera’ di pasaran menyebabkan
masyarakat Malaysia mudah menghidapi penyakit-penyakit kronik seperti jantung,
diabetes, darah tinggi dan sebagainya. Dek kerana itu, syarikat Cosway telah
menubuhkan ladang organik yang membekalkan sayuran-sayuran dan daging organik
yang boleh dibeli dengan harga yang murah berbanding di pasaran. Ketepikan dahulu
soal keuntungan yang dicari tetapi inisiatif syarikat ini dalam merangsang masyarakat
untuk mengamalkan gaya hidup sihat sewajarnya diberi kepujian. Objektif syarikat yang
bertindih dengan tanggungjawab sosial ialah satu strategi yang memberi manfaat
sepenuhnya kepada kedua-dua pihak maka ia tidak perlu dipersoalkan. Sebagai

masyarakat, berfikirlah dengan bijak untuk merebut peluang ini sebaiknya. Faedah yang
datang daripada tanggungjawab sosial sektor korporat seumpama ni membolehkan kita
mengamalkan gaya hidup sihat dengan lebih baik dan berkesan.
Manfaat tanggungjawab sosial korporat atau CSR ini tidak hanya tertumpu
kepada aspek pendidikan dan kesihatan masyarakat sahaja. Penekanan terhadap
penjagaan alam sekitar seharusnya tidak disisihkan. Persekitaran yang bersih dan
selesa mencerminkan asas kehidupan rakyat sesebuah negara. Bagaimanakah untuk
menjana ekonomi negara sekiranya aspek alam sekitar diabaikan? Negara yang kotor

dan tidak selamat bukan sahaja menakutkan pelancong asing untuk datang melawat
malah akan menyekat minat pelabur luar untuk menanam modal di negara ini. Apabila
pelancong dan pelabur tidak berani untuk datang ke negara ini, maka tidak hairanlah
satu hari nanti Malaysia akan mengalami kebobrokan ekonomi yang serius. Oleh yang
demikian, sektor swasta terutama yang terlibat secara langsung dengan persekitaran
dituntut untuk lebih sensitif sewaktu menjalankan perniagaan mereka. Hal-hal berkaitan
dengan persekitaran sekeliling seharusnya dipandang serius. Pelaksanaan polisi-polisi
berkaitan alam sekitar yang telah diwujudkan telah membantu mengelak daripadanya
berlaku pencemaran alam memandangkan isu ini dilihat begitu serius dalam
kerancakan pembangunan negara untuk menuju ke arah negara yang lebih moden dan
berteknologi tinggi. Telekom Malaysia Berhad misalnya telah mewujudkan satu polisi
.yang dinamakan Polisi Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (OSHE)
yang menumpukan ke arah menangani risiko dan kesan aktiviti syarikat terhadap alam
sekitar. Program-program di bawah polisi OSHE ialah kempen kesedaran alam sekitar
yang bertemakan ‘Creating Habits Today, Safe Enviroment For Tomorrow’ bukan sahaja

melibatkan kakitangan TM malah masyarakat juga turut diberi penekanan akan
kepentingan memelihara hutan, menanam pokok, mengurangkan pencemaran dan
melindungi kualiti air minuman. Polisi ini turut menekankan aspek pengurangan
penggunaan tenaga atau berfokuskan ’teknologi hijau’ apabila mengurangkan

pelepasan

bahan-bahan

penipisan

ozon

melalui

pemberhentian

berperingkat

penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) di organisasi TM. Tindakan ini sewajarnya
dipuji memandangkan ia dapat memberi faedah yang berpanjangan kepada dunia
amnya dan masyarakat negara ini khasnya. Selain daripada TM, program ’Hari Tanpa
Plastik’ yang dijalankan oleh pasar raya-pasar raya di negara ini pada setiap hari Sabtu
memperlihatkan salah satu mangkin yang efektif yang diambil oleh sektor swasta dalam
menyahut seruan kerajaan untuk menjamin kesempurnaan alam sekitar. Walaupun

kelihatan agak membebankan tetapi masyarakat bukan sahaja akan dapat menikmati
kehidupan di dalam persekitaran yang menghijau malah akan melahirkan rakyat yang
lebih sihat dan positif. Justeru tidak hairanlah apabila syarikat gergasi seperti Aeon Co
(M) Sdn. Bhd turut menganjurkan beberapa program sebagai satu usaha memupuk
kesedaran akan pentingkan alam sekitar seperti Aeon’s Tree Planting Activity dan No
Plastic Bag Campaign 2010. Manakala kumpulan Hypermarket Giant bersetuju untuk
menempatkan logo kempen ’1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ yang dianjurkan oleh
Kementerian Pelancongan. Aktiviti-aktiviti seumpama ini akan dapat mendidik
masyarakat untuk lebih bersikap ’ambil berat’ terhadap alam sekitar dan merealisasikan
impian membentuk sebuah negara maju berkonsepkan ’bumi hijau’ akan terlaksana.
Rasionalnya, aktiviti-aktiviti yang ditaja atau dianjurkan oleh sektor swasta
sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka adalah satu inisiatif yang harus

digerakkan secara kolaborasi dan berterusan. Manfaat yang diperoleh hasil daripada
penglibatan sektor swasta secara pragmatis dan efektif sangat berguna kepada
masyarakat hari ini dan generasi akan datang . Persis kata Mahatma Gandhi ”kita tidak
mewarisi alam sekitar ini daripada nenek moyang tetapi kita meminjamnya daripada
generasi masa hadapan”.

Salah satu perkara yang begitu didambakan oleh


masyarakat melalui manfaat tanggungjawab sosial korporat ialah melalui sudut
ekonomi. Walaupun kegoyahan ekonomi masyarakat Malaysia dasawarsa kini tidak
berada di tahap yang membimbangkan namun percambahan kes kecurian, penculikan
dan gejala rasuah merupakan variasi intiha yang sangat jelas akan wujudnya masalah
ekonomi di kalangan masyarakat.

Walaupun pihak kerajaan tidak pernah bersikap

’lepas tangan’ dan sentiasa bergerak aktif dengan mengobservasi punca, sektor swasta
tidak seharusnya sekadar mengerling enteng menangani polemik ini. Masyarakat
sememangnya menggesa penglibatan aktif sektor korporat untuk sama-sama turun
padang bagi membejatkan masalah ini. Program TUKAR atau Transformasi Kedai
Runcit yang sedang aktif dijalankan sekarang merupakan usaha kerajaan untuk
membantu peniaga kecil-kecilan meningkatkan jualan seterusnya mengembangkan
perniagaan mereka. Program ini akan dapat mengukuhkan lagi sumber kewangan dan
ekonomi peniaga kecil-kecilan. Justeru kesanggupan peniaga-peniaga besar seperti
pasar raya Giant, Tesco dan Mydin bersetuju untuk menjadi mentor atau konsultan
haruslah diberi pujian. Kesemua konsultan yang dilantik akan berperanan memberi
khidmat nasihat pemodenan, penyediaan perancangan dan latihan peruncitan kepada
semua peruncit yang terlibat. Harapan yang begitu tinggi digalas oleh sektor korporat
ini sebagai membuktikan tanggungjawab sosial korporat mereka akan dapat menjadi

pemangkin kepada peruncit tempatan melakukan anjakan paradigma. Kejayaan
program ini nanti akan dapat memberi implikasi positif bukan sahaja kepada peruncit
tempatan malah pengguna di Malaysia amnya. Pengguna akan dapat berbelanja
dengan lebih berhemah dalam persekitaran kedai runcit yang lebih meyakinkan. Selain
daripada kolaborasi dengan pihak kerajaan tanggungjawab sosial korporat juga dilihat
bergerak dengan sendiri. Marcapada ini, ramai yang boleh tersenyum apabila Tenaga
Nasional Berhad melalui tanggungjawab sosial korporat telah mengambil ikhtiar positif
membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk membaik pulih rumah yang
rosak. Program Rumahku Syurgaku atau Baiti Jannati ini tidak sekadar berfokuskan
sebuah negeri sahaja malah seluruh Malaysia dan telah melibatkan perbelanjaan
hampir RM1.7 juta sejak dilancarkan pada tahun 2008. Pelaksanaan berterusan ini
boleh dikatakan di antara manfaat positif yang diperoleh oleh rakyat Malaysia yang
kurang berkemampuan untuk menikmati hidup yang lebih baik. Rumah yang sempurna
akan dapat melahirkan isi rumah yang cemerlang. Justeru faedah yang dinikmati hasil
sumbangan TNB ini membolehkan anak-anak bangsa yang terpinggir dapat terus
berjuang melawan arus dalam dunia kontemporari hari ini. Bukan hanya TNB yang sudi
memberi sumbangan kepada bangsa dan negara tetapi sektor korporat yang lain
seperti Perbadanan Insurans Deposit Malaysia atau PIDM turut memainkan
peranannya sendiri. Menyedari akan terdapat masyarakat yang mengharapkan
sokongan sektor swasta bagi menampung sara hidup pengajian, maka PIDM telah
menyediakan biasiswa kepada mereka yang tidak berkemampuan tetapi berminat untuk
menyambung pengajian. Bantuan dari PIDM ini akan dapat memastikan generasi yang

berintelek tinggi tidak akan tercicir seterusnya setelah tamat pengajian akan
mendapatkan pekerjaan untuk mengukuhkan kembali ekonomi keluarga.
Peluang dan bantuan daripada sektor swasta yang memahami keadaan
ekonomi masyarakat dewasa ini begitu signifikan buat masyarakat Malaysia.
Sumbangan ini tidaklah mengimpikan masyarakat untuk hidup mewah namun cukuplah
sekadar dapat menampung ekonomi mereka. Merebut apa juga sumbangan yang
dihulurkan melalui tanggungjawab sosial korporat ini ialah sesuatu yang tidak
sewajarnya dilepaskan begitu sahaja.
Jika di tebak dengan persoalan, sejauh mana tanggungjawab sosial korporat
memberi manfaat kepada masyarakat? Jawapannya sangat mudah dan ringkas, tidak
terjangkau dek mata yang memandang. Berdasarkan variasi intiha yang telah
dikemukakan di atas, ’sudah terang lagi bersuluh’ masyarakat sememangnya
memperoleh manfaat yang cukup besar meliputi pelbagai sudut seperti pendidikan,
kesihatan, alam sekitar dan ekonomi. Timbul pula persoalan, sejauh manakah tahap
kepuasan masyarakat sebagai pengguna berdasarkan manfaat yang diperoleh
tersebut?. Sebagai manusia biasa tentunya tidak pernah mencukupi namun
bersyukurlah di atas apa yang telah diperoleh. Walau bagaimanapun, beberapa
cadangan mungkin boleh diguna pakai sebagai memperkasakan tanggungjawab sosial
sektor korporat ini. Pertamanya, menjadikan tanggungjawab sosial ini sesuatu yang
lebih bersifat terbuka dan tidak menyasarkan kepada satu kelompok sahaja. Ini kerana
terdapat sektor korporat yang menjalankan tanggungjawab ini hanya ke atas mereka
yang boleh membawa pulangan keuntungan kepada syarikat semata-mata dan bukan
kepada mereka yang lebih memerlukan. Perkara seumpama ini hendaklah dielakkan

supaya manfaat daripada sumbangan sektor korporat ini akan dapat dirasai oleh semua
pihak. Keduanya, tanggungjawab sosial korporat ini hendaklah hadir daripada
keikhlasan untuk melaksanakan tanggungjawab dan bukan sebagai satu bentuk
paksaan. Wujudnya rasa bertanggungjawab terhadap komuniti yang telah menjadi
tunjang perniagaan iaitu pengguna hendaklah dipupuk di setiap peringkat organisasi
korporat. Jika dilaksanakan atas dasar rasa ikhlas ia akan lebih berterusan dan lebih
saksama. Ketiganya, pelaksanaannya hendaklah lebih variasi daripada segi masa dan
tempat. Banyak syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat ini tetapi
lebih memfokuskan kepada tempat dan masa yang sama sahaja setiap tahun. Adalah
lebih molek andainya sumbangan ini dapat dilebarkan lebih luas supaya semua yang
layak akan dapat menikmati manfaat ini. Contohnya, sumbangan derma tidak tertumpu
kepada rumah-rumah anak-anak yatim di sekitar bandar sahaja tanpa mengambil kira
rumah-rumah anak yatim di luar bandar yang tentunya lebih memerlukan.
Tuntasnya, pemangkin kepada merealisasikan usaha ini ialah sokongan yang perlu
hadir daripada seluruh masyarakat Malaysia. Tidak kiralah sama ada petani di Hulu
Perak atau tokoh korporat di Kuala Lumpur. Semua individu ini memainkan peranan
masing-masing bagi memastikan tanggungjawab sosial korporat ini sesuatu yang
lumrah dan begitu sebati di Malaysia sehinggakan suatu saat nanti, tidak akan timbul
persoalan ’sejauh mana tanggungjawab sosial korporat memberi manfaat kepada
masyarakat?”.