INTEGRASI TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN

Konvensyen Antarabangsa Jiwa Pendidik 2014, 11-13 Ogos 2014

INTEGRASI TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN MATEMATIK DALAM KALANGAN GURU
PELATIH PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA
PERGURUAN (PISMP)
Yeoh Chew Lan
Jabatan Matematik, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim
[email protected]

ABSTRAK
Dalam persekitaran global yang semakin kompetatif, sistem pendidikan Malaysia mendesak supaya transformasi
pendidikan dilaksanakan. Justeru itu, bagi melonjakkan negara ke tahap yang lebih cemerlang, kajian semula
sistem pendidikan negara secara keseluruhan telah dibuat. Antaranya ialah penandaarasan kurikulum peringkat
antarabangsa. Konsep ini menuntut perubahan yang menyeluruh yakni bukan sekadar kurikulum tetapi juga cara
penyampaian di bilik darjah. Pendekatan penyampaian ilmu yang inovatif dan berunsurkan teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) adalah antara usaha yang difokuskan. Berpaksikan kepada konsep inilah, kajian ini
bertujuan meninjau pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam kalangan guru
pelatih major Matematik PISMP. Aspek yang dikaji ialah peralatan dan perisian yang digunakan serta faktorfaktor yang mendorong penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Kajian ini dijalankan
secara kualitatif, iaitu analisis dokumen rancangan pengajaran harian dan temu bual separa berstruktur. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa guru pelatih major Matematik PISMP kerap menggunakan ICT dalam pengajaran

dan pembelajaran Matematik. Peralatan yang biasa digunakan adalah projektor LCD dengan komputer dan
perisian yang biasa digunakan adalah Microsoft Power Point dan video klip. Antara faktor-faktor utama yang
mendorong penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik ialah sokongan sekolah, kemahiran
menggunakan perisian yang dipelajari dalam kursus PISMP, galakan dari pensyarah pembimbing, keinginan
memudahkan pemahaman konsep Matematik serta menarik minat murid terhadap pembelajaran. Melalui dapatan
kajian ini, diharapkan dapat memberi maklumat kepada pendidik dalam Institut Pendidikan Guru, pengurus
sekolah serta guru pelatih supaya penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dapat
dipertingkatkan lagi.
Katakunci: pengajaran dan pembelajaran matematik, teknologi maklumat dan komunikasi

1.

PENGENALAN (12, UPPER CASE, BOLD)

Dalam persekitaran dunia yang semakin menuntut kelebihan bersaing dan ketrampilan
warganegaranya, kemajuan sesebuah negara bergantung besar pada keupayaannya untuk
memenuhi permintaan dan cabaran global. Cabaran ini berkehendakkan tenaga dan modal
insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Justeru itu, sistem pendidikan masa kini
mendesak transformasi bukan sahaja dari segi kurikulum tetapi juga cara penyampaian dalam
bilik darjah. Menyedari ini, Malaysia telah berusaha membangunkan pelbagai dasar dan

pelan yang terkehadapan sejak 1990, termasuk pelan tindakan bagi Sekolah Bestari dan dasar
ICT dalam Pendidikan 2010. Misalnya dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025, dinyatakan kerajaan Malaysia telah melaburkan kira-kira RM 6 billion
untuk inisiatif ICT dalam pendidikan dari tahun 1999-2010 (laporan PPPM 2013-2025).
Namun penggunaan ICT dalam pendidikan masih lagi di tahap yang kurang
memberangsangkan. Dalam kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada
2010, penggunaan ICT di sekolah didapati masih lagi rendah baik dari aspek kualiti mahupun
kuantiti (laporan PPPM 2013-2025). Kajian itu mendapati bahawa lebih kurang 80% guru
hanya menggunakan ICT kurang dari satu jam seminggu dan hanya sepertiga murid
menyatakan bahawa guru mereka menggunakan ICT secara tetap. Dari aspek kualiti pula,

kajian oleh UNESCO pada 2012 mendapati bahawa penggunaan ICT tidak beranjak daripada
sekadar penggunaan aplikasi pemprosesan perkataan sebagai alat pengajaran. Penggunaan
ICT sebegini dipercayai tidak banyak membantu dalam meningkatan pengetahuan dan
kemahiran berfikir pelajar sejajar dengan transformasi pendidikan nasional. Prestasi pelajar
Malaysia dalam Pentaksiran Antarabangsa seperti Programme for International Student
Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada
2011, yang hanya menduduki tahap di bawah purata antarabangsa bagi matapelajaran
Matematik dan Sains, dan disusuli penurunan secara keseluruhan kedudukan negara (PPPM
2013-2025) menunjukkan betapa perubahan pendekatan penyampaian ilmu diperlukan. Lebih

kritikal lagi, 35% dan 38% murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam
Matematik dan Sains pada 2011, yakni penurunan dua hingga empat kali ganda iaitu daripada
7% dan 13% masing-masing pada tahun 1999. Kohort murid tersebut juga dikenal pasti
memiliki penguasaan konsep asas matematik dan sains yang terhad (PPPM 2013-2025).
Walau bagaimanapun, anomali ini tidak terhad kepada pelajar Malaysia sahaja, malahan ia
juga diperhatikan di negara maju. Misalnya, Tae (2008) dalam kajiannya ke atas pelajar di
Amerika Syarikat mendapati bahawa walaupun terdapat peningkatan yang jelas dalam
penggunaan teknologi di sekolah Amerika Syarikat, namun pencapaian pelajar dalam
matematik tidak menunjukkan kemajuan seperti yang diharapkan. Ironisnya, ICT mempunyai
potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu dan kemahiran berfikir yang luas.
Namun demikian, potensi ini belum dizahirkan. (PPPM 2013-2025).
Oleh itu kajian ini dijalankan bagi meninjau setakat mana integrasi ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik dilaksanakan dalam kalangan guru pelatih major
matematik PISMP sewaktu mereka menjalani praktikum fasa 3 selama 12 minggu. Secara
spesifik, aspek yang dikaji adalah peralatan dan perisian yang digunakan serta faktor-faktor
yang mendorong penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Kajian ini
diharap dapat menjawap persoalan yang berikut:
1
2
3


Berapa kerapkah penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
matematik?
Apakah peralatan dan perisian yang digunakan dalm pengajaran dan
pembelajaran Matematik?
Apakah faktor-faktor yang mendorong penggunaan ICT dalam kelas
matematik?

2.

KAJIAN LITERATUR

2.1

Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Sedekad yang lepas, National Council of Teachers of Mathematics (NCTM) ada
menerbitkan suatu pernyataan mengenai penggunaan teknologi dalam pengajaran
matematik. Dalam Principles and Standards of Mathematics, NCTM menyatakan keperluan
pengajaran matapelajaran matematik disandarkan kepada teknologi, yakni "technology is

essential in teaching and learning mathematics" terutamanya kerana ia didapati dapat
menambah-baik pembelajaran murid. Perlu ditekankan di sini bahawa istilah teknologi
yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik mempunyai istilah yang luas,
termasuklah peranti mekanikal yang boleh digunakan untuk membantu dalam pembelajaran
matematik. Mengikut Haddad and Draxler (2002), teknologi merangkumi cakera padat, CDROMs, video, makmal berasaskan komputer mikro, internet, rangkaian setempat dan kawasan
luas, perisian instruksional, komputer riba, TV pendidikan, emel dan sebagainya. Walau

bagaimanapun kesemua contoh tersebut dapat dikategorikan sebagai teknologi setempat dan
teknologi jarka jauh seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Teknologi dalam pendidikan
Teknologi Setempat
Slaid,
Transparensi,
Pengimbas,
Papan Putih Interaktif,
Pita Audio,
Video dan Filem,
Buku Digital,
Cd,
Projektor


Teknologi Jarak Jauh
Alat Perhubungan,
Radio,
Siaran Televisyen,
Laman Web,
Internet,
Intranet

ICT yang dimaksudkan dalam kajian ini adalah bertumpu kepada teknologi dalam
bilik darjah, iaitu teknologi setempat seperti projektor, papan putih interaktif, pengimbas,
visualiser, peralatan audio dan visual, kalkulator, cakera padat, perisian, televisyen, radio dan
internet. Teknologi di sini tidak termasuk teknologi dalam pembelajaran jarak jauh seperti
pembelajaran atas talian (online learning)
2.2

Polisi ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Malaysia

ICT dalam pendidikan Malaysia direalisasikan secara sistematik dengan terlancarnya
sekolah Bestari pada tahun 1997. Bagi menggalakkan minat dan penglibatan sekolah yang

aktif dalam projek sekolah Bestari, satu panduan penanda tarafan diwujudkan dan dikenali
sebagai Smart School Qualification Standards (SSQS). SSQS menggunakan sistem “Star
Ranking” bagi menilai setiap sekolah dari segi Utiliti, Modal Insan, Aplikasi dan Infrastruktur
Teknologi. Petunjuk prestasi utama (KPI) ini bertujuan menjadikan ICT bukan sekadar alat
operasi asas, tetapi juga sebagai penggerak kritikal untuk pendidikan bagi mempromosi
pembangunan kreativiti, pembelajaran kolaboratif, pemikiran kritikal dan penyelesaian
masalah dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia. Kompetensi guru pula dibangunkan
melalui latihan pra perkhidmatan dengan berfokuskan kepada penyampaian pengetahuan
menggunakan ICT sebagai penggerak dalam pendekatan pedagoginya. (Policy on ICT in
Education, 2010). Selaras dengan perkembangan ini pada tahun 2001, Pusat Perkembangan
Kurikulum yang kini dikenali sebagai Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian
Pelajaran telah mengkategorikan penggunaan ICT dalam pendekatan pengajaran dan
pembelajaran kepada empat mod, iaitu Mod Tutorial, Mod Penerokaan, Mod Aplikasi dan
Mod Komunikasi (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001).
Dalam mod tutorial, ICT digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran
berdasarkan urutan yang telah ditetapkan dan merangkumi pendedahan kandungan, tunjuk
cara sesuatu fenomena, dan latihan yang disampai dan dikawal oleh sistem yang sedia ada.
Dalam mod penerokaan pula, ICT digunakan sebagai medium terutamanya untuk mencari dan
mengakses maklumat secara penerokaan daripada bahan sumber seperti CD-ROM, portal
maklumat dan internet. Mod aplikasi berkehendakkan ICT digunakan sebagai medium untuk

membantu murid melaksanakan tugasan pembelajaran dan menyalurkan maklumat kepada
orang lain. Manakala, mod komunikasi menuntut penggunaan ICT sebagai medium
perhubungan oleh guru dan murid di lokasi yang berbeza, menghantar dan menerima
maklumat sesama mereka.
Dalam laporan PPPM 2013-2025, KPM mensasarkan bahawa ICT harus digunakan
bukan sahaja untuk tujuan penggunaan tetapi ia harus merangkumi peningkatkan

pembelajaran pelajar secara berkesan. Justeru itu, KPM melaksanakan strategi “dua
gelombang” dengan mengukuhan asas ICT sekolah sambil memperkenalkan penyelesaian
ICT. Strategi ini terbukti amat berkesan dalam sistem pendidikan masa kini berdasarkan
kepada pengalaman yang dialami oleh negara maju yang lain. Dalam Gelombang 1 (2013 2015), antara lain, KPM akan membina keupayaan asas ICT asas melalui dua inisiatif iaitu:
(i)
Menyediakan infrastruktur jaringan dan pentas pembelajaran melalui
1BestariNet supaya 10 000 buah sekolah rendah dan menengah awam di
seluruh Negara akan dilengkapi akses internet 4G dan Persekitaran
Pembelajaran Maya (VLE) menjelang hujung 2013. KPM juga akan
memastikan semua guru terlatih dan cekap dalam menggunakan VLE
menjelang 2015.
(ii)
Memberi tumpuna kepada pembekalan lebih banyak peralatan ICT seperti

tablet atau telefon pintar, selain komputer kepada murid dan guru.
2.3

Faktor Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik

Mengikut kajian oleh Leatham (2007) dan Tozzo (2011), teknologi dan
matematik yang ditambahbaikkan bukan merupakan pemikiran arus perdana dalam bilik
darjah matematik di Amerika Syarikat. Dapatan kajian mereka menunjukkan bahawa
kebanyakan guru matematik pada semua peringkat masih mengajar tanpa menggunakan
teknologi masa kini. Ini bermakna penggunaan ICT sebagai alat bantuan mengajar
masih lagi kurang mendapat perhatian yang sepatutnya di negara tersebut.
Mengikut Noor Mazlan Ahmad Zanzali (2010), penggunaan ICT dalam kalangan
guru pelatih dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh sekolah.
Faktor lain yang mempengaruhi penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di
kalangan guru pelatih UTM adalah kekangan masa dari segi penyediaan peralatan dan
pergerakkan murid ke makmal komputer.
Brinkerhoff (2006) mendapati bahawa antara faktor pendorong dan halangan
dalam mengintegrasikan teknologi dalam bilik darjah adalah sumber, sokongan
pentadbir, latihan dan pengalaman guru, serta sikap dan personaliti guru. Halangan lain

termasuk ketersediaan peralatan dan perisian. Faktor sokongan pentadbir merangkumi
polisi sekolah yang menyekat guru daripada menggunakan perisian sendiri dalam
komputer milik sekolah, dan kegagalan memperuntukkan masa yang memadai dalam
latihan guru. Selain daripada itu, latihan yang diberikan adalah lebih tertumpu kepada
kemahiran mengoperasi komputer daripada mengintegrasi komputer dalam kurikulum.
Sikap dan personaliti guru yang agak negatif disebabkan peningkatan beban kerja juga
merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi integrasi teknologi ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik.
Kajian lain mendapati bahawa halangan utama kepada pengintegrasian teknologi
ICT dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah kesuntukan masa dan
kekurangan sumber mengakses teknologi yang lebih maju di sekolah (Tozzo, 2011).
3.

METHODOLOGI

Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif yang melibatkan analisis dokumen ke atas
rancangan pengajaran harian dan temu bual kumpulan fokus dengan guru pelatih major
matematik semester 7 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan sewaktu mereka menjalani
praktikum fasa 3 selama 12 minggu. Analisis dokumen dijalankan ke atas 33 buah rancangan


pengajaran harian guru pelatih major matematik semasa mereka menjalani praktikum fasa 3.
Tujuan analisis ke atas rancangan pengajaran harian adalah untuk meninjau penggunaan ICT
dalam perancangan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah matematik. Secara lebih
spesifik, ia bertujuan untuk menentusahkan sama ada teknologi dirancang dalam rancangan
pengajaran harian serta mengenalpasti jenis peralatan dan perisian yang dirancang untuk
diintegrasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik. Untuk menerokai
dapatan dari analisis dokumen tersebut, temu bual secara berfokus dan berbentuk separa
struktur dijalankan. Temu bual juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang faktorfaktor yang menggalakkan penggunaan ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dalam bilik darjah. Temu bual ini terdiri daripada enam soalan yang dibina setelah analisis
dokumen dijalankan. Temu bual bertujuan untuk mengumpul data yang lebih terperinci
tentang:
1
penggunaan ICT dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dalam bilik darjah matematik serta kekerapan penggunaannya
2
faktor-faktor yang mendorong penggunaan ICT dalam pelaksanaan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah matematik dan seterusnya.
3
peralatan dan perisian yang digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah matematik
Temu bual secara berfokus dijalankan dengan dua kumpulan berfokus yang terdiri
daripada 5 orang responden setiap kumpulan. Sampel temu bual dan rancangan pengajaran
harian dipilih secara rawak daripada 20 orang guru pelatih major Matematik dengan elektif
Pendidikan Jasmani dan Pengajian Cina serta 17 orang guru pelatih major Matematik dengan
elektif Pendidikan Jasmani dan Pengajian Tamil.
4.

DAPATAN KAJIAN

Tujuan kajian ini adalah untuk meninjau penggunaan ICT dalam bilik darjah
matematik. Secara lebih spesifik, kajian ini ingin menentukan sama ada ICT dirancang dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik dan kekerapan penggunaannya. Seterusnya ia
bertujuan mengenalpasti teknologi serta perisian yang digunakan serta faktor yang mendorong
penggunaannya.
Daripada tinjauan dokumen ke atas 33 buah rancangan pengajaran harian, didapati
penggunaan ICT dalam rancangan pengajaran harian adalah amat tinggi. Hampir kesemua,
iaitu 93.94% responden merancang untuk menggunakan ICT seperti yang dinyatakan dalam
rancangan pengajaran harian mereka.
Bagi memastikan bahawa responden melaksanakan perancangan mereka, kajian ini
disusuli dengan pendekatan temu bual dengan kumpulan fokus. Analisis temu bual menerusi
kumpulan fokus mendapati bahawa kekerapan penggunaan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik adalah tinggi. Dapatan temu bual menunjukkan bahawa sepanjang
praktikum 12 minggu, hampir kesemua responden iaitu 90% melaksanakan perancangan
menggunakan ICT dalam pengajaran mereka sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tiada
responden yang menggunakan ICT hanya 1-3 kali sepanjang praktikum 12 minggu. Ini
merupakan peningkatan yang amat memberangsangkan jika dibandingkan dengan kajian
Kementerian Pelajaran pada 2010 yang mendapati bahawa hanya lebih kurang 80% guru
menggunakan ICT kurang daripada satu jam seminggu (PPPM 2013-2025). Jadual 2
menunjukkan kekerapan responden menggunakan ICT sepanjang praktikum 12 minggu.

Jadual 2: Kekerapan penggunaan ICT sepanjang praktikum 12 minggu
Kekerapan
penggunaan ICT
sepanjang
praktikum
Peratusan
responden
menggunakan
ICT

1-3 kali

4-6 kali
(atau selang
seminggu)

7-12 kali
(atau seminggu
sekali)

lebih 12 kali
(atau seminggu
2@3 kali)

0%

10%

20%

70%

Dapatan temu bual juga menunjukkan bahawa penggunaan yang amat tinggi ini boleh
dikaitkan dengan sokongan sekolah dari segi persediaan kemudahan termasuk bilik khas,
peralatan dan proses penempahan penggunaan peralatan ICT. Ini dapat ditunjukkan dari hasil
temu bual di mana responden yang menggnakan ICT sebanyak 2@3 kali seminggu adalah
responden dari sekolah yang mempunyai bilik khas. Bilik khas ini lengkap dengan peralatan
ICT seperti komputer, papan putih interaktif, projektor, visualiser dan pembesar suara. Ini
dibuktikan apabila responden A1, A2 dan A4 yang didapati menggunakan ICT sebanyak 2-3
kali seminggu menyatakan:
A1: Satu kelas yang khas untuk smartboard, jadi lengkap dengan visual scanner,
visualiser, LCD, computer, speaker, hanya bawa pen drive sahaja. Ini menggalakkan
saya menggunakannya
A2: tak ada masalah (ketawa), dalam bilik saya ada speaker, visualiser pun ada,
bawa pen drive sahaja.
A4: jika guna interkatif whiteboard, sediakan bilik khas, saya tak perlu set up LCD
sebelum mengajar, ada pen khas jadi jimat masa
Kemudahan peralatan yang sedia ada menggalakan penggunaan ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran matematik dikuatkan apabila ia dirujuk silang (cross-reference) dengan
pelajar yang kurang menggunakannya dalam pengajaran mereka. Misalnya, responden B5
yang menggunakan ICT sekali setiap minggu dan responden A5 yang menggunakan ICT
selang seminggu menyatakan:
B5 : …ada masalah... Saya susah nak dapat LCD
A5: saya gunakan bilik darjah, pinjam LCD dan pasang sendiri
Oleh itu, salah satu faktor utama yang mendorong penggunaan ICT adalah sokongan
sekolah dari segi kemudahan seperti persediaan bilik khas dan peralatan.
Dapatan data dari temu bual juga menunjukkan faktor lain yang mendorong mereka
menggunakan ICT dalam kelas adalah pendedahan dan kemahiran ICT yang dipelajari oleh
responden dalam kursus PISMP. Ini termasuk kursus Resos dalam Matematik (MTE3106),
Mengajar nombor, perpuluhan dan peratus (MTE3109), Mengajar Geometri, Ukuran dan
Pengendalian Data (MTE3111) serta Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
(EDU3105). Ini dapat dibuktikan apabila responden A1 menyatakan :
A1: Contohnya, perisisan seperti GSP, Geogebra memang pertama kali saya
diperkenalkan oleh pensyarah dengan perisian ini. Ini mendorong saya
menggunakannya dalam pnp.

Selain daripada itu, keinginan untuk mendapat penilaian positif daripada pensyarah
pembimbing semasa pencerapan juga merupakan satu faktor penting dalam penggunaan ICT
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Ini dapat ditunjukkan dari repones B3, A2
dan A4 seperti berikut:
B3: ..masa ada pemerhatian dengan pensyarah baru guna...
A3: …akan guna ICT setiap kali semasa pencerapan…
A4: Jika kita tidak menggunakan ICT semasa pencerapan, pensyarah akan rasa
strategi kita kurang menarik.
Dapatan temu bual juga menunjukkan guru pelatih menggunakan ICT seandainya
mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakannya. Ini dapat dilihat dari
respons temu bual di mana kesemua responden tidak meletakkan minat sebagai faktor
penggalak integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran; sebaliknya menekankan
kepentingan masa penyediaan.
A3: suka guna tapi ICT menggunakan banyak masa. Jika animasi satu per satu ambil
masa persediaan yang panjang. ……masa persediaan sangat panjang.
Dapatan kajian juga mendapati bahawa semua responden bersetuju bahawa
penggunaan ICT juga didorong oleh keinginan guru pelatih untuk mewujudkan pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan seperti membantu pemahaman konsep, menarik minat murid
dan mengekalkan perhatian murid.
Apabila diminta menyusun faktor dorongan mengikut hiraki, semua responden
meletakkan sokongan sekolah sebagai faktor yang paling penting, diikuti oleh perisian yang
sesuai yang didedahkan sepanjang kursus PISMP dan motivasi daripada pensyarah
pembimbing dari segi penilaian positif sewaktu pencerapan.
Untuk menjawab soalan ketiga dalam kajian, iaitu peralatan dan perisian yang
digunakan, dapatan kajian dari analisis ke atas rancangan pengajaran harian mendapati
penggunaan peralatan ICT menurut urutan keutamaannya adalah: projektor LCD dan
komputer; alat pembesar suara; tetikus tanpa dawai; papan putih interaktif dan visualiser.
Projektor LCD mencatatkan penggunaan yang tertinggi pada 93.94%. Angka ini didapati
sama dengan peratusan penggunaan ICT dalam rancangan pengajaran harian di mukasurat 5.
Ini menunjukkan semua guru yang merancang untuk menggunakan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik menggunakan projektor LCD dan komputer. Jadual 3 menunjukkan
jenis peralatan yang digunakan dengan peratusan rancangan pengajaran harian yang
menunjukkan penggunaannya.
Jadual 3: Jenis peralatan yang dirancangkan penggunaannya dalam rancangan
pengajaran harian
Jenis Peralatan
Projektor LCD
Tetikus Tanpa Wayer
Alat Pembesar Suara
Papan Putih Interaktif
Visualiser

Peratusan rancangan pengajaran harian yang menunjukkan
penggunaan peralatan
93.94%
3.03%
18.18%
9.09%
3.03%

Dapatan tentang penggunaan projektor LCD yang tinggi ini disokong oleh dapatan
dari temu bual yang mana semua responden menyatakan mereka menggunakan projektor LCD

setiap kali apabila ICT diintergrasi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Antara
sebab peralatan lain kurang digunakan adalah kerana ketiadaan peralatan tersebut dan ia harus
dibawa sendiri oleh responden.
Tinjauan dokumen mengenai perisian yang digunakan mendapati bahawa perisian
yang sering digunakan adalah MS power point dan video klip. Jadual 4 menunjukkan perisian
yang digunakan dengan peratusan rancangan pengajaran harian yang menunjukkan
pengintegrasian perisisan ini.
Jadual 4: Perisian yang digunakan dalam rancangan pengajaran harian
Perisian
MS power point
Video klip

Peratusan rancangan pengajaran harian yang menunjukkan
penggunaan perisian
93.94%
15.15%

Walau bagaimanapun, hasil temu bual menunjukkan ada juga responden yang
menggunakan perisian yang disediakan oleh KPM, permainan komputer atau perisian flash.
Namun penggunaannya adalah kurang kerap.
Hasil dapatan juga menunjukkan bahawa walaupun responden yang didedahkan
dengan perisian MS Excel dan Geometer’s SketchPad (GSP) dalam kursus MS Excel dan
GSP anjuran Jabatan Matematik atau Teaching Programme (ITPS) dalam kursus PISMP,
tetapi penggunaannya adalah terhad. Ini dibuktikan dari responden B5, A2, dan A1 seperti
berikut:
B5: Excel kerja yang saya nak siapkan tu lebih susah jika banding dengan power
point
A2: Setaktat ini memang tak guna GSP kerana topik geometri dan data handling tu di
belakang. Mungkin selepas tu ajar di sekolah akan guna
A1: ITPS pernah guna sekali untuk mengajar pecahan, pecahan setara
5.

PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Dapatan kajian jelas menunjukkan hampir semua responden (93.94%) membuat
perancangan pengajaran menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran matematik
dalam bilik darjah. Kekerapan penggunaan mereka adalah tinggi terutamanya di sekolah yang
mempunyai kemudahan seperti bilik ICT dengan perlatan yang lengkap seperti projektor
LCD, komputer, papan putih interaktif, pembesar suara dan visualiser. Faktor lain yang
mendorong penggunaan mereka adalah penguasaan dan keselesaan responden terhadap
perisian yang digunakan. Ini menunjukkan kesediaan responden menggunakan dan
mengintegrasikan ICT dalam bilik darjah matematik adalah baik seandainya mereka memiliki
kompetensi yang bersesuaian. Oleh itu pendedahan haruslah diberikan kepada mereka
sepanjang kursus PISMP. Hasil dapatan ini selari dengan cadangan dalam Policy on ICT in
Education 2010 iaitu “Training for teachers should include examples of how ICT can be
integrated in teaching and learning and this should be emphasized in the pre-service and
inservice training programmes”. Tetapi dapatan kajian juga menunjukkan pilihan teknologi
yang digunakan adalah terhad dan tertumpu kepada penggunaan komputer dan projektor
LCD. Daripada analisis ke atas rancangan pengajaran harian, didapati 93.94% menggunakan
komputer dan projektor LCD. Hanya 18.18% menggunakan pembesar suara, 9.09%
menggunakan papan putih interaktif dan 3.03% menggunakan visualiser. Dapatan ini
bersetuju dengan kajian oleh Tozzo (2011) yang mendapati frekuensi penggunaan teknologi

dalam bilik darjah matematik di sekolah menengah di Amerika Syarikat adalah baik, tetapi
jenis teknologi yang digunakan adalah terhad.
Dari aspek penggunaan perisian, dapatan kajian menunjukkan pemilihan adalah terhad
dan tertumpu kepada MS power point. Tinjauan ke atas rancangan pengajaran harian juga
mendapati 93.94% menggunakan MS power point dan 15.15% menggunakan video klip. Ini
disokong oleh dapatan dari temubual. Walaupun dapatan dari temu bual menunjukkan
terdapat penggunaan perisian MS Excel, Geometer’s Sketchpad (GSP) dan Iterative Teacing
Programme (ITP), tetapi penggunaannya adalah rendah. Hasil dapatan ini jelas menunjukkan
penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran hanya mencapai mod tutorial yang
dikategorikan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum seperti dalam mukasurat 3. Ini
bermaksud penggunaan ICT adalah terhad kepada penyampaian kandungan pelajaran seperti
dalam pembelajaran ekspositori; dan memberi latihan atau latih tubi. Hasil dapatan ini selari
dengan tnjauan yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 2012. Dalam tinjauan itu, didapati
bahawa “walaupun ICT digunakan semasa pengajaran, tetapi dalam kebanyakan kes,
penggunaannya masih belum melangkau penggunaan aplikasi persembahan Power Point
sebagai alat pengajaran. Tidak terdapat sebarang bukti yang menunjukkan bahawa ICT
diguna untuk menggalakkan kreativiti, penyelesaian masalah, dan kemahiran komunikasi dan
pemikiran kritis dalam kalangan murid”. (PPPM2013-2025). Memandangkan MS power
point adalah perisian terutamanya untuk persembahan, jika guru tidak menyediakan slaid
dengan animasi dan berunsur interaktif, maka kebimbangan yang timbul ialah potensi ICT
tidak digunakan sepenuhnya dan ia hanya beroperasi setakat menyampaikan pengajaran dan
pembelajaran tradisi dalam bentuk elektronik. Oleh itu, tranformasi pendidikan yang
bertunjangkan pemusatan murid dan pembinaan pemikiran kreatif dan kritikal mungkin tidak
kesampaian. Hakikatnya, teknologi dalam pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai
alat penyampaian arahan dan maklumat seperti yang dinyatakan oleh Tozzo (2011).
Justeru itu kajian yang lebih lanjut harus dijalankan untuk meninjau pengintergrasi ICT dalam
bilik darjah, termasuk mengambil kira pengalaman pembelajaran murid dalam bilik darjah
supaya potensi ICT dalam pendidikan dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya selaras dengan
dasar pendidikan negara (PPPM 2013-2025 ms 6-23, 182)
Secara keseluruhannya, dapatan kajian menujukkan bahawa kesemua guru pelatih
bersetuju penggunaan ICT dapat membantu mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan, menarik dan mengekalkan minat murid; tetapi penggunaannya adalah amat
didorong oleh faktor luaran seperti ketersediaan kemudahan dan kelengkapan peralatan ICT di
sekolah. Ini menunjukkan bahawa usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia menerusi Gelombang 1 (2013 – 2015) amat bertepatan. Jika hasil Gelombang 1 ini
dapat direalisaikan, maka guru pasti akan mendapat dorongan untuk mempertingkatkan
penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Dengan ini,
matlamat Projek 1BestariNet bagi mewujudkan satu persekitaran maya(VLE) akan menjadi
kenyataan.
6.

KESIMPULAN

Kajian ini telah dijalankan untuk meninjau penggunaan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik dalam kalangan guru pelatih major matematik PISMP di IPG
Kampus Temenggong Ibrahim semasa mereka menjalani praktikum fasa 3 selama 12 minggu.
Walaupun respondennya terhad kepada guru pelatih major matematik PISMP, tetapi
dapatannya sedikit sebanyak boleh memberi gambaran tentang pengunaan ICT oleh guru
pelatih di Institut Pendidikan Guru. Dapatan kajian jelas menunjukkan hampir semua guru
pelatih (93.94%) membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan
ICT. Kekerapan penggunaannya adalah tinggi terutamanya di sekolah yang mempunyai

kemudahan seperti bilik ICT dengan perlatan yang lengkap seperti projektor LCD, komputer,
papan putih interaktif, pembesar suara dan visualiser. Faktor lain yang mendorong
penggunaan mereka adalah penguasaan kemahiran terhadap perisian yang dipelajari, motivasi
ekstrinsik menerusi pensyarah pembimbing, keinginan untuk memudahkan pemahaman
konsep Matematik serta menarik minat murid terhadap proses pembelajaran. Tetapi dapatan
kajian juga menunjukkan pilihan teknologi dan perisian yang digunakan adalah terhad.
Pemilihan teknologi adalah tertumpu kepada penggunaan laptop dan projektor LCD dengan
sebilangan kecil menggunakan pembesar suara, papan putih interaktif dan visualiser.
Pemilihan perisian pula tertumpu kepada MS power point dan video klip dengan penggunaan
MS Excel, Geometer’s Sketchpad dan Iterative Teaching Programme yang minimum. Dari
aspek kekerapan; penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru
pelatih major Matematik di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim adalah
baik. Tetapi penggunaannya perlu dikaji dengan lebih teliti lagi untuk memastikan ia dapat
memanfaatkan pembelajaran murid secara berkesan agar hasrat transformasi pendidikan
mampu direalisasikan.
RUJUKAN
Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Putrajaya
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Frost & Sullivan. Policy On ICT In Education Malaysia 2010. Dilayari pada 30 May 2014.
http://www.mscmalaysia.my/sites/default/files/pdf/publications_references/Policy%20on
%20ICT%20in%20Education%20Malaysia%202010.pdf
Tozzo, W. C. (2011). Factors That Promote And Deter Mathematics Teachers' Use Of
Technology. UMI Dissertation Publishing. ProQuest LLC 789 East Eisenhower Parkway
Tae Young Ha, (2008). Technology-Integrated Mathematics Education (Time): A Study Of
Interactions Between Teachers And Students In Technology-Integrated Secondary
Mathematics Classrooms. ProQuest LLC 789 East Eisenhower Parkway
Kathy Massy (2008) Teacher Perceptions Of Technology Use And Student Learning In A K-8
Environment: A Case Study. Department of Educational Administration and Foundations
Illinois State University
Noor Mazlan Ahmad Zanzali & Noraziah binti Kassim@Aziz, Penggunaan ICT Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Di Kalangan Guru-Guru Pelatih UTM. Dilayari
pada 6 Jun 2014. http://eprints.utm.my/10133/1/[email protected]
Mohd Khaidir Mohamed Salleh & Hajar Sulaiman. (2011) Menerokai Keberkesanan
Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik di Institut Kemahiran
MARA. Proceedings of The 4th National Conference on Graphing Calculators, School of
Mathematical Sciences, USM, Penang, Malaysia.
Modul Pembelajaran Program Pensiswazahan Guru: Modul Teknologi Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran (EDU 3105). Dilayari pada 8 Jun 2014.
http://ipgm.info.tm/ktaa/oll/mod/url/view.php?id=3

Pumadevi Sivasubramaniam (2011), Innovative Teachers and Technological Pedagogical and
Content Knowledge. Proceedings of The 4th National Conference on Graphing Calculators,
School of Mathematical Sciences, USM, Penang, Malaysia.
Wadi D. Haddad and Alexandra Draxler (2002) Technologies for Education: Potential,
Parameters and Prospects. Dilayari pada 10 Jun 2014.
http://www.ictinedtoolkit.org/usere/library/tech_for_ed_book.pdf
Rosinah Edinin. (2012) Penyelidikan Tindakan Kaedah dan Penulisan. (Edisi kedua).Kuala
Lumpur: Freemind Horizons.