MEMUPUK KESEDARAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL M

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009

MEMUPUK KESEDARAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL MELALUI
PENGLIBATAN DALAM AKTIVITI KEJIRANAN DARI KACA MATA ISLAM
Mashitah Sulaiman,

Mohd Azmir bin Mohd Nizah,
Mohammad Aizuddin bin Abdul Aziz,
Pusat Pengajian Umum,
Universiti Sains Islam Malaysia,
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.

Abstrak:
Perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia merupakan agenda penting yang mendasari
setiap program pembangunan negara. Kestabilan politik dan ekonomi negara boleh
tergugat sekiranya perpaduan antara ahli dalam masyarakat sangat rapuh. Sebagai
sebuah negara yang berbilang kaum, berbeza latarbelakang agama, kebudayaan dan cara
hidup, keharmornian dan kemesraan antara anggota masyarakat Malaysia perlu disemai
dan dipupuk antaranya, melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kejiranan. Justeru itu,
kertas kerja ini membincangkan konsep kejiranan menurut kaca mata Islam. Perbincangan
turut mengupas kerukunan tetangga dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia dari
segi praktisnya yang dilihat dari aspek agama. Kertas kerja ini juga turut menyarankan
nilai-nilai dan sikap yang perlu ada ke arah membina dan memupuk tanggungjawab sosial
melalui penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti kejiranan.

Kata kunci: tanggungjawab sosial, kejiranan, Islam.

Pengenalan
Keharmonian sesebuah negara disumbangkan oleh pengurusan yang baik dalam kompenan sosial,
ekonomi dan politiknya. Termasuk dalam kompenan penting kesejahteraan negara ini ialah
tanggungjawab masyarakat terhadap kerja-kerja kemasyarakatan yang mesti dipupuk dan disemai
sebagai suatu budaya yang menjadi teras kemakmuran negara. Individu, keluarga dan institusi
atau organisasi merupakan agen sosial penting yang menyumbang segala bentuk aktiviti dalam
sesebuah masyarakat. Antara aktiviti tersebut termasuklah aktiviti kejiranan yang mampu menjadi
pemangkin dalam memupuk kemesraan antara anggota masyarakat sekiranya ia dapat berfungsi
dan melaksanakan peranannya dengan baik.
Tanggungjawab Sosial Dalam Islam
Hidup bermasyarakat telah menjadi salah satu daripada tuntutan naluri dan keperluan manusia.
Tidak seorang pun yang boleh hidup tanpa ditemani oleh orang lain. Kehidupan bermasyarakat
bererti hidup berjiran tetangga, berorganisasi, berteman, bersaudara, berkasih sayang, bersatupadu, tolong-menolong dan seumpamanya.

1

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
Islam telah menentukan garis panduan yang jelas bagaimana kehidupan bermasyarakat dapat
disusun dengan baik dalam proses pembangunan manusia, komuniti dan negara. Dalam konteks
ini Islam meletakkan hubungan manusia dengan manusia berpaksikan Tauhid dalam
melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah untuk memakmurkan dan mentadbir urus
muka bumi ini, selain hubungan manusia dengan alam dan yang utamanya terhadap Pencipta
(Allah s.w.t.) mengikut garis panduan Akhlak Islam.
Firman Allah s.w.t.:
"Sesungguhnya Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi" (al Baqarah: 30)
Kerja kemasyarakatan merupakan satu kewajipan yang dituntut oleh Islam untuk merapatkan
hubungan antara sesama manusia, membangunkan masyarakat seterusnya negara dalam ruang
lingkup makro. Pembentukan masyarakat berteraskan Islam meletakkan syariah sebagai dasarnya.
Dasar ini perlu disubur dan dibajai dengan prinsip akhlak. Kerana jatuh bangun sesebuah
masyarakat bergantung kepada sejauh mana akhlak diterap dan dicerakinkan (Zarina Muhammad,
1997:51). Antara garis panduannya ialah berusaha untuk mengeratkan perpaduan dan saling kenal
mengenali antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t dalam Surah al Hujurat: 13 yang bermaksud:
"Wahai manusia!, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan
perempuan dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya
kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah
orang yang paling bertakwa antara kamu (bukan yang lebih tinggi keturunan dan
bangsanya)" (al Hujurat:13) (Harun Din, 1988: 187)
Tanggungjawab sosial dalam ruanglingkup akhlak bagi seorang Islam dapat dilihat melalui
tanggungjawab seorang Muslim terhadap sesama Muslim, tanggungjawab seorang Muslim
terhadap jirannya, dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat bukan Islam.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Perumpamaan orang-orang Mu'min dalam saling kasih mengasihani dan sayang
menyanyangi, umpama sebujur tubuh yang apabila salah satu anggotanya sakit,
seluruh anggota tubuh yang lain turut sama merasai kesakitan tersebut"
(Sahih Bukhari & Muslim)

Antara tanggungjawab seorang Muslim terhadap Muslim yang lain iaitu, menjawab salam
ketika dia memberi salam, menghadirkan diri ketika dijemput, menasihatinya ketika diminta
memberikan nasihat, menziarahinya ketika dia sakit, mendoakannya dengan menyebut
"Yarhamkallah" (Semoga Allah Rahmati Kamu) ketika dia bersin dan menguruskan jenazahnya
(mandi, sembahyang, mengkebumikan) ketika dia mati (Imam Ghazali, 1990:319).
Secara umumnya, contoh di atas memperlihatkan bahawa seorang Muslim mempunyai
tanggungjawabnya terhadap sama ada Muslim yang lain, terhadap orang di sekelilingnya iaitu
jiran tetangga dan masyarakat bukan seagama.

2

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009

Konsep Kejiranan Dalam Islam: Hak dan Tanggungjawab
Istilah jiran dari segi bahasa dalam Istilah Arab bermaksud orang yang tinggal sebelah
menyebelah atau tetangga. Perkataan jiran dari perspektif istilah syarak dijelaskan oleh
Rasullullah s.a.w. sebagai ahli-ahli 40 buah rumah di setiap penjuru yang mengelilingi rumah
seseorang. Maksud jiran ini meliputi jiran Islam mahupun bukan Islam. Perkara ini dinyatakan
oleh baginda di dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
"Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga"
Terdapat dua perkara penting yang digariskan oleh Islam berkaitan hubungan sosial manusia
dengan manusia yang lain iaitu hak dan kewajipan. Dalam konteks jiran tetangga, terdapat hak
dari segi syarak iaitu sesuatu yang mesti diperolehi dan dinikmati oleh seseorang jiran lain ke
arah mengeratkan hubungan silaturahim, persaudaraan dan perpaduan. Manakala tanggungjawab
pula ialah tugas jiran untuk melaksanakan tanggungjawab kepada jiran yang lain (Mustafa Haji
Daud, 2002).
Penetapan hak dan kewajipan di atas dapat merumuskan betapa Islam menitikberatkan
hubungan timbal balik antara jiran tetangga. Seseorang jiran mempunyai hak yang mesti diterima
dari tetangganya dan jiran ini perlu mesti menunaikan kewajipan kepada jiran yang lain
berdasarkan ketetapan yang digariskan oleh Islam.
Jiran dapat dikategorikan kepada dua, iaitu jiran yang dekat dan jiran yang jauh.
Pembahagian ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan
berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga
yang terdekat dan yang jauh, teman sejawat, Ibnu Sabil dan hamba" (an Nisa' , 4: 36)
Di antara hak dan tanggungjawab jiran yang diwajibkan oleh Islam ialah, pertama
mewujudkan ikatan persaudaraan atau silaturrahim di antara seorang jiran dengan jiran yang lain.
Hal ini merupakan aspek penting kerana hubungan persaudaraan merupakan asas dalam
mengeratkan perpaduan ke arah mencapai kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran sejagat. Oleh
itu, menjadi satu tanggungjawab dan kemestian bagi seseorang jiran untuk membina kemesraan
sebagai jambatan yang boleh membina dan mengerat hubungan dalam hidup berjiran. Ini
digariskan oleh al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka berbaiklah kamu terhadap saudara
kamu" (al Hujurat 49: 10)
Kedua, seseorang jiran juga perlulah menghormati jiran khususnya mengelakkan diri dari
pada mengganggu ketenteraman jiran. Contohnya, membuat bising di kawasan perumahan ketika
jiran sedang tidur, sembahyang dan sebagainya. Islam juga menyarankan agar ikatan hubungan
manusia dijalinkan tanpa mencetuskan perkara yang boleh menyakiti hati jiran seperti bersangka
buruk kepada orang lain tanpa sebarang sebab. Sifat memaafi adalah digalakkan kerana ia dapat
merapatkan hubungan sesama manusia selanin mnggangap setiap orang yang beriman adalah
bersaudara.

3

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
Islam menganjurkan seseorang jiran memberi segala pertolongan yang diperlukan
unmpamanya jika sakit hendaklah membantu mencarikan ubat penyembuh, jika berhutang
membantu untuk menyelesaikannya, jika mengadakan kenduri kendara membantu untuk
memasak dan sebagainya, jika jiran ditimpa musibah membantu meringankannya dan mengucap
takziah. Dalam masa yang sama sedaya upaya melegakan jiran dengan nasihat supaya bersabar.
Sebaliknya sekiranya jiran memperolehi sesuatu yang menggembirakan, jiran yang lain
diwajibkan menziarahinya dan mengucapkan tahaniah sebagai tanda penghargaan (Mustafa Daud,
2002).
Dalam menjalani hidup berjiran, Rasulullah mewajibkan jiran menguruskan jenazah jirannya
apabila berlaku kematian. Hal ini termasuklah menyembahyangkannya dan mengkebumikan
jenazahnya. Jiran juga wajib menghadiri majlis yang tidak bertentangan dengan Islam apabila
dijemput oleh jiran yang lain. Menjadi tanggungjawab jiran menyeru dan menasihat jirannya
untuk melakukan kebajikan dan melarang melakukan perkara yang ditegah agama. Rasionalnya
kerana ia mendatangkan faedah kepada setiap anggota masyarakat dan perkara yang ditegah
mendatangkan kemudaratan kepada manusia.
Islam telah memberikan panduan yang jelas bukan sahaja tentang tanggungjawab seorang
Islam terhadap jirannya yang Islam bahkan tentang hubungan seorang Islam dengan jirannya
yang bukan seagama. Hal ini dijelaskan oleh Rasullullah s.a.w di dalam hadith yang diriwayatkan
oleh Bukhari yang bermaksud:
"Jiran itu ada tiga macam/jenis: iaitu jiran yang mempunyai tiga hak, jiran yang
mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai nsatu hak. Adapun yang mempunyai tiga
hak ialah jiran Muslin yang berkeluarga dengan kita, iaitu mempunyai hak jiran, hak
keluarga dan hak Islam. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran Muslim yang
mempnyai hak Islam dan hak jiran. Manakala jiran yang mempunyai satu hak sahaja
ialah jiran bukan Islam, baginya hak jiran" (Imam Ghazali, 1990: 339).
Semua manusia adalah sama iaitu asalnya dari Adam. Walaupun terdapat perbezaan agama,
kepercayaan, budaya, kebiasaan, warna kulit dan bahasa yang digunakan namun ia tidak
menghalang seorang Muslim untuk menunaikan kewajipannya terhadap jiran yang bukan
seagama. Ini boleh dilakukan dengan menghulurkan pertolongan dan saling bantu membantu
antara satu sama lain, tidak menyakiti, menziarah bila sakit dan sebagainya. Hak dan
tanggungjawab terhadap jiran bukan seagama perlu dilaksanakan selagi tidak bercanggah dengan
akidah, syariah dan akhlak Islam.
Pada dasarnya konsep kemasyarakatan dalam Islam didokong atas prinsip mewujudkan
perdamaian, persaudaraan (kasih sayang), keadilan (Tariq Ramadan, 2001: 39-46), menegakkan
kebaikan dan mencegah kemungkaran serta perhubungan bagi mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Daripada keterangan di atas, dapat dilihat bahawa Islam telah memberi gambaran tentang
kepentingan mewujudkan hubungan yang baik sesama anggota masyarakat khususnya jiran yang
berhampiran dengan kediaman seseorang. Kepentingan ini berlandaskan kepada kedudukan
lokasi rumah jiran dan sebagai orang yang paling dekat untuk dihubungi ketika seseorang berada
dalam kesusahan atau kesempitan. Hubungan kejiranan juga penting bagi mengelakkan daripada
berlakunya jenayah dan berkara yang buruk di kawasan kediaman.

4

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009

Kerukunan Tetangga Di Malaysia Dan Pandangan Islam
Menyedari tentang pentingnya perpaduan nasional dalam konteks masyarakat berbilang bangsa
dan etnik di Malaysia, mencetuskan idea penubuhan Rukun Tetangga. Rukun Tetangga
merupakan satu program sukarela (top down) yang diwujudkan bertujuan untuk membantu dalam
pembangunan masyarkat setempat di Malaysia. Konsep program ini hampir sama seperti
Neighbourhood Watch seperti yang diamalkan di United Kingdom. Rukun Tetangga telah
ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975 yang pada asalnya dengan objektif untuk
menjamin keselamatan penduduk setempat. Satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Perlu
Rukun Tetangga 1975 (P.U. (A) 279/75) telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu
kepada pertubuhan tersebut (http://ms.wikipedia.org/wiki/Rukun_Tetangga).
Pada 1983, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan kejiranan di
antara pelbagai kaum di Malaysia. Kemudian pada 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar
kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat.
Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang
bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan.
Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan
tersebut.
Kini peranan dan fungsi Rukun Tetangga telah diperluaskan dengan memperbanyakkan
aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat. Setiap Kawasan Rukun Tetangga
(KRT) digalakkan menganjurkan seberapa banyak kegiatan berbentuk kemasyarakatan,
kebajikan, kesihatan dan alam sekitar, sosial, kesukanan, rekreasi, kesenian, keselamatan dan
pendidikan selain program-program yang boleh meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.
Sehingga Mei 2006 sebanyak 3,228 kawasan RukunTetangga telah ditubuhkan di seluruh negara
dan sebanyak 36,029 aktiviti komuniti dijalankan antara bulan Jaanuari higga Mei 2006 (Shamsul
Amri, 2007: 182-184). Keadaan ini selari dengan anjuran Islam yang menggalakkan hubungan
baik sesama manusia sama ada sesama Muslim mahupun masyarakat bukan seagama.
"Berlumbalah kamu membuat kebaikan" (Al Maidah: 48)
Islam meletakkan berkenal-kenalan itu sebagai dasar pergaulan antara manusia, dengan
dasar ini hendak ditukarkan rasa benci dengan rasa cinta dan damai, hendak
ditanamnya rasa suka mengalah terhadap tiap persaingan dalam perebutan hidup, dan
henda ditegakkan kebenaran yang hak di tengah-tengah manusia...sebenarnya
persaudaraan itu ialah jiwa iman yang hidup, intisari agama yang bersih, yang meliputi
kehidupan Islam seluruhnya
( Aboebakar Atjeh dalam Abdul Rahman , 2002)
Usaha murni dalam menubuhkan organisasi masyarakat untuk mewujudkan kesejahteraan
sosial berteraskan matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum dan ahli masyarakat ini adalah
selari dengan saranan al-Farabi. Menurut beliau, sesebuah negara perlu dibangunkan dengan
ideologi dan matlamat yang jelas. Keadaan ini menuntut pengorbanan yang konsisten dan
berterusan daripada individu dan masyarakat. Ini bertujuan bagi mencapai kebahagiaan untuk
semua yang merupakan satu tuntutan dan hasrat dalam mewujudkan sebuah negara yang
sempurna, harmoni dan ideal. Al-Farabi dalam kitabnya "al- Madinah al-Fadilah" dalam tajuk

5

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
kecilnya "al Qawl fi al-farq Bayna al-Iradah wa al-Ikhtiyar wa fi al-Sa'adah" mengenai
perbahasan perbezaan antara kemahuan dan ikhtiar serta kebahagiaan menerangkan maksud
kebahagiaan dalam konteks pembinaan sebuah negara sebagai:
"Kebahagiaan (al sa'adah) adalah sesuatu yang terbaik yang dituntut oleh setiap
manusia kerana kebahagiaan itu sendiri... sementara perbuatan kehendak 'Iradiyah'
(sedar atau dirancang) yang bermanfaat untuk mencapai kebahagiaan adalah perbuatan
baik dan terpuji." (Idris Zakaria, 1986:87-88)
Pemupukan Nilai Dan Sikap Tanggungjawab Sosial Dalam Aktiviti Kejiranan
Antara ciri-ciri Akhlak Islam adalah menjamin kebahagiaan sejagat bagi semua manusia di semua
tempat, pada sepanjang zaman. Sifat kesejagatan ini bersumberkan penggubalnya iaitu Allah s.w.t
yang mencipta alam dan manusia. Dialah Maha mengetahui segala keperluan makhluk ciptaannya
terutama manusia. Oleh itu akhlak yang digubal bercirikan kebaikan yang dapat diterima oleh
semua manusia sesuai dengan fitrah manusia.
Pembentukan nilai dan akhlak yang berpaksikan Islam memastikan elemen prinsip
perdamaian, persaudaraan (kasih sayang), keadilan, menegakkan kebaikan dan mencegah
kemungkaran, dan dasar perhubungan bagi mendapat keredhaan Allah s.w.t dilaksanakan dengan
baik. Bagi memupuk nilai sikap dan tanggungjawab sosial terhadap aktiviti kejiranan ia
memerlukan iltizam, kesungguhan dan sokongan padu setiap individu dalam masyarakat bagi
memastikan fungsi, objektif dan matlamat program kemasyarakatan kejiranan dapat dicapai.
Antara nilai dan sikap yang boleh disemai, dipupuk dan diterapkan adalah seperti berikut:
1. Memikul Tanggungjawab Bersama dan Bekerjasama
Kejayaan dalam sesuatu program kemasyarakatan bergantung kepada sikap tanggungjawab
semua ahlinya bagi melaksanakannya dengan jayanya. Penglibatan, sokongan, kerjasama dan
rasa tanggungjawab ini memerlukan komitmen yang tinggi dan pengorbanan semua. Ia boleh
disumbangkan melalui tenaga, pandangan atau lontaran idea mahupun sumbangan kewangan
mengikut kemampuan seseorang. Apa yang penting di sini ialah adanya kerjasama dan
pengorbanan ahli untuk berkhidmat untuk masyarakat.
Allah s.w.t. berfirman:
"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah
kamu tolong menolong dalam perkara berbuat dosa dan pelanggaran. Bertakwalah kamu
kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat seksanya" (Al Maidah 5:2)
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, dikurniakannya seorang teman
yang saleh. Apabila terlupa diingatkan dan apabila teringat ditolong oleh teman itu"
2. Sikap Untuk Saling Mengenali dan Membina Sikap Ramah Mesra
Sebagai anggota masyarakat, seseorang tidak boleh mengasingkan diri daripada persekitaran
hidup bersosial. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengenali

6

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
masyarakatnya khususnya orang yang paling hampir dengannya, iaitu jiran. Sikap saling
mengenali dan beramah mesra membantu menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan
tetangga yang akhirnya membantu memupuk perpaduan antara satu sama lain.
"Wahai manusia!, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan
perempuan dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya
kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah
orang yang paling bertakwa antara kamu (bukan yang lebih tinggi keturunan dan
bangsanya)" (al Hujurat:13)
"Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah berpecah-belah" (Ali Imran: 102)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Seorang Mukmin ialah orang yang senang bermesra dan bergaul mesra (dimesrai) dan
tiada gunanya orang yang tidak tahu bermesra dan tidak dimesrai".

Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
"Sesungguhnya orang yang paling hampir kedudukannya kepadaKu, ialah orang yang
paling terbaik pekertinya. Mereka yang bersikap merendah diri dan senang bermesra dan
bergaul mesra".
3. Sikap Mengambil Berat atau Mengambil Tahu
Sikap mengambil tahu di sini bermaksud mengambil peduli dan peka tentang kebajikan jiran
tetangga sekiranya jirannya menanggung kesusahan dan kesulitan. Contohnya, apabila
seseorang mendapati jirannya tidak menyekolahkan anaknya lantaran kesempitan hidup yang
dialami. Oleh itu, sikap peka tentang kesusahan orang lain menimbulkan keinsafan dan
mencuit naluri keinsanan untuk menghulurkan bantuan yang sepatutnya mengikut apa yang
termampu. Sikap mengambil peduli ini juga termasuk sekiranya seseorang mendapati
berlakunya perselisihan faham dalam hubungan antara diri seseorang dengan jirannya, maka
kepekaan ini mendetikkan hatinya untuk mencari jalan terbaik untuk memperbaiki
persahabatan antara keduanya. Kesemua ini memerlukan kepekaan seseorang terhadap
kehidupan persekitarannya .
Dalam hal ini Hamka melalui karya tentang pemikiran etikanya berhubung hidup
bermasyarakat yang berjudul "Di Bawah Lindungan Ka'abah" mengambarkan watak jiran
iiatu Engku Haji Ja'afar yang amat mengambil berat dan sanggup membantu Hamid yang
miskin untuk meneruskan kehidupan dan persekolahannya. Sebaliknya dalam karya "Di
Lembah Kehidupan" terutamanya karya "Pasar Malam" yang memperlihatkan betapa
kejamnya masyarakat yang tidak mahu mempedulikan kemelaratan golongan miskin. Semua
ini melambangkan konsep etika sosial yang sangat diperlukan manusia dalam menjalani
kehidupan (Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002: 115).
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

7

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
"Barangsiapa beriman kepada Allah Dan Hari Kiamat, hendaklah ia memuliakan jiran
tetangganya"
Firman Allah s.w.t dalam konteks Islam yang mengutamakan perdamaian:
"Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan perbaikilah perhubungan antara
kamu dan taatlah kepada Allah dan RasulNya sekiranya kamu orang yang beriman".
(Surah al-Anfal 8:1)
4. Sikap Positif dan Keikhlasan
Ahli masyarakat perlu menanamkan sikap positif terhadap aktiviti kejiranan. Walaupun ia
merupakan kerja sukarela, setiap anggota perlu melihat aktiviti seumpama ini dari sudut yang
positif tanpa rasa terpaksa atau merasakannya sebagai aktiviti yang membazir masa dan
tenaga. Untuk itu, seseorang perlu mengikhlaskan diri dan menyematkan di fikiran bahawa
apa yang dilakukannya merupakan satu ibadah untuk kemaslahatan ummah dan mendapat
keredhaan Allah s.w.t. Hubungan kejiranan dan kemasyarakatan perlulah berlandaskan
hubungan yang tulus, suci dan bukan berlandaskan kepentingan, bersifat kepura-puraan,
mengikut masa (perlu ketika senang dan sukar) dan bukan berlandaskan kebendaan. (Lihat
Pemikiran Etika Hamka dalam Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002:115).
Allah s.w.t. berfirman:
"Maka kamu sekelian, dengan sebab kurniaNya itu, menjadi saudara" (Ali Imran: 103)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berkata: Sudah pastilah kecintaanKu itu terhadap
orang-orang yang ziarah menziarahi keranaKu. Sudah pastilah kecintaanKu itu terhadap
orang-orang yang cinta mencintai keranaKu. Sudah pastilah kecintaanKu itu terhadap
orang-orang yang bersusah payah keranaKu. Sudah pastilah kecintaanKu itu terhadap
orang-orang yang tolong menolong keranaKu".
5. Tanggungjawab Atas Kebaikan Bersama dan Mencegah Jenayah
Tanggungjawab melaksanakan kebaikan "amar makruf" dan mencegah kemungkaran "nahi
mungkar" wajib dipikul bersama oleh setiap anggota masyarakat tanpa mengira pangkat,
kedudukan mahupun perbezaan bangsa dan agama. Masing-masing mempunyai
tanggungjawab dan amanah serta perlu menyedari ianya untuk kebaikan bersama. Ia juga
penting untuk mengelakkan jenayah dan kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan
perumahan (Glicken, M. D., Sechrest, D. K., 2003).
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga tetangganya terselamat daripada
segala kejahatannya"
"Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah sekalipun dia kan melihat
(ganjaran)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan sebesar zarah sekalipun dia

8

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
akan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8)(Mustafa Haji Daud, 1999
:56)

KESIMPULAN
Dalam konteks masyarakat moden kini, aktiviti kemasyarakatan dan kejiranan seringkali
dipandang sepi dan diremehkan lantaran kesibukan tugas seharian yang menyukarkannya untuk
dilaksanakan dan sikap tidak mengambil berat atau mengutamakan program-progran sedemikian.
Untuk itu, perlu ada satu mekanisme agar aktiviti kejiranan ini mampu menjadi pemangkin dalam
proses transformasi sosial ke arah perpaduan. Selain itu, aktiviti kejiranan juga perlu dan boleh
berfungsi sebagai penggerak dalam membangunkan masyarakat dengan melaksanakan aktiviti
berbentuk kebajikan, kemasyarakatan dalam ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang memberi
manfaat yang besar kepada penduduk setempat. Aktiviti Rukun Tetangga contohnya boleh
menjadi medium bagi menyampaikan mesej positif bagi mewujudkan hubungan yang lebih
harmoni di peringkat kawasan atau akar umbi, dan negara umumnya selain mencegah daripada
berlakunya kejadian-kejadian jenayah di kawasan setempat. Lantaran itu, pemupukan nilai dan
sikap tanggungjawab dalam aktiviti kejiranan perlu diberi perhatian agar matlamat dan konsep
1Malaysia yang harmoni dapat dihayati bersama.

RUJUKAN
Abdul Rahman Abdul Aziz. 2002. Pemikiran Etika Hamka. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Sdn Bhd.

Glicken, Morley D., Sechrest, Dale K. 2003. The Role of The Helping Professions in
Treating The Victims and Perpetrators of Violence. New York: Pearson Education, Inc.
Haron Din. 1988. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Percetakan Watan.
Idris Zakaria. 1986. Teori Kenegaraan al-Farabi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia
Imam Ghazali. Bimbingan Mu'minin. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.
Muhammad 'Imarah. 2007. Anugerah Islam Untuk Ketamadunan. Kuala Terengganu:
Terengganu Development Institut.
Mustafa Haji Daud. 1999. Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors
Sdn Bhd.
Mustafa Haji Daud. 2002. Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors
Sdn Bhd.
Poindexter, Cynthia Cannon, Valentine, Deborah P. 2007. An Introduction to Human Services:
Values, Methods and Populations Served. United States: Thomson Brooks/Cole.

9

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA
24/7/2009
Ramadan, Tariq. 2001. Islam, the West and the Challenges of Modernity. United Kingdom: The
Islamic Foundation.
Shamsul Amri. 2007. Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Pusat Penerbit Universiti (UPENA),
Universiti Teknologi Mara.
Shulman, Lawrence. 2006. The Skill of Helping Individuals, Families, Groups and Communities.
United States: Thomson Brooks/Cole.
Zakaria Stapa. 1999. Akidah & Akhlak Dalam Kehidupan Muslim. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Zarina Muhammad. 1997. "Kekeluargaan dan Kemasyarakatan" Dalam Tamadun Islam. Serdang:
Universiti Putra Malaysia.

Profil Pembentang
Mashitah Sulaiman,
Mohd Azmir bin Mohd Nizah,
Mohammad Aizuddin bin Abdul Aziz,
Pusat Pengajian Umum,
Universiti Sains Islam Malaysia,
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai,
Negeri Sembilan, Malaysia.
mashitah@usim.edu.my , mashimumtaz@yahoo.co.uk
Tel : 013-3911694, 06-7988438
azmirnizah@usim.edu.my, aizuddin@usim.edu.my,
Tel: 06-7988764
Fax: 06-7988238

10

Dokumen yang terkait

Dokumen baru

MEMUPUK KESEDARAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL M