TAMADUN ISLAM DI TANAH MELAYU DISKURSI A

1

TAMADUN ISLAM DI TANAH MELAYU: DISKURSI ANTARA PERANAN
PONDOK DAN PENJAJAH BRITISH.
Oleh,
Prof. Dr Badlihisyam Mohd Nasir,
Fakulti Tamadun Islam,
Universiti Teknologi Malaysia,
81310 UTM Johor Bahru,
Johor.
Telefon: 07-5557664
Email: badlihisham@utm.my
Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd. Rahim, Dr Ridwan Ahmad &
Tengku Maizura Binti Tengku Yahya
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya,
Lembah Pantai 50603, Kuala Lumpur.
Telefon : 03-79676080/ 012-3192177.
Email : faqir_ila_rabbih@um.edu.my

1. Pengenalan

Memandangkan penulisan sejarah Tanah Melayu diasaskan penulisannya oleh
sejarawan penjajah ataupun terdidik daripada disiplin barat, maka sejarah Tanah Melayu
sering diselewengkan dalam bentuk mendedahkan peranan penjajah British yang berlebihan
dalam membangunkan tamadun Tanah Melayu. Walaupun diakui sumbangan penjajah yang
agak banyak tetapi ianya terhad untuk kepentingan sosio-politik dan ekonomi penjajah
British semata-mata. Dalam artikel ini kita akan menganalisa hujah sumbangan British dalam
membangunkan tamadun di Tanah Melayu dengan mendedahkan peranan Pondok dalam tiga
aspek utama; memasyarakat hukum Islam, memajukan budaya ilmu dan menyuntik elemen
nasionalisme sejati dalam masyarakat Melayu.
2. Teori Kuasa British Dalam Pemodenan Tanah Melayu
Dalam konteks sejarah Alam Melayu, kebanyakan Sarjana Barat telah mengaitkan proses
pemodenan yang timbul adalah kerana faktor penjajahan kuasa barat, khususnya pihak British
dan menolak hujah bahawa Islam meninggalkan pengaruh yang baik ke atas masyarakat
Melayu. Antara elemen pemodenan yang kononnya telah dibawa masuk ataupun dipaksakan 1
ke atas masyarakat Melayu oleh kuasa penjajah British adalah;
1. Mewujudkan kemudahan infrastruktur moden seperti sistem jalanraya, talian telefon,
Hospital dan sebagainya.2
2. Mewujudkan sistem pendidikan vernakular ala British untuk tiga etnik kaum yang
berbeza.3
1 Hadijah Rahmat (2001), In Search Of Modernity : A Study Of The Concepts Of Literature, Authorship And

Notion Of Self In Traditional Malay Literature, Kuala Lumpur : DBP, h. 19-22.
2 T.N. Harper (1999), The End Of Empire And The Making Of Malaya, Cambridge, h. 18-26.
3 Adnan Haji Nawang (1998), Za’ba Dan Melayu, Kuala Lumpur : Berita Publishing, h. 96-97.

2

3. Menanamkan sikap yang lebih terbuka dan keberanian untuk mengkritik kepincangan
yang dilakukan oleh Pembesar Melayu.
4. Memperkenalkan sistem pentadbiran di semua peringkat yang lebih tersusun termasuklah
dalam sektor berkaitan dengan Islam.4
Di zaman terkemudiannya, teori ini mula dicabar oleh sarjana Malaysia. Impak
negatif yang terhasil daripada dasar penjajah British dapat dikesan dalam beberapa aspek.
Antaranya;
2.1 Merubah Demografi Masyarakat Tanah Melayu.
Sebelum kedatangan kuasa penjajah barat, masyarakat Alam Melayu telah pun
mempunyai pengalaman berinteraksi dengan pelbagai bentuk masyarakat majmuk (India,
China, Jawa, Parsi dan Arab) tanpa mengalami apa-apa masalah sehingga kesemuanya dapat
hidup secara harmonis dan bertoleransi.5 Keadaan ini mula berubah dengan kedatangan kuasa
ras Caucasian Eropah, pada mulanya sebagai pedagang biasa yang menawarkan barangan
merbahaya seperti senjata api canggih dan candu. Kemudiannya, status ini mula berubah

apabila pedagang Eropah bergabung sesama mereka membentuk kelompok Syarikat besar
seperti (East Indian Company) yang bertindak melanggar amalan hubungan harmonis
masyarakat Alam Melayu dengan memperkenalkan pendekatan kapitalisme dan monopoli
mutlak tanpa mempedulikan kebajikan puak yang lain. Dalam banyak hal, ras pedagang
Eropah ini telah menjalankan urusniaga secara tipu helah, putar belit, penindasan dan
penjajahan ke atas ras kaum lain. Apa yang cukup memalukan adalah penindasan ini telah
dijustifikasikan dengan nama agama (tujuan penyebaran agama Kristian) dan tugas
mentamadunkan ras bangsa bukan Caucasian yang kononnya perlu ditamadunkan melalui
kaedah penjajahan.6
Pihak British sebenarnya hanya mementingkan keuntungan material semata-mata
dengan mengaut sebanyak mungkin hasil bumi Tanah Melayu untuk dibawa balik ke Britain.
Hal ini terserlah dengan pengenalan sistem ekonomi kapitalisme colonial, yang bercirikan;7
1. Penguasaan yang menonjol dan pengerahan modal oleh kekuatan ekonomi asing.
2. Penguasaan terhadap jajahan oleh kuasa asing yang bertindak menurut kepentingannya
sendiri.
3. Tingkat tertinggi daripada unsur perdagangan dan industri semuanya dikuasai oleh
komuniti penguasa asing.
4. Arah perdagangan eksport dan import Negara disesuaikan dengan kepentingan penguasa
asing.
5. Lebih condong kepada pola pengeluaran pertanian daripada perusahaan.

6. Pengembangan keterampilan teknologi dan ilmu pengetahuan sangat sedikit.
7. Organisasi pengeluaran melibatkan tenaga kerja setengah bebas.
8. Ketiadaan kesatuan sekerja atau organisasi buruh untuk melakukan tindakan pemerasan.
9. Sebahagian besar penduduk peribumi tidak terlibat langsung dengan perusahaan kapitalis.
4 Moshe Yegar (1979), Islam And Islamic Institutions In British Malaya, Jerusalem, h. 187-234.
5 Idris Zakaria, (2003), ”Islam Dan Amalan Toleransi Di Nusantara”, Dalam Jaringan Dakwah Malaysia
Indonesia, Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan, Ukm Dan Universitas Muhammadiyah
Sumatera Utara (Umsu), h. 150-164.
6 Sivachandralingam Sundara Raja (2001), “ Sumbangan Pedagang Negeri (Country Traders) Dalam Penulisan
Sejarah Malaysia”, Dalam (Ed. Oleh Mohammad Redzuan Othman) Jendela Masa; Kumpulan Esei Sempena
Persaraan Dato’ Khoo Kay Kim, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, h. 85-94.
7 Syed Hussein al-Attas, 1991, Mitos Peribumi Malas : Imej Orang Jawa, Melayu Dan Flipina Dalam
Kapitalisme Penjajah, Kuala Lumpur : DBP, h. xii dan xiii).

3

2.2. Perubahan Bentuk Sosio-Politik Dan Ekonomi Masyarakat Tanah Melayu.
Pihak penjajah British melalui medium politik (bertindak sebagai Penasihat Raja-raja
Melayu) telah memperkenalkan pelbagai dasar sosio-ekonomi yang bersifat berat sebelah
yang lebih menguntungkan kepentingan mereka, berbanding dengan kebajikan masyarakat

pribumi Melayu sendiri. Dengan kemasukan buruh asing daripada China dan India bagi
tujuan menjana perkembangan ekonomi kapitalis penjajah British, yang memerah hasil bumi
Tanah Melayu semaksimum mungkin, pihak British telah mengubah bentuk masyarakat yang
sedia ada di Tanah Melayu. Secara jelas beberapa perubahan masyarakat telah timbul, seperti;
1. Dominasi dan ketuanan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu melalui sektor politik,
sosial dan ekonomi telah mula terhakis.
2. Walaupun pihak penjajah British sering mendakwa mereka menjaga kebajikan
masyarakat Melayu, tetapi hal ini tidak berlaku kepada masyarakat Melayu pada
keseluruhannya, kerana mereka lebih bertindak bias hanya kepada golongan elit
Pembesar Melayu semata-mata.
3. Pihak British tidak menyediakan suasana dan kefahaman yang kondusif ke arah
mewujudkan perpaduan dikalangan masyarakat di Tanah Melayu. Sebaliknya mereka
telah meletakkan asas perpecahan di kalangan masyarakat majmuk, sebagai contohnya
menyediakan sistem pendidikan yang berbeza mengikut etnik yang berbeza. Masyarakat
India dan China telah diberikan Kurikulum Pendidikan yang lebih berorientasikan tanah
Besar China dan India, manakala masyarakat Melayu telah diberikan sistem pendidikan
berbentuk kemahiran asas yang terhad bagi menjadikan mereka Petani dan Nelayan yang
lebih baik sedikit berbanding dengan orang tua mereka.
4. Dasar pembahagian masyarakat Tanah Melayu mengikut kawasan dan status pekerjaan
yang berbeza. Kesemua masyarakat awam, terdiri dari masyarakat Melayu, China dan

India digunakan hanya untuk memberikan perkhidmatan kepada kuasa British dan
sesetengah Saudagar China dan Pembesar Melayu yang tinggal di kawasan Bandar.
Kawasan Bandar dan tempat strategik di Tanah Melayu seperti kawasan Lombong,
Ladang Getah dan Pelabuhan Besar telah disediakan kemudahan infrastruktur yang baik,
yang tidak dapat dinikmati oleh kebanyakan penduduk awam biasa.
2.3. Penerapan Fahaman Sekularisme (Fahaman Anti Agama) Di Dalam
Masyarakat Melayu-Islam.
Sejarah telah mencatatkan bagaimana pada peringkat awalnya, kuasa penjajah British di
Alam Melayu telah menjalankan dasar yang tidak campurtangan dalam soal agama dan adat
resam, tetapi secara realitinya hal yang sebaliknya telah berlaku apabila pihak British turut
mencampuri kedua-dua bidang ini dan dalam konteks yang lebih penting lagi pihak British
telah cuba menghapuskan potensi dan mekanisme pengerak yang terdapat di dalam ajaran
Islam. Di dalam usaha mereka mengkaji tentang cara yang terbaik untuk menghapuskan akar
dan asas kekuatan Islam yang selama ini terjalin erat di antara umat Islam di rantau Alam
Melayu, mereka telah mendapat khidmat nasihat dari serangkaian sarjana pentadbir Orientalis
yang bertugas mengkaji kekuatan dan kelemahan umat Melayu dan seterusnya dicadangkan
cara terbaik untuk menangani persoalan ini.8
Dalam konteks Malaysia, beberapa dasar dan pendekatan utama telah dijalankan oleh
penjajah British untuk tujuan penghapusan potensi Islam ini, antaranya; Pertama,
memperkenalkan konsep nation state berasaskan semangat asabiyah sempit kepada sesuatu

8 Rahimin Affandi Abdul Rahim (2005), “Islam Dan Perkembangan Emosi Melayu Selepas Merdeka : Satu
Analisis”, Dalam (Edit) Zahir Ahmad, Emosi Melayu, Kuala Lumpur : Apium, 2005 h. 11-42.

4

negeri dan kawasan yang tertentu menggantikan semangat perpaduan ummah Islam. 9 Dasar
ini merupakan usaha untuk memecah belahkan perpaduan umat Melayu di rantau ini agar
ianya tidak menjadi ancaman kepada kuasa penjajah barat, 10 seperti apa yang pernah berlaku
sebelumnya. Untuk memperjelaskan pendekatan ini, kita boleh merujuk kepada dasar
penjajah British dan Belanda yang begitu bimbangkan peranan Institusi Haji dan Pendidikan
Islam di Timur Tengah, yang dimaklumi bahawa mereka pernah menjadi penggerak utama
kepada jalinan ukhwah Islam di rantau Alam Melayu.
Kedua, penerapan proses sekularisme di dalam masyarakat Melayu dan memperkenalkan
sistem pendidikan barat. Apa yang jelasnya kita boleh melihat bahawa sebab utama
berlakunya jalinan perpaduan ini adalah kerana faktor Islam dan ilmu pengetahuan. Jadi,
dalam soal ini, pihak British secara halus cuba menghapuskan Institusi Pengajian Islam
tradisional berasaskan pengetahuan Islam dan tulisan jawi. 11 Kedua-duanya telah dijadikan
sasaran utama yang ditonjolkan kepada masyarakat Melayu sebagai ketinggalan zaman, tidak
mempunyai nilai-nilai komersil dan menyekat semangat intelektual moden. 12 Sebagai
gantinya, penjajah British telah memperkenalkan sistem persekolahan British berteraskan

pemberian pengetahuan am yang amat terhad dan bersifat perkauman untuk ketiga etnik
kaum yang terdapat di Tanah Melayu. Pihak British telah menerapkan di dalam mata
pelajaran yang diajarkan bahawa mereka sebagai hero, penyelamat kepada orang Melayu dan
ambassador of civilization untuk masyarakat di Alam Melayu.
3. Pondok Dan Batu Bersurat Di Terengganu.
Batu Bersurat Terengganu boleh dianggap sebagai mercu tanda pengamalan Islam
yang syumul dalam masyarakat Melayu. Kita boleh berbangga dengan Batu Bersurat
Terengganu ini kerana ia menunjukkan bagaimana Islam telah menjadi asas jati diri dan
world-view masyarakat Melayu sejak awal lagi. Seperti mana halnya dengan prasasti dan
bukti bertulis Melayu Islam yang lain,13 Batu Bersurat Terengganu merupakan catatan
penganut Islam di Terengganu tentang bagaimana pemahaman dan penghayatan Islam telah
diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui catatan Batu Bersurat Terengganu ini kita dapat mengesan beberapa perkara
yang membabitkan jati diri Islam yang diamalkan di dalam masyarakat Melayu-Islam
Terengganu. Ianya terdiri daripada;14
1. Masyarakat Melayu Terengganu antara golongan terawal memeluk Islam di Alam
Melayu. Hal ini bukannya berlaku secara superficial (luaran semata-mata), tetapi turut
diperkuatkan dengan pelaksanaan Syariah Islam di dalam kehidupan bermasyarakat.
9 Abdul Rahman Embong, (2000), “ Wacana Globalisasi “, Dalam Malaysia Menangani Globalisasi : Peserta
Atau Mangsa, Ukm Bangi, h. 34-43.

10 Rahimin Affandi Abdul Rahim (2003), “ Analisis Sejarah Dakwah Dan Jalinan Intelektual Rantau MalaysiaIndonesia “, Dalam (Edit Oleh Zulkiple Abd. Ghani) Jaringan Dakwah Malaysia-Indonesia, Terbitan Jabatan
Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan, Ukm Dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Bangi,
2003, h. 47-74.
11 Siddiq Fadhil (2001), Ledakan Maklumat, Revolusi Komunikasi Dan Globalisasi : Implikasi Terhadap Jati
Diri “, Dalam Teknologi Maklumat Dan Komunikasi : Harapan, Cabaran Dan Barakah, Insaniah, Alor Setar, h.
6.
12 Muhammad Abu Bakar, (1990) “ Dari Pusat Ke Penggiran : Masa Kini Dan Masa Depan Pondok Di
Malaysia “, Dalam Jurnal Pendidikan Islam, V. 3, Bil 1,h. 10-12.
13 Rahimin Affandi Abd Rahim, (2003) “ Pengamalan Ilmu Usul Al-Fiqh Di Dalam Sastera Undang-Undang
Melayu : Satu Analisa “, dalam (edit oleh Muhammad Mokhtar Hassan) Kesusasteraan dan Undang-undang,
Penerbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, hlm 158-179.
14 Rahimin Affandi Abd Rahim, (2010) Batu Bersurat Di Terengganu : Satu Tafsiran Terhadap Pelaksanaan
Syariah Islam, Jurnal Fiqh, Jabatan Fiqh & Usul, APIUM, hlm 18-45.

5

2. Masyarakat Melayu di Terengganu telah mengamalkan undang-undang Islam secara
holistik dalam aspek Jenayah, Munakahat, Muamalah dan Politik. Intipati hukum Islam
dalam Batu Bersurat ini menunjukkan ia lebih berasaskan world-view Islam sejati dan
bukannya bercirikan world-view feudalisme Melayu seperti mana dikesan dalam Hukum

Kanun Melaka. Dalam Hukum Kanun Melaka syariah Islam terpaksa berkompromi
dengan undang-undang adat Melayu. Bahkan dalam beberapa aspek, undang-undang adat
Melayu warisan Hindu lebih diutamakan pelaksanaannya dalam masyarakat Melayu
Melaka.
3. Semua perkara positif yang biasanya wujud dengan proses kedatangan Islam dapat
dikesan dalam masyarakat Melayu Terengganu. Mengikut catatan Para Sejarawan, di
mana sahaja Islam berkembang pasti akan wujud artifak material dan immaterial
merangkumi Institusi Masjid, Institusi Pendidikan, sistem tulisan, Kitab Agama,
pegangan kepada world-view Tauhid dan budaya penghayatan agama yang kuat di
kalangan anggota masyarakat. Kesemua perkara ini apabila diamalkan secara berterusan
akan membentuk tradisi, suatu elemen yang amat diperlukan dalam kehidupan manusia.
4. Batu Bersurat Terengganu ini menjadi mercu tanda penciptaan tulisan Jawi dalam dunia
intelektual Alam Melayu. Merujuk kepada asal usul penciptaan dan penggunaan tulisan
Jawi dalam masyarakat Melayu, sekali lagi kita terpaksa berterima kasih dengan
sumbangan Ulama Melayu Islam terawal yang telah mengasaskan dan memperkayakan
Bahasa Melayu15 dalam bentuk tulisan Jawi, yang dijadikan sebagai alat untuk
memperkembangkan keilmuan Islam.16 Fenomena yang mengambilkira elemen tempatan
dalam bentuk memilih bahasa tempatan sebagai medium untuk penyebaran ilmu agama
telah dilakukan oleh sarjana Islam di kebanyakan dunia Islam, seperti penciptaan tulisan
Urdu di India dan tulisan Parsi di Iran berteraskan dari segi bentuknya kepada bahasa

Arab dengan sedikit sebanyak pengubahsuaian.17
Mengikut kupasan Wan Mohd Nor Wan Daud, keunggulan Batu Bersurat di
Terengganu ini muncul akibat daripada sistem Pondok Tradisional di Terengganu yang
berjaya menerapkan world-view sejati kepada masyarakat Melayu. Lebih menonjol lagi yang
menuntut kajian lanjutan adalah pengetahuan ilmu astronomi Islam yang berimpak tinggi
turut dikesan dalam Batu Bersurat ini. Berasaskan catatan Bulan Saratain yang terdapat
dalam Batu Bersurat dan dibuktikan memang betul oleh kaedah astronomi moden
mengesahkan bahawa ilmu astronomi memang diketahui oleh sarjana yang membuat Batu
Bersurat ini. Dipercayai bahawa memang terdapat Balai Cerap yang canggih di kawasan
terbabit pada masa dahulu. Hal ini ditegaskan kerana kawasan tamadun Islam lain seperti di
Parsi dan India memang memiliki Balai Cerap canggih yang mendorong mereka mampu
mengeluarkan catatan ilmu astronomi Islam.
4. Pondok Sebagai Pemangkin Budaya Ilmu Di Tanah Melayu.
Sistem pengajian Pondok yang boleh dikatakan sebagai cukup advance untuk zaman dan
keadaan masyarakat tradisi dengan merujuk khusus kepada usaha pembudayaan ilmu.
Dewasa ini, terdapat beberapa orang sarjana yang mengkritik dan bersikap sinikal terhadap
sistem pengajian Pondok yang dikatakan out of date dan tidak mampu berhadapan dengan
15 Maklumat lanjut boleh didapati dalam Amran Kasimin (1987), Perbendaharaan Kata Arab Dalam Bahasa
Melayu, Bangi.
16 Omar Awang (1981), “ The major Arabic sources which determined the structure of Islamic thought in the
Malay Archipelago before the Nineteenth century A.D. in the field of law, theology and sufism “, dalam
Islamika, v. 1, h. 80-85.
17 Omar Awang (1980), “ The Terengganu inscription as the earliest known evidence of the finalisation of the
Jawi alphabet “, dalam Federation Museums Journal, v. 25, h. 55.

6

pemodenan.18 Pendapat ini walaupun boleh dikatakan sebagai separuh betul, tetapi ianya
dibuat dalam bentuk yang tidak memenuhi adab ikhtilaf di dalam Islam. Ini kerana, sistem
pengajian Pondok telah difikir dan dirangka dengan teliti oleh Ulama silam untuk era
zamannya, dan ternyata ianya telah berjaya berfungsi seperti yang diharapkan. Oleh sebab itu
tindakan mengkritik secara sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira faktor masa ini
adalah amat salah.19 Dalam konteks penerapan budaya ilmu, keistimewaan yang dimiliki oleh
sistem Pondok ini adalah;
1) Sistem pengajian yang dibuat secara swasta tanpa kongkongan dan kekangan polisi
daripada pihak pemerintah. Keadaan ini menyebabkan seseorang Ulama itu dapat
bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda
dan kepentingan tertentu.20 Lebih tepat lagi, Ulama Pondok dalam era tradisi telah
bertindak selaku agen perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif dan
proaktif dengan isu semasa yang timbul di dalam masyarakat.
2) Sistem pengajian yang berorientasikan perkaitan antara teori dan praktikal, yang
menekankan pemupukan budaya ilmu bagi menjadikan seseorang pelajar;
a) Mendapat sebanyak mungkin ilmu untuk mencapai keredaan Allah.
b) Bertindak mengikut perkiraan ilmunya, menyebarkannya ke dalam masyarakat dan
berfungsi sebagai pemimpin masyarakat.
c) Menjadikan matlamat pencarian ilmu bukan untuk tujuan kebendaan (makan gaji)
tetapi untuk mencapai keredaan Allah dan nikmat pengetahuan.
d) Menjadikan pelajar sebagai seorang yang mampu berdikari tanpa bergantung kepada
orang lain. Untuk tujuan ini, mereka akan dibekalkan dengan segala bentuk keilmuan
Islam dan kemahiran hidup yang amat diperlukan.
e) Menekankan persoalan akhlak dan disiplin Islam melebihi segala-galanya.
3) Sistem pengajian yang bersifat terbuka yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja
untuk mengikutinya tanpa mengira latar belakang, keturunan dan faktor umur. Apa yang
boleh dibanggakan adalah melalui pendekatan ini secara tidak langsung ianya telah pun
mengamalkan konsep pendemokrasian pendidikan berasaskan penekanan kepada
kepentingan ilmu dalam kehidupan seseorang Islam, ilmu adalah milik bersama dan
setiap individu berhak diberi peluang untuk mendapatkan ilmu.
Institusi Pondok tradisi ternyata mampu menerapkan beberapa bentuk kemahiran insaniah
(suatu bentuk kemahiran yang cukup ketara dibincangkan dalam sistem pendidikan semasa)
dengan cukup sempurna kepada graduannya. Sebagai contohnya, Institusi Pondok silam telah
mampu menerapkan elemen Kemahiran Berkomunikasi, Pemikiran Kritis dan Menyelesaikan
Masalah dan Etika dan Moral Professionalisme kepada lulusannya. Dalam sistem pengajian
pondok, soal ilmu, amal (akhlak) dan disiplin amat dititikberatkan mengatasi soal lain. Untuk
jangka masa panjang, ia terbukti mampu melahirkan Ulama dan individu Melayu yang celek
agama dan mampu menyelesaikan masalah yang timbul dalam kehidupan peribadi dan
bermasyarakat mengikut persepktif Islam.21
Kita dapat menyaksikan bagaimana usaha mulia ini akan mengambil masa yang panjang
dan ianya tidak dianggap sebagai masalah oleh pelajar Pondok. Mereka menyedari tentang
18 Rahimin Affandi Abd. Rahim, (1995), “ Budaya Taqlid Di Dalam Masyarakat Melayu : Suatu Tinjauan
Ringkas “, Dalam Jurnal Syariah, V. 3, Bil. 1 h. 30-31.
19 Shafie Abu Bakar, (1994), “ Keilmuan Islam Dan Tradisi Pengajian Pondok “, Dalam Budi Kencana, Kuala
Lumpur : DBP, h. 93-94.
20 Rahimin Affandi Abd. Rahim, (1994) “ Hubungan Antara Ulama Dan Pemerintah Di Dalam Sejarah
Tamadun Umat Islam “, Dalam Jurnal Pengajian Melayu, V. 4.
21 Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam Dan Pengaruhnya Di Malaysia, Kuala Lumpur : DBP, h. 202-204.

7

kepentingan konsep Rehlah Ilmiah22 (termasuk beberapa ciri budaya ilmu: sentiasa ingin
belajar, bertindak mengikut perkiraan ilmu dan menyambung pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi). Konsep ini menuntut supaya pelajar sentiasa berusaha keras di dalam menuntut
ilmu di pelbagai tempat yang berbeza, bukan setakat untuk menimba ilmu bahkan
pengalaman (seperti menyaksikan sosiologi masyarakat yang berbeza). Hasilnya, pengamalan
konsep ini akan melahirkan Ulama Islam yang mantap dari segi ilmu, akhlak dan pengalaman
hidup yang kemudiannya mengikut epistemologi Islam bakal melahirkan hikmah
(kebijaksanaan).
Bagi tujuan penyebaran ilmu Islam tidak dapat tidak seseorang pelajar Pondok perlu
menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu dan Arab yang memang menjadi bahasa
pengantar keilmuan Islam dan Lingua Franca pada masa tersebut. Hal ini terbukti dengan
timbulnya konsep Serambi Mekah di kawasan Alam Melayu yang menjadi tempat
persinggahan (pusat yang menyediakan Kursus Persediaan Pelajar) bagi mana-mana pelajar
Alam Melayu yang melanjutkan pengajian mereka ke Mekah. Antara beberapa tempat yang
dimaksudkan ialah Kelantan, Terengganu, Pattani, Kedah dan Acheh.23
Institusi Pondok juga telah menjadi penyumbang kepada faktor ekonomi dan asas
keusahawanan. Dalam konteks latihan keusahawanan, apa yang menariknya, pelajar Pondok
telah mempelajarinya secara langsung daripada pengamalan budaya hidup berdikari yang
diamalkan oleh Guru Pondok. Guru pondok rata-ratanya boleh dikatakan sebagai usahawan
yang berjaya sehingga dapat menarik minat masyarakat Melayu pada masa itu, seperti mana
halnya Mubaligh awal yang mengembangkan ajaran Islam di Alam Melayu yang terdiri
daripada Saudagar Besar. Hasilnya, mereka sangat disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu
yang mendorong proses penyebaran Islam dapat berjalan dengan lancar tanpa berlakunya
pertumpahan darah. Guru Pondok terlibat dalam pelbagai aktiviti keusahawanan seperti
penternakan (Lembu, Kambing dan Ikan), pertanian (Padi, Tanaman Kontang, Getah, Buahbuahan dan Sayuran), pengilangan Padi dan Balak, Kedai Runcit, orang tengah untuk
penjualan tanah dan getah serta agen haji.
Apa yang diusahakan oleh guru Pondok ini telah ditiru oleh pelajar mereka secara
langsung sehingga ianya mampu melahirkan beberapa orang usahawan lulusan Pondok yang
berjaya. Sikap berdikari ini kemudiannya telah mula berubah apabila pihak British
memperkenalkan Sistem Pendidikan Barat di Tanah Melayu yang mewujudkan sindrom
makan gaji di kalangan masyarakat Melayu.24 Apa yang diperkenalkan oleh pihak British ini
bertentangan sama sekali dengan budaya keusahawanan dan hidup berdikari yang diterapkan
dalam sistem Pondok, berpaksikan kepada prinsip Tauhid (hanya Allah yang menentukan
hidup dan rezeki makhluk tanpa perlu bergantung harap kepada makhluk) dan hadis
Rasulullah tentang 90 peratus daripada sumber rezeki bersumberkan kepada perniagaan. Atas
dasar inilah kita dapat melihat bagaimana Institusi Pondok berbentuk swasta (bebas) tanpa
kongkongan dan kekangan polisi dari pihak pemerintah. Keadaan ini menyebabkan seseorang
Ulama itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang
mempunyai agenda dan kepentingan tertentu. Lebih tepat lagi, Ulama Pondok dalam era
tradisi telah bertindak selaku agen perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif
dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di dalam masyarakat.25
22 Azyumardi Azra (1998), Esei-Esei Intelektual Muslim Dan Pendidikan Islam, Jakarta : LOGOS, h. 89-90.
23Rahimin Affandi Abd. Rahim (2003), “ Analisis Sejarah Dakwah dan Jalinan Intelektuaal Rantau MalaysiaIndonesia “, dalam (edit oleh Zulkiple Abd. Ghani) Jaringan Dakwah Malaysia-Indonesia, Terbitan Jabatan
Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Bangi, h.
47-74.
24 Abdul Rahman Aziz (1996), “ Nilai Pekerjaan Orang Melayu “, dalam (ed. Oleh Ahmad Fawzi Basri) Nilai
Orang Melayu, Sintok : UUM, h. 213-218.
25 Syukri Ahmad (2000), “ Implikasi Pengaruh Ulama Terhadap Halatuju Perubahan Pemikiran Politik
Masyarakat Islam Wilayah Utara Semenanjong Malaysia Dari Tahun 1950an Hingga 1990an”, dalam Jurnal

8

Aura kehebatan dan pengaruh pengembangan ekonomi yang dijana oleh Institusi
Pondok boleh dilihat daripada fakta sejarah pengembangan ekonomi masyarakat Melayu
silam. Mengikut analisa Muhammad Abu Bakar, sesuatu penempatan Pondok yang biasanya
berpusat di kawasan pedalaman dengan sebab hubungan yang rapat di antara masyarakat
awam sekitar dengan warga Pondok kemudiannya telah menambah aktifkan kegiatan sosial
dan ekonomi serta melahirkan beberapa penempatan kampung yang baru.26 Fenomena ini
boleh dilihat contohnya dengan fakta kelahiran dan kemasyhuran kawasan baru di Kelantan
yang dikaitkan dengan Ulama tempatan yang ada di tempat tersebut. Antaranya kawasan
pekan Melor, Pasir Mas, Kubang Kerian (Tuk Kenali), Kota Bharu, Machang (Tuk
Kemuning), Bachok (Tuk Bachok) dan sebagainya. Jalinan hubungan kemasyarakatan ini
telah menjadikan pondok tersebut sebagai tempat rujukan utama kepada anggota masyarakat.
Dengan cara ini secara tidak langsung Institusi Pondok telah menjadi pembimbing utama
kegiatan masyarakat ke arah nilai-nilai Islam dan menjadi penapis dan kubu untuk menangkis
serangan idea pemodenan berteraskan sekularisme yang dibawa oleh penjajah barat.27
5. Pondok Sebagai Pemangkin Nasionalisme Melayu Awal
Suatu hal yang agak menarik dikaji adalah wujudnya gabungan antara Ulama Pondok
dan Umara yang cukup kuat dalam pentadbiran negeri Terengganu. Ini terbukti apabila
Ulama memainkan peranan aktif dalam pentadbiran negeri sehingga sekarang. Di zaman
Terengganu silam ini, peranan Ulama bukan setakat mengasaskan tetapi terlibat secara
maksimum dalam pentadbiran Negara. Kita dapat mengetahui bagaimana Ulama Terengganu
terlibat sebagai penasihat dan meletakkan batu asas kepada perlembagaan negeri. Ianya juga
menjadi bukti bagaimana Ulama Terengganu bertindak sebagai agen yang menjana dan
mencetuskan semangat nasionalisme awal.
Proses Islamisasi Alam Melayu ternyata memberikan impak yang cukup besar dalam
segenap aspek kehidupan masyarakat. Hal ini berbeza dengan proses Indianisasi sebelumnya
yang meninggalkan impak yang agak sederhana khusus terhadap golongan Bangsawan dan
Raja-raja Melayu. Untuk konteks negeri Terengganu, pengaruh Islamisasi telah mewujudkan
kerajaan Islam yang agak holistik dalam sudut pelaksanaan ajaran Islam. Ianya dibuktikan
dengan dua tanda besar iaitu Batu Bersurat dan Perlembagaan Itqan Muluk (bermaksud
kesungguhan Raja menyempurnakan perjalanan pemerintahan yang adil).
Perlembagaan Itqan Muluk ini digubal oleh Ulama-Umara’ dalam 53 fasal yang
mengandungi antara lainnya memiliki beberapa intipati utama;28
1. Meletakkan asas bahawa negeri Terengganu adalah sebuah negeri Islam yang berdaulat.
2. Mempertahankan dan menentukan kedudukan Raja dalam negeri. Ia terdiri daripada (a)
perlantikan Raja dan tanggungjawabnya (fasal 2: maka hendaklah raja yang memerintah
kerajaan Terengganu selama-lamanya dia beragama Islam dan daripada bangsa Melayu
dan darah daging keturunan sultan-sultan yang memerintah kerajaan Terengganu dan lakilaki sebagaimana tertib dan syarat-syarat yang tersebut pada fasal 3, 4 dan 5.) (b)
kebajikan Raja dan kerabat keturunannya.
3. Mengasas dan menyusun atur pemerintahan negeri Islam moden. Ia terdiri daripada (a)
bentuk, struktur dan pengendalian pemerintahan negeri dan (b) pentadbiran undangundang.
Usuluddin, bil. 14, h. 19-28.
26 Muhammad Abu Bakar (1990), “ Dari Pusat Ke Penggiran : Masa Kini Dan Masa Depan Pondok Di
Malaysia”, Dalam Jurnal Pendidikan Islam, v. 3, bil 1, h. 1-4.
27 Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam Dan Pengaruhnya Di Malaysia, Kuala Lumpur : DBP, h. 230-235.
28 Mohd Nazri Chik (2006) Perlembagaan Itqan Muluk Bi Ta’dil Al-Suluk 1911ditinjau Dari Aspek Latar
Belakang Dan Pengaruhnya Kepada Pelaksanaan Undang-Undang Islam Di Terengganu, tesis sarjana untuk
APIUM, h. 62-72.

9

4. Menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintahan negeri.
Ulama Pondok di Terengganu, khususnya Tokku Paloh yang terlibat dalam
menggubal Kitab Itqan Muluk secara langsung bertindak sebagai intelektual ummah yang
mengamalkan pendekatan futuristik bagi menghadapi asakan penjajahan British di
Terengganu. Beliau telah melihat bagaimana penjajah British dengan taktik tipu muslihat
telah berjaya memaksa Raja Melayu menerima campurtangan British di Tanah Melayu.
Hasilnya, beliau telah memasukkan suatu peruntukan khusus dalam Kitab Itqan Muluk bagi
menghalang Raja Melayu menerima kuasa penjajah British untuk campurtangan di
Terengganu.
Merujuk khusus kepada Kitab Itqan Muluk, peranan Ulama Melayu Terengganu silam
terserlah dalam beberapa perkara;
Pertama, sebagai penjana yang menerapkan world-view Islam dalam masyarakat
Melayu amnya dan Perlembagaan Itqan Muluk khususnya. Hasil penelitian yang dibuat oleh
Prof. Hashim Musa terhadap tipologi sejarah tamadun Alam Melayu, mendapati pembinaan
tamadun Melayu ini telah diasaskan dengan enam pandangan world-view yang bersumberkan
wahyu Allah. Keenam-enam pandangan ini telah menjadi pegangan utama masyarakat
Melayu (konsep jati diri Melayu), termasuklah ianya menjadi intipati terpenting dalam
Perlembagaan Itqan Muluk. World-view ini;29
1) Alam ini hasil ciptaan dan tabdiran Allah yang mencakupi alam primordial (arwah), alam
dunia dan alam akhirat. Alam akhirat adalah destinasi dan natijah muktamad dari
kehidupan di alam dunia. Kejayaan hakiki di alam akhirat adalah dapat memasuki syurga
dan kejayaan di alam dunia adalah ketaatan kepada Allah.
2) Islam adalah panduan dari Allah sebagai al-Din yang mengandungi segala peraturan bagi
segala gelagat hidup di dunia untuk individu dan masyarakat demi untuk kejayaan hakiki
mereka.
3) Keyakinan kepada pembalasan yang baik bagi amalan yang baik dan sebaliknya
pembalasan yang buruk untuk amalan yang buruk.
4) Wawasan, misi, objektif, niat, strategi dan operasi segala bidang kerja hendaklah salih,
benar dan mematuhi segala aspek hukum Islam tanpa kompromi, manipulasi dan tolak
ansur.
5) Nilai tertinggi dikaitkan dengan segala perkara yang membantu pembentukan insan yang
beriman, beramal salih dan berakhlak mulia yang manfaatnya dapat dinikmati sama oleh
orang lain.
6) Kehidupan pertengahan dan seimbang antara jasmani, akali dan rohani berasaskan kepada
ilmu pengetahuan dalam bentuk fardhu Ain dan fardhu Kifayah.
Unsur world-view Islam ini dapat dilihat dalam Fasal 52 Perlembagaan Itqan Muluk yang
secara jelas menerangkan;
“Sesungguhnya telah disifatkan dan ditetapkan selama-lamanya kerajaan Terengganu ini
kerajaan Islamiyyah Melayuwiyyah, ialah yang dikatakan ugama negeri dan kerajaan maka
tiadalah boleh sekali-kali sebarang ugama lain dijadikan atau disebut ugama negeri,
sekalipun banyak segala bangsa dan ugama diamankan dan dibenarkan masuk diam di
dalam negeri dan jajahan Terengganu.”

29 Hashim Musa (2001), Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam : Ke Arah Pembinaan Sebuah Tamadun Dunia
Alaf Ketiga, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, h. 48-49.

10

Maksud ugama di dalam kenyataan ini adalah bersesuaian dengan maksud Islam sebagai
al-Din (way of life) dan bukannya mengikut perspektif sekular barat, yang menghadkan
fahaman ugama kepada amalan ritual semata-mata.
Pemilihan Islam sebagai asas jati diri ini ternyata menguntungkan masyarakat Melayu
kerana seperti mana berlaku kepada masyarakat Arab, Islam juga telah mengangkat martabat
tamadun Melayu ke persada antarabangsa.30 Proses ini telah menimbulkan semangat
perpaduan (internationalism) di kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka di dalam
kerangka Tauhid, Ummah dan ukhuwwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan
sejarah Alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh
dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi.31
Kedua, tokoh yang menerapkan pengaruh Sains Politik Islam dalam Kitab Itqan
Muluk. Hal ini boleh dirujuk kepada beberapa perkara utama, (a) prinsip Ahl Hall Wal Aqd
(fasal 1), (b) syarat seorang pemimpin dan cara pemecatan seandainya berlaku kepincangan
(fasal 5), (c) supremasi hukum Islam (hingga boleh pecat Menteri yang berdosa) (fasal 7, 37
dan 9), (d) konsep Syura, (e) masalah kecacatan tugas Raja (fasal 11,12 dan 14), (f) konsep
Bay'ah (fasal 25), (g) mengakui hak golongan bukan Islam (fasal 39) dan (h) teras terpenting
Perlembagaan Itqan Muluk yang pastikan kedaulatan Islam tidak dicabar (fasal 51).
Ketiga, Ulama bertindak sebagai pemikir dan penyelesai masalah ummah - ancaman
campur tangan penjajah British di Terengganu (kerana Ulama memang mengikuti
perkembangan politik yang berlaku di negeri Melayu lain). Dalam soal ini, mereka telah
mengamalkan kaedah pemikiran strategik bagi menghadapi campur tangan penjajah British
yang bakal mendesak dan mempengaruhi Sultan Melayu. Hal ini dirujuk kepada usaha
mengekang campurtangan British dan mengekalkan kedaulatan negeri sebagai sebuah negeri
Islam. Usaha untuk mengekang campurtangan kuasa British ini boleh dilihat dalam fasal 14
Perlembagaan Itqan Muluk menetapkan;
“Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-kali Raja membuat perjanjian atau ikhtiar
melepas atau menyerahkan negeri dan kerajaannya itu atau suatu bahagian daripada
kuasa kerajaan atau Huquqnya itu kepada sebarang mana-mana kerajaan atau kepada
kuasa-kuasa bangsa Eropah atau lainnya. Maka jikalau raja cuba lalui larangan dan
tegahan ini nescaya disifatkanlah akan dia memecahkan amanah yang diletakkan
atasnya serta tiada sah perbuatan yang demikian itu. Maka tatkala itu tiadalah
diwajibkan di atas ahli-ahli kerajaan dan segala rakyat bersetia lagi dengan dia
haruslah diturunkan dia daripada taktha kerajaannya dan diangkatkan gantinya pula.”
Fasal 14 ini secara terang-terangan menetapkan bahawa tidak sah Raja yang
menerima persekutuan dengan kuasa kafir luar. Hal ini ternyata betul kerana fasal 14 ini telah
menyulitkan tugas Harold Mac Michael memujuk Sultan Terengganu untuk menandatangani
persetujuan penubuhan Malayan Union yang membawa erti penyerahan kuasa negeri kepada
penjajah British.32
Secara langsung kita dapat mengesan beberapa intipati nasionalisme Melayu-Islam
yang terkandung di dalam Perlembagaan Itqan Muluk. Ianya terdiri daripada;
1. Semangat sayangkan tanah air sangat diperlukan kerana tanah air merupakan tapak utama
untuk dilaksanakan pengabdian kepada perintah Allah. Hal ini jelas boleh difahami
dengan pengisytiharan Terengganu sebagai negeri bangsa Melayu yang berpegang pada
30 Ibid, h. 50.
31 Rahimin Affandi Abd Rahim (2000)“ Kebudayaan Melayu Dan Islam Di Nusantara : Satu Analisa
Pengkaedahan “, dalam Seminar Hukum Islam Semasa 111 Peringkat Kebangsaan 2000, Anjuran Jabatan Fiqh
dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, pada 7-8hb. November 2000, h. 18-19.
32 Zainal Abiding Abdul Wahid (1992), “Penubuhan Kongres Melayu Se-Malaya Dan Kelahiran UMNO”
Dalam Zainal Abiding Abdul Wahid Et.Al, Malaysia : Warisan Dan Perkembangan, Kuala Lumpur : DBP, h.
193-195.

11

prinsip Islam. Dalam soal ini ketinggian syiar dan syariah Islam menjadi prioriti utama
kerajaan Islam di Terengganu.
2. Berusaha memastikan tanah air diperintah dengan peraturan yang betul. Ianya juga
berusaha memastikan agar penyelewengan pemerintah dan kezaliman tidak berlaku dalam
pemerintahan negeri. Atas dasar Perlembagaan Itqan Muluk meletakkan asas yang
menyusun atur pemerintahan negeri Islam moden. Ia terdiri daripada (a) bentuk, struktur
dan pengendalian pemerintahan negeri dan (b) pentadbiran undang-undang.
3. Menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintahan negeri. Hal ini boleh
dirujuk kepada beberapa perkara utama, (a) prinsip Ahl Hall Wal Aqd (fasal 1), (b) syarat
seorang pemimpin dan cara pemecatan seandainya berlaku kepincangan (fasal 5), (c)
supremasi hukum Islam (hingga boleh pecat Menteri yang berdosa) (fasal 7, 37 dan 9),
(d) konsep Syura, (e) masalah kecacatan tugas Raja (fasal 11,12 dan 14), (f) konsep
Bay'ah (fasal 25), (g) mengakui hak golongan bukan Islam (fasal 39) dan (h) teras
terpenting Perlembagaan Itqan Muluk yang memastikan kedaulatan Islam tidak dicabar
(fasal 51).
4. Berusaha menjaga kebajikan kerabat diraja Terengganu kerana mereka ahli kepada
pemerintah Terengganu;
5. Menetapkan konsep ketuanan Melayu berasaskan neraca Islam. Namun begitu, ianya
bukan bersifat eksklusif untuk bangsa Melayu Terengganu semata-mata tetapi terbuka
kepada bangsa Islam yang lain (buktinya bangsa bukan Melayu yang memeluk Islam
akan dianggap sebagai saudara sendiri oleh orang Melayu).
6. Kedaulatan dan kemerdekaan Terengganu wajib dikekalkan daripada dijajah oleh kuasa
asing.
Kesemua intipati ini menjadi bukti bagaimana Perlembagaan Itqan Muluk bukan
setakat cuba mengekalkan survival Melayu, bahkan turut mengandungi elemen nasionalisme
yang tidak bertentangan dengan nilai Islam. Terpenting lagi, dalam Perlembagaan Itqan
Muluk ini dimaktubkan bahawa "negeri Terenganu sebagai negeri Islam Melayuwiyyah"
secara jelas menerangkan nisbah nasionalisme Melayu-Islam. Ianya merupakan gabungan
Ulama dan Umara dalam mewujudkan kesedaran kebangsaan di Terengganu. Ia sebagai
respon kepada ancaman campurtangan penjajah British di Terengganu. Mereka bertindak
sebagai intelektual yang memerhati permasalahan zamannya dan berusaha mengemukakan
jalan penyelesaian masalah dan cuba menghalang kemungkinan berlakunya campur tangan
British diTerengganu.33
Sarjana Melayu yang terlibat dalam menyusun Perlembagaan Itqan Muluk secara
langsung bertindak di atas kesedaran nasionalisme Melayu. Mereka mengamalkan kaedah
pemikiran aktif dan proaktif serta strategik dalam menghadapi masalah di zamannya. Mereka
bukan sahaja mengamalkan pendekatan pemikiran reaktif, tetapi telah dapat meramalkan apa
yang bakal terjadi (pihak sultan akan akur untuk tunduk dan bernaung di bawah naungan
British) dan menyediakan pelan untuk mengatasi hal ini daripada berlaku. Contohnya perkara
dalam Perlembagaan Itqan Muluk yang menetapkan Bahawa Terengganu Ini Negeri
Melayuwiyyah hal ini terbukti apabila wakil British sendiri mengakui bahawa kerana perkara
ini yang menyebabkan British berhadapan dengan masalah mendapatkan persetujuan raja
Terengganu
untuk
bernaung
di
bawah
gagasan
Malayan
Union.

Kesimpulan
33 Zainal Abiding Abdul Wahid (1992), “Penubuhan Kongres Melayu Se-Malaya Dan Kelahiran UMNO”
Dalam Zainal Abiding Abdul Wahid Et.Al, Malaysia : Warisan Dan Perkembangan, Kuala Lumpur : DBP, h.
193-195.

12

Sebagai rumusan akhir, memang terbukti bahawa proses pembinaan tamadun Islam
Melayu sebenarnya dibangunkan oleh masyarakat Melayu sendiri dan bukannya memerlukan
bantuan kuasa penjajah British. Lebih menarik lagi, proses ini telah dilakukan oleh Ulama
Pondok yang sering ditohmah sebagai traditionalis yang kononnya ketinggalan zaman. Apa
yang lebih penting lagi, peranan Ulama Pondok ini perlu dilakukan kajian lanjutan lagi oleh
sarjana lain, sehingga kita dapat memperkukuhkan teori peranan Ulama Pondok Melayu ini
mengatasi teori yang terlalu mengangungkan peranan penjajah British.