ANALISA KEKUATAN KELEMAHAN PENDIDIKAN KE

ANALISA KEKUATAN & KELEMAHAN PENDIDIKAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN
(KAFA) DI SEKOLAH-SEKOLAH ZON PUSA, SARAWAK
Hafizul Rasdi, Abdul Razak Abdul Kadir, Mohd Ali Jainneh & Nor Azura Narawi
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia
hafiz_alhakim@yahoo.com, abdurak1@sarawak.uitm.edu.my, albantayani@ymail.com,
azuranarawi@yahoo.com
Keywords:
Kekuatan, Kelemahan, Pendidikan, Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain, KAFA, Sarawak
Abstrak
Pendidikan Kelas Al-Quran & Fardhu Ain (KAFA) merupakan program pengukuhan Pendidikan Islam
kepada pelajar sekolah rendah dan mula dijalankan di Malaysia sejak tahun 1990. Justeru dengan
terlaksananya KAFA, subjek Pendidikan Islam sedia ada mampu dimantapkan dan diperkasa. Tujuan utama
KAFA adalah untuk memastikan kemahiran membaca Al-Quran serta pemahaman asas-asas Fardhu Ain
dapat dikuasai oleh pelajar. Kajian terhadap kekuatan dan kelemahan pendidikan KAFA ini perlu dijalankan
bagi memastikan objektif penubuhannya tercapai. Persoalan kajian adalah untuk mengkaji apakah kekuatan
dan kelemahan Pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) Di Sekolah-Sekolah Zon Pusa,
Sarawak?. Bagi melihat kekuatan dan kelemahan tersebut, penulis memilih untuk menggunakan metodologi
kajian perpustakaan dan fokus perbincangan berkumpulan (Focus Group Discussion) bersama 40 orang guru
KAFA di sekolah-sekolah Zon Pusa sebagai responden. Dapatan kajian ini adalah untuk melihat tiga aspek
kekuatan dan kelemahan melalui analisa SWOT iaitu dari sudut latihan guru, bahan bantu mengajar dan

kerjasama pihak sekolah.
PENGENALAN
Pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) merupakan salah satu usaha pihak Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia
memperkukuh mata pelajaran Pendidikan Islam di kalangan pelajar sekolah rendah. Pendidikan KAFA juga
memfokuskan berkenaan kemahiran membaca al-Quran agar para pelajar tidak buta al-Quran serta
memperkukuh asas pengetahuan Fardhu Ain

di kalangan pelajar. Kelas KAFA ini juga sudah lama

dilaksanakan di Malaysia bermula 1990. Ia masih berjalan hingga ke hari ini dan sudah melebihi 25 tahun.
Namun, tidak banyak kajian dijalankan berkenaan dengan pendidikan KAFA khusunya dari sudut kekuatan

dan kelemahan. Kajian berkenaan pendidikan ini penting dilakukan bagi menilai apakah kekuatan yang ada
dan perlu ditambahbaik dan apakah kekurangan yang wujud dan perlu diselesaikan. Pendidikan KAFA
adalah Pendidikan Islam yang mana ia bukan sahaja perlu dipelajari dari sudut teori, bahkan juga merupakan
amalan dalam kehidupan sehari-hari seorang muslim. Ini justeru memperkukuh bahawa proses pengajaran
dan pembelajaran Pendidikan Islam perlu sentiasa dikaji dari semasa ke semasa agar ia dilaksanakan
menepati kehendak zaman.
Konferensi Antarabangsa pertama mengenai Pendidikan Islam yang diadakan di Mekkah pada tahun

1977 telah membuat kesimpulan bahawa objektif utama Pendidikan Islam adalah untuk mencapai
keperibadian manusia yang seimbang dan menyeluruh melalui latihan jiwa, intelek, diri yang rasional,
perasaan dan panca indera. Oleh sebab itu, pendidikan perlulah mencakupi seluruh aspek iaitu spiritual,
intelek, imajinasi, fizikal, ilmu, bahasa dan juga perlu mendorong diri manusia ke arah kebaikan dan
kesempurnaan. Tujuan akhir daripada Pendidikan Islam adalah menjadikan seseorang muslim tunduk kepada
Allah SWT baik secara peribadi, komuniti dan juga seluruh umat manusia (Azyumardi Azra, 2014).
Kementerian Pendidikan Malaysia menggariskan Falsafah Pendidikan Islam sebagaimana berbunyi,
“Pendidikan Islam merupakan satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan
penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan
kemahiran hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri,
masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di
akhirat”, (Ahmad Mohd Salleh, 2011). Falsafah Pendidikan KAFA juga bertepatan dengan Falsafah
Pendidikan Islam yang mana Falsafah Pendidikan KAFA menggariskan bahawa, “Pengajian Al-Quran Dan
Fardhu Ain adalah satu usaha berterusan untuk mendidik dan membentuk pelajar-pelajar Islam ke arah
memperkembang fitrah individu (Insan) selaras dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah. Usaha ini
bertujuan untuk melahirkan manusia yang terdidik dengan didikan Al-Quran dan As-Sunnah yang kuat iman
dan amalannya kepada Allah serta menghayati akhlak dan cara hidup Islam”, (Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia, 2011).
Dari segi konsep, Pendidikan KAFA berkonsepkan pengukuhan Pendidikan Islam. Pendidikan Islam
menurut Ahmad Mohd Salleh (2011) bermatlamat untuk melahirkan muslim yang berilmu, beriman,

berketrampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia sesuai dengan al-Quran dan as-Sunnah agar menjadi
hamba serta khalifah yang bertakwa seterusnya bermanfaat buat pembangunan tamadun bangsa dan negara.
Oleh itu, bersesuaian dengan konsep pendidikan KAFA ini, penekanan diberikan kepada kemahiran
membaca al-Quran serta asas-asas Fardhu Ain. Apa yang dipelajari dalam pendidikan KAFA berguna untuk
mencapai falsafah pendidikan itu sendiri. Menurut Wan Bakar (1991), unsur yang terkandung dalam falsafah
pendidikan adalah pendidikan seumur hidup, membangunkan seluruh potensi modal insan dari aspek
rohani,akal, emosi dan jasmani, membentuk insan soleh yang taat kepada Tuhan, membentuk insan menjadi
khalifah di muka bumi dan hamba kepada Allah serta menjadikan ilmu dan amal lebih bersepadu demi
mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Ini menjadikan falsafah, konsep dan matlamat Pendidikan Islam

dan Pendidikan KAFA saling menyokong dan memperkasa antara satu sama lain. Justeru, usaha pihak
JAKIM dalam penubuhan KAFA ini perlu disokong oleh semua pihak demi membangunkan modal insan
umat Islam yang akan mencorak masa depan negara dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat.
Dasar-dasar Pendidikan Islam secara prinsipnya merupakan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda
Rasulullah SAW. Rujukan utama dalam perkembangan Pendidikan Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah. AlQuran menekankan prinsip paling utama dalam pendidikan iaitu penghormatan kepada akal, bimbingan ilmu,
sesuai dengan fitrah manusia serta menyempurnakan keperluan sosial (Hasan Langgulung, 1980). Justeru
para guru yang mengajar kelas KAFA perlu memahami dan mendalami falsafah, matlamat, konsep dan juga
dasar-dasar serta intipati Pendidikan Islam itu sendiri agar melahirkan para pelajar sesuai dengan acuan yang
hendak dicapai melalui penubuhan KAFA. Guru KAFA selaku pelaksana perlu dan menjadi kewajipan buat
mereka memantapkan ilmu pengetahun mengenai isi pelajaran, beramal dengan ilmu, menyiapkan diri

dengan teori, psikologi, amali serta ilmu pendidikan agar mereka mudah melaksanakan tugas mereka selaku
penyampai ilmu. Untuk itu, menjadi tanggungjawab sebagai seorang guru KAFA melengkapkan diri dan
sentiasa mendalami ilmu keguruan dari semasa ke semasa.
PERBINCANGAN
1. Latihan Guru
Pada dasarnya, seorang guru perlu mengetahui ilmu pedagogi pendidikan, psikologi pendidikan dan
paling penting ilmu mengenai apa yang diajarkannya. Pendidikan menurut Kamus Dewan (1998) membawa
maksud perihal mendidik, menjaga, melatih dan mengajar. Pedagogi Pendidikan penting kerana ia berkisar
mengenai kaedah dan cara mengajar ataupun mendidik. Oleh sebab itu, seorang guru perlu tahu kaedah
mengajar ataupun mendidik sebelum menjadi guru. Psikologi pula penting kerana ia merupakan cabang ilmu
psikologi yang memberi penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam ruang lingkup pendidikan
(Santrock, 2001). Ia berkisar mengenai bagaimana teori-teori psikologi dapat diaplikasi dalam bilik darjah
(Borich dan Tombari,1997). Ini bermakna, pengetahuan psikologi di kalangan guru akan membantu mereka
mengawal pelajar dan mengawal suasana bilik darjah agar pembelajaran dapat dijalankan dengan baik.
Untuk menyampaikan isi pelajar memerlukan guru KAFA memiliki ilmu yang mantap dalam bidang
tersebut. Pendidikan KAFA adalah proses mengajar Pendidikan Islam, maka para guru perlu memperlengkap
diri dengan ilmu Pendidikan Islam yang betul dan mencukupi sebelum mengajar ilmu tersebut kepada anak
didik. Oleh sebab itu, latihan keguruan amat penting buat semua guru KAFA dan perlu dilakukan dari
semasa ke semasa sebagai panduan buat mereka dalam pengajaran KAFA.
Untuk mengetahui mengenai aspek Latihan Guru, penulis telah mengadakan Fokus Perbincangan

Kumpulan (Focus Group Discussion) kepada 40 orang guru KAFA di sekolah-sekolah Zon Pusa, Sarawak
pada 23 Mei 2013 bertempat di Dewan SJKC Chung Hua Meludam. Antara sekolah-sekolah yang terlibat
adalah :
a) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Meludam,
b) Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam,

c) Sekolah Kebangsaan (SK) Semarang,
d) Sekolah Kebangsaan (SK) Spinang,
e) Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin,
f) Sekolah Kebangsaan (SK) Kalok, dan
g) Sekolah Kebangsaan (SK) Pusa.
Hasil daripada Fokus Perbincangan Kumpulan ini, penulis mendapati kelemahan yang wujud adalah
kebanyakan Guru KAFA kurang diberi latihan oleh pihak Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong
dan juga pihak JAKIM. Kebanyakan guru-guru KAFA mengakui bahawa mereka masih kurang mahir dalam
menguasai ilmu pedagogi pendidikan. Mereka hanya menggunakan kaedah menulis di papan hitam dan
memberi penerangan sahaja. Ini disebabkan di awal pelantikan sebagai Guru KAFA mereka tidak diberi
latihan yang mencukupi untuk menguasai ilmu psikologi dan pedagogi pendidikan. Mereka hanya diberikan
kursus dalam tempoh waktu yang singkat sahaja. Ini tidak memungkinkan mereka untuk menguasai apa yang
disampaikan jika tiada kursus mahupun bengkel lanjutan untuk mendalami ilmu-ilmu tersebut.
Kelemahan yang wujud juga dari sudut aspek Latihan Guru ini adalah, kebanyakan guru KAFA

tidak menguasai kurikulum KAFA khususnya Bahasa Arab, Jawi, Kefahaman Ayat dan Ilmu Tajwid. Apabila
guru kurang mengusai subjek yang diajar, besar kemungkinan isi pelajaran yang disampaikan sukar difahami
oleh murid kerana penyampaikan ilmu yang kurang berkesan. Ini pastinya akan membantutkan proses
pengajaran dan pembelajaran dalam beberapa subjek tersebut dan menjadikan pendidikan KAFA dilihat tidak
mencapai matlamat sepertimana yang ditetapkan. Menurut Siti Norfaridah Sahperi (2013), Penyelia KAFA
JAIS Betong, pihak jabatan tidak mempunyai peruntukan untuk menganjurkan bengkel dan kursus yang
diperlukan. Ini menyukarkan mereka untuk mengadakan kursus-kursus kepada guru-guru KAFA.
Namun, terdapat juga kekuatan dari aspek Latihan Guru ini iaitu pihak JAIS Betong mengadakan
kerjasama dengan beberapa buah sekolah yang sanggup menyediakan tempat dan keperluan kursus bagi
menjemput mereka menyampaiakan ceramah. Ia semestinya tidak melibatkan peruntukan pihak JAIS
Betong. Terdapat juga beberapa buah sekolah mengadakan kerjasama dengan pihak JAIS Betong dalam
mengendalikan kursus serta bengkel berkaitan pedagogi dan psikologi pendidikan ini seperti SJKC Chung
Hua Meludam. Ia sedikit sebanyak membantu pihak JAIS Betong dalam memperkasa kefahaman serta ilmu
pengetahuan guru KAFA. Namun, ia tidak mampu melibatkan keseluruhan guru KAFA yang ada disebabkan
peruntukan yang terhad. Usaha ini adalah bagi membantu pihak JAIS Betong memperkukuh semula
pengetahuan di kalangan guru KAFA selain kursus yang pihak JAIS Betong sendiri anjurkan. Kekuatan yang
penting juga adalah guru-guru KAFA sentiasa bersedia dan berminat untuk mengikuti setiap kursus, bengkel
dan program yang dianjurkan berkenaan pengajaran KAFA.
Melalui kerjasama antara pihak Jawatankuasa KAFA SJKC Chung Hua Meludam dan Jabatan
Agama Islam Sarawak Bahagian Betong, seramai 40 orang guru-guru KAFA terpilih di seluruh Zon Pusa

telah didedahkan dengan ilmu pedagogi dan metode serta pendekatan pengajaran Pendidikan Islam. Metode
pengajaran dalam Pendidikan Islam bertujuan bagi memudahkan proses mengajar bagi mencapai tujuan yang
diinginkan (Omar al-Syaibani, 1991).

Menurut Ahmad ( 1997) mengenai pendekatan pula adalah

mendekatkan sesuatu pendidikan dan perlu menggambarkan matlamat pembelajaran itu sendiri. Kedua-dua
pendapat ini merupakan skop pedagogi pendidikan. Program yang dinamakan Bengkel Memperkasa
Pendidikan KAFA Di Bahagian Betong Sarawak yang diadakan di SJKC Chung Hua Meludam pada 23 Mei
2013 itu telah mendedahkan dan memperincikan kepada guru-guru KAFA mengenai kaedah pengajaran
KAFA yang boleh dipraktikkan di sekolah masing-masing. Ceramah disampaikan oleh penulis sendiri.
Antara kaedah pengajaran yang dicangkan adalah;
i.

Pemahaman,

ii.

Ulangan,


iii.

Lawatan,

iv.

Latih Tubi,

v.

Dialog,

vi.

Talaqi Musyafahah,

vii.

Soal Jawab,


viii.

Perbincangan,

ix.

Hafazan,

x.

Tunjuk Cara,

xi.

Projek,

xii.

Kuiz,


xiii.

Kuliah,

xiv.

Permainan,

xv.

Nyanyian,

xvi.

Halaqah,

xvii.

Simulasi,


xviii.

Bacaan, dan

xix.

Bercerita

Kesemua kaaedah tersebut boleh dipraktikkan untuk mengajar subjek-subjek KAFA di sekolah
masing-masing (Hafizul Rasdi, 2013). Menurut Ahmad (2004), kaedah pengajaran permainan amat sesuai
untuk pelajar sekolah rendah.

2. Bahan Bantu Mengajar (BBM)
Bahan Bantu Mengajar (BBM) adalah penting bagi memastikan pelajar tertarik dengan apa yang
diajar oleh guru. Setiap BBM mempunyai daya tarikan tersendiri agar fokus dan perhatian pelajat tertumpu
kepada pengajaran guru dan memudahkan mereka memahami apa yang diajar. Apa yang dimaksudkan
dengan Bahan Bantu Mengajar atau disebut sebagai BBM ini adalah sesuatu yang digunakan oleh guru

sebagai pemudahcara yang membantu pelajar memahami dengan lebih cepat dan mudah. Ia juga sebagai
berfungsi untuk menarik perhatian pelajar dan cuba untuk mengaitkannnya dengan tajuk pelajaran
sepertimana yang digunakan untuk set induksi.
Namun, kelemahan yang didapati hasil daripada Fokus Perbincangan Kumpulan penulis bersama
guru-guru KAFA Zon Pusa mendapati bahawa, pihak JAIS Betong dan JAKIM tidak membekalkan mereka
dengan BBM yang sepatutnya melainkan sedikit buku rujukan dan nota yang tidak juga didapati oleh
sebahagian besar guru. Hanya segelintir sahaja disebabkan buku rujukan yang ada amat terhad. Pihak
sekolah juga tidak menyediakan BBM untuk guru KAFA melainkan buku Iqra yang dibekalkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong. Apa yang lebih
menyedihkan, guru-guru sendiri tidak mengambil inisiatif untuk menggunakan apa yang ada dan boleh
dijadikan BBM berkaitan dengan subjek. Mereka hanya menerangkan apa yang terdapat di dalam buku
sahaja.
Kekuatan yang ada dari aspek BBM ini adalah untuk subjek al-Quran yang menjadi teras kepada
falsafah dan matlamat Pendidikan KAFA, terdapat BBM seperti buku Iqra yang ada di sekolah dan boleh
digunakan oleh guru KAFA mengajar subjek al-Quran. Namun, buku Iqra ini pada hakikatnya tidak
dibekalkan oleh pihak yang sepatutnya menguruskan KAFA itu sendiri, namun ia dibekalkan melalui
peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia.
3. Kerjasama Pihak Sekolah
Pada hakikatnya, pelaksanaan Pendidikan KAFA hanya menumpang bangunan sekolah yang dimiliki
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini bermakna, pihak sekolah mempunyai hak untuk memberi
kebenaran atau tidak kepada guru-guru KAFA untuk menggunakan kemudahan-kemudahan lain milik
sekolah selain bilik darjah untuk mengajar KAFA. Kerjasama pihak sekolah amat penting khususnya
pentadbir bagi memastikan perjalanan KAFA lancar dan memastikan guru-guru KAFA selesa dan gembira
mengajar di sekolah tersebut.
Melalui Fokus Perbincangan Kumpulan bersama guru-guru KAFA ini juga, penulis mendapati
bahawa kelemahan yang ada ialah kebanyakan sekolah tidak membenarkan guru KAFA untuk menggunakan
mesin fotostat sekolah bagi mencetak latihan dan ujian. Ini kerana, peruntukan kertas yang ada hanya untuk
sekolah sahaja dan amat terhad. Jadi, ia menjadi masalah kepada guru KAFA kerana terpaksa mengeluarkan
belanja sendiri untuk mencetak soalan ujian dan latihan di kedai fotostat. Ini juga menjadi penyebab utama
guru tidak menyediakan ujian kerana tidak mahu mengeluarkan kos sendiri bagi mencetak soalan.
Terdapat juga beberapa buah sekolah yang kurang mengambil peduli berkenaan hal ehwal guru
KAFA. Mereka dibiarkan menguruskan hal ehwal KAFA secara sendiri tanpa kerjasama dari pihak sekolah.
Terdapat sebilangan besar sekolah juga yang tidak melibatkan guru-guru KAFA dalam aktiviti sekolah
melainkan Kem Bestari Solat yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam. Guru-guru KAFA juga tidak
dilibatkan dalam sambutan hari guru serta majlis-majlis lain. Jadi, ini menyebabkan guru-guru KAFA

merasakan diri mereka terasing dan kurang dipedulikan oleh pihak sekolah. Tugas mereka hanya sebatas
mengajar KAFA dan tamat apabila selesai kelas KAFA.
Namun, kekuatan dari aspek kerjasama pihak sekolah ini adalah, pihak sekolah menyediakan kelas
yang lengkap dengan kemudahan kerusi, meja, kipas angin, papan hitam dan papan putih, kapur, dan
keperluan yang ada di dalam kelas. Guru-guru KAFA boleh menggunakan apa sahaja yang ada di dalam
kelas tempat mereka mengajar. Segala kos utiliti adalah ditanggung oleh pihak sekolah melalui Kementerian
Pendidikan Malaysia. Jadi, pihak sekolah tidak menuntut sebarang bayaran daripada pihak JAIS Betong
mahupun JAKIM kerana sudah menggunakan segala kemudahan dan utiliti yang ada di sekolah.
Analisa SWOT Mengenai Kekuatan Dan Kelemahan Pendidikan KAFA Di Sekolah-Sekolah Zon Pusa,
Sarawak
Analisa SWOT adalah merupakan metod perancangan strategik yang digunakan untuk mengevaluasi
Kekuatan (Strengths), Kelemahan (Weaknesses), Peluang (Opportunities) dan Ancaman (Threats). Keempatemat perkataan tersebut membentuk akronim SWOT (http://id.wikipedia.org). Bagi meringkaskan hasil
dapatan kajian, berikut merupakan analisa SWOT hasil daripada kajian kekuatan dan kelemahan Pendidikan
KAFA di sekolah-sekolah Zon Pusa, Sarawak yang dinilai dari tiga aspek iaitu Latihan Guru, Bahan Bantu
Mengajar (BBM) dan juga Kerjasama Pihak Sekolah. Berikut merupakan ringkasan analisa SWOT yang
diperolehi;
a) Kekuatan
i.

Minat mendalam guru KAFA terhadap pengajaran KAFA menjadikan mereka bersedia untuk
mengikuti apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak JAIS Betong, JAKIM mahupun pihak
sekolah,

ii.

Terdapat buku Iqra sebagai BBM untuk mengajar al-Quran dan sememangnya subjek al-Quran
sangat penting dalam kelas KAFA, dan

iii.

Penyediaan kelas yang cukup serta dilengkapi kemudahan asas bagi proses pengajaran dan
pembelajaran tanpa ditanggung oleh pihak JAIS Betong mahupun pihak JAKIM.

b) Kelemahan
i.

Guru kurang memahami teknik pengajaran khususnya dalam ilmu pedagogi pendidikan dan
psikologi pendidikan,

ii.

Guru kurang memahami beberapa subjek seperti Bahasa Arab, Jawi, Ilmu Tajwid dan Kefahaman
Ayat menyebabkan pembelajaran kurang berkesan,

iii.

Tiada BBM dibekalkan oleh pihak JAIS Betong, JAKIM mahupun pihak sekolah untuk
pembelajaran KAFA,

iv.

Guru tidak mempunyai inisiatif menggunakan bahan-bahan sedia ada ataupun menyediakan sendiri
BBM untuk pengajaran KAFA,

v.

Sebahagian besar sekolah tidak membenarkan guru menggunakan mesin fotostat sekolah bagi
mencetak ujian dan juga latihan, dan

vi.

Terdapat sekolah yang tidak melibatkan guru-guru KAFA dalam aktiviti sekolah.

c) Peluang
i.

Terdapat banyak sumber ilmu pedagogi dan psikologi pendidikan di pasaran yang boleh dibeli oleh
guru KAFA bagi meningkatkan penguasaan mereka terhadap kedua-dua ilmu tersebut, Guru juga
boleh mengunjungi perpustakaan awam bagi mendapat bahan rujukan,

ii.

Terdapat juga kursus-kursus terbuka secara berbayar yang boleh guru KAFA sertai. Selain itu,
persatuan guru KAFA juga boleh menganjurkannya sendiri dengan menjemput Guru Pendidikan
Islam sekolah atau penceramah jemputan,

iii.

Ruang yang banyak untuk penyelia KAFA JAIS Betong mengadakan program ilmiah kepada guru
KAFA sama ada berskala besar mahupun kecil mengikut sekolah masing-masing tanpa melibatkan
kos yang besar, dan

iv.

Peluang kepada pihak sekolah untuk menggunakan sumber daya manusia dengan melibatkan guru
KAFA dalam setiap program anjuran pihak sekolah dengan menjadikan mereka sebagai ahli
jawatankuasa program.

d) Ancaman
i.

Kurangnya kesedaran di kalangan guru KAFA untuk mencari inisiatif yang ada bagi memperkukuh
kefahaman mereka terhadap ilmu psikologi pendidikan, pedagogi pendidikan dan ilmu Pendidikan
Islam itu sendiri khususnya subjek Bahasa Arab, Jawi, Ilmu Tajwid dan Kefahaman Ayat,

ii.

Kekuarangan BBM menjadikan kaedah lama iaitu “chalk and talk” digunakan dan pastinya kaedah
ini amat membosankan pelajar, dan

iii.

Sumber kewangan yang terhad daripada pihak JAKIM dan JAIS menyebakan program-program
tidak dapat dilaksanakan.

Melalui analisa SWOT dari tiga aspek tersebut, ia menunjukkan bahawa terdapat banyak kelemahan
berbanding kekuatan Pendidikan KAFA di sekolah-sekolah Zon Pusa, Sarawak. Sekolah-sekolah Zon Pusa
ini mewakili sekolah-sekolah di seluruh Bahagian Betong, Sarawak kerana semuanya berada di bawah
pengurusan yang sama. Pihak JAIS Betong perlu melihat dan menilai segala kelemahan yang ada dan perlu
berusaha memperbaikinya dengan pelbagai usaha dan inisiatif. Ia penting agar Pendidikan KAFA di
Bahagian Betong khususnya Zon Pusa mampu dijadikan contoh kepada sekolah-sekolah di zon lain.
Guru-guru KAFA di sekolah-sekolah Zon Pusa khususnya dan di seluruh Bahagian Betong
umumnya haruslah menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki kualiti pengajaran dan pembelajaran
serta melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang selayaknya sebagai seorang guru KAFA agar

mereka boleh menyampaikan ilmu dengan baik serta berjaya mencapai objektif dan matlamat penubuhan
KAFA.
KESIMPULAN
Berdasarkan dapatan kajian dan penganalisaan yang dilakukan, penulis mendapati bahawa segala
kelemahan dapat diatas sekiranya pihak JAIS Betong sanggup turun padang bagi memberikan kursus
ataupun bengkel secara kelompok kecil atau mengikut zon tanpa melibatkan sebarang kos penganjuran.
Pihak JAIS Betong juga boleh mengadakan kerjasama dengan agensi Islam seperti Tabung Baitulmal
Sarawak bagi mendapatkan dana. Selain itu, pihak JAIS Betong juga boleh memohon kepada wakil rakyat,
badan kerajaan atau bukan kerajaan bagi menganjurkan atau mendapatkan dana untuk menganjurkan kursus,
seminar ataupun bengkel. Pihak JAIS Betong juga boleh meminta setiap persatuan zon menganjurkan aktiviti
menggunakan yuran zon masing-masing.Bagi guru KAFA pula, mereka perlulah bijak mengambil insiatif
sendiri untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan menggunakan segala sumber yang ada.
Bagi memperkasa Pendidikan KAFA di sekolah-sekolah Zon Pusa, Sarawak, semua pihak perlu
memainkan peranan penting. Bermula daripada pihak JAIS Betong, pihak pentadbir sekolah dan seterusnya
di peringkat pelaksana iaitu guru-guru KAFA sendiri. Dengan komitmen padu dan usaha gigih ketiga-tiga
komponen ini pastinya akan menjadikan Pendidikan KAFA di Zon Pusa lebih cemerlang dan lebih unggul
berbanding zon-zon lain di dalam Bahagian Betong dan di seluruh negeri Sarawak. Justeru, peranan semua
pihak perlulah dimainkan semaksima mungkin untuk mengangkat martabat Pendidikan KAFA.
Kesimpulannya, Pendidikan KAFA adalah amat penting dan perlu diteruskan dan diperkasakan dari
semasa ke semasa. Peruntukan dari pihak kerajaan kepada JAKIM dan JAIS perlu bagi menyediakan
pelbagai program untuk melatih guru-guru KAFA menguasai ilmu keguruan. Di samping itu juga,
peruntukan daripada pihak kerajaan juga penting untuk menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan
menyediakan keperluan lain untuk pengurusan KAFA di Malaysia. Oleh itu, kajian ini pastinya mampu
mendedahkan segala kelemahan dan memberikan cadangan yang baik dan perlu diambil perhatian
sewajarnya oleh pihak berwajib agar kualiti Pendidikan KAFA di Malaysia berjaya mencapai objektif dan
matlamat yang telah ditetapkan.
RUJUKAN
Ahmad Mohd. Salleh (1997). Pendidikan Islam : Falsafah, Pedagogi Dan Metodologi. Shah Alam : Penerbit
Fajar Bakti
(2004). Pendidikan Islam : Falsafah, Sejarah Dan Kaedah Pengajaran Dan
Pembelajaran. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti

Azyumardi Azra (2014). Pendidikan Islam : Tradisi Dan Modernisasi di Tengah Tantangan Milenium III.
Jakarta : KENCANA PRENADAMEDIA GROUP.
Borich dan Tombari (1995). Educational Psychology : A Contemporary Approach. New York : Harper
Collins College Publisher
Hafizul Rasdi (2013). Kekuatan Dan Kelemahan Pendidikan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA)
Peringkat Bahagian Betong, (Projek Sarjana). Kuala Lumpur : Open Universiy Malaysia
Hasan Langgulung (1980). Beberapa Pemikiran Tentang Pendidikan Islam. Bandung : al-Ma’arif
http://id.wikipedia.org
JAKIM (2011). Garis Panduan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA). Putrajaya : Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia
Kamus Dewan (1998). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Omar al-Syaibani (1991). Falsafah Pendidikan Islam. (Terj.). Shah Alam : Hizbi
Santrock (2001). Educational Psychology, New York : McGraw Hill. Co. Inc.
Wan Bakar Wan Dagang (1991). Reformasi Pendidikan Islam Di Sekolah : Matlamat Dan Harapan. Kuala
Lumpur : Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia

Dokumen yang terkait

EFEKTIVITAS PENDIDIKAN KESEHATAN TENTANG PERTOLONGAN PERTAMA PADA KECELAKAAN (P3K) TERHADAP SIKAP MASYARAKAT DALAM PENANGANAN KORBAN KECELAKAAN LALU LINTAS (Studi Di Wilayah RT 05 RW 04 Kelurahan Sukun Kota Malang)

45 393 31

ANALISA BIAYA OPERASIONAL KENDARAAN PENGANGKUT SAMPAH KOTA MALANG (Studi Kasus : Pengangkutan Sampah dari TPS Kec. Blimbing ke TPA Supiturang, Malang)

24 196 2

STUDI ANALISA PERHITUNGAN RENCANA ANGGARAN BIAYA GEDUNG KULIAH STIKES SURYA MITRA HUSADA KEDIRI JAWA TIMUR

24 197 1

PENGEMBANGAN TARI SEMUT BERBASIS PENDIDIKAN KARAKTER DI SD MUHAMMADIYAH 8 DAU MALANG

57 502 20

STRATEGI PEMERINTAH DAERAH DALAM MEWUJUDKAN MALANG KOTA LAYAK ANAK (MAKOLA) MELALUI PENYEDIAAN FASILITAS PENDIDIKAN

73 431 39

PENGARUH ARUS PENGELASAN TERHADAP KEKUATAN TARIK PADA PENGELASAN BIMETAL (STAINLESS STEEL A 240 Type 304 DAN CARBON STEEL A 516 Grade 70) DENGAN ELEKTRODA E 309-16

10 133 86

SIKAP MASYARAKAT KOTA PALEMBANG TERHADAP PEMINDAHAN PEDAGANG KAKI LIMA (PKL) PASAR 16 ILIR PALEMBANG KE PASAR RETAIL JAKABARING

4 84 128

PENGARUH HASIL BELAJAR PENDIDIKAN KEWARGANEGARAAN TERHADAP TINGKAT APLIKASI NILAI KARAKTER SISWA KELAS XI DALAM LINGKUNGAN SEKOLAH DI SMA NEGERI 1 SEPUTIH BANYAK KABUPATEN LAMPUNG TENGAH TAHUN PELAJARAN 2012/2013

23 233 82

JUDUL INDONESIA: IMPLEMENTASI PENDIDIKAN INKLUSIF DI KOTA METRO\ JUDUL INGGRIS: IMPLEMENTATION OF INCLUSIVE EDUCATION IN METRO CITY

1 56 92

ANALISIS PUTUSAN PENGADILAN TINGGI TANJUNG KARANG PERKARA NO. 03/PID.SUS-TPK/2014/PT.TJK TENTANG TINDAK PIDANA KORUPSI DANA SERTIFIKASI PENDIDIKAN

6 67 59