UKURAN PENCAPAIAN MANUSIA DALAM INDEKS P (1)

Mohd Shukri Hanapi

UKURAN PENCAPAIAN MANUSIA DALAM INDEKS
PEMBANGUNAN MANUSIA (HDI): ANALISIS BERDASARKAN
TASAWUR PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM
Mohd Shukri Hanapi1

Abstrak
Manusia merupakan pelaku pembangunan yang pencapaiannya diukur dengan
pelbagai indeks pembangunan, antaranya ialah Indeks Pembangunan Manusia
(Human Development Index - HDI). HDI merupakan indeks komposit yang
digunakan sebagai satu piawaian dalam mengukur pencapaian manusia. Melalui
pengukuran ini dapat ditentukan sama ada sesebuah negara itu maju,
membangun atau mundur. Persoalannya, bagaimanakah pencapaian manusia
diukur dalam HDI? Apakah aspek-aspek pengukurannya? Adakah pengukuran
pencapaian manusia dalam HDI ini mencukupi dan selari dengan fungsi manusia
berdasarkan tasawur pembangunan berteraskan Islam (PBI)? Untuk menjawab
semua persoalan ini, makalah ini mempunyai dua objektif utama. Pertama,
mengenal pasti aspek pengukuran pencapaian manusia dalam HDI; dan kedua,
menganalisis kecukupan pengukuran pencapaian manusia dalam HDI itu
berdasarkan tasawur PBI. Sebagai hasilnya, kajian kualitatif yang menggunakan

kaedah analisis kandungan ini mendapati pencapaian manusia dalam HDI diukur
berdasarkan aspek kesihatan, pendidikan dan taraf hidup. Jelaslah bahawa
pengukuran pencapaian manusia dalam HDI hanya dari aspek fizikal dan
keupayaannya semata-mata. Ia tidak mengambil kira aspek spiritual. Oleh itu,
fungsi manusia yang diukur pencapaiannya dalam HDI hanyalah manusia fizikal,
atau pseudo-manusia, iaitu manusia yang tidak lengkap sebagai satu manusia. Ia
hanyalah merujuk kepada kekuatan fizikal, keupayaan produktiviti dan akal
manusia. Aspek kerohanian seperti iman dan takwa tidak diambil kira. Hal ini
jelas bertentangan dengan fungsi sebenar manusia berdasarkan tasawur PBI,
iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.
Kata Kunci: ukuran; pencapaian; indeks; pembangunan; tasawur
1.

Pendahuluan

Manusia merupakan pelaku pembangunan sama ada dalam pembangunan lazim (PL)
atau dalam pembangunan berteraskan Islam (PBI). Meskipun pelaku pembangunan
dalam kedua-dua teori pembangunan tersebut adalah sama, namun fungsi manusia
sebagai pelaku pembangunan dalam teori PL adalah berbeza dengan fungsi manusia
dalam teori PBI. Hal ini kerana acuan yang membentuk kedua-dua teori pembangunan

ini adalah berbeza. Teori PBI dibentuk beracuankan tasawur Islam 2, manakala teori PL
1

2

Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Tel. 04-653 2665 / 3422, faks 04-653 2124, telefon
bimbit 019-4507576 dan e-mel hshukri@usm.my atau hshukeri@yahoo.com.
Tasawur Islam terbina daripada epistemologi Islam yang berakar umbi daripada empat sumber utama iaitu
al-Qur’an, hadis, ijmak dan qiyas. Keempat-empat sumber ini membentuk satu tasawur Islam yang jauh
berbeza daripada tasawur lazim. Malah ia menjadi asas kepada pembentukan teori ilmu PBI (Muhammad

1

Mohd Shukri Hanapi

dibentuk beracuankan tasawur lazim3. Oleh sebab teori PL beracuankan tasawur lazim
maka manusia dalam teori PL itu hanya dilihat dari aspek keupayaan dan fizikalnya
semata-mata tanpa mengambil kira aspek spiritual. Oleh sebab itu, manusia dalam teori
PL hanyalah manusia fizikal atau pseudo-manusia, iaitu manusia yang tidak lengkap

sebagai satu manusia. Perkara ini dapat dibuktikan melalui sifat fungsi pengeluaran
dalam teori PL, iaitu P = f(T, M, B, K....n (P ialah pengeluaran, M ialah modal, B ialah
buruh, K ialah keusahawanan dan n ialah faktor-faktor pengeluaran yang lain
seterusnya). Dalam fungsi pengeluaran ini, faktor pengeluaran yang berhubung dengan
manusia ialah buruh dan keusahawanan. Sebenarnya manusia dalam bentuk buruh dan
keusahawanan ini hanyalah merujuk kepada kekuatan fizikal, keupayaan produktiviti dan
akal manusia sahaja. Semuanya tidak mengambil kira hal-hal kerohanian seperti iman
dan takwa manusia; dan fungsi utama penciptaan manusia sebagai hamba dan khalifah
Allah SWT (Muhammad Syukri Salleh, 2003a:31).
Pembangunan manusia merupakan suatu paradigma yang meletakkan manusia sebagai
pelaku pembangunan pada kedudukan terpenting. Ia bertujuan membangunkan manusia
melalui pelbagai aspek, terutamanya aspek fizikal dan spiritual. Terdapat pelbagai indeks
yang digunakan untuk mengukur pencapaian pembangunan manusia sebagai pelaku
pembangunan ini, antaranya ialah Human Development Index (Indeks Pembangunan
Manusia-HDI). HDI merupakan indeks komposit yang digunakan sebagai satu piawaian
dalam mengukur pencapaian pembangunan manusia. Melalui pengukuran ini dapat
ditentukan sama ada sesebuah negara itu maju, membangun atau mundur.
Persoalannya, bagaimanakah pencapaian pembangunan manusia diukur dalam HDI?
Apakah aspek-aspek pengukurannya? Adakah pengukuran pencapaian pembangunan
manusia dalam HDI ini mencukupi dan selari dengan pengukuran pencapaian

pembangunan manusia dalam tasawur PBI? Untuk menjawab semua persoalan ini,
makalah ini mempunyai dua objektif utama. Pertama, mengenal pasti aspek pengukuran
pencapaian pembangunan manusia dalam HDI; dan kedua, menganalisis aspek
pengukuran pencapaian pembangunan manusia dalam HDI itu berdasarkan pengukuran
pencapaian pembangunan manusia dalam tasawur PBI.
Untuk mencapai kedua-dua objektif ini, secara umumnya perbincangan dalam makalah
ini dibahagikan kepada empat bahagian utama. Pertama, membincangkan latar
belakang HDI; kedua, membincangkan ukuran pencapaian pembangunan manusia
dalam HDI; ketiga, membincangkan ukuran pencapaian pembangunan manusia menurut
tasawur PBI; dan keempat, menganalisis kecukupan ukuran pencapaian pembangunan
manusia dalam HDI berdasarkan tasawur PBI.
2.

3

Latar Belakang Indeks Pembangunan Manusia (HDI)

Syukri Salleh, 2003a:21; Sidek Baba, 2006:186-187 & 191-192). Dalam erti kata lain, teori ilmu PBI
terbentuk daripada gabungan antara dalil ‘aqli (akal) yang berdasarkan epistemologi dan tasawur Islam
dengan dalil-dalil naqli daripada al-Qur’an dan hadis (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:15).

Tasawur lazim terbina daripada epistemologi lazim yang berakar umbi daripada pemikiran Barat.
Epistemologi lazim atau Barat tidak menjadikan agama sebagai acuan atau landasan. Sebaliknya, ia
berasaskan rasionalisme, idealisme, empirisme, positivisme, pragmatisme, saintisme, eksistensialisme,
materialisme, humanisme, liberalisme dan modenisme Barat. Justeru, lahirlah pemikiran bersifat sekular
yang hanya berasaskan fakta, data, hasil uji kaji, dan pemerhatian menggunakan akal dan pancaindera
semata-mata. Nilai, etika dan estetika dilihat sebagai nisbi dan bersifat normatif (berubah-ubah) tentang
cara penggunaannya. Untuk perincian tentang perkara ini, lihat H.A. Fuad Ihsan (2010:147-190) dan
Sidek Baba (2006:186).

2

Mohd Shukri Hanapi

HDI ialah sebuah indeks komposit (indeks yang menggabungkan pelbagai petunjuk)
yang mengukur pencapaian purata pembangunan sesebuah negara dalam tiga
aspek asas kehidupan manusia, iaitu kehidupan yang panjang dan sihat,
pencapaian pendidikan dan gaya hidup. Indeks ini dipersembahkan sebagai satu
piawaian dalam mengukur pencapaian pembangunan manusia (Stanton,
2007:vi). Ia dianggap oleh United Nations Development Programme (UNDP)
sebagai satu konsep atau proses melebarkan peluang seorang insan dengan

memberikannya peluang pendidikan yang lebih cerah, penjagaan kesihatan,
pendapatan, pekerjaan dan sebagainya. Kegunaan asas HDI adalah untuk
menyusun negara-negara di dunia mengikut tahap pembangunan insan yang
lazimnya digunakan untuk menentukan sama ada sesebuah negara itu ialah
negara maju, negara membangun atau negara mundur (UNDP, 1990; Joshi,
2008:1-2).
Indeks ini dibangunkan pada tahun 1990 M oleh seorang ahli ekonomi Pakistan
bernama Mahbub al-Haq dan Sir Richard Jolly dengan bantuan Gustav Ranis dari
Universiti Yale dan Meghnad Desai dari London School of Economics and Political
Science (LSE). Sebenarnya HDI ini digunakan oleh UNDP dalam melaporkan
pencapaian pembangunan insan yang diterbitkannya pada setiap tahun (Stanton,
2007:vi). Meskipun idea pemenang Hadiah Nobel dari India, Amartya Sen dikatakan
adalah sangat berpengaruh dalam pembangunan indeks ini, namun beliau pernah
menggambarkannya sebagai satu ‘ukuran kesat’ kerana beberapa kekangannya. Walau
bagaimanapun, Amartnya Sen masih menerima fokus HDI yang menumpukan aspekaspek pembangunan yang lebih meluas berbanding ukuran pendapatan per kapita yang
digantikannya. Hari ini, HDI merupakan laluan bagi para pengkaji ke dalam ukuranukuran yang lebih terperinci dan lebih pelbagai yang terkandung di dalam laporanlaporan pembangunan insan (Stanton, 2007:3).
3.

Ukuran Pencapaian Pembangunan Manusia Dalam HDI


Ukuran pencapaian pembangunan manusia dalam HDI dibuat dengan menggabungkan
tiga aspek asas kehidupan manusia yang diukur melalui petunjuk-petunjuk tertentu.
Pertama, kehidupan atau jangka hayat yang panjang yang diukur melalui tahap
kesihatan; kedua, pengetahuan dan pendidikan yang diukur melalui kadar celik huruf
dewasa (dengan pemberat dua pertiga) dan gabungan kadar kemasukan kasar ke
pengajian peringkat rendah, menengah dan tinggi (dengan pemberat satu pertiga); dan
ketiga gaya hidup yang diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),
pendapatan per kapita pada Purchasing Power Parity (PPP) dalam nilai dolar Amerika
Syarikat. Hal ini dapat digambarkan dalam Rajah 1.
Indikator

Dimensi

Kehidupan & Jangka Hayat
Yang Panjang

Indeks Status Kesihatan

Pengetahuan & Pendidikan


Indeks Pendidikan

Gaya Hidup

Indeks Pendapatan

Rajah 1:Dimensi dan Indikator Dalam Human Development Index (HDI)
(Diubah suai daripada Joshi, 2008:7)

3

HDI

Mohd Shukri Hanapi

Berdasarkan ketiga-tiga aspek kehidupan manusia yang dijadikan sebagai ukuran
pencapaian pembangunan manusia ini, jelas mempamerkan HDI hanya mengukur
keupayaan fizikal manusia. Hal ini kerana fungsi manusia dalam HDI adalah sama
dengan fungsi manusia dalam teori PL iaitu sebagai makhluk ekonomi yang fungsinya
hanyalah untuk mengeluar dan mengguna semata-mata.

Semua ini berasaskan falsafah PL yang menjadikan agama sebagai alat kepada
pembangunan dan bukannya pembangunan menjadi alat kepada agama. Misalnya,
Todaro
(1977:62)
daripada
aliran
pemikiran
Konservatif/Tradisional
atau
4
Progresif/Radikal telah menyentuh tentang aspek spiritual. Beliau berpandangan
pembangunan mestilah dipandang sebagai suatu proses multidimensi yang meliputi
pelbagai perubahan seperti struktur sosial, sikap-sikap masyarakat, institusi-institusi
nasional, penghapusan kemiskinan, mengurangkan jarak antara orang yang
berpendapatan tinggi dengan yang berpendapatan rendah di samping tetap mengejar
pertumbuhan ekonomi. Ringkasnya, pembangunan dikatakan mestilah mencerminkan
perubahan menyeluruh atau penyesuaian sistem sosial secara keseluruhan, tanpa
mengetepikan kepelbagaian keperluan asas (makanan, tempat tinggal, kesihatan, dan
keamanan). Di samping itu, ia juga mestilah mengambil kira keinginan-keinginan individu
atau kelompok sosial seperti pemilikan kekayaan yang lebih banyak, mempertahankan

jati diri, kebebasan sehingga wujud kehidupan yang lebih baik, sama ada secara
material mahupun spiritual.
Pandangan Todaro (1977) ini selari dengan Lewis (1982:10) yang berpandangan
bahawa pertumbuhan ekonomi adalah bergantung kepada sikap dan pemikiran manusia
terhadap kerja, kekayaan, berjimat cermat dan sebagainya. Walau bagaimanapun,
pertumbuhan ekonomi dikatakan akan lebih mudah berjaya jika agama menyesuaikan
dan menghalalkan segala perubahan yang bergerak ke arah kemajuan yang diterokai
oleh sistem sedia ada (sistem sekular). Dalam perkataan lain, pandangan Lewis (1982)
ini menekankan bahawa untuk memperoleh kemajuan, maka agama tidak boleh
menyekat sebarang kaedah dan pengeluaran yang dihasilkan5.
Walaupun Todaro (1977) dan Lewis (1982) ada menyentuh unsur spiritual atau agama,
namun ia dianggap bukan sebahagian daripada pembangunan. Todaro (1977) misalnya
cenderung melihat kejayaan pembangunan fizikal dan material akan memperbaiki
kehidupan spiritual, bukannya spiritual yang akan memperbaiki pembangunan fizikal dan
material. Manakala Lewis (1982) pula meletakkan agama ke tahap rendah kerana beliau
menghendaki agar agama menyokong sistem sekular supaya pembangunan terus
mengalami kemajuan tanpa ada halangan. Dalam hal ini, agama dilihat menjadi alat
kepada pembangunan, bukannya pembangunan menjadi alat kepada agama. Maka di
sini jelas mempamerkan teori PL yang mempercayai manusia boleh dan patut
menguruskan pembangunan ekonominya tanpa mengambil kira peraturan agama.

Bagi membuktikan hal ini, misalnya teori Modenisasi6 yang lahir di Barat setelah falsafah
Barat berjaya meminggirkan agama dan tradisi daripada menguasai masyarakat telah
4

Terdapat juga pembahagian yang dibuat menggunakan nama-nama lain. Misalnya, Havens (1972) telah
menggunakan klasifikasi konflik dan keseimbangan, sementara Webster (1984) membahagikan teori-teori
pembangunan kepada teori modenisasi dan teori kurang pembangunan. Chilcote dan Edelstein (1974)
pula mengelaskan teori pembangunan kepada model difusi dan model pergantungan (dipetik daripada
Rahimah Abdul Aziz, 2001:70-71), sedangkan Clements (1980) telah membahagikan teori-teori tersebut
kepada teori pertumbuhan neoklasik, model strukturalis dan teori kurang pembangunan dan pergantungan
golongan Marxis dan neo-Marxis. Selain itu, Muhammad Syukri Salleh (2003a) membahagikan kepada
Pasca-Klasikal dan Radikal. Walaupun berbeza dari aspek pembahagiannya, teori-teori yang
dibincangkan dalam berbagai-bagai pembahagian itu dan andaian-andaian asasnya adalah hampir
serupa (Rahimah Abdul Aziz, 2001:71).
5
Untuk perbincangan lanjut tentang teori pertumbuhan ekonomi Lewis (1982) ini, lihat Todaro dan Smith
(2006:108-113) dan Sadono Sukirno (1985:129-134).

4

Mohd Shukri Hanapi

menolak pandangan alam yang berdasarkan agama dan membangun tasawur baru
yang menolak aspek metafizik (Khalif Muammar A. Haris, 2012:35). Oleh sebab itu, teori
Modenisasi meletakkan manusia bukan sebagai hamba dan Khalifah Allah SWT.
Menurut Habermas (1985), Bauman (1991), dan Hermansen (1996), dalam teori
Modenisasi manusia dipandang cukup tinggi sehinggakan dianggap sebagai penentu
segala sesuatu (measure of all things), pembawa dan sumber segala hak.
Jelas di sini bahawa pemikiran teori PL mendidik manusia supaya memisahkan ajaran
agama dalam pembangunan ekonomi. Justeru, manusia dalam teori PL dianggap
sebagai makhluk ekonomi yang fungsinya hanyalah untuk mengeluar dan mengguna
semata-mata. Perkara ini dapat dibuktikan dengan kenyataan yang dikemukakan oleh
Mill (1844:137-138):
“It is concerned with him solely as a being who desires to possess wealth, and who
is capable of judging of the comparative efficacy of means for obtaining that end. It
predicts only such of the phenomena of the social state as take place in
consequence of the pursuit of wealth. It makes entire abstraction of every other
human passion or motive; except those which may be regarded as perpetually
antagonizing principles to the desire of wealth, namely, aversion to labour, and
desire of the present enjoyment of costly indulgences”.

Jelas di sini bahawa fungsi manusia dalam teori PL tidak lebih daripada barangan dan
alat (Sobri Salamon, 1989:75). Dengan itu, pelaku pembangunan dalam teori PL
dipercayai dilahirkan hanya untuk menjalankan fungsi yang stereotaip dan sirkularistik
seperti mengguna, membesar, belajar, bekerja, berkeluarga, reproduktif dan meninggal
dunia. Mereka juga dianggap hanya sebagai manusia pengeluar atau pengguna yang
hanya mengambil kira kekuatan fizikal, akal, kemahiran dan segala perkara yang
berbentuk lahir semata-mata.
4.

Ukuran Pencapaian Pembangunan Manusia Menurut Tasawur PBI

Berdasarkan tasawur PBI, manusia yang diukur pencapaian pembangunannya dalam
HDI sebelum ini sebenarnya sebagai suatu komposit yang terdiri daripada unsur-unsur
fizikal, roh, akal dan nafsu (Mustapha Hj. Mohd. Jar, 1986:17; Wan Azhar Wan Ahmad,
2014). Islam menjelaskan aspek fizikal itu sebagai diri haywaniyyah (haiwan), manakala
aspek roh itu sebagai diri natiqah (rasional). Simbiosis antara aspek inilah menjadikan
manusia itu manusia. Kedua-duanya saling bergantungan antara satu sama lain untuk
memberi makna kepada kehidupan. Sekiranya salah satunya tiada atau kepentingan
salah satunya terabai, maka manusia tidak lagi cukup sebagai seorang manusia (Wan
Azhar Wan Ahmad, 2014).
Manusia selaku makhluk Allah SWT ini mempunyai fungsi yang lebih khusus daripada
fungsi manusia dalam PL yang beracuankan tasawur lazim. Aktiviti-aktiviti seperti tahap
pendidikan, penjagaan kesihatan tubuh badan, gaya hidup, pengeluaran dan
penggunaan hanyalah sebahagian daripada alat untuk manusia menjalankan atau
mempertahankan fungsi khusus yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka iaitu
sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di bumi ini. Menurut Qutb (1987a:60), hamba
6

Menurut Muhammad Syukri Salleh (2005:169) dan Abdul Rahman Embong (2002:168-169), teori
Modenisasi ini sebenarnya ada hubung kait dengan Falsafah Pembangunan Neo-Klasikal yang
melahirkan sistem kapitalisme. Ibunya ialah sains sosial Barat yang bersifat anti-dogmatis, anti-teologi,
bebas nilai dan saintifik yang berasaskan ilmu daruri dan hujah-hujah akal sahaja. Sifat anti-dogmatis
membahayakan akidah umat Islam, sifat anti-teologi menolak ritualisme dan penganalisisan agama, sifat
bebas nilai menafikan pegangan dan tasawur seseorang, sifat saintifik mengetepikan alam ghaib,
manakala ilmu daruri dan hujah-hujah akal tidak mencukupi untuk memahami fenomena dan
permasalahan pembangunan.

5

Mohd Shukri Hanapi

merupakan fungsi yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT (habl min Allah),
manakala khalifah pula merupakan fungsi yang menghubungkan manusia sesama
manusia (habl min al-nas).
Fungsi pertama manusia adalah sebagai hamba Allah SWT. Ia dijelaskan dalam firman
Allah SWT:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
tujuan mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku” (al-Zariyat, 51:56).7

Ayat ini menerangkan salah satu daripada fungsi utama penciptaan manusia iaitu untuk
mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia merupakan tugas yang menentukan ada hamba
yang menyembah dan ada Tuhan yang disembah (Qutb, 1987c:3374). Perkara ini
digambarkan dalam ungkapan illa liya‘budun (melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadah kepada Allah SWT). Penggunaan perkataan illa adalah untuk hasr
(pembatasan) iaitu dibataskan pengabdian diri kepada Allah SWT sahaja. Manakala
penggunaan huruf lam al-‘illah yang memberi maksud tujuan sebelum perkataan
ya‘budun itu pula dapat menjelaskan lagi bahawa tujuan Allah SWT menciptakan
manusia adalah semata-mata untuk mengabdikan diri dan beribadah kepada-Nya (Ibn
‘Asyur, 2003:25).
Sebenarnya perkara ini juga ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang
bermaksud:
“Diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal r.a. katanya: Ketika aku ditumpangi oleh
Rasulullah SAW dan tidak ada penghalang antara diriku dengan Baginda kecuali
pelepah kayu yang diletakkan di belakang unta, Baginda memanggilku: Wahai
Mu‘az! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu.
Setelah itu Baginda teruskan perjalanan dan memanggilku lagi: Wahai Mu‘az!
Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu.
Kemudian Baginda bertanya: Apakah hak Allah SWT ke atas hamba-Nya? Aku
menjawab: Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda:
Hak Allah SWT ke atas hamba-Nya adalah supaya mereka beribadah kepada-Nya
dengan sebenar-benar dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu perkara pun ”
(Riwayat al-Bukhariy, No. Hadis 6500, Ibn Hajar, 1989b:410). 8

Dalam hadis ini diterangkan bahawa manusia itu adalah sebagai hamba yang
ditugaskan beribadah kepada Allah SWT. Dalam beribadah itu pula, manusia dilarang
mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu apa jua pun.
Berhubung ayat Surah al-Zariyat (51:56) ini juga, al-Tabariy (1992b:476) dan Ibn Kathir
(1992b:255) pula memetik pandangan Ibn ‘Abbas r.a. yang mengatakan bahawa
manusia diciptakan agar mengakui ketuhanan Allah SWT dengan beribadah kepada7

8

Menurut al-Raziy (1990b:199) dan al-Zuhayliy (1991:48) yang memetik pandangan Mujahid mengatakan,
hikmah disebut jin dahulu berbanding manusia kerana jin beribadah secara rahsia tanpa bercampur
dengan rasa riyak. Hal ini berbeza dengan ibadah manusia yang kadangkala timbul riyak dalam diri
mereka.
Dalam satu hadis lain, Mu‘az bin Jabal r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertanya: “Wahai
Mu‘az! Adakah engkau tahu apakah hak Allah ke atas hamba? Lalu Mu‘az menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Setelah itu Baginda SAW bersabda: Hak Allah ke atas hamba-Nya adalah
supaya mereka beribadah kepada-Nya dengan sebenar-benarnya dan tidak menyekutukan-Nya dengan
sesuatu perkara pun. Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi: Adakah engkau tahu apakah pula hak
hamba ke atas Allah? Mu‘az menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Setelah itu Baginda
SAW bersabda: Supaya Allah tidak mengazab mereka” (Riwayat al-Bukhariy, No. Hadis 7373, Ibn Hajar,
1989d:430).

6

Mohd Shukri Hanapi

Nya, baik secara sukarela (taw‘an) mahupun terpaksa (karhan). Hal ini berbeza dengan
padangan Mujahid r.a. yang dipetik oleh al-Maraghiy (1985:13) dan al-Syawkaniy
(1993:131) bahawa manusia diciptakan untuk mengenali Allah SWT. Maksudnya, setelah
manusia benar-benar mengenali Allah SWT iaitu tentang kewujudan dan kebesaranNya, mereka akan mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya.
Meskipun wujud sedikit perbezaan antara kedua-dua tafsiran ini, namun ia tidak
bertentangan pun. Pendapat Ibn ‘Abbas r.a. yang dipetik oleh al-Tabariy (1992b:476) dan
Ibn Kathir (1992b:255) menekankan aspek taqwim (penciptaan) manusia sebagai hamba
Allah SWT, sedangkan pendapat Mujahid r.a. yang dipetik oleh al-Maraghiy (1985:13)
dan al-Syawkaniy (1993:131) pula lebih menekankan aspek taklif (pembebanan
tanggungjawab). Oleh itu, jelaslah bahawa manusia diciptakan sebagai hamba atau
makhluk yang tunduk kepada kehendak Allah SWT sekali gus dibebani dengan
tanggungjawab untuk memanifestasikan ketundukannya iaitu beribadah kepada Allah
SWT.
Pertanggungjawaban fungsi manusia sebagai hamba ini telah ditetapkan sebelum
kelahiran seseorang manusia itu lagi iaitu sewaktu di alam roh. Allah SWT berfirman
yang bermaksud:
“Dan (ingatlah), ketika Tuhan kamu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari
sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya
berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan
kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar pada Hari Kiamat
kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (keturunan anak-anak Adam) adalah
orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” (al-A‘raf, 7:172).

Ayat ini menjelaskan perihal perjanjian yang berlaku ketika seluruh zuriat bangsa
manusia berada di alam roh sebelum kelahiran fizikal mereka di alam dunia ini. Mereka
melafazkan kesaksian sekali gus perjanjian tentang ketuhanan Allah SWT iaitu hakikat
Tauhid Rububiyyah 9dan Tauhid Uluhiyyah10 (Ibn Kathir, 1992a:272; al-Qurtubiy,
1993b:202; Qutb, 1987b:1392). Jelas di sini bahawa peristiwa ini sebagai pangkal
tempat titik tolaknya seluruh kehidupan manusia. Setelah manusia mengiktiraf Tuhan,
manusia sebenarnya telah menyerahkan jiwa dan raganya untuk patuh dan
mengabdikan diri kepada-Nya. Justeru, apabila Tuhan yang dipersaksikan itu
menurunkan titah perintah melalui al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya, manusia wajib akur
dan tunduk.
Seluruh manusia, terutamanya umat Islam harus mengingat kembali kesaksian dan
perjanjian ini dan harus mengatur tindak-tanduk seluruh aspek kehidupan mereka dalam
kepatuhan kepada titah perintah Allah SWT sesuai dengan kesaksian dan pengakuan
mereka. Menginsafi peristiwa ini, setiap pelaksanaan tugas-tugas dan tanggungjawabtanggungjawab mestilah dalam ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Tidak wajar
sekiranya manusia yang mengaku janji taat setia terhadap sesuatu wibawa autoriti,
9

Al-Rububiyyah berasal daripada perkataan rabb yang bermaksud mendidik, membaiki, mengumpul dan
sebagainya (Mas‘ud, 1990a:1586), manakala rabb bererti ketua, raja, pendidik, pentadbir dan pengurus.
Ia
adalah antara nama-nama Allah SWT yang baik. Secara terminologi al-Rububiyyah bermaksud
mengakui
dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT merupakan Tuhan, Pencipta, Pemilik dan
Pentadbir seluruh
alam ini yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana tanpa ada satu kuasa pun
yang dapat menandinginya
(Ibn Manzur, 1994a:401; Abdullah Yasin, 1990:84).
10
Al-Uluhiyyah berasal daripada perkataan aliha, ya’lahu, ilahatan dan uluhiyyatan. Perkataan al-Ilah adalah
satu kata nama yang bererti sesuatu yang disembah (Mas‘ud, 1990a:225), manakala Uluhiyyah pula
bermaksud peribadatan atau perhambaan (Ibn Manzur, 1994a:467). Secara terminologi, al-Uluhiyyah
bermaksud mengakui bahawa hanya Allah SWT yang Esa, yang layak disembah, ditaati dan dipatuhi
secara mutlak. Paksi kepada Tauhid Uluhiyyah ini ialah dua kalimah syahadah (Abdullah Yasin, 1990:87;
Muhammad Lazim Lawiy, 2005:10).

7

Mohd Shukri Hanapi

tetapi kemudiannya melakukan segala keingkaran dan pengkhianatan kepada perakuan
itu.
Apabila dalam tasawur PBI itu manusia berfungsi sebagai hamba Allah SWT, maka ia
membawa maksud segala usaha pembangunan yang dilakukan itu adalah semata-mata
untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Ia meletakkan setiap usaha pembangunan
yang dilakukan itu sebagai ibadah yang akan memperoleh ganjaran pahala di akhirat
kelak.
Selain berfungsi sebagai hamba Allah SWT, manusia juga berfungsi sebagai khalifah
Allah SWT. Fungsi kedua manusia ini dijelaskan dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka
bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau
(Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana
dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih
dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku
mengetahui akan perkara yang kamu tidak mengetahuinya” (al-Baqarah, 2:30).

Ayat ini jelas mempamerkan fungsi manusia sebagai khalifah di bumi. Hal ini dapat
dibuktikan melalui penggunaan perkataan ja‘il (penjadi) dalam ayat tersebut. Menurut alTabariy (1991a:236) dan al-Qurtubiy (1993a:182), perkataan ja‘il dalam ayat tersebut
bermakna khaliq (Pencipta). Pentafsiran mereka ini berdasarkan pandangan Abu Rawq
yang mengatakan semua perkataan ja‘ala dalam al-Qur’an itu sama makna dengan
perkataan khalaqa (cipta). Meskipun demikian, Abdul Muin Salim (2002:87-88)
menyatakan terdapat perbezaan makna antara perkataan khalaqa dengan ja‘ala
sebelum ini. Perkataan khalaqa bermakna menciptakan sesuatu daripada tiada kepada
ada. Ia mengandungi makna dasar pemberian yang berbentuk fizikal dan psikologi.
Manakala perkataan ja‘ala pula bermakna menetapkan suatu kedudukan bagi sesuatu
yang lain11. Maksudnya ialah manusia dijadikan atau ditetapkan oleh Allah SWT
berfungsi sebagai khalifah di bumi ini setelah diciptakan. Ia lebih kepada aspek fungsi
penciptaan manusia.
Sebenarnya kekhalifahan itu merupakan keutamaan yang diberikan oleh Allah SWT
kepada manusia berbanding semua makhluk-Nya yang lain. Menurut al-Raziy
(1990a:152), Allah SWT menyerahkan tugas khalifah kepada manusia sebagai satu
nikmat umum ke atas Nabi Adam a.s. dan semua anak cucunya. Selain itu, penyerahan
tugas khalifah ini juga sebagai satu ujian dan penghormatan kepada manusia (M.
Quraish Shihab, 1996:140). Oleh itu, jelaslah bahawa penugasan manusia sebagai
khalifah ini merujuk kepada tanggungjawab atau beban tugas dalam mengurus,
mentadbir dan membangunkan bumi ini mengikut prinsip-prinsip Islam (Ahmad Zainal
Abidin et al., 2006:19). Dalam perkataan lain, manusia itu adalah sebagai pelaku
pembangunan.
Manusia yang berfungsi sebagai khalifah di bumi ini mempunyai beberapa tugas dan
tanggungjawab tertentu. Selain memperhambakan diri kepada Allah SWT (al-Zariyat,
51:56) mereka juga mempunyai tugas-tugas lain. Antara tugas tersebut adalah
menegakkan hukum Allah SWT di atas muka bumi ini dengan adil dan saksama (Sad,
11

Menurut M. Quraish Shihab (2003a:138-140 & 2003b:120-121), penggunaan perkataan khalaqa adalah
bagi menunjukkan Allah SWT mewujudkan sesuatu daripada bahan yang belum ada serta menekankan
bahawa kewujudan tersebut sangat hebat, malah yang lebih hebat lagi ialah Penciptanya. Manakala
penggunaan perkataan ja‘ala pula adalah bagi menunjukkan Allah SWT mewujudkan sesuatu daripada
bahan yang telah ada sebelumnya serta menekankan bahawa kewujudan itu sangat bermanfaat dan perlu
dimanfaatkan.

8

Mohd Shukri Hanapi

38:26) dan ditugaskan memakmurkan bumi ini yang merangkumi manusia itu sendiri,
haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seluruh makhluk ciptaan Allah SWT yang lain (Hud,
11:61). Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Ista‘marakum bermaksud menjadikan kamu sebagai pemakmur (khalifah)” (Riwayat
al-Bukhariy, No. Hadis 4684, Ibn Hajar, 1989a:449).

Menurut M. Quraish Shihab (2009:246), kekhalifahan itu mempunyai tiga unsur yang
saling berkaitan. Pertama, manusia itu sebagai khalifah. Ia digambarkan dalam
ungkapan-ungkapan inni ja‘il fi al-ard khalifah (kami jadikan seorang khalifah di bumi) (alBaqarah, 2:30) dan inna ja‘alnaka khalifah (kami menjadikan kamu khalifah) (Sad,
38:26). Peranan manusia ini walaupun tidak dijelaskan secara tersurat dalam ayat Surah
Hud (11:61), namun ia tetap dinyatakan secara tersirat. Hujahnya ialah manusialah yang
ditugaskan memakmurkan muka bumi ini sebagaimana yang terdapat dalam ungkapan
wa ista‘marakum fiha (menghendaki kamu memakmurkannya). Kedua, alam semesta. Ia
digambarkan menerusi ungkapan fi al-ard (bumi) (al-Baqarah, 2:30 & Sad, 38:26) dan
wa ista‘marakum fiha (Hud, 11:61). Ketiga, hubungan antara manusia dengan alam
semesta dan segala isinya. Termasuk juga di sini ialah hubungan dengan manusia. Hal
ini digambarkan dalam ungkapan fa ahkum bayna al-nas (berilah keputusan tentang
sesuatu perkara di antara manusia) (Sad, 38:26) dan istilah fiha (di bumi) (Hud, 11:61).
Hubungan ini walaupun tidak dinyatakan secara tersurat dalam ayat Surah al-Baqarah
(2:30) sebelum ini, namun ia tetap dinyatakan secara tersirat. Hujahnya ialah tidak ada
sebarang erti jika khalifah itu tidak disertai dengan penugasan atau istikhlaf.
Apabila dalam tasawur PBI itu manusia berfungsi sebagai khalifah Allah SWT, maka
mereka berinteraksi sesama manusia dan sumber alam dengan penuh rasa
tanggungjawab, amanah, berakhlak, dan penuh etika, sesuai dengan peranan mereka
sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini. Dalam hal ini, mereka sentiasa
menghubungkan diri mereka dengan sesama manusia dan sumber-sumber alam (habl
min al-nas).
Berdasarkan perbincangan ini jelaslah bahawa ukuran pencapaian pembangunan
manusia menurut tasawur PBI tidaklah tertumpu pada aspek fizikal semata-mata, malah
ia mengambil kira aspek spiritual seperti iman dan takwa. Hal ini kerana Allah SWT
bukan sahaja menciptakan manusia untuk membangunkan muka bumi, malah untuk
sesuatu yang lebih penting daripada itu iaitu untuk beribadah kepada-Nya.
5.

Analisis Kecukupan Ukuran Pencapaian Pembangunan Manusia Dalam HDI
Berdasarkan Tasawur PBI

Manusia yang diukur dalam HDI adalah sama seperti manusia dalam teori PL. Dalam
teori PL, manusia dianggap sebagai makhluk ekonomi yang fungsinya hanya sebagai
pengeluar atau pengguna. Dalam hal ini, yang diukur dan diambil kira hanyalah aspek
kekuatan fizikal, tahap pendidikan, akal, kemahiran, kesihatan, gaya hidup dan segala
perkara yang berbentuk lahir semata-mata. Bukan sekadar itu, malah manusia dianggap
sebagai penentu segala sesuatu (measure of all things), pembawa dan sumber segala
hak. Jelas di sini bahawa manusia dalam teori PL tidak lebih daripada barangan dan
alat.
Fungsi manusia dalam teori PL ini jelas bertentangan dengan fungsi manusia menurut
tasawur PBI iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Status manusia sebagai
hamba dan khalifah Allah SWT ini membuatkan pelaku PBI mempunyai falsafah dan
fungsi yang berbeza dengan pelaku PL. Sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, mereka
terlibat dengan aktiviti pembangunan sebagai salah satu cara mengabdikan diri kepada
9

Mohd Shukri Hanapi

Allah SWT. Dalam hal ini mereka terus menerus mempertahankan rasa kehambaan
kepada Allah SWT dan tugas kekhalifahan yang dipikul.
Fungsi khusus manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT menurut tasawur PBI
sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini direalisasikan menerusi dua dimensi
perhubungan. Fungsi manusia selaku hamba Allah SWT direalisasikan menerusi
hubungan menegaknya dengan Allah SWT (habl min Allah) selaku Pencipta, manakala
fungsi sebagai khalifah Allah SWT direalisasikan dalam hubungan mendatar sesama
manusia dan sumber alam selaku makhluk-makhluk Allah SWT (habl min al-nas).
Dengan status manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT inilah, Muhammad
Syukri Salleh (2003a:15) menyatakan manusia sebagai pelaku pembangunan dalam
teori PBI berbeza dengan fungsi manusia sebagai pelaku pembangunan dalam teori PL.
Perbezaan ini dapat dilihat dalam dua aspek utama. Pertama, pelaku PBI mempunyai
falsafah dan fungsi yang berbeza dengan PL. Sebagai hamba Allah SWT, mereka
terlibat dengan aktiviti pembangunan sebagai salah satu cara mengabdikan diri atau
beribadah kepada Allah SWT. Dalam melakukan ibadah ini, mereka sentiasa
mempertahankan rasa kehambaan mereka kepada Allah SWT. Sebagai khalifah Allah
SWT pula, mereka berinteraksi sesama manusia dan sumber alam dengan penuh rasa
tanggungjawab, amanah, berakhlak, dan penuh etika, sesuai dengan peranan mereka
sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini; dan kedua, pelaku PBI tidak terikat
dengan hanya aspek-aspek ekonomi yang dinilai dengan ukuran produktiviti,
pengeluaran dan kepenggunaan semata-mata, sebagaimana yang difahami dengan
pelaku PL. Sebaliknya, sebagai hamba Allah SWT, pelaku pembangunan dalam PBI
tidak putus hubungannya dengan Allah SWT (habl min Allah), di samping sebagai
khalifah Allah SWT yang sentiasa menghubungkan diri mereka dengan sesama manusia
dan sumber-sumber alam (habl min al-nas). Ganjaran untuk amalan menegakkan
kedua-dua hubungan ini bukan sahaja didapati di dunia dalam bentuk material, tetapi
juga di akhirat dalam bentuk syurga yang sungguh membahagiakan.
Gabungan kedua-dua fungsi utama penciptaan manusia inilah merupakan hakikat
manusia yang berfungsi sebagai pelaku pembangunan menurut tasawur PBI. Menurut
Muhammad Syukri Salleh (2003a:31 & 2007a:48-49), sebagai pelaku pembangunan,
manusia mestilah mempertahankan status mereka sebagai hamba dan khalifah di muka
bumi. Dengan itu, pelaku pembangunan dipercayai tidak dilahirkan hanya untuk
menjalankan fungsi yang stereotaip dan sirkularistik seperti mengguna, membesar,
belajar, bekerja, berkeluarga, reproduktif dan meninggal dunia. Mereka juga tidak boleh
dianggap hanya sebagai manusia pengeluar atau pengguna yang hanya mengambil kira
kekuatan fizikal, akal, kemahiran dan segala perkara yang berbentuk lahiriah sematamata. Segala aktiviti pengeluaran dan kepenggunaan hanyalah sebahagian daripada
alat manusia untuk membuktikan pengabdiannya kepada Allah SWT yang telah
ditetapkan sejak manusia berada di alam roh lagi (al-A‘raf, 7:172 & al-Hadid, 57:8).
Selain itu, ia juga sebagai alat untuk memenuhi keperluan hidupnya sebagai manusia
biasa. Dalam apa jua aktiviti dan perbuatan mereka, status sebagai hamba dan khalifah
Allah SWT tidak boleh lekang darinya.
6.

Kesimpulan

Berdasarkan keseluruhan perbincangan dalam makalah ini, didapati pencapaian
manusia dalam HDI diukur berdasarkan aspek kesihatan, tahap pendidikan dan gaya
hidup. Jelaslah bahawa pengukuran pencapaian manusia dalam HDI hanya dari aspek
fizikal dan keupayaannya semata-mata. Ia tidak mengambil kira aspek spiritual. Oleh itu,
fungsi manusia yang diukur pencapaiannya dalam HDI hanyalah manusia fizikal, atau
pseudo-manusia, iaitu manusia yang tidak lengkap sebagai satu manusia. Ia hanyalah
10

Mohd Shukri Hanapi

merujuk kepada kekuatan fizikal, keupayaan produktiviti dan akal manusia. Aspek
kerohanian seperti iman dan takwa tidak diambil kira. Hal ini jelas bertentangan dengan
fungsi sebenar manusia berdasarkan tasawur al-Qur’an, iaitu sebagai hamba dan
khalifah Allah SWT.
Penghargaan
Makalah ini adalah sebahagian daripada hasil kajian yang berjudul Tasawur
Pembangunan Berteraskan Islam: Kajian Berdasarkan Hadith Dalam Sahih Al-Bukhariy
(16 Ogos 2014-15 Ogos 2016) yang dibiayai oleh Geran Jangka Pendek, Universiti
Sains Malaysia, Pulau Pinang [304/CISDEV/6313062].
Rujukan
Abdul Muin Salim (2002). Fiqih Siyasah: Konsep Kekuasaan Politik Dalam Al-Qur’an. Jakarta: PT
Raja Grafindo Persada.
Abdul Rahman Embong (2002). Pembangunan: Daripada Modenisasi Kepada Globalisasi, dlm.
Misran Rokimin, James Francis Ongkili & Azmi Aziz (Eds.), Falsafah dan Peradaban
Pembangunan. Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Abdullah Yasin (1990). Hakikat Dua Kalimah Syahadat. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa. (1985). Tafsir al-Maraghiy, Jld. 27. Beirut, Lubnan: Dar Ihya’ alTurath al-‘Arabiy.
Al-Qurtubiy, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansariy. (1993a). Al-Jami‘ li Ahkam alQur’an, Jld. 1. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Qurtubiy, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansariy. (1993b). Al-Jami‘ li Ahkam alQur’an, Jld. 7. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Raziy, Fakhr al-Din. (1990a). Al-Tafsir al-Kabir aw Mafatih al-Ghayb, Jld. 2. Beirut, Lubnan: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Raziy, Fakhr al-Din. (1990b). Al-Tafsir al-Kabir aw Mafatih al-Ghayb, Jld. 27. Beirut, Lubnan:
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Syawkaniy, Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad. (1993). Fath al-Qadir al-Jami‘ Bayn al-Fannay
al-Riwayat wa al-Dirayat min ‘Ilm al-Tafsir, Jld. 5. Kaherah: Dar al-Hadith.
Al-Tabariy, Abi Ja‘far Muhammad bin Jarir. (1992a). Tafsir al-Tabariy al-Musamma Jami‘ al-Bayan
fi Ta’wil al-Qur’an, Jld. 1. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Tabariy, Abi Ja‘far Muhammad bin Jarir. (1992b). Tafsir al-Tabariy al-Musamma Jami‘ al-Bayan
fi Ta’wil al-Qur’an, Jld. 11. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Zuhayliy, Wahbah. (1991). Al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj, Jld. 27.
Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr al-Mu‘asir.
Bauman, Z. (1991). Modernity and Ambivalence. Cambridge: Polity Press
Badan Perencanaan Pembangunan Daerah Kota Lhokseumawe (2013). Penghitungan dan
Analisis Indeks Pembangunan Manusia Kota Lhokseumawe 2013. Kota Lhokseumawe, Aceh:
Badan Pusat Stat ist ik beker jasama dengan Badan Perencanaan Pembangunan Daerah
Kota Lhokseumawe
H.A. Fuad Ihsan (2010). Filsafat Ilmu. Jakarta: PT Rineka Cipta.
Habermas, J. (1985). The Philosophical Discourse of Modernity. Massachusetts: The MIT Press
Cambridge.
Hermansen, M. K. (1996). “Modernity and Religious Worldviews – The Challenge of Classical
Islamic Religious Thought for Contemporary Muslim Intellectuals”, dlm. Sharifah Shifa al-Attas
(ed.), Islam and The Challenge of Modernity: Historical and Contemporary Contexts, hlm.
509-534. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
Ibn ‘Asyur, Muhammad Tahir. (2003). Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Jld. 11. Tunisia: Dar Sahnun li
al-Nasyr wa al-Tawzi‘.
Ibn Hajar, Abi al-Fadl Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalaniy. (1989a). Fath alBariy Syarh Sahih al-Bukhariy, Jld. 8, Baz, ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah & ‘Abd al-Baqiy (Eds.),
Muhammad Fu’ad. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ibn Hajar, Abi al-Fadl Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalaniy. (1989b). Fath alBariy Syarh Sahih al-Bukhariy, Jld. 11, Baz, ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah & ‘Abd al-Baqiy
(Eds.), Muhammad Fu’ad. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

11

Mohd Shukri Hanapi

Ibn Kathir, al-Hafiz Abi al-Fida’ Isma‘il. (1992a). Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 2. Beirut, Lubnan:
Dar al-Ma‘rifah.
Ibn Kathir, al-Hafiz Abi al-Fida’ Isma‘il. (1992b). Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 4. Beirut, Lubnan:
Dar al-Ma‘rifah.
Ibn Manzur, Abi al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukram al-Afriqiy al-Misriy. (1994a). Lisan
al-‘Arab, Jld. 4. Beirut, Lubnan: Dar Sadir.
Joshi, Hemlata. (2008). Human Development Index Rajasthan: Spatio-Temporal and Gender
Appraisal at Panchayat Samiti/Block Level (1991-2001). New Delhi, India: Concept Publishing
Company.
Khalif Muammar A. Haris (2012). “Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan”, dlm.
Jurnal Hadhari, 4 (1) (2012), hlm. 23-48.
Lewis, W. Arthur. (1982). Teori Pertumbuhan Ekonomi (Some Aspects of Economic
Development), terj. Bahagian Buku Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
M. Quraish Shihab (1996). Wawasan Al-Qur’an: Tafsir Maudhu‘i Atas Pelbagai Persoalan Umat.
Bandung: Penerbit Mizan.
M. Quraish Shihab (2003a). Tafsir Al-Misbah Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Qur’an, Jld. 1.
Jakarta: Penerbit Lentera Hari.
M. Quraish Shihab (2003b). Tafsir Al-Misbah Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Qur’an, Jld. 7.
Jakarta: Penerbit Lentera Hari.
M. Quraish Shihab (2009). Membumikan Al-Qur’an: Fungsi dan Peranan Wahyu Dalam
Kehidupan Masyarakat. Bandung: Penerbit Mizan.
Mas‘ud, Jubran. (1990a). Al-Ra’id Mu‘jam Lughawiy ‘Asriy, Jld. 1. Beirut, Lubnan: Dar al-‘Ilm li alMalayin.
Mill, John Stuart. (1844). Essays on Some Unsettled Questions of Political Economy. London:
John W. Parker, West Strand.
Muhammad Lazim Lawiy (2005). Tawhid al-Uluhiyyah: Mafhumuh wa Haqiqatuh. Yala, Pattani:
Qism Usul al-Din, Kulliyyah al-Dirasat al-Islamiyyah.
Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Syukri Salleh (2003a). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur:
Zebra Editions Sdn. Bhd. dan Pulau Pinang: Projek Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Muhammad Syukri Salleh (2003b). Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam: Konsep dan
Perkaedahan (Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor). Pulau Pinang: Penerbit Universiti
Sains Malaysia.
Muhammad Syukri Salleh (2005). “Islam Hadhari di Malaysia: Versi dan Elemen Pembangunan
Berteraskan Islam”, dlm. Sivamurugan Pandian et al. (Ed.), Abdullah Ahmad Badawi: Satu
Tahun di Putrajaya. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Mustapha Hj. Mohd. Jar (1986). Konsep Manusia Dari Perspektif Barat dan Islam, dlm. Wan
Hashim & Mahayudin Haji Yahaya (Eds.), Sains Sosial Dari Perspektif Islam. Bangi, Selangor:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Qutb, Sayyid. (1987a). Fi Zilal al-Qur’an, Jld. 1. Kaherah: Dar al-Syuruq.
Qutb, Sayyid. (1987b). Fi Zilal al-Qur’an, Jld. 3. Kaherah: Dar al-Syuruq.
Qutb, Sayyid. (1987c). Fi Zilal al-Qur’an, Jld. 6. Kaherah: Dar al-Syuruq.
Rahimah Abdul Aziz (2001). Pengantar Sosiologi Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP).
Sadono Sukirno (1985). Ekonomi Pembangunan Proses, Masalah dan Dasar Kebijaksanaan.
Jakarta: Lembaga Penerbit Fakultas Ekonomi Universitas Indonesia.
Sidek Baba (2006). Pendidikan Rabbani. Selangor: Karya Bestari Sdn. Bhd.
Sobri Salamon (1988). Konflik Antara Islam dan Marxisme dan Satu Kes Kajian Kedudukan Islam
di USSR dan China. Selangor: Al-Rahmaniah Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia.
Sobri Salamon (1989). Ekonomi Islam Pengenalan Sistem dan Kemungkinan. Selangor: AlRahmaniah Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia.
Stanton, Elizabeth Anne. (2007). Inequality and the Human Development Index. A dissertation
submitted to the Graduate School of the University of Massachusetts Amherst in partial
fulfillment of the requrements for the degree of Doctor of Philosophy. Unpublished.
Todaro, Michael P. (1977). Economic Development in the Third World. London: Longman Group
Limited.

12

Mohd Shukri Hanapi

Todaro, Michael P. & Smith, Stephen C. (2006). Economic Development Ninth Edition. England:
Pearson Education Limited.
Wan Azhar Wan Ahmad (2014). Hak Asasi Manusia: Faham Kontemporari vs Kebenaran Qur’ani,
Majalah Dakwah, Januari/Februari, Bil. 23, hlm. 4-10.

13