SEJARAH PERKEMBANGAN DAKWAH ISLAMIYAH DI

SEJARAH PERKEMBANGAN DAKWAH ISLAMIYAH DI SARAWAK 1968-19851
Oleh:
Abdul Razak Abdul Kadir
ABSTRAK
Sejarah Islam di Sarawak tidak terlepas daripada pengaruh Brunei yang menguasai sebahagian besar
kawasan Sarawak pada abad ke-17 hingga ke-19. Bahkan kawasan Sarawak semasa pemerintahan Brunei adalah
kecil iaitu kawasan Kuching sekarang. Dalam lima abad tersebut, Islam dilihat dalam bentuk sejarah penguasaan
pemerintahan kesultanan Brunei. Fasa penjajahan kuasa asing di Sarawak bermula ketika pengaruh keluarga
Brooke datang ke Borneo. Sedikit demi sedikit kawasan Sarawak dikuasai oleh penjajah. Kesan penjajahan
tersebut menyebabkan gerakan Kristianisasi bermula. Mubaligh Kristian yang sekaligus merupakan doktor
perubatan dijemput oleh penjajah datang ke Sarawak dalam usaha menyebarkan ajaran Kristian di Sarawak.
Pengaruhnya hanya diterima oleh masyarakat peribumi iaitu orang dayak. Manakala masyarakat Melayu
meskipun belajar di sekolah mission, tetapi akidah mereka masih terpelihara. Gerakan Kristian beralih arah
kepada masyarakat bukan peribumi seperti kaum Cina di Sarawak. Dapata kajian mendapati sejarah
perkembangan dakwah Islamiyah di Sarawak dibahagikan kepada dua fasa iaiatu fasa Pasca Kongres Islam
Malaysia Timor dan fasa gelombang Islamisasi di Semenanjung Malaysia era1980-an dan mempengaruhi di
Sarawak. Lahir kebangkitan semula Islam di kalangan masyarakat Melayu, kesan pendidikan Islam di Madrasah
Al-Islamiyah sehingga British terpaksa mewujudkan sekolah yang sama dengan Madrasah Al-Islamiyah iaitu
Madrasah Melayu. Meskipun sebahagian besar orang Melayu terpengaruh, namun sekelompok kecil di kalangan
mereka yang bertahan terus mempertahankan pendidikan Islam tersebut. Alumni pelajar madrasah tersebut
seperti Abdul Kadir Hassan, Mohd Mortadza Hj. Daud, Anis Abot dan lain-lain memikirkan satu langkah baru

iaitu mewujudkan wacana baru bagi masyarakat Islam iaitu melalui Kongres Islam Malaysia Timor. Wadah
tersebut melahirkan gerakan dakwah yang lebih tersusun dan terorganisasi iaitu seperti Angkatan Nahdatul Islam
Bersatu (BINA). Majlis Islam Sarawak yang tertubuh awal sebelum itu dapat ‘bergerak’ dengan bantuan BINA.
Selepas itu, dakwah Islamiyah bergerak dengan tersusun rapi. Yang paling ketara gelombang era 1980-an yang
menjadikan dakwah lebih fokus dan terarah.
Kata Kunci: Sejarah, Perkembangan, Dakwah, Islamiyah, Sarawak
A. PENDAHULUAN
Gerakan dakwah Islamiyah di Borneo bermula pada abad ke 17 dalam bentuk institusi pemerintahan
ketika pemerintahan Kesultanan Brunei menguasai sebahagian besar kepulauan Borneo dan sekitarnya. Namun
demikian proses dakwah terencat dan hambat dalam pentas sejarah apabila pemerintahan keluarga Brooke dan
kerajaan British memasuki kawasan Sarawak dan sekitarnya dan sekaligus menjajahnya.(Sanib Said, 1985, h.
181-183)
Kesan daripada penjajahan yang panjang tersebut melahirkan masyarakat Islam yang jauh daripada
pegangannya kerana budaya barat mulai mempengaruhi kehidupan muda mudi masyarakat Islam. Gerakan sosio
masyarakat zaman Brooke dan kerajaan British lebih memfokuskan kepada hiburan yang dipandang tidak sihat
dalam ajaran Islam. Sekitar tahun 1920-an lahir beberapa kelab seperti Kampung Tanjung Kesenangan Club
(1926), Sinjan Music Club dan Sourbaya Jolly Minsterel.(Sanib Said, 1985, h. 181-183)
Kebangkitan masyarakat Islam lahir daripada institusi pendidikan Islam seperti berdiri Madrasah AlIslamiyah. Ibubapa begitu ghairah menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut. Namun demikian,
kebangkitan tersebut disambut resah oleh pemerintah British. British mendiri sekolah yang setanding dengan
Madrasah Al-Islamiyah dengan mendirikan Madrasah Melayu. Hadirnya sekolah tersebut dengan daya tarikan

yang kuat, maka Madrasah Al-Islamiyah mengalami kemerosotan dari segi jumlah pelajar kerana ramai yang
berpindah ke Madrasah Melayu. ( Anis Abot, 2005, Temubual)
B. PERBINCANGAN
1. Semangat Kesedaran Islam
Dalam arus kebangkitan Islam yang sederhana, generasi muda yang lahir daripada Madrasah AlIslamiyah seperti Abdul Kadir Hassan, Mohd Mortadza Hj. Daud, Anis Abot, Fathi Duet dan rakan-rakan yang
lain merangka kerja dakwah dalam wadah MIS. Mereka mahu “kelesuan” masyarakat Islam dalam era tersebut
dapat dibangkitkan daripada tidur yang panjang. Lahirnya idea untuk mewujudkan sebuah kongres untuk
menyatukan para pelajar agar kembali menghayati Islam.
Kongres Islam Malaysia Timor [Timur] diadakan pada 3 hingga 5 Mei 1968 di Dewan Masyarakat
Kuching, Sarawak yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (PERKIS). Kongres ini melahirkan
1

Kertas Kerja ini telah dibentangkan dalam SeminarAntarabangsa Agama dan Pembangunan V di UIN
Alauddin Makassar, Sulawesi, Indonesia pada 10-11 Jun 2010

pembaharuan gerakan Islam di Sarawak dan Sabah. Badan dakwah seperti Angkatan Nahdatul Islam Bersatu
(BINA) di Sarawak dan USIA di Sabah lahir daripada kongres ini. Harapan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
adalah: (Cenderamata Konggres Islam Malaysia Timor [Timur],1968, h. 20
“Saya merasa yakin bahawa Kongres yang seperti ini dapat menghasilkan berbagai-bagai
faedah untuk kepentingan ugama kita yang maha suchi [suci]. Dalam zaman ini, kita sentiasalah [sentiasalah] menghadapi dengan berbagai-bagai rupa dan bentok perchubaan [percubaan],

dan kira-nya umat Islam tidak bersatu-padu untok [untuk] menentang perchubaan2 [percubaanpercubaan] itu, maka akan lemah dan tertinggal ka-belakang [ke belakang] ugama kita yang
maha suchi [suci] dan juga penganut2-nya. Umat Islam perlu bermuafakat di-antara [di antara]
satu sama lain di-atas masa’alah2 [masalah-masalah] yang boleh menguatkan pendirian kita,
dan menyelamatkan serta memelihara hukum2 [hukum-hukum] Allah dan ajaran2 pesuroh-Nya
[pesuruhNya] Nabi Muhammad Sallallahu’ Alaihi Wassalam”
Beberapa resolusi penting lahir daripada kongres tersebut ialah; (i) mendesak supaya “Common
Entrance Examination” dihapuskan; (ii) mendesak supaya pelajaran Islam dijadikan satu mata pelajaran wajib
bagi murid- murid Islam di sekolah-sekolah; (iii) berpendapat adalah wajar mata pelajaran mengenai peradaban
Islam diajarkan di sekolah-sekolah; dan (iv) berpendapat masanya sudah tiba bagi orang Islam memikirkan
untuk melaksanakan gerakan dakwah. (Sepuluh Tahun BINA 1969-1979,1979, h. 95)
2. Fasa 1- Penyusunan Program Dakwah Teratur 1968-1979
BINA berperanan penting dalam menjalankan dakwah secara terbuka di Sarawak. Majlis Islam Sarawak
(MIS) yang lahir sebelum itu, tidak mampu bergerak kerana kekurangan kakitangan, sumber kewangan dan
kawalan pemerintah (yang dipegang oleh bukan Islam). BINA melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi bersetuju
mengadakan program kursus pelajar Islam menengah selama seminggu. Program tersebut dijalankan dengan
kerjasama MIS yang menyediakan tenaga penceramah seramai tiga orang (Presiden MIS dan dua orang
penceramah). Kursus diadakan daripada 14 hingga 19 April 1969 dengan sasaran peserta seramai seratus orang.
(The Sarawak Tribune, 27 Februari 1969). Program tersebut diadakan di Sekolah Rakyat Rendah Hj. Bolhassan,
Kuching. Sasaran peserta yang pada awalnya seratus orang bertambah seramai dua ratus sepuluh orang. Perkara
yang menarik adalah penceramah yang diundang adalah daripada luar negeri iaitu daripada Indonesia, Muchtar

Lintang daripada Institut Agama Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.(The Sarawak Tribune,12 April 1969)
Program yang sama turut diadakan di Simanggang (Sri Aman). Seramai enam puluh orang pelajar Islam
mengikut kursus asas kefahaman Islam. Program yang dianjurkan oleh BINA dan MIS sebagai tulang belakang
kepada program dakwah mendapat perakuan oleh Menteri Kebajikan, Abang Ikhwan Zaini dan beliau menggesa
masyarakat Islam menyokong program-program yang dianjurkan oleh kedua-dua organisasi tersebut. Muchtar
Lintang turut dijemput untuk memberikan ceramah dalam program tersebut. (The Sarawak Tribune,18 Ogos
1970)
Kehangatan sambutan program yang dijalankan oleh BINA dan disokong oleh MIS menjadikan ia
sebagai landasan untuk meneruskan aktiviti tersebut. Sokongan kuat oleh pemerintah negeri Sarawak, terutama
daripada Ketua Menteri Sarawak sendiri menjadikan cita-cita dan harapan daripada Kongres Malaysia Timur 1
jadi kenyataan. Buktinya semakin banyak program kesedaran keagamaan dijalankan terutama memfokuskan
para belia dan pelajar. Minggu dakwah yang dijalankan di Dewan Masyarakat Kuching mendapat sambutan yang
hebat oleh para pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Universiti Malaya. Ketua Menteri Sarawk, Dato’ Hj.
Abdul Rahman Yaakub begitu yakin dan gembira dengan hakikat para pelajar yang memainkan peranan yang
cukup penting dalam agenda yang direncanakan.(The Sarawak Tribune, 17 April 1971)
Kenyataan gerakan dakwah semakin berkembang di Sarawak. Gerakan Bulan Dakwah yang dianjurkan
oleh Kerajaan Persekutuan mendapat sambutan yang positif di Sarawak. Kerajaan Negeri Sarawak melalui MIS
dan BINA mengadakan program bersama. Beberapa program dijalankan dengan memfokuskan golongan sasaran
iaitu para pelajar dan ibubapa. Acara kemuncak dalam program tersebut adalah program di pagi hari yang
dimulai jam 4.30 pagi. Program dimulai dengan acara bacaan Tarhim dan al-Quran (dibaca oleh Morshidi Abot).

Selepas itu, ceramah disampaikan oleh Abdul Kadir Hassan (1928-1988). Perkara yang menarik adalah masjid
dan surau di tempat masing-masing seluruh Sarawak membuka radio pada jam 4.30 pagi untuk bersama-sama
menyambut program tersebut bersama-sama.(The Sarawak Tribune, 25 November 1978)
3. Fasa 2- Penyusunan Program Dakwah Teratur 1980-1985
Gerakan dakwah Islamiyah secara teratur bermula ketika era 1980-an. Semangat gerakan ini seiring
dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia. Sebelum tahun 1980-an, gerakan dakwah tidak tersusun secara
betul, meskipun MIS dan BINA sudah wujud sebagai wadah organisasi bagi perkembangan Islam di Sarawak.
Dalam masa yang sama, pengaruh barat dan anasir jahat semakin menular ke masyarakat Islam di Sarawak. Ini

menyebabkan gerakan dakwah semakin tertekan dan terhambat. Keresahan tersebut dilontarkan oleh Yang
Dipertua MIS, Mohd. Fauzi Hj. Abdul Hamid sewaktu taklimat sempena lawatan Abdul Taib Mahmud.(Teks
Taklimat Oleh Datuk Hj. Mohd. Fauzi Bin Hj. Abdul Hamid, 23 April 1981)
Namun demikian, MIS merancang menubuhkan Bahagian Dakwah untuk menyelaras program dakwah
yang dianjurkan dan permintaan ceramah daripada orang ramai. Ini dapat memperkemaskan gerakan dakwah di
peringkat MIS. Gerakan dakwah dibahagi kepada dua sasaran iaitu dakwah dalaman dikhususkan kepada orang
Islam sendiri dan dakwah luaran dikhususkan kepada kepada bukan Islam. Bagi dakwah kepada bukan Islam,
MIS bekerjasama dengan BINA untuk tujuan tersebut.(Ibid.)
Program dakwah Islamiyah ini membawa kepada kerjasama erat antara badan kerajaan dan bukan
kerajaan seperti MIS, INDAH, PERKIS dan BINA. Kerjasama ini membawa gerakan bersama dalam merancang
dakwah Islamiyah di Sarawak sama ada untuk kalangan pegawai kerajaan, bukan kerajaan, masyarakat bandar,

kampung dan Saudara Kita.
Keperluan kerjasama tersebut dapat mengelak daripada pertindanan fungsi dan tindakan. MIS
mengambil langkah ke hadapan dengan mengadakan Seminar Badan-Badan Dakwah Islamiyah dengan
kerjasama INDAH, badan-badan dakwah dan Jabatan Pelajaran Sarawak. Seminar ini bertujuan untuk
menghasilkan beberapa perkara; (i) memberi kesempatan kepada pemimpin-pemimpin badan dakwah bertemu
dan bertukar-tukar fikiran serta berdailog mengenai kegiatan dan masalah yang dihadapi dalam menjalankan
kegiatan dakwah;(ii) bagi menyatukan tenaga dan menyelaras dakwah dengan cara yang teratur, kemas dan
bersistem, sesuai dengan keadaan masyarakat berbilang kaum di negeri Sarawak; (iii) menyelaras aktiviti,
menentukan sasaran dakwah dengan tepat dan menentukan metodologi dakwah sesuai dengan umat Islam di
Sarawak;dan (iv) mempertingkatkan kegiatan dakwah dalam usaha menerapkan nilai-nilai Islam kepada semua
peringkat dengan cara yang mudah dan tidak menyulitkan. (Teks Ucapan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak,
Hj. Anis Abot, 1985, h. 5-6)
Seminar tersebut menekankan aspek kesatuan dalam gerakan dakwah Islamiyah terutama berganding
bahu dalam menyahut kebangkitan Islam di Sarawak. Oleh yang demikian, seminar tersebut cuba mencari
resolusi yang terbaik untuk mengatur strategi yang berkesan dalam dakwah Islamiyah tanpa menimbulkan
keresahan terhadap umat Islam Sarawak dan amnya kepada masyarakat Sarawak keseluruhan. ( Teks Perutusan
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Hj. Anis Abot, 1985, h. 1)
Dorongan untuk mengadakan seminar ini adalah kerana badan-badan dakwah yang ada di Sarawak
belum mampu mengatasi masalah yang berlaku di kalangan para pelajar Islam dan muda mudi. Kelemahan
tersebut menyebabkan masalah tersebut tidak ada jalan penyelesaiannya. (Teks Perutusan Che Min bin Che

Ahmad, 1985, h. 1-2)
Tema “Penyatuan Dan Penyelarasan Gerakan Dakwah Asas Keutuhan Umat” adalah bertepatan dengan
hasrat dan tujuan seminar tersebut diadakan. Tema tersebut diibaratkan sebagai garis panduan untuk mencari
resolusi seminar tersebut bagi menyatukan dan sekaligus menyelaras pergerakan dakwah di Sarawak.( Teks
Perutusan Abdul Taib Mahmud, 1985, h. 1)
Gerakan Islamiyah di Semenanjung Malaysia memberi impak yang positif di Sarawak. Para mahasiswa
Islam di pusat pengajian tinggi melalui wadah dan forum persatuan membawa kesedaran dan kebangkitan Islam.
Para mahasiswa mulai sedar hakikat tentang tanggungjawab mengembangkan Islam. Ini memandangkan
masyarakat yang begitu ramai yang terpesong daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Semangat ini membawa
perubahan yang ketara terutama para pelajar Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia. Kursus dan
seminar yang dianjurkan di Semenanjung Malaysia seringkali membawa kepada proses kesedaran dan sekaligus
mengembalikan roh Islam.
Hakikat ini yang dilihat oleh kepimpinan MIS. MIS mengorak langkah secara proaktif dengan
bekerjasama dengan agensi agama dalam menjalankan projek dakwah Islamiyah. Langkah pertama dengan
memberikan penerangan kepada masyarakat Islam Sarawak tentang hakikat Islam yang sebenarnya dan
sekaligus mengajak kepada penghayatan Islam sebagai gaya hidup. Idea ini didorong oleh kebimbangan MIS
terhadap masyarakat Islam yang cepat terpengaruh dengan pola fikir barat dan mudah meniru budaya barat yang
menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenarnya. MIS merasakan penyimpangan kehidupan tersebut adalah
rencana pihak barat untuk menghancurkan masyarakat Islam. (Surat Daripada Loling Othman Alwi, 14 Jun
1984, h. 1)

Hal ini diperakui oleh Siddiq Fadil (1983) dalam bukunya bertajuk “Kebangkitan Umat Kenyataan Dan
Harapan” yang menekankan tentang gerakan dakwah Islamiyah yang lahir di Malaysia berhadapan dengan

tentangan baru yang disebut sebagai Ghazwu al-Fikri (serangan dan pertarungan idea pemikiran antara barat dan
Islam ). Islam berhadapan dengan kritikan, fitnah dan tohmahan yang menyebabkan kekeliruan yang timbul dari
pihak luar, bahkan orang Islam sendiri. Musuh Islam yang bertopengkan orientalisme dan sekulerisme cuba
memberikan gambaran yang pesimistik terhadap Islam. Gambaran buruk tersebut menjadi senjata utama mereka
masuk ke dalam agenda umat Islam dan melakukan pembaratan sesuai dengan kehendak dan cita rasa mereka.
(Siddiq Fadil, 1983, h. 71-72)
Kebimbangan serangan pemikiran dan pembaratan berasa jika dilihat daripada laporan Hj. Mohd Anis
Sigon yang menyatakan tentang kebimbangan beliau terhadap remaja di Oya, Mukah. Para remaja lebih senang
dengan kehidupan yang menyimpang daripada Islam dan perkara yang ditegah oleh syariah Islam. Terdapat
usaha mendampingi mereka, namun tidak berjaya. (Surat daripada Hj. Mohd Anis Sigon, 3 Ogos 1984, h. 1.) Ini
membukti kebimbangan ini bukan hanya sekadar dirasakan oleh MIS saja, tapi turut dirasakan oleh masyarakat
Islam Sarawak.
Awang Pon Awang Sebon, Setiausaha MIS merasakan gerakan dakwah Islamiyah perlu dikembangkan
di Sarawak agar Islam di Sarawak dapat berkembang sejajar dengan di Semenanjung Malaysia. Untuk memenuhi
hasrat tersebut, Awang Pon Awang Sebon mengadakan sebuah kursus yang memfokuskan tajuk Kekeluargaan
Dalam Islam. Kursus ini diadakan pada 23 hingga 26 Mac 1983. Pengisian kertas kerja diambil sebahagiannya
daripada hasil Seminar Wanita Misali yang dianjurkan oleh Hal Ehwal Wanita Ikatan Studi Islam Universiti

Kebangsaan Malaysia (HELWA ISIUKM). (Surat Awang Pon Awang Sebon 2 Mac 1983, h. 1) Dalam perkara
tersebut, pihak HELWA ISIUKM menghantar tiga kertas kerja yang bertajuk Saidatina Aishah, Asma Abu Bakar
dan Rabiatul Adawiyah.(Surat Zaharah Musthafa, 9 Mac 1983, h. 1)
Dalam kursus tersebut, sebanyak 16 buah kertas kerja dibentangkan. Kertas- kertas kerja tersebut ialah
Kedudukan Ilmu Dalam Islam, Undang- Undang Keluarga Islam, Kepercayaan Kepada Alam Akhirat, Wanita
Islam dan Dakwah, Panduan Memilih Jodoh, Fiqh al-Nisa I, Pakaian Wanita Islam, Mahkamah Syariah,
Undang-Undang Keluarga Islam, Pergaulan dalam Islam, Dosa dan Taubat, Peranan Wanita Dalam Kebangkitan
Islam, Fiqh al- Nisa II, Poligami Dalam Islam, Dasar Talaq Dan Kesannya Terhadap Masyarakat dan UndangUndang Keluarga Dalam Islam. (Buku Aturcara Peresmian Pembukaan Kursus Kekeluargaan Dalam Islam,
1983, h. 3-6)
Majlis perasmian dilaksanakan oleh Laila Taib (isteri Abdul Taib Mahmud). Beliau menggesa agar
setiap wanita Islam berperanan penting dalam menjalan tugas sebagai ibu untuk menjaga muda-mudi daripada
terjebak dengan penagihan dadah. Tugas lain ialah memastikan anak-anak dapat diberi pendidikan yang
sempurna dan betul demi menjamin masa depan yang baik. Beliau menyarankan agar golongan wanita dapat
menceburkan diri dalam organisasi kebajikan. Ini dapat membantu terhadap pembangunan organisasi tersebut
dan sekaligus dapat memastikan pembangunan masyarakat yang berterusan.(The Sarawak Tribune, 24 Mac
1983)
Program tersebut mendapat sambutan yang baik di kalangan wanita yang bekerja di jabatan kerajaan
dan badan-badan berkanun. Seramai tiga puluh sembilan orang peserta mengikuti program tersebut.(Ibid.)Oleh
kerana sambutan yang menggalakkan di Kuching, program tersebut dilebarkan ke Sri Aman pada 26 hingga 29
November 1984. Program tersebut dikhusus kepada golongan wanita dengan menjemput seramai 40 orang

peserta.(Surat Loling Othman Alwi, 12 Oktober 1984, h. 1)
Gelombang Islamisasi dalam bentuk dakwah Islamiyah bukan sekadar dirasakan oleh badan Islam
seperti MIS dan BINA sahaja, bahkan terasa di kalangan badan kerajaan lain. Jabatan Kebudayaan, Belia dan
Sukan Negeri Sarawak turut menganjurkan program yang memfokuskan kepada wanita iaitu Bengkel
Pendidikan Belia Wanita pada 6 hingga 10 Mac 1984. Pihak tersebut memohon MIS agar mengisi ceramah yang
berkaitan hal ehwal Islam. Tajuk-tajuk ceramah tersebut adalah “Tuntutan Agama Terhadap Moral dan Akhlak”
dan “Konsep Kebersihan dan Amalan Kebersihan Dalam Rumah Tangga”. Dua tajuk ini berkaitan dengan
pancapaian salah satu objektif iaitu meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai moral dan akhlak di kalangan
ahli- ahli keluarga. (Surat daripada Pengarah Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak 3 Mac 1984, h. 1-2).
Pengisian ceramah ini dipenuhi oleh Zawiah Hassan(Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri) dan
Abang Hj Jahidin Abang Hj. Abdul Latif (Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Islam Sarawak). (Surat Setiausaha
Majlis Islam Sarawak 6 Mac 1984, h.1)
Di samping program kepada para wanita, sebuah program dijalankan kepada para belia pada 14 hingga
16 September 1984. Kursus kepimpinan Belia Islam Peringkat Negeri Sarawak ini dirasmikan oleh Datuk Abdul
Kadir Hassan (1928-1988), Mufti Negeri Sarawak. Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan iaitu “Akidah dan
Pembentukan Ummah”, “Masyarakat Islam Masa Kini”, “Konsep Keluarga Dalam Islam” dan “Penerapan NilaiNilai Islam Melalui Kepimpinan Belia”. Para peserta terdiri daripada 30 orang belia daripada seluruh Bahagian

di Sarawak. (Kertas Minit Kursus Kepimpinan Belia Islam Peringkat Negeri Sarawak, 7 September 1984, h. 1-2)
Seminar tersebut adalah sebagai landasan kepada para belia dalam mengatur kepimpinan pada masa
depan dengan menggunakan Islam sebagai pendekatan yang terbaik. Beberapa tujuan dalam seminar tersebut

adalah; (i) menanamkan kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim dari sudut kepimpinan; (ii)
menambahkan lagi pengetahuan agama untuk faedah diri sendiri dan untuk kepentingan masyarakat; (iii)
mengeratkan hubungan persaudaraan dan ummah Islamiyah di antara para peserta; dan (iv) menerapkan dasar
kepimpinan Islam melalui program- program belia yang dilaksanakan di peringkat pertubuhan/ persatuan belia.
(Surat Mohd Solihin Kachon, 23 0gos 1984, h. 1-2)
Kerajaan Sarawak merasakan perlunya pendedahan kepada roh Islam di kalangan kakitangan awam
Negeri Sarawak. Bahagian Latihan, Pejabat Ketua Menteri mengadakan kerjasama dengan pihak Majlis Islam
Sarawak untuk Kursus Agama Islam. Kursus ini diadakan pada 22-25 Mei 1984. (Surat Chaiti Hj. Bolhassan,
23.2.1984, h. 1). Ia juga turut diadakan pada 10 hingga 13 Julai 1984. Para penceramah terdiri daripada kalangan
ustaz di Majlis Islam Sarawak iaitu Hj. Jahidin Hj. Abdul Latif, Abdul Rasyid Mahmud, Abang Ahmad Arabi
Abang Bolhassan, Hadi Wasli, Halmi Arip, Che Min Che Mat,Wan Hamdan Tengku Hj. Ramli, Bolhi Lohor, Hj.
Johari Bojeng, Sam Talip dan Abdullah Anis. (Surat Hadi Wasli 13 Ogos 1984, h. 2)
Kursus serupa turut diadakan pada tahun 1985. Ia merupakan kesinambungan kursus sebelumnya.
Namun tujuan tetap sama iaitu dengan memberikan kefahaman yang seluas tentang Islam kepada pegawai
kerajaan.(Teks Ucapan Perasmian Anis Abot, 1985).
Mesej yang ditekankan oleh Anis Abot dalam ucapan perasmian tentang dakwah Islamiyah ialah sikap
kerjasama setiap individu yang bergelar muslim untuk menyelamat masyarakat Islam lari daripada
tanggungjawab sebagai umat Islam. Hal ini disalurkan dalam ucapannya; (Ibid.)
“Menyedari hakikat ini adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membawa manusia
menaiki bahtera yang hanyut dan karam dipukul gelombang moden, kewajipan membawa manusia
kepada Islam tugas kita bersama, tak kira saorang itu dari golongan ustaz, tok guru, pegawaipegawai kerajaan, nelayan, petani dan lain-lain lagi asalkan dia Islam maka itu adalah
kewajipannya sebagaimana sabda nabi kita yang kira-kira bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku
walaupun sepotong ayat”
Pihak MIS memberi kerjasama untuk menyediakan modul kursus dan tenaga penceramah. Tajuk-tajuk
adalah seperti akidah Islamiyah, pengertian rukun Islam, Taharah, Masalah qada dan qadar, solat, ibadah dalam
Islam, wirid dan doa. (Surat Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, 2.4.1984, h. 1)
Di samping membuat program, Majlis Islam Sarawak turut bekerjasama dengan badan kerajaan untuk
pengembangan Islam di Sarawak. Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut mengadakan kursus yang bersifat
pendedahan kepada anggotanya dalam memahami Islam yang sebenarnya. Kursus Agama Islam 1984 dijalankan
pada 31 Mac 1984 bersempena dengan Perayaan Hari Polis 1984. PDRM memohon kerjasama daripada Majlis
Islam Sarawak menyediakan seorang penceramah untuk memberikan ceramah yang bertajuk “Akidah Teras
Pembangunan”. Ceramah tersebut disampaikan oleh Che Min Che Mat, Ketua Penolong Pengarah Institut
Dakwah dan Latihan Islam (INDAH), Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri, Cawangan Sarawak. (Surat
Che Min Che Mat, 12 Mac 1984, h. 1)
Fokus dakwah turut ditumpukan kepada bidang pendidikan Islam. Ini memandangkan pendidikan Islam
di sekolah-sekolah Sarawak baru di peringkat awal perkembangannya sedangkan masalah akhlak pelajar berada
pada tahap yang membimbangkan. Tema seminar pendidikan Islam tersebut ialah “Pendidikan Sempurna Asas
Pembangunan Ummah”. Menurut Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud pemilihan tema seminar tersebut
bertepatan dengan kebangkitan semula semangat keIslaman. Penyataan beliau adalah: (Buku Aturcara Seminar
Pendidikan Islam Kali Pertama,6-9 April 1984, h. 7)
“Tema yang dipilih –Pendidikan Sempurna Asas Pembangunan Ummah- adalah bertepatan sekali
memandang kepada wujudnya baru-baru ini satu kesedaran dan kebangkitan semula semangat
keislaman di kalangan ahli masyarakat kita. Tema ini saya percaya akan dapat memberi semacam
garis pandu kepada para pembentang kertas kerja dan para peserta seminar untuk menghayati
secara mendalam akan konsep pendidikan di dalam Islam yang selama ini telah dikaburi oleh
falsafah pendidikan barat. Hasil daripada penelitian yang mendalam tentang nilai-nilai
kemanusiaan dan sejagad yang disarankan oleh Agama Islam sudah tentu kelak akan membolehkan
para peserta seminar melihat masaalah semasa dari perspektif yang betul. Dan penelitian sebegini
pasti sekali akan dapat pula membantu mereka merencanakan beberapa langkah dan strategi yang
pragmatik, munasabah dan selari dengan kehendak dan aspirasi masyarakat Islam dalam usaha kita

mahu bersama-sama mempastikan “tragedi” yang menimpa para pelajar dan belia dewasa ini tidak
berulang lagi”
Bagi menjana modal insan para imam seluruh Sarawak, MIS bertindak mengadakan program yang
berunsurkan pendedahan kefahaman Islam. Para imam merupakan ejen dalam masyarakat sekaligus memberikan
latihan dakwah dan pengembangan ilmu pengetahuan Islam di kalangan mereka. Dengan itu, memudahkan MIS
mengembangkan Islam di seluruh Sarawak.
Program tersebut diadakan di Santubong, Kuching pada 12 hingga 15 Disember 1982. Program tersebut
dikhususkan kepada para imam seramai 50 orang sekitar luar bandar Kuching. Untuk kemudahan para imam
yang dijemput hadir, kesemuanya mereka dibiayai sepenuhnya oleh MIS. (Kertas Kerja Kursus Pegawai-Pegawai
Masjid, 25 November 1982, h. 1-2)
Kursus pemantapan pegawai masjid iaitu imam dan bilal diadakan di daerah Betong. Kursus ini
memberi pendedahan kepada pegawai masjid tentang asas kefahaman Islam iaitu mengenai amalan ibadah
seperti bersuci, sembahyang, berkhutbah dan fardu kifayah. Pengisian program diisi oleh kakitangan Majlis
Islam Sarawak sendiri iaitu Abdullah Hj. Anis, Ahmad Natu dan Johari Bojeng. (Jadual Kursus PegawaiPegawai Masjid/Surau Daerah Betong, 5-7 Disember 1983, h. 1-2)
Program serupa diadakan di Sibuti, Bintulu pada 14 hingga 18 Oktober 1984 dengan menjemput peserta
yang terdiri daripada 50 orang imam dari 25 buah kampung di bahagian Bintulu. Fokus utama program tersebut
adalah untuk meningkatkan modal insan di kalangan para imam terutama dalam kefahaman Islam.(Kertas Kerja
Kursus Pegawai-Pegawai Masjid Daerah Sibuti, Bahagian Keempat Bintulu, tt, h. 1-2.)
Kursus Asas Islam diberikan kepada para remaja, agar mereka tidak terdedah dengan anasir yang
menyimpang daripada ajaran Islam. Berikutan daripada permintaan dan laporan yang dikemukakan oleh Hj.
Mohd Anis Sigon, maka kursus ini diadakan di Oya dan Dalat, Mukah. Program ini dianjurkan bersama dengan
pihak Masjid Al-Taqwa pada 27 hingga 30 Ogos 1984. Para penceramah terdiri daripada Loling Othman Alwi,
Johari Bojeng, Manterang Isa, Hussain Abbas, Bolhi Lohor, Sham Talip dan Abdullah Anis. Topik yang
dibincangkan dalam kursus tersebut ialah Akidah Islamiyah, Ibadah Dalam Islam, Akhlak Muslim, Taharah,
Sembahyang dan Hukumnya, Kekeluargaan Dalam Islam dan Khurafat. (Aturcara Program Kursus Asas Islam,
27- 30 Ogos 1984)
Program untuk masyarakat kampung tidak kesemua dianjurkan oleh MIS, tetapi ada sebahagian
dianjurkan oleh pihak masyarakat kampung dengan kerjasama pihak MIS dalam bentuk tenaga penceramah.
Ketua Kampung Telahak, Limbang memohon pihak MIS memberikan tenaga penceramah dalam Kursus Fardu
Ain dan Kifayah yang dianjurkan oleh mereka. (Surat Kadir Samiun, 16 Julai 1984, h. 1) Hal tersebut
dipersetujui oleh pihak MIS.(Surat Abang Mohd Atei Medaan, 20 Julai 1984, h. 1)
4. Dakwah Saudara Kita
Dakwah terhadap Saudara Kita turut diberikan keutamaan demi menjamin kepada kekuatan akidah dan
ibadah di kalangan Saudara Kita. Program ini merupakan program lanjutan setelah pengislaman beramai-ramai
ketika era 1970-an. Kursus asas ini diadakan pada 6 hingga 12 April 1983, bertempat di Belaga, Kapit. Seramai
tiga puluh lima orang peserta menghadiri kursus tersebut dari tiga kawasan iaitu Long Busang, Punan Biau dan
Sekapan Panjang.(Surat Jawatankuasa Pengelola Kursus Asas Agama 24 Mac 1983, h. 1) Antara pengisian yang
diberi keutamaan adalah Sejarah Islam, Fikah dan Tauhid. Di samping itu, amali sembahyang dijalankan
sepanjang kursus tersebut. (Jadual Kursus Asas Ugama Islam Untuk Saudara-Saudara Baru Di Belaga, 6-12
April 1983)
Kursus asas Islam untuk Saudara Kita turut dijalankan di Kapit iaitu pada 29 November hingga 2
Disember 1983. Seramai enam puluh orang peserta mengikuti kursus agama ini. Pengisian program tersebut
termasuk wuduk, sembahyang, rukun iman dan Islam, persaudaraan dalam Islam, pemahaman ibadah, fardu
kifayah, akhlak dan kebersihan menurut Islam.(Surat Mohd Atei Abang Medaan, 19 November 1983, h. 1-2)
Kursus ini merupakan anjuran bersama Angkatan Nahdatul Islam Bersatu (BINA atau dikenali sekarang Harakah
Islamiyah (HIKMAH)) dan INDAH. (Surat Setiausaha Kursus Asas Agama Islam Saudara Baru Kapit 21
November 1983, h. 1)
Kursus asas Islam sebenarnya memberi dampak yang positif terhadap pertambahan jumlah saudara kita
baik di Sarawak dan amnya Malaysia. Faktor-faktor yang boleh dilihat adalah seperti yang dikaji oleh Ibrahim
Che Noh dalam tulisannya, “Dakwah Kepada Non-Muslim” iaitu; (i) kefahaman mereka yang bukan Islam
tentang Islam yang sebenarnya kian meningkat, terutamanya bagi golongan yang berumur antara 21-35 tahun;

(ii) risalah tabsyir dan tanzir dalam konteks dakwah dan tabligh sudah sampai kepada bahagian mereka yang
belum Islam; (iii) meningkatnya kesedaran berdakwah di kalangan umat Islam sendiri; (iv) kegigihan para
mubaligh PERKIM yang tidak mengenal jemu; dan (v) kempen pihak berkuasa tentang nilai-nilai mulia Islam
sejagat. (Sidi Gazalba, Ed., 1993, h. 89)
C. PENUTUP
Pembangunan modal insan melalui dakwah Islamiyah di Sarawak melalui proses evolusi yang panjang.
Gelombang gerakan pasca Kongres Islam Malaysia Timor memberikan kesan langsung kepada dakwah di
Sarawak. Faedahnya amat besar terutama gerakan dakwahnya yang tersusun dan terorganisasi. Jaringan
kerjasama MIS dan BINA yang erat menjadikan dakwah Islamiyah mendapat tempat. Perkembangan dakwah
Islamiyah lebih jelas ketika era 1980-an apabila gelombang Islamisasi di Semenanjung Malaysia bergerak
dengan mantap dan memberikan kesan langsung kepada para pelajar Islam Sarawak yang belajar di
Semenanjung Malaysia. Tempias ini memberikan rangsangan dakwah yang positif di Sarawak sehingga
masyarakat Islam Sarawak sedar dan bersikap proaktif (selama ini hanya menunggu program yang dijalankan).
Dakwah disasarkan dua subjek dakwah iaitu di kalangan masyarakat Islam (Melayu) dan kalangan masyarakat
bumiputera Islam (dayak laut, darat dan lain-lain) yang baru memeluk Islam. Tidak ketinggalan dakwah di
kalangan yang bukan Islam terus dilaksanakan meskipun coraknya berubah daripada bentuk sebelumnya yang
lebih banyak memancing dengan imbalan material kepada kebaikan Islam sendiri.
Corak dakwah lebih bersifat meningkat kualiti jika dibandingkan dengan kuantiti. Ibarat menangkap
ikan dengan cara memilih dan bukannya menjala ikan dengan mengambil apa juga ikan yang diperolehi. Dakwah
ini diterapkan kepada bukan Islam. Manakala masyarakat Islam sendiri, difokuskan dakwah melalui peningkatan
kefahaman dan amalan ibadah Islam. Perkara positif untuk pemantapan dakwah Islamiyah di Sarawak
diusahakan untuk mewujudkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) pada tahun 1987. Akhirnya pada tahun
1990, JAIS diwujudkan dan meletakkan dakwah sebagai fungsi utama dalam gerak organisasi tersebut. JAIS
menyambung segala peranan dakwah yang dimainkan sebelumnya oleh MIS.
BIBILIOGRAFI
Buku
Buku Aturcara Peresmian Pembukaan Kursus Kekeluargaan Dalam Islam, (Kuching: Majlis Islam Sarawak,
1983
Buku Aturcara Program Kursus Asas Islam Untuk Belia/Beliawanis daerah Oya/Dalat Bahagian Ketiga, Anjuran
Majlis Islam Sarawak dengan Kerjasama Masjid al-Taqwa, pada 27 hingga 30 Ogos 1984.
Buku Aturcara Seminar Pendidikan Islam Kali Pertama,6-9 April 1984, Perutusan YAB Ketua Menteri Sarawak,
1984,Kuching:Majlis Islam Sarawak.
Cenderamata Konggres Islam Malaysia Timor [Timur], 1968,Kuching: Persatuan Kebajikan Islam Sarawak,
Sanib Said, 1985 “Islam di Sarawak: Sejarah Ringkas 1476-1941” dlm. buku Islam di Malaysia, Selangor:
Persatuan Sejarah Malaysia
Sepuluh Tahun BINA 1969-1979, 1979, Kuching: Angkatan Nahdatul Islam Bersatu
Siddiq Fadil, Kebangkitan Umat Kenyataan dan Harapan, (Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiyah, 1983
Sidi Gazalba, Ed., 1993, Dakwah Islamiyah Malaysia: Masa Kini, (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Manuskrip
Jadual Kursus Pegawai-Pegawai Masjid/Surau Daerah Betong, 5-7 Disember 1983.
Kertas Minit Kursus Kepimpinan Belia Islam Peringkat Negeri Sarawak, 7 September 1984
Kertas Kerja Kursus Pegawai-Pegawai Masjid, Daerah Luar Bandar Kuching, MI/10/2 (103), 25 November
1982.
Kertas Kerja Kursus Pegawai-Pegawai Masjid Daerah Sibuti, tt., Bahagian Keempat Bintulu.
Surat Daripada Loling Othman Alwi, Penolong Mufti Sarawak kepada Datuk Yang Dipertua, Majlis Islam
Sarawak, Kursus Agama, MI/10/Vol. III, 14 Jun 1984

Surat daripada Awang Pon Awang Sebon kepada Puan Zahrah Musthafa, Setiausaha HELWA ISIUKM, Kertas
Kerja/Kertas Ceramah, MI/10/Vol.111(1), 2 Mac 1983.
Surat daripada Zaharah Musthafa,
Mithali 2, 9 Mac 1983.

Setiausaha HELWA ISIUKM, kepada Yang di-Pertua MIS, Kertas Kerja

Surat daripada Hj. Mohd Anis Sigon Kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Kursus Untuk
Belia/Beliawanis Bagi Daerah Dalat (Batang Oya), 3 Ogos 1984.
Surat daripada Loling Othman Alwi kepada Yang Dipertua, Majlis Islam Sarawak, Kursus Kekeluargaan Islam ,
MI/10, 12 Oktober 1984.
Surat daripada Pengarah Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak kepada Yang Dipertua Majlis Islam
Sarawak, Bengkel Pendidikan Belia Wanita, 1984, JKBSNS:3.019-2.2/(10), 3 Mac 1984
Surat daripada Setiausaha Majlis Islam Sarawak kepada Pengarah Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri
Sarawak, Penceramah Untuk Bengkel Pendidikan 1984, 6 Mac 1984.
Surat daripada Mohd Solihin Kachon kepada Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan, Seminar Kepimpinan Belia
Peringkat Negeri 1984, JKBNS;3. 086-2/(20), 23 Ogos 1984.
Surat daripada Chaiti Hj. Bolhassan, kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Kursus Agama Islam,
111/TOG/909, 23.2.1984.
Surat Daripada Hadi Wasli kepada Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Nama-Nama
Agama Bagi Pegawai Kerajaan, MI/10/Vol. III (58), 13 Ogos 1984.

Penceramah Kursus

Surat daripada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Kursus Agama Islam,
MI/10/Vol.III(47), 2.4.1984.
Surat daripada Che Min Che Mat, Ketua Penolong Pengarah INDAH, Cawangan Sarawak kepada Pengerusi
Jawatankuasa Kecil Perayaan Hari Polis 1984, Kursus Agama Islam 1984, MIS (JPM)(U)/4/023, 12 Mac
1984.
Surat daripada Kadir Samiun, Ketua Kampung Telahak,Daerah Ulu, Limbang kepada Setiausaha Majlis Islam
Sarawak, Kursus Fardu Kifayah dan Fardu Ain, 16 Julai 1984.
Surat daripada Abang Mohd Atei Medaan, Setiausaha Majlis Islam Sarawak kepada Kadi Majlis Islam
Sarawak, Limbang, Kursus Fardu Kifayah dan Fardu Ain, MI/10, 20 Julai 1984.
Surat daripada Jawatankuasa Pengelola Kursus Asas Agama kepada Pengerusi Surau Long Busang, Punan Biau
dan Sekapan Panjang, Kursus Asas Ugama Islam Untuk Saudara baru, 24 Mac 1983.
Jadual Kursus Asas Ugama Islam Untuk Saudara-Saudara Baru Di Belaga pada 6 hingga 12 April 1983.
Surat daripada Hj. Mohd Atei Abang Medaan, Setiausaha Majlis Islam Sarawak kepada Pegawai Perhubungan
Majlis Islam Sarawak, Kapit, Kursus Saudara-Saudara Baru, MI/10, 19 November 1983.
Surat daripada Setiausaha Kursus Asas Agama Islam Saudara Baru Kapit kepada Residen Bahagian Ketujuh,
Kursus Asas Agama Islam Saudara-Saudara Baru dari Bahagian Ketujuh Kapit Anjuran Majlis Islam
Sarawak, INDAH dan BINA Cawangan Sarawak, 21 November 1983.
TeksTaklimat Oleh Datuk Hj. Mohd. Fauzi Bin Hj. Abdul Hamid Sempena Lawatan YAB Datuk Amar Hj. Abdul
Taib Mahmud di Dewan Majlis Islam Sarawak, Khamis, 23 April 1981.
Teks Ucapan alu-aluan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Hj. Anis Abot, Seminar Badan-Badan Dakwah
Islamiyah, Dewan Majlis Islam Sarawak, 1985
Teks Perutusan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Hj. Anis Abot, Seminar Badan-Badan Dakwah Islamiyah,
Dewan Majlis Islam Sarawak, 1985
Teks Perutusan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri Cawangan

Sarawak, Che Min bin Che Ahmad, Seminar Badan-Badan Dakwah Islamiyah, Dewan Majlis Islam
Sarawak, 1985
Teks Perutusan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Hj. Abdul Taib Mahmud,
Seminar Badan-Badan Dakwah Islamiyah, Dewan Majlis Islam Sarawak, 1985
Teks Ucapan Perasmian oleh Hj. Anis Abot, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dalam Kurus Kefahaman
Islam Bagi Pegawai Kerajaan, Anjuran Bahagian Latihan, Pejabat Ketua Menteri, 1985.
Keratan Akhbar
The Sarawak Tribune, “Religious Course For Muslim Student”, 27 Februari 1969.
The Sarawak Tribune, “Religious Course For Muslim Student”, 12 April 1969.
The Sarawak Tribune, “Welfare Minister Opens Religious Course”, 18 Ogos 1970.
The Sarawak Tribune, “BINA Religious Course Close”, 17 April 1971.
The Sarawak Tribune, “Sarawak To Observe Nation-Wide Dakwah Month Launching”, 25 November 1978
The Sarawak Tribune, “39 Attend Islamic Family Law Course”, 24 Mac 1983.
Temubual
Anis Abot, 2005, Latar Belakang Madrasah Al-Islamiyah, Temubual, 25 Februari, 1500, Jumaat, Jalan Batu 2 ½
Matang, Kuching, Sarawak.