MENGAPA PENGADILAN MORAL PERLU DALAM PEN

PENGENALAN

Pengadilan moral bukan lah suatu yang baru dalam penulisan dan pengkajian sejarah. Pengadilan
moral didefinisikan oleh Adrian Oldfield sebagai :
“Pernyataan moral terutama pengadilan moral adalah berbentuk pujian dan kutukan. Pernyataan
moral bergantung kepada perbezaan tahap sama ada baik atau buruk.”
Pengadilan moral secara ringkasnya dapat difahami sebagai perlakuan-perlakuan menjatuhkan hukuman atau
mengenakan penilaian tertentu kepada suatu peristiwa sejarah atau kepada seseorang pelaku dalam sejarah. 1
Pengadilan moral kerap menjadi satu isu persoalan yang sentiasa dibincangkan baik dalam penulisan
mahupun kajian sejarah. Isu pengadilan moral merupakan satu polemik yang boleh dikatakan sebagai tiada
pengakhiran. Setiap sarjana sejarah mempunyai pendirian mereka yang tersendiri dalam isu yang berkaitan
pengadilan moral. Walaupun pada hakikatnya dapat dikatakan bahawa dalam penulisan serta kajian sejarah,
seseorang ahli sejarah itu tidak akan dapat lepas daripada menjatuhkan hukuman moral ke atas kajian dan
penulisan sejarah yang dilakukannya, namun masih ada di antara ahli sejarah sendiri yang menyatakan
bahawa pengadilan moral itu adalah tidak perlu dilakukan. Ahli-ahli sejarah yang menyatakan bahawa
pengadilan moral adalah tidak perlu dilakukan ini dikenali sebagai golongan progresif. Golongan ini
menyatakan bahawa pengadilan moral adalah tidak perlu dilakukan kerana si pengkaji sejarah dengan pelaku
atau masyarakat yang dikajinya itu, mungkin terdapat sistem nilai yang berlainan. Secara mudahnya, jika
seseorang ahli sejarah itu melakukan pengadilan moral, pengadilan moral yang dilakukan olehnya mungkin
tidak dapat berlaku adil kepada orang atau masyarakat yang dikaji atau diadilinya. Antara sarjana yang
menolak perlunya dilakukan pengadilan moral termasuklah sarjana-sarjana seperti Leopold von Ranke,

Benedetto Groce dan G.K. Kitson Clark. 2 Mereka dikatakan menolak pengadilan moral kerana mereka
berpendapat pengadilan moral akan menimbulkan banyak masalah serta kerumitan. Masalah dan kerumitan
inilah yang akan menggugat kewibawaan penulisan serta pengkajian sesebuah sejarah. Golongan progresif
ini pula mendapat tentangan daripada golongan konservatif iaitu golongan yang menyokong bahawasanya
1
2

Qasim Ahmad, Karya Sejarah Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 36.
R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985, hlm. 91.

1

pengadilan moral adalah perlu dilakukan dalam sesebuah penulisan mahupun kajian sejarah. Mereka yang
menyokong pengadilan moral dilakukan termasuklah sarjana terkemuka seperti Voltaire, Lord Acton dan
juga E.H. Carr. Menurut golongan ini, setiap insan di dunia seharusnya diadili oleh nilai-nilai ulung yang
mendokong kehidupan manusia. Hal ini selaras dengan pernyataan Lord Acto, seorang Profesor Sejarah dari
Universiti Cambridge yang menyatakan bahawa :
“Pendapat-pendapat berubah, tabiat-tabiat berubah, kepercayaan-kepercayaan bangkit dan jatuh tetapi
hukum moral telah diukirkan ke atas kepingan logam yang berkekalan.”3
Golongan yang menyokong pengadilan moral ini juga turut berhujah bahawa seseorang pelaku di dalam

sejarah itu bertanggungjawab ke atas perlakuannya, oleh itu dia patut dipersalahkan jika dia melakukan
kesalahan dan perlu diakui kebaikannya jika dia melakukan kebaikan. Hujah lain yang turut dilontarkan oleh
golongan ini ialah, jika pengadilan moral tidak perlu dilakukan kerana sistem nilai yang berlainan dan
berbeza, maka kita seolah-olah menyatakan yang manusia tidak mempunyai apa-apa ciri persamaan
langsung. Dari sudut diri pengakaji sendiri, pengkaji berpendapat bahawa dalam penulisan dan pengakajian
sejarah, seseorang ahli sejarah itu tidak dapat bebas daripada menjatuhkan hukuman moral terhadap
kajian serta penulisannya. Hal ini demikian kerana setiap manusia mempunyai pendapat tersendiri dalam
menilai sesuatu perkara. Perkara ini ditambah lagi dengan pengalaman dan juga latar belakang seseorang
penulis dan pengkaji sejarah itu sendiri yang akan mempengaruhi hasil karyanya. Pernyataan ini selaras
dengan pendapat sarjana tempatan iaitu Muhd Yusof Ibrahim yang menyatakan bahawa :
“Kemampuan untuk berbuat demikian terletak pula kepada pengaruh yang membentuk pendirian dan
pandangannya, yang diterimanya dari masyarakatnya, pelajarannya, pengalamannya, serta juga
pemikirannya. Semua ini merupakan unsur-unsur yang merupakan tenaga pengaruh dalam
penulisannya.”4
Oleh yang demikian, dalam penulisan ilmiah ini pengkaji berpendapat bahawa pengadilan moral adalah
perlu untuk dilakukan dalam penulisan mahupun kajian sejarah. Terdapat beberapa sebab yang menjadi

3
4


R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985, hlm. 94.
Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975, hlm. 52.

2

alasan mengapa pengkaji menyokong pengadilan moral dilakukan dalam kajian dan penulisan sejarah dan
sebab-sebab ini akan dikupas serta dibincangkan dalam bahagian penulisan berikutnya.

MENGAPA PENGADILAN MORAL PERLU DALAM PENULISAN SEJARAH ?

1) PENGADILAN MORAL BERTINDAK SEBAGAI MEMBERI PENGAJARAN DAN TELADAN
KEPADA MASYARAKAT

Seperti yang diketahui umum, sejarah perlu dilihat sebagai alat pengajaran moral kepada pembaca
khususnya masyarakat hari ini agar peristiwa-peristiwa masa lalu menjadi teladan dan iktibar. 5 Sejarah juga
merupakan cabang ilmu yang sangat memberi impak kepada masyarakat. Oleh itu, setiap peristiwa sejarah
yang berlaku perlulah diberi pengadilan moral. Hal ini demikian kerana pengadilan moral akan menjatuhkan
hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam sesuatu peristiwa. Akan tetapi, sebelum sesuatu pengadilan
moral itu dilakukan, penyelidikan dan kajian rapi perlulah dilakukan terlebih dahulu. Kajian mestilah
berdasarkan fakta-fakta dan sumber-sumber yang sahih serta kukuh. Perkara ini penting bagi seorang penulis

yang ingin melakukan penulisan sejarah supaya dapat menafsir dan tidak menerima secara keseluruhan
sumber yang diperolehi. Penulis juga secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada menggunakan
sumber yang mempunyai unsur bias. Dengan itu, pengadilan moral dapat dijalankan dengan telus dan adil.
Unsur pengadilan moral sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam penulisan dan kajian sejarah. Hal ini
berikutan hukuman pengadilan moral yang dijatuhkan terhadap pelaku atau peristiwa sejarah akan
memberikan pengajaran kepada masyarakat pada masa akan datang. Masyarakat kemudiannya akan
menjadikan perkara tersebut sebagai teladan supaya ianya tidak berulang dan berlaku lagi pada masa akan
datang. Antara contoh peristiwa yang telah melalui proses pengadilan moral daripada banyak pihak dan
menjadi peristiwa yang memberi pengajaran serta teladan kepada masyarakat ialah peristiwa Dahagi yang
berlaku di India. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1857 yang mana melibatkan penentangan golongan sepoi
dan juga pemerintah-pemerintah di India terhadap British. Mereka melakukan penentangan dengan
5

Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Shah Alam: Utusan Karisma Publications Sdn Bhd, 2007, hlm. 85.

3

melakukan pembunuhan ke atas orang-orang British di India. Perkara ini dikatakan berlaku akibat beberapa
faktor dan salah satunya adalah kerana penaklukan dan perluasan kuasa British di India.6 Tindakan British
yang mengancam kedudukan masyarakat India serta tidak menghormati adat, budaya dan agama masyarakat

tempatan telah menyebabkan masyarakat India bangkit menentang pihak British. Oleh itu, apabila
pengadilan moral dilakukan, antara pengajaran dan teladan yang boleh diperoleh menerusi peristiwa tersebut
ialah kita harus menghormati perkara-perkara asas dalam sesebuah masyarakat. Tidak kira baik dari segi
adat resam, agama mahupun budaya sesebuah masyarakat. Contoh lain yang lebih dekat dapat dilihat
menerusi peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Peristiwa ini merupakan peristiwa hitam
dalam lipatan sejarah negara Malaysia apabila berlakunya rusuhan kaum tersebut yang melibatkan kaum
Melayu dan Cina. Faktor rusuhan ini dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati antara kaum
Melayu dan Cina yang wujud sejak negara Malaysia mencapai kemerdekaan lagi. Apabila parti DAP
menang besar dalam pilihanraya Persekutuan, perasaan tidak puas hati ini semakin memuncak dan
seterusnya mencetuskan rusuhan kaum.7 Rusuhan ini meragut banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan
harta benda yang tidak terkira banyaknya. Peristiwa ini memberi banyak pengajaran kepada semua pihak
baik dari kerajaan, parti-parti politik dan juga masyarakat berbilang kaum di negara ini. 8 Pengadilan moral
yang telah dilakukan dapat menjadikan peristiwa tersebut sebagai satu pengajaran dan juga teladan kepada
semua rakyat Malaysia bahawasanya untuk menjadi seorang warganegara yang baik, kita memerlukan
kesefahaman dan kerjasama antara kaum bukannya bias kepada salah satu kaum sahaja. Terbuktilah di sini
bahawa pengadilan moral merupakan unsur yang tidak dapat dipisahkan dalam sesebuah penulisan sejarah.

2) PENGADILAN MORAL BERTINDAK SEBAGAI BENTENG HAK ASASI MANUSIA

Sejarah bukanlah setakat satu ilmu yang biasa tetapi sejarah memerlukan kita mengkaji tentang

peristiwa-peristiwa lepas berdasarkan bahan dan sumber yang sahih. Sejarah juga berfungsi sebagai benteng
hak asasi kepada manusia di muka bumi ini. Kepada mereka yang tidak mempunyai ilmu tentang sejarah
6

Azharudin Mohd Dali, Tamadun India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, hlm. 285.
Ishak Saat, Penulisan Sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2010, hlm. 67.
8
Tengku Anuar Tengku Dalam, Pengetahuan Kenegaraan Malaysia untuk peperiksaan am kerajaan, Kuala Lumpur: Nurin
Enterprise, 1991, hlm. 215.
7

4

pastinya perkara ini agak janggal untuk diterima. Akan tetapi, bagi mereka yang mempunyai ilmu sejarah
sudah tentu mengetahui ianya berfungsi sebagai benteng hak asasi manusia iaitu dengan melalui proses
pengadilan moral. Sarjana R. Suntharalingam ada menyebutkan bahawa ukuran dalam penilaian ahli sejarah
bukan sahaja berdasarkan kepada persoalan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya tetapi ianya juga
perlu melihat kepada pihak yang menodai hak asasi manusia itu sendiri. 9 Dalam kes menodai hak asasi
manusia sejagat, perkara ini dapat dilihat melalui peristiwa pengeboman bandar Hiroshima dan Nagasaki
yang mana kedua-duanya dilakukan oleh pihak yang sama iaitu Amerika Syarikat. Amerika mengebom

Hiroshima berikutan tindakan Jepun yang enggan menerima Deklarasi Potsdam. 10 Pengeboman di Hiroshima
telah dilakukan pada 6 Ogos 1945 dan seterusnya digugurkan sebuah lagi bom di Nagasaki iaitu pada 9 Ogos
1945. Peristiwa ini wajar diberikan pengadilan moral kerana peristiwa tersebut telah meragut ribuan nyawa
yang tidak bersalah dan memusnahkan banyak harta benda masyarakat. Jelas kelihatan bahawa peristiwa
tersebut adalah berpunca daripada konflik antara dua kerajaan iaitu kerajaan Jepun dengan kerajaan
Amerika. Akan tetapi, mengapa perlu dilibatkan warga tempatan yang tidak bersalah? Ini termasuklah
kanak-kanak, wanita serta warga tua yang tidak bersalah sama sekali dalam hal ini. Dengan itu, satu
pengadilan moral perlu dilakukan ke atas tindakan Amerika tersebut. Kita lihat pula kepada peristiwa yang
lebih dekat dengan kita iaitu peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua. Hak
asasi di Tanah Melayu telah dicabuli semasa pendudukan Jepun tersebut. Banyak kes-kes penganiayaan
berlaku di Tanah Melayu dan untuk melihat lebih jelas, ianya dapat dilihat melalui penulisan Ghazali bin
Mayudin. Penulisan beliau telah mengetengahkan tentang penganiayaan yang berlaku terhadap kaum wanita
khususnya di negeri Johor. Menurut beliau :
“Dari rekod-rekod yang tidak lengkap menunjukkan bahawa pihak Jepun telah membunuh sekurangkurangnya 6119 orang di Johor di sepanjang tempoh pendudukan mereka yang terdiri daripada 5493
orang Cina, 551 orang Melayu, 44 orang India dan Ceylon serta 31 Serani. Angka-angka di atas
menunjukkan orang Cinalah yang ramai menjadi mangsa dibandingkan kaum-kaum lain”.
Beliau juga menambah lagi :
9

R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985, hlm. 118.

Esa Khalid, Mohd. Azhar Abd. Hamid, Beberapa Aspek Tamadun Melayu, India, China dan Jepun, Skudai: Universiti
Teknologi Malaysia, 2004, hlm. 559.
10

5

“Selain dari penganiayaan ke atas kaum perempuan dilakukan di tempat-tempat terbuka, tempat khas
juga diadakan di mana orang perempuan disediakan untuk askar-askar Jepun”.11
Melalui peristiwa ini apakah wajar pengadilan moral dijatuhkan kepada tentera-tentera Jepun? Apa yang
jelas ialah sejarah mestilah diutarakan dalam bentuk apa yang sebenarnya terjadi. Maka kalaulah itu
caranya, jelaslah bahawa tanpa perlu menekankan ayat pengadilan moral secara khusus ke atas tindakan
tentera Jepun sekali pun, penganiayaan yang dilakukan oleh mereka telah meragut banyak nyawa insan yang
tidak berdosa iaitu golongan wanita terutamanya. Dapat dilihat di sini, sejarah itu dengan sendirinya telah
menjatuhkan hukuman moral ke atas tentera Jepun kerana menganiaya insan yang tidak bersalah sama sekali
dan secara langsung telah melanggar hak asasi golongan wanita di Tanah Melayu khususnya. Dengan itu,
tidak dapat dinafikan pengadilan moral jelas bertindak sebagai benteng hak asasi manusia sejagat.

3) PENGADILAN MORAL DAPAT MENGHINDARKAN UNSUR BIAS

Bias atau secara mudahnya dapat difahami sebagai kecenderungan terhadap seseorang individu atau

sesuatu pihak. Bias juga turut dikatakan sebagai unsur berat sebelah. Dalam penulisan sejarah, unsur bias
agak sukar untuk dielakkan. Antara faktor berlakunya bias adalah disebabkan oleh latar belakang penulis
sendiri, pengalamannya, sikap penulis yang ingin menjaga kepentingan sesetengah pihak di samping juga
sikap penulis sendiri yang tidak dapat mengawal diri dan tidak dapat meletakkan dirinya di luar bidang
kajiannya. Sepatutnya sebagai seorang penulis karya sejarah atau pengkaji sejarah, seseorang itu perlulah
bersikap neutral dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sikap tersebut akan menjadikan sesebuah
penulisan sejarah itu lebih telus dan jika pengadilan moral dilakukan terhadap penulisan sejarah, hal ini
dapat menghindarkan unsur bias berlaku. Sebagai pelajar mahupun penulis sejarah, kita tidak boleh
mengambil secara keseluruhan setiap karya atau maklumat yang didapati tanpa melakukan kajian terperinci.
Kita seharusnya menjalankan proses pengadilan moral untuk setiap bahan yang dibaca supaya tidak
timbulnya unsur bias. Namun tidak dapat dinafikan, sebagai manusia biasa yang mempunyai perasaan serta
pendapat sendiri dalam menilai sesuatu perkara atau peristiwa yang telah berlaku telah menyebabkan secara
11

Ghazali Mayuddin, Johor Semasa Pendudukan Jepun, 1942-1945, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1978, hlm. 10-11.

6

tidak langsung dan tanpa disedari kita sendiri telah menjatuhkan pengadilan moral terhadap sesuatu perkara
atau peristiwa tersebut. Oleh yang demikian, pengadilan moral yang dilakukan perlulah bersifat telus serta

menyeluruh bagi mengelakkan berlakunya unsur bias yang disebutkan tadi. Contoh jelas yang dapat dilihat
termasuklah melalui karya Raja Ali Haji iaitu Tuhfat Al-Nafis. Karya ini telah dikarang oleh Raja Ali Haji
dengan membawa tema lebih cenderung kepada cerita raja-raja serta masyarakat Bugis atau boleh dianggap
sebagai Bugis-centric.12 Raja Ali Haji dilihat lebih cenderung menceritakan tentang kepahlawanan tokohtokoh Bugis yang sememangnya diketahui umum sebagai pahlawan handal. Beliau tidak sedikit pun
menceritakan tentang penentangan yang diterima oleh masyarakat Bugis menerusi Sultan Sulaiman yang
telah meminta bantuan daripada Belanda pada 1746. Penentangan Sultan Sulaiman terhadap orang Bugis ini
tidak diketengahkan dalam mana-mana bahagian yang terdapat di dalam karya Tuhfat Al-Nafis tersebut. Hal
ini dapat dilihat secara logik kerana Raja Ali Haji sendiri berketurunan Bugis dan sudah tentu beliau akan
cenderung kepada menceritakan keturunannya yang hebat dan banyak berjasa dalam kerajaan Johor. Dengan
itu jika pengadilan moral tidak dilakukan, kita hanya akan dapat melihat dari sudut sebelah pihak sahaja iaitu
pihak Bugis sahaja. Sedangkan, pada hakikat sebenar masyarakat Bugis ini telah pun mendapat tentangan
daripada pihak sultan Johor sendiri yang tidak senang dengan penguasaan mereka dalam kerajaan Johor pada
ketika itu. Kita ambil pula contoh lain yang lebih dekat seperti karya-karya pensejarahan kolonial British di
Tanah Melayu. Dapat dilihat dengan lebih jelas karya-karya tersebut jelas mempunyai unsur bias terhadap
pentadbiran British itu sendiri. Hal ini disebabkan oleh para penyelidik dan penulis pada ketika itu adalah
terdiri daripada pegawai British itu sendiri yang jelas-jelas kebanyakkannya menyokong pihak kolonial.
Unsur bias yang ditunjukkan oleh mereka jelas dapat dilihat melalui pengadilan moral mereka terhadap
tokoh-tokoh pejuang tempatan seperti Haji Abdul Rahman Limbong yang berasal dari Terengganu. Haji
Abdul Rahman Limbong dianggap sebagai penyebar ajaran sehingga menyebabkan tercetusnya kebangkitan
di Terengganu pada tahun 1928.13 Hal ini menyebabkan beliau dibuang negeri ke Mekah. Walhal, satu sudut

yang perlu diketahui ialah Haji Abdul Rahman Limbong lah yang merupakn pembela, pembantu serta penaik
semangat kepada masyarakat tani miskin di Terengganu yang telah ditindas sewenangnya oleh pihak
12

Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, hlm. 125.
Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Terengganu Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia,
1996, hlm. 110.
13

7

kerajaan pada ketika itu. Bukan hanya Haji Abdul Rahman Limbong sahaja yang diberikan pengadilan moral
sebegitu rupa oleh pihak British, malah ramai lagi tokoh pejuang tempatan yang lain seperti Tok Janggut,
Mat Kilau, Dol Said dan Dato Maharaja Lela yang turut dilabel sedemikian rupa. Mereka dilabel sebagai
melakukan penderhakaan terhadap sultan dan pada masa yang sama telah menentang kerajaan. Sedangkan
jika kita melakukan pengadilan moral dengan teliti, mereka cuma menentang pentadbiran kolonial British di
Tanah Melayu yang banyak melanggar norma-norma masyarakat tempatan bukannya menentang dan
menderhaka kepada sultan mereka sendiri. Jika pengadilan moral diketepikan dalam hal ini, sudah tentu
tidak akan munculnya penulisan sejarah yang bersentrikkan tempatan yang mengangkat pejuang-pejuang
Melayu ini sebagai pejuang sebenar. Oleh itu, terbukti bahawa unsur pengadilan moral tidak dapat
diketepikan dalam mana-mana penulisan sejarah.

4) PENGADILAN MORAL SEBAGAI LANDASAN MEMPERJUANGKAN IDEOLOGI DAN
TUJUAN PENULIS

Pengadilan moral tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah kerana tanpa pengadilan moral
sesebuah karya penulisan sejarah itu dilihat seolah-olah seperti tergantung tanpa peleraian. Tanpa pengadilan
moral juga sesebuah karya itu dilihat kurang menarik dan sukar untuk menarik perhatian pembaca apatah
lagi mempengaruhi mereka. Kebanyakan karya sejarah dapat dilihat menggunakan fakta dan sumber yang
lebih kurang sama. Jadi apa yang membezakan setiap penulisan sejarah itu ialah pengadilan moral yang
dibuat berdasarkan ideologi dan tujuan penulis tersebut. Setiap penulis sudah semestinya mempunyai
pengadilan moral mereka yang tersendiri dalam menilai sesuatu peristiwa serta menulis karya mereka
menurut ideologi masing-masing. Dengan itu pengadilan moral merupakan elemen penting untuk penulis
mengetengahkan serta memperjuangkan ideologi mereka yang tersendiri. Contoh jelas yang dapat dilihat
adalah menerusi sejarawan pada zaman pertengahan di Eropah yang mana termasuklah tokoh agung seperti
Voltaire. Beliau merupakan sejarawan yang terkenal dan sangat berpengaruh pada zaman pertengahan di
Eropah. Pengaruh beliau yang kuat ini telah pun mendapat pengiktirafan oleh tokoh sejarawan iaitu Ernst
Cassirrer. Menurut Ernst, semua hasil pensejarahan yang terkenal pada abad ke-18 adalah dipengaruhi oleh
8

pensejarahan yang dilakukan oleh Voltaire.14 Voltaire menerusi karya-karyanya seperti Essay on Manners
dan Age of Louis XIV telah menonjolkan ideologi-ideologi sekular yang ingin dibawa olehnya. Ketaksuban
Voltaire dalam membawa gagasan ideologinya dapat dilihat apabila beliau mengecam karya-karya
sebelumnya seperti karya St. Augustine iaitu City of God. Voltaire telah menjatuhkan pengadilan moral
kepada karya St Augustine yang mengandungi unsur agama, ketuhanan dan falsafah sejarah yang
bersandarkan hukum tuhan yang dianggap olehnya sebagai tidak wujud lagi. Voltaire dilihat menggunakan
pengadilan moral terhadap karya St Augustine untuk mengangkat ideologinya pada ketika itu yang
disifatkan sebagai lebih sekular. Melalui karya-karya Voltaire yang telah disebutkan tadi juga jelas
memperlihatkan Voltaire cuba memperjuangkan ideologi sekularnya supaya diterima oleh masyarakat.
Menurut sarjana Muhd Yusof Ibrahim :
“Seperti tokoh-tokoh yang lain pada Zaman Kesedaran, minat Voltaire yang sebenarnya bukanlah
terhadap sejarah dalam erti kata yang sebenarnya. Minat beliau terhadap sejarah adalah untuk
menonjolkan gagasan-gagasan dan impian-impiannya yang berkait dengan falsafah sekular Zaman
Kesedaran itu juga.”15
Jelas di sini bahawa di samping menjatuhkan pengadilan moral ke atas karya orang lain demi untuk
mengangkat ideologinya, Voltaire turut menggunakan pengadilan moral dalam karya-karyanya sendiri
supaya dapat mempengaruhi masyarakat tentang ideologi yang dibawa oleh beliau. Dengan itu, telah pun
menjadi bukti bahawa pengadilan moral digunakan dalam memperjuangkan ideologi penulis itu sendiri.
Selain itu, pengadilan moral juga dilihat bertujuan untuk menunjukkan tujuan penulis. Sebagai contoh yang
dapat dilihat adalah melalui sejarawan China yang bernama Ssu-ma Chien. Beliau telah memuatkan unsur
pengadilan moral di akhir setiap bab penulisannya semasa zaman kemaharajaan China. Ssu-ma Chien
menyedari bahawa sejarah masa lalu negaranya memang wajar dicatatkan demi kepentingan generasi akan
datang. Dengan itu jelas dapat dilihat pengadilan moral yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang
tersendiri iaitu untuk menjaga kepentingan generasi seterusnya. Beliau dan anaknya iaitu Su Ma Hwa
meninggalkan hasil karya sejarah yang ditulis kepada pengganti raja supaya pengganti raja tersebut dapat
14

Muhd. Yusof Ibrahim, Aspek dan Perkembangan Falsafah Sejarah Dunia Barat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1991, hlm. 90.
15
Ibid., hlm. 90.

9

menjadikan hasil karya tersebut sebagai bahan rujukan apabila diperlukan di samping menjadikannya
sebagai panduan dalam pemerintahan. Pensejarahan yang dilakukan pada zaman penulisan Ssu-ma Chien
dikatakan dibuat dengan amat ketat sehinggakan raja tidak dibenarkan membaca apa yang ditulis oleh
penulis kerana khuatir baginda akan murka apabila melihat kesalahan-kesalahan yang pernah baginda
lakukan yang kemudiannya ditulis bagi panduan untuk raja yang seterusnya supaya tidak mengulangi
perbuatan tersebut.16 Dapat dibuktikan di sini bahawasanya pengadilan moral tidak boleh ditolak ke tepi
kerana setiap penulis menggunakan pengadilan moral untuk menunjukkan tujuannya di samping sebagai
pedoman pada masa akan datang.

5) PENGADILAN

MORAL

MEMPERLIHATKAN

KEAGUNGAN

DAN

BERTUJUAN

MEMBERI PENGHARGAAN

Pengadilan moral sememangnya bertindak untuk memaparkan keagungan serta memberi penghargaan
kepada inddividu, institusi, organisasi mahupun zaman atau peristiwa tertentu. Kebanyakkan penulis sejarah
gemar melakukan atau menggunakan konsep pengadilan moral untuk memaparkan kebaikan atau keagungan
seseorang individu dan juga sesebuah peristiwa yang telah berlaku. Perkara ini dilihat sebagai perkara biasa
kerana lumrah manusia adalah suka menilai apa yang orang lain lakukan dan juga menilai sesuatu peristiwa
yang telah berlaku mengikut perspektifnya tersendiri. Kebiasaanya apabila naluri sendiri digunakan dalam
menilai sesuatu, kebanyakkan penulis lebih terdorong untuk menceritakan kehebatan dan keagungan
individu atau pihak atau peristiwa yang mempunyai perkaitan dengan penulis itu sendiri. Sebagai contoh
yang dapat dilihat ialah adalah melalui sarjana seperti R.R Palmer dan J. Cotton melalui karya mereka iaitu
A History of the Modern World to 1815. Karya ini telah pun menggambarkan dengan menarik tentang
keadaan pada Zaman Penyerlahan di Eropah.17 Menurut mereka, pada Zaman Penyerlahan tersebut dapat
dilihat masyarakat di Eropah menolak penerangan teologi dan sudah mula menyingkirkan fahaman lama
yang dianggap kolot. Mereka juga menggambarkan seolah-olah tokoh-tokoh falsafah pada zaman tersebut
telah menyuluhkan cahaya baru di kawasan-kawasan di Eropah yang mana masih lagi berada di dalam
16

Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Shah Alam: Utusan Karisma Publications Sdn Bhd, 2007, hlm. 90.
Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2002, hlm.
164.
17

10

kegelapan dan kemunduran. Jika diteliti dengan sebaiknya, R.R Palmer dan J. Cotton adalah sarjana yang
berbangsa Eropah. Dengan itu tidak hairanlah jika mereka begitu mengagungkan Zaman Penyerlahan yang
berlaku di Eropah. Walaupun mereka tidak menggunakan perkataan pengadilan moral secara langsung tetapi
masih dapat dilihat gambaran yang diberikan oleh mereka terhadap Zaman Penyerlahan di Eropah begitu
tinggi sekali. Dengan kata lain, satu pengadilan moral telah dijatuhkan secara tidak langsung oleh mereka
dalam menunjukkan ketinggian sejarah Eropah pada zaman tersebut. Perkara yang sama juga turut berlaku di
Alam Melayu. Pengadilan moral telah digunakan untuk memberikan penghargaan selain daripada
memperlihatkan keagungan sesebuah bangsa atau individu yang terlibat. Contoh nyata dapat dilihat
menerusi karya Tuhfat Al-Nafis untuk kesekian kalinya. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, karya
tersebut telah pun dikarang oleh Raja Ali Haji yang berketurunan Bugis. Oleh yang demikian, beliau
cenderung terhadap semangat Bugis dan menyebabkan beliau lebih menggambarkan tentang kehandalan
pahlawan-pahlawan Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang
beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada ketika itu. 18 Walaupun
pengadilan moral tidak dilakukan secara terus oleh Raja Ali Haji menerusi karyanya itu, akan tetapi
gambaran yang telah diberikan olehnya jelas memperlihatkan bahawa beliau telah memberikan satu
penghargaan kepada pahlawan-pahlawan Bugis ini sehinggakan beliau memandang dengan begitu tinggi
terhadap sumbangan dan peranan mereka. Secara tidak langsung satu pengadilan moral telah pun dijatuhkan
oleh Raja Ali Haji sendiri menerusi karyanya tersebut. Jelaslah terbukti di sini bahawa pengadilan moral
adalah amat sukar dipisahkan dalam mana-mana penulisan sejarah.

KESIMPULAN

18

Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, hlm. 125.

11

Profesor E.H. Carr ada menyatakan bahawa pengadilan moral dalam sejarah boleh mencakupi
individu, peristiwa, institusi dan dasar.19 Dengan itu penulis boleh menyatakan agak sukar untuk dibuat satu
kesimpulan bagi persoalan wajarkah pengadilan moral dilakukan dalam penulisan sejarah. Namun begitu,
penulis tetap berpendirian bahawa pengadilan moral adalah menjadi satu keperluan dalam apa jua bentuk
penulisan sejarah. Berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan di atas iaitu antaranya, pengadilan moral
bertindak sebagai memberi pengajaran dan teladan kepada masyarakat, benteng hak asasi manusia,
menghindarkan unsur bias, landasan memperjuangkan ideologi dan tujuan penulis serta memperlihatkan
keagungan dan memberi penghargaan, penulis merasakan bahawa pengadilan moral bukanlah suatu aspek
yang wajar diketepikan dengan begitu mudah. Akan tetapi, perlu difahamkan juga bahawasanya setiap
sarjana sejarah mempunyai pendirian mereka yang tersendiri dalam menilai sesuatu peristiwa dan juga
seseorang individu. Berikutan itu, pelbagai pengadilan moral akan terhasil dan terpulang kepada individu
untuk bersetuju dengan mana-mana pengadilan moral yang telah dibuat oleh para sarjana. Memetik kata-kata
sarjana Qassim Ahmad iaitu :
“Pokoknya, jalan keluar daripada masalah ini bukanlah lari daripadanya “tetapi memperlengkapkan
lagi para ahli sejarah dengan kemahiran yang berkait....” Dan masalah ini perlu dihadapi dan
diselesaikan oleh para ahli sejarah sebagai manusia biasa dan juga oleh bukan ahli sejarah yang juga
manusia biasa.”20
Walaupun sesetengah daripada sarjana dilihat cuba mengelak untuk tidak menjatuhkan pengadilan moral
terhadap mana-mana pihak atau peristiwa akan tetapi ianya adalah agak sukar dilakukan. Hal ini demikian
kerana penggunaan sesuatu perkataan itu sendiri sudah pun dianggap sebagai satu bentuk pengadilan moral
yang dilakukan secara sedar ataupun tidak sedar. Tetapi harus diingati bahawa penulis karya sejarah juga
adalah manusia biasa yang kadang kala menggunakan emosi serta perasaan mereka dalam penulisan lalu
menjatuhkan pengadilan moral tanpa mereka sedari. Unsur pengadilan moral ini bagi penulis sememangnya
sukar disangkal dan tidak mudah untuk meletakkannya di tepi apatah lagi memisahkannya begitu sahaja
kerana pastinya akan membuatkan sesebuah penulisan sejarah itu kelihatan kaku dan pincang serta tidak
19

20

E.H. Carr, What is History?, Harmondsworth, Middlesex: Penguin Books, 1964, hlm. 78.
Qasim Ahmad, Karya Sejarah Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 50.

12

dapat menarik perhatian pembaca. Di samping itu juga, tanpa pengadilan moral yang dibuat penulis akan
kelihatan seperti tiada pendiriannya yang tersendiri sedangkan bagi seseorang ahli sejarah mahupun penulis
sejarah, pendirian itu adalah elemen yang sangat penting untuk membezakan kita dengan individu lain dalam
menilai sesuatu. Selaras dengan peranan sejarah itu sendiri yang sepatutnya mengandungi unsur-unsur
teladan dan pengajaran serta pedoman buat generasi akan datang, maka bagi penulis pengadilan moral
adalah perlu untuk dilakukan dalam setiap penulisan sejarah dengan syarat kajian dan penyelidikan yang rapi
berdasarkan bahan-bahan dan sumber-sumber yang sahih telah dilakukan terlebih dahulu.

BIBLIOGRAFI

13

Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Terengganu Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Persatuan
Muzium Malaysia, 1996.
Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.
Azharudin Mohd Dali, Tamadun India, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004.
Carr, Edward Hallet, What is History?, Harmondsworth, Middlesex: Penguin Books, 1964.
Esa Khalid, Mohd. Azhar Abd. Hamid, Beberapa Aspek Tamadun Melayu, India, China dan Jepun, Skudai:
Universiti Teknologi Malaysia, 2004.
Ghazali Mayuddin, Johor Semasa Pendudukan Jepun, 1942-1945, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia,
1978.
Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Shah Alam: Utusan Karisma Publications Sdn Bhd,
2007.
Ishak Saat, Penulisan Sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2010.
Muhd. Yusof Ibrahim, Aspek dan Perkembangan Falsafah Sejarah Dunia Barat, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1991.
Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975.
Qasim Ahmad, Karya Sejarah Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1991.
R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985.
Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn
Bhd, 2002.
Tengku Anuar Tengku Dalam, Pengetahuan Kenegaraan Malaysia untuk peperiksaan am kerajaan, Kuala
Lumpur: Nurin Enterprise, 1991.

14