ANAK TAK SAH TARAF SIAPA YANG SEPATUTNYA

ANAK TAK SAH TARAF: SIAPA
YANG SEPATUTNYA MEMBERI NAFKAH?
Nuarrual Hilal Md Dahlan1
Abd Ghani Ahmad2

Abstrak
Kelahiran anak tak sah taraf dalam negara kita semakin bertambah dari semasa
ke semasa. Senario ini amat membimbangkan masyarakat hari ini. Kelahiran
mereka
menimbulkan
persoalan
mengenai
siapakah
yang
perlu
bertanggungjawab untuk menguruskan kehidupan mereka terutamanya dari
aspek nafkah; adakah tanggungjawab itu semata-mata dibebankan ke atas ibu
yang melahirkannya? Jika ibu tersebut tidak berkemampuan untuk memberi
nafkah, siapakah yang harus memikul tanggungjawab tersebut demi memastikan
kebajikan dan pengurusan hidup anak tak sah taraf tidak terabai? Terdapat buktibukti bahawa kebajikan anak tak sah taraf diabaikan di Malaysia. Objektif
penulisan ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti pihak manakah yang

bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak tak sah taraf berdasarkan
Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang sedia ada.Kaedah penulisan ini
berbentuk kualitatif sosial dan undang-undang berdasarkan data primer dan
sekunder berkaitan dengan anak tak sah taraf.Kaedah kepustakaan adalah asas
utama dalam penulisan ini yang menganalisa secara induktif dan deduktif
merujuk dalil-dalil usul fiqh Islam dan undang-undang sehingga mencapai satu
kesimpulan yang kukuh dalam mengenal pasti pihak yang wajib memberi nafkah
kepada anak tak sah taraf. Hasil penulisan ini mendapati bahawa ibu merupakan
orang yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak tak sah taraf.
Sekiranya ibu tidak berupaya akibat kemiskinan atau tidak mempunyai
pendapatan maka tanggungjawab nafkah diturunkan kepada waris ibu dan
sekiranya tiada, tanggungjawab ini dibebankan ke atas bahu pihak pemerintah.
Namun begitu, tiada pula peruntukan Hukum Syarak dan undang-undang yang
mewajibkan bapa biologi yang menjadi penyebab kelahiran memberi nafkah
kepada anak tak sah taraf.
Kata kunci: Anak Tak Sah Taraf, Nafkah Dan Kebajikan Anak Tak Sah Taraf, Hukum
Syarak, Undang-Undang Keluarga Islam, Pihak Yang Bertanggungjawab Memberi Nafkah
Dan Melaksanakan Kebajikan

1)


PENDAHULUAN

Di Malaysia, isu anak tak sah taraf sudah menjadi isu besar yang sangat
membimbangkan masyarakat hari ini. Kisah-kisah tentang pembunuhan dan
1

Profesor Madya di Intitute for Governane and Innovation Studies, UUM Kolej Undang-undang, Kerajaan
dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia. Beliau juga merupakan penyelia tesis PhD Industri
penulis kedua. Emai:nuarrualhilal@gmail.com; hilal@uum.edu.my. HP: 012-5785455.
2
Pelajar PhD Industri di Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah seliaan penulis pertama. Email:
agba9900@gmail.com. HP: 019-4469596.
.

1

pembuangan bayi sentiasa didedahkan oleh media arus perdana manakala jumlah
wanita hamil luar nikah yang ditempatkan di pusat-pusat pemulihan semakin meningkat
dari semasa ke semasa. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu beragama

Islam. Pelbagai pendekatan dan kaedah pelaksanaan serta penguatkuasaan
diperkenalkan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan isu kelahiran anak tak sah
taraf tetapi tidak membuahkan hasil.

Berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara di mana sejak
tahun 2008 hingga 2012, terdapat lebih 167,073 bayi yang direkodkan kelahirannya
tanpa bapa telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Ini bermakna, secara
purata 33,415 orang bayi dilahirkan dalam tempoh setahun, 2,784 orang bayi dilahirkan
dalam tempoh sebulan, 93 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sehari dan 4 orang bayi
dilahirkan dalam tempoh sejam (Abdul Majid Omar, 2013).

Menurut YB Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri
dalam persidangan Parlimen Malaysia bertarikh 18 & 19 Mac 2014 mengenai kelahiran
anak luar nikah oleh gadis bawah umur (16 tahun ke bawah) dalam Tahun 2012 – 2013
menyatakan jumlah anak luar nikah oleh gadis bawah umur (perangkaan dari Jabatan
Pendaftaran Negara) yang melibatkan bangsa Melayu ialah 1,490 orang manakala
bukan Melayu ialah 1,836 orang. Bagi kes rogol gadis bawah umur yang dilaporkan
kepada polis yang melibatkan bangsa Melayu ialah 2390 orang manakala bukan
Melayu ialah 584 orang. Bagi kes rogol gadis bawah umur yang tidak dilaporkan
kepada polis hanya melibatkan bangsa bukan Melayu sahaja iaitu 1,252 orang

(Kementerian Dalam Negeri, 2014).
Kelahiran anak tak sah taraf telah menimbulkan implikasi tertentu dalam keluarga dan
masyarakat antaranya daripada aspek nafkah. Siapakah yang perlu bertanggungjawab
menjaga kebajikan mereka seperti makan-minum, pakaian, pendidikan dan belaian kasih
sayang di samping pengurusan hidup mereka seperti berada di tempat tinggal yang
selamat, penjagaan yang sempurna dan mendapat perlindungan dari segala perkara
yang boleh membahayakan diri mereka? Kita perlu menyedari bahawa anak tak sah
taraf bukanlah seorang insan yang tidak bermaruah yang tidak mempunyai harga diri
seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak. Kedudukan mereka sama seperti kanakkanak yang lain yang sah tarafnya berhak memperoleh keistimewaan, manfaat,
kebajikan, pendidikan, perlindungan dan bebas melakukan aktiviti-aktiviti harian.
Penulisan ini akan membincangkan isu nafkah anak tak sah taraf seperti mana yang
telah diperuntukan di bawah undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Oleh kerana
terdapat peruntukan-peruntukan yang hampir sama di bawah enakmen negeri-negeri
maka penulisan ini hanya merujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Kedah) 2008 sebagai mewakili peruntukan di negeri-negeri lain. Justeru itu, penulisan ini
akan mengenalpasti tanggungjawab siapakah memberi nafkah kepada anak tak sah
taraf berdasarkan Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang sedia ada selain
merujuk data primer dan sekunder yang menyentuh isu anak tak sah taraf.
2)KONSEP ANAK TAK SAH TARAF
2


Anak tak sah taraf disebut walad al-zina menurut istilah Bahasa Arab yang bermaksud
anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina ialah anak
yang tidak boleh disabitkan nasabnya kepada penzina melainkan persetubuhan itu
disandarkan kepada pernikahan yang sah atau fasid atau syubhah atau dari hamba
yang dimiliki atau syubhah hamba yang dimiliki, maka boleh dinasabkan kepada
penzina dan kedua-duanya boleh diwarisi dan mewarisi di antara satu sama lain. AlDawish (2002) pula menjelaskan sekiranya berlaku perzinaan dan melahirkan anak
maka anak yang lahir daripada perzinaan itu tidak boleh disandarkan atau disabitkan
nasab kepadanya dan anak itu tidak boleh mewarisi hartanya.
Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 26
September 2010 telah mentafsirkan anak tak sah taraf mengikut Hukum Syarak ialah :
a) Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina, rogol dan dia bukan
daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
b) Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) qamariah dari waktu ”imkam addukhul”.
c) Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah (saat) dari waktu ”imkam addukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak
tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan
(suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya).
d) Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki sama ada lelaki yang
menyebabkan kelahirannya atau yang mengaku menjadi bapa kepada anak
tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh mewarisi antara satu sama lain, tidak boleh

menjadi mahram dan bapa tersebut tidak boleh menjadi wali kepada anak tersebut.
e) Jika lelaki tersebut berkahwin dengan ibu kepada anak tak sah taraf itu dan sabit
persetubuhan maka hubungan anak tersebut dengan lelaki tersebut adalah seperti
anak dengan bapa tiri dan mereka adalah mahram.
Menurut Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kedah) 2008
mentafsirkan anak tak sah taraf :
“tidak sahtaraf’, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan
di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”
Di Malaysia, anak tak sah taraf mempunyai dua definisi ; Pertama : dari sudut fiqh iaitu
anak yang lahir di luar pernikahan yang Syarie (anak zina), anak li’an, anak laqit
(pungut atau terdampar), anak mangsa rogol dan anak sumbang mahram. Kedua: dari
sudut pentadbiran JPN iaitu anak yang tidak mempunyai dokumen kelahiran akibat
perkahwinan ibu bapanya tidak didaftarkan di Mahkamah Syariah (Irwan Mohd Subri,
Zulkifli Hassan, Lukman Abdul Mutalib & Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri, 2013).
3)

TANGGUNGJAWAB NAFKAH

Umumnya, ibu bapa berkewajipan menjaga kebajikan anak-anak seperti makan-minum,
pakaian, pendidikan dan belaian kasih sayang yang merupakan keperluan harian

mereka. Di dalam Islam, menyediakan keperluan harian ini dikenali sebagai nafkah.
3

Namun begitu, bagi anak tak sah taraf terdapat tiga pihak yang dipertanggungjawabkan
memberi nafkah kepada mereka sama ada ibu atau waris ibu atau pemerintah.
3.1Ibu
Perkataan nafkah ialah kalimah Arab yang berasal daripada infaq iaitu mengeluarkan.
Dari sudut bahasa bermakna apa yang dikeluarkan oleh manusia terhadap anakanaknya. Daripada istilah Syarak bermakna memberi perbelanjaan yang secukupnya
daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal (Wahbah al-Zuhaili, 2001).
Firman Allah SWT:

“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu
itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang
melainkan menurut kemampuannya” (Al-Baqarah, 2 : 233).
Di dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah R.A bahawa Hindun binti ‘Utbah telah
berjumpa dengan Rasulallah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu
Suffian (suaminya) adalah seorang yang kedekut. Dia tidak memberi belanja yang cukup
untuk saya dan anak-anak kami kecuali jika saya ambil dengan tidak diketahuinya."
Rasulullah SAW bersabda:
"Ambillah sekadar yang cukup untuk keperluan kamu dan anak-anak

kamu dengan cara yang baik” (Sahih Bukhari, Kitab An-Nafaqaat).
Berdasarkan kedua-dua nas di atas adalah jelas bahawa seseorang bapa berkewajipan
memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu
perkahwinan, keturunan dan pemilikan. Walau bagaimanapun, dalam konteks anak tak
sah taraf, tanggungjawab memberi nafkah dan saraan hidup yang lain terletak kepada
ibunya mengikut Hukum Syarak. Ini disebabkan anak tak sah taraf hanya dinasabkan
kepada ibunya sahaja dan tidak dinasabkan kepada bapa yang menyetubuhi ibunya.
Kewajipan ibu memberi nafkah kepada anaknya telah dinyatakan di dalam al-Quran :
”Janganlah menjadikan seseorang ibu menderita kerana anaknya” (AlBaqarah, 2 : 233).
Tanggungjawab ibu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf diperuntukan dalam
Seksyen 81 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kedah) 2008 iaitu :
“Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah
seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung
nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol,
Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya,
memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang
difikirkan munasabah oleh Mahkamah”.
Menurut Nora Abdul Hak (2004), terdapat syarat-syarat tertentu dalam menyara
keperluan nafkah anak tak sah taraf di mana seorang ibu berkewajipan memberi nafkah
kepada anaknya disebabkan pertalian darah (nasab) antara mereka iaitu :4


a) Anak tersebut tidak mampu berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin
atau sehingga mempunyai pekerjaan.
b) Anak tersebut miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menyara dirinya.
c) Anak tersebut cacat anggota. Jika anak tersebut sudah besar atau baligh dan
mampu berdikari maka ibu tidak lagi wajib memberi nafkah kepadanya.
d) Anak tersebut masih menuntut ilmu.
e) Ibu tersebut mampu memberi nafkah. Jika ibu tidak mampu memberi nafkah maka
kewajipan tersebut berpindah kepada waris mengikut Hukum Syarak.

3.2Waris ibu
Waris ibu merupakan pihak kedua yang dipertanggungjawabkan oleh Hukum Syarak
untuk menyara nafkah anak tak sah taraf sekiranya ibu tidak berupaya untuk
melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini disebabkan beberapa faktor tertentu
antaranya kemiskinan, tidak mempunyai pekerjaan, melarikan diri daripada keluarga
akibat malu dengan perbuatan terkutuk dan takut menerima risiko jika dihadapkan ke
mahkamah.
Kefardhuan waris ibu membiayai nafkah anak tak sah taraf dinyatakan dalam al-Quran ;
“dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika bapa
tiada)”(Al-Baqarah, 2 : 233)

Dr Wahbah al-Zuhaily (1989) menyatakan bahawa waris ibu yang bertanggungjawab
memberi nafkah anak tersebut ialah ;
”Ibu adalah waris, jadi wajib ke atasnya membiayai nafkah dengan jelas
daripada nas al-Quran. Jika anak kecil itu ada nenek dan saudara lelaki
maka ke atas nenek satu per enam dan yang selebihnya ditanggung oleh
saudara lelaki. Dengan ini jadilah susunan pembiayaan nafkah mengikut
susunan pewarisan. Maka sebagaimana nenek di sini mendapat habuan
pusaka satu per enam, ia wajib membiayai nafkah juga satu per enam
dan sebagaimana habuan pusaka yang selebihnya bagi saudara lelaki
maka begitu pula ia wajib membiayai nafkah yang selebihnya setelah
nenek membiayai satu per enam. Jika berhimpun ibu bapa di sebelah ibu
(nenek dan datuk di sebelah ibu) maka pembiayaan nafkah wajib ke atas
emak ibu (nenek) kerana ia adalah ahli waris”
Oleh itu, jelaslah waris ibu yang utama berhak memberi nafkah terdiri daripada nenek
(emak ibu) dan saudara lelaki seibu sama ada abang atau adik kepada anak tak sah
taraf. Kadar saraan nafkah adalah mengikut bahagian yang diterima oleh waris-waris
tersebut dalam harta pusaka.
3.3Pemerintah
5


Dr Yusuf al-Qardhawi (1995) menjelaskan adalah menjadi kewajipan pihak pemerintah
untuk memastikan kebajikan anak tak sah taraf khususnya dalam memelihara aqidah
Islam jika ibu yang melahirkannya beragama Islam. Begitu juga, kebajikan mereka untuk
mendapat nafkah dan perlindungan di samping menguruskan kehidupan mereka sama
seperti kanak-kanak yang lain. Pandangan beliau adalah berdasarkan fatwa yang telah
difatwakannya iaitu :
”Adalah suatu yang ditetapkan oleh Syarak bahawa seseorang anak
apabila kedua ibu bapanya menganut agama yang berbeza, maka dia
akan mengikut agama ibu bapanya yang terbaik. Ini bagi mereka yang
ayahnya diketahui. Maka apatah lagi dengan yang tidak diketahui
ayahnya? Dia adalah seorang muslim tanpa ragu-ragu lagi. Masyarakat
muslim bertanggungjawab menjaga dan menanggung nafkah
kehidupannya serta mengelokkan tarbiahnya. Janganlah mengharapkan
semata-mata kepada ibu malang yang ditimpa bala. Di dalam Islam,
kerajaan bertanggungjawab terhadap penjagaan anak ini dengan
perantaraan kementerian atau institusi tertentu”.
Dalam hadis sahih yang disepakati Rasulallah (S.A.W) telah bersabda :
Maksudnya :
”Dari Abdullah Bin Umar RA berkata : Sesungguhnya aku telah
mendengar Rasulallah SAW bersabda : Setiap kamu adalah penjaga dan
kamu semua bertanggungjawab terhadap apa yang kamu jaga” (Sahih
Bukhari, Kitab al-‘Itqu).
Oleh itu, jelaslah bahawa kewajipan pemerintah melindungi dan menyara kehidupan
anak tak sah taraf apabila mendapati ibu dan waris ibu tidak mampu membiayai saraan
nafkah ke atas anak tersebut.
Terdapat agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan
fungsi-fungsi tertentu berkaitan wanita yang hamil luar nikah dan anak tak sah taraf
(Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, 2012) antaranya :
a) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui
Dasar Kanak-Kanak Negara (DKN), Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara
(DPKN), Dasar Kebajikan Masyarakat Negara (DKMN) dan Dasar Sosial Negara
(DSN).
b) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Rumah Kanak-Kanak, Sekolah Tunas
Bestari, Asrama Akhlak, Taman Seri Puteri, Kompleks Penyayang Bakti, Pusat
Jagaan Sinar Kasih di Batu Gajah, Perak dan di Sungai Buloh, Selangor.
c) Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui program ibu tunggal seperti Inkubator
Kemahiran ibu Tunggal (I-KIT), Jejari Bestari dan Inkubator Keusahawanan Wanita
(I-KeuNITA) dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
d) NGO melalui Pusat Jagaan Rumah Perlindungan Nurul Hana (PJRPNH) dikelolakan
oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Kedah dan Baby Hatcy yang
dikendalikan oleh OrphanCARE di Petaling Jaya, Selangor.
6

4)

PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Fokus penulisan ini adalah berkisar tentang tanggungjawab memberi nafkah kepada
anak tak sah taraf yang melibatkan tiga pihak iaitu ibu, waris ibu dan pemerintah.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian demi memastikan kebajikan dan
pengurusan anak tak sah taraf terlaksana dengan sempurna terutamanya
permasalahan yang dihadapi oleh pihak-pihak yang berkaitan.
Berdasarkan penulisan di atas, terdapat dua keadaan pada diri ibu yang diwajibkan ke
atasnya memberi nafkah kepada anak tak sah taraf iaitu :a) Apabila ibu tersebut enggan memelihara anak tersebut dengan meninggalkan anak
tersebut dipelihara oleh waris ibu. Dalam masa yang sama, jika waris ibu tidak
mampu memberi nafkah, maka menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil
tanggungjawab memberi perlindungan dan menyara keperluan nafkah mereka.
b) Apabila ibu tersebut sanggup memelihara anak tersebut tetapi berada dalam
kemiskinan dan tidak mempunyai pekerjaaan untuk menyara nafkah anak tersebut.
Menyentuh isu pertama, sekiranya ibu tersebut menghilangkan diri dari keluarga dan
menyerahkan kepada warisnya untuk memelihara dan menyara nafkah anak tersebut
maka terdapat dua situasi yang dapat dilihat iaitu jika keluarga ibu (nenek) tersebut
terdiri di kalangan orang berada dan berharta maka isu kemampuan memberi nafkah
anak tersebut tidak berbangkit sama sekali. Sekiranya keluarga ibu (nenek) terdiri di
kalangan orang miskin, mempunyai anak-anak yang lain yang masih kecil dan
bersekolah serta suaminya (datuk) tidak mempunyai pendapatan tetap di mana
pendapatan yang ada sekadar cukup untuk keperluan hidup mereka. Pada ketika itu, jika
waris ibu masih mampu untuk memelihara anak tersebut tetapi tidak mampu untuk
memberi nafkah maka dicadangkan Baitulmal dipertanggungjawabkan membiayai
keperluan nafkah anak tak sah taraf. Baitulmal wajar mengadakan satu peruntukan
nafkah anak tak sah taraf. Untuk tujuan tersebut, pindaan undang-undang hendaklah
dibuat supaya Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan satu perintah nafkah anak tak
sah taraf ke atas Baitulmal jika waris ibu menuntut hak nafkah di Mahkamah Syariah.
Setakat ini Baitulmal hanya memberi bantuan khidmat guaman syarie kepada pihakpihak yang terlibat dalam kes di Mahkamah Syariah yang tidak mampu menggunakan
khidmat Peguam Syarie terutamanya di Wilayah Persekutuan. Program ini berjalan
sejak tahun 2009 dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
dengan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP). Pihak
yang layak memohon bantuan guaman syarie adalah terdiri daripada 8 asnaf yang layak
menerima zakat dengan pendapatan bulanan bawah RM 1500.00 sebulan.
Selain itu, institusi zakat di seluruh negeri wajar memberi bantuan bulanan kepada waris
ibu yang memelihara anak tak sah taraf setelah aduan dikemukakan kepada institusi
zakat atau terdapat laporan daripada mana-mana agensi kerajaan mengenainya.
Menyentuh isu kedua di atas iaitu apabila ibu sanggup memelihara anak tersebut tetapi
berada dalam kemiskinan dan tidak mempunyai pekerjaaan untuk menyara nafkah anak
tersebut, penulisan ini mencadangkan agar kerajaan melalui agensinya seperti Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional (TEKUN) dan apa-apa skim yang berkaitan
keusahawanan dapat memberi bantuan modal kewangan atau barangan secara bulanan
7

kepada ibu tersebut untuk memulakan perniagaan. Satu bentuk keistimewaan dan
pengecualian apa-apa bayaran perlu diberikan sebagai galakan kepada mereka untuk
membina hidup baru dengan melupakan kisah silam apabila terdapat agensi kerajaan
yang prihatin dengan nasib mereka.
Selain itu, dicadangkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengeluarkan kad
khas seperti kad OKU kepada ibu tersebut untuk memudahkan urusannya dengan
mana-mana pihak yang boleh memberi bantuan kewangan/modal perniagaan.
Di samping itu juga, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mempunyai rekod
kelahiran dan maklumat keluarga ibu anak tak sah taraf boleh memanjangkan apa-apa
bentuk bantuan kewangan kepada Baitulmal dan institusi zakat di setiap negeri apabila
menerima permohonan pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf. Tindakan ini bukanlah
satu galakan untuk menambahkan kelahiran anak tak sah taraf tetapi sekurangkurangnya dapat mengurangkan beban ibu tersebut dalam memelihara dan memberi
nafkah kepada anak tersebut. Baitulmal boleh membuat peruntukan khusus dalam bajet
tahunan untuk menyalurkan bantuan wang setiap bulan kepada anak tak sah taraf atau
bantuan modal kepada ibu untuk memulakan perniagaan selepas ibu tersebut
menghadiri apa-apa kursus kemahiran yang disediakan oleh Baitulmal atau agensiagensi berkaitan agar mereka boleh berdikari, keluar daripada kesempitan hidup dan
bukan lagi bergantung kepada Baitulmal dan institusi zakat semata-mata.
Dalam maksud yang sama, kerajaan dicadangkan agar mewujudkan Dana Khas
berbentuk bantuan segera kepada anak tak sah taraf sekiranya kes kesahtarafan anak
selesai diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Isu nafkah anak ini boleh dilihat apabila
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mewujudkan Bahagian Sokongan
Keluarga (BSK) bertujuan untuk menyalurkan bantuan sara hidup sementara kepada
isteri atau isteri dan anak-anak yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari
pihak yang wajib membayar nafkah.
Bagi membendung kelahiran anak tak sah taraf dan mengelakan kecuaian memberi
nafkah kepada mereka, penulisan ini turut mencadangkan agar diwujudkan satu
peraturan khas untuk mengikat ’bapa’ memberi nafkah dan menjaga kebajikan anak tak
sah taraf demi mengelakkan ’bapa’ bersikap lepas tangan. Peraturan khas tersebut
boleh diwujudkan untuk kebajikan anak tersebut atas dasar tanggungjawab sosial dan
bukan disabitkan atas nama agama. Ini disebabkan Hukum Syarak tidak mengiktiraf
hubungan anak tersebut dengan ’bapa’nya sebaliknya mengiktiraf ibu dan meletakkan
tanggungjawab ke atas ibu sahaja memberi nafkah kepada anak tak sah taraf.
5)

KESIMPULAN

Kelahiran anak tak sah taraf akibat perbuatan zina tidak boleh dipersalahkan kerana
mereka tidak berdosa, tidak menanggung dosa kedua ibu bapanya bahkan mereka tetap
mempunyai hak yang serupa untuk menikmati kesempurnaan hidup sama seperti anak
yang sah taraf. Perlakuan sumbang antara ibu dengan pasangannya tidak memutuskan
hubungan nasab anak tersebut dengan ibu. Tujuannya adalah untuk memastikan nafkah
dan keperluan lain anak tersebut tidak diabaikan.
Hukum Syarak dan enakmen undang-undang keluarga Islam di seluruh negeri di
Malaysia mempunyai peruntukan yang mewajibkan setiap wanita yang melahirkan anak
tak sah taraf memberi nafkah mengikut kemampuannya. Sekiranya ibu tidak mampu
8

menyara nafkah tersebut, kewajipan tersebut akan berpindah kepada waris ibu dan
seterusnya akan terpikul di bahu pemerintah jika waris ibu juga berhalangan dalam
memberi nafkah. Meskipun terdapat beberapa kelemahan dari aspek pelaksanaan,
peruntukan undang-undang jelas mengiktiraf, memelihara dan melindungi hak anak tak
sah taraf. Dengan itu mereka mampu menjadi insan yang soleh dan berguna serta dapat
berbakti kepada agama, bangsa dan negara apabila mereka berjaya dalam hidup nanti.
6)

RUJUKAN

Abdullah Basmei. (1998). Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian Al-Quran. Cet. 15.
Kuala Lumpur : Darul Fikri.
Abdul Majid Omar. (2013, 18 Mac). Kedudukan Anak Tak Sah Taraf : Dari Aspek Pandangan
Syarak, Nasab Dan Perwarisan Serta Kekeluargaan Islam, Kertas Kerja Kempen Sah
Nikah - Sah Nasab, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, &
ILIM, Bangi.
Ahmad bin Abd al-Razak Al-Dawish. (1423H/2002M). Fatawa Al-Lujnah Al-Daimah Lil Mabhus
Al-‘Alamiah Wa al-Ifta’. Cet. 4. Riyadh : Al-Mamlakah Al-‘Arabiyyah As-Su’udiyyah,
Muassasah Al-Amirah. 387.
Al-Imam Abi Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. (t.th). Sahih Bukhari. Kitab Al-‘itqu, Bab
al-‘Abdu Ra’in Fi Mali Sayyidihi. Hadis No. 2558. 656.
Dr Wahbah al-Zuhaily. (1409H/1989M). Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. Juz. 7. Cet. 3. Damsyik :
Dar al-Fikr. 827-828.
Dr Yusuf al-Qardhawi. (1995). Fatwa Masa Kini. Jil. 7 & 8. Cet. 1. Terj. Zaidi Jalil, Munawwar
Muhammad & Norman Mohd Nor. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd. 510.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kedah, 2008.
Jam’u Jawami’ al-Ahadis wa al-Asanid wa Maknin Al-Sihhah wa al-Sunan wa al-Masanid.
(1431H). Sahih Bukhari. Kitab An-Nafaqaat. Juz. 3. Qaherah : Jam’iah al-Maktabah alIslami.1123.
Kementerian Dalam Negeri. (2014, 21 Mac). Isu Terhadap Jawapan YB Timbalan Menteri Dalam
Negeri Mengenai Statistik Kes Rogol Gadis Bawah Umur. Diakses pada 1 Mei 2014
daripada
http://www.moha.gov.my/index.php/en/kenyataan-media-akhbar/1513-isuterhadap-jawapan-yb-tmdn-mengenai-statistik-kes-rogol-gadis-bawah-umur.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Diakses pada 25 April 2014
daripada http://www.kpwkm.gov.my.
Irwan Mohd Subri, Zulkifli Hassan, Lukman Abdul Mutalib & Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri.
(2013, Mac). Mem"Bin/Ti"Kan Anak Tak Sah Taraf Menurut Perspektif Syarak, UndangUndang Dan Sosial. Laporan Eksekutif Perundingan Penyelidikan, USIM dengan
kerjasama JAKIM. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Ipoh.
Nora Abdul Hak. (2004, 21 - 22 Julai). Hak Kanak-Kanak Dari Aspek Hadhanah Dan Nafkah: Di
Bawah Undang-Undang Keluarga Islam Di Malaysia. Kertas Kerja Simposium
Kebangsaan Kebajikan Kanak-Kanak. Gurney Resort Hotel and Residences. Pulau
Pinang.

9

Wahbah al-Zuhaili. (2001). Fiqh & Perundangan Islam. Jil. 7 & 8. Cet. 1. Terj. Ahmad Shahbari
Salamon, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 948.
Warta Kerajaan Negeri Kedah. (2011, 23 Jun). Jilid 54. No. 13 (Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah
Darul Aman) 2008.

10