APLIKASI TEORI DALAM PENULISAN KREATIF

APLIKASI TEORI DALAM PENULISAN KREATIF:
SATU TINJAUAN KEWAJARAN

OLEH

WARDAH MUNIRAH
KESUSASTERAAN secara umum bermaksudkan sesuatu yang indah dan
bermakna baik dari segi isi dan tubuhnya. Berdasarkan etimologi sastera dan
kesusasateraan, penulis sebenarnya menggalas tanggungjawab besar dalam
menghasilkan karya-karya yang bermutu baik dalam bentuk puisi mahupun prosa.
Peri penting tanggungjawab seorang penulis dalam memimpin pemikiran dan akal
budi masyarakat lewat karya yang dihasilkan perlu tampil secara baik agar mampu
diterima baik oleh khalayak pembaca. Dalam hal ini, kesusasteraan yang
menitikberatkan unsur estetika perlu dicitrakan oleh penulis bukan sahaja dari aspek
pengolahan gaya bahasanya malahan menuntut nilai estetika dari segi persoalan
dan pemikiran yang timbul. Pengarang besar, SN Shahnon Ahmad menegaskan peri
pentingnya menimbulkan nilai estetika pemikiran, estetika bahasa dan estetika cerita
yang

menjadi


landasan

dalam membawa

gagasan

pemikiran

yang

cuba

disampaikan pengarang.
Dunia kesusasteraan menuntut para penulis untuk mengeksploitasi ruang
kreativiti yang ada pada diri dan alam sekitarnya bagi menghasilkan sesebuah karya
yang bermutu dan mampu memandu daya fikir khalayak masyarakat agar lebih
terarah. Wawasan dan visi penulis perlu jelas iaitu untuk membijaksanakan pembaca
dengan kebenaran dan nilai keadilan dalam hidup. Walau bagaimanapun, tidak
sedikit penulis baharu yang sering tersasar dalam merealisasikan tanggungjawab
1


murni seorang penulis ini apabila membiarkan diri terikat dengan variasi konsep dan
kepelbagaian teori tertentu sewaktu melewati proses kreatif.
Kerja seorang penulis adalah menulis. Konsep ini lebih disenangi oleh
kebanyakan penulis baik penulis baharu mahupun penulis mapan. Dalam banyak
hal, penulis lebih berasa selesa dalam membebaskan kreativitinya daripada
dikongkong oleh sebarang ugeran sewaktu berkarya. Mengongkong diri dengan
perkara-perkara kritikal tersebut secara tidak sedar sebenarnya memberi impak
pada kesan rasa dan nilai estetika karya yang akan dinikmati oleh pembaca. Dalam
hal ini, penulis yang mengikat kerangka kreativitinya dengan bentuk-bentuk teori
tertentu akan menjadikan mereka obses untuk memastikan perihal tema, watak dan
perwatakan, olahan gaya bahasa, latar dan pelbagai aspek yang menjadi nadi
pergerakan sebuah naratif menepati pati teori yang dipegang. Hal ini tidak akan
disedari penulis ketika menjalani proses kreatif. Melihat pada penghasilan karya
‘terikat’ sebegini, kesan rasa yang negatif akan menganggu sistem minda pembaca
semasa menghadami karya tersebut. Perkara ini terjadi lantaran rasa terpaksa yang
akan menghambat suasana bosan khalayak untuk lebih meneliti sari pati karya
dalam bentuk yang bukan superfisial.
Penulis umumnya akan mencari sesebuah idea yang ingin ditulis melalui
citraan peristiwa, pengalaman yang boleh muncul dari pengalaman peribadi

mahupun pengalaman individu lain dan isu-isu kemanusiaan yang berlegar dalam
ruang dunia manusiawi dan kemanusiaan. Proses pencarian idea yang ingin digarap
ini akan muncul terlebih dahulu dan diperam dalam jangka waktu tertentu sebelum
diterjemahkan dalam himpunan aksara. Penulis akan menggunakan pancaindera
yang sedia ada untuk mematangkan idea yang timbul dengan bermatlamat untuk
memberi ruang cerita luar biasa dengan gagasan pemikiran yang akan memimpin
pembaca untuk lebih berfikir tentang diri, alam, dunia, manusia dan tuhan. Hal ini
2

tentunya perlu lahir secara ikhlas dari hati seorang penulis yang menjadikan tulisan
sebagai medium menyampaikan hasrat dan visi murni pengamal sastera. Melihat
pada

lumrah

proses

kreativiti

ini,


penulis

yang

terlalu

ghairah

untuk

mencampuradukkan kerjaya penulis dengan pengkritik akan menjadikan kerja
pertukangan seorang penulis termanifestasi sebagai kaku dan kurang nilai seninya
lagi. Secara langsung, hal ini akan menjejaskan nilai karya tersebut sebagai sebuah
karya sastera yang baik di samping menggugat tugas memanusiakan manusia yang
terkandung di dalamnya.
Walau bagaimanapun, penerapan teori ini berbeza dengan pemanfaatan
pendekatan tertentu yang boleh menambah daya resepsi pembaca menaakul naratif
yang


ingin

disampaikan

pengarang.

Misalnya,

seseorang

penulis

boleh

memasukkan unsur-unsur wacana yang akan memberi satu ilmu tambahan dalam
gubahan cerita dan peristiwa yang dihidangkan kepada pembaca. Pendekatan
memasukkan wacana dalam sesebuah karya akan mencambahkan pengalaman dan
ilmu pembaca. Walau bagaimanapun, penulis tetap perlu memandu gaya dalam
proses kreatif tersebut agar pendekatan memasukkan unsur wacana ini tidak
menganggu kepentingan aluran estetik dalam sesebuah karya sastera. Hal ini bagi

mengelakkan daripada karya sastera itu dikategorikan sebagai karya ilmiah.
Sebagai contoh, Faisal Tehrani merupakan seorang penulis prolifik yang
begitu tekal dalam membijaksanakan pembacanya dengan memasukkan unsurunsur wacana dan ilmu sebagai sari pati karya beliau. Hal ini menunjukkan
keprihatian seorang penulis untuk menjadikan bahan bacaan yang dihasilkan bukan
sekadar sebuah bahan baca biasa yang membawa masyarakat pembaca ke ruang
dimensi imaginasi tanpa hala tuju. Oleh hal yang demikian, seorang penulis yang
berwawasan dan mempunyai visi dalam penulisannya tidak seharusnya membiarkan

3

karyanya terumbang-ambing tanpa nilai intelektual yang boleh memberi manfaat
kepada pembaca.
Pengamal sastera terutama penulis baharu perlu bijak dalam memberi titik
perbezaan yang jelas dalam menentukan bentuk pengaplikasian teori yang boleh
menyekat daya kreativiti penulis dengan pendekatan tertentu. Hal ini kerana,
pendekatan tertentu dan bersesuaian boleh menjadi kekuatan sesebuah karya tanpa
menolak unsur estetikanya. Memanglah bukan satu kesalahan untuk seseorang
penulis menulis dengan menjadikan sesebuah teori sebagai sandaran. Namun tidak
banyak penulis yang menggunakan kaedah tersebut dalam berkarya. Langkah
berani tersebut perlu diambil dengan penguasaan yang tinggi terhadap teori yang

dipegang. Sementelahan pula, penulis berkenaan juga perlu mempunyai kesedaran
tinggi terhadap unsur estetika karya yang tidak sewajarnya ditelan oleh teori.
Menulis bersandarkan teori tertentu akan menjadikan sesebuah karya itu bertaraf
tinggi dan mampu diterjemah melalui proses enkod dan dekod pembaca. Perkara ini
akan berlaku sekiranya penulis benar-benar arif dengan teori serta mempunyai
kesedaran mendalam bagi melestarikan nilai estetika karya sastera.
Sasterawan Negara, Dato’ Noordin Hasaan merupakan contoh penulis yang
berjaya dalam lapangan kesusasteraan walaupun berpegang teguh pada konsep
teater fitrah dalam kebanyakan karya beliau. Kejayaan beliau sebagai dramatis
merupakan hasil kekuatan konsep teater fitrah yang diperkenalkan lewat karya-karya
yang ditulis seperti 1400, Intan Yang Tercanai dan Mana Setangginya. Karya-karya
tersebut merupakan hasil tulisan beliau dengan mengaplikasikan konsep teater fitrah
secara sedar. Karya-karya yang diketengahkan lewat konsep yang dihasilkan beliau
mampu diterima baik oleh pengamat sastera. Hal ini menunjukkan seseorang
penulis yang ingin menulis bersandarkan sesebuah teori mahupun konsep perlu
mempunyai daya pengetahuan dan ketekalan sewaktu berkreatif. Perkara ini
4

bermaksud, penulis mampu menguasai atau mewujudkan sesebuah teori dan
konsep untuk dijadikan sebagai kayu pengukur kepada hasil penulisannya secara

konsisten. Pewujudan konsep tertentu dan konsistensi dalam memasukkan konsep
tersebut ke ruang naratif seperti yang dilakukan Noordin Hassan akan menjadikan
sesebuah karya itu bermutu tinggi dan mampu diterima masyarakat. Secara mudah,
penulis yang ingin menulis dengan menerapkan teori tertentu sewaktu berkarya
perlu mempunyai satu teori khusus dan tekal menulis bersandarkan pada kerangka
teori yang dicipta seperti yang dilakukan oleh Noordin Hassan, Shafie Abu Bakar
dan Muhammad Hj Salleh. Bagi penulis baharu yang tidak mempunyai pegangan
dan pemahaman yang jitu terhadap teori-teori tertentu, perlukah penulis sebegini
mengikat proses pengkaryaan dengan teori yang kurang diketahui secara total dan
pasti?
Kreativiti seorang penulis akan menjadi lebih bermutu apabila penulis dengan
rela hati memberi kepercayaan yang tinggi kepada fikiran rasional dan sentuhan
perasaan. Hal ini bersangkutan dengan nilai sensitiviti seorang penulis yang penuh
dengan rona-rona estetika untuk diterjemahkan ke dalam karya. Penulis yang
memberi kepercayaan kepada kemampuan intelektualnya dalam menulis akan
mencambahkan idea yang unik dan tulisan yang mesra dengan khalayak pembaca.
Sasterawan Negara A. Samad Said umpamanya merupakan seorang tokoh
penulis yang menunjukkan variasi dalam bernaratif. Kepelbagaian karya beliau yang
bermula dengan kejayaan Salina, Sungai Mengalir Lesu, Daerah Zeni dan Hujan
Pagi menjadi bukti bahawa kepercayaan yang tinggi terhadap daya imaginasi,

estetika dan pengalaman membolehkan beliau menghasilkan pelbagai genre karya
bermutu.

Misalnya, Salina merupakan karya beliau yang mengangkat kisah

kemanusiaan masyarakat Kampung Kambing yang terpaksa berhadapan dengan
kepayahan hidup era pasca perang dunia kedua. Kepayahan dan kesulitan hidup
5

diwakilkan pengarang melalui watak Salina, seorang pelacur yang terpaksa
menjalani kehidupan payah meskipun pernah dibumbui oleh kesenangan dan kasih
sayang keluarga. Sementelahan itu, Salina turut memaparkan citra suara subaltern
dalam menuntut warna hidup yang lebih baik pada masa itu.
Lain pula halnya dengan Hujan Pagi yang berkisar pada watak utamanya iaitu
Lukman yang menghadapi prahara kejiwaan lantaran perjuangan menjulang
kebenaran yang terhalang selaku wartawan. Manakala, Sungai Mengalir Lesu
memaparkan gelodak hidup masyarakat Melayu yang berhadapan dengan
pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Karya-karya beliau yang menampilkan
kepelbagaian tema ini sebenarnya menjadi bukti kejayaan seorang penulis yang
tekun melaksanakan tugasnya dengan sepenuh hati tanpa perlu memikirkan teori

yang ingin diterapkan.
Sungguhpun begitu, gagasan dan inti karya beliau masih dapat dicari gali
oleh para pengkritik dan pengamat sastera yang profesional melalui siratan teori
tertentu yang lahir secara tanpa sedar penulis. Melalui pengamatan, paparan watak
Salina dan Siti Khatijah dalam novel Salina membawa pelbagai persoalan yang
boleh dibongkar melalui pengaplikasian teori feminisme, sama ada yang dipelopori
oleh Chery Register mahupun oleh Elaine Showalter. Sementara itu, Hujan Pagi
merupakan sebuah karya yang mengangkat permasalahan psikologi manusia. Hal
ini terungkap melalui watak Lukman yang berhalusinasi bagi menjayakan matlamat
yang gagal dilaksanakan di alam realiti. Persoalan psikologi manusia dalam Hujan
Pagi boleh diselongkar oleh para pengkritik sastera melalui pengaplikasian Teori
Psikoanalisis Lacan mahupun Teori Psikoanalisis Klasik oleh Sigmund Freud.
Sementara itu, Sungai Mengalir Lesu merupakan imejan unsur kemanusiaan
masyarakat Melayu yang tertindas di tanah air sendiri pada zaman pendudukan
Jepun. Persoalan ini dapat diteliti melalui penerapan teori Studi Budaya yang
6

digunakan pengkritik sastera bersandarkan anatomi naratif Sungai Mengalir Lesu itu
sendiri.
Kepelbagaian


genre

novel

yang

dihasilkan

oleh

A.

Samad

Said

memperlihatkan keberhasilan beliau selaku seorang pengarang yang memberi
kebebasan dalam ruang kreativitinya tanpa mengekang idea dan jaluran naratif
dengan teori-teori tertentu. Hal ini memperlihatkan satu pemahaman yang tinggi oleh
A. Samad Said terhadap tanggungjawab beliau sebagai penulis yang memerlukan
daya estetika yang tinggi bagi menjalankan tugas sebagai perakam masa dan
peramal masa depan.
Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah pula menidakkan kebolehan dan
keupayaan sesebuah teori dalam menghasilkan sesebuah karya yang baik. Perkara
ini memerlukan keseimbangan yang jelas iaitu antara nilai estetika dan pendekatan
mahupun teori yang digunakan. Sekiranya penulis terutamanya penulis baharu ingin
mengaplikasikan penerapan teori sewaktu berkarya, penulis wajar memberi
keseimbangan yang adil terhadap kedua-dua perkara tersebut. Hal ini penting agar
karya yang dihasilkan mampu berdiri sebagai sebuah karya yang berupaya menarik
minat dan fikiran khalayak pembaca untuk mengamati karya dengan lebih
mendalam.
Dalam hal ini, penyair misalnya boleh mengaplikasikan Teori Stilistik yang
berkait rapat dengan gaya untuk menghasilkan sesebuah puisi yang berkesan.
Sebagai contoh, penggunaan

hybrid

memperlihatkan dua perkataan

yang

dicantumkan berfungsi untuk menambahkan kekayaan bahasa. Sesuatu perkataan
hybrid itu adalah melambangkan atau menggambarkan keadaan mahupun suasana
lain yang menjadi mesej sesebuah karya sastera. Manakala, penggunaan bahasa
figuratif gaya kiasan dalam sesebuah tulisan baik berupa puisi mahupun bukan puisi
mampu menonjolkan nilai-nilai estetik, retorik dan nilai-nilai konotatif terhadap karya
yang mampu memberi kesan kepada daya resepsi dan pemikiran khalayak. Menurut
7

Hashim Ismail, penguasaan bahasa figuratif yang baik boleh menjadikan sesebuah
karya itu kaya dengan makna. Penyair boleh mengambil kesempatan daripada
konsep licentia poetica untuk menggunakan manipulasi bahasa sebijak yang
mungkin bagi mengungkapkan makna yang sebanyak mungkin. Dari sini, lahirlah
hasil penciptaan karya kreatif dengan nilai-nilai tanggapan dan nilai-nilai perasaan
yang menimbulkan kesan berbeza bergantung pada proses pembacaan dan
penghayatan seseorang.
Melalui pemahaman terhadap Teori Stilistik, penulis mahupun penyair
mampu meluaskan ruang idea dengan penggunaan bahasa figuratif yang
membolehkan penyair menjangkau tahap kesan manipulasi lambang dan manipulasi
kiasan. Bahasa kiasan dan bahasa perlambangan merupakan dua unsur yang
menghidupkan unsur figuratif penyair. Hakikatnya, bahasa figuratif ini akan
menjadikan bahasa puisi menjadi lebih segar, bertenaga, indah dan berkesan dari
segi pengalaman, perasaan serta pemikiran. Melalui pemahaman terhadap Teori
Stilistik, para penyair terutamanya penyair baharu mampu menghasilkan sesebuah
puisi yang lebih baik dan bermutu kerana mampu menjadikan bahasa puisinya tidak
sekadar sarat dengan unsur dekoratif bahasa sebaliknya padat dengan unsur
pemikiran yang terungkap dalam gaya bahasa yang berkesan. Hal ini menunjukkan
bahawa penulis boleh mengaplikasikan sesebuah teori sewaktu berkarya dengan
mengambil kira faktor inti dan bentuk karya yang ingin dihasilkan.
Intihanya, tidak semua penulis mampu menulis dengan baik tanpa menghakis
nilai estetika dalam karya sekiranya mengikat kerangka kreativiti dengan teori
mahupun konsep tertentu. Penulis wajar mengenal pasti hakikat sebenar
tanggungjawab seorang penulis agar karya yang dihasilkan mampu diterjemahkan
secara baik oleh masyarakat pembaca tanpa melahirkan sebarang unsur bosan atau
paksaan. Hal ini kerana sifat kedua-dua unsur ini yang boleh menghilangkan rasa
8

teruja pembaca terhadap kisah dan subteks yang tersembunyi dalam sebuah karya
sastera yang baik. Oleh hal yang demikian, kejelasan antara peranan penulis
dengan pengkritik perlu dihayati oleh para penulis baharu yang ingin berkecimpung
dalam dunia kesusasteraan.

9