TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN ISLAM DI

TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN ISLAM DI KEDAH:
USAHA MEMODENKAN DISIPLIN PENGAJIAN ISLAM
Solahuddin Bin Ismail
solahuddin@uum.edu.my
PENDAHULUAN
Pendidikan merupakan tonggak penting dalam ajaran Islam. Ia sebagai wadah utama dalam
membangunkan kehidupan manusia. Golongan berpendidikan sesungguhnya akan mendapat
kedudukan (darjat) tinggi di sisi Allah SWT. Pencapaian yang tinggi dalam pendidikan
seharusnya perlu melalui proses yang sempurna dan tersusun. Islam menganjurkan proses
mencari gali ilmu mesti berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana sumber Islam tersebut
sarat dengan pengetahuan yang amat berguna untuk manusia. Ilmu yang sempurna jika dapat
dihayati dan diamalkan secara bertanggungjawab akan menjadi pedoman untuk manusia
menyusun dan merecanakan hidup dengan cemerlang.
Usaha mendidik dan memahamkan masyarakat tentang Islam di Nusantara bermula dengan
tersebarnya dakwah Islamiah. Islam diterima sebagai anutan untuk semua golongan sama ada di
peringkat istana sehinggalah ke rakyat marhain. Di Kedah khususnya, kemasukkan Islam telah
berlaku pada kurun ke 11M. Agama suci ini telah disebarkan oleh Sheikh Abdullah al-Yamani.
Usaha dakwah beliau mencapai kejayaan apabila Raja Kedah (Maharaja Derbar) telah memeluk
Islam dan telah menukar nama Sultan Muzaffar Syah I (Buyong Adil, 1980). Nama Kedah juga
telah diubah menjadi Kedah Darul Aman.
PengIslaman pemerintah Kedah menandakan kejayaan dan keberkesanan gerakan dakwah Islam.

Ia juga meletakkan Kedah sebagai negeri Melayu pertama menerima ajaran Islam. Gabungan
tenaga ulama dan umara telah mempercepatkan lagi proses penyebaran dakwah Islam sehingga
rakyat Kedah ketika itu dikatakan semuanya telah memeluk Islam. Sheikh Abdullah al-Yamani
dilantik sebagai penasihat dan guru agama kepada sultan (Wan Saghir Abdullah, 1999). Begitu
tinggi ukuran kehidupan yang diperolehi oleh pendakwah merangkap murabbi yang tulus ikhlas
dalam mengembangkan dakwah Islam. Asas kepada dakwah Islam itu adalah ilmu pengetahuan
yang disampaikan melalui pendidikan.
PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI KEDAH
Apabila Islam telah direima sebagai anutan oleh sultan dan bangsawan Kedah, maka proses
pendidikan Islam juga sudah tentu berkisar di kawasan istana dan rumah pembesar Kedah. Ia
kemudiannya dikembangkan di rumah tuan guru dan juga di masjid. Menurut Fauziah Syafie
(2001) pendidikan Islam bermula secara berperingkat-peringkat dengan pengajian di istana,
rumah tuan guru (maulana, syeikh), masjid dan surau.
Pada zaman awal Islam di Kedah, masyarakat diajar membaca al-Quran di rumah sendiri, rumah
guru, surau atau masjid serta di langgar atau di madrasah. Mereka juga turut didedahkan dengan
ilmu-ilmu fardu, tauhid, tafsir dan juga hadis (Ismail Haji Saleh, t.t.). Kaedah ini terus
berkembang maju di kalangan rakyat jelata sehingga muncul satu bentuk sistem pendidikan
Islam yang lebih tersusun dikenali sebagai sistem pondok pada permulaan abad ke 19M.
1


Institusi Pondok
Sistem pondok merupakan sistem pengajian yang diamalkan sejak berkurun lamanya. Menurut
Ramli Awang (2006), pengajian pondok di Kedah telah bermula sejak kedatangan Islam lagi.
Peringkat permulaan, pedagang Arab telah mendirikan rumah-rumah persinggahan mereka di
persisir pantai. Rumah persinggahan ini bukan sahaja menjadi tempat penginapan sementara
tetapi juga menjadi tumpuan masyarakat tempatan untuk mempelajari dan mendalami ajaran
Islam. Ini kerana ulama yang yang datang berdakwah ketika itu juga merupakan pedagang.
Kemudian rumah sementara tersebut berkembang menjadi organ pendidikan Islam berpusat
apabila terdapat permintaan yang tinggi di kalangan masyarakat.
Menjelang tahun 1806M, institusi pondok pertama telah ditubuhkan oleh Haji Wan Ishak bin
Wan Muhammad Hashim bin Wan Abdul Baqi. Ia terletak di Kampung Malau. Beliau telah
mengasaskan pondok ini setelah pulang dari menuntut ilmu selama 20 tahun di Mekah. Ia
dikatakan sebagai pondok yang tertua di Kedah. Namun pondok ini terpaksa ditutup kerana
ketiadaan guru mengajar apabila Haji Wan Ishak telah dilantik menjadi mufti negeri Kubang
Pasu. Walaupun telah menjawat jawatan Mufti Kubang Pasu, hasrat untuk mengembangkan ilmu
masih mendalam dalam diri beliau dan pada tahun 1845M Haji Wan Ishak telah membuka pula
sebuah lagi pondok bertempat di Pulau Pisang (Ismail Salleh, t.t.).
Institusi pondok terus berkembang pesat di Kedah pada penghujung abad ke 19M. Sekitar tahun
1870an, Kedah telah mempunyai sekurang-kurangnya lapan buah institusi pondok (Abdullah
Ishak,1995, Fauziah Shaffie, 2001, Ramli Awang, 2006). Muhammad Abu Bakar (1995)

menganggarkan pada tahun 1870an terdapat lebih kurang sepuluh buah pondok telah wujud di
Kedah seperti di Yan, Pulau Pisang dan Titi Gajah. Ini menggambarkan, sistem pondok
merupakan satu sistem pendidikan agama yang mendapat pengiktirafan dan permintaan tinggi
oleh masyarakat Kedah. Ilmu agama yang menjadi teras pengajian pondok dilihat berupaya
menjaga survival demi kelangsungan hidup mereka.
Semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854M-1879M), banyak sekali
pondok dibuka dan diterokai oleh ulama-ulama di Kedah. Ia berkembang di setiap daerah dalam
negeri Kedah. Corak pengajiannya bukan sekadar menuntut ilmu agama semata-mata tetapi
ilmu-ilmu sampingan lain sebagai bekalan pelajar. Mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti
kehidupan orang-orang Melayu Kedah. Dengan itu, sekolah pondok telah dilihat sebagai nadi
kehidupan masyarakat setempat. Maju atau mundur sesebuah pondok akan memberi implikasi
terhadap kemajuan atau kemunduran sesebuah daerah.
Pelajar didedahkan dengan pelajaran menulis, membaca dan mengira dalam bahasa Melayu.
Mereka belajar membaca syair, hikayat, menulis surat dan menyalin kitab. Bagi yang berminat,
pelajar diberi peluang untuk mendalami dunia persilatan Melayu serta belajar berbomoh atau
berdukun. Aktiviti ko kurikulum juga telah diterapkan secara tidak langsung dengan
menggalakkan pelajar pondok membantu dalam kegiatan kemasyarakatan, membantu kerja-kerja
sawah, berniaga kecil-kecilan serta bertukang (Ismail Salleh, t.t.).
2


Sistem pondok di Kedah menerima ramai pelajar yang datang dari serata tempat. Ia dibahagikan
kepada tiga kelompok iaitu pelajar dari Kedah, pelajar dari luar Kedah dan pelajar luar negara.
Kebanyakkan pelajar Kedah datang dari seluruh daerah dalam negeri Kedah. Pelajar luar Kedah
pula datang dari negeri seperti Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang
dan lain-lain. Manakala pelajar luar negara datang dari negara seperti Indonesia, Thailand,
Singapura dan Brunei. Menurut Awang Had Salleh (1977) antara prinsip pelajar pondok ialah
mesti belajar jauh dari kampung halaman dan keluarga. Di Kedah terdapat murid dari Kelantan,
Terengganu, Johor, Perak dan Perlis. Pelajar tempatan juga perlu menginap di pondok-pondok
kecil dan tidak di rumah mereka sendiri.
Sistem pondok terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan. Penyertaan tidak mengira peringkat
umur, muda atau tua. Mereka boleh memilih subjek yang diminati serta memilih sendiri
peringkat ilmu yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. Kebanyakkan
kitab adalah dalam bahasa Arab dan pengajarannya dilakukan sama ada dalam bahasa Arab dan
bahasa Melayu. Namun ada juga pengajaran yang menggunakan kitab Jawi. Yuran pengajian
adalah percuma kerana guru yang mengajar adalah kerana Allah SWT semata-mata.
Pelajar pondok mempunyai peluang belajar yang sangat luas dan tidak terbatas. Mereka
berpeluang untuk mendalami ilmu-ilmu Islam selama yang mereka kehendaki. Tujuannya adalah
untuk memberi kebebasan kepada pelajar memahirkan diri dalam menguasai ilmu yang mereka
pelajari kerana corak pengajian pondok tidak berkonsepkan gred dalam menilai prestasi pelajar.
Kebolehan dan keupayaan adalah berdasarkan kemahiran mereka menguasai ilmu secara

mendalam tanpa mengira had masa mereka belajar. Justeru tidak hairanlah jika seseorang pelajar
bermastautin di sesebuah pondok sehingga puluhan tahun untuk menguasai dan mendalami ilmu
yang mereka minati.
Menjelang abad ke 20M, institusi pondok di Kedah menjadi sangat terkenal. Permintaan yang
tinggi dari pelajar dan ibubapa menyebabkan banyak sekali pondok dibina dan diasaskan. Ada
sesetengah pondok telah mempunyai bilangan pelajar antara 600 orang hingga 1200 orang,
Pondok Bohor misalnya mempunyai pondok lebih dari 300 buah (Fauziah Shaffie, 2001). Ramli
Awang (2006) menyatakan, antara institusi pondok yang terkenal abad ke 20M adalah seperti:
1. Pondok Kubang Bongor (Tuan Guru Haji Saad bin Ali)
2. Pondok Kubang Kubuk Kawah (Tuan Guru Haji Idris di Air Hitam)
3. Pondok Tuan Guru Haji Ismail Che Dol di Gajah Mati Pendang
4. Pondok Tuan Guru Haji Ahmad Rabat di Chegar Pendang
5. Pondok Tuan Guru Haji Ahmad Tampong di Merbok
6. Pondok Tuan Guru Haji Che Mat al-Fatani di Bukit Besar
7. Pondok Tuan Guru Haji Suhar di Padang Lumat dll.
Abad ke 20M juga menyaksikan sistem pendidikan Islam telah mengalami transformasi yang
ketara dalam konteks pengajiannya apabila sekolah agama mula dibina. Sistem pendidikan Islam
berkonsepkan sekolah moden telah merubah hampir keseluruhan sistem pendidikan Islam
tradisional (pondok) meliputi struktur organisasi dan kurikulum. Pembaharuan ini merupakan
saingan positif kepada pengajian tradisi dalam memperkasakan lagi pendidikan Islam.

3

Sistem sekolah agama adalah opsyen bagi masyarakat Melayu Islam untuk mendapat pendidikan.
Ia secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi perkembangan pendidikan Islam di Tanah
Melayu. Menurut Azmah Abdul Manaf (2001), sistem sekolah agama mempunyai jalinan erat
dengan sebilangan masyarakat Melayu yang pernah belajar atau melawat Tanah Arab atau Mesir
pada akhir abad ke 19M dan awal abad ke 20M. Sebahagian besar daripada mereka telah
terpengaruh dengan gerakan Reformis Islam (Gerakan Islah) dari Timur Tengah. Mereka cuba
untuk menerapkan pembaharuan dalam sistem pendidikan Islam melalui sistem persekolahan.
Hasilnya, lahirlah sistem sekolah agama sama seperti sistem persekolahan yang telah dijalankan
oleh golongan reformis Islam di sana.
SISTEM SEKOLAH AGAMA MODEN
Sistem pendidikan Islam berkonsepkan sekolah agama merupakan satu sistem pendidikan moden
yang mendapat kerjasama sepenuhnya dari rakyat. Asas pembangunan sekolah tersebut
bersumberkan bantuan dan sumbangan rakyat. Dengan itu ia lebih dikenali sebagai sekolah
agama rakyat (SAR). Pertumbuhan sekolaha agama rakyat bermula setelah tahun 1900M
(Mazlan Yusuf, 1984/85 dan Nabir Abdullah, 1976). Menurut Kho Kay Kim (1980), sekolah
agama juga disebut sebagai sekolah arab atau madrasah dan pertumbuhannya menjadi lebih
rancak selepas Perang Dunia ke 2. Ia merupakan satu sistem yang mendapat pengiktirafan
memberangsangkan oleh masyarakat Melayu seawal abad ke 20M. Tujuannya adalah untuk

memberikan pendidikan Islam yang lebih tersusun, moden dan bersistematik kepada orang-orang
Melayu (A. Hari Chandran, 1998/99).
Penubuhan sekolah agama seawalnya dipelopori oleh Reformis Islam yang pernah menuntut dan
melawat Tanah Arab (Mesir) pada penghujung abad ke 19M. Mereka kembali dengan membawa
idea pembaharuan. Golongan ini berpandangan, masyarakat Melayu perlu mengubah kehidupan
mereka dengan menguasai ilmu secara sistematik. Idea ini telah melahirkan sistem persekolahan
formal yang teras ilmunya adalah ilmu agama. Pemikiran pembaharuan mereka telah dipengaruhi
oleh gerakan reformasi Timur Tengah pimpinan Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan
Jamaludin al-Afghani.
Idea pembaharuan telah dilaksanakan oleh Reformis Islam Melayu dengan membangunkan satu
sistem pendidikan moden berkonsepkan sekolah. Ia sebagai pilihan kepada masyarakat Melayu
yang inginkan pendidikan moden tetapi tidak mahu ke sekolah Melayu atau sekolah Inggeris.
Pelopornya adalah Tuan Haji Salleh Masri yang menubuhkan Madrasah al-Masriyyah (1906)
Bukit Mertajam Pulau Pinang dan Syed Syeikh al-Hadi yang mendirikan Madrasah al-Iqbal
(1907), Madrasah al-Hadi (1916M) di Melaka dan Madrasah al-Masyhoor (1919M) di Pulau
Pinang (Othman Bakar 1980 dan Rahim Othman, 1980).
Di Kedah, sistem pendidikan Islam moden diperkenalkan oleh Wan Sulaiman Bin Wan Sidik
(1874M-1935M). Beliau mengambil inisiatif untuk membangunkan sekolah agama moden atas
kesedaran sendiri tanpa dipengaruhi oleh Reformis Islam. Hasrat beliau adalah untuk
memperluaskan dakwah Islam melalui pendidikan. Pada pandangan beliau, proses pendidikan

Islam hanya akan berkesan melalui sistem persekolahan. Hanya sekolah dapat membentuk
keperibadian dan disiplin pelajar dengan betul, teratur dan berkesan (Zaharah L . Abdullah
1977/78).
4

Keinginan untuk membangunkan pendidikan Islam anak bangsa Melayu telah direalisasikan oleh
Wan Sulaiman dengan menubuhkan sebuah sekolah agama moden dikenali sebagai al-Madrasah
al-Hamidiah di Limbong Kapal Kedah pada tahun 1906M (Shamsul Amri Baharuddin, 2006).
Sekolah ini sama konsep pengajiannya dengan sekolah yang telah ditubuhkan oleh glongan
Reformis Islam yang bersifat dwi aliran iaitu aliran agama dan aliran sekular.
Abdul Manaff Saad (1976) menjelaskan, Madrasah al-Hamidiah boleh dibandingkan dengan
sekolah sekular lain di Kedah dari sudut organisasi dan pentadbirannya. Ia merupakan sekolah
agama yang pertama dan yang terawal mengikuti sistem persekolahan moden yang mempunyai
bangunan sekolah, jadual waktu, buku teks, loceng dan guru-guru yang mengkhususkan kepada
mata pelajaran tertentu. Tingkat pengajian diberikan setakat darjah lima. Kenaikan darjah adalah
melalui sistem peperiksaan dan pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka akan
dianugerahkan sijil untuk menyambung pengajian keperingkat yang lebih tinggi.
Pada tahun 1936M, usaha mengembangkan pendidikan Islam moden diteruskan oleh Tengku
Mahmud dengan membina sebuah sekolah agama di Simpang Kuala. Sekolah ini diberi nama
Maktab Mahmud (Maahad Mahmud). Ia meneruskan tradisi sistem pendidikan Islam moden

yang dibawa oleh Madrasah al-Hamidiah berasaskan dwi aliran. Semua pelajarnya adalah lelaki.
Pada tahun 1972M, Maktab Mahmud telah digabungkan dengan Sekolah Agama Tarbiah
Islamiah Jalan Pegawai dan mula menerima kemasukkan pelajar perempuan. Pada tahun 2002M,
kebanyakkan sekolah agama di Kedah mengalami kemerosotan kewangan apabila Kerajaan
Persekutuan telah menarik balik bantuan kepada sekolah agama rakyat. Namun inisiatif telah
dilakukan oleh Kerajaan Kedah dengan menawarkan penggabungan sekolah agama rakyat
tersebut dengan Maktab Mahmud. Natijahnya, 10 buah sekolah agama rakyat telah menyertai
gabungan ini. Maktab Mahmud kini mempunyai 11 cawangan yang berada di seluruh daerah
dalam Negeri Kedah. Maktab Alor Star, Maktab Mahmud Yan dan Maktab Mahmud Langkawi
merupakan sekolah agama negeri sejak awal penubuhan. Manakala Maktab Mahmud lain
merupakan Sekolah Agama Rakyat asalnya. Kini seluruh pentadbiran Maktab Mahmud dikelola
oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan sekolah ini diketegorikan sebagai Sekolah
Menengah Agama Negeri (SMAN).
Asas kurikulum sekolah agama moden dibentuk dengan menggabungkan dua disiplin ilmu dalam
satu sistem persekolahan. Ilmu-ilmu Islam seperti Tauhid, Fekah, Akhlak, Al-Quran, Tafsir,
Tajwid, Tasawuf dan Bahasa Arab menjadi tunjang pengajian manakala ilmu-ilmu sekular
seperti Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Tawarikh, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga turut
diperkenalkan kepada pelajar (Othman Bakar, 1980). Kurikulumnya nampak lebih formal dan
lebih teratur. Menurut Sabri Hj.Said (1983), sebagai sebuah sekolah agama moden, sekolah
agama mula memperkenalkan sukatan pelajaran, sistem peperiksaan, cara pengajaran yang

moden, bilik darjah yang dilengkapi kerusi dan meja, alat bantuan mengajar seperti kapur dan
papan hitam sistem jadual waktu, sijil tamat pengajian, guru dibayar gaji dan pentadbiran yang
lebih sistematik serta tersusun di bahwah kendalian seorang mudir (pengetua) dan jawatankuasa
sekolah (Sabri Hj Said, 1983). Antara aspek yang membezakan sistem sekolah agama dengan
sistem pondok (Aziza Halim, 1986/87) ialah:
1. Wujud sistem bilik darjah
2. Peperiksaan pada akhir tahun untuk menentukan kenaikan darjah seseorang murid
5

3. Penggunaan buku laporan murid
4. Cara pengajaran yang lebih saintifik
5. Penggunaan jadual waktu
6. Pengkhususan bidang pelajaran bagi seseorang guru.
7. Guru-guru dibayar gaji atau saguhati
8. Penggunaan buku catitan dan buku teks dengan lebih teratur
Khoo Kay Kim (2001) menjelaskan, sekolah agama pada awal penubuhannya telah mempunyai
ciri-ciri sekolah seperti pengetua, guru-guru yang berpengkhususan dalam matapelajaran
tertentu, wujud bilik darjah, kurikulum, adanya sistem peperiksaan untuk kenaikkan ke kelas
yang lebih tinggi dan para palajar yang berjaya menamatkan persekolahan dengan jayanya akan
dikurniakan dengan sijil-sijil tertentu sebagai balasan usaha mereka dalam pelajaran. Keadaan ini

memperlihatkan wujud persamaan antara sekolah agama dengan sekolah Inggeris atau sekolah
Melayu yang terdapat pada zaman tersebut.
MODENISASI SEKOLAH AGAMA/MADRASAH
Pada 20 Oktober 1921M, State Council Kedah telah meluluskan undang-undang untuk
memantau setiap kegiatan pondok dan meminta semua guru agama di daftarkan. Guru yang
mengajar perlu mendapatkan surat kebenaran (watikah) mengajar dan setiap pondok harus
berdaftar dengan pihak berwajib. Ia merupakan sebahagian dari usaha untuk memperkemaskan
pendidikan Islam di Kedah.pada tahun 1930an, sebahagian besar pondok telah didaftarkan
dengan kerajaan Kedah dan mereka menggunakan nama madrasah (Ahmad Jelani Halimi, 1989).
Pondok Pulau Pisang telah didaftarkan pada 16/6/1350H dengan nama Madrasah Ishakiah dan
Pondok Gajah Mati telah didaftarkan pada 6/7/1350H dengan nama Madrasah Ahmadiah.
Perubahan dari pondok kepada madrasah hanya berlaku pada nama sahaja kerana institusi ini
masih lagi mengekalkan sistem pengajian Islam secara tradisional dalam bentuk halaqah dan
menadah kitab.
Hasil dari penguatkuasaan pendaftaran sistem pondok oleh Kerajaan Kedah, Pondok Haji Lah
Kechik telah diubah menjadi Madrasah Makarumul Akhlak pada Tahun 1954M. Pada tahun
1946M, Pondok Haji Hussain Langgar telah mangasaskan Madrasah al-Hamidiah, namun
apabila sekolah ini telah dipindahkan ke tapak lain, ia dinamakan sebagai Sekolah Menengah
Agama Raudhatul Ulum Langgar (Shahrom Yusoff, 200). Beliau juga telah menubuhkan
Madrasah al-Khairiah Padang Lumat pada tahun 1933M (Mazlan Yusuff, 1984/85). Demikian
banyak lagi pondok-pondok pengajian telah didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Kedah
(MAIK) supaya sistem pengajian dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan daripada pihak
yang berwajib.
Untuk bergerak selari dengan perkembangan pendidikan semasa, sekolah agama telah mengubah
corak pengajian kepada sistem persekolahan moden. Pondok Pak Man di Bukit Besar bukan
sahaja menukar nama menjadi Madrasah an Nahdzah tetapi juga telah menerima Dasar Pelajaran
Kebangsaan penghujung tahun 1960an (Aziza Halim, 1986/87). Begitu juga dengan Pondok Pak
Ya (Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah) Padang Lumat yang mula memperkenalkan
6

sukatan pelajaran akademik bermula tahun 1967M kepada pelajarnya. Ini menunjukkan bahawa
sekolah agama yang dahulunya berkonsepkan pengajian pondok telah berusaha untuk
memajukan sekolah senada dengan perkembangan pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun,
subjek agama masih dikekalkan dan menjadi tunjang pendidikan sekolah-sekolah tersebut.
Pada masa kini, terdapat sebanyak 42 buah sekolah agama peringkat menengah yang masih lagi
beroperasi di setiap daerah dalam negeri Kedah. 14 buah merupakan Sekolah Agama Rakyat
(SAR), 14 adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), 12 merupakan Sekolah Agama
Negeri (SMAN) yang lebih dikenali sebagai Maktab Mahmud berserta cawangannya, 5 buah
sekolah menengah agama kebangsaan (SMKA) dan sebuah sekolah menengah berasrama penuh
(SBP).
Perbelanjaan sekolah agama banyak bergantung hasil sumbangan zakat, derma orang awam dan
juga sumbangan per kepala/pelajar dari Kerajaan Persekutuan. Namun pada tahun 2002M,
Kerajaan Persekutuan telah mnghentikan bantuan kepada seluruh sekolah agama rakyat (SAR).
Ini menyebabkan urustadbir kewangan SAR mengalami kemerosotan. Mereka diberi tiga pilihan;
pertama bernanung di bawah Kerajaan Persekutuan sebagai SABK, kedua menjadi cawangan
kepada SMAN dan ketiga kekal sebagai SAR.
PEMBAHARUAN DALAM PENDIDIKAN ISLAM
Tranformasi dalam sistem pendidikan Islam di Kedah telah berlaku apabila pelajar mula datang
ke rumah tuan guru untuk menimba ilmu. Di sinilah merupakan titik tolak kepada proses
transformasi dalam pendidikan Islam dan ia berlaku sejak awal abad ke 19M lagi. Dalam kertas
ini penulis hanya akan membincangkan tiga bentuk transformasi dan pembaharuan yang berlaku
dalam sistem pendidikan Islam di Kedah. Pertama, pembaharuan terhadap sistem pengajian.
Kedua, perubahan ke atas struktur fizikal sekolah dan ketiga, perubahan terhadap kurikulum
pengajian.
Proses pembaharuan pendidikan Islam di Kedah telah berjalan sejak sekian lama. Peringkat
permulaan, corak pendidikan Islam bersifat tidak formal. Masyarakat Islam ketika itu hanya di
ajar perkara-perkara asas seperti fardu ain dan kelas al-Quran. Lokasi pengajian hanya tertumpu
di istana, rumah pembesar negeri, surau dan juga masjid. Perubahan berlaku apabila rumah tuan
guru mula dijadikan tempat menadah ilmu-ilmu Islam. Atas inisiatif tuan guru maka pondokpondok kecil telah dibina sebagai tempat kediaman terutama bagi pelajar yang datang dari jauh.
Dengan demikian, corak pengajian dan pengajaran juga turut berubah. Corak pendidikan yang
sebelum ini bersifat tidak formal telah diperbahrui dengan satu sistem yang lebih formal apabila
wujud kelas-kelas pengajian bagi sunjek-subjek tertentu dan juga kegiatan ko kurikulum (Ismail
Salleh, t.t.). Awang Had Salleh (1991) menegaskan bahawa sistem pondok juga mempunyai
jadual waktu dan jadual cuti penggalnya yang tersendiri. Jadual harian pelajar bermula sesudah
waktu subuh dan berakhir hingga larut malam. Manakala jadual cuti pula adalah selama sebulan
pada bulan puasa dan apabila bermulanya musim menuai padi.
Justeru sistem yang diamalkan oleh institusi pondok berkonsepkan umumi hanya kerana pelajar
tidak dipecahkan mengikut kelas-kelas tertentu seperti sekolah harian. Pelajar diterima tanpa
mengira peringkat umur tetapi ia mempunyai kelas, jadual waktu serta sistem asrama yang
tersendiri sama seperti kebanyakkan sekolah yang wujud pada masa kini.
7

Ia berbeza dengan sistem sekolah yang berpkasikan kepada sistem nizami. Para pelajar lebih
terurus dengan pembahagian kelas mengiku tahap umur tertentu. Sekolah agama pertama di
Kedah menggunakan sistem ini ialah Madrasah Hamidiah Limbong Kapal. . Tingkat pengajian
diberikan setakat darjah lima. Kenaikan darjah adalah melalui sistem peperiksaan dan pelajar
yang berjaya menamatkan pengajian mereka akan dianugerahkan sijil (Abdul Manaff Saad,
1976).
Pendidikan Islam terus berkembang maju dan pesat. Kini sekolah agama telah berubah wajah
dengan proses asimilasi pendidikan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan dengan adanya sistem
pembelajaran mengikut kelas dan umur. Ia sebagai satu kaedah untuk menilai tahap keupayaan
pelajar untuk berhadapan cabaran semasa. Sekolah agama kini tiada bezanya dengan sekolah
harian dari sudut sistem pelaksanaannya. Cuma sedikt perbezaan dari aspek penawaran sujek
pembelajaran di mana sekolah agama lebih menawarkan subjek-subjek agama Islam serta bahasa
Arab untuk dipelajari. Walaupun ada sebahagian daripada sekolah agama bergerak secara
persendirian namun pelaksanaan sistem pendidikannya masih tertakluk di bawah pengawasan
Kepenterian Pelajaran Malaysia (KPM).
Sistem pendidikan Islam juga telah mengalami prubahan yang ketara berdasarkan struktur
fizikalnya. Kalau dahulu, sistem pondok, hanya rumah-rumah kecil dilihat bertaburan di sekitar
kawasan rumah tuan guru tetapi pada masa kini suasana tersebut telah berubah sama sekali.
Rumah tuan guru yang juga telah dijadikan dewan pengajian serta musolla telah digantikan
dengan struktur batu. Pondok-pondok kecil juga telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan
baru yang lengkap dengan kemudahan elektrik. Di dalamnya terdapat blok-blok kelas untuk diisi
oleh para pelajar. Pada masa kini kebanyakkan sekolah agama telah membina bangunan
bertingkat sebagai satu cara untuk menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.
Struktur fizikal ini telah dibina dengan bantuan dari KPM, pejabat zakat, kerajaan negeri dan
juga infak masyarakat.
Pihak sekolah juga telah menyediakan kemudahan infrastruktur lain seperti asrama, kantin,
perpustakaan, pejabat pentadbiran sekolah bilik guru, pusat sumber, dewan serbaguna serta lainlain kemudahan bagi memberikan suasana yang kondusif dan keselesaan kepada pelajar.
Pemodenan struktur fizikal sekolah agama telah berjaya menarik minat ramai dari kalangan
ibubapa untuk mensekolahkan anak-naka mereka dalam bidang agama.
Pada masa sistem pendidikan pondok berkembang maju, antara tarikan utama pelajar datang
untuk menadah ilmu ialah pengkhususan bidang-bidang tertentu telah diambil kira. Misalannya
jika tuan guru alim dalam Ilmu Kalam (Tauhid) maka akan ada pelajar yang ingin mendalami
Ilmu Kalam belajar di pondok tersebut. Pokok pangkalnya adalah bidang kepakaran tuan guru
(murabbi) yang mengasaskan sesebuah pondok itu. Walaupun sistem pondok tidak mempunyai
silibus yang khusus tetapi kitab-kitab besar seperti Minhajul Abidin, Sirr al-Salikin, Furu’ alMasail, Bugyat al-Tullab dan sebagainya telah digunakan untuk proses pengajaran dan
pembelajaran. Dan pelajar dikehendaki belajar dari kulit ke kulit bagi menghabiskan silibus
tersebut. Kitab-kitab ini lebih dikenali sebagai kitab kuning di kalangan pelajar pondok.

8

Namun demikian para pelajar tidak hanya belajar ilmu yang dikuasai oleh tuan guru sematamata. Terdapat juga ilmu-ilmu lain seperti Fekah, Tafsir, Hadis dan sebagainya juga akan
dipelajari oleh pelajar. Kesinambungan ilmu tidak hanya merujuk kepada ilmu-ilmu agama tetapi
juga ilmu elektif yang bersifat kemahiran juga dapat diterokai oleh golongan yang berpendidikan
pondok. Ia sebagai langkah untuk menyeimbangkan survival kehidupan mereka apabila tamat
pengajian kelak. Maka ia dilihat lebih baik berbanding dengan corak pengajian sebelum yang
lebih kepada memahamkan masyarakat tentang ilmu-ilmu asas di dalam Islam.
Suasana ini agak berbeza dengan sistem sekolah agama moden. Kurikulum mereka telah digubal
sepenuhnya oleh pihak berwajib agar dapat diselaraskan. Tujuannya adalah untuk memudahkan
pelajar mengikuti pengajian berdasarka tahap umur dan tahap keupayaan pelajar tersebut. Ini
kerana, sistem sekolah agama moden lebih menekankan penilaian tahap keupayaan pelajar
melalui sistem peperiksaan. Justeru peperiksaan telah menjadi kayu ukur untuk pelajar menilai
kemampuan mereka menguasai sesuatu ilmu. Jika berjaya di dalam peperiksaan, pelajar akan
dinaikkan ke kelas berikutnya sehinggalah mereka tamat pengajian. Sistem sekolah agama
moden yang berorientasikan peperiksaan dan menjadikan sijil sebagai sandaran bila tamat
pengajian telah membuka peluang pekerjaan sama seperti sekolah harian lain. Ia sebagai satu
proses untuk memberi nilai tambah kepada pelajar agama agar tidak dilihat sebagai pelajar kelas
kedua dalam arus permodenan.
PENUTUP
Proses transformasi pendidikan Islam telah bergerak dalam ruang yang begitu luas. Ia hasil kerjakerja dakwah yang telah dilakukan oleh para murabbi terdahulu. Bemula Islam di Kedah dengan
golongan bangsawan dan pada hari ini kita sama-sama melihat bahawa sistem pendidikan Islam
telah diangkat martabat sama seperti sekolah elit yang lain. Kalau dahulu, pelajar pondok hanya
berkelana sewaktu musim menuai tetapi kini pelajar pondok serta sekolah agama telah berjaya
menjawat jawatan besar di pelbagai sektor kerajaan mahupun swasta. Ini adalah hasil usaha serta
penggembelingan tenaga umala dan ulama untuk memartabatkan serta memantapkan sistem
pendidikan Islam terutamanya di Kedah.
Hari ini, sistem pendidikan agama telah berjaya meletakkan diri setanding dengan sistem
pendidikan sekular malah ia lebih berjaya dalam merebut hak dalam pendidikan kerana sekolah
agama moden kini telah menjadi rebutan ibu bapa yang menginginkan anak-anak hasil sekolah
agama akan berjaya mengharungi hidup di dunia dan juga di akhirat.

9

RUJUKAN
A.Hari Chandran, (1998/99), Madrasah Ittihad alWataniah Bukit Apeng Kedah Darulaman:
Satu kajian Sistem Pendidikan Islam 1934-1974, Latihan Ilmiah, Universiti Sains Malaysia.
Abdul Manaff Saad, Suatu Kajian Ringkas Mengenai Haji Wan Sulaiman Bin Wan Sidik
(1874M-1935M) Dalam Kedah Dari Segi Sejarah (Julai 1976), jil. 7, Persatuan Sejarah
Malaysia Caw. Kedah.
Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur;
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Jelani Halimi (1989), Sistem Pendidikan Melayu Islam Tradisional Merujuk Kepada
Sistem Penidikan Pondok di Kedah; Asal Usul dan Perkembangannya Hingga 1957M,
Disertasi Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.
Awang Had Salleh (1977), Institusi Pondok di Malaysia dalam Zainal Kling, Masyarakat
Melayu: Antara Tradisi dan Perubahan, KL: Utusan Publications & Distributors.
________________ (1991), Sekolah Melayu, Sekolah Rakyat dan Pondok di Kedah dalam
Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman, Lembaga Muzium Negeri
Kedah,Alor Setar.
Aziza Halim (1986/87), Madrasah an Nahdzah Bukit Besar Kedah 1947-1982, Latihan
Ilmiah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Azmah Abdul Manaf (2001), Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, KL: Utusan Publication
and Distributors Sdn. Bhd.
Buyong Adil (1980), Sejarah Kedah, KL: Dewan bahasa dan Pustaka
Fauziah Shaffie (2001), Institusi Pondok di Malaysia; satu sorotan dari perspektif sejarah
dalam Jurnal Sekolah Pembangunan Sosial, jil. 2, Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Ismail Haji Saleh (t.t.), Pomdok di Kedah, manuskrip, Koleksi Kedah, Alor Setar: Perpustakaan
Awam Negeri Kedah.
Khoo Kay Kim (1980), Perkembangan Pelajaran Agama Islam dalam Awang Had Salleh (ed.),
Pendidikan Ke Arah Perpaduan, Sebuah Perspektif Sejarah, Penerbit Fajar Bakti.
Mazlan Yusuf (1984/85), Maktab Mahmud Alor Setar; Sejarah Penubuhan Dan Organisasi
Pentadbirannya 1936-1980, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya.

10

Muhammad Abu Bakar (1995) Dari Pusat ke Pinggiran: Institusi Pondok di Malaysia dalam
Ismail Hussein (peny.), Tamadun Melayu, jil. 3, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nabir Abdullah (1976), Maahad Il-Ihya al-Syarif, Latihan Ilmiah, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Othman Bakar (1980), Haji Salleh Masri; Pengasas al-Masriyyah Bukit Mertajam dalam Khoo
Kay Kim at all; Islam di Malaysia, KL; Persatuan sejarah Malaysia.
Rahim Othman (1980), Madrasah Masyhur al-Islamiyyah Pulau Pinang dalam Koo Kay kim , at
all; Islam di Malaysia, 1980, KL; Persatuan Sejarah Malaysia.
Ramli Awang (2006), Perkembangan Institusi Pondok di Nusantara; Pengaruhnya di
Negeri Kedah, siri monograf, Skudai;Penerbit Univeriti Teknologi Malaysia.
Sabri Hj.Said (1983), Madrasah al-Ulum al-Syariah Perak; 1937-1977M: Satu Kajian
Pendidikan Islam, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahrom Yusoff (2003), Sistem Pengajian Pondok di Kedah, Latihan Ilmiah, UKM: Jabatan
Syariah.
Shamsul Amri Baharuddin & Azmi Aziz (2006), Colonial Knowledge and the Reshaping of
Islam, the Muslim and Islamic Education in Malaysia, Past & Present, workshop on “Voices of
Islam in Europe and Southeast Asia, Wailalak University, 20-22 Januari.
Wan Saghir Abdullah (1999), Penyebaran Islam dan Silsilah Umala Sejagat Dunia Melayu,
KL: Khazanah Fathaniyah.
Zaharah L . Abdullah (1977/78), Pendidikan Pondok di Kalangan Masyarakat Islam di
Kedah (1840an - 1957M), Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

11