PENGARUH IDEOLOGI LIBERAL DALAM PENDIDIK

PENGARUH IDEOLOGI LIBERAL DALAM PENDIDIKAN MASYARAKAT ISLAM DI
LEMBAH KELANG, TINJAUAN AWAL DAN FAKTOR PENULARAN
Mohd Hambali bin Rashid
Siti Suhaila binti Ihwani
Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim
Zaharah Mustaffa
ABSTRAK

Perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia menunjukkan bahawa pemikiran liberal terus
disebarkan secara meluas dalam kalangan umat Islam walaupun fatwa pengharamannya telah
dikeluarkan. Jika tidak ditangani dengan segera, tidak mustahil fahaman liberal ini akan terus
berkembang, terutama kepada generasi muda yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap
pegangan agama yang berteraskan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi dasar
akidah umat Islam di Malaysia. Mutakhir ini gerakan Libelarisma begitu hebat dilancarkan oleh
pihak-pihak tertentu yang kelihatan pengaruhnya semakin berleluasa mencengkam pemikiran
umat Islam. Kajian ini merupakan tinjauan awal terhadap pengaruh fahaman Liberal dalam
kalangan masyarakat Islam Di Lembah Kelang dan faktor-faktor yang menyebabkan
terpengaruhnya masyarakat Islam terhadap gerakan Liberalisme.
Kata kunci: Liberalisme, Ahli Sunnah Wal Jamaah, Pengaruh

PENDAHULUAN

Fahaman liberal semakin menular dan mempengaruhi sebahagian masyarakat Islam.
Mutakhir ini golongan yang berfahaman liberal semakin berani mengutarakan beberapa isu yang
kontroversi dan idea-idea yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.
PENGARUH IDEOLOGI LIBERAL DALAM PENDIDIKAN MASYARAKAT
Sebagai langkah bagi menyebarkan fahaman liberal, pelbagai usaha dilakukan melalui
penulisan di akhbar, penerbitan buku-buku dan laman sesawang yang menyokong aliran fahaman
Islam liberal (Ahmad Yumni Abu Bakar dan Mohd Fairuz Jamaluddin, 2014).

Di antara pengaruh yang cuba diserapkan dalam pemikiran masyarakat ialah:

i.

Sistem politik demokrasi mutlak dan menegakkan sebuah negara sekular.

ii.

Semua agama adalah sama. Fahaman liberal menggagaskan fahaman pluralism
agama sebagai anutan baru.

iii.


Kesamaan hak antara lelaki dan wanita.

iv.

Batasan aurat yang ditentukan oleh Islam perlu dibuat penilaian semula.

v.

Menolak autoriti ulama kerana.

Antara agenda utama golongan pelampau Muslim Liberal ialah memperjuangkan
fahaman pluralisme agama dengan menyamatarafkan semua agama, agar kedudukan agama
Islam sebagai agama yang paling benar dapat dihapuskan. Secara tidak langsung kedudukan
agama Islam di Malaysia dapat direndahkan sehingga boleh mengundang kepada gejala murtad.
Perkara ini selari dengan salah satu tuntutan IFC supaya membenarkan orang Islam untuk murtad
tanpa dikenakan apa-apa halangan dan tindakan. Dengan sebab inilah mereka turut menentang
pemerkasaan terhadap Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah, seperti menentang Akta
RUU355 dan sebagainya lagi. Mereka juga berhasrat untuk menghapuskan institusi-institusi
agama Islam di Malaysia (Muhammad Rashidi, 2017).

Penyelewengan Akidah dan Syariah
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran
Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam di Malaysia. Muzakarah telah
memutuskan bahawa:
Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari
aspek akidah dan syariah seperti berikut:
Aspek Akidah
a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme
b. Akal Manusia Adalah Wahyu

c. Meragui Ketulinan Al-Quran
Aspek Syariah
a. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith
b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
c. Mempertikaikan Kriteria dan Akhlak Kenabian
d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam
e. Sikap Terhadap Hukum Fiqh

Isu-Isu Yang Diketengahkan Dalam Masyarakat Islam

Beberapa isu yang dianggap agak mudah mempengaruhi pemikiran masyarakat
terutama di kalangan mereka yang kurang memahami agama cuba diutarakan oleh
golongan ini, antaranya:
i. Persamaan Gender
Persamaan gender adalah antara perjuangan utama golongan berfahaman liberal.
Terdapat beberapa NGO yang berlandaskan pemikiran Islam Liberal telah berusaha keras
menuntut persamaan antara lelaki dan wanita sebagai agenda perjuangan mereka.
Perubahan hukum syariah khususnya yang berkaitan dengan persamaan hak antara lelaki
dan perempuan disuarakan oleh kelompok Sister in Islam (SIS). Dalam isu Rang
Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005), SIS
bersama kumpulan NGO wanita yang lain telah menentang kuat Rang Undang-Undang
tersebut atas dakwaan kononnya ia akan menzalimi perempuan. Sebelum itu mereka juga
menentang kuat Rang Undang-undang Jenayah Syariah Terengganu (Hudud) dengan
membangkitkan polemik kononnya undang-undang itu akan menzalimi wanita yang
dirogol. SIS juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara
keseluruhannya dan pernah melancarkan kempen monogami secara terbuka (Riduan
Mohd Noor, 2009). Agenda ini mendapat tempat dan sokongan dari ramai kalangan orang
Islam yang terpengaruh dengan hujah-hujah logik akal dan mendapat tempat dan ruang
dalam media arus perdana.


Program Musawah atau Global Movement for Equality and Justice in the Muslim
Family yang antara lain tujuannya adalah untuk memperjuangkan kesaksamaan wanita
telah berjaya mengumpul tokoh-tokoh liberal dari seluruh dunia untuk bersama-sama
memikirkan kaedah untuk memperjuangkan hak wanita dan membebaskan mereka dari
penindasan atas nama agama dan atas nama hukum syarak. Ada di antara mereka
menganggap bahawa undang-undang keluarga Islam yang ada seperti memberi
ketidakadilan kepada wanita. Lebih parah, ada yang menganggap Islam menindas kaum
wanita, tidak memberi kebebasan dan mengongkong wanita daripada melakukan aktiviti
kemasyarakatan (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).
ii. Aurat Wanita Islam
Aliran Pemikiran Islam Liberal melihat bagi memerdekakan wanita Islam dari
belenggu kejumudan, salah satunya melalui pemahaman aurat yang universal. Mereka
melihat persoalan tudung, jubah dan menutup aurat itu sebagai suatu yang merimaskan
wanita dan wanita Islam perlu dibebaskan dari pakaian yang menutup aurat tersebut
(Mohd Roslan, 2011). Bahkan apabila ditanya kepada seorang aktivis Islam Liberal:
“Kenapakah anda tidak memakai tudung?” Jawapan yang diberikan adalah: “Pakaian
yang dituntut dalam Islam adalah taqwa” yang merujuk kepada Firman Allah yang
bermaksud;
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu
pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan dan

pakaian takwa itulah yang paling baik yang demikian itu adalah
sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka
selalu ingat”.
(Al-Quran, al-A’raaf 07:26).
Baru-baru ini seorang wanita Islam yang bernama Maryam Lee telah
menggemparkan masyarakat Islam dengan menimbulkan perdebatan di twitter apabila
mendakwa dalam Al-Quran tidak pernah menyatakan bahawa rambut perlu ditutup,
kononnya dalam ayat tersebut hanya dinyatakan bahawa kain kerudung kepala perlu

dilabuhkan bagi menutup dada. Beliau menyatakan “There is no word in the Quran that
says cover your hair. Quran says your cloth to yr chest. Covering hair is encouraged,
not wajib” (Mrym@mrymler, 25 May 2017).
Maryam juga setakat ini mengelak dari menjawab soalan-soalan yang
dikemukakan kepadanya mengenai kenyataan itu secara langsung, sebaliknya hanya
menyatakan sumbernya ialah ulama kontemporari Indonesia, Prof. Quraish Shihab yang
ditemuinya secara peribadi di negara itu.
iii. Mempertahankan Hak-hak Asasi LGBT
Islam Liberal mengiktiraf hak-hak bagi golongan lesbian dan gay. Mereka
menganjurkan usaha-usaha untuk membela dan mempertahankan hak-hak sivil golongan
lesbian, gay, biseksual, transgender dan individu yang mengamalkan interseksual.

Agenda mereka menyokong sebarang usaha atau ketetapan yang memberikan hak-hak
yang sama rata untuk semua golongan manusia dalam sebuah masyarakat Islam tanpa
mengira jenis, fahaman agama, budaya dan gaya hidup seseorang (Jabatan Agama Islam
Selangor, 2011).
Di Malaysia, sekali lagi umat Islam dikejutkan dengan isu kedatangan Irshad
Manji bagi melancarkan buku terbarunya ‘Allah, Liberty & Love’ bagi memberikan
sokongan kepada penganut LGBT. Namun pihak berkuasa atas kapasiti yang ada padanya
telah berjaya menghalang program ini dari terus dilaksanakan.

iv. Berkongsi Nilai Sejagat Melalui Pluralisme Agama
Islam Liberal juga mempromosikan Pluralisme Agama yang bertitik tolak dari
masalah golongan radikal Islam yang muncul disebabkan oleh ketaksuban dan pemikiran
yang dipenjara oleh ilmu Fiqh klasik yang sering menyebabkan hubungan Muslim dan
non-Muslim sentiasa menjadi tegang, mendiskrimisikan non-Muslim dan isu-isu yang
berkaitan dengan keadilan dalam konteks hubungan agama (Nur Farhana, Mohd Nasir
dan Idris Zakariya, 2010). Justeru sebagai reaksi dari permasalahan yang berlaku ini,

fahaman Pluralisme Agama dibentuk sebagai usaha gologan Islam Liberal menangani isu
ini.
Pluralisme agama dikesan mula berkembang di Barat pada abad ke-20, berpunca

dari andaian bahawa pertumpahan darah yang banyak berlaku di dunia adalah akibat
daripada sikap eksklusif dalam mendakwa kebenaran (truth claim). Sememangnya
didapati bahawa penganut agama Yahudi dan Nasrani telah bersikap eksklusif dan
dogmatik dalam mendakwa kebenaran tanpa berhasil memberikan bukti yang kukuh atas
dakwaannya itu, dan hal ini menimbulkan ketegangan di antara penganut agama yang
berbeza. Bertitik tolak daripada andaian di atas, ramai pemikir dan ahli teologi Barat
melihat bahawa faham pluralisme agama ini adalah satu-satunya jalan keluar bagi
menangani sikap saling memusuhi dan tidak toleran masyarakat beragama (religious
intolerance) yang mengakibatkan peperangan yang panjang, baik sesama penganut
Kristian-Katholik, Protestan, Mormon dan lain-lain, mahupun antara penganut Kristian
dengan penganut Yahudi atau terhadap penganut agama lain atau ideologi lainnya. Ia juga
dilihat dapat mengurangkan ketegangan antara dunia Barat dengan dunia Islam. Di pihak
dunia Islam pula, pluralisme semakin mendapat tempat dan rancak dibicarakan setelah
peristiwa 11 September sebagai jalan penyelesaian dalam menangani ekstrimisme dan
terorisme yang dilakukan oleh sebahagian kecil orang Islam. Dengan kata lain, peristiwa
ini telah dijadikan satu kesempatan dan peluang yang tepat bagi penyebaran faham
pluralism agama di kalangan orang Islam (Khalif Muammar, 2013).

FAKTOR PENULARAN IDEOLOGI LIBERAL DALAM MASYARAKAT ISLAM
Dalam konteks Malaysia, gerakan pelampau Islam Liberal (atau Muslim Liberal)

kelihatan berkembang melalui pelbagai jalan dan saluran, antaranya melalui jaringan internet
(globalisasi) dan kemasukkan buku-buku berkaitan liberalisme dari luar negara, serta dipelopori
oleh individu dan kumpulan tertentu yang berfahaman liberal. Islam Liberal turut didokong oleh
orang bukan Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini menjadikan ancaman
Liberalisme di Malaysia semakin rumit untuk ditangani oleh pihak berkuasa agama.

Kekurangan ilmu akidah yang mantap di kalangan sebahagian masyarakat memudahkan
fahaman ini menular kerana fahaman liberal menggunakan hujah logik akal. Idea kebebasan
mutlak boleh menjadikan mereka menentang al-Quran dan Hadis, sama ada secara langsung atau
tidak langsung, dengan dakwaan bahawa al-Quran dan Hadis tidak lagi sesuai diamalkan pada
zaman kini dan memerlukan penafsiran semula yang lebih moderat (liberal). Propaganda ini
bertujuan untuk merosakkan keutuhan ajaran Islam yang telah meletakkan kebenaran dan autoriti
ilmu sebagai asas utama kepada akidah, syariah dan akhlak. Ini bermaksud, fahaman Islam
Liberal akan menjauhkan dan memesongkan pemikiran umat Islam dari ajaran Islam yang
sebenar.
Perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia menunjukkan bahawa pemikiran liberal
terus disebarkan secara meluas dalam kalangan umat Islam walaupun fatwa pengharamannya
telah dikeluarkan. Ini disebabkan pengaruh media sosial di mana siapa sahaja dengan cara yang
mudah dapat menerima maklumat sebagai pendidikan tidak formal masyarakat. Generasi muda
terutamanya secara bebas boleh melayari maklumat yang disampaikan oleh golongan liberal

yang mungkin kerana faktor kurang kemantapan akidah menyebabkan mereka menerima ideaidea baru yang dianggap up to date.
Faktor kemajuan dan kemodenan yang diimpikan oleh masyarakat kadang-kadang
menjadi umpan yang laris kepada agenda liberal untuk mendekati masyarakat. Menurut
Muhammad Razak Idris (2006), fahaman liberal adalah fahaman yag berkait rapat dengan idea
dan gerakan modenisme. Gerakan modenisme ini merupakan idea untuk membebaskan sesebuah
masyarakat daripada kongkongan adat resam dan tradisi yang sempit yang dianggap sebagai
penghalang kepada budaya kemajuan dan kebebasan. Golongan liberal adalah golongan yang
bertanggungjawab memainkan peranan dalam menyebarkan ajaran dan idea gerakan modenisme
ini. Bagi mereka, untuk mengecap kemajuan hidup, masyarakat perlu membebaskan diri mereka
dari kongkongan tradis. Diayah ini sangat menarik perhatian masyarakat sehinggakan mereka
yang cuba menanam benih-benih Islam liberal kadang-kadang dianggap sebagai tokoh yang
progresif yang ingin membawa masyarakat ke arah kemajuan.
Menularkan pengaruh liberal secara terancang dan bersistematik oleh golongan liberal
adalah antara faktor yang tidak boleh dipandang remeh. Golongan liberal melancarkan diayah
mereka dengan penyusunan strategi yang rapi. Mereka mempunyai kumpulan penulis yang

terlatih yang mendokong faham pluralism dan inklusivisme yang menyediakan bahan-bahan
ilmiah, wawancara dan artikel yang boleh mempengaruhi minda masyarakat (Bharuddin Che Pa,
2008).
Kebebasan memberi pendapat atau berijtihad yang dilaung-laungkan oleh golongan liberal

juga menarik perhatian masyarakat. Golongan ini memperlihatkan kepada masyarakat awam bahawa
apa yang dilakukan oleh meraka mampu menjadikan agama Islam dipandang mulia di sisi
masyarakat bukan Islam, selain selari dengan perkembangan kontemporari. Sebagai contoh, JIL
mengemukakan empat agenda utama yang diperjuangkan iaitu sistem politik, toleransi agama,
emansipasi wanita dan kebebasan berpendapat yang ditekankan oleh mereka bertujuan memuliakan
dan memartabatkan kembali agama Islam yang kini dianggap sebagai pembela keganasan oleh
masyarakat non-Muslim (Ahmad Yumni, 2014). Diayah ini mudah merasuk ke dalam jiwa
masyarakat yang kurang ilmu agama tetapi ingin menjadi pembela agama.

PENUTUP
Pengaruh ideologi liberal sangat merbahaya kepada akidah masyarakat. Pengaruh ini
perlu dibenteras segera. Berhala dalam bentuk moden ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi
jenerasi muda kita terutama melalui media baru. Kefahaman yang jitu tentang akidah yang jelas
adalah senjata yang ampuh untuk menghalang penularannya.

Rujukan
Adian Husaini. 2005. Islam Liberal, Pluralisme Agama dan Diabolisme Intelektual. Surabaya:
Risalah Gusti.
Adian Husaini. 2010. Pluralisme Agama Musuh-Musuh Agama. Indonesia: Dewan
Dakwah Indonesia.
Ahmad Yumni Abu Bakar dan Mohd Fairuz Jamaluddin. 2014. Menjawab Islam Liberal
Pendedahan Agenda Jaringan Islam Liberal (JIL) & Sisters in Islam (SIS). Batu Caves,
Selangor: PTS .

Arifin Suhaimi. 2013. Wabak Pluralisme, Bahaya Pluralisme Agama dan Pendirian
Islam. Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd.
Bharuddin Che Pa, Raja Hisyamudin Raja Sulong, Afriandi Sanusi. 2008. Gerakan
Islam Liberal dan Pandangannya Terhadap Warisan Turath Islam Klasik.
Seminar Pemikiran Islam 24 Ogos. Anjuran PUM dengan kerjasama YADIM
Haslina Ibrahim. 2014. Dari Kepelbagaian Agama Kepada Pluralisme Agama: Sejarah
Perkembangan. Dalam Mohd Farid Mohd Shahran: Pluralisme Agama Satu
Penelitian Islami.Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Jabatan Agama Islam Selangor 2011. Sister in Islam: Wajah Gerakan Islam di Malaysia.
Selangor: JAIS.
Kamali, Muhammad Hashim. 2009. Diversity and Pluralism: A Quranic Perspective.
Islam and Civilisational Reward. IAIS.
Khalif Muammar. 2013. Islam dan Pluralisme Agama. UTM: Centre for Advanced
Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS).
Mohd Farid Mohd Shahran. 2014. Pluralisme Agama Satu Penelitian Islami. Kuala
Lumpur: IKIM.
Mohd Roslan Mohd Nor. 2011. Menangani Cabaran Umat Islam Era Moden. Jurnal alTamadun, 6, 107-108)
Muhammad Rashidi. 2017. Pemikiran Liberalisme Dalam Wacana Agama dan Ancamannya di
Malaysia. Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-9 di Auditorium Besar, Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Seminar anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera
Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dengan kerjasama JAKIM dan Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan (MAIWP). 17 Jan 2017.
Muhammad Razak Idris. 2006. Aliran Islam Liberal Cabaran Baru Umat Islam. Dlm
Shaharudin Mohd Rumnaizuddin Ghazali & Khairul Ariffin Mohd Munir.
Gerakan Islam Antara Dua Paradoks. hlm. 118. Selangor: Edisi Cemerlang Sdn.
Bhd.
Mutalib, Hussin. 2007. Religious Diversity and Pluralism in South East Asian Islam:
The Experience of Malaysia and Singapore dalam Religious Pluralism in
Democratic Societies. ed K.S. Nathan. Singapore: Konrad-Adenauer-Shiftung.
Muzaffar, Chandra, What Pluralism Means to Islam, The Star (18 June 2006)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006

Nur Farhana, Mohd Nasir dan Idris Zakariya (2010). Faham Pluralisme Agama dan
Percanggahannya Dengan Akidah dan Syariah Islamiyah. Wacana Membenteras
Gerakan Pluralisme Agama dan Permutadan, anjuran bersama Pertubuhan
Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis
Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan (di bawah Jabatan
Mufti Wilayah Persekutuan), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs
(ACCIN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal
Ehwal Khas (JASA)
Osman Bakar. 2010. Exclusive and Inclusive Islam in the Qur’an: Implications for
Muslim-Jewish Relations, JISMOR (5).
Riduan Mohd Noor, Ahmad Adnan Fadhil 2009. Islam Liberal dan Pluralisme Agama. Kuala
Lumpur: Jundi Resources.
Zainul Abidin, Asri, http://drmaza.com/home/?p=1366 (February 25, 2011)
http://mufti.perak.gov.my/berita/berita041022­2.h

Mrym@mrymler, 25 May 2017