APLIKASI TEKNIK INTERAKSI NABI DALAM PEN (1)

APLIKASI TEKNIK INTERAKSI NABI DALAM PENDIDIKAN KANAK-KANAK
DI TADIKA ABS NASYRAH
Oleh:
Norazlinda Azima binti Arikah
Pelajar, Jabatan Dakwah dan Pengurusan, Akademi Islam KUIS
[email protected]
0143522391

Safinah binti Ismail (Pembentang)
Pensyarah Jabatan Dakwah dan Pengurusan, Akademi Islam KUIS
[email protected]
0193591981

Norita Kamaruddin
Pensyarah Jabatan Syariah, Akademi Islam KUIS
[email protected]
0133583010

ABSTRAK

Rasulullah s.a.w banyak memberi tunjuk ajar kepada umatnya dalam berinteraksi dengan kanak-kanak dalam

membentuk generasi cemerlang. Oleh itu, tulisan ini akan membincangkan berkaitan teknik interaksi nabi yang
diamalkan khususnya dalam berhadapan dengan kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah. Metode kajian yang
telah digunakan adalah metode dokumentasi, kepustakaan dan temu bual. Dapatan kajiannya menunjukkan
bahawa teknik interaksi rasulullah patut dicontohi dan perlu diaplikasikan dalam kehidupan umat Islam.
Tadika ABS Nasyrah telah mengaplikasikan interaksi tersebut dalam mendidik kanak-kanak contohnya
berlemah-lembut, bermain dengan kanak-kanak, mengusap kepala, memanggil dengan panggilan yang baik,
memberi pujian dan ganjaran kepada mereka, memanggil dengan panggilan yang baik, memberikan ganjaran
kepada kanak-kanak. Ganjaran yang diberikan bukanlah ganjaran yang berbentuk materialistik akan tetapi
ganjaran yang berbentuk pujian yang dapat memberikan kepuasan hati kepada diri kanak-kanak dan lain-lain.
Kesimpulannya apabila berinteraksi dengan baik terhadap kanak-kanak, maka kanak-kanak dapat mengikut
acuan yang dikehendaki oleh Islam. Mudah-mudahan mereka dapat dibentuk menjadi generasi terbaik.

TEMA : Teknik, Interaksi Rasulullah, Kanak-Kanak, Tadika.

Pengenalan
Teknik sangat penting dalam menentukan kejayaan sebuah kepimpinan yang berkesan. Pemimpin agung
sepanjang zaman Rasulullah s.a.w telah mendidik sahabat-sahabat bukan sahaja dalam bidang politik, ekonomi,
dan politik sahaja bahkan dalam berinteraksi dengan kanak-kanak. Sikap Rasulullah s.a.w terhadap kanak-kanak
menjadi puncak peradaban kepada manusia. Ini jelas di lihat melalui kelembutan, cinta dan kasih sayang yang
luar biasa seperti ditunjukkan baginda s.a.w setiap kali bertemu kanak-kanak, sama ada pada waktu pagi atau

petang, baginda s.a.w sentiasa tersenyum dengan raut wajah yang cerah. (Harun Arrasyid Haji Tuskan. 2014)
Oleh itu, tulisan ini akan membincangkan berkaitan teknik interaksi nabi yang diamalkan khususnya dalam
berhadapan dengan kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah.

Latar Belakang Tadika ABS
Tadika dalam Rangkaian Tadika ABS menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK 2010)
yang bertujuan untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur 4 sehingga 6 tahun secara menyeluruh
dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang
selamat serta menyuburkan melalui aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna.
Melalui kurikulum ini kemahiran literasi dan numeracy asas murid dipertingkatkan, keyakinan dibangunkan dan
konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak dipupuk. Ini adalah untuk menyediakan murid agar mereka
berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran bagi
kelangsungan pembelajaran seterusnya. KSPK terbina berdasarkan reka bentuk kurikulum berasaskan standard
dan berbentuk modular. Standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh
dilakukan oleh kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun.
Teknik nabi merupakan hasil kajian oleh Tim Psikologi Hadith yang di pimpin Oleh Puan Ainon Mohd,
Chairman PTS. Guru-guru dan ibu bapa adalah sumber dorongan utama kepada anak-anak. Mereka akan dilatih
sebagai pengamal teknik nabi bagi mewujudkan persekitaran yang saling dorong-mendorong. Sikap anak-anak
tidak dikritik, diri mereka juga tidak dikritik. Guru-guru tiada beban emosi, kanak-kanak semakin suka belajar.
Ibu bapa bahagia apabila melihat anak mereka suka belajar. (Http://www.Tadika ABS.Com.My)

Tadika ABS mula ditubuhkan pada Jun 2013. Penubuhan ini adalah hasil daripada perbincangan di antara Puan
Ainon Mohd (Chairman ABS Holdings), Puan Suhaily Ikhsan (CEO ABS EDU Solution SDN BHD) dan Puan
Nor Zarizah Abdullah (COO ABS EDU Solution SDN BHD).
Pada ketika itu mereka sedang membincangkan hala tuju dan nilai yang ditawarkan di tadika sedia ada dalam
pasaran dari dua aspek berbeza. Satu dari sudut hak anak-anak dan asas pembelajaran kanak-kanak terutamanya
yang berumur 3 hingga 6 tahun. Aspek kedua dari sudut perkembangan bisnes tadika serta masa depan
pengusaha tadika. Sesi ini berakhir dengan masing-masing bersetuju untuk menubuhkan Tadika ABS yang
memenuhi kedua-dua aspek di atas.
Selain daripada membimbing kanak-kanak menguasai 5M, Tadika ABS ingin memberi fokus kepada kemahirankemahiran kepimpinan pada zaman yang semakin mencabar. (Http://www.Tadika ABS.Com.My)

Penubuhan Tadika ABS Nasyrah
Tadika ABS Nasyrah di Pusat Hentian Kajang telah ditubuhkan sejak 15 tahun lalu yang diketuai oleh Puan
Suhaily Ikhsan. Pada asalnya Tadika ABS Nasyrah tidak turut serta dengan penubuhan Tadika ABS, akan tetapi
awal tahun 2014, Tadika ABS Nasyrah menyertai Tadika ABS. Hal ini kerana, pengetua Tadika ABS Nasyrah
iaitu Puan Suhaily Ikhsan adalah ketua di dalam organisasi Tadika ABS. Tadika ABS Nasyrah mempunyai dua
cawangan. Cawangan yang pertama di Hentian Kajang Stride dan cawangan yang kedua ialah di Pusat Hentian
Kajang.
Kelebihan Tadika ABS Nasyrah adalah mereka mempunyai keunikan yang berlainan dengan tadika yang lain.
Tadika ABS Nasyrah mempunyai 3 keunikan iaitu budaya Melayu tinggi, Kelab ‘Araf dan juga teknik nabi.
Keunikan ini menjadi pegangan bagi setiap pendidik dalam mendidik kanak-kanak.( Maimun binti Mamu.2015)


Struktur bangunan Tadika ABS Nasyrah mempunyai 2 bahagian, iaitu bahagian atas dan bahagian bawah.
Bahagian atas bangunan mempunyai 6 buah bilik darjah iaitu kelas pembelajaran bagi pelajar Tadika ABS
Nasyrah. Selain itu, terdapat juga makmal komputer dan juga tempat pameran lukisan pelajar.
Menurut Puan Maimun, Pelajar Tadika ABS Nasyrah terdiri daripada 65 orang pelajar. Mereka berumur di
antara 4 tahun sehingga 6 tahun. Pelajar akan dibahagikan kepada 2 kelas mengikut peringkat umur bagi
memudahkan guru untuk mengajar dan memberikan perhatian yang lebih kepada setiap pelajar. Setiap peringkat
umur terbahagi kepada 3 kelas iaitu kelas Brilliant, Excellent dan juga kelas Genius. Tadika ABS Nasyrah
menggunakan nama kelas yang mempunyai maksud dan makna yang tinggi agar kesemua pelajar memiliki sifat
tersebut. Tadika ABS Nasyrah juga tidak membezakan mana-mana pelajar yang pandai dan juga pelajar yang
kurang pandai di dalam pelajaran.
Tadika ABS Nasyrah mempunyai 3 sesi pengajian iaitu sesi pagi, sesi tengahari dan juga sesi petang. Yuran
yang dikenakan kepada setiap kanak-kanak adalah berdasarkan kepada sesi pengajian. Sesi pengajian pagi akan
dikenakan yuran sebanyak RM 200. Sesi tengahari pula, yuran yang dikenakan ialah RM 230. Manakala, pada
sesi petang pula adalah sebanyak RM 280.
Visi
Berusaha untuk melahirkan masyarakat berilmu aktif, bijak, santun, beriman, maju, dinamik dan cemerlang dari
segi intelek dan rohani mengikut al-Quran dan as-Sunnah, seterusnya menyumbang kepada pembangunan
negara.


Misi
Memandaikan bangsa dan melahirkan serta membentuk umat Islam yang berwawasan serta cemerlang tanpa
mengira bangsa dan warna kulit. Seterusnya adalah untuk mewujudkan generasi masa depan yang lebih santun
mengikut ajaran Islam yang sempurna dan mengikut sunnah yang diajarkan oleh nabi termasuk dalam bidang
pelajaran dan juga sahsiah. Selain itu juga, misi Tadika ABS Nasyrah adalah untuk mewujudkan modal insan
yang baik yang mampu untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah s.w.t ini. ( Hasmahwati binti Hassan, 2015)
Syarat Kemasukkan Tadika ABS Nasyrah
Syarat kemasukkan yang dikhaskan oleh Tadika ABS Nasyrah ialah :
i
ii

Kanak-kanak yang berumur 4 tahun tidak lagi memakai alat bantu seperti lampin pakai buang.
Kanak-kanak boleh pergi ke tandas untuk mencuci sendiri selepas berhadas.

Pakaian Kanak-Kanak Di Tadika ABS Nasyrah
Tadika ABS Nasyrah mempunyai pakaian seragam sekolah dan juga baju sukan. Pakaian seragam sekolah akan
dipakai oleh kanak-kanak pada hari Isnin, Selasa dan Khamis. Manakala pada hari Rabu kanak-kanak akan
memakai pakaian sukan dan pada hari Jumaat, kanak-kanak akan memakai pakaian bebas iaitu baju kurung
ataupun baju Melayu.


Para Pendidik Tadika ABS Nasyrah
Tadika ABS Nasyrah mempunyai 4 orang guru pendidik dan juga seorang pembantu guru. Kesemuanya terdiri
daripada golongan wanita. Tugas seorang pendidik dalam memberikan suatu pengetahuan, melatih suatu
percakapan, serta menentukan arah dan keyakinan bukanlah satu tugas yang mudah. Seorang guru perlu ada
kesabaran, kreativiti dan menjadi contoh yang baik. Selain itu, pendidik juga harus mempunyai pengetahuan
dasar dalam mengajar dan juga termasuk menggunakan beberapa metod yang benar dan pada waktu yang tepat.(
Hidayahtul Ahmad Al-Syas. 2007)

Kaedah pembelajaran kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah


Hafazan

Menurut Ahmad kaedah hafalan adalah suatu kaedah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w dalam
menghafal wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Baginda s.a.w bersungguh-sungguh menghafal wahyu
sebaik sahaja menerimanya supaya tidak lupa sehinggalah turun jaminan Allah s.w.t yang akan menetapkan
ingatan baginda s.a.w terhadap wahyu.( Abd Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi Nik Yusuf. 2010)
Tadika ABS Nasyrah mengaplikasikan pembelajaran menggunakan teknik nabi dengan menghafal hadis, surahsurah lazim, doa-doa harian dan juga zikir-zikir yang akan menjadi panduan kanak-kanak untuk menguatkan
ingatan di dalam pembelajaran dan juga di dalam kehidupan seharian. Kaedah hafalan ialah satu latihan yang
dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menguatkan ingatan baginda s.a.w serta memudahkan baginda s.a.w

untuk menghafal wahyu-wahyu lain yang diturunkan. Dengan perkataan lain, hafalan adalah satu kaedah yang
ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w bagi melatih seseorang untuk menambah kecerdasan otak, kepintaran,
kekuatan ingatan dan keyakinan.
Al-Na’miy menjelaskan, kaedah ini digunakan dalam pengajaran al-Quran apabila kanak-kanak diminta
menghafal dengan baik dan sempurna. Pada peringkat ini, guru tidak perlu untuk menghuraikan maksud ayat
disebabkan ketidakmampuan kanak-kanak memahaminya. (ibid)


Bercerita

Bercerita adalah salah satu teknik nabi yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.
Kanak-kanak lebih tertarik untuk belajar secara santai seperti melalui penceritaan berbanding dengan
pembelajaran yang bersifat formal. ( Siti Nor Hidayah.2015) Di Tadika ABS Nasyrah, guru-guru akan
menggunakan kaedah pembelajaran menggunakan penceritaan untuk memberikan kefahaman kepada kanakkanak. Selain itu, penceritaan juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu perkara dan juga kejadian yang
boleh dijadikan pengajaran kepada kanak-kanak.
Menurut Ahmad, Rasulullah s.a.w banyak menyampaikan risalah dakwah dengan menggunakan kaedah
bercerita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di dalam al-Quran banyak terdapat kisah-kisah lampau seperti para
nabi, rasul dan juga umat terdahulu. Tujuan utama kaedah bercerita ini adalah untuk memberikan peringatan dan
panduan kepada manusia daripada peristiwa yang telah berlaku.( Siti Nor Hidayah.2015)



Kuliah Dan Syarahan

Salah satu teknik nabi yang digunakan di Tadika ABS Nasyrah ialah dengan kaedah kuliah, syarahan atau
ceramah. Kaedah ini diaplikasikan adalah dengan cara penyampaian atau penerangan mengenai sesuatu isi
pengajaran secara lisan oleh guru. Dalam proses ini tumpuan yang diberikan adalah kefahaman pendengaran
terhadap apa yang disampaikan.
Ini menyebabkan guru lebih banyak melibatkan diri dalam memberikan huraian, penjelasan dan penerangan.
Bentuk pengajaran Rasulullah s.a.w adalah seperti yang dilakukan di rumah Al-Arqam, di Masjid Nabawi dan
juga di tempat lain untuk menyampaikan pengajaran kepada kaum muslimin sama ada berkaitan dengan hal-hal
keagamaan dan keduniaan.


Halaqah

Menurut Puan Maimun, kaedah halaqah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di Tadika ABS Nasyrah.
Biasanya kanak-kanak akan duduk mengelilingi guru dalam satu bentuk bulatan besar atau duduk menghadap
guru untuk mendengar apa yang diucapkan oleh guru. Kaedah ini digunakan ketika mengajar kanak-kanak
berkaitan dengan zikir, hafazan dan juga surah-surah lazim seperti doa makan dan sebagainya. Kaedah ini sama
sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika baginda s.a.w mendapat wahyu daripada Allah

s.w.t. Baginda s.a.w apabila mendapat wahyu baginda s.a.w akan memahami dan menghafal, kemudian baginda
s.a.w akan mengajar kepada para sahabat. Rasulullah s.a.w memulakan pengajaran al-Quran di rumah baginda
s.a.w dan rumah Al-Arqam bin Abi Arqam dalam usaha membentuk peribadi para sahabat. Mereka mempelajari
al-Quran secara hafalan daripada Rasulullah s.a.w hingga lahirlah kumpulan huffaz yang terkenal, antaranya
Abu Bakar, Uthman, Ali Ibn Mas’ud, A’ishah dan Hafsah.


Perumpamaan

Rasulullah s.a.w menggunakan kaedah perumpamaan untuk menerangkan makna sesuatu perkara yang ingin
disampaikan. Begitu juga seperti yang digunakan di Tadika ABS Nasyrah, mereka menggunakan perumpamaan
tersebut sama ada melalui perkara yang dilihat seperti menggunakan pancaindera seperti mata, telinga lidah dan
juga boleh di capai melalui tangan. Tujuannya adalah untuk memudahkan kanak-kanak memperoleh kefahaman
dan gambaran menyeluruh secara tepat terhadap sesuatu pembelajaran atau perkara yang diingat.

Interaksi Rasulullah S.A.W Diaplikasikan Di Tadika ABS Nasyrah
Interaksi Rasulullah s.a.w yang diaplikasikan di Tadika ABS Nasyrah adalah seperti berikut:
1

Bersikap Lemah Lembut Dan Menyayangi Kanak-Kanak


Salah satu penyebab dakwah nabi s.a.w dapat diterima manusia adalah kerana ia selalu bersikap lemah lembut
dan sayang kepada umatnya. Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajak mereka dengan cara kasar, muka masam
dan gaya yang menakutkan.(‘Aidh Abdullah Al-Qarni. 2007) Kasih sayang adalah satu perasaan semula jadi
yang lahir dalam hati setiap hambanya. Kasih sayang adalah satu cara bagi seseorang untuk berinteraksi dengan
masyarakat sekeliling. Tanpa kasih sayang, sesebuah masyarakat tidak akan hidup dengan aman dan damai.
Menurut Puan Maimun, interaksi Rasulullah s.a.w yang diaplikasikan di Tadika ABS Nasyrah ialah kasih
sayang antara guru dan juga kanak-kanak. Ia mengikut cara Rasulullah s.a.w apabila berdakwah secara lemah
lembut dan membuatkan baginda s.a.w mudah untuk didekati dan dakwah yang disampaikan mudah untuk
diterima. Guru akan mengasihi kanak-kanak dan kanak-kanak akan mengasihi guru dan juga rakan mereka.
Guru bersikap lemah lembut dan mencurahkan kasih sayang kepada kanak-kanak dengan memberikan ilmu
yang bermanfaat, mengajarkan perkara-perkara yang baik serta mendidik kanak-kanak agar menjadi insan yang
berguna dan berjaya di masa depan.( Maimun binti Mamu. 2015)
2.

Mengusap Kepala Dan Pipi Kanak-Kanak

Mengusap kepala dan pipi kanak-kanak adalah merupakan salah satu interaksi Rasulullah s.a.w terhadap kanakkanak. Guru-guru di Tadika Abs Nasyrah menggunakan pendekatan mengusap kepala dan pipi kanak-kanak
sebagai satu bentuk perhatian dan juga kasih sayang kepada kanak-kanak. Kanak-kanak akan merasa disayangi
dan dihargai oleh orang yang berada di sekelilingnya.

Menurut Puan Maimun, mengusap kepala dan pipi kanak-kanak adalah merupakan satu cara yang digunakan di
Tadika Abs Nasyrah bagi menarik perhatian kanak-kanak apabila guru memberikan motivasi dan juga nasihat.
Melalui pendekatan ini dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk mendengar dan menerima setiap kata yang
diucapkan dan juga nasihat yang diberikan dengan baik.( Maimun binti Mamu. 2015)
Setiap guru akan menggunakan pendekatan mengusap kepala dan pipi kanak-kanak ketika memberikan
motivasi berkaitan dengan pelajaran dan juga untuk memberikan semangat kepada kanak-kanak agar sentiasa
berusaha untuk meraih kejayaan.
3.

Berdialog Menggunakan Perkataan Yang Lembut

Perkataan lemah lembut ketika berbicara adalah merupakan ciri seorang pendakwah yang tidak boleh hilang dari
dirinya. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat lembut dalam berbicara dan bertutur kata. Ketika
berbicara, Rasulullah s.a.w selalu kelihatan rendah diri dan disenangi oleh orang yang mendengar tidak kira tua
dan muda. Setiap pendidik di Tadika ABS Nasyrah menggunakan perkataan yang lembut ketika berbicara
kepada kanak-kanak. Perkataan yang lembut merupakan salah satu pendekatan dakwah kepada kanak-kanak.
Tadika ABS Nasyrah menggunakan bahasa Melayu tinggi sebagai satu bahasa yang utama dengan tujuan untuk
mendewasakan minda kanak-kanak. Setiap guru akan berinteraksi kepada kanak-kanak dengan menggunakan
bahasa Melayu tinggi.
Interaksi Rasulullah s.a.w yang diaplikasikan di Tadika ABS Nasyrah adalah berdialog menggunakan perkataan
yang lembut kepada kanak-kanak. Berdialog adalah salah satu cara untuk berkomunikasi kepada kanak-kanak.
Dengan berdialog, kanak-kanak akan mudah untuk memahami apa yang hendak disampaikan kepadanya. Guruguru mempunyai pelbagai cara untuk berdialog kepada kanak-kanak, antaranya ialah melalui penceritaan.
Cerita adalah merupakan sebuah ilustrasi, baik secara lisan, tulisan ataupun melalui pentas drama yang
melibatkan beberapa contoh teladan, benda ataupun peristiwa. Kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah amat gemar
untuk mendengar cerita-cerita teladan daripada guru-guru mereka. Interaksi yang digunakan oleh guru-guru

ketika mengajar ialah dengan penggunaan nada suara atau intonasi yang berubah mengikut keadaan. Bagi guruguru intonasi dan nada suara sangat penting kerana ia melambangkan keadaan emosi seseorang ketika itu.
( Maimun binti Mamu. 2015) Sebagai contoh seorang pelajar lelaki bertanya kepada guru mereka dengan
berkata “cikgu bolehkah saya bercerita?’. Perkataan “bolehkah” melambangkan bahasa Melayu tinggi yang
digunakan oleh kanak-kanak tersebut.
4.

Seimbang Dalam Menyayangi Kanak-Kanak

Setiap pendidik perlu meletakkan sesuatu perkara sesuai mengikut ukuran dan tempatnya. Tidak melebihlebihkan dan tidak mengurangkan. Syariat Islam mengajarkan kepada setiap manusia cara untuk melayani setiap
kanak-kanak, iaitu dengan menyamaratakan kasih sayang di antara anak lelaki dan juga anak perempuan.
Rasulullah s.a.w tidak membezakan dalam menyayangi di antara kanak-kanak lelaki dan juga kanak-kanak
perempuan. Sikap membezakan kanak-kanak akan menyebabkan hilangnya kehormatan dan kepercayaan kanakkanak. Guru-guru Di Tadika ABS Nasyrah dididik untuk seimbang dalam menyayangi di antara kanak-kanak
perempuan dan juga kanak-kanak lelaki.
Menurut Puan Maimun, sikap pilih kasih akan memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak. Mereka akan
merasa disisihkan dan akan menimbulkan dalam diri mereka perasaan dendam dan iri hati. Bagi mengelakkan
perkara ini berlaku, salah satu cara yang diambil oleh Tadika ABS Nasyrah adalah mendidik guru-guru untuk
melayan, menyayangi dan juga mendidik setiap kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah dengan seimbang. Setiap
apa yang dilakukan oleh kanak-kanak akan mendapat layanan yang baik dan sempurna dari guru-guru. Guruguru juga akan berusaha dengan sebaik mungkin dalam memberikan sepenuh perhatian kepada setiap kanakkanak di Tadika ABS Nasyrah. Setiap kanak-kanak akan dipantau dari masa ke semasa bagi memastikan mereka
berada dalam keadaaan baik dan untuk membuatkan mereka merasa dihargai dan disayangi oleh setiap guru.
( Maimun binti Mamu. 2015)
5.

Bermain Bersama Kanak-Kanak

Bermain adalah salah satu cara yang diaplikasikan oleh guru-guru ketika berinteraksi kepada kanak-kanak di
Tadika ABS Nasyrah. Guru-guru akan melibatkan diri secara langsung bagi membuka minda mereka untuk
berfikir dan juga berinteraksi kepada masyarakat sekeliling.
Para guru juga akan melakukan aktiviti-aktiviti bermain untuk menarik minat kanak-kanak mempelajari sesuatu
yang baru. Bermain ataupun permainan ialah fitrah kanak-kanak. Oleh kerana aktiviti bermain adalah
sebahagian daripada dunia kanak-kanak, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika
kanak-kanak belajar berasaskan kepada aktiviti bermain. Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak akan dapat
mempelajari dan memahami isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka dalam keadaan yang menggembirakan
dan ia akan memberi makna kepada mereka.
Pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak percaya aktiviti bermain merangsang fungsi otak yang dapat
memupuk perkembangan kognitif, sosial, emosi dan fizikal kanak-kanak. Semasa bermain, kanak-kanak
berinteraksi dengan rakan sebaya ataupun orang dewasa melalui perbincangan dan soal jawab. Kanak-kanak
belajar berkomunikasi, berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran melalui bermain. (Sharifah Nor
Puteh. 2011)
Aktiviti bermain adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak bermain dengan menggunakan
pelbagai cara. Mereka belajar kemahiran tentang dunia di sekeliling mereka dengan efektif melalui bermain.
Keupayaan kanak-kanak memahami dunia di sekelilingnya semakin meningkat melalui aktiviti bermain. Sebaik
sahaja kanak-kanak memahami konsep baharu dan melakukannya secara berulang-ulang semasa bermain,
mereka kemudiannya menguasai konsep pada peringkat yang seterusnya.
6.

Memberikan Contoh Teladan Bagi Kanak-Kanak

Setiap pendidik di Tadika ABS Nasyrah sentiasa memberikan contoh yang baik walau di mana mereka berada.
Guru-guru bersikap sederhana, berbicara dengan sopan dan tampil bersahaja di dalam setiap perkara. Orang
sekeliling akan sentiasa memantau setiap perilaku yang dilakukan terutamanya kanak-kanak di Tadika ABS
Nasyrah. Guru bagaikan cermin apabila terkena sedikit kotoran akan terlihat dengan jelas. Maka dengan itu,
setiap guru di Tadika ABS Nasyrah menjaga dan memastikan setiap perbuatan dan percakapan mereka terjaga
dengan baik.
Kanak-kanak akan meniru gaya orang yang berada di sekelilingnya. Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan
yang terbaik kepada setiap manusia di muka bumi ini. Guru-guru adalah merupakan role model kepada kanak-

kanak di Tadika ABS Nasyrah dan juga menjadi contoh ikutan kepada setiap pelajarnya. Maka wajib bagi setiap
guru untuk memberikan contoh teladan yang baik.
Di Tadika ABS Nasyrah, guru diibaratkan sebagai idola bagi setiap kanak-kanak. Setiap penampilan, percakapan
dan perbuatan yang dilakukan oleh guru akan menjadi ikutan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh yang
diceritakan kepada penulis, ada di kalangan kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah meniru dan memahami
percakapan yang diucapkan oleh guru-guru iaitu perbuatan yang tidak baik merupakan budaya Melayu yang
rendah. Selain itu, kanak-kanak juga ingin memakai tudung yang dipakai seperti guru yang dilihatnya.

7.

Tidak Marah Dan Memberikan Nasihat Yang Baik Kepada Kanak-Kanak

Kecerdasan dan kebijaksanaan pendidik sangat penting ketika berbicara dengan pelajarnya. Setiap yang
diucapkan harus sesuai dengan gaya bahasa dan tingkat kemampuan akal seseorang yang mendengar. Guru-guru
di Tadika ABS Nasyrah memberikan nasihat kepada kanak-kanak sesuai dengan tingkat kecerdasan dan
pengetahuan mereka serta bersesuaian dengan kecenderungan mental.
Memberikan nasihat yang baik adalah merupakan salah satu contoh interaksi yang diaplikasikan di Tadika ABS
Nasyrah. Setiap guru akan menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja. Sebagai contoh apabila berlaku
pergaduhan ataupun permasalahan di antara pelajar. Sebagai guru menjadi tanggungjawab untuk mencari jalan
yang terbaik serta memberikan nasihat bagi meleraikan permasalahan tersebut. Guru-guru di Tadika ABS
Nasyrah tidak memarahi apabila kanak-kanak melakukan kesalahan, kerana bagi mereka itu adalah perkara
biasa dan menjadi titik permulaan bagi seorang kanak-kanak untuk belajar. Guru akan memberikan nasihat ke
atas kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak tersebut. Nasihat yang diberikan berdasarkan kepada kisahkisah nabi, contoh teladan, balasan baik dan buruk daripada perbuatan yang mereka lakukan dan juga ceritacerita yang mempunyai pengajaran seperti kisah-kisah dongeng yang boleh menjadi pengajaran kepada kanakkanak tersebut.
Kebiasaanya guru-guru di Tadika ABS Nasyrah akan memberikan nasihat melalui cerita-cerita dongeng yang
mempunyai unsur balasan baik dan juga balasan buruk yang bersesuaian dengan situasi keadaan ketika itu.
Sebagaimana contoh yang diceritakan kepada penulis, seorang kanak-kanak lelaki telah tersepak dan
menumpahkan makanan seorang rakannya sehingga menyebabkan separuh daripada nasi goreng kanak-kanak
tersebut tertumpah. Kanak-kanak itu menangis dan memberitahu kepada salah seorang gurunya. Tindakan yang
dilakukan oleh guru tersebut ialah membiarkan kanak-kanak tersebut bertenang dahulu dan cuba untuk
memujuknya. Manakala kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak lelaki tersebut dibiarkan dahulu dan tidak
terus memarahinya. Apabila sampai di penghujung waktu pembelajaran, guru tersebut memberikan nasihat dan
juga menceritkan sebuah kisah dongeng kepada semua kanak-kanak berdasarkan kepada situasi yang berlaku
tadi. Dalam cerita tersebut, guru menjelaskan bahawa tingkah laku yang baik adalah dengan menghormati
keadaan sekeliling. Serta guru tersebut juga memberitahu kepada kanak-kanak bahawa setiap sesuatu yang
perlaku pasti ada hikmahnya. Kerana ada kemungkinan tertumpahnya nasi goreng tersebut kerana mengandungi
racun. Guru tidak terus memarahi kanak-kanak, kerana dengan memarahinya akan menyebabkan kanak-kanak
merasa rendah diri dan malu apabila dimarahi di tempat umum. Bagi menjaga air muka kanak-kanak itu
akhirnya guru tersebut menggunakan pendekatan nasihat yang baik kepada kanak-kanak.( Maimun binti
Mamu.2015)
8.

Panggilan Yang Baik

Nama adalah sebuah identiti yang melekat pada diri setiap manusia sejak ia mula dilahirkan sehingga
meninggalkan dunia. Pepatah mengatakan “manusia mati meninggalkan nama”. Setiap ucapan adalah doa. Oleh
sebab itu, agar apa yang diucapkan dapat menjadi kenyataan, maka perlu bagi orang tua untuk memberikan dan
memanggil nama yang baik kepada kanak-kanak. Disebabkan ucapan adalah satu doa, maka nama atau
panggilan sebenarnya adalah salah satu alat pendidikan yang dapat dilakukan oleh orang tua terhadap anaknya
di dalam keluarga dan akan berkesinambungan ketika anak telah menduduki pendidikan formal mahupun ketika
anak menduduki pendidikan non formal.( Marinasari Fithry Hasibuan. 2014)
Setiap guru di Tadika ABS Nasyrah akan menggunakan panggilan yang baik untuk berinteraksi kepada kanakkanak. Tujuannya adalah supaya kanak-kanak menghormati masyarakat sekeliling sama ada rakan-rakan, guruguru ataupun ibu bapa. Selain itu juga, ia adalah merupakan satu nilai kesantunan bagi diri setiap kanak-kanak.
Panggilan yang baik akan memberikan kesan yang positif kepada kanak-kanak, mereka akan merasakan dirinya
dihormati dan disayangi oleh masyarakat sekeliling. Panggilan yang digunakan di Tadika ABS Nasyrah ialah

“cik puan muda” bagi perempuan. Manakala, panggilan bagi lelaki pula ialah “tuan muda”. (Maimun binti
Mamu.2015)
Begitu indah dan santun panggilan yang digunakan di Tadika ABS Nasyrah ini. Siapa yang mendengar pasti
akan merasa tenang. Panggilan yang baik akan membuatkan seseorang itu mudah untuk memberikan perhatian
dan mendengar apa yang ingin disampaikan kepadanya. Rasulullah s.a.w juga menggunakan panggilan yang
baik apabila hendak berinteraksi kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w menggunakan
panggilan “wahai anakku”. Panggilan ini merupakan panggilan mesra yang diucapkan oleh Rasulullah s.aw agar
kanak-kanak yang mendengar ungkapan tersebut akan merasa dirinya hampir dengan Rasulullah s.a.w.
9. Interaksi Guru-Guru Dalam Memberikan Arahan Kepada Kanak-Kanak
Interaksi Rasulullah s.a.w terhadap kanak-kanak diaplikasikan di Tadika ABS Nasyrah ketika memberikan
arahan kepada kanak-kanak. Guru di Tadika ABS Nasyrah memberikan arahan kepada kanak-kanak mengikut
kesesuaian keadaan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.aw ketika memberikan arahan kepada kanakkanak. Setiap arahan yang diberikan adalah bersesuaian dan tepat. Pemilihan waktu yang tepat ketika
memberikan arahan akan memberi kesan ke atas diri orang yang mendengar. Selain itu, ia juga dapat
melembutkan hati orang yang menerima dan menjadikannya bersedia untuk melakukan arahan tersebut. Tujuan
memberi arahan kepada kanak-kanak adalah untuk memberi panduan kepada mereka sebelum memulakan
aktiviti seharian. Guru di Tadika ABS Nasyrah mengambil masa untuk memberikan arahan. Perkara penting
bagi guru di Tadika ABS Nasyrah ialah kanak-kanak perlu untuk mempelajari bagaimana mematuhi arahan yang
agak sukar untuk difahami. Oleh itu, setiap guru di Tadika ABS Nasyrah memastikan bahawa setiap arahan yang
diberikan haruslah jelas dan tepat serta berulang-ulang sebelum sesi pembelajaran bermula.
Menurut Puan Maimun, guru-guru di Tadika ABS Nasyrah memberikan arahan yang berbeza mengikut
peringkat umur. Arahan yang diberikan kepada kanak-kanak yang berumur 4 tahun berbeza dengan kanak-kanak
yang berumur 6 tahun. Guru-guru memberikan arahan kepada kanak-kanak berumur 4 tahun dengan gaya
bahasa yang berbeza dengan yang lain. Hal ini kerana, pemahaman kanak-kanak yang berumur 4 tahun adalah
berbeza dengan kanak-kanak yang berumur 6 tahun. Apabila guru-guru memberikan arahan kepada kanak-kanak
berumur 4 tahun, guru-guru akan memberikan arahan dengan mengusap kepala kanak-kanak dan juga
menggunakan perkataan yang lembut. Tujuannya adalah supaya kanak-kanak merasa disayangi dan juga
dikasihi oleh orang yang lebih dewasa dan dengan perbuatan ini membuatkan mereka bersedia untuk menerima
arahan. (Maimun binti Mamu.2015)
Setiap arahan yang diberikan kepada kanak-kanak di Tadika ABS Nasyrah akan diulangi sebanyak beberapa kali
untuk mengingatkan kepada kanak-kanak akan pentingnya sesebuah arahan yang diberikan. Arahan yang sering
diulang-ulang di Tadika ABS Nasyrah adalah berkenaan dengan adab sopan, adab terhadap guru, ibu bapa,
bermain, bercakap dan sebagainya.
10.

Memberi Pujian Dan Ganjaran Kepada Kanak-Kanak

Sikap menghargai orang lain, memberikan semangat dan memberikan pujian adalah ciri seorang pendidik yang
baik. Menurut Puan Maimun, interaksi yang diaplikasikan oleh guru-guru di Tadika ABS Nasyrah adalah
dengan memberikan pujian dan juga ganjaran. Pujian itu adalah sesuatu ucapan yang membuat orang yang
mendengarnya merasa disanjung, sehingga dapat juga memberikan motivasi kepada orang yang dipuji. Pujian
itu sangat penting, kerana ia menunjukkan bertapa kita benar-benar menyukai apa yang dikatakan, dilakukan
atau dicapai oleh seseorang. Pujian membuat seorang individu menjadi lebih baik dan kemampuan memuji
adalah salah satu cara yang sangat berguna untuk dikuasai. Orang yang sering dipuji cepat atau lambat akan
belajar untuk memuji orang lain juga. Jika kita sering saling memuji, kita akan lebih bahagia dan jika kita
menjadi orang yang lebih bahagia, kebahagiaan akan cepat menyebar seperti virus dan akan menjadikan dunia
tempat yang lebih bahagia untuk dihuni. (Maimun binti Mamu.2015)

Kanak-kanak yang mendapat pujian mereka akan sedaya upaya mungkin mengulangi perangai yang baik itu,
kerana mereka tahu perangai yang baik akan dihargai, lantas mereka akan mendapat pujian. Antara kata-kata
pujian yang dapat diungkapkan oleh ibu bapa atau guru kepada kanak-kanak sebagai galakan supaya mereka
mengekalkan amalan atau sikap yang baik, ialah ucapan terima kasih, pandainya, bagus, tahniah, kerja yang
amat baik, cemerlang, hebat, cantiknya, kemasnya, kerja yang bagus, dan juga syabas. Sebagai contoh seperti di
bawah:
I

Terima Kasih.

1.
II

Terima kasih kerana datang ke sekolah hari ini.

Pandai.
1.
Pandai adik mengemas mainan adik.
2.
Pandai adik membasuh tangan sebelum dan selepas makan.

III

Tahniah.
1.
Tahniah, adik dapat markah tinggi!
2.
Tahniah, adik menjadi anak yang baik hari ini!
3.
Tahniah kerana adik bertanggung jawab!

IV

Kerja yang amat baik.
1.
Adik berjaya membuat kerja yang amat baik.

V

VI
VII
VIII
IX

Cemerlang.
1.
Adik sangat cemerlang.
2.
Adik buat kerja sangat cemerlang.
3.
Perangai adik sangat cemerlang hari ini.
Hebat.
1.
Kerja yang sangat hebat.
Kemasnya.
1.
Kemas betul baju yang adik pakai hari ini.
Cantik.
1.
Cantiknya kasut yang adik susun.
Kerja yang bagus.
1.
Kerja yang sangat bagus.

X

Hebatnya.
1.
Hebatnya adik mengemas permainan adik sendiri.

XI

Syabas.
1.
Syabas kerana adik berjaya menyiapkan kerja itu.

Menurut Puan Maimun, guru-guru di Tadika ABS Nasyrah juga memberikan ganjaran kepada kanak-kanak.
Ganjaran yang diberikan bukanlah ganjaran yang berbentuk materialistik akan tetapi ganjaran yang berbentuk
pujian yang dapat memberikan kepuasan hati kepada diri kanak-kanak tersebut. Tadika ABS Nasyrah tidak
membiasakan kanak-kanak mendapat ganjaran yang berbentuk materialistik seperti hadiah sebagai ganjaran,
mereka lebih tertumpu kepada kepuasan diri kanak-kanak tersebut seperti mengumpul markah di setiap kejayaan
yang dikecapi. Jika markah yang dikumpul oleh seorang kanak-kanak itu paling tinggi di antara kanak-kanak
yang lain, maka ia akan diberikan penghargaan seperti pujian dan juga tepukan daripada kanak-kanak yang lain.
Dengan penghargaan dan pujian yang begitu besar kepada kanak-kanak akan membuka hati mereka untuk
beribadah dan berjuang di jalan Allah s.w.t. Adakalanya juga, pemberian ganjaran seperti hadiah juga dilakukan.

PENUTUP
Rasulullah s.a.w telah mendidik sahabat-sahabat dalam berinteraksi dengan kanak-kanak. Sikap Rasulullah
s.a.w terhadap kanak-kanak menjadi puncak peradaban kepada manusia. Ini jelas di lihat melalui kelembutan,
cinta dan kasih sayang yang luar biasa seperti ditunjukkan baginda s.a.w setiap kali bertemu kanak-kanak,
baginda s.a.w sentiasa tersenyum dengan raut wajah yang cerah. Teknik interaksi rasulullah patut dicontohi dan
perlu diaplikasikan dalam kehidupan umat Islam. Tadika ABS Nasyrah telah mengaplikasikan interaksi tersebut
dalam mendidik kanak-kanak contohnya berlemah-lembut, bermain dengan kanak-kanak, mengusap kepala,
memberi pujian dan ganjaran kepada mereka, memanggil dengan panggilan yang baik, memberikan ganjaran
kepada kanak-kanak. Ganjaran yang diberikan bukanlah ganjaran yang berbentuk materialistik akan tetapi
ganjaran yang berbentuk pujian yang dapat memberikan kepuasan hati kepada diri kanak-kanak dan

sebagainya. Apabila berinteraksi dengan baik terhadap kanak-kanak, maka kanak-kanak dapat mengikut acuan
yang dikehendaki oleh Islam. Mudah-mudahan mereka dapat dibentuk menjadi generasi terbaik.

RUJUKAN

Abd Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi Nik Yusuf. 2010. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan
Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia: Selangor. Hlm. 46.
‘Aidh Abdullah Al-Qarni. 2007. Petunjuk Berdakwah Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: Jasmine Enterprise.
Hlm 19.
Harun Arrasyid Haji Tuskan. 2014. Indahnya Cinta Rasulullah. Shah Alam Selangor Darul Ehsan, Group Buku
Karangkraf Sdn.Bhd. Hlm. 243.
Hidayahtul Ahmad Al-Syas. 2007. Ensiklopedi Pendidikan Anak Muslim. Jakarta. Hlm. 217-218.
Marinasari Fithry Hasibuan. 2014. Nama dan Peranannya dalam Pendidikan Anak dan Keluarga. Widyaiswara
Pembina Keluarga Sakinah Balai Diklat Keagamaan. Medan. Hlm. 5.
Pengenalan Tadika ABS.Http://www.Tadika ABS.Com.My. 10 Mac.
Sharifah Nor Puteh. 2011. Pendekatan Bermain Dalam Pengajaran Bahasa dan Literasi Bagi Pendidikan
Prasekolah. Universiti Kebangsaan Malaysia. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. Hlm. 1.
Tadika ABS Nasyrah. Http://www.Tadika ABS.Com.My. 11 Mac 2015.
Temubual Bersama Puan Hasmahwati binti Hassan. Guru Di Tadika ABS Nasyrah. Pada 13 Februari 2015. Jam
1.30 Petang.
Temubual Bersama Puan Maimun binti Mamu. Guru Di Tadika ABS Nasyrah. Pada 13 Februari 2015. Jam 8.30
Pagi.
Temubual Bersama Puan Siti Nor Hidayah. Guru Di Tadika ABS Nasyrah. Pada 13 Februari 2015. Jam 2.00
Petang.