KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI DALAM BAH

KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI DALAM BAHASA MELAYU:
PERANAN GURU
Yahya Othman
PENDAHULUAN
Berfikir merupakan satu proses mental atau aktiviti mental untuk mencari
makna. Proses ini penting dalam pengajaran dan pembelajaran yang
menekankan

kemahiran

berfikir

sebagai

teras

kepada

pembelajaran

(McGregor 2007). Dalam konteks pendidikan di Malaysia, penerapan

kemahiran berfikir dikaitkan dengan satu proses menggunakan minda sama
ada

mencari

makna

dan

pemahaman

terhadap

sesuatu,

membuat

pertimbangan dan keputusan, atau menyelesaikan masalah.
Kini, menguasai dan mengamalkan kemahiran berfikir penting dalam
merealisasikan harapan negara untuk membentuk insan yang berkualiti dan

seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Hasrat Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (2013-2025) juga menggariskan usaha untuk membina rupa bangsa
yang memiliki daya saing yang tinggi melalui pendidikan berasaskan
pemikiran tinggi melalui pendidikan yang diterima di sekolah.
Usaha secara berterusan untuk menyediakan murid yang berfikiran
aras tinggi telah dijalankan sejak Sekolah Bestari diperkenalkan. Hingga kini
inisiatif tersebut masih diberikan penekanan dalam usaha untuk mencapai
tahap berfikir yang memungkinkan murid dapat bersaing dalam dunia global
yang

semakin

mencabar.

Aspek

kemahiran

berfikir


semasa

mula

diperkenalkan lebih menumpukan perhatian kepada penguasaan kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif dalam pembelajaran. Disebabkan keperluan
pendidikan semasa yang lebih kompleks dan bersifat kompetitif, maka kini
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diberikan tumpuan pelaksanaannya
untuk direalisasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.
KBAT diaplikasikan dalam sistem pendidikan bagi menggerakkan
potensi minda murid untuk menangani cabaran baru. Melalui KBAT, murid
dapat

memahami,

menterjemah,

menganalisis


dan

memanipulasikan
1

maklumat dengan lebih berkesan. Murid perlu mengalami sendiri proses
berfikir secara heuristik di dalam pembelajaran atau penemuan sendiri secara
terbimbing melalui KBAT.

Untuk mengaplikasikan KBAT, guru perlu

menyesuaikan pendekatan dan strategi yang hendak diguna pakai semasa
pengajaran dan pembelajaran.
KBAT DALAM BAHASA MELAYU: PERANAN GURU
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM), faktor
penting

untuk

merealisasikan


KBAT

ialah

keupayaan

memindahkan

kemahiran yang sudah dipelajari di dalam BM kepada situasi komunikasi
dalam kehidupan seharian. Dalam situasi sedemikian, kualiti murid dalam
berbahasa dapat diukur bukan sahaja kepetahannya bertutur atau menulis
tetapi juga melalui kualiti pemikirannya semasa berbahasa. Dalam konteks
ini, pengajaran BM yang melibatkan penguasaan kemahiran berbahasa
memerlukan pelajar dapat menggunakannya secara berkesan.
Guru sebagai penggerak pemikiran murid perlu memastikan KBAT
dikuasai agar dapat meningkatkan keupayaan mempelajari bahasa. Melalui
KBAT, murid dapat mengawal, menentukan arah dan mengukur kemajuan
pelajaran mereka. Aspek kognitif yang mendasari kemampuan murid boleh
dilakukan melalui pengajaran dan pembelajaran BM. Berdasarkan sukatan

pelajaran, objektif pengajaran BM mengunjurkan agar murid bukan sahaja
dapat

menguasai

kemahiran

pembelajaran secara kendiri.

berbahasa

tetapi

mampu

menguasai

Untuk mencapai tahap berbahasa yang

kompeten, guru perlu menyediakan situasi pembelajaran yang lebih kondusif

dan mencabar agar pembelajaran BM tidak dilihat sebagai mata pelajaran
yang membosankan.
Dalam kerangka peranan guru, mereka perlu memastikan murid dapat
menggunakan pengetahuan, kemahiran dan bersikap positif terhadap
cabaran kritis pendidikan yang dihadapi kini. Dalam aspek kemahiran
berbahasa, menjadi keutamaan kepada guru untuk memastikan murid dapat
menguasai kandungan ilmu bahasa di samping aspek penggunaannya dalam
berkomunikasi. Bagi memastikan ilmu bahasa dapat diterjemahkan semasa
2

berkomunikasi secara berkesan, guru perlu merancang pengajaran dengan
memberikan penekanan kepada strategi berfikir agar penguasaan ilmu
bahasa dapat dikuasai dengan lebih berkesan.
Dalam konteks pelaksanaan KBAT, guru perlu mahir mengasimilasikan
kemahiran tersebut dengan keperluan kurikulum BM. Untuk tujuan tersebut,
murid perlu didedahkan dengan aktiviti

pemikiran aras tinggi seperti

membanding, menganalisis dan membuat inferens agar murid berupaya

meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan pembelajaran.
KBAT dalam kemahiran lisan
Berdasarkan kurikulum BM, kemahiran lisan dianggap penting terutama
dalam konteks menyediakan murid berkomunikasi secara interpersonal sama
ada secara rasmi mahupun tidak rasmi. Disebabkan kemahiran ini kurang
ditekankan terutamanya dalam pentaksiran bahasa, maka sering kemahiran
ini diabaikan.

Mungkin ada yang beranggapan murid boleh menguasai

kemahiran lisan walaupun tidak diajar secara formal. Pandangan seperti ini
jika dibiarkan boleh memberi implikasi terhadap kebolehan berkomunikasi
murid terutama apabila mereka berada dalam lingkungan kehidupan yang
sebenar. Oleh itu, guru BM berperanan agar kemahiran tersebut dapat
diajarkan bukan hanya untuk tujuan keperluan mematuhi kurikulum tetapi juga
dapat menguasai maklumat dengan berkesan.
Bagi memastikan murid mampu berkomunikasi menggunakan KBAT,
maka guru boleh melaksanakan aktiviti lisan dengan menyediakan bahan dan
tugasan yang mencabar minda mereka. Contohnya dengan melaksanakan
aktiviti main peranan dan simulasi bahasa,


guru perlu memberi peluang

kepada murid merancang aktiviti kreatif sama ada secara berkumpulan
ataupun individu.

Walau bagaimanapun, terdapat kelompok murid yang

sememangnya memiliki kebolehan yang terbatas terutamanya dalam
berkomunikasi interpersonal.

Hal ini boleh membataskan keupayaannya

mereka untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang akan
dalam aktiviti kehidupan seharian.
Sehubungan dengan itu, pemilihan aktiviti lisan yang sesuai dengan
kebolehan dan minat murid boleh membantu mengurangkan masalah kurang
3

daya fikir yang lemah dalam pembelajaran. Sering berlaku apabila menjawab

soalan pada aras tinggi, murid yang lemah terabai disebabkan mereka tidak
mampu menjawabnya. Dalam hal ini, guru boleh mengadakan sesi soal
jawab

secara

terancang

dengan

merendahkan

tahap

soalan

yang

dikemukakan. Apabila mereka telah menguasai soalan aras rendah dengan
baik, guru boleh mempertingkatkan tahap berfikir dengan mengemukakan

soalan yang lebih mencabar.
KBAT dalam kemahiran membaca
Dalam pengajaran membaca teks untuk tujuan pemahaman, guru perlu
menyediakan bahan yang boleh membantu murid membaca secara kritis.
Misalnya melalui teks jenis fakta atau naratif, pemikiran kritis murid dapat
dijana dengan meminta murid membaca dan melakukan analisis kandungan
teks. Murid ditugaskan berfikiran kritis dengan meminta mereka membuat
perbandingan isi kandungan jika teks yang dibaca dari jenis perbincangan.
Bagi teks berbentuk naratif, aktiviti berfikiran kreatif dapat diwujudkan melalui
latihan membuat peleraian plot yang memerlukan murid merangka penutup
cerita yang lebih menarik seperti menonjolkan kejadian yang tidak dijangka
boleh berlaku.
Pelaksanaan kemahiran berfikir dalam BM juga menyasarkan agar murid
dapat menggunakan pengetahuan yang telah dipelajari dengan lebih
produktif.

Dalam

konteks

kemahiran

membaca,

kebolehan

murid

menggunakan pengetahuan lalu sangat penting bagi memastikan mereka
mampu berfikiran secara kritis apabila membaca teks.

Bagi teks jenis

hujahan, murid perlu mahir menganalisis hujah yang terdapat di dalam teks
di samping dapat membuat penilaian terhadap teks tersebut.

Untuk

memastikan kemahiran berfikir yang memerlukan pelajar menganalisis dan
membuat jangkaan terhadap plot teks jenis naratif pula, guru BM bukan
hanya perlu menyediakan bahan bacaan yang mencabar tetapi perlu
mendedahkan strategi membaca kritis agar aktiviti membaca berkesan.
Untuk memastikan proses berfikir aras tinggi dapat dilaksanakan secara
berkesan di dalam pengajaran dan pembelajaran BM, guru BM perlu
menguasai aspek metakognitif. Strategi metakognitif merujuk kepada cara
4

untuk meningkatkan kesedaran proses berfikir dan pembelajaran yang
berlaku.

Melalui strategi ini, murid dapat membuat refleksi terhadap

maklumat yang diperoleh sama ada semasa aktiviti lisan, membaca, dan
menulis. Dalam konteks kemahiran membaca, murid dapat difokuskan
pemikirannya terutama dalam menetapkan tahap pemahaman masingmasing apabila melalui proses membaca.

Begitu juga dengan aktiviti

kemahiran menulis, murid juga dapat melakarkan maklumat yang ingin ditulis
secara jelas melalui amalan refleksi

Penelitian terhadap kemahiran membaca adalah rumit kerana
melibatkan aktiviti kognitif. Membaca bukan sekadar membunyikan tulisan
yang tertera di dalam teks tetapi melibatkan aktiviti berfikir, psikolinguistik dan
metakognitif (Farida Rahim, 2007). Yahya Othman (2005) menyatakan
bahawa metakognitif dalam aktiviti membaca melibatkan kebiasaan kendiri
murid dalam merancang, kecekapan memantau, menguji, membuat semakan
dan menilai strategi yang digunakan. Tiga cara yang sering digunakan untuk
mengukur strategi metakognitif murid membaca iaitu aktiviti pemantauan,
penilaian dan peraturan. Dalam hal ini, guru dapat merangka strategi
pengajaran yang sesuai dengan matlamat kemahiran membaca.
Membaca

merupakan

proses

mendapatkan

maklumat

dan

pengetahuan bagi tujuan membentuk makna. Pembaca yang efektif akan
menggunakan beberapa strategi membaca yang sesuai untuk mendapatkan
makna semasa membaca. Salah satu strategi yang boleh digunakan ialah
strategi metakognitif. Sehubungan itu, membaca menggunakan strategi
metakognitif

memerlukan

pembaca

melalui

beberapa

proses

seperti

merancang, memeriksa, menaksir, memahami, memantau, dan menaakul.
Kajian Mokhtari dan Reichard (2002) mendapati pembaca yang cekap
menggunakan

5

KBAT dalam kemahiran menulis

Strategi metakognitif membantu pelajar menguruskan proses pembelajaran
mereka seperti menetapkan matlamat pembelajaran, merancang, memantau
dan menilai proses dan hasil pembelajaran mereka. Strategi metakognitif
disifatkan sebagai satu strategi pembelajaran yang dimulakan dengan
penetapan objektif pembelajaran (Thiede, Anderson, & Therriault, 2003),
menggunakan pelbagai sumber maklumat, mengesan darjah keberkesanan
proses pembelajaran, dan berakhir apabila pelajar telah menguasai dan
mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan (Sahlan, Shalinawati &
Saemah, 2013).
Dalam konteks kemahiran bahasa, kemahiran bahasa yang penting
dan sesuai dengan perkembangan kemahiran membaca dan berfikir (Kozlow
& Bellamy, 2004). Aktiviti penulisan melibatkan aktiviti berfikir aras tinggi yang
kompleks yang memerlukan imaginasi perasaan, tahap minda, cita rasa dan
tahap kognitif penulisnya.

Hal ini menggambarkan menulis sebagai satu

kemahiran berbahasa yang paling sukar dilakukan. Beyer (1988) pula
menyatakan bahawa proses berfikir mempunyai hubungan yang rapat dengan
kecenderungan dan kesanggupan seseorang untuk terlibat dalam aktiviti
menulis.
Berdasarkan kajian lalu, aktiviti berfikir aras tinggi yang melibatkan
pemikiran metakognitif dapat meningkatkan prestasi pelajar terutamanya
dalam menulis. Tomlinson dan McTighe (2006) menyatakan bahawa pelajar
yang menggunakan strategi metakognitif merupakan pelajar yang efektif. Hal
ini demikian kerana strategi metakognitif membantu pelajar mengawal proses
pembelajaran mereka. Dapatan kajian Yahya Othman dan Maszuraimah
Muizz (2013) juga menunjukkan strategi metakognitif dapat membantu
meningkatkan kemahiran berfikir murid semasa aktiviti menulis.
Kemahiran menulis pula merupakan kemahiran penting untuk dikuasai
oleh murid pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Pada peringkat
sekolah rendah, mereka perlu memiliki daya pengecaman dan menulis huruf

6

hinggalah mampu membina ayat. Di samping itu, kemahiran menulis juga
murid bukan sahaja mampu menukilkan idea yang tersimpan dalam
pemikirannya tetapi juga perlu mampu mengorganisasikan idea tersebut agar
dapat diterjemahkan dalam wacana yang dapat difahami pembaca.
Bagi

memastikan

pelajar

dapat

mengaplikasikan

KBAT

dalam

kemahiran menulis, guru perlu mampu mewujudkan persekitaran menulis
yang kondusif.

Pengaruh iklim pembelajaran yang selesa tanpa tekanan

mampu memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara terencana.
Berikan murid peluang untuk menyampai, memperincikan idea, menganalisis
maklumat, serta menyatakan pandangan dengan lancar. Untuk memastikan
kelancaran dalam penghasilan sesuatu hasil penulisan, guru BM berperanan
mencungkil, memantapkan serta menjadikan idea yang difikirkan terjelma
dalam bentuk tulisan yang bukan sahaja boleh dibaca malahan boleh
memberi kesan sama ada secara eksplisit mahupun intrinsik. Oleh itu, bagi
memastikan murid menguasai kemahiran menulis dengan baik, KBAT boleh
digunakan melalui pedagogi yang terancang dengan baik. Guru BM perlu
mahir menulis dan dapat mempamerkan kemahiran tersebut kepada murid.
Di samping itu, dengan menggunakan pengurusan grafik yang baik, penulisan
karangan boleh menjadi lebih baik kualitinya.
Sehubungan dengan itu, persekitaran pembelajaran yang disediakan
juga tidak mampu untuk merangsang pemikiran murid menghasilkan
penulisan yang baik.

Kesan persekitaran, pengalaman lalu murid, minat

terhadap menulis, dorongan menulis dan strategi menulis yang didedahkan
oleh guru sangat menyumbang kepada kualiti penulisan yang diharapkan.
Bagi memastikan aspek sistem bahasa dapat dikuasai dengan
berkesan, guru boleh melakukan beberapa aktiviti yang mampu mendorong
murid berfikiran lebih kritis. Untuk menguasai konsep dan peraturan sistem
bahasa yang perlu dikuasai oleh murid, pemilihan aktiviti belajar perlu
diberikan keutamaan. Guru perlu berperanan mengemukakan soalan yang
dapat membantu murid kuasai kandungan sistem bahasa tanpa menghafal
peraturan yang ada. Di samping mengemukakan soalan secara terancang
untuk memahirkan KBAT, guru juga perlu memastikan aspek sistem bahasa
diaplikasikan untuk menguasai kemahiran bahasa yang lain.

7

Strategi belajar BM
Dalam konteks pengajaran BM, guru perlu mahir memilih strategi belajar yang
boleh diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa. Jika dianalisis kandungan
sukatan pelajaran BM, terdapat banyak hasil pembelajaran yang disenaraikan
memberi peluang kepada pelajar menguasai strategi belajar melalui
kemahiran bahasa.

Contohnya dalam kemahiran lisan, membaca, dan

menulis banyak subkemahiran yang disenaraikan mampu membantu pelajar
menguasai strategi belajar yang boleh meningkatkan prestasi akademik
dalam mata pelajaran lain. Oleh itu, guru BM berperanan menterjemahkan
hasil pembelajaran itu dalam bentuk aktiviti KBAT yang boleh digunakan oleh
murid semasa mempelajari mata pelajaran yang lain. Melalui aktiviti ini juga
guru mengharapkan murid meningkatkan peningkatan daya fikiran mereka.
Kemahiran menyoal
Kemahiran berfikir boleh diajar secara langsung atau tidak langsung
bergantung pada objektif pengajaran yang ingin dicapai semasa proses
belajar berlangsung.

Strategi menggunakan soalan yang terancang

memerlukan guru BM yang mahir dalam hal tersebut. Soalan berbentuk
terbuka perlu selalu dikemukakan dalam aktiviti lisan, membaca dan menulis.
Kelebihan soalan bentuk ini mampu menjana pemikiran murid semasa
menjawab soalan. Di samping menentukan bentuk soalan, guru juga perlu
mahir dalam teknik menyoal.

Menggunakan lingkaran soalan merupakan

cara yang baik bagi mengaitkan antara soalan-soalan yang akan disoal.
Teknik menyoal merupakan satu keperluan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran BM. Menyoal dapat memotivasikan murid, menggalakkan
pelajar berfikir dan menyatakan respons berdasarkan aktiviti lisan, membaca
dan menulis. Walau bagaimanapun, kajian-kajian lalu mendapati guru BM
kurang mahir dalam mengendalikan teknik menyoal.

Kebanyakan soalan

yang dikemukakan hanya pada aras rendah dan hal ini memberi kesan
terhadap kualiti pemikiran murid (Yahya Othman, 2003).

8

Kaedah perbincangan
Untuk memberikan respons terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang
dikemukakan semasa mempelajari bahasa, guru bahasa boleh menggunakan
kaedah perbincangan untuk meningkatkan kualiti berfikir murid. Agak sukar
untuk membangkitkan suasana berbincang dalam bilik darjah jika guru tidak
memainkan peranan sebagai pemudah cara. Oleh itu, guru perlu mahir
mengendalikan sesi perbincangan sama ada dijalankan dalam kumpulan kecil
mahupun menggunakan kaedah kelas yang memerlukan penglibatan murid
secara menyeluruh. Tajuk perbincangan yang diberikan kepada murid perlu
menarik perhatian dan memudahkan aliran idea dikeluarkan dari pemikiran
mereka.

Contohnya

dalam

aktiviti

menulis

karangan,

guru

boleh

mendapatkan respons murid berdasarkan tajuk atau tema karangan yang
diajukan melalui perbincangan.
Alat pengurusan grafik
Alat pengurusan grafik pula boleh digunakan oleh guru BM dengan tujuan
untuk memudahkan memahami sesuatu konsep.

Pemetaan konsep

menggunakan i-Think juga dapat membantu murid dalam meningkatkan
kemahiran berfikir aras tinggi. Jika dibandingkan dengan pernyataan sesuatu
konsep yang dibuat dengan cara huraian secara linear, pengurusan grafik
didapati membantu murid menguasai sesuatu topik secara lebih bersistem.
Hal ini disebabkan pengurusan grafik dalam pembelajaran mementingkan
penggunaan bentuk ilustrasi atau lakaran. Dalam kemahiran membaca, alat
pengurusan grafik digunakan untuk membantu dan mengurus cara berfikir
yang lebih tersusun dengan tujuan memantapkan pemikiran selepas
membaca teks. Pengurusan grafik dapat menggambarkan secara mudah dan
jelas tentang sesuatu idea atau perkara dengan hubungannya dalam
pembacaan dengan aspek-aspek yang berkaitan.

9

Kaedah penyelesaian masalah
Kaedah penyelesaian masalah juga diperkenalkan dalam pengajaran dan
pembelajaran BM untuk tujuan meningkatkan KBAT. Kaedah ini merupakan
usaha dalam bentuk proses kognitif dengan maklumat digunakan sebagai
usaha untuk mencari cara yang sesuai bagi mencapai sesuatu matlamat.
Oleh itu, guru BM perlu mahir dalam mengembangkan pelbagai langkah
penyelesaian kepada murid supaya menggalakkan mereka menggunakan
unsur kognitif yang melibatkan proses penaakulan, pembinaan konsep,
penilaian dan penyelesaian masalah (Yahya Othman, 2003). Langkah yang
paling asas dan penting bagi membolehkan penyelesaian masalah ialah
perlunya banyak pengalaman yang berbentuk konsep dan prinsip tentang
pelbagai hal. Murid

sepatutnya digalakkan menyatakan pendapat mereka

dan pendapat tersebut dihargai demi menggalakkan murid menggunakan
kemahiran berfikir semaksimum yang mungkin.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, aplikasi KBAT dalam pengajaran BM mampu membantu
murid berfikir secara lebih mendalam, konsisten, produktif dan berkesan. BM
sebagai mata pelajaran teras dalam kurikulum pendidikan memerlukan usaha
guru yang tekal dengan sentiasa memikirkan unsur kreativiti dan inovasi
dalam menyampaikan kandungan pelajaran. Penggunaan aplikasi teknologi
maklumat dan komunikasi juga dapat dimanipulasikan dalam pengajaran BM
agar akses yang diperoleh dalam dunia tanpa sempadan dapat dimanfaatkan
oleh guru. Peranan guru BM juga perlu selaras dengan hasrat dan usaha
Kementerian

Pendidikan

yang

telah

merancang

anjakan

dalam

meningkatkan mutu penguasaan BM. Usaha yang berterusan dan peranan
yang perlu dimainkan oleh guru BM terutama dalam meningkatkan KBAT
melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu bagi memastikan objektif
kurikulum BM dapat dicapai. Peranan guru BM bukan setakat menyampaikan
pengajaran BM seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran, tetapi
juga menuntut mereka berperanan sebagai penggerak dan pembuka minda
dalam memikirkan unsur yang tersirat di dalamnya.
10

RUJUKAN
Beyer, B. K. (1988). Developing thinking skill program. New York: Allyn &
Bacon, Inc.
Farida Rahim (2007) . Pengajaran membaca di sekolah dasar. Jakarta: PT
Bumi Aksara
Kozlow, M. & Bellamy, P. (2004). Experimental study on the impact of the 6+1
trait ® writing model on student achievement in writing. Oregon: Northwest
Regional Educational Laboratory.
Thiede, K.W., Anderson, M.C. & Therriault, D. (2003). Accuracy of
metacognitive monitoring affects learning of texts. Journal of Educational
Psychology, 95: 66-73.
Tomlinson, C.A. & Mctighe, J. (2006). Integrating differentiated instruction and
understanding by design. Alexandria: Association for Supervision and
Curriculum Development.
McGregor. D. 2007. Developing thinking developing learning: A guide to
thinking skill in education. New York: McGraw Hill
Yahya Othman (2003). Pelaksanaan kemahiran berfikir dalam pengajaran
Bahasa Melayu. Jurnal Bahasa. 3 (1), 136-159
Yahya Othman(2005). Trend dalam pengajaran Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: PTS Publication
Yahya Othman & Maszuraimah. (2013). Aplikasi strategi kesedaran metakognitif semasa membacan teks moden dan klasik dalam kalangan murid
prauniversiti. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 3 (1): 61-71.
Sahlan Surat, Shalinawati Ramli & Saemah Rahman (2013) Sumbangan
elemen metakognitif terhadap pencapaian penulisan karangan. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu,

3(2) :79-91

Sharifah Nor Putih, Nor Adibah Ghazali, Mohd Mahzan Tamyiz & Aliza Ali
(2012). Keprihatinan guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2( 2 ):

19-31

11