KEBERKESANAN PROGRAM DAN AKTIVITI PROMOS

KEBERKESANAN PROGRAM DAN AKTIVITI PROMOSI DI KOLEJ
KOMUNITI JASIN 2015

WIDA YANTI BINTI MOHAMMAD ZEN UMAR
KOLEJ KOMUNTI JASIN
widamzu@gmail.com
ZAINI BIN HAJI AHMAD
KOLEJ KOMUNTI JASIN
zainiahmad25@yahoo.com

ROSLINDA BINTI OSMAN
KOLEJ KOMUNTI JASIN
kasihdhirah@yahoo.com

Abstrak
Bidang promosi dan pengiklanan merupakan salah satu komponen penting dalam pengurusan
sesebuah institusi pendidikan tinggi seperti universiti, kolej universiti, politeknik dan kolej
komuniti. Setiap institusi mempunyai pengurusan promosi dan pengiklanan tersendiri bagi
mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Penulisan ini bertujuan untuk menilai keberkesanan
program dan aktiviti promosi pengambilan pelajar baru yang telah dijalankan di Kolej Komuniti
Jasin sepanjang tahun 2015. Di samping itu juga ingin membantu pengurusan Kolej Komuniti

Jasin (KKJS) bagi menilai sejauhmana kekuatan, kelemahan dan halangan yang berlaku semasa
perlaksanaan program dan aktiviti promosi yang telah dijalankan. Beberapa cadangan serta
penambahbaikan dibincangkan dalam penulisan ini bagi memastikan segala program dan aktiviti
promosi pengambilan pelajar baru KKJS berjaya meningkatkan bilangan pelajar. Amat penting
bagi meningkatkan pengurusan promosi dan pengiklanan KKJS agar sentiasa relevan dengan
perkembangan terkini dunia pendidikan tinggi serta dunia media baru pengiklanan, promosi dan
pemasaran.

Kata kunci : Keberkesanan, Program dan aktiviti promosi, Kolej Komuniti Jasin

Pendahuluan
Robert F. Hartley (1983) mendefinasikan promosi sebagai satu usaha komunikasi
pemasaran produk, perkhidmatan, individu, organisasi atau idea dengan matlamat untuk
mengubah sikap dan kelakuan pengguna atau pembeli sasaran. Manakala menurut pandangan
Kotler P. (1993), menyatakan bahawa promosi adalah satu inisiatif komunikasi yang perlu wujud
antara pengeluar dan pengguna mereka. Menurut Hamid (2002), promosi didefinasikan sebagai
koleksi komunikasi peribadi dan bukan peribadi yang digunakan oleh sesebuah firma dengan
menyatakan kelebihan produk dan memujuk pembeli untuk membelinya. Bagi Mohd Farid
(2010) pula, objektif utama seseuatu promosi adalah untuk meningkatkan sesebuah organisasi
atau syarikat. Ia selari dengan kajian oleh Robert F. Hartley (1983) bahawa peranan promosi

adalah untuk mewujudkan permintaan dan seterusnya meningkatkan jualan.
Oleh itu, bidang promosi dan pengiklanan ini berperanan membantu memperkenalkan dan
menyalurkan maklumat berhubung sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) kepada golongan
sasaran dan khalayak umum. Maklumat yang disalurkan meliputi beberapa peluang seperti
kemasukan pelajar, kerjaya, tender dan projek, kursus serta peluang mendapatkan dana tajaan.
Golongan sasaran pula meliputi pelajar lepasan SPM, sekolah dan universiti, ahli perniagaan dan
akademik, golongan profesional, penganggur, kakitangan kerajaan serta swasta.
Aktiviti promosi dan pengiklanan yang dibuat oleh sesebuah institusi pengajian tinggi
(IPT) biasanya merujuk kepada tujuan atau objektif utama yang ingin dicapai oleh institusi
tersebut. Sebagai contoh, sekiranya sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ingin membuat
promosi pengambilan pelajar baru, maka konsep, ciri, rekabentuk iklan, belanjawan dan
pendekatan promosi tersebut mestilah bersesuaian dengan golongan yang disasarkan iaitu para
pelajar lepasan SPM. Begitu juga, sekiranya sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu ingin
mengadakan promosi iklan berkaitan dengan peluang kerjaya yang ingin ditawarkan oleh IPT
tersebut, maka konsep, ciri, rekabentuk iklan, belanjawan dan pendekatan promosi tersebut
mestilah bersesuaian dengan golongan yang disasarkan iaitu golongan pencari pekerjaan.

Pengenalan
Kolej Komuniti Jasin merupakan salah sebuah institusi pengajian yang ditubuhkan oleh
kerajaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan keperluan dan kemahiran pada

semua peringkat umur dan memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum ke
pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Secara amnya kolej ini menawarkan dua jenis kursus iaitu kursus sepenuh masa untuk
lepasan SPM dan juga kursus pendek untuk masyarakat umum. Bagi kursus sepenuh masa,
program-program yang ditawarkan adalah Sijil Multimedia Pengiklanan, Sijil Pelukis Pelan
Senibina, Sijil Sistem Komputer dan Sijil Pengoperasian Perniagaan. Kursus di peringkat sijil ini
ditawarkan selama 1 tahun 4 bulan dijangka mampu untuk memberi peluang kepada lepasan
SPM untuk meneruskan pengajian dalam bidang-bidang kemahiran. Bagi kursus pendek pula,
kursus masakan, fotografi, komputer, biskut, menjahit baju, roti, urutan refleksiologi dan
sebagainya ditawarkan kepada semua golongan masyarakat bagi memberi peluang kepada
mereka untuk meningkatkan kemahiran ataupun bagi membina peluang-peluang perniagaan di
masa depan.
Justeru, dalam memastikan kemasukan pelajar yang ramai dan konsisten pada setiap sesi
pengajian, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan Kolej Komuniti Jasin untuk
menggerakkan usaha-usaha promosi dan pengiklanan bagi menarik sejumlah pelajar yang
berpotensi untuk meneruskan pengajian mereka di kolej ini. Sehubungan dengan itu, pelbagai
program dan aktiviti promosi telah diatur bagi mempromosikan kursus-kursus sepenuh masa dan
kursus pendek bagi menarik bakal-bakal pelajar ke Kolej Komuniti Jasin. Antara program dan
aktiviti promosi yang telah dijalankan adalah lawatan pelajar-pelajar sekolah, program bersama
peserta PLKN, karnival institusi pengajian tinggi (IPT), promosi ke sekolah-sekolah menengah

terpilih, progam Gerak Gempur Pengambilan Pelajar, promosi sempena Hari Kurikulum
Sekolah, promosi sempena hari Sukan Negara, promosi di RTM dan suratkhabar, program
bersama anjuran agensi kerajaan dan sebagainya.

Penyataan Masalah
Dalam usaha mempromosikan Kolej Komuniti Jasin sebagai destinasi pilihan utama
pelajar dalam bidang kemahiran, sudah tentulah banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi
semasa proses perancangan dan perlaksanaan sesuatu program atau akiviti promosi. Antara
cabaran dan dugaan yang dihadapi termasuklah berkaitan aspek kewangan, prosedur dan
peraturan syarikat serta agensi kerajaan yang terbabit, karenah birokrasi pegawai, kesesuaian
masa serta lokasi, sambutan masyarakat, kerjasama kakitangan yang terlibat dan sebagainya.
Justeru, satu inisiatif untuk mengkaji dan mengukur tahap keberkesanan program dan
aktiviti promosi di peringkat Kolej Komuniti Jasin wajar diadakan. Ini bagi memastikan pihak
pengurusan kolej dan unit hal-hal pelajar, unit penerangan dan unit promosi dapat mengambil
daya usaha untuk menambahbaik semua kelemahan dan kekurangan yang berlaku dalam aktiviti
promosi yang dilakukan selama ini. Disamping itu juga, melalui penulisan ini, secara tidak
langsung pengurusan kolej dapat mempelajari kaedah dan strategi promosi institusi-institusi
pengajian yang lain dalam menarik bakal pelajar masing-masing.

Objektif

1. Menilai keberkesanan program dan aktiviti promosi yang dijalankan oleh Kolej Komuniti
Jasin
2. Menilai kepekaan dan kesedaran masyarakat terhadap program dan aktiviti promosi yang
dijalankan oleh Kolej Komuniti Jasin
3. Mencadangkan kaedah dan strategi promosi yang lebih sesuai dengan keperluan semasa
pada masa-masa akan datang untuk pengambilan pelajar baru

Kajian Literatur
Menerusi kajian oleh Mohd Mustafa dan rakan-rakan (2007) berkaitan tahap
keberkesanan program dan aktiviti promosi Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), mereka
mendapati bahawa aktiviti promosi yang dijalankan oleh universiti terbabit pada dasarnya
berjalan dengan baik dan lancar namun kaedah promosi dan kumpulan sasaran yang ditujukan
perlu diambilkira dan ditambahbaik bagi memastikan ia benar-benar berkesan pada masa depan.
Mereka juga menekankan tentang perlunya kaedah promosi dipelbagaikan terutama yang
melibatkan penggunaan internet dan media elektronik. Selain itu, pusat-pusat pengajian dan
unit-unit lain berada di bawah kawalan universiti juga perlu menjadi “back-up” kepada unit
promosi universiti supaya sama-sama berganding bahu dalam mempromosikan program dan
kepakaran masing-masing agar ia boleh memberi nilai tambah kepada daya tarikan universiti
terhadap bakal-bakal pelajar mereka nanti.
Dalam konteks institusi kemahiran, kajian oleh Norhayati dan Intan Junizah (2014)

mendapati bahawa kaedah promosi yang mendapat rating yang tinggi adalah menerusi media
elektronik. Ini diikuti oleh media cetak, pameran dan sebagainya. Dalam konteks hari ini, media
elektronik bukan lagi berfokuskan tv dan radio sahaja, bahkan media elektronik pada masa kini
sudah melangkaui sempadan teknologi dunia media sosial seperti facebook, telegram, whatsapp,
website dan seumpamanya yang berlatarbelakangkan penggunaan telefon pintar. Seterusnya,

kajian tersebut juga mendapati para pemohon untuk kemasukan ke kolej komuniti juga semakin
menggemari penggunaan permohononan secara atas talian atau “online”.
Menurut Goldgen (1989), ada kajian yang menunjukkan bahawa terdapat sebahagian
pelajar yang memilih institusi pengajian tinggi seperti universiti dan kolej melalui pengaruh iklan
dan promosi yang dijalankan oleh sesebuah IPT secara aktif dan agresif. Selanjutnya, menurut
kajian oleh Norziha (2006), melalui pengaruh iklan dan promosi yang dibuat secara aktif dan
agresif ini, bakal-bakal pelajar boleh tertarik dengan informasi yang diiklan oleh IPT terbabit.
Kesannya, bakal-bakal pelajar boleh terpedaya dengan kandungan iklan terbabit jika mereka
tidak berhati-hati dan meneliti maklumat-maklumat yang diterima dengan terperinci. Kesannya,
mereka berkemungkinan boleh tersilap dalam memilih bidang dan jenis IPT yang dikehendaki.

Metodologi
Kaedah tinjauan dengan mengedarkan satu set borang soal selidik telah digunakan untuk
mengumpul data. Soal selidik yang dikemukakan menggunakan skala Likert. Soal selidik ini

mengandungi 12 soalan utama yang berkaitan dengan tahap keberkesanan program dan aktiviti
promosi di Kolej Komuniti Jasin. Data yang telah dikumpulkan dan dianalisis menggunakan
perisian Microsoft Excel 2010.

Perbincangan
Berdasarkan analisa data, didapati bahawa rata-rata reponden yang menjawab kajiselidik
ini adalah terdiri dari 70 orang golongan belia yang berumur antara 18 hingga 29 tahun. 48.6%
dari mereka adalah lelaki manakala 51.4% lagi adalah wanita. Kaum Melayu mencatatkan 90%
dari responden manakala kaum India pula mencatatkan sebanyak 10% responden.
Sebanyak 8.6% responden mengakui bahawa mereka sangat mengetahui tentang aktiviti
promosi Kolej Komuniti Jasin manakala sebanyak 78.6% pula mereka mengetahui tentang
aktiviti promosi kolej dan hanya 14.3% lagi mengatakan mereka tidak mengetahui langsung
tentang aktiviti promosi Kolej Komuniti Jasin. (Sila rujuk Rajah 1)
Tahap Pengetahuan Responden Terhadap Aktiviti
Promosi KKJS
Sangat Mengetahui

Mengetahui

Tidak Mengetahui


78.60%

14.30%

8.60%
Peratus Responden

Rajah 1 : Carta Menunjukkan Peratus Tahap Pengetahuan Responden Terhadap Aktiviti Promosi KKJS

Sementara itu, 28.6% responden mengatakan saluran promosi bagi Kolej Komuniti Jasin
yang paling berkesan adalah melalui media elektronik. 20% responden lagi mengatakan bahawa

saluran promosi bagi Kolej Komuniti Jasin yang paling berkesan adalah melalui media cetak.
Manakala 31.4% pula berpendapat laman web adalah saluran promosi bagi Kolej Komuniti Jasin
yang paling berkesan. 34.3% lagi responden mengatakan bahawa aktiviti pameran dan karnival
adalah saluran yang paling berkesan. (Sila rujuk Rajah 2)
Saluran Promosi KKJS Yang Paling Berkesan
Aktiviti
Pameran dan

Karnival
34.3%

Media
Elektronik
28.6%

Media Cetak
20%
Laman Web
31.4%
Rajah 2 : Carta Menunjukkan Peratus Saluran Promosi KKJS Yang Paling Berkesan

Sebanyak 81.4% dari responden mengatakan bahawa kempen promosi yang dijalankan
oleh Kolej Komuniti Jasin telah dapat memberikan maklumat yang lengkap sepertimana yang
dikehendaki oleh masyarakat manakala 18.6% mengatakan maklumat yang dikehendaki tidak
lengkap. (Sila rujuk Rajah 3)
Adakah Kempen Promosi KKJS Memberi Maklumat
Yang Lengkap?
Ya


Tidak

18.6%

81.4%

Rajah 3 : Carta Menunjukkan Peratus Pendapat Responden Tentang Maklumat Promosi KKJS

Seterusnya, 88.6% responden mengatakan bahawa rekabentuk iklan yang menarik telah
dapat membantu menarik perhatian mereka untuk mendapatkan maklumat yang lebih lagi
berkaitan Kolej Komuniti Jasin namun hanya 10% responden mengatakan tidak. (Sila rujuk
Rajah 4)
Adakah Rekabentuk Iklan Promosi KKJS Menarik?
Tidak
10%

Ya
90%


Rajah 4 : Carta Menunjukkan Peratus Rekabentuk Iklan Promosi Menarik Perhatian Responden

Seramai 40 orang responden atau 57.1% mengakui bahawa mereka pernah berkunjung ke
pameran-pameran atau mana promosi yang dijalankan oleh pihak Kolej Komuniti Jasin
manakala sebanyak 42.9% atau 30 orang responden mengatakan bahawa mereka tidak pernah
mengunjungi mana-mana pameran atau promosi yang dijalankan oleh pihak Kolej Komuniti
Jasin. (Sila rujuk Rajah 5)
Responden Yang Pernah Berkunjung Pameran atau
Promosi Yang Dijalankan KKJS

Tidak Pernah
42.9%
Pernah
57.1%

Rajah 5 : Carta Menunjukkan Peratus Responden Mengunjungi Pameran atau Promosi KKJS

Perbincangan
Merujuk kepada dapatan diatas, terdapat 4 isu utama dalam analisa ini iaitu kepekaan,
kaedah promosi, pameran dan penggunaan media promosi. Hasil analisa menunjukkan 78.6%
responden mengetahui tentang promosi berkaitan kolej komuniti. Ini jelas menunjukkan bahawa
kempen-kempen promosi dan pengiklanan yang dijalankan oleh kolej komuniti dari awal
penubuhannya iaitu sekitar tahun 2000, sedikit sebanyak telah dapat memberikan impaknya.
Masyarakat telah mula membuka mata dan telinga terhadap perkembangan kolej komuniti. Para
pelajar yang memasuki kolej Komuniti Jasin sekurang-kurangya telah mendapat maklumat
tentang kolej ini dari media elektronik, media sosial, guru kaunseling, ibubapa, iklan, flyers,
ceramah pendidikan dan sebagainya. Justeru, hasil maklumat tersebut mereka mendaftarkan diri
untuk menyambung pengajian di kolej ini. Sehingga kini, enrolmen pelajar Kolej Komuniti Jasin
bukan hanya dari sekitar daerah Jasin dan Merlimau bahkan enrolmen pelajar dari luar negeri
Melaka menyumbang hampir 40% dari keseluruhan pelajar KKJS pada tahun 2015.
Kempen promosi yang paling berkesan setakat ini menurut analisa ini adalah melalui
karnival dan pameran iaitu sebanyak 34.3%. Ini bermakna, kaedah promosi melalui pameran
adalah sangat relevan untuk diteruskan dengan sentiasa mengemaskini maklumat tentang
kemasukan dan program yang ditawarkan agar ianya sentiasa relevan. Selanjutnya ia diikuti oleh
laman web, media elektronik dan media cetak iaitu 31.4%, 28.6% dan 20%. Ini menunjukkan
bahawa peranan dan pengaruh laman web, media elektronik, media sosial sangat memberi kesan
kepada masyarakat. Mereka sentiasa terdedah dengan perkembangan terkini dunia komunikasi
antara tv, radio, tablet, netbook, dan telefon pintar. Golongan yang berusia 40 tahun dan
kebawah paling ramai menggunakan teknologi telefon pintar. Justeru kempen-kempen
pengiklanan dan promosi melalui aplikasi-aplikasi media sosial seperti facebook, telegram dan
whatsapp sangat memberi kesan kepada mereka. Hari ini, ramai peniaga-peniaga kecil dari

sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) menggunakan media sosial ini untuk mengiklankan
produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat. Hasilnya, pendapatan perniagaan mereka
boleh melonjak naik berlipat kali ganda berbanding penggunaan kaedah kempen promosi yang
konvensional. Kesan seperti ini juga dilihat memberi impak yang positif untuk menarik
kemasukan pelajar ke kolej komuniti.

Sebanyak 57.1% dari responden menyatakan mereka pernah mengunjungi mana-mana
pameran pendidikan yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Jasin. Ini membuktikan bahawa
kempen-kempen promosi yang dianjurkan oleh kolej komuniti tetap mendapat sambutan dari
kalangan masyarakat. Malah, sebahagian kecil masyarakat sebenarnya mengikuti perkembangan
Kolej Komuniti Jasin walaupun hanya sekadar berita-berita sukan dan kursus-kurus pendek di
kolej komuniti.

Cadangan Responden Lokasi Yang Sesuai Untuk Kempen
Promosi KKJS
2.9%
20%
Pusat Membeli belah
Tapak Karnival
77.1%

Premis

Rajah 6 : Carta Menunjukkan Peratus Cadangan Responden Terhadap Lokasi Yang Sesuai Untuk Promosi KKJS

Berdasarkan Rajah 6 di atas, sebanyak 20% responden mencadangkan agar lokasi
kempen promosi ini diadakan di pusat-pusat membeli belah. Ini kerana trend masyarakat hari ini
selalu berbelanja dan berhibur di pusat-pusat membeli belah yang menawarkan pelbagai aktiviti
perniagaan, pameran dan hiburan. Justeru sebagai sebuah lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan
ramai terutama golongan remaja dan keluarga, maka pusat-pusat membeli belah sangat sesuai
untuk dijadikan lokasi bagi kempen promosi melalui kaedah karnival dan pameran.
Dengan persekitaran yang kondusif, berhawa dingin, ada kemudahan surau dan tandas
serta medan selera, tempat letak kenderaan, sudah tentulah lokasi pusat membeli belah boleh
memberi bonus kepada kolej komuniti untuk mengadakan kempen promosi dengan lebih kerap
dari awal pagi hingga lewat malam untuk tempoh jangka panjang. Seterusnya 77.1% responden
pula mencadangkan lokasi yang paling sesuai untuk aktiviti promosi kolej adalah di tapak-tapak

karnival dan pameran yang dianjurkan oleh pelbagai pihak samaada agensi kerajaan mahupun
swasta. Ini kerana pihak penganjur telah pun mempunyai pelbagai aktiviti dan daya tarikan yang
tersendiri yang boleh menarik pengunjung ke karnival dan pameran tersebut. Antara karnival dan
pameran besar yang boleh disertai oleh Kolej adalah Karnival Jom Heboh, Sambutan Hari
Melaka Bersejarah, Karnival Pendidikan, program belia negeri Melaka dan sebagainya.
Manakala 2.9% responden mencadangkan lokasi yang sesuai untuk mempromosikan
Kolej Komuniti Jasin adalah di bangunan premis.
Berdasarkan dapatan analisa, sebanyak 57.1% responden memohon kemasukan ke Kolej
Komuniti Jasin dengan kaedah online dan 42.9% responden membuat permohonan secara
manual. (Sila rujuk Rajah 7)
Kaedah Permohonan Responden Bagi Kemasukan Ke
KKJS
Manual
42.9%

Online
57.1%

Rajah 7 : Carta Menunjukkan Peratus Kaedah Permohonan Kemasukan Responden Ke KKJS

Pada Rajah 8, sebanyak 51.4% responden membuat pelayaran ke laman web rasmi kolej
untuk mendapatkan maklumat kemasukan ke Kolej Komuniti Jasin. Ini sekali lagi menunjukkan
bahawa trend masyarakat hari ini sememangnya lebih suka menggunakan media elektronik dan
sosial seperti smartphone untuk mendapatkan apa sahaja maklumat di sekeliling mereka
termasuklah permohonan kemasukan dan proses bayaran dan seumpamanya. Faktor guru, kawan
dan keluarga masing-masing pula cuma menyumbang 3.1%, 2.9% dan 1.5% dalam konteks
untuk mendapatkan maklumat kemasukan ke Kolej Komuniti Jasin. Selain itu, responden cuma
memilih 4.5% bagi iklan tepi jalan, 32.3% bagi edaran manual dan flyers kemasukan dan 4.3%
bagi maklumat di surat-surat khabar.

Saluran Info Kemasukan Kolej Komuniti Jasin
Surat Khabar
4.3%
Laman Web Rasmi
KKJS
51.4%

Flyers
32.3%

Iklan Tepi Jalan
4.5%
Keluarga
1.5% Kawan
2.9%

Melalui Guru
3.1%

Rajah 8 : Carta Menunjukkan Peratus Saluran Yang Memberi Info Kemasukan Ke KKJS Kepada Responden

Rumusan dan Implikasi
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa pengaruh dan peranan
teknologi media elektronik terutamanya media sosial sangat besar pada hari ini. Oleh kerana
prinsip asas teknologi media sosial ini adalah “di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa”,
justeru strategi pengiklanan dan promosi secara aktif dan agresif melaluinya sangat perlu
diutamakan.Ini kerana penggunaan telefon pintar yang bersandarkan teknologi media sosial
seperti facebook, telegram, whatsapp, instagram, website dan web portal semakin kuat
pengaruhnya. Justeru, konsep, kandungan dan strategi pengiklanan dan promosi untuk
pengambilan pelajar baru juga perlu berubah seiring dengan kehendak dan keperluan semasa
masyarakat hari ini.
Disamping itu, penggunaan media cetak seperti flyers, banner, bunting, surat khabar dan
lain-lain lagi juga perlu sentiasa dikemaskini dan diperbaharui supaya ia dapat mencerminkan
imej sesebuah IPT seperti Kolej Komuniti Jasin yang sentiasa peka dengan perkembangan
semasa dunia pendidikan berkemahiran. Penggunaan tagline, hashtag, rekabentuk yang inovatif
serta kreatif dan sebagainya perlu digunapakai untuk disesuaikan dengan trend terkini dunia

pengiklanan semasa. Sebarang aktiviti pelajar, staf dan sebagainya juga boleh diwar-warkan
supaya masyarakat dapat melihat dan merasakan kemeriahan sesebuah IPT dengan pelbagai
kegiatan akademik dan bukan akademik sepanjang tahun.
Selain itu, latihan dan kursus-kursus berkaitan pengiklanan di media elektronik dan
media cetak dengan teknologi terkini (advanced technology) untuk semua kakitangan perlu di
lakukan supaya mereka mendapat pendedahan yang betul dan sistematik. Pendekatan ini sangat
penting bagi semua kakitangan supaya mereka dapat membantu mempromosikan kolej dengan
cekap dan berkesan. Sebagai tambahan, kursus-kursus komunikasi juga patut dianjurkan supaya
semua kakitangan mempunyai kemahiran untuk bercakap dan berkomunikasi dengan kaedah
yang betul, bersopan dan mampu meyakinkan bakal pelajar dan waris mereka.
Perkara yang paling penting lagi disini ialah sikap tidak mudah berputus asa, gigih
berusaha dan cekal menghadapi sebarang risiko sangat perlu dalam menggerakkan aktiviti
pengiklanan dan promosi ini di IPT seperti kolej komuniti. Suntikan semangat serta motivasi dari
pihak pengurusan dan rakan sekerja adalah bonus untuk membolehkan semua kakitangan gigih
berusaha dalam mempromosikan kolej komuniti sebagai salah sebuah destinasi pendidikan
berkemahiran yang terbaik di Malaysia.

Rujukan
Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan rakan-rakan (2007), Kajian Keberkesanan Promosi
Universiti

Malaysia Perlis, Jurnal HEPA, UMP.

Norhayati Othman & Intan Junizah Abu Samah (2014), Pengaruh Pemilihan Pengajian ke Kolej
Komuniti dan Cadangan Promosi, Kolej Komuniti Selayang.

Norziha Jusoh (2006), Kajian Mengenai Faktor-faktor Pemilihan Pelajar Matrikulasi ke
Universiti

Tempatan (IPTA) dan Kursus Pendidikan, Tesis Sarjana UTM.

Nur Jam’atur Rahmah Mohamed Nawawi (2015), Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pemilihan
Pelajar

ke Institusi Pengajian Tinggi : Kajian di KUIN, Tesis Sarjana Sains

(Pengurusan), Universiti

Utara Malaysia (UUM).

Robert F. Hartley (1983), Marketing Fundamentals, New York : Harper & Row.
Kotler, P., Haider, D. and Rein, I. (1993) Marketing Places. Attracting Investment, Industry and
Tourism

to Cities, States, and Nations. Maxwell Macmillan Int, New York.

Mohd Farid, Noryanto Asroun & Nordin (2010), Laporan Akhir Penyelidikan : Kajian Aspek
Pembentukan dan Keberkesanan Strategi Promosi Dalam Pemasaran Unit Kedai Baru.
Kajian Kes : Ipoh, Perak. UITM Perak.