PERKAITAN DI ANTARA FAKTOR SOSIOEKONOMI

PERKAITAN DI ANTARA FAKTOR SOSIOEKONOMI DENGAN KESEJAHTERAAN
EKONOMI KELUARGA WARGA TUA DI MUKIM KUALA BERANG
ABSTRAK
Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan
kesejahteraan keluarga warga tua di Mukim Kuala Berang, Terengganu. Kajian ini menggunakan
reka bentuk kuantitatif. Empat buah kampung di Mukin Kuala Berang telah dipilih sebagai
kawasan kajian. Responden kajian ini terdiri daripada 60 orang warga tua yang berumur 60 tahun
ke atas yang dipilih dengan menggunakan persampelan rawak mudah. Warga tua yang di pilih,
ditemu bual bersemuka semasa proses mengumpulkan data. Instrumen kajian menggunakan
Skala Kesejahteraan Ekonomi Warga Tua yang dibina oleh Profesor Madya Wan Ibrahim wan
Ahmad. Data kajian ini dianalisis dengan menggunakan teknik Pekali Korelasi Pearson dan
Ujian t satu sampel. Dapatan kajian mendapati faktor pendidikan dan status pekerjaan
mempengaruhi kesejahteraan ekonomi warga rrtua. Namun begitu faktor pendidikan dan jumlah
anak juga mempengaruhi kesejahteraan ekonomi warga tua. Kajian ini merasakan tahap
pendidikan warga tua merupakan faktor penting dalam meningkatkan tahap kesejahteraan warga
tua.

PENGHARGAAN

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan Limpah dab KurniaNya dapatlah kami menyempurnakan
penyelidikan ini yang bertajuk Perkaitan Di Antara Faktor Sosioekonomi Dengan

Kesejahteraan Keluarga Warga Tua Di Mukim Kuala Berang, Terengganu dalam tempoh yang
telah ditetapkan.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah kami iaitu
Profesor Madya Wan Ibrahim bin Wan Ahmad yang telah banyak membantu kami sepanjang
tempoh menyiapkan kajian ini. Segala bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang
tempoh tersebut sangatlah dihargai dan disanjungi.
Terima kasih juga ditujukan kepada semua penduduk Kampung Rahmat,Kampung Tanjung
Putat, Kampung Pasir Nering dan Kampung Gaung sama ada yang terlibat secara lansung atau
tidak langsung dalam kajian ini. Kepada responden yang terlibat terima kasih atas kerjasama
yang diberikan. Tidak lupa juga kepada semua komuniti setempat yang telibat secara lansung
atau tidak lansung dalam menjayakan penulisan ini.
Ucapan ribuan terima kasih ditujukan kepada pihak Universiti Utara Malaysia atas memberi
sokongan dan kerjasama dalam menyiapkan kajian ini. Teristimewa juga untuk keluarga kami
yang banayk berkorban masa dan tenaga bagi membantu menyiapkan kajian ini. Jasa dan
pengorbanan mereka tidak akan kami lupakan. Semoga Allah merahmati dan memberkati
mereka.
Akhir sekali buat rakan-rakan seperjuangan, selamat maju jaya semua dan terima kasih di atas
bantuan yang dihulurkan selama ini. Selain itu tidak dilupakan juga kepada pihak yang terlibat

secara langsung atau secara tidak lansung dalam menghulurkan bantuan dan tunjuka ajar

sehingga kami dapat menyiapkan penyelidikan ini. Budi anda semua tetap saya kenang.

BAB 1: PENDAHULUAN

1.1:

Pengenalan

Matlamat utama kajian ini ialah untuk memerihalkan perkaitan di antara faktor sosioekonomi
dengan kesejahteraan ekonomi keluarga warga tua di mukim kuala berang. Sebelum
membincangkan aspek-aspek tersebut dalam bab-bab seterusnya, dalam bab ini dibincangkan
latar belakang penuaan penduduk yang terjadi di peringkat dunia secara umum untuk mendapat
gambaran yang jelas tentang senario kesejahteraan ekonomi warga tua penduduk yang terjadi di
Malaysia. Secara khusus dalam Bab I ini dibincangkan aspek pengenalan, pernyataan masalah,
kerangka teori, objektif kajian, , kerangka konseptual yang digunakan untuk menganalisis hasil
kajian.
Peningkatan warga tua merupakan isu global yang perlu diurus dengan baik. Justeru itu, kajian
perlu dilakukan untuk mendapatkan fakta secara empirikal. Menurut Jabatan Perangkaan
Malaysia, (2005), berdasarkan struktur umur penduduk di Malaysia, peratusan penduduk dalam
usia emas (60 tahun ke atas) semakin meningkat. Warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas

telah meningkat dari 4.6 peratus pada tahun 1991 kepada 5.3 peratus pada tahun 2005 dan
dijangka meningkat kepada 8.0 peratus pada tahun 2020. Peningkatan ini akan memberi kesan
kepada beban tanggungan kepada anak-anak dan penyediaan keperluan kesihatan khususnya
dalam bidang geriatrik.

Manakala Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2001) melaporkan bahawa terdapat 1.4 juta
warga emas di Malaysia dan wanita merangkumi 52.3 peratus daripada jumlah tersebut. Menurut
Hamid et al. 2010 menyatakan jumlah yang lebih tinggi bagi warga emas wanita berpunca
daripada jangka hayat wanita yang lebih tinggi berbanding lelaki ,75 tahun untuk wanita
manakala 70 tahun untuk lelaki Manakala umur persaraan wajib di Malaysia adalah pada umur
60 tahun, antara yang terendah di Asia. Ini bermakna secara purata, jangkaan tempoh kehidupan
selepas persaraan adalah lebih kurang 20 tahun. Dalam erti kata lain, warga emas yang telah
bersara perlu mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos hidup
yang semakin meningkat untuk jangka masa yang panjang.
Berasaskan apa yang dihuraikan di atas, maka secara khusus kajian ini dilakukan untuk
menganalisis mengkaji perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua di mukim kuala berang. Kajian ini memilih faktor umur, pendidikan,
pendapatan, jantina dan jumlah anak sebagai faktor sosioekonomi mempengaruhi kesejahteraan
ekonomi warga tua.


1.2:

Pernyataan Masalah

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2013) menyatakan terdapat 2.54 juta warga emas di
Malaysia iaitu 8.6% daripada jumlah populasi penduduk Malaysia. Daripada jumlah ini, terdapat
peningkatan bilangan warga emas setiap tahun. Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua (aged nation) pada tahun 2030
apabila penduduk negara ini yang berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah
keseluruhan penduduk pada tahun tersebut. Daripada 2.54 juta warga emas hanya terdapat 37%
daripada warga emas berusia antara 60 hingga 64 tahun yang merupakan lingkungan umur

penduduk yang aktif dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya
39.5% iaitu dalam lingkungan 351,800 orang daripada mereka berada dalam pasaran buruh.

Sehingga sekarang telah agak banyak kajian yang pernah dilakukan yang bertujuan untuk
perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi keluarga warga tua.
Kajian ini ialah untuk menguji perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan
ekonomi keluarga warga tua di mukim Kuala Berang. Kajian ini kebanyakan menumpukan
kepada analisis perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi keluarga

warga tua.

Terdapat beberapa kajian mengenai pelbagai isu warga emas telah dijalankan di Malaysia.
Masalah kewangan merupakan satu tekanan hidup yang akan dilalui oleh warga emas
terutamanya mereka yang miskin, tiada harta benda atau hanya bergantung kepada wang pencen
sahaja . Di Semenanjung Malaysia, kadar kemiskinan isi rumah adalah tinggi bagi ketua isi
rumah yang berumur 61 tahun ke atas. Menurut Tan dan Ng (2000), pertumbuhan warga emas di
Malaysia adalah sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi perubatan di negara ini di
mana semakin banyak bilangan hospital serta bilangan doktor dan katil yang disediakan di
hospital, semakin ramai orang tua.

Selain itu, dasar kerajaan juga mempengaruhi bilangan warga emas di Malaysia. Pemberian
pencen serta pembinaan rumah orang tua telah meningkatkan jaminan sosial penduduk tua. Maka
terdapat semakin ramai warga emas di Malaysia. Sementara itu, di negeri-negeri di Utara
Semenanjung Malaysia kebanyakan masyarakat menghadapi masalah kemiskinan ekonomi dan

taraf hidup sehingga mendorong golongan wanita tua bekerja bagi menampung perbelanjaan
harian keluarga mereka.

Oleh kerana terdapat banyak isu yang timbul tentang warga tua, penyelidik mengambil

keputusan untuk mengkaji perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan
ekonomi keluarga warga tua. Banyak kajian yang di buat tentang isu penjagaan warga tua tetapi
kurang memfokuskan mengenai perkaitan faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi
warga tua. Justeru itu, Penyelidik mengambil keputusan untuk mengkaji perkaitan di antara
faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi keluarga warga tua

1.3:

Kerangka Teori

Teori berperanan menerangkan perkaitan faktor sosioekonomi dengan

kesejahteraan ekonomi

warga tua. Melalui teori dapat menyajikan suatu kerangka yang amat komprehensif bagi
menjelaskan faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi warga tua. Menurut laporan “
International Labour Conference” yang ke 65 (1979), menyatakan 54 peratus dari penduduk
dunia yang berumur 45 tahun ke atas adalah aktif dari segi ekonomi dan bilangan pekerja tua
pada tahun 2000 dianggarkan seramai 700 juta orang. Laporan itu seterusnya menyatakan
bahawa pekerja tua menyumbangkan guna tenaga yang penting kepada ekonomi dunia iaitu 11

orang daripada 100 orang pekerja adalah pekerja yang berumur lebih 65 tahun. Walau
bagaimanapun laporan itu menyebut bahawa sumbangan tersebut adalah berbeza-beza di antara
negara di dunia ini.

Manakala Ryff (1989) mengemukakan bahawa terdapat tiga bahagian yang berupa teori yang
berbeza dalam mengertikan kesejahteraan, antaranya (i) teori pembangunan manusia, (ii) teori
psikologi, dan (iii) teori kesihatan mental, terutamanya kesihatan metal positif. Ryff
mengusulkan enam komponen kesejahteraan, iaitu: sambutan peribadi, matlamat hidup,
penguasaan lingkungan, autonomi, perkembangan peribadi dan hubungan positif kepada hal-hal
lain. Kesejahteraan dan kualiti hidup merupakan konsep yang sangat sukar dijelaskan. Walau
bagaimanapun, kebanyakan pengkaji-pengkaji terdahulu berpendapat bahawa kesenangan hidup,
barangan material dan pekerjaan yang berfaedah adalah merupakan harapan yang sangat penting.
Kesemua ini adalah makna daripada kesejahteraan.

Menurut Fletcher dan Lorenz (1985) menyatakan usaha awal untuk mengukur kesejahteraan,
khususnya kesejahteraan material dibuat menggunakan pendekatan objektif; iaitu berdasarkan
pendapatan wang. Melalui pendekatan ini, warga tua boleh ditanya tahap kesejahteraan mereka
melalui pendapatan keluarga mereka. Pengukuran konsep berdasarkan pendekatan objektif
dibuat secara kuantitatif dan dikira berdasarkan nilai wang (Rudd & Kline, 1976). Nilai wang ini,
seperti yang dianalisis oleh pengkaji, mungkin berupa pendapatan semasa, pendapatan isi rumah,

serta kekayaan lain (Cheal, 1983), atau termasuk juga pendapatan daripada bantuan awam,
bonus, pendapatan yang diperoleh daripada persaraan (Leon, 1985), dan lain-lain bentuk
pendapatan. Rudd dan Kline (1976) menyatakan pendapatan wang merupakan ukuran objektif
yang paling biasa digunakan untuk mengukur kesejahteraan material.

Berdasarkan kajian ini menggunakan Teori Perkembangan Erik Erikson (1989) bagi
menerangkan perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi keluarga

warga tua. Teori ini mempercayai manusia berpotensi untuk perkembangan psikologi yang sihat
dan berupaya mengatasi kesukaran yang timbul dalam proses perkembangan. Lapan peringkat
telah dikenal pasti oleh beliau di dalam perkembangan manusia iaitu peringkat pertama adalah
Peringkat kepercayaan lawan curiga (lahir – 18 bulan). Peringkat perkembangan Ini adalah
sangat penting kerana ianya mempengaruhi perkembangan bayi melalui pengalamannya. Bayi
mula belajar untuk mempercayai atau tidak mempercayai orang lain.. kepercayaan akan
memudahkan individu menghadapi masalah dan kecurigaan akan melemahkan keupayaan
seseorang untuk mengatasi masalah.

Peringkat kedua adalah Peringkat Autonomi lawan perasan malu/curiga (18 bulan – 3 tahun).
Pada peringkat ini bayi akan membina keyakinan diri dan autonomi apabila beliau merasa bebas
untuk melakukan sesuatu. Jika terlalu banyak halangan atau bantuan yang diberikan kanak-kanak

akan merasa curiga, terhina dan kurang keyakinan diri. Peringkat ketiga adalah Peringkat
Inisiatif lawan kesalahan ( 3-6 tahun ). Inisiatif merupakan trait yang akan membantu individu
itu sepanjang hayatnya. Melalui galakan, kanak-kanak akan menyedari potensi mereka
sebaliknya jika tidak diberi inisiatif dan terdapat halangan akan mengakibatkan kanak-kanak
sering rasa bersalah.

Peringkat keempat adalah Peringkat Kerajinan lawan Kerendahan diri (6 – 12 tahun). Pada
peringkat ini kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan. Kebolehan berbahasa telah
meningkat , mula mencapai operasi konkrit, memahami konsep ruang, kelajuan, masa dan sebabmusabab sesuatu kejadian. Kanak-kanak lebih peka kepada ganjaran yang mengakibatkan

mereka akan menjadi lebih tekun dan berminat dalam pelajaran. Sementara itu mereka akan
merasa kecewa dan perasaan rendah diri akan terbentuk sekiranya keinginan mereka dihalangi.

Peringkat kelima adalah Peringkat identiti lawan kekeliruan identiti (12 – 18 tahun). Ini
merupakan peringkat remaja di mana mereka cuba mewujudkan identiti dan persepsi sendiri
terhadap dunia mereka. Mereka cuba mendapatkan kestabilan diri dalam masyarakat sekiranya
gagal mereka akan meragui peranan mereka dalam masyarakat . Peringkat keenam adalah
peringkat kerapatan lawan pengasingan (18 – 35 tahun). Individu akan melalui peringkat awal
dewasa yang memerlukan perhubungan yang akrab dengan individu lain. Halangan akan
menyebabkan pengasingan diri.


Peringkat ketujuh adalah peringkat Pewarisan lawan pemusatan kendiri (35 – 60 tahun). Pada
peringkat ini individu telah boleh dipertanggungjawabkan, boleh diwariskan untuk melakukan
kerja-kerja yang baik. Bagi mereka yang gagal menjalankan tanggungjawab akan menjadi
individu yang mementingkan diri sendiri dan akan merasa kecewa dengan hidupnya. Peringkat
kelapan adalah peringkat Kesepaduan lawan putus asa. ( 60 tahun– akhir hayat ) Individu akan
menerima hakikat kehidupan sebagai proses semula jadi dan sentiasa melakukan refleksi diri.
Jika individu itu berpuas hati dengan tentang kehidupan yang dilaluinya akan mencapai rasa
kesepaduan sebaliknya jika beliau menyesal tentang peluang yang terlepas pada masa lalu, dia
akan merasa putus asa.

Pengkaji mendapati teori peranan boleh menjelaskan tentang kesejahteraan ekonomi warga tua
bermula daripada peringkat awal. Apabila seseorang manusia berjaya dalam menunaikan

tanggungjawabnya pada peringkat ketujuh, ianya akan mempengaruhi tahap kesejahteraan
ekonomi semasa peringkat tua. Pada peringkat tua iaitu umur 60 tahun ke atas manusia berusaha
untuk menerima diri dan berpuas hati dengan kehidupannya. . Kajian ini bertujuan untuk
memahami perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi keluarga
warga tua. Lumrah kehidupan masa tua bukan sahaja di Malaysia tetapi merupakan satu
fenomena global yang berlaku di seluruh pelosok dunia.


1.4:

Objektif Kajian

Kajian ini secara umumnya dilakukan untuk mengkaji perkaitan di antara faktor sosioekonomi
dengan kesejahteraan ekonomi keluarga warga tua di mukim Kuala Berang. Secara khususnya
pula kajian ini dilakukan untuk ;
1.4.1

Mengenalpasti profil sosial demografi warga tua di mukim Kuala berang, Terengganu.

1.4.2

Mengukur perkaitan di antara faktor umur dengan tahap kesejahteraan ekonomi keluarga
warga tua.

1.4.3

Mengenal pasti perkaitan di antara pendapatan dengan tahap kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua.

1.4.4

Menganalisis perkaitan di antara faktor jumlah anak dengan tahap kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua.

1.4.5

Mengkaji perkaitan di antara faktor pendidikan dengan tahap kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua.

1.4.6

Mengukur perbezaan tahap kesejahteraan ekonomi warga tua mengikut jantina

1.5:

Hipotesis

Dalam mengkaji perkaitan di antara faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua di mukim Kuala Berang, penyelidik membina beberapa hipotesis
berdasarkan kepada persoalan kajian seperti berikut:
1.5.1

Tidak terdapat perkaitan antara faktor umur dengan tahap kesejahteraan ekonomi warga
tua di kawasan kajian

1.5.2

Tidak terdapat hubungan antara tahap pendidikan dan tahap kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua di kawasan yang dikaji.

1.5.3

Tidak terdapat hubungan antara tahap pendapatan dan tahap kesejahteraan ekonomi
keluarga warga tua di kawasan yang dikaji.

1.5.4

Tidak terdapat hubungan antara

jumlah anak dengan tahap kesejahteraan ekonomi

keluarga warga tua di kawasan yang dikaji.
1.5.5

Tidak terdapat perbezaan tahap kesejahteraan ekonomi keluarga warga tua di kawasan
yang dikaji mengikut jantina.

1.6:

Kerangka Konseptual

Kesejahteraan ekonomi warga tua adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Para pengkaji yang
mengkaji perkaitan faktor sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi warga tua. Mereka telah
berjaya mengukur apakah faktor sebenar yang dianggap berkaitan dengan faktor sosioekonomi
dengan kesejahteraan ekonomi warga tua. Antara faktor yang berjaya diselidik termasuklah
umur, pendidikan, pendapatan, jantina, dan jumlah anak dan pelbagai faktor lain.

Semua penyelidik menghuraikan perkaitan faktor sosioekonomi dengan tahap kesejahteraan
ekonomi warga tua. Faktor umur merupakan satu faktor penting yang dianggap berkaitan dengan

kesejahteraan ekonomi warga tua. Menurut kajian Ng dan Tey (2006) ke atas 1142 warga emas di
bandar mendapati mereka yang sudah mencapai umur bersara bersedia untuk bekerja atau aktif
di dalam aktiviti ekonomi sekiranya kesihatan mereka baik dan bagi yang tidak mempunyai
sumber pendapatan, bekerja selepas bersara menjadi satu keperluan. Malah terdapat responden
yang sanggup mempelajari teknologi baru dengan menghadiri latihan kemahiran atau kursus prapersaraan semata-mata bagi memenuhi keperluan pasaran buruh.

Manakala, faktor pendidikan merupakan satu faktor penting yang dianggap berkaitan dengan
kesejahteraan ekonomi warga tua. Menurut

Adam Smith (1776) menyatakan penyebab

kesejahteraan suatu Negara dengan membangunkan dua faktor iaitu faktor ekonomi dan
pembentukan kualiti manusia. Faktor yang kedua inilah yang sampai saat ini telah menjadi isu
utama tentang pentingnya pendidikan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Seterusnya, faktor tahap pendapatan merupakan satu faktor utama yang berkaitan dengan
kesejahteraan ekonomi warga tua. Berdasarkan laporan Rancangan Malaysia Ke-8, isi rumah
yang diketuai oleh warga emas 65 tahun ke atas mengalami insiden kemiskinan yang tinggi iaitu
22.7 peratus. Mengikut Suraiya (2007), dunia persaraan selalunya diabaikan kerana menganggap
masanya masih jauh dan kebanyakannya terlalu bergantung kepada wang pencen atau dana
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Apabila tiba saat persaraan, wang KWSP yang
diterima digunakan untuk pelbagai tujuan sehingga tiada berbaki.

Pihak KWSP melaporkan 72.0 peratus daripada pencarum yang mengeluarkan wang simpanan
mereka menghabiskannya dalam tempoh tiga tahun. Kesannya terdapat ramai pesara yang

terpaksa bekerja semula terutamanya dari kalangan yang berpendapatan rendah. Mereka bekerja
sebagai pengawal keselamatan, pembantu stesen minyak dan berniaga secara kecil-kecilan. Bagi
menghadapi dunia persaraan, setiap individu yang bekerja harus menabung sekurang-kurangnya
10.0% daripada wang gaji setiap bulan. Individu yang bekerja dikatakan dapat bersara dengan
selesa apabila mempunyai sekurang-kurangnya 70.0% daripada gaji bulanan diterima ketika
bekerja.

Faktor jantina merupakan satu faktor penting yang dianggap berkaitan dengan kesejahteraan
ekonomi warga tua. Menurut kajian oleh Jariah et.al 2008 terhadap 1,841 responden yang
berumur antara 55-75 tahun di Semenanjung Malaysia mendapati terdapat perbezaan yang
signifikan dari segi sumber dan jumlah pendapatan antara warga emas lelaki dengan warga emas
wanita. Warga emas lelaki yang mempunyai pendapatan berpencen melaporkan min pendapatan
yang lebih tinggi berbanding warga emas wanita. Pada masa yang sama, bagi warga emas yang
tinggal berseorangan lebih terdedah kepada kemiskinan. Oleh itu warga emas wanita lebih
banyak bergantung kepada bantuan daripada anak-anak dari segi kewangan dan sokongan sosial.

Anak meruapakan aset penting bagi ibubapa. Jusetru itu, faktor jumlah anak merupakan satu
faktor penting yang dianggap berkaitan dengan kesejahteraan ekonomi warga tua. Hubungan
sosial dengan anak ternyata tidak mempunyai pengaruh yang penting ke atas kesejahteraan
subjektif warga tua di daerah Limbongan. Menurut Wan Ibrahim Wan Ahmad, et al. (2009)
menyatakan berbeza dengan adanya anak yang boleh meningkatkan kesejahteraan material tetapi
hubungan dengan anak itu sendiri, dalam kajian ini, secara kuantitatif, tidak terbukti boleh
meningkatkan kesejahteraan subjektif warga tua. Ini kerana ada kaitannya dengan keadaan

sosioekonomi anak-anak warga tua di Limbongan itu sendiri. Anak-anak warga tua yang selalu
menziarahi ibu bapa di Limbongan dari segi geografinya, adalah tinggal berdekatan.

Satu kajian telah dilakukan untuk melihat status ekonomi golongan ini (lihat Tengku Aizan et al.
2006). Hasil kajian mendapati insiden kemiskinan di kalangan warga emas di Sabah ialah 21.7%
(253 responden), Sarawak 34.3% (233 responden) dan Semenanjung Malaysia 33.6% (1841
responden). Peratusan ini boleh dianggap tinggi dan memerlukan perhatian yang sewajarnya dari
pihak berwajib. Sumber utama pendapatan golongan tua yang dikaji ini adalah pelbagai iaitu dari
upah (20.41%), sewa(4.25%), sumbangan anak lelaki (60.68%), sumbangan anak wanita
(43.45%), aktiviti pertanian (9.58%), sumbangan cucu (4.3%), pencen (17.8%), keuntungan
perniagaan (8.25%), dividen atau royalti (1.42%) dan bonus (1.42%). Penemuan ini
menggambarkan bahawa sebahagian besar warga emas yang dikaji bergantung kepada
sumbangan kewangan dari anak-anak.

Berasaskan huraian di atas, maka didapati terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi
kesejahteraan ekonomi warga tua. Faktor tersebut tidak terbatas. Walau bagaimanapun kajian ini
hanya memilih pemboleh ubah umur, pendidikan, pendapatan, jantina dan jumlah anak sebagai
faktor mempengaruhi kesejahteraan ekonomi warga tua. Perkaitan di antara lima faktor ini
ditunjukkan melalui Rajah 1.

Rajah 1 : Menunjukkan perkaitan di antara pelbagai pemboleh ubah bebas dengan
Kesejahteraan ekonomi warga tua.

Kerangka Konsep
Pemboleh ubah Bebas

Pemboleh ubah Terikat

UMUR

PENDIDIKAN
JANTINA

KESEJAHTERAAN
EKONOMI WARGA TUA

PENDAPATAN

JUMLAH ANAK

1.7

Struktur Penulisan

Secara keseluruhannya Bab 1 ini membincangkan tentang pengenalan kajian, pernyataan
masalah, pendekatan teori yang digunakan untuk mengkaji perkaitan di antara faktor
sosioekonomi dengan kesejahteraan ekonomi keluarga warga tua. Dalam bab ini juga ada
menerangkan pernyataan masalah di mana di dalam pernyataan masalah ini pengkaji
menerangkan dengan jelas tentang isu yang ingin dikaji. Pengkaji juga cuba meyakinkan
pembaca bahawa tajuk yang dikaji ini merupakan masalah yang amat penting dan perlu diambil
tindakan segera.
BAB 2: SOROTAN LITERATUR

2.1:

Pengenalan

Bab ini secara khususnya membincangkan definisi proses penuaan penduduk, definisi warga
tua, definisi tahap kecukupan ekonomi, faktor mempengaruhi tahap kecukupan ekonomi dalam
kalangan warga tua di Mukim Kuala Berang, Terengganu. Tujuan utama sorotan literatur adalah
untuk mengenal pasti perkaitan faktor sosioekonomi dengan tahap kesejahteraan ekonomi warga
tua melalui laporan penyelidikan dan kajian lepas.

2.2:

Definisi Proses Penuaan Penduduk

Warga tua merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Warga tua merupakan fitrah alam
dan kejadian manusia. Setiap manusia yang hidup akan pasti melalui zaman umur tua. Setiap
manusia bermula dengan bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga tua. Warga tua adalah
realiti yang tidak dapat dinafikan warga tua adalah salah satu perkara utama yang diambil berat
oleh kerajaan. Impaknya terhadap masyarakat dan negara bergantung kepada sejauh mana
penerimaan masyarakat bersedia untuk menghadapinya dan membantunya supaya lebih
produktif dan kondusif. Warga tua wujud apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60
tahun dan ke atas mencecah 15% daripada jumlah penduduk. Warga tua menyentuh setiap aspek
hidup individu, masyarakat dan negara. Situasi kehidupan di peringkat tua bergantung kepada
perjalanan dan perancangan hidup di peringkat awal lagi.
Penuaan penduduk merujuk kepada proses peningkatan warga tua daripada jumlah penduduk.
Pertambahan warga tua berlaku di seluruh dunia. Peningkatan ini juga berlaku di Malaysia,
menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2012a), jumlah penduduk Malaysia terus meningkat
daripada 26,831,300 orang pada tahun 2006 kepada 28,334,200 orang pada tahun 2010. Daripada
jumlah ini, terdapat seramai 2,251,300 orang warga tua pada tahun 2010.

Peningkatan jumlah warga tua berpunca daripada beberapa faktor. Antara faktor yang
menyumbang peningkatan ini adalah kemajauan dalam bidang kesihatan dan pemakanan. Ini
berdasarkan Wan Ibrahim Wan Ahmad (1999) menyatakan dengan adanya kemajuan dalam
bidang perubatan, serta pembaikan ke atas aspek pemakanan dan kesihatan masyarakat, jangkaan
hayat penduduk mengalami peningkatan, dan jangkaan hayat penduduk hari ini jauh lebih tinggi
berbanding jangkaan hayat penduduk pada masa lalu. Mengikut jangkaan, peningkatan jumlah
warga tua akan terus berkembang. Justeru itu, pengkaji merasa terpanggil untuk melakukan
kajian faktor perkaitan sosioekonomi dengan tahap kesejahteraan ekonomi warga tua.

2.3:

Definisi Warga Tua

Warga tua ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Menurut Jabatan Kebajikan
Masyarakat Negeri Perak dalam Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara (1999) pula, golongan
warga tua didefinisikan sebagai golongan yang telah meningkatkan usia 60 tahun dan ke atas dan
golongan ini juga dikatakan sebagai golongan orang kurang upaya (OKU). Warga tua ditakrifkan
sebagai mereka yang berumur 65 tahun (Word Health Organization, 2008). Pakar gerontologi
pula mentakrifkan warga tua kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada mereka
berumur 65 hingga 74 tahun iaitu pada peringkat umur tua awal. Manakala kategori yang kedua
ialah peringkat umur tua akhir iaitu mereka yang berusia 75 tahun ke atas.

Menurut Heisil (1984) menyatakan terdapat tanda-tanda penduduk Malaysia sedang menuju ke
arah penuaan. Kerajaan Malaysia mentakrifkan warga tua sebagai mereka yang berumur 60
tahun ke atas. Takrifan 60 tahun ke atas oleh kerajaan ini adalah lebih rendah daripada apa yang
ditetapkan oleh WHO (World Helath Organization) iaitu 65 tahun. Walaubagaimanapun sehingga

ke hari ini Malaysia masih mempunyai penduduk berumur 65 tahun masih kecil bilangannya
berbanding dengan negara maju. Oleh itu, Malaysia masih belum dikategorikan negara
berpendudukan tua.

2.4:

Definisi Tahap Kecukupan Ekonomi

Situasi ekonomi keluarga yang kukuh amat penting bagi kesejahteraan keluarga seperti yang
ditunjukkan dalam kajian-kajian yang lepas. Kemiskinan keluarga bukan hanya bererti kesusahan
dalam masa jangka pendek tetapi juga menggambarkan keadaan keluarga untuk suatu jangka
yang panjang. Contohnya, kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga miskin
lebih berkemungkinan akan mengalami masalah dalam perkembangan dan kesihatan mereka
(Bradshaw & Richardson, 2009; Duncan & Brooks- Gunn, 1997) dan lebih cenderung terjerumus
ke dalam pelbagai masalah sosial (Belfield & Levin, 2007). Secara umumnya, indikator ekonomi
yang sering digunakan dalam mengukur kesejahteraan adalah pekerjaan dan pendapatan.

2.5:

Faktor Mempengaruhi Tahap Kecukupan Ekonomi

Hasil kajian mendapati Teori Pertumbuhan Solow (1956) yang ditambah baik dengan
terdapatnya elemen pengumpulan modal manusia, modal fizikal, pertumbuhan populasi,
simpanan, dan tahap pendidikan mampu memberikan penerangan yang cukup jelas bagi setiap
keadaan ekonomi negara yang berbeza-beza. Kadar penumpuan yang diperoleh oleh kajian ini
adalah sama dengan anggaran Solow (1956) dengan syarat pertumbuhan populasi dan
pengumpulan modal di setiap negara adalah konsisten.

Kenny (2005) merupakan pengkaji yang berminat menganalisis kadar penumpuan terhadap
kualiti kehidupan serta terhadap pendapatan perkapita di negara-negara Asia Timur bagi tempoh
antara 1960 sehingga 2005. Pemboleh ubah yang diguna pakai adalah taraf kesihatan, tahap
pendidikan, kestabilan politik, kebebasan asasi manusia serta keadaan infrastruktur. Hipotesis
pengkaji-pengkaji lepas dapat dibuktikan oleh Kenny (2005), apabila negara miskin dikatakan
telah mengalami pertumbuhan yang pesat. Walau bagaimanapun, masih terdapat jurang yang luas
antara negeri yang miskin dengan negeri yang kaya di dalam sesebuah negara dari segi taraf
kesihatan serta tahap pendidikan. Ini adalah kerana negeri miskin tidak mempunyai dana ataupun
pendapatan yang mencukupi bagi menyediakan kemudahan yang sempurna untuk rakyat

2.6:

Rumusan

Bab ini merupakan bahagian yang penting iaitu tinjauan literatur terdahulu. Tinjauan ini adalah
sangat penting bagi meningkatkan pemahaman terhadap tajuk pengkaji serta memberikan idea
terhadap kajian yang bakal dijalankan seperti definisi penuaan penduduk, definisi warga tua,
definisi tahap kecukupan ekonomi dan faktor mempengaruhi tahap kecukupan ekonomi di
kalangan warga tua. Bab ini membincangkan maklumat warga tua di dunia secara amnya dan
penduduk warga tua di Malaysia secara khususnya.

Rujukan Tambahan

International labour Conference, 65th session, 1979, Report Vl(1), Older Workers Work and
Retiremen (Genewa, International Labour Office, 1978) hal 5-7.