SINEMA MALAYSIA DALAM TAHUN 2014 YANG TE

SINEMA MALAYSIA TAHUN 2014:
YANG TERBAIK DATANG DARI MANA?
oleh Hassan Abd Muthalib

Tahun 2014 menjanjikan pelbagai harapan kepada Sinema Malaysia. Filem The
Journey arahan Chiu Keng Guan mencatat kutipan yang luar biasa (RM17 juta).
Filem-filem arahan tiga pengarah muda ditayangkan di Festival Filem Tokyo:
Lelaki Harapan Dunia (Liew Seng Tat), River of Exploding Durians (Edmund
Yeo) dan Terbaik Dari Langit (Nik Amir Mustapha). Filem epic, Hanyut oleh
U-Wei Hajisaari ditayangkan secara komersil di Indonesia.
Beberapa karyawan filem yang sudah mengarahkan filem-filem pertama
mereka diberi peluang untuk terus berkarya. Bernard Chauly melahirkan
Manisnya Cinta di Cappadocia dengan menggunakan pendekatan popular tetapi
dengan skrip dan garapan yang sangat mantap. Ini merupakan filem terbaik
Bernard setakat ini.
Syafique Yusof tidak mengecewakan dengan filem keduanya, Abang
Long Fadil yang menggabungkan aksi, komedi dan drama, mengetengahkan
budaya manusia kampong di tengah-tengah kotaraya. Liew Seng Tat melalui
Lelaki Harapan Dunia, memperlihatkan keperihatinannya tentang beberapa
aspek sosio-politik yang sedang melanda negara dengan membawa pelbagai
kesan buruk dalam perhubungan etnik.

Ramai juga muka baru yang muncul sebagai pengarah. Cerita dan
penceritaan mereka juga cuba lari dari gaya filem-filem arus perdana yang
seringkali ‘membodohkan’ penonton. Lambakkan filem-filem murahan - yang
mendapat gelaran ‘filem sampah’ - telah mencairkan industri dan merudumkan
kutipan tiket dan juga penjualan DVD, terutama bagi filem-filem berbahasa
Melayu. Keadaan ini memberi tempias dan menggugat karyawan-karyawan
filem baru untuk terus bertapak di dalam industri. (Nik Amir juga merujuk
kepada ini melalui dialog Nam Ron dalam TDL:
“Lain kali buat filem, buatlah filem bagus. Ni buat
filem sampah!“
Namun, ini tidak pula berlaku pada filem-filem berbahasa Cina jika
dilihat dari kutipan di pawagam. Berbeza dengan kebanyakkan filem arus
perdana Melayu, hampir kesemua filem-filem ini ‘mencerdikkan’ penonton
melalui cerita, watak dan garapannya. Kejayaan filem-filem ini membolehkan

ramai lagi pengarah baru muncul, di antaranya, Ryon Lee (penulis skrip The
Journey) dengan filemnya, Seventh, yang bersandarkan budaya orang-orang
Cina dalam hal kematian. Felix Tan dan Kethsvin Chee pula membuat kejutan
dengan ‘filem realiti’ tanpa skrip melalui The Cage – satu eksperimen yang
sangat menarik. Pembikin kedua-dua filem ini tidak menjadi hamba kepada

tuntuan arus perdana, ia itu, ‘memberi apa yang dikehendakki penonton’.

Kemunculan Karyawan Generasi Baru
Tahun in memperlihatkan beberapa karyawan filem Melayu muncul.
Syamil Othman, graduan sekolah filem di Australia, mengarahkan Kami
Histeria. Premis filem ini sangat luar biasa, ia itu, lagu nyanyian sekumpulan
remaja meletup di pasaran kerana trek bunyinya mengandungi ngilaian langsuir.
Syamil sudah menampakkan kewibawaannya sebagai seorang pengarah, namun
filem ini menjadi cacat akibat product placement yang teramat ketara.
Filem Cuak arahan Khairil M Bahar, Lim Benjy, Tony Pietra Arjuna,
Manesh Nesaratnam dan Shamaine Othman meneroka perhubungan di antara
dua orang berlainan bangsa dan agama, yang mengambil keputusan untuk
mendirikan rumahtangga. Isu-isu yang dibawa - dari kacamata pembikinpembikin filem muda ini - tidak seperti yang biasa dibawa oleh filem-filem arus
perdana Melayu. Sebaliknya ia hanya kepada perhubungan sesama manusia dan
tidak menyenyuh aspek bangsa dan agama.
Dua lagi pengarah cuba melawan arus dengan membawa kisah yang
bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membawa sesuatu yang mengajak
penonton merenung beberapa isu sosial. Raja Mukhriz menghidangkan Ophilia.
Seperti Mamat Khalid dengan manusia rockersnya di dalam Rock dan Rock
Oo!, Mukhriz membawa kisah beberapa remaja Melayu yang berminat dengan

budaya punk. Ophilia adalah kisah tiga rakan baik yang akhirnya kecundang
apabila bertembung dengan keadaan yang tidak pernah dihadapi mereka.

Terbaik Dari Langit arahan Nik Amir Mustapha
Satu lagi penceritaan yang menarik datangnya daripada Nik Amir
Mustapha dengan Terbaik Dari Langit (TDL). Filem pertamanya, Kil,
memperolehi pelbagai anugerah. Ini memperlihatkan Nik Amir sebagai seorang
pengarah yang wajar diberi perhatian. TDL adalah kisah empat rakan baik
(bersama seorang pelakon) yang dalam perjalanan untuk membikin filem.
Mereka mempunyai pelbagai masalah peribadi yang sebahagiannya berkait

dengan zaman persekolahan mereka. Maka road trip ini membolehkan mereka
memahami dan mengenali diri sendiri serta menyelami perasaan masingmasing.
Seperti beberapa pengarah veteran, Nik Amir mengambil pendekatan
self-reflexive, ia itu, melihat dirinya sendiri dan kedudukannya dalam industri
filem tempatan di dalam TDL. Ia cuba melahirkan gestalt (bentuk) yang baik
dengan merujuk kepada sejarah filem tempatan dan juga Hollywood yang
berkait dengan naratifnya. Ini dapat dilihat dalam aspek pemilihan pelakon
(Datuk Aziz Sattar) yang mewakili karyawan filem lama dan penggunaan efek
musik dari filem Close Encounters of the Third Kind arahan Steven Spielberg.

Nama watak yang dimainkan Bront Palarae adalah Berg – singkatan dari nama
Spielberg.
Beberapa karyawan masakini juga ditampilkan oleh Nik Amir seperti
Dain Said, Nam Ron, Mamat Khalid, Khir Rahman dan Zahiril Adzim. Dalam
hal ini – sayangnya! - Nik Amir menjadi over-ambitious. Ia memberikan terlalu
banyak penekanan kepada teknik penceritaan dan tidak kepada tujuan
penceritaan. Terlalu banyak yang mahu dirujuknya dan terlalu repititous dengan
penggunaan simbol seperti hujan dan laut (membersihkan diri, ‘being reborn’,
yada yada!). Bila tidak digarap dengan baik, ia memberikan kesan terhadap
gestalt filem TDL sebagaimana yang sudah juga berlaku pada Kil.
Seringkali disebut dalam pengajian ilmu hakikat tentang makna diri, yang
terbahagi kepada empat: - diri, diri sendiri, diri terperi dan diri sebenar diri. Para
penulis lakonlayar harus merujuk kepada budaya sendiri untuk meneroka
manusia dan keperibadian mereka. Ini akan menjurus kepada rekaan watak yang
lebih baik dan yang akan memenuhi tuntutan untuk melahirkan gestalt yang
baik.

Mencari Diri dan Tempat
Tema mencari diri dan identiti pernah dibawa oleh Mansor Puteh melalui
filemnya Seman (1987). Watak Seman akhirnya akur dengan kehendak alam, ia

itu, tidak ada tempat bagi manusia semacamnya di zaman yang lebih
mengutamakan keuntungan. Di akhir filem, Seman menjulang keris dan
menyatakan pendiriannya (yang menjadi pendirian Mansor juga):
“Aku seorang pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada
negara. Yang punya ugama, keluarga dan budaya. Ini
suratan.”

Isu yang dibawa oleh U-Wei di dalam Hanyut lebih kurang sama. Semasa
watak utama, Almayer didatangi dua soldadu British untuk menangkapnya,
Almayer mengeluh dan meraung:
“Aku tak boleh tinggalkan tempat laknat ini! Sudah dua
puluh tahun aku mencub! Aku tak boleh! Aku tak boleh!”
Seperti Mansor, filem U-Wei juga satu autobiography. Keluhan Almayer adalah
keluhan U-Wei yang terperangkap di dalam kancah sinema Malaysia selama 20
tahun. Namun begitu, ia masih mahu menetap di Malaysia walaupun mendapat
pelawaan untuk berkarya di luar negara (diwakili imejan soldadu British).
Melalui Johnny Bikin Filem, Anuar Nor Arai turut melahirkan
kekecewaannya berkarya di Malaysia. Watak Johnny (yang mewakili Anuar
sendiri), mengatakan:
“Singapura (baca: Malaysia) tidak memberikan apaapa pada seni.”

Justeru, Nik Amir hanya melakukan kesinambungan dengan idea-ideanya
melalui TDL. Kegusaran yang dirasai olehnya (serta pembikin-pembikin filem
seangkatan dengannya) dapat dilihat melalui pemilihan cerita dan watak-watak
rekaannya. Mereka mempunyai kebolehan tetapi di manakah pengiktirafan dan
sokongan untuk mereka ‘mengangkat martabat’ sinema Malaysia? Apakah
mereka perlu mencari pengiktirafan di negara lain sebelum diangkat di negara
sendiri. Nik Amir menyampaikan semua ini dalam adegan Berg yang diangkat
ke langit oleh kapal alien dari angkasa lepas.
Raja Mukhriz juga cuba melakukan distanciation (penjarakkan) melalui
watak-watak punk agar penonton lebih objektif di dalam penilaian mereka.
Namun, ia pula akur (atau terpaksa?) dengan tuntutan filem arus perdana untuk
mengakhiri filemnya. Sepatutnya Mukhriz memberikan disclosure (keterangan)
dan bukannya closure (kesudahan). Disclosure tentunya akan menyempurnakan
harapan yang diberikan di awal filem tentang kelainan Ophilia.
Pembikin Flem Sebagai Wira
Karyawan filem seperti Liew Seng Tat, Raja Mukhriz, Nik Amir dan
beberapa karyawan muda yang sedang muncul adalah harapan Sinema Malaysia
di masa akan datang. Mereka adalah yang terbaik di zaman ini – zaman yang
memerlukan wira filem yang berani melawan arus, yang mampu memecah
tembok yang menghalang dan dengan gagah melangkah ke alam yang belum

diterokai.

Di akhir filem Dari Jemapoh ke Manchestee (Hishamuddin Rais), Kassim
Selamat (penyanyi yang mana lagu La Obe meletup di negara Jerman dalam
tahun 1960-an), tersenyum memandang tiga remaja dalam kereta yang terbang
ke langit. Ia (golongan lama) tidak dapat mencapai apa yang boleh dicapai oleh
remaja sekarang, tetapi ia tetap menyokong usaha mereka. Inilah yang
diharapkan oleh golongan veteran dan birokrat.
Tiga remaja dalam Jemapoh itu adalah mereka yang melawan arus. Di
dalam Terbaik Dari Langit, Berg akhirnya dipeluk oleh Atuknya (dimainkan
oleh Datuk Aziz Sattar). Atuk puas hati dengan penemuan diri Berg yang mahu
terus memburu impiannya sebagai pembikin filem. Tidak seperti Toyu (Ameerul
Affendi) yang, walaupun seorang pelukis berbakat, memilih menjadi seorang
guru. Pesanan akhir Atuk kepada Berg:
“Sesuatu yang dibuat mesti dengan jujur dan ikhlas.
Teruskan.”
Nik Amir (dan yang lain-lain) tentunya berkarya dengan jujur dan ikhlas.
Itulah nawaitu ramai karyawan, sesuatu yang sering diulang-ulang dalam sesisesi perbincangan. Tetapi itu masih belum mencukupi. Banyak lagi yang masih
perlu diterokai. Kata-kata Edward Scott Fitzgerald boleh menjadi panduan:
“Before you sit down to write, stand up and live.”

Itulah yang terbaik. Sebenarnya ia bukan datang dari langit tetapi dari
lelangit…