PERAKAUNAN ZAKAT HASIL PERTANIAN DI MALA

PERAKAUNAN ZAKAT HASIL PERTANIAN DI MALAYSIA:
SATU PENILAIAN SEMULA1
Mohd Shukri Hanapi2
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
Tel: 04-6532665 Faks: 04-6532124
E-mail: hshukeri@yahoo.com / hshukeri@gmail.com
Abstrak
Di Malaysia, zakat pertanian hanya diwajibkan terhadap hasil tanaman padi kerana ia dikategorikan
sebagai makanan asasi. Persoalannya, bagaimanakah pula dengan hasil-hasil pertanian yang tidak
termasuk dalam kategori makanan asasi seperti kelapa, kelapa sawit, lada hitam, kopi, koko dan buahbuahan lain? Kenapakah dikenakan zakat perniagaan sedangkan asasnya juga adalah pertanian?
Adakah disebabkan tanaman-tanaman selain padi ini diusahakan secara komersial? Bagaimanakah
pula dengan tanaman padi yang diusahakan secara komersial tetapi tetap dikenakan zakat pertanian
dan bukannya zakat perniagaan? Untuk menjawab semua persoalan ini, kertas kerja ini mempunyai
dua tujuan utama. Pertama, mengenal pasti asas-asas perakauan zakat pertanian serta pandangan
fuqaha’ berhubung jenis-jenis tanaman yang dikenakan zakat pertanian; dan kedua, menganalisis
serta menilai perakaunan zakat hasil pertanian di Malaysia. Kajian ini merupakan kajian
perpustakaan. Semua maklumat berkaitan akan dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan.
Bagi memperkukuhkan ekonomi umat Islam khususnya di Malaysia, kertas kerja ini merumuskan
bahawa hasil-hasil pertanian yang tidak dikategorikan sebagai makanan asasi seperti kelapa, kelapa

sawit, koko dan sebagainya patut juga dikenakan zakat pertanian kerana asasnya adalah pertanian.
Malah sebahagian daripada hasil-hasil tanaman selain padi ini boleh menghasilkan kekayaan yang
lebih lumayan berbanding hasil tanaman padi serta boleh disimpan lama melebihi tempoh setahun.
Dalam hal ini, pandangan fuqaha’ dari kalangan Mazhab Abu Hanifah dan Mazhab Ahmad bin
Hanbal boleh dijadikan sandaran.
Kata Kunci: Perakaunan, zakat, pertanian, makanan asasi

Pengenalan
Zakat pertanian merupakan salah satu daripada zakat mal (harta). Ia hanya diwajibkan
terhadap hasil pertanian yang dikategorikan sebagai makanan asasi yang mengenyangkan
setelah cukup nisab. Makanan asasi yang mengeyangkan itu pula terdiri daripada biji-bijirin
yang tahan lama jika disimpan seperti padi atau beras, kurma, jagung, gandum dan
sebagainya (Muhammad Arsyad al-Banjari, 2008:531). Bagi penduduk di Malaysia, makanan
asasi mereka ialah nasi. Nasi pula dihasilkan daripada padi. Maka hasil pertanian yang
diwajibkan zakat bagi penduduk Malaysia ialah padi. Oleh itu, hasil pertanian yang bukan
tergolong dalam kategori makanan asasi seperti kelapa, kelapa sawit, lada hitam, tebu, koko
dan lain-lain tidak dikenakan zakat pertanian kerana tidak ada nas dan dalil-dalil yang
mewajibkan hasil-hasil pertanian tersebut dikeluarkan zakat pertanian (Jawatankuasa
1


Kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Zakat Dalam Pembangunan Ekonomi – Peringkat Kebangsaan
(NCOZ 2015), anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP), pada 1 Jun 2015, bertempat di Hotel MS Garden
Kuantan, Pahang.
2

Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

1

Perunding Hukum Syarak Kebangsaan, 2011). Sebaliknya, hasil pertanian selain padi tersebut
dikenakan zakat perniagaan kerana terdapatnya unsur kekayaan yang dijadikan sebagai ‘illah
(alasan) untuk mewajibkan zakat.
Persoalannya, kenapakah hasil pertanian selain padi ini dikenakan zakat perniagaan
sedangkan asasnya juga adalah pertanian? Adakah disebabkan tanaman-tanaman selain padi
ini diusahakan secara komersial? Bagaimanakah pula dengan tanaman padi yang diusahakan
secara komersial, tetapi tetap dikenakan zakat pertanian dan bukannya zakat perniagaan?
Untuk menjawab semua persoalan ini, kertas kerja ini mempunyai dua tujuan utama.
Pertama, mengenal pasti asas-asas perakauan zakat pertanian serta pandangan fuqaha’
berhubung jenis-jenis tanaman yang dikenakan zakat pertanian; dan kedua, menganalisis

serta menilai perakaunan zakat hasil pertanian di Malaysia. Kajian ini merupakan kajian
perpustakaan. Semua maklumat berkaitan dianalisis menggunakan kaedah analisis
kandungan.
Definisi Operasi
Bagi memudahkan perbincangan dalam kertas kerja ini, dua konsep penting diberikan definisi
secara operasi yang digunakan. Konsep pertama ialah zakat; dan konsep kedua ialah
perakaunan zakat hasil pertanian.
a)

Zakat

Secara etimologi zakat bermaksud pertambahan (nammu), penyucian (zakka) dan keberkatan
(barakah). Dari segi terminologi pula, zakat bermaksud mengeluarkan harta tertentu dengan
kadar tentu kepada golongan yang berhak menerimanya (asnaf) (al-Qaradawiy, 1969:34).
Selain itu, zakat juga bermaksud hak yang wajib dikeluarkan daripada harta yang telah
ditetapkan oleh syariat. Maksud zakat ini telah diperincikan lagi oleh Mujaini Tarimin
(1999:5) sebagai penyerahan wajib sebahagian harta kekayaan kepada segolongan orang yang
berhak menerimanya melalui amil yang bertauliah bagi mencari keredaan Allah SWT,
penyucian diri dan harta untuk membangunkan masyarakat berdasarkan syarat-syarat 3 yang
ditentukan oleh syarak. Berdasarkan definisi istilah zakat yang dikemukakan ini, Zahri Hamat

(2013:16) menyimpulkan bahawa zakat mempunyai tiga konotasi. Pertama, zakat dari segi
bahasa yang bermaksud penyucian atau pembersihan daripada kekotoran; kedua, zakat dari
segi agama bermaksud penyucian kerohanian; dan ketiga, zakat dari segi perundangan yang
bermaksud pemindahan hal milik harta tertentu kepada individu tertentu.

b)

Perakaunan Zakat Hasil Pertanian

3

Sesuatu hasil tanaman itu wajib dikeluarkan zakat apabila ia telah memenuhi syarat-syarat yang telah
ditetapkan, iaitu Islam, merdeka, cukup nisab, milik sempurna dan hasil tanaman manusia. Walau
bagaimanapun, zakat pertanian tidaklah disyaratkan haul (genap tempoh setahun), akan tetapi ia hendaklah
dikeluarkan sebaik sahaja hasilnya dituai. Hal ini berdasarkan ayat 141 daripada Surah al-An‘am (6) yang
menjelaskan bahawa hasil pertanian wajib keluarkan zakatnya pada hari ia dituai atau dipetik. Penuaian ini
mestilah selepas biji-bijian itu matang dan keras. Tidak disyaratkan semuanya matang bahkan cukup dengan
matang sebahagiannya maka dianggap matang semuanya. Disyaratkan nampak matang pada tanaman kerana
sebelum keadaan tersebut ia tidak dianggap sebagai makanan asasi dan tidak sesuai untuk disimpan kerana
berkemungkinan mudah rosak.


2

Perakaunan zakat atau dalam Bahasa Arab muhasabah al-zakah bermaksud satu bidang ilmu
perakaunan untuk menentukan dan menilai harta yang diwajibkan zakat, menentukan
kadarnya, membuat taksiran zakat yang dikenakan, memungut dan mengagihkan harta zakat
yang dipungut kepada penerima zakat berdasarkan syarat-syarat dan kedah yang ditetapkan
oleh syarak (Husain Shahatah, 2003:194). Menurut Zahri Hamat (2013:16), proses
perakaunan zakat melibatkan lima tahap. Pertama, menentukan harta-harta yang diwajibkan
zakat; kedua, menilai harta-harta yang diwajibkan zakat; ketiga, menentukan kadar zakat
yang sesuai; keempat, mengagihkan hasil pungutan zakat kepada penerima zakat; dan kelima,
menyediakan laporan kepada pihak berkuasa tentang pungutan dan agihan zakat 4. Definisi
perakaunan zakat hasil pertanian yang digunakan dalam kertas kerja ini ialah proses
mengenal pasti ciri-ciri harta atau hasil pertanian yang diwajibkan zakat, menentukan syaratsyarat hasil pertanian yang diwajibkan zakat, memastikan kadar zakat yang dikenakan dan
kemudian membuat taksiran zakat terhadap harta tersebut.
Asas Perakaunan Zakat Pertanian
Perakaunan zakat pertanian yang diamalkan di Malaysia adalah berasaskan dalil-dalil
daripada al-Qur’an dan Hadith. Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Dia-lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar
tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanamantanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang

bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah daripada
buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau
menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau
belanjakan). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (alAn‘am, 6:141).

Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian
daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa-apa yang Kami
keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk
daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu
sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu),
kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha
Kaya, lagi sentiasa Terpuji” (al-Baqarah, 2:267).

Kedua-dua ayat ini menerangkan kewajipan seseorang individu yang memiliki hasil pertanian
daripada usaha penanaman yang dilakukannya untuk memenuhi keperluan sosial dengan
mengeluarkan zakat (al-Tabariy, 1992:362; Ibn Kathir, 1992:188; dan al-Qurtubiy, 1993:208).
Sebenarnya, zakat pertanian adalah berdasarkan pengeluaran hasil tanaman. Walau
bagaimanapun, kedua-dua ayat tersebut tidak menjelaskan secara terperinci jenis-jenis
tanaman yang diwajibkan zakat serta kadarnya. Jenis-jenis tanaman dan kadar zakat pertanian

tersebut hanya dijelaskan dalam Hadith Rasulullah SAW. Antara hadith yang menjadi asas
kepada perakauan zakat ini ialah:

4

Perbincangan dalam kertas kerja ini hanya tertumpu kepada tahap pertama, kedua dan ketiga. Aspek pungutan
dan laporan pengagihan zakat hasil pertanian tidak dibincangkan dalam kertas kerja ini.

3

Diriwayatkan daripada ‘Attab bin Usaid r.a. katanya: Rasulullah SAW telah
memerintahkan agar anggur basah dianggarkan kadarnya ketika ia menjadi anggur
kering sebagaimana juga tamar basah dianggarkan kadarnya ketika ia menjadi tamar
kering dan zakatnya diambil dalam bentuk anggur kering (zabib-kismis) sebagaimana
zakat kurma diambil dalam bentuk tamar kering (Riwayat Abu Daud, Hadis no. 1603, alKhin, al-Bugha & al-Syarbaji, 2009:26)
Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin ‘Amru r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud, “Tanaman yang diairi oleh hujan, sungai-sungai dan mata air atau yang
mendapat air dari saliran (atau melalui akarnya) hendaklah dikeluarkan (zakatnya)
sepersepuluh (1/10). Tanaman yang diairi dengan unta pengangkut air atau dengan
penimba, hendaklah dikeluarkan seperduapuluh (1/20)”. (Riwayat al-Bukhariy, Hadis no.

1483, Ibn Hajar, 1989:443).
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-‘Asy’ari dan Mu‘az bin Jabal bahawa Rasulullah
SAW berkata kepada kedua-dua mereka ketika mereka berdua dihantar ke Yaman untuk
mengajar orang ramai tentang agama mereka. Baginda menyuruh mereka supaya tidak
mengambil zakat kecuali daripada empat jenis tanaman iaitu gandum, barli, tamar dan
anggur” (Riwayat al-Tabrani, Hadis no. 16, Ibn Hajar, 1992:277).

Ketiga-tiga hadis ini bukan sahaja menjelaskan kewajipan zakat pertanian, malah ia
menjelaskan jenis-jenis tanaman yang wajib dikeluarkan zakat serta kadarnya. Jelaslah
bahawa ketiga-tiga hadis ini berperanan sebagai pentafsir kepada ayat 141 daripada Surah alAn‘am dan ayat 267 daripada Surah al-Baqarah yang dikemukakan sebelum ini.
Jenis-Jenis Tanaman yang Diwajibkan Zakat
Menurut al-Qaradawiy (1999), terdapat empat kategori pendapat tentang hasil pertanian yang
diwajibkan zakat, iaitu:
Pertama, zakat diwajibkan hanya terhadap empat hasil pertanian sahaja. Ia meliputi gandum,
barli, kurma dan anggur. Ini pendapat Ibn Umar dan beberapa ulama salaf. Musa Ibn Talhah,
Hasan al-Basri, Ibn Sirin, al-Sya‘bi, al-Thawriy, al-Hasan Ibn Salih, Ibn Abi Laila, Ibn alMubarak dan Abu ‘Ubayd turut berpendapat sedemikian (al-Qaradawiy, 1999). Hal ini adalah
berdasarkan perintah Rasulullah SAW kepada Abu Musa al-Asy‘ari dan Mu’az Ibn Jabal
supaya tidak mengambil zakat kecuali daripada empat hasil pertanian tersebut.5 Hal ini
disokong oleh Hadis Musa bin Talhah yang turut menyebut empat jenis hasil pertanian ini
yang diwajibkan zakat (Ibn Hajar, 1992:277).

Kedua, zakat diwajibkan terhadap hasil pertanian yang dijadikan makanan asasi dan boleh
disimpan lama. Ini pendapat Imam Malik dan Imam al-Syafi‘iy. Makanan asasi adalah
makanan yang mengenyangkan secara ‘urf kepada sesuatu bangsa seperti padi, gandum, barli
dan jagung. Menurut Imam Malik dan Imam al-Syafi’i, zakat tidak dikenakan terhadap buahbuahan kecuali kurma dan anggur, dan biji-bijirin lain kecuali yang menjadi makanan utama
(al-Jaziriy, 1990:559-561; al-Zuhailiy, 1989:806). Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan

5

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-‘Asy’ari dan Mu‘az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW berkata kepada
kedua-dua mereka ketika mereka berdua dihantar ke Yaman untuk mengajar orang ramai tentang agama
mereka. Baginda menyuruh mereka supaya tidak mengambil zakat kecuali daripada empat jenis tanaman iaitu
gandum, barli, tamar dan anggur” (Riwayat al-Tabraniy, Hadis no. 16, Ibn Hajar, 1992:277).

4

pendapat dalam kalangan ulama al-Syafi’i terhadap zakat buah Zaitun. Perbezaan pendapat
dalam kalangan Maliki turut berlaku terhadap zakat buah Tin6 (al-Qaradawiy, 1999).
Ketiga, zakat diwajibkan terhadap hasil pertanian yang boleh dikeringkan, disimpan lama dan
disukat. Ini pendapat Imam Ahmad Ibn Hanbal. Dengan itu, apa-apa sahaja hasil pertanian
yang memenuhi kriteria tersebut diwajibkan zakat sama ada biji-bijirin atau buah-buahan. Ia

tidak tertakluk sama ada hasil pertanian tersebut menjadi makanan asasi ataupun sebaliknya
(al-Jaziriy, 1990:560; al-Zuhailiy, 1989:807). Namun, buah-buahan yang boleh dimakan,
tetapi bukan tujuan mengenyangkan adalah dikecualikan zakat. Sayur-sayuran turut
dikecualikan zakat kerana tidak memenuhi kriteria di atas (al-Qaradawiy, 1999)
Keempat, zakat diwajibkan terhadap semua hasil pertanian. Zakat dikenakan ke atas semua
jenis hasil pertanian sama ada diusahakan ataupun tumbuh sendiri, asalkan boleh diambil
manfaat. Ini pendapat Imam Abu Hanifah (al-Jaziriy, 1990:559; al-Zuhailiy, 1989:805). Ia
berdasarkan dalil daripada pengertian umum al-Qur’an, iaitu apa-apa yang dikeluarkan
daripada bumi (al-Baqarah, 2:267), dan tunaikan hak pada hari menuai (al-An’am, 6:141).
Mengikut Ibn Hazm, pandangan yang sama dipegang oleh ‘Umar Abdul Aziz, Ibrahim alNakha‘iy, Hammad Abi Sulaiman dan Mujahid (al-Qaradawiy, 1999).
Berdasarkan keempat-empat kategori pendapat tentang hasil pertanian yang diwajibkan zakat,
al-Qaradawiy (1999) merumuskan bahawa pandangan Imam Abu Hanifah yang ditarjihkan
oleh para ulama masa kini. Ia selari dengan pandangan ‘Umar Abdul Aziz, Mujahid,
Hammad, Daud dan al-Nakha‘iy iaitu zakat dikeluarkan dari segala harta yang dikeluarkan
dari bumi. Pandangan inilah yang didokong kuat oleh pengertian umum al-Qur’an dan alSunnah. Ia selaras dengan hikmah perundangan zakat. Selanjutnya al-Qaradawiy (1999)
membuat kesimpulan berikut:
“Adalah kurang bijaksana, pada pandangan kita, kalau Syariat Islam mewajibkan zakat
atas para petani yang menanam gandum dan barli tetapi mengecualikannya daripada para
pengusaha ladang limau, mangga dan epal”.


Dalam hal ini, jika diambil kira pandangan Imam Abu Hanifah dan fuqaha’ yang sependapat
dengannya seperti pandangan Imam Ahmad bin Hanbal, jenis-jenis tanaman yang diwajibkan
zakat pertanian tidaklah tertumpu kepada makanan asasi sahaja, malah boleh diperluaskan
lagi. Menurut mereka, sesuatu tanaman itu tidak kira sama ada ia tergolong dalam kategori
makanan asasi ataupun tidak, wajib dikeluarkan zakat pertanian jika ia ditanam dengan tujuan
mendapatkan hasil atau kekayaan. Berdasarkan pandangan ini, jelaslah bahawa zakat hasil
pertanian tidaklah diwajibkan terhadap makanan asasi seperti gandum dan padi sahaja, tetapi
ia boleh diperluaskan kepada tanaman-tanaman lain seperti pisang, nenas, tebu, lada hitam,
koko, kelapa sawit dan sebagainya.
Walaupun usaha perladangan kelapa sawit, koko, lada hitam, nenas dan lain-lain itu secara
bendanya (‘ayn) tidak diwajibkan zakat pertanian, tetapi mungkin secara ‘illahnya
(alasannya) boleh dikenakan zakat. Logik akal mempersoalkan bahawa jika petani padi wajib
membayar zakat pertanian, kenapa pengusaha ladang kelapa sawit, lada hitam dan ladang
koko diwajibkan zakat perniagaan sedangkan perkara yang mereka usahakan itu juga
6

Dalilnya adalah Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin ‘Amru r.a. katanya: Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud, “Tanaman yang diairi oleh hujan, sungai-sungai dan mata air atau yang mendapat air
dari saliran (atau melalui akarnya) hendaklah dikeluarkan (zakatnya) sepersepuluh (1/10). Tanaman yang diairi
dengan unta pengangkut air atau dengan penimba, hendaklah dikeluarkan seperduapuluh (1/20)” (Riwayat alBukhariy, Hadith no. 1483, Ibn Hajar, 1989:443).

5

berasaskan pertanian? Hal ini ditambah pula dengan keadaan banyak aktiviti ekonomi moden
hari ini boleh mendatangkan hasil yang lumayan, maka usaha perladangan seperti getah dan
kelapa sawit boleh mendatangkan hasil lumayan berbanding padi.
Para fuqaha’ (ulama fiqh) telah sepakat dalam menentukan jenis-jenis tanaman yang wajib
dikenakan zakat pertanian berdasarkan nas qat‘i serta berdasarkan ‘illah wajib zakat. Namun
demikian, dalam keadaan banyak aktiviti ekonomi moden hari ini yang kian berkembang dan
mendatangkan hasil yang lumayan, maka ‘illah yang digunakan oleh fuqaha’ terdahulu
khususnya ‘illah makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan, tidak
memungkinkan zakat dikenakan terhadap sesetengah hasil tanaman walaupun penghasilannya
jelas lumayan. Oleh itu, langkah untuk meluaskan asas zakat pertanian ini wajar
dipertimbangkan agar zakat pertanian tidak hanya bergantung pada sumber tradisi sahaja. Di
Malaysia pada ketika ini banyak hasil tanaman yang boleh dipertimbangkan untuk dikenakan
zakat. Hal ini berdasarkan kaedah menentukan hukum zakat yang meliputi kaedah qias,
kaedah kekayaan, dan kaedah memilih yang menguntungkan fakir miskin. Memandangkan
kebanyakan tanaman pada masa kini adalah berbentuk komersial dan mendatangkan hasil
yang lumayan, maka kaedah kekayaan khususnya amat wajar digunakan.
Terdapat beberapa nas daripada al-Qur’an dan hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa
harta perlu diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin. Hal ini
menunjukkan bahawa kekayaan boleh dijadikan ‘illah untuk mewajibkan zakat terhadap
individu. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk
negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan
bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orangorang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian)
supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan
apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta
amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah
laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat
azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (al-Hasyr, 59:7).

Selain itu, terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang turut membincangkan hal ini, antaranya
ialah:
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa tatkala Nabi SAW mengutus Mu‘az bin
Jabal r.a ke Yaman, Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT telah
mewajibkan zakat pada harta benda mereka yang dipungut daripada orang-orang kaya
dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka” (Riwayat al-Bukahriy, Hadis
no. 1485, Ibn Hajar, 1989:411)
Diriwayatkan daripada Ali r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Allah
SWT mewajibkan zakat pada harta orang-orang yang kaya daripada kaum Muslimin
sejumlah yang dapat melapangi orang-orang miskin di antara mereka. Fakir miskin itu
tiadalah menderita menghadapi kelaparan dan kesulitan, kecuali kerana perbuatan
golongan orang kaya. Ingatlah Allah akan mengadili mereka nanti secara tegas dan
menyiksa mereka dengan pedih” (Riwayat al-Tabraniy).

Dalil-dalil ini jelas menunjukkan kekayaan menjadi salah satu asas pertimbangan untuk
mengenakan zakat kepada orang-orang Islam yang mengusahakan ladang kelapa sawit, koko,

6

nenas dan sebagainya. Oleh itu, hal ini mewajarkan zakat dikenakan ke atas harta kekayaan
orang-orang kaya dengan tidak mengambil kira sumber kekayaan tersebut diperoleh.
Perakaunan Zakat Hasil Pertanian di Malaysia
Hasil pertanian di sini bermaksud semua hasil yang diperoleh daripada usaha tanaman sama
ada ia tanaman jangka pendek atau tanaman jangka jangka panjang. Tanaman jangka pendek
bermaksud tanaman yang penghasilannya diperoleh hanya sekali untuk setiap kali kohot
tanaman seperti sayur-sayuran, tomato, kacang panjang dan nenas. Tanaman jangka panjang
pula bermaksud tanaman yang penghasilannya diperoleh secara berkekalan dalam jangka
masa panjang untuk sekali tanam seperti kelapa sawit, kelapa, koko dan kopi.
Di Malaysia, hanya tanaman padi yang diwajibkan zakat pertanian kerana umat Islam di
Malaysia berpegang dengan Mazhab al-Syafi‘iy. Menurut Mazhab al-Syafi‘iy, zakat pertanian
hanya diwajibkan terhadap tanaman yang menjadi makanan asasi sesuatu tempat serta boleh
dikeringkan. Jika disimpan ia tahan lama. Oleh itu, tanaman padi diwajibkan zakat
berdasarkan ‘illah makanan asasi di Malaysia serta tahan apabila disimpan dalam tempoh
waktu yang lama (al-Bujayrimiy, 1996:51). Terdapat pelbagai kaedah perakaunan zakat
pertanian khususnya zakat padi yang diamalkan di Malaysia pada ketika ini. Hal ini
sebagaimana yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Kaedah Perakaunan Zakat Padi di Malaysia

1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14

PK Zakat dikenakan Terhadap
Pendapatan Bersih Setelah
ditolak Kos Pertanian dan
Kos Sara Hidup daripada

Zakat dikenakan Terhadap
Pendapatan Bersih Setelah
ditolak Kos Pertanian
daripada Pendapatan Kasar

Negeri

Zakat dikenakan Terhadap
Pendapatan Kasar Dengan
Kadar 5% & 10%

Bil.

Zakat dikenakan Terhadap
Pendapatan Kasar Dengan
Kadar 5%

Perakaunan Zakat Padi di Malaysia


Perlis

Kedah

Pulau Pinang

Perak

Wilayah Persekutuan

Selangor

Kelantan

Terengganu

Pahang

Negeri Sembilan

Melaka

Johor

Sarawak

Sabah
Jumlah / Peratus
2 (14%)
8 (58%)
2 (14%)
2 (14%)
Nota: Diolah daripada maklumat perakaunan zakat padi yang terdapat dalam laman sesawang
pusat-pusat zakat mengikut negeri dan temu bual yang dijalankan.

7

Jadual 1 mempamerkan kepelbagaian kaedah perakaunan zakat padi yang diamalkan di
Malaysia pada ketika ini. Kepelbagaian kaedah perakaunan zakat padi ini boleh dibahagikan
kepada empat kategori. Pertama, zakat padi dikenakan terhadap pendapatan kasar (PK)
dengan kadar 5%; kedua, zakat padi dikenakan terhadap PK dengan kadar 5% dan 10%;
ketiga, zakat padi dikenakan terhadap pendapatan bersih (PB) setelah ditolak kos pertanian
(KP) dengan kadar 10%; dan keempat, zakat padi dikenakan terhadap PB setelah ditolak KP
dan kos sara hidup (KSH) dengan kadar 10%. Terdapat dua buah negeri (14%) yang
mengenakan zakat padi terhadap PK dengan kadar 5%; 8 buah negeri (58%) mengenakan
zakat padi terhadap PK dengan kadar 5% dan 10%; dua buah negeri (14%) mengenakan zakat
padi terhadap PB setelah ditolak kos pertanian; dan dua buah negeri (14%) mengenakan zakat
padi terhadap PB setelah ditolak KP dan KSH dengan kadar 10%.7
Jika berpegang kepada pandangan Imam al-Syafi‘iy sebelum ini, tanaman-tanaman selain
padi seperti kelapa, kelapa sawit, koko, nenas, lada hitam, dan kopi tidak dikenakan zakat
pertanian kerana ia tidak tergolong dalam kategori makanan asasi. Walau bagaimanapun, jika
tanaman-tanaman ini diusahakan secara komersial dan mendatangkan hasil yang lumayan,
maka ia tetap diwajibkan zakat. Kekayaan menjadi salah satu asas pertimbangan untuk
mengenakan zakat terhadap orang-orang Islam yang mengusahakan tanaman-tanaman yang
tidak termasuk dalam kelompok makanan asasi yang mengenyangkan ini.
Para fuqaha’ berbeza pendapat mengenai kewajipan mengeluarkan zakat bagi tanamantanaman yang bukan daripada kelompok makanan asasi. Namun terdapat pandangan yang
membolehkan zakat dikenakan ke atas semua hasil tanaman. Misalnya, pandangan Imam Abu
Hanifah yang menyatakan wajib zakat bagi setiap tanaman yang tumbuh di bumi atas hasil
usaha manusia. Tidak ada bezanya dengan sayur-sayuran dan lain-lain. Ia hanya disyaratkan
menanamnya dengan maksud untuk mendapatkan hasil bumi. Walau bagaimanapun, kayu
bakar, rumput dan pokok-pokok yang tidak berbuah adalah dikecualikan (al-Jaziriy,
1990:559).
7

Jelas di sini bahawa hanya Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah yang mengambil kira KP dan KSH dalam
perakaunan zakat padi mereka. Daripada empat buah negeri ini, dua buah negeri iaitu Sarawak dan Sabah
menolak KP daripada PK dalam perakaunan zakat padi mereka, manakala Pulau Pinang dan Perlis mengenakan
zakat padi terhadap PB setelah ditolak KP dan KSH (Temu bual Haji Mohd Nazim Mohd Noor, 27 Februari
2014 dan Azhari Ahmad, Eksekutif Zakat, Zakat Pulau Pinang pada 16 Jun 2014). Sebenarnya, perakaunan
zakat padi di Sarawak dan Sabah adalah berpandukan Manual Pengurusan Pengiraan Zakat yang dikeluarkan
oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) (2008:46), iaitu perakaunan zakat pertanian dibuat dengan
menolak KP daripada PK. Hal ini berbeza dengan perakaunan zakat padi di Perlis dan Pulau Pinang yang bukan
sahaja menuruti Manual Pengurusan Pengiraan Zakat yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji
(JAWHAR) (2008:46) itu, malah lebih daripada itu kerana selain menolak KP, mereka juga menolak KSH
daripada PK. Perlis mengamalkan perakaunan zakat padi dengan menolak KP dan KSH daripada PK. Hasil PB
daripada penolakan itu dikenakan zakat dengan kadar 10% (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Perlis, 2001:16-20). Menurut Mohd Nazim Mohd Noor (Temu bual pada 27 Februari 2014), perkara ini telah
diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis. Lagipun, dalam Undang-Undang Tubuh Negeri telah dinyatakan
bahawa Perlis tidak terikat dengan sebarang mazhab dalam pengamalan hal-hal keagamaan. Jelas di sini bahawa
Perlis boleh berbeza dalam perakaunan zakat padi kerana mereka tidak terikat dengan sesuatu mazhab tertentu
dalam pengamalan soal agama. Begitu juga dengan Pulau Pinang yang mengenakan zakat padi ke atas PB
setelah ditolak KP dan KSH dengan kadar zakat 10%. Menurut Azhari Ahmad (Temu bual pada 16 Jun 2014),
penolakan KP dan KSH ini adalah untuk memberi keadilan kepada semua pihak. Hal ini lebih-lebih lagi KP dan
KSH yang kian meningkat dan kebanyakan petani pula bergantung kepada sumber pendapatan daripada padi
semata-mata. Demikianlah antara pertimbangan yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang.

8

Bagi Imam Ahmad bin Hanbal pula, beliau jelas menyatakan wajib zakat bagi
setiap tanaman yang dikeluarkan oleh Allah SWT dari bumi, sama ada yang berupa biji-bijian
atau buah-buahan asalkan ia ditanam oleh manusia. Demikian ini tidak kira sama ada ia
makanan asasi atau tidak. Wajib zakat bagi buah-buahan yang dikeringkan, tetapi tidak wajib
zakat bagi buah-buahan yang basah seperti semangka, betik, jambu dan mentimun (al-Jaziriy,
1990:560).
Berdasarkan beberapa pandangan fuqaha’ yang berbeza ini, tidaklah keterlaluan jika usaha
dilakukan untuk mewajibkan zakat ke atas hasil-hasil tanaman selain padi di Malaysia
khususnya mengikut pandangan Imam Abu Hanifah. Dalam kes pertanian, terdapat dua
kategori tanaman yang boleh dipertimbangkan berdasarkan sifat fizikalnya dan sifat
perolehannya yang agak berbeza. Sifat fizikal tanaman adalah sama ada ia tahan lama atau
tidak tahan lama, manakala sifat perolehannya ialah sama ada ia jangka pendek atau jangka
panjang.
1. Bukan Makanan Asasi dan Hasil Tahan Lama
Semua jenis tanaman yang termasuk dalam kategori ini wajib dikeluarkan zakat. Hal ini
bertepatan dengan pandangan fuqaha’ yang berpandangan bahawa semua jenis tanaman yang
tahan lama wajib dikeluarkan zakat, tidak kira sama ada ia makanan asasi atau tidak. Dalam
kes Malaysia, tanaman dalam kategori ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
a. Jangka Panjang dan Hasil Tanaman Tahan Lama
Tanaman jenis ini merupakan tanaman yang hasilnya boleh tahan lama jika disimpan
dan penghasilannya berbentuk jangka panjang. Contoh tanaman jenis ini ialah kopi
dan koko. Kedua-duanya boleh disimpan lama dan penghasilannya berbentuk jangka
panjang. Sekali tanam hasil yang diperolehnya dapat digunakan untuk beberapa tahun.
Memandangkan ia adalah jenis tanaman yang dikenakan zakat berdasarkan ‘illah
tahan lama, tetapi hasilnya berpanjangan dari satu penanaman, maka syarat zakat ke
atasnya memerlukan syarat haul dan syarat nisab berdasarkan nilainya. Hasilnya
boleh dikumpulkan untuk jangka masa setahun dan dikirakan zakat tahunan dengan
kadar zakat 2.5% berdasarkan nilainya.
b. Jangka Pendek dan Hasil Tanaman Tahan Lama
Tanaman jenis ini merupakan jenis tanaman yang hasilnya boleh disimpan lama,
tetapi penghasilnya adalah berbentuk jangka pendek iaitu hasilnya dikutip sekali
untuk setiap kali penanaman. Contohnya ialah bawang, kunyit, halia, kentang,
keledek dan kacang tanah. Memandangkan ia tergolong dalam kategori wajib zakat
mengikut pandangan sebahagian ulama berdasarkan ‘illah tahan lama, maka ia boleh
dipertimbangkan untuk dikenakan zakat dengan syarat nisab tanpa syarat haul. Hasil
tanaman ini perlu dikeluarkan zakat setiap kali selepas tuaian. Zakat yang dikenakan
adalah mengikut nilai semasa bagi kadar zakat padi iaitu 10 awsuq atau menyamai
1920 kilogram sebelum diproses menjadi beras dan lima awsuq atau menyamai 960
kilogram bagi yang telah proses menjadi beras.
2. Bukan Makanan Asasi dan Hasil Tidak Tahan Lama
Hasil tanaman yang bukan makanan asasi serta tidak tahan lama juga wajar dipertimbangkan
untuk dikeluarkan zakat memandangkan hasil tanaman tersebut pada masa kini adalah
lumayan. Oleh itu, zakat dikenakan berdasarkan ‘illah kekayaan. Bagi pengusaha tanaman

9

yang memperoleh hasil melebihi nisab zakat, maka wajar dikenakan zakat. Pertanian dalam
kategori ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian:
a. Jangka Panjang dan Hasil Tidak Tahan Lama
Tanaman jangka panjang ialah tanaman yang penanaman pada satu kohot dapat
memberi hasil berkekalan pada jangka masa yang panjang. Tanaman dalam kategori
ini berpanjangan dan beberapa kali dalam setahun seperti kelapa sawit, kelapa dan
dusun buah-buahan. Memandangkan hasil dikutip secara berkekalan, maka syarat
zakat ke atasnya memerlukan syarat haul dan syarat nisab berdasarkan nilainya. Zakat
boleh dikenakan berdasarkan jumlah hasil tahunan dengan kadar 2.5% berdasarkan
nilainya.
b. Jangka Pendek dan Hasil Tidak Tahan Lama
Sesuatu tanaman itu dianggap tanaman jangka pendek jika penanaman asal musnah
dan penanaman baru perlu dibuat semula selepas sekali tuai, misalnya hasil tomato,
sayuran, kacang panjang dan pisang. Memandangkan hasil dikutip secara jangka
pendek maka syarat zakat yang perlu adalah syarat nisab tanpa syarat haul. Zakat
yang dikenakan adalah mengikut nilai semasa bagi kadar zakat padi iaitu 10 awsuq
atau menyamai 1920 kilogram sebelum diproses menjadi beras dan lima awsuq atau
menyamai 960 kilogram bagi yang telah proses menjadi beras.
Semua perbincangan tentang taksiran dan perakaunan zakat bagi tanaman-tanaman yang
bukan dalam kategori makanan asasi dan tahan lama apabila disimpan dirumuskan seperti
dalam Jadual 2.
Jadual 2: Zakat Pertanian Sumber Ikhtilaf
Sifat Fizikal
Hasil Pertanian

1. Bukan Makanan
Asasi dan Hasil Tahan
Lama

2. Bukan Makanan
Asasi dan Hasil Tidak
Tahan Lama

Kategori / Sifat
Perolehan
a. Jangka Panjang
Contoh, kopi dan
koko
b. Jangka Pendek
Contoh, bawang,
kunyit, halia, dan
kacang tanah
a. Jangka Panjang
Contoh, kelapa
sawit, getah, dan
dusun buah-buahan
b. Jangka Pendek
Contoh, tomato,
sayur-sayuran, dan
kacang panjang

‘lllah
Tahan lama /
kekayaan
Tahan lama/
kekayaan

Kekayaan

Kekayaan

Syarat
Haul dan nisab

Nisab tanpa haul

Haul dan nisab

Nisab tanpa haul

Jenis Zakat
& Kadar
Zakat Perniagaan
dengan kadar
2.5%
Zakat Pertanian
dengan mengikut
nilai semasa bagi
kadar zakat padi
Zakat Perniagaan
dengan kadar
2.5%
Zakat Pertanian
dengan mengikut
nilai semasa bagi
kadar zakat padi

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan sebelum ini dapatlah dirumuskan bahawa di Malaysia hasil
pertanian yang tidak dikategorikan sebagai makanan asasi juga dikenakan zakat pertanian.
Hal ini berdasarkan kaedah kekayaan memandangkan kebanyakan tanaman pada masa kini
adalah berbentuk komersial dan mendatangkan hasil yang lumayan. Adapun jenis zakat yang
dikenakan itu pula bergantung pada ‘illahnya. Jika ‘illahnya merangkumi tahan lama dan

10

kekayaan, maka jenis zakat yang dikenakan itu ialah zakat perniagaan kerana ia perlu
memenuhi syarat haul dan nisab. Bagi tanaman yang ‘illahnya hanya kekayaan semata-mata,
maka jenis zakat yang dikenakan ialah zakat pertanian kerana ia perlu memenuhi syarat nisab
tanpa haul. Lagipun, zakat pertanian tidak disyaratkan cukup haul berbanding zakat
perniagaan yang wajib mengambil kira haul.
Penghargaan:
Makalah ini adalah sebahagian daripada hasil kajian yang berjudul Perakaunan Zakat Pertanian
Usahawan Tani di Malaysia (1001/PSOSIAL/8162007) yang dibiayai oleh Geran Universiti
Penyelidikan (RUI), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia.

Rujukan
Abu ‘Ubayd, al-Qasim bin Salam. (1988). Kitab al-Amwal. Beirut, Lubnan: Beirut Dar alFikr.
Al-‘Azim Abadi, Abi al-Tayyib Muhammad Syams al-Haqq. (t.t). ‘Awn al-Ma‘bud Syarh
Sunan Abi Dawud, Jld. 4. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Buhuti, Mansur bin Yunus bin Idris. (1999). Kasyf al-Qina‘, Jil. 2. Beirut, Lubnan: Dar
Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.
Al-Bujayrimiy, Sulayman bin Muhammad bin ‘Umar al-Syafi‘iy. (1996). Al-Bujayrimiy ‘Ala
al-Khatib (Syarh al-Iqna‘), Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Jaziriy, ‘Abd al-Rahman. (1990). Kitab al-Fiqh ‘Ala Mazahib al-Arba‘ah, Jld. 1. Beirut,
Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Khin, Mustafa; al-Bugha, Mustafa; & al-Syarbaji, ‘Ali. (2009). Al-Fiqh al-Manhaji, Jld. 2.
Terjemahan Zulkifli Mohamad al-Bakri. Bangi, Selangor: Darul Syakir Enterprise.
Al-Nawawi, Muhyi al-Din Abi Zakariyya Yahya bin Syarf. (1997). Sahih Muslim bi Syarh
Imam al-Nawawi, Jld. 7. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.
Al-Qaradawiy, Yusuf. (1969). Fiqh al-Zakah Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa
Falsafatiha fi Daw’ al-Qur’an wa al-Sunnah. Beirut, Lubnan: Dar al-Irsyad.
Al-Qaradawiy, Yusuf. (1999). Fiqh az-Zakat: A Comparative Study. Diterjemahkan oleh
Monzer Kahf. London: Dar Al Taqwa Ltd.
Al-Qurtubiy, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansariy. (1993). Al-Jami‘ li Ahkam
al-Qur’an, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Son‘aniy, Muhammad bin Isma‘il. (1992). Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram min
Jama‘ Adillah al-Ahkam li Ibn Hajar al-‘Asqalaniy, Jld. 2. Beirut, Lubnan: AlMaktabah al-‘Asriyyah.
Al-Syawkani, Muhammad bin ‘Ali. (1996). Nayl al-Awtar min Ahadith Sayyid al-Akhyar
Sayrh Muntaqa al-Akhbar, Jld. 4. Beirut, Lubnan: Dar al-Khayr.
Al-Tabariy, Abi Ja‘far Muhammad bin Jarir. (1992). Tafsir al-Tabariy al-Musamma Jami‘ alBayan fi Ta’wil al-Qur’an, Jld. 5. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Zuhailiy, Wahbah. (1989). Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, Jld. 2. Damsyik: Dar al-Fikr.
Al-Zuhayli, Wahbah. (1989). Al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Jld. 2. Damsyiq: Dar al-Fikr.
Husain Shahatah (2003). Kaedah Agihan Zakat Harta, Pengertian, Sistem dan Agihannya.
Diterjemah oleh Hamid Fahmy Zarkasyi dan Harun Ar-Rashid Hj. Tuskan. Kuala
Lumpur: Pustaka Al-Shafa.
Ibn Hajar, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani. (1989). Fath al-Bari Syarh Sahih alBukhari, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ibn Hajar, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani. (1992). Subul al-Salam Syarh Bulugh alMaram min Jam‘ Adillah al-Ahkam, Jld. 2. Beirut, Lubnan: Maktabah al-‘Asriyyah.

11

Ibn Hajar, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalaniy. (1989). Fath al-Bariy Syarh Sahih alBukhariy, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ibn Kathir, al-Hafiz Abi al-Fida’ Isma‘il. (1992). Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 2. Beirut,
Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.
Ibn Qudamah, Abi Muhammad ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah alMaqdasiy al-Jamma‘iliy al-Dimasyqiy al-Salihiy al-Hanbaliy. (1997). Al-Mughni, Jld.
4. Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub.
Ibn Qudamah, Mawaffaq al-Din ‘Abd Allah Ibn Ahmad al-Maqdisi. (1997). Al-Mughni, Jld.
4. Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub.
Ishak Din, Haron Din & Hassan Din, (1992). Soal Jawab Fiqh Harian. Selangor: Penerbitan
HIZBI.
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), (2008). Manual Pengurusan Pengiraan Zakat.
Putrajaya: JAWHAR, Jabatan Perdana Menteri.
Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) Kebangsaan (2011). Zakat Komodoti Utama
Seperti: Kelapa, Kelapa Sawit, Getah, Lada Hitam, Nenas dan Lain-Lain, diakses
daripada http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyid=1146, pada
10 Oktober 2013.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), 2001. Panduan Mengeluarkan
Zakat. Kangar, Perlis: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
Muhammad Arsyad al-Banjari (2008). Kitab Sabil al-Muhtadin. Diterjemahkan oleh MKA
Kreatif Enterprise. Johor Baharu: Perniagaan Jahabersa.
Muhammad Kamal ‘Atiyyah (1995). Perakaunan Zakat: Teori dan Praktis, terjemahan Mohd
Nor Ngah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mujaini Tarimin (1999). Zakat Pertanian, Sistem dan Perlaksanaannya. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Temu bual Azhari Ahmad, Eksekutif Zakat, Zakat Pulau Pinang, pada 16 Jun 2014, jam 10.55
am hingga 12.00 am, bertempat di Pejabat Zakat Pulau Pinang.
Temu bual Mohd Fahmi Salleh Hilmi, Penolong Pegawai Zakat, Jabatan Zakat Kedah, pada
10 Jun 2014, jam 9.00 am hingga 10.00 am, bertempat di pejabat Jabatan Zakat
Negeri Kedah.
Temu bual Mohd Nazim Mohd Noor, Pengurus Baitulmal, Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pada 27 Februari 2014, jam 4.00 pm hingga 5.00 pm,
bertempat di Pejabat Baitulmal.
Temu bual Mohd. Latif Tolib, Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam dan Adat
Melayu Perak (MAIPs), pada 17 Jun 2014, jam 12.05 pm hingga 1.00 pm, bertempat
di pejabat MAIPs, Ipoh, Perak.
Yahya Ibn Adam. (t.t.). Kitab al-Kharaj. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.
Zahri Hamat (2013). Perakaunan Zakat Perniagaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

12