KEBIJAKAN ISLAM DALAM TRANSFORMASI SISTE

KEBIJAKAN ISLAM DALAM TRANSFORMASI SISTEM
PENDIDIKAN DI MALAYSIA:
Suatu Tinjauan ke Atas Sistem Pendidikan Islam
Solahuddin Ismail1
solahuddin@uum.edu.my
Basyiroh Ismail2
basyirohismail@yahoo.com
Mohd Aderi Che Noh PhD3
aderi@ukm.edu.my

Kertas kerja ini dibentangkan di Wacana Pendidikan Islam Siri ke-10 anjuran Fakulti Pendidikan UKM & Majlis
Agama Islam Sabah (MUIS) di Kota Kinabalu Sabah pada 15 - 17 Disember 2014.

Abstrak
Islam yang mula bertapak di Nusantara semasa masyarakatnya berada dalam
pluralisme agama. Kepelbagaian agama yang dianuti sebelumnya telah disatukan
di bawah panji-panji Islam melalui proses pendidikan. Ia terus berkembang hingga
membentuk sebuah empayar Islam bergelar Kesultanan Melayu Melaka. Namun
kolonialisme barat telah merungkai kesepaduan Islam dengan memecah
sempadankan Nusantara mengikut jajahan takluk mereka. Tetapi Islam terus
berasimilasi dengan sistem yang dibawa oleh penjajah walaupun berada dalam

keadaan yang tertekan. Sistem pendidikan Islam yang menjadi tunjang agama turut
sama berubah mengikut haluan semasa. Selepas Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan, sistem ini terus berkembang mengikut kesesuaian dan permintaan
semasa masyarakat. Transformasi yang dibuat berasaskan keperluan pendidikan
negara merupakan satu kebijakan Islam dalam mengurus sistem pendidikan agar ia
sentiasa menepati citra rakyat tanpa bercanggah dengan sistem pendidikan
„mainstream‟ yang sedia ada. Persoalannya, apakah bentuk transformasi yang
dilakukan sehingga sistem pendidikan Islam berupaya mengharungi cabaran untuk
terus kekal hingga kini?. Perbincangan ini dirungkai berpaksikan tiga garis masa
iaitu pra kolonial, kolonial dan pasca kolonial. Ia sangat perlu untuk melihat
ujuran transformasi yang berlaku ke atas Sistem Pendidikan Islam di Malaysia.

Kata kunci: Islam, Pendidikan, Pendidikan Islam, Transformasi Sistem
Pendidikan Islam, Kebijakan Islam

1

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia.
Calon Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
3

Prof. Mayda di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

2

PENDAHULUAN
Pendidikan merupakan aspek yang amat penting dan sangat diambil perhatian di dalam Islam. Ia
sebagai asas dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia dan beradab bagi mendepani
kehidupan sosial manusia yang amat mencabar dewasa ini. Islam yang telah berkurun lama
bertapak di bumi Malaysia senantiasa mengangkat ilmu dan pendidikan dan melaksanakannya
sesuai dengan perkembangan masa dan perubahan masyarakat. Transformasi yang dilakukan
berasaskan keperluan semasa menjadikan pendidikan Islam di Malaysia sentiasa relevan dan
mendapat perhatian. Untuk melaksanakan transformasi agar Islam dan alam pendidikannya dapat
dilihat sentiasa segar dan rasional, pihak yang bertanggungjawab seperti para ulama dan kerajaan
telah berganding bahu dalam memastikan sistem pendidikan Islam yang diterapkan kepada
masyarakat berkeupayaan untuk membentuk insan yang mempunyai semangat patriotik yang
tinggi dalam mempertahankan keutuhan Islam sebagai agama ke atas diri, bangsa dan negara.
Agenda ini telah dilaksanakan secara berterusan dan konsisten oleh gabungan ilmuan dan
kerajaan yang menghasilkan natijah akhir sistem pendidikan Islam seperti yang sedia ada pada
masa kini. Polisi dan dasar yang diimplimentasi melalui sistem pendidikan sekarang telah bejaya
meletakkan pendidikan Islam setanding dengan pendidikan konvensional mutakhir malah ia

lebih baik kerana wujud gabungan agama dan akademik yang beupaya membuah pulangan
terbaik bagi kehidupan di dunia dan di akhirat. Keseimbangan yang ditonjolkan melalui sistem
pendidikan Islam seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bermatlamat
untuk melahirkan Muslim yang tahu peranan diri mereka sebagai hamba dan khalifah Allah
SWT yang mempunyai amanah besar untuk meng’imarah’kan bumi dengan seadilnya.
Rangkaian transformasi pendidikan sebenarnya telah lama terlaksana sejak Islam mula bertapak
di Tanah Melayu. Dan jika ditinjau dengan lebih mendalam, Islam sebenarnya adalah agama
transformasi yang merubah kehidupan masyarakat dari kehidupan jahiliah kepada kehidupan
bertamadun. Prosesnya adalah pendidikan. Dalam konteks Malaysia, Islam yang dijana melalui
pendakwah – merangkap pedagang – secara berterusan sejak berabad lampau telah melakukan
perubahan khususnya melalui ilmu dan pendidikan sebagai bukti bagi membenarkan kata-kata
“Islam the Way of Life”. Tindakan ini merupakan satu kebijakan Islam dalam mengurus agama
dan penganutnya supaya perubahan dan pembaharuan yang dibentuk mampu berasimilasi dengan
pelbagai suasana di sepanjang zaman. Persoalannya, apakah perubahan-perubahan yang telah
dibuat dalam sistem pendidikan Islam sehingga menjadikan Islam itu kekal relevan diamalkan di
Malaysia?. Justeru, penulis membahagikan kertas kerja ini kepada dua bahagian. Pertama;
perbincangan lebih terarah kepada konsep pendidikan Islam dan kedua; perbahasan mengenai
transformasi yang berlaku ke atas sistem pendidikan Islam di Malaysia.

KONSEP PENDIDIKAN ISLAM

Aspek pendidikan menjadi keutamaan di dalam Islam. Ia sebagai asas utama untuk mengenal
Pencipta, memahami maqqasid syariah (yang terkandung di dalamnya tentang kewajipan bagi
setiap Muslim untuk memelihara agama, nyawa, akal fikiran, harta benda dan keturunan) serta
membentuk akhlak mulia. Sumber utamanya adalah Al-Quran dan Al-Sunnah. Ilmu dan segala
macam disiplinnya adalah merupakan teras kepada pendidikan. Oleh yang demikian, menuntut
ilmu itu merupakan kefarduan bagi setiap Muslim (hadis riwayat Ibnu Majah) dan mereka akan
diangkat martabatnya di sisi masyarakat (surah al-Mujadalah: 11). Kedudukan ini merupakan
anugerah yang amat besar kerana pendidikan dapat mengangkat tamadun bagi sesuatu bangsa. Ia
juga sebagai langkah untuk mempersiapkan diri mendepani cabaran di dunia dan bekalan untuk
kehidupan di akhirat.
Hasan Langgulung (1979) mendefinisikan pendidikan sebagai proses merubah dan memindah
nilai kebudayaan kepada setiap individu dalam masyarakat melalui pengajaran, latihan dan
indoktinasi. Ia juga merupakan proses menyampai dan menimba ilmu (pengetahuan) bagi
membangunkan nilai intelektual dan keyakinan diri manusia untuk mematangkan diri manusia
dalam menjalani kehidupan sebenar. Segala pengalaman yang diperolehi melalui pancaindera
dan maklumat yang dicerap secara berstruktur digabungkan untuk membentuk tingkahlaku
manusia yang berkemahiran dan berakhlak mulia.
Pendidikan Islam pula merupakan proses mendidik dan melatih akal, jasmani dan roh manusia
berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah bagi melahirkan insan
yang beriman dan bertakwa serta mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata

(Abdul Halim el-Muhammady, 1991). Proses ini akan membentuk prinsip hidup manusia yang
lebih unggul bagi mengenali Pencipta, alam semesta dan diri sendiri secara kolektif dan serentak
tanpa terpisah di antara satu sama lain. Ia sejajar dengan saranan Allah SWT (surah al-Alaq:1-5)
yang memerintahkan manusia membaca dan menulis supaya wujud perbezaan di antara manusia
dan makhluk-makhluk lain di bumi. Empat teras yang sangat ditekankan dalam pendidikan Islam
iaitu membaca, mengajar, menulis dan mengetahui menjadi suatu kebijakan bagi Islam dalam
mengurus sistem pendidikannya. Dengan demikian, pendidikan Islam sangat mementingkan
proses menuntut ilmu secara berterusan di sepanjang hayat Muslim kerana usaha ini dapat
membangunkan potensi diri manusia secara menyeluruh dan seimbang. Ia juga dapat membentuk
dwi fungsi Muslim selaku hamba Allah SWT dan Khalifah Allah SWT yang mempunyai
tanggungjawab tesendiri dalam memakmurkan alam dengan iman dan pengetahuan yang
diperolehi.
Kewajipan menuntut, beramal dan menghayati ilmu ke atas setiap diri Muslim akan melahirkan
perasaan takwa dan ganjarannya sangat besar di sisi Allah SWT. Ia adalah suatu proses
transformasi dalam diri Muslim secara fizikal dan spiritual malahan dapat membantu
mengembangkan dan mengangkat kehidupan bermasyarakat menjadi lebih sempurna dalam
aspek sosial, ekonomi dan politik (Abdul Halim Mat Diah, 1989). Pengaruhnya amat luas dan

keupayaannya boleh mengubah perjalanan hidup manusia menjadi lebih baik dan bertamadun.
Alam dapat dilestarikan dengan saksama dan kebenaran akan muncul untuk memberi

kebahagiaan dalam hidup manusia.
Kedudukan pendidikan Islam di Malaysia sentiasa diberi perhatian oleh rakyatnya. Konsep dan
falsafah pendidikan secara Islamik telah diperkenalkan sejak Islam mula bertapak di Tanah
Melayu sejak abad ke 13M lagi (Wan Hussein Azmi, 1980). Pendidikan pada waktu tersebut
sangat menekankan pembentukan akidah masyarakat melalui ilmu teologi. Ilmu tentang
ketuhanan, konsep hamba, masalah kepercayaan kepada perkara ghaib bermatlamat untuk
mengikat jiwa masyarakat supaya sentiasa menjaga nilai iman (kepercayaan) agar tidak berlaku
kegelinciran akidah. Demikian juga disiplin ilmu syariah yang berkisar tentang persoalan ibadah
seperti sembahyang, perkahwinan, jual beli dan banyak lagi yang secara tidak langsung berusaha
membentuk nilai insani dalam diri masyarakat ke arah pengabdian diri secara mutlak kepada
Allah SWT. Kedudukan akidah dan syariah diperkukuhkan dengan ilmu akhlak melalui amalan
tasauf sebagai langkah untuk memantapkan nilai iman dalam diri. Pendekatannya adalah bersifat
tradisional. Keadaan ini secara tidak langsung telah membentuk kerangka konsep dan falsafah
pendidikan Islam di dalam diri Muslim walaupun ia tidak tertulis secara jelas.
Modenisasi dan globalisasi yang melanda setelah mencapai kemerdekaan turut memberi kesan
tehadap sistem pendidikan Islam di Malaysia. Ia telah membentuk satu paradigma baru ke atas
konsep dan falsafah pendidikan itu sendiri. Kepelbagaian disiplin ilmu yang wujud hasil dari
sekularisme telah membuka ruang baru dalam pendidikan Islam. Ia perlu diintegrasikan
mengikut acuan Malaysia agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Halatuju dan
matlamat pendidikan Islam perlu jelas dan selari dengan dasar pendidikan negara. Pada tahun

1988M, falsafah pendidikan Islam telah dibentuk dan diperkenalkan oleh kerajaan bagi
memperkukuhkan sistem pendidikan Islam negara dengan matlamat untuk melahirkan Muslim
yang berketerampilan dan sempurna yang mengetahui peanan dan tanggungjawab mereka selaku
hamba dan khalifah untuk memakmurkan negara. Ia adalah seperti berikut:
“Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu,
kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi
membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai
hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri,
masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan
kesejahteraan abadi di akhirat”.
Falsafah pendidikan Islam ini menjadi asas yang kukuh bagi merealisasikan Islam secara
bersama dalam proses pembangunan negara. Ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan
Malaysia yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi bagi rakyat Malaysia. Ini menjadikan
sektor pendidikan Islam di Malaysia lebih berdaya saing bagi menghasilkan individu Muslim
yang berpendidikan multi disiplin bagi memenuhi ruang yang dipelukan dalam proses
pembangunan negara. Penekanan pendidikan Islam ke atas aspek metafizik, epestimologi,

aksiologi dan logik telah diselaraskan melalui pembentukan kurikulum yang jelas melibatkan
aspek keimanan, ilmu, akhlak, penghayatan, amalan dan matlamat untuk melahirkaan insan yang
beriman, beramal salih dan berakhlak mulia. Ia dirangka untuk pelajar Muslim memperolehi

kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat (Asmawati Suhid dan Fathiyah Mohd
Fakhruddin, 2012).
Falsafah dan konsep pendidikan ini membuktikan kebijakan Islam dalam memanipulasi suasana
dan keadaan agar ia sentiasa selari dengan peubahan zaman. Ilmu yang diikat dengan wahyu
telah memberi pedoman untuk Muslim mengangkat diri mereka secara bersama dengan dasar
pembangunan negara. Rangkuman ilmu agama dan akademik (sekular) telah menjadikan Muslim
lebih berkeyakinan untuk terlibat secara langsung dalam perkembangan pembangunan negara.
Malah ia telah memberi kelebihan kepada kerajaan kerana nilai tambah ilmu agama yang ada
pada pekerja Muslim sedikt sebanyak dapat mengurangkan penyelewengan dalam mengurus
pembangunan negara.
TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam telah mengalami begitu banyak sekali transformasi sejak ia mula bertapak
hingga ke hari ini. Ia dibuat sedemikian bagi memastikan sistem pendidikannya sentiasa berdaya
saing disamping memenuhi perubahan dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Semasa
zaman pemulaan Islam dan pra kolonial, pendidikan Islam hanya memperkenalkan asas ilmu
Islam yang bersifat fardu ain dan fardu kifayah. Tempat pengajian terletak di surau, istana,
rumah dan masjid (Fazlullah Shuib, 1995). Kaedah ini dinamakan sebagai sekolah Al-Quran.
Setelah Islam stabil, nilai pendidikan telah diangkat ke tahap yang lebih tinggi menerokai ilmu
tasawuf dan ketuhanan. Buktinya, tertulis di dalam Sejarah Melayu terutama semasa zaman
kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Majlis ilmu khususnya di rumah guru mula mendapat

perhatian. Ramai pelajar dari dekat dan jauh telah datang belajar. Keadaan ini telah
menyebabkan guru memikirkan kaedah baru untuk membantu pelajar terutama yang datang dari
jauh. Maka guru bekerjasama dengan masyarakat telah membina rumah-rumah kecil yang
dikenali sebagai pondok untuk penginapan pelajar (Abdullah Jusuh, 1990). Pengajian ini dikenali
sebagai sekolah pondok. Kaedah yang digunakan adalah secara halaqah dan bersifat tradisional.
Suasana pendidikan Islam pada zaman kolonial tidak banyak mengalami perubahan terutama
semasa penjajahan Potugis dan Belanda. Ia masih mengekalkan sistem tradisionalnya walaupun
tidak banyak tulisan sarjana yang merungkaikan perkembangannya. Ia sama ada sengaja atau
tidak diperlakukan begitu bagi mengelak polisi kolonial yang sangat menekan perkembangan
dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan (Abdullah Ishak, 1995). Struktur pemerintahan
kolonial yang hanya memberi kuasa kepada sultan melayu menjaga agama dan adat istiadat
(Mohammad Redzuan Othman, 2005) sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada
perkembangan pendidikan Islam khususnya pada zaman British. Kekurangan dana menjadikan
sistem pendidikan ini terpaksa bergantung kepada sedekah, infak dan wakaf dari orang ramai.
Selain itu, ia juga menghadapi persaingan dengan sistem pendidikan kolonial yang lebih

menguntungkan dari aspek peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi. Namun masyarakat
Islam tidak terpikat dengan sekolah kolonial kerana menganggapnya sebagai agenda tersembunyi
kolonial untuk mengembangkan dakyah Kristian kepada rakyat. Penubuhan sekolah Islam ala
Inggeris seperti Madrasah al-Hamidiah di Limbong Kapal Kedah (1906), Madrasah Iqbal di

Singapura (1907), Madrasah al-Hadi di Melaka (1915) dan Madasah al-Mashoor di Pulau Pinang
(1926) masih kurang meyakinkan masyarakat Islam Tanah Melayu untuk menerima sistem
pendidikan bersifat dualisme yang menggabungkan ilmu agama dan akademik (sekular).
Zaman awal kemerdekaan kurang menampakkan masyarakat Islam Tanah Melayu cenderung
untuk memilih pendidikan alternatif sama ada sekolah Melayu atau pun Sekolah Inggeris. Fasa
awal kemerdekaan masih memperlihatkan kekuatan pendidikan Islam. Institusi pendidikan
tradisional seperti sekolah pondok masih kukuh dan mendapat pemintaan yang sangat tinggi.
Minda masyarakat masih meyakini bahawa ia adalah sistem pendidikan terbaik pada masa
tersebut. Bentuk pengajian tradisional kekal mendominasi ruang pendidikan Islam masyarakat.
Sekolah al-Quran dan sekolah Pondok sangat menarik perhatian rakyat bagi kelangsungan
pendidikan anak-anak mereka walaupun ia dijalankan secara tidak formal dan berada dalam
keadaan serba kekurangan.
Walaupun sistem pendidikan Islam tradisional kekal menguasai pasaran pendidikan Tanah
Melayu, ia sedikit sebanyak telah menimbulkan masalah kepada sistem pentadbiran. Ini berlaku
akibat dari acuan pentadbiran kolonial memerlukan sijil sebagai bukti kelayakkan bagi menjawat
sesuatu jawatan dalam pentadbiran temasuklah institusi keagamaan. Maka institusi pendidikan
Islam ala Inggeris yang tidak diminati sebelumnya telah diberi pengiktirafan dan diangkat
sebagai institusi pendidikan Islam formal bagi melahirkan para birokrat agama untuk turut
terlibat dalam jawatan pentadbiran negara. Maktab Mahmud (1936), Kolej Islam Kelang (1955)
dan banyak lagi telah giat melahirkan ‘ulama bersijil’ sebagai memenuhi keperluan pentadbiran

tersebut. Ia menjadi pencetus kepada kelahiran sistem pendidikan formal seperti yang ada pada
masa kini dan ia dikenali sebagai sekolah agama moden.
Secara umum, sistem pendidikan Islam formal boleh dibahagikan kepada tiga peringkat
pelaksanaan iaitu sistem pendidikan Islam pra sekolah, sistem persekolahan Islam dan sistem
pengajian tinggi Islam. Ia dibentuk bagi menjana ilmu bermula dari peringkat asas hingga ke
peringkat tertinggi mengikut acuan moden/barat supaya nilai ilmu yang dipelajari berupaya
untuk bersaing dengan sistem pendidikan sekular sedia ada. Disiplin ilmu dunia dan akhirat telah
digabungkan untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja mendalami ilmu keagamaan tetapi
juga memperolehi ilmu keduniaan supaya pelajar memperolehi keseimbangan pendidikan di
dalam kehidupam mereka.
Penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) pada tahun 1975 oleh Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) merupakan kelangsungan usaha untuk memberi pendidikan asas Islam
di peringkat awal kanak-kanak. Ia sebagai kesinambungan dari kelas-kelas al-Quran yang
diadakan di rumah guru, surau atau masjid yang dahulunya dikenali sebagai sekolah al-Quran.

Kurikulum asas Islam telah diterapkan seperti bacaan al-Quran, fardu ain dan amalan cara hidup
Islam. Ia juga sebagai langkah untuk kanak-kanak Islam mendapat pendedahan awal pendidikan
formal sebelum memasuki sekolah rendah (Mahyuddin Ashaari: 2004). Perkembangan ini diikuti
oleh PARTI Islam SeMalaysia (PAS) dengan menubuhkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)
pada 1988. Ia kemudiannya berkembang sehingga membentuk pelbagai institusi pra sekolah
dengan pelbagai kaedah pengajian seperti yang sedia ada pada masa kini. Walaupun banyak
institusi pendidikan Islam pra sekolah dibina, namun konsep dan falsafahnya adalah sama dalam
membentuk kanak-kanak Islam menjadi Muslim yang sejati berasaskan panduan Al-Quran dan
sunnah.
Kelangsungan pendidikan agama diteruskan lagi ke peringkat sekolah rendah dan sekolah
menengah. Ia terbahagi kepada dua bentuk iaitu sekolah rendah/menengah kerajaan dan sekolah
rendah/menengah swasta. Sistem yang digunakan adalah sama seperti kurikulum, buku teks dan
tahap peperiksaan. Cuma mungkin kelebihan sekolah rendah/menengah swasta lebih memberi
penekanan dalam aspek pembelajaran subjek agama. Penubuhan Sekolah Rendah Islam (SERI1989) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI-1989) diasaskan untuk mewujudkan rangkaian
pendidikan Islam swasta setaraf dengan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan. Ini kerana
Sekolah Menengah Agama Kerajaan menawarkan tempat yang sangat terhadap kepada pelajar
Islam. Justeru penubuhan sekolah swasta Islam menjadi alternatif kepada ibu bapa yang
berkehendakkan anak-anak mereka terlibat dengan sistem tersebut.
Pada masa kini, terdapat pelbagai sekolah agama sama ada milik kerajaan atau pun swasta. Ia
boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk. Mohd Kamal Hasan (1993) membahagikan sekolah
agama kepada empat jenis iaitu sekolah agama/Arab di bawah kuasa Kementerian Pendidikan
Malaysia, Sekolah agama/Arab di bawah kerajaan negeri, sekolah agama/Arab di bawah Majlis
Agama Islam Negeri dan sekolah agama/Arab peringkat rendah dan menengah. Manakala
Richard G. Kraince (2009) membahagikan sekolah agama di Malaysia kepada lima jenis iaitu
Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama
Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan.
Di peringkat pengajian tinggi pula, ia bertapak dengan penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi
Islam Kelantan (YPTIK-1965) di Istana Nilam Puri Kelantan. Ia di bawah kelolaan Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Seramai 43 orang pelajar dalam dan luar
negara seperti Brunei dan Singapura telah diterima masuk ke YPTIK pada peringkat awal
penubuhannya. Mereka menduduki Kuliah Syariah wa al-Qanun. Pada tahun 1966M, Ma’ahad
Dakwah wa al-Imamah telah diwujudkan sebagai satu lagi cabang pengajian di YPTIK. Ia
bertujuan untuk melahirkan golongan pendakwah terlatih untuk mengembangkan lagi Islam di
samping menjadi benteng ilmu untuk mempertahankan Islam dari serangan musuh. Namun
ijazah yang dikeluarkan oleh YPTIK tidak mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia kerana
menyalahi Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 walaupun Universiti al-Azhar Mesir
mengiktiraf ijazahnya. Pada tahun 1981M, YPTIK telah bergabung dengan Universiti Malaya
Lembah Pantai dan menubuhkan Akademi Islam Universiti Malaya. Ia sebagai langkah untuk

mendapat pengiktirafan ijazah yang mereka keluarkan dan pusat pengajian di Nilam Puri
dijadikan kampus untuk persediaan atau pra ijazah bagi para pelajar pengajian Islam sebelum
mereka memasuki Akademi Islam Universiti Malaya (Abdullah Muhammad Zain at all., 2005).
Manakala Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi ditubuhkan
pada tahun 1970M hasil gabungan antara Kolej Islam Malaya dengan UKM. Terdapat tiga
jabatan yang dikendalikan oleh Fakulti Pengajian Islam UKM iaitu Jabatan Syariah, Jabatan
Usuluddin dan Jabatan Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Kuliah pengajian
dikendalikan dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab (Abdullah Muhammad Zain at all.).
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak pula ditubuhkan pada tahun 1983M di bawah
Akta Syarikat (Compony Act) oleh Kerajaan Malaysia dengan tajaan bersama Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) dan Negara-negara Islam lain seperti Libya, Mesir, Maldives, Arab
Saudi, Pakistan, Turki dan Bangladesh. Penubuhan UIA di bawah Akta Syarikat bertujuan untuk
membolehkan kuliah pengajian diajar dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa
Arab kerana perundangan Malaysia hanya membenarkan penggunaan bahasa Malaysia. UIA
mempunyai empat fakulti yang dinamakan sebagai ‘kulliyah’ iaitu Kulliyah Undang-Undang
Ahmad Ibrahim, Kulliyah Ekonomi dan sains Pengurusan, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains
Kemanusiaan dan Kulliyah Perubatan. Ia juga mempunyai sebuah pusat matrikulasi sebagai
persediaan dari kalangan pelajar Malaysia untuk memasuki UIA (Abdullah Muhammad Zain at
all.2005). Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai wujud hasil naik taraf Kolej Universiti
Islam Malaysia (KUIM). Ia ditubuhkan pada tahun 2000M dengan menggunakan bahasa Arab
sebagai bahasa pengantar. Kumpulan pelajar pertama adalah seramai 200 orang. KUIM
mempunyai empat fakulti iaitu Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti Pengajian al-Quran dan
Sunnah, Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (Abdullah
Muhammad Zain at all., 2005).
Jaringan ilmu yang semakin melebar dalam arus modenisasi sebenarnya memberi kelebihan
kepada sistem pendidikan Islam tidak formal untuk bergerak dengan lebih pesat. Kepelbagaian
medium boleh dijana untuk memperkayakan lagi kegiatan pendidikan Islam. Wujud dua bentuk
pendekatan yang popular yang diguna pakai untuk menyebarkan ilmu agama bagi menjadikan
sistem pendidikan Islam tidak formal ini lebih efisyen dalam tindakan mereka mendidik
masyarakat tentang Islam. Ilmu melalui sistem ini boleh disampaikan secara santai dan tidak
mendesak serta terbuka luas kepada masyarakat umum.
Pertama, penggunaan institusi seperti masjid, surau, pondok dan institusi keagamaan lain dalam
berdakwah kepada masyarakat. Pendedahan ilmu secara terbuka kepada khalayak umum
mencerminkan Islam telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada masyarakat tanpa
mengira umur, pangkat dan jantina. Kehadiran tanpa paksaan bagi kanak-kanak hinggalah ke
warga emas ke institusi agama bagi memberi peluang menuntut ilmu merupakan suatu
pendekatan mulia, berhemah dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT (Ibn Abdul
Bar dan Ibn Majah). Tambahan pula ilmu melalui sistem pendidikan tidak formal ini
disampaikan secara percuma kepada masyarakat sebagai tanggungjawab sosial institusi agama

agar dapat mengambil manfaat daripadanya. Kebanyakan program keagamaan ini disampaikan
dalam bentuk pendidikan umum seperti syarahan, forum dan sebagainya. Wujud juga institusi
yang menggunakan bentuk pengajian talaqqi dengan menggunakan kitab tertentu seperti Ihya
Ulumuddin karangan al-Ghazali, Hadis Empat Puluh karangan Imam Nawawi, Mustika Hadis
keluaran jabatan Perdana Menteri dan sebagainya. Inilah kelebihan sistem pendidikan Islam
tidak formal yang sentiasa memperkayakan ilmu agama melalui majlis-majlis ilmu agar ia dapat
dihayati dan diamalkan sepanjang hayat Muslim.
Kedua, penggunaan laman media elektronik dan laman media sosial seperti radio, television dan
internet dalam menyebarkan dakwah Islam. Hal ini telah dilakukan oleh Radio dan Television
Malaysia (RTM), Radio IKIM, TV al-Hijrah dan sebagainya. Pelbagai program keagamaan
dipersembahkan kepada penonton bagi mendekatkan diri masyarakat dengan ajaran Islam.
Begitu juga dengan ruang maya telah digunakan secara maksimum oleh pendakwah untuk
menyampaikan ilmu agama. Pelbagai laman sesawang dicipta dalam pelbagai bahasa untuk
memberi kemudahan kepada masyarakat mendapatkan ilmu. Namun, harus diingat bahawa
pembaca seharusnya menyemak semula bahan agama yang diperolehi dengan guru yang
berautoriti bagi menentukan kesahihan ilmu-ilmu tersebut. Langkah ini perlu agar ilmu melalui
laman sesawang terbukti tulin dan selari dengan kehendak ajaran Islam.
PENUTUP
Islam itu adalah agama transformasi. Ia perlu dilakukan dalam seluruh aspek kehidupan
termasuklah pendidikan. Dengan perubahan yang dibuat, nilai Islam dapat diangkat dan dijulang
ke tahap yang lebih tinggi dan bermaruah. Namun transfomasi yang dilaksanakan tersebut
haruslah bertepatan dan tidak menyanggah syariat. Ia perlu selari dengan al-Quran dan alSunnah. Justeru, transformasi pendidikan Islam di Malaysia telah dibuat selari dengan kehendak
Islam. Dengan meletakkan wahyu dan sunnah sebagai tapak asas, disiplin ilmu dalam pendidikan
Islam telah disesuaikan mengikut dasar pembangunan negara agar produk yang dikeluarkan
melalui sistem ini berupaya menjadi insan yang bertakwa dan mampu menyumbang kepada
pentadbiran negara. Kedudukan ini memberi kelebihan kepada sistem pendidikan Islam Malaysia
dalam melahirkan Muslim yang tahu tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah
Allah SWT yang mampu mengimarahkan bumi Malaysia tercinta.

RUJUKAN
Abdul Halim Mat Diah, 1989, Islam dan Demokrasi Pendidikan, Kuala Lumpur: Angkatan
Belia Islam Malaysia.
Abdullah Ishak, 1995, Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, KL; Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Abdullah Jusuh 1990, Pengenalan Tamadun Islam di Malaysia, KL: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Abdullah Muhammad Zain at all., 2005, Pendidikan Islam di Malaysia: Dari Pondok ke
Universiti, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmawati Suhid dan Fathiyah Mohd Fakhruddin, Gagasan pemikiran Falsafah Dalam
Pendidikan Islam: Hala Tuju dan Cabaran dalam Journal of Islamic and Arabic
Education, 4 (2) 2012
el-Muhammady Abdul Halim, 1991, Pendidikan Islam; Falsafah, Disiplin dan Peranan
Pendidik, Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Fadzlullah Shuib, 1995, Kecemerlangan Ilmu dalam Sejarah dan Tamadun Islam:
Penginstitusian Ilmu di Zaman Abbasiyah 750-1258, KL; Pustaka Warisan.
Hasan Langgulung, 1997, Pengenalan Tamadun Islam Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur;
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahyuddin Ashaari, Sejarah Pendidikan ABIM dalam Jurnal Pendidikan Islam, Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM, jil. 10 bil. 4, 2004.
Mohammad Redzuan Othman, 2005, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh
Timur Tengah, Kuala Lumpur; Penerbit Universiti Malaya.
Mohd Kamal Hasan at all., Konsep pendidikan Islam dan Matlamat Persekolahan Agama dan
Arab di Malaysia dalam Ismail Ab. Rahman, 1993, penyut, Pendidikan Islam di
Malaysia, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Richard G. Kraince, Reforming Islamic Education In Malaysia: Doctrine or Dialogue? in Robert
W. Hefner, 2009, (edt.), Making Modern Muslim: the politics of Islamic Education In
Southeast Asia, Honolulu: University Of Hawai’i Press.
Wan Hussein Azmi, 1980, Islam di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan Abad ke 7 hingga
20 Masihi dalam Tamadun Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah
Malaysia.