MODEL PROTOTAIP

3.2.3 MODEL PROTOTAIP

Model Prototaip merupakan model yang melaksanakan fasa analisis, rekabentuk dan implementasi secara berulang-ulang sehingga sistem yang dikehendaki siap dibangunkan. Dengan menggunakan metodologi ini, setiap kali pengulangan terhadap analisa, rekabentuk dan implementasi, pengguna dan pembangun sistem akan memberikan komen terhadap sistem, untuk menganalisis kembali, merekabentuk kembali, dan membuat implementasi kembali. Dengan ini, sistem prototaip akan menambahkan fungsi dan mengurangkan kekurangan sistem itu. dan akhirnya, sistem yang dibangunkan akan memenuhi kehendak dan keperluan pengguna. Menurut Dennis (2005), model prototaip yang dibangunkan adalah seperti berikut;

Rajah 3.2: Model Metodologi Prototaip (Dennis, 2005)

Aktiviti dalam model prototaip ini mempunyai beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Ini kerana, kebiasaannya, pembangun sistem akan terlupa dan mengabaikan beberapa perkara penting dalam pembangunan sistem. berikut merupakan aktiviti yang dilakukan dalam model Prototaip (Dennis, 2005);

a. Perancangan Perancangan sistem merupakan asas kepada pembangunan sistem. Ia menentukan kenapa sesuatu sistem itu perlu dibangunkan, dan bagaimana sistem itu akan dibangunkan. Dalam fasa ini, pembangun sistem akan menentukan sama ada sistem itu boleh dibangunkan atau tidak, adakah ianya boleh digunakan oleh organisasi tersebut, dan adakah kos pembangunannya berbaloi dengan aplikasi yang akan digunakan.

b. Analisis Fasa analisis akan merungkaikan persoalan berkaitan dengan pengguna sistem yang akan dibangunkan, fungsi yang akan dibangunkan, serta bila ia akan digunakan. Dalam fasa ini, terdapat tiga langkah yang perlu dilakukan, iaitu Strategi dalam melakukan analisis. Ini untuk membantu pembangun sistem, dan biasanya memasukkan analisis sistem sedia ada, dan cara untuk membuat rekabentuk sistem yang akan dibangunkan. Langkah kedua adalah analisis kajian keperluan pengguna (User Requirement Analysis ). Kajian keperluan pengguna akan membantu pihak pembangun sistem untuk membuat rekabentuk konsep untuk sistem yang akan dibangunkan. Langkah ketiga adalah membuat Proposal Sistem, yang mengandungi analisis, konsep sistem, dan model yang akan dibina. Selain itu, ia juga akan menentukan sama ada sistem itu perlu diteruskan atau tidak.

c. Rekabentuk Rekebentuk sistem akan menunjukkan bagaimana sesuatu sistem itu akan beroperasi. Ini termasuklah spesifikasi perkakasan, perisian yang akan digunakan, dan infrastruktur rangkaian. Selain itu, ia juga menunjukkan antaramuka pengguna, borang dan laporan, dan juga program yang spesifik, pangkalan data, dan fail yang akan digunakan. Rekabentuk sistem mempunyai empat langkah, iaitu strategi rekabentuk, rekabentuk arkitek, pangkalan data dan spesifikasi fail, dan rekabentuk program.

Strategi rekabentuk merupakan strategi yang akan dilakukan oleh organisasi untuk membina sesuatu sistem, sama ada ianya akan dibangunkan sendiri, ataupun meminta kepakaran daripada luar untuk membina sistem itu, atau organisasi cuma membeli perisian yang terdapat di pasaran.

Rekabentuk arkitek merupakan aspek yang menerangkan mengenai perkakasan yang akan digunakan, perisian dalam membangunkan sistem, dan rekabentuk rangkaian yang akan digunakan. Selain itu antaramuka pengguna juga termasuk dalam bahagian ini, yang akan menunjukkan

bagaimana pengguna akan menggunakan sistem yang akan dibangunkan, serta borang dan laporan yang akan digunakan oleh sistem.

Pangkalan data dan spesifikasi fail pula merupakan dokumen yang menerangkan mengenai kaedah penyimpanan data, dan tempat data akan disimpan.

Rekabentuk program pula merupakan dokumen mengenai program yang perlu dibangunkan, serta kegunaan dan fungsi setiap program.

d. Implementasi Fasa terakhir adalah implementasi. Implementasi merupakan fasa yang paling mendapat perhatian kerana ianya akan menunjukkan hasil sesuatu sistem. Terdapat tiga langkah dalam fasa ini, iaitu Pembinaan Sistem. Keduanya, ialah Instalasi Sistem, dan terakhir, Pelan Sokongan sistem.