PENDEKATAN KAJIAN DAN SUMBER DATA

3.4 PENDEKATAN KAJIAN DAN SUMBER DATA

Sistem yang akan dibangunkan, perlu dikaji terlebih dahulu, dan memerlukan maklumat sebanyak yang mungkin agar sistem yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Kajian secara kualitatif digunakan untuk membuat kajian bagi pembangunan sistem. Menurut Reaves (1992) pendekatan kualitatif merupakan penghakiman terhadap kualiti sesuatu objek. Ia memberikan kelebihan kepada pembangun sistem kerana data yang diterima kebiasaannya sahih dan boleh diterima kerana ianya dilakukan dalam bentuk temu ramah secara mendalam dan hasilnya dianggap betul, tepat dan benar. Selain itu, analisis terhadap dokumen berkaitan juga perlu dilakukan untuk mengenal pasti elemen-elemen yang perlu dimasukkan ke dalam sistem.

Kaedah temu ramah, merupakan kaedah untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan sesuatu perkara daripada seseorang ataupun sekumpulan orang. Temu ramah merupakan cara yang paling efektif untuk memahami fungsi dan peraturan sesuatu perkara (Satzinger, 2002). Temu ramah juga boleh digunakan untuk mengenal pasti fungsi yang diperlukan, selain daripada data yang akan digunakan di dalam sistem yang akan dibangunkan.

Selain temu ramah, kaedah analisis dokumen juga boleh dilakukan untuk mendapatkan fungsi dan data sesuatu sistem yang akan dibangunkan. Dokumen yang boleh dianalisis adalah seperti borang, manual, laporan, carta organisasi dan sebagainya. Ia membantu pembangun sistem mendapatkan maklumat berkaitan sistem sedia ada pada pelanggan dan mengenal pasti maklumat dan fungsi sedia ada.

Dalam membuat kajian terhadap sistem yang akan dibangunkan, kedua-dua kaedah analisis data ini telah dilakukan. Temu ramah yang dilakukan adalah dalam bentuk berstruktur dan tidak berstruktur, untuk mendapatkan maklumat. Individu yang telah di temu ramah adalah seperti berikut;

a. Puan Hajah Kamaliah Noordin Beliau merupakan Pengetua Sekolah Menengah Islam Hidayah sejak ianya ditubuhkan, iaitu sejak 1996. Beliau merupakan orang yang mengetahui kehendak dan keperluan sebagai pihak pentadbiran, dan dalam masa yang sama, ibu kepada pelajar yang bersekolah di SMIH. Ini memudahkan lagi proses mengenal pasti fungsi yang diperlukan, kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam fungsi yang akan diperlukan.

b. Puan Fauziah Salam Beliau merupakan Penolong Kanan Pembangunan Sahsiah Pelajar, dan di bawah pengendalian Bahagian Pembangunan Sahsiah Pelajar termasuklah Tarbiah Pelajar, Disiplin, Bimbingan dan Kaunseling, Persatuan Syabab dan Fatayat, dan Majlis Perwakilan Pelajar. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab ke atas semua bahagian yang telah disebutkan di atas, dan beliau sangat membantu dalam mendapatkan maklumat berkaitan dengan Pembangunan Sahsiah Pelajar.

c. Puan Zunainah Jemenin Beliau merupakan guru yang bertanggungjawab mengendalikan Bahagian Komputer, di bawah Bidang Teknik dan Vokasional. Beliau merupakan guru yang bertanggungjawab untuk menyelenggarakan pengurusan pangkalan data pelajar. Maklumat teknikal seperti kaedah penyimpanan data, komputer yang digunakan, dan data yang disimpan di bawah pengendalian beliau.

d. En Zaidi Jalal Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Multimedia, di bawah bahagian Jawatankuasa Khas Sekolah. Beliau juga adalah guru yang bertanggungjawab mengendalikan Bahagian Komputer, di bawah Bidang Teknik dan Vokasional. Bidang kuasa beliau sama seperti Puan Zunainah, iaitu menguruskan pangkalan data pelajar.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai kriteria pangkalan data yang akan dibangunkan, dokumen berkaitan perlu dianalisis untuk mendapatkan senarai lengkap berkaitan maklumat yang akan disimpan dan digunakan. Antara dokumen yang dikenal pasti adalah seperti berikut;

i. Carta Organisasi Pihak Pentadbiran SMIH 2007 ii.

Carta Organisasi Jawatankuasa Khas SMIH 2007 iii.

Pangkalan data peperiksaan Sekolah dalam bentuk Microsoft Excel iv.

Borang Soal Selidik Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) v.

Dokumen Penilaian Aktiviti Ko-kurikulum vi.

Majalah Inspirasi (Majalah Tahunan SMIH) 1998, 1999/2000 2001/2002, dan 2003/2004.

Hasil daripada kaedah pengumpulan maklumat, keperluan pihak sekolah telah dapat di dokumenkan, dalam bentuk keperluan fungsi, dan keperluan bukan fungsi yang terdapat dalam Bab 4 (Rujuk Bahagian 4.6 Kajian Keperluan Pengguna). Keperluan pihak sekolah ini yang akan menjadi asas dalam pembangunan sistem, di samping pembinaan pangkalan data yang lebih sistematik dan berkesan.