ABDUL RAHMAN BIN AUF MODEN MENJANA EKONO

ABDUL RAHMAN BIN ‘AUF MODEN:
MENJANA EKONOMI UNTUK MENYUMBANG KEPADA ISLAM
OLEH: WAN AHMAD FUAD BIN WAN AHMAD KAMIL

PENGENALAN
‘Money makes the world go round’ adalah ungkapan yang sangat biasa didengari oleh ramai
orang. Duit dikatakan memainkan peranan penting dalam membentuk dan menguruskan
kehidupan kita semua pada masa kini. Tidak dinafikan harta terpenting bagi manusia
sekarang iaitu duit sangat diperlukan untuk memudahkan kita semua melakukan aktiviti
harian. Aktiviti harian yang dimaksudkan adalah seperti kepeluan untuk mengisi petrol
kenderaan, membeli barang-barang keperluan semasa (makanan, pakaian, barang rumah) dan
sebagainya.
Dalam meneruskan kehidupan, ramai manusia (terutamanya Muslim) terlepas
pandang atau mengambil mudah dalam menilai dan menapis sumber harta atau rezeki yang
mereka perolehi. Kehidupan sekarang pada era Millenium yang penuh mehnah dan tribulasi,
diseliputi dengan pelbagai pancaroba menjadikan manusia semakin leka dan lalai dengan
tujuan untuk hidup dengan berkat dan mencari redha Allah swt. Firman Allah swt di dalam alQuran:
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala
nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!” (Surah al-Fajr 89:28)
Di zaman yang mendambakan duit sebagai wadah utama untuk perbelanjaan, tidak
dinafikan duit juga diperlukan oleh organisasi dakwah Islam. Banyak duit diperlukan untuk

diguna pakai dalam meneruskan kerja-kerja dakwah Islam (seperti perbelanjaan petrol
1

kenderaan, makan minum dan tempat tinggal, cetakan-cetakan artikel atau risalah untuk
menyebarkan ayat-ayat Allah) dan sebagainya. Persoalan yang timbul kepada kita semua
adalah, adakah umat Islam mempunyai kemampuan ekonomi yang kukuh sebagaimana yang
lain? Adakah dengan sumber ekonomi dan kekayaan yang dimiliki oleh umat Islam,
digunakan dengan sebaiknya? Betul atau tidak kita sebagai Muslim hanya perlu hidup
sederhana dan tidak perlu berlumba untuk mencari kekayaan, kerana kekayaan itu boleh
melalaikan kita daripada Allah swt?
TUNTUTAN MENCARI REZEKI MENURUT ISLAM
Islam sangat menitikberatkan umatnya agar menjadi umat yang mampu dan berdaya saing di
muka bumi ini. Sebagai seorang manusia, sudah menjadi lumrah duit diperlukan untuk
meneruskan kehidupan. Jadi tidak dapat dinafikan bahawa umat Islam pun digalakkan
mempunyai duit sebagai memenuhi tuntutan kehidupan manusia sekarang.

Dalam

membincangkan kaedah mendapatkan rezeki, umat Islam disaran supaya bekerja dan
berusaha untuk mendapatkan rezeki, dan bukannya hanya hidup dengan meminta-minta.

Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran:
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi
(untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari
limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala
keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jumuah 62:20 )
Selain daripada ayat di atas, saranan berkenaan mencari rezeki ini boleh juga dirujuk
kepada firman Allah swt yang lain di dalam al-Quran:
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang
Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu
menyembah. (Surah al-Baqarah 2: 172)
Selain itu, terdapat juga tuntutan dari pada Rasulullah saw sendiri yang menggalakkan
umat Islam untuk berusaha dan bekerja mencari rezeki. Merujuk kepada hadith Baginda saw:

2

"Sungguh jika salah seorang di antaramu mengambil talinya, lalu dia datang membawa
seikat kayu bakar di atas punggungnya untuk dijualnya, sehingga dengan itu Allah
melindungi mukanya, maka hal itu lebih baik dari pada meminta-minta kepada orang lain,
sama saja apakah mereka memberi ataukah tidak." (Riwayat al-Bukhari).
Hadith di atas dan juga banyak lagi hadith lain daripada Baginda yang boleh dijadikan

rujukan dan pembakar semangat kepada tuntutan bekerja ini:
"Tidaklah seseorang makan suatu makanan yang lebih baik dari hasil usahanya sendiri. Dan
sesungguhnya Nabi Daud ‘Alaihissalam makan dari hasil usahanya sendiri." (Riwayat alBukhari).
Tidak dapat dinafikan sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya menjadi umat
yang berkualiti dan hebat di mata masyarakat lain. Bekerja dan berusaha sendiri mencari
rezeki adalah tuntutan mulia daripada Allah swt dan Rasulullah saw. Bahkan dapat kita baca
dan lihat dari sirah Rasulullah sendiri, Baginda pun bekerja sebagai pengembala kambing dan
peniaga di pasar untuk mencari rezeki.
SALAHKAH UMAT ISLAM MENGUMPUL HARTA?
Di dalam pemikiran segelintir Muslim atau mereka yang boleh dikatakan telah “salah
faham” terhadap ajaran agama Islam, terdapat satu ajaran yang menghalang Muslim untuk
menjadi kaya. Dikatakan harta ini adalah penyebab kepada rosaknya amalan Muslim kepada
Allah, menjadi penyebab hilangnya pahala yang dilakukan sewaktu hidup.
Bahkan timbul juga ajaran yang mengatakan Muslim yang berlumba-lumba
mengumpul harta adalah Muslim yang tidak elok dan tidak patut diikuti, bahkan tersebar pula
dalil-dalil yang tidak sahih, dusta ataupun palsu di kalangan umat Islam.
Antara contoh dalil berkenaan Muslim dan harta ini ialah:
Daripada Anas telah berkata, “Adapun aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wa sallam bersabda, “Aku melihat ‘Abdurrahman bin ‘Auf memasuki syurga dengan
merangkak.” (Hadith Musnad Ahmad)


3

Selain itu digunakan juga dalil-dalil lain daripada al-Quran dan hadith menyuruh
Muslim hidup sederhana, seterusnya didatangkan dalil bahawa Rasulullah saw berdoa dan
meminta untuk hidup dalam kemiskinan. Dalil berikut mafhumnya:
“…Aisyah mendengar Rasulullah berdoa : “Ya Allah, jadikanlah gaya hidupku seperti gaya
hidup orang miskin, cabutlah nyawaku dalam keadaan miskin, lalu kumpulkanlah aku pada
Hari Kiamat bersama kelompok orang miskin “. Mendengar doa itu Aisyah pun bertanya:
“Mengapa engkau berdoa seperti itu wahai Rasulullah ?”Beliau menjawab:“Orang-orang
miskin akan masuk Syurga 40 tahun lebih awal dari pada orang-orang kaya, wahai Aisyah
jangan pernah menolak orang-orang miskin walaupun engkau hanya mampu memberi
separuh biji kurma, cintailah orang miskin dan dekatkanlah mereka kepadamu agar Allah
juga mendekatkanmu kepada-NYA pada Hari kiamat nanti” (Hadith riwayat Tirmidzi,
Baihaqi dan Mundziri).
Selain itu antara dalil lain digunakan untuk menghalang umat Islam mengumpulkan
harta ialah:
“Suatu hari ‘Umar mendatangi rumah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dan beliau
sedang tidur di atas dipan yang terbuat dari serat, sehingga terbentuklah bekas dipan
tersebut di lambung beliau. Tatkala ‘Umar melihat hal itu, maka ia pun menangis. Nabi yang

melihat ‘Umar menangis kemudian bertanya, “Apa yang engkau tangisi wahai ‘Umar?”
‘Umar menjawab, “Sesungguhnya bangsa Persia dan Roma diberikan nikmat dengan nikmat
dunia yang sangat banyak, sedangkan engkau dalam keadaan seperti ini?”
Nabi pun berkata, “Wahai ‘Umar, sesungguhnya mereka adalah kaum yang Allah segerakan
kenikmatan di kehidupan dunia mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari - 2468)
Amat sedih sekali apabila terdapat sesetengah agamawan atau ustaz di dalam ceramah
dan kuliah agama masing-masing mengajurkan agar umat Islam tidak berlumba-lumba untuk
mengejar kekayaan. Pada hakikatnya penggunaan dalil-dalil di atas adalah tidak salah, tapi
pemahaman dalil serta aplikasi dalam konteks zaman sekarang itu yang silap difahami oleh
para asatizah dan agamawan untuk diterangkan kepada umat Islam.
Kekayaan dihebahkan sebagai sumber kemusnahan dan maksiat, dengan berpandukan
kepada kata-kata “money is the root of all evil”, seterusnya didatangkan kisah-kisah buruk
yang terjadi di dalam masyarakat seperti ahli keluarga bergaduh kerana harta, manusia
sanggup merompak dan membunuh kerana ingin hidup kaya dengan mudah, ramai
mengamalkan riba, rasuah, judi dengan niat untuk kaya dan lain-lain lagi. Tegahan dan

4

larangan daripada ustaz-ustaz dan tokoh agamawan ini menjadikan umat Islam yang
mendengarnya menjadi lemah semangat untuk bekerja menjadi kaya.

Kesan buruknya ialah umat Islam menjadi ketinggalan di belakang penganut
agama lain dari segi kekayaan dan harta. Bahkan jika dilihat kepada sumbangan-sumbangan
untuk program amal atau bantuan kepada mereka yang memerlukan, bukan Muslim agak
terkehadapan dalam perkara ini. Selain itu, dalam menjalankan urusniaga dan ekonomi,
penganut agama bukan Islam banyak mempelopori dalam bidang korporat, perniagaan,
saham, perbankan, ekonomi dan sebagainya. Kekurangan inilah yang mesti diatasi oleh umat
Islam zaman sekarang.
MENJADI ABDUL RAHMAN BIN AUF MODEN
Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, Abu Bakar as-Siddiq, Talhah bin
Ubaidillah, Saad bin Abi Waqqash, Zubair bin Awwam dan ramai lagi merupakan antara
contoh sahabat Rasulullah saw yang diberi kelebihan harta dan nikmat kekayaan di dunia.
Mereka bukan sahaja menjalankan kehidupan normal sebagai pekerja atau peniaga mencari
rezeki untuk keluarga, bahkan mereka juga hidup bersama-sama Rasulullah saw, merasai
susah senang hidup berjuang menegakkan Islam bersama-sama Baginda. Kekayaan yang
dimiliki mereka digunakan untuk membantu dan memudahkan perjuangan Islam.
Para sahabat-sahabat sebeginilah yang sepatutnya dijadikan idola atau tokoh
ikutan kepada umat Islam zaman sekarang. Umat Islam harus menjadi pelopor dan penguasa
dalam bidang ekonomi, menguasai selok belok perniagaan dan matawang seterusnya menjadi
penyumbang utama kepada Perkembangan ekonomi Islam. Sebenarnya tidak salah menjadi
kaya dan mengumpul harta, asalkan betul cara harta tersebut dimiliki, serta dibelanjakan ke

arah tujuan yang betul. Tidak patut umat Islam menjadi pengemis dan peminta sedekah
sedangkan rezeki Allah swt itu diturunkan meluas kepada manusia sejagat.

5

Banyak kebaikan dapat dilakukan jika dimanfaatkan dengan betul harta kekayaan
yang diberi Allah swt kepada kita, bukan dengan menjadi miskin dan melarat untuk
mendapatkan keredhaan Allah. Mengambil kata-kata John Swift, seorang penulis buku
British yang terkenal dengan buku beliau “Gulliver’s’ Travel” menyatakan: “A wise man
should have money in his head, but not in his heart.” Jangan biarkan harta yang dimiliki
mengkaburi mata dan jiwa seseorang daripada tunduk dan patuh kepada rahmat Allah swt.
Antara kebaikan yang dapat dilakukan dengan rezeki dari Allah swt ialah:
1.

Menderma untuk perjuangan Islam – menyumbangkan makanan dan
minuman, barangan keperluan seperti selimut, baju, kasut dan selipar, bantuan
duit untuk pejuang-pejuang dan mangsa perang di Palestin, Syria, Kashmir,
Pakistan, Rohingya dan sebagainya.

2.


Mengeluarkan zakat harta untuk disalurkan kepada Muslim di seluruh dunia
secara umumnya, atau di Malaysia secara khususnya dengan tujuan untuk
mengurangkan beban masalah duit dan keperluan asas Muslim.

3.

Menjalankan perniagaan atau melabur dalam produk-produk Muslim
seterusnya membantu mengukuhkan ekonomi Muslim di persada dunia.

4.

Membelanjakan harta yang dimiliki untuk membantu ataupun “support”
Muslim yang tidak berkemampuan dari segi ekonomi pergi menunaikan
umrah ke Tanah Suci

5.

Menyumbang dan melabur dalam bidang pendidikan, membantu sekolahsekolah agama, pondok atau madrasah membina fasiliti lengkap untuk
kemudahan pelajar-pelajar agama, di samping menyumbang untuk kos sara

hidup atau memberi biasiswa kepada mereka sehingga tamat pembelajaran.

Jika dilihat dalam skop yang lebih meluas, di sini boleh kita katakan tidak salah
untuk Muslim mengumpulkan harta dan menjadi kaya, semua kebaikan yang telah disebut

6

tadi, bahkan mungkin banyak lagi dapat dilakukan dengan rezeki pemberian Allah swt. Inilah
kelebihan apabila kita sebagai Muslim menggunakan nikmat dan rezeki yang diberi Allah swt
dengan cara dan niat yang betul.
KESILAPAN YANG DILAKUKAN KETIKA MENCARI REZEKI
Manusia memang akan diciptakan Allah swt dengan nafsu dan keinginan dalam
pelbagai perkara. Akan tetapi, nafsu dan keinginan manusia seringkali mengatasi dan
menguasai manusia dalam kehidupan. Begitu juga dalam keadaan mencari rezeki

ini.

Tuntutan dan suruhan Allah swt agar mencari rezeki yang pada asalnya harus, boleh berubah
menjadi haram jika salah perlaksanaannya oleh manusia.
Banyak salah laku dan kesilapan yang ditunjukkan oleh manusia dalam urusan

mencari rezeki ini. Antara contoh kesilapan terlalu mengikut hawa nafsu oleh manusia dalam
kehidupan dan dijawab melalui dalil-dalil al-Quran dan Hadith:
1. Perasaan tamak dan haloba, serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan
harta (yang boleh membawa kepada amalan makan rasuah, riba, membunuh, peras
ugut dan menipu).
Firman Allah swt di dalam al-Quran:
Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang
yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau
kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah
kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak
menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah
pokok asal harta kamu. (Surah al-Baqarah 2: 278-279).
Larangan lain berkenaan isu ini:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta
kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali
dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan
janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
mengasihani kamu”.(Surah al-Nisa 3:29)
Firman Allah swt lagi:

7

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara
kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu
(memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil)
sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui
(salahnya). (Al-Baqarah 2: 188)
Dalam firman Allah swt yang lain:
Sesungguhnya, Allah dan Rasul-Nya mengharamkan jual beli khamar, bangkai, babi,
dan patung.” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai jual
beli lemak bangkai, mengingat lemak bangkai itu dipakai untuk menambal perahu,
meminyaki kulit, dan dijadikan minyak untuk penerangan?” Nabi shallallahu ‘alaihi
wa sallam bersabda, “Tidak boleh! Jual beli lemak bangkai itu haram.” Kemudian,
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Semoga Allah melaknat Yahudi.
Sesungguhnya, tatkala Allah mengharamkan lemak bangkai, mereka mencairkannya
lalu menjual minyak dari lemak bangkai tersebut, kemudian mereka memakan hasil
penjualannya.” (Hadith riwayat Bukhari no. 2236 dan Muslim, no. 4132).
2. Dengki dan iri hati kepada manusia lain (membawa kepada tindakan sabotaj, santau,
bomoh-membomoh).
Sabda Rasulullah berkenaan mengunjungi ahli sihir atau mengamalkan sihir:
Dari Abu Hurairah RA, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang
membuat ikatan buhul kemudian meniupnya, maka sungguh ia telah berbuat sihir.
Dan barangsiapa berbuat sihir, sungguh ia telah mensekutukan Allah. Dan
barangsiapa yang menggantungkan jimat, maka ia diserahkan kepada jimat itu
(Allah tidak akan menolongnya). (Hadith riwayat al-Nasai)
Larangan Rasulullah saw berkenaan sifat dengki:
“Dari Abu Hurairah Radhyallahu anhu ia berkata, Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa
sallam bersabda, “Kalian jangan saling mendengki, jangan saling najasy, jangan
saling membenci, jangan saling membelakangi ! Janganlah sebagian kalian membeli
barang yang sedang ditawar orang lain, dan hendaklah kalian menjadi hambahamba Allâh yang bersaudara. Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang
lain, maka ia tidak boleh menzhaliminya, menelantarkannya, dan menghinakannya.
Takwa itu disini –beliau memberi isyarat ke dadanya tiga kali-. Cukuplah keburukan
bagi seseorang jika ia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim,
haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya atas muslim lainnya.” (Hadis
Riwayat Muslim)
3. Bekerja tanpa mengendahkan ibadat kepada Allah (seperti lalai dari menunaikan solat,
tidak mengeluarkan zakat).
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan
berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anakpinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur, Jangan sekali-kali
8

(bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa
hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)!
Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!” (Surah alTakathur 102:1-4)
4. Melakukan apa sahaja kerja dan usaha yang mendapatkan duit walaupun diharamkan
syarak (seperti menjual arak, dadah, berniaga dadah dan sebagainya).
Firman Allah swt dalam al-Quran:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. lalu berdekatan
dengan selonggok makanan lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam
longgokan itu. Tiba-tiba jari baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya:
“Apa semuanya ini wahai tuan punya makanan? Orang itu menjawab: “Terkena
hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan di atas
supaya orang ramai dapat melihatnya. Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari
kalanganku. (Hadith riwayat Muslim, al-Tirmizi)
Sabda Rasulullah saw yang lain mengenai hal ini:
“Sesunggunhnya Allah melaknat khamr, pemerasnya, yang minta diperaskan,
penjualnya, pembelinya, peminum, pemakan hasil penjualannya, pembawanya, orang
yang minta dibawakan serta penuangnya.” (Hadith riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah saw yang lain:
“Perdagangan khomr telah diharamkan” (Hadith riwayat al-Bukhari no. 2226).
5. Melakukan tindakan berlebih-lebihan dalam berbelanja serta melakukan pembaziran
"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran-Mu adalah saudarasaudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada
Tuhannya." (Surah al-Isra' 17:27)
Allah swt telah berfirman lagi di dalam al-Quran:
Firman-Nya yang bermaksud: "...dan makanlah serta minumlah dan jangan pula
kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebihlebihan." (Surah al-A'raf 3:1)
Sesungguhnya telah jelas bahawa umat Islam sememangnya perlu untuk
mengumpulkan harta dan menjadi kaya, bukan untuk menjadikan harta itu alasan melakukan
maksiat kepada Allah swt, akan tetapi sebagai jalan untuk terus maju dan menggapai redha
Allah swt.
KESIMPULAN

9

Sebenarnya, dapat disimpulkan bahawa larangan dan tegahan kepad Muslim untuk
mengumpulkan harta adalah tidak tepat sama sekali dalam konteks kehidupan zaman
sekarang. Bahkan perlu untuk kita sama-sama menjadi Abdul Rahman bin Auf zaman moden
untuk menyokong dan mengukuhkan ekonomi umat Islam. Dengan kekuatan ekonomi,
kawan dan lawan bagi umat Islam akan lebih hormat dan memandang tinggi kepada Islam,
sekali gus menjadikan Islam kembali gemilang di mata dunia.

10