Transformasi Pendidikan Vokasional

2. Transformasi Pendidikan Vokasional

Sistem Pendidikan Vokasional (PV) sentiasa mengalami reformasi yang mengarah kepada memenuhi keperluan semasa (Shahril Marzuki, 1993). Dalam pada itu, impak globalisasi terhadap sistem pendidikan negara turut membawa kepada transformasi dan tuntutan baru dalam sistem PV. Oleh yang demikian, Sharil & Habib (1999) menyarankan supaya PV di Malaysia seharusnya diolah supaya menghasilkan pekerja yang mempunyai etika dan budaya kerja serta daya produktiviti tinggi untuk membantu sektor perindustrian negara. Bertitik tolak dari hasrat ini, kurikulum vokasional telah diolah bagi meningkatkan enrolmen pelajar aliran vokasional dan kemahiran serta membuka peluang yang luas kepada rakyat negara ini melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Hal ini sejajar dengan cabaran globalisasi baru ke atas PV masa kini yang memerlukan paradigma yang lebih berinovasi agar mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama (Mohamed Rashid, 2002). Tambahan pula, Muhyiddin Yassin (2012, Januari 9) turut yakin melalui Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional, PV di negara ini tidak lagi dianggap sebagai kelas kedua sebaliknya menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua dengan berasaskan program bercorak pekerjaan sebagaimana yang dilaksanakan negara maju.

Mata pelajaran KHB yang diperkenalkan di Sekolah Menengah Akademik Harian adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berhubung aspek teknologi, perdagangan dan keusahawanan dalam kehidupan seharian. Sehubungan dengan itu, pelajar turut terdedah kepada pendidikan pra teknik dan vokasional serta alam pekerjaan (Yahya Emat, 2005). Mata pelajaran KHB ini adalah bersesuaian dengan tiga objektif asas pembentukan sistem PV oleh Evans & Herr (1978) iaitu untuk memenuhi kehendak masyarakat terhadap pekerja, meningkatkan sumber-sumber pilihan yang ada dalam mendidik pelajar serta perkhidmatan sebagai medium motivasi yang tinggi untuk memperbaiki pelbagai bentuk pembelajaran.

Umum mengetahui bahawa kemajuan ekonomi negara yang begitu pesat telah mengakibatkan permintaan tenaga pekerja teknikal dan vokasional terutamanya dalam kumpulan mahir dan separa mahir. Namun, sebelum mata pelajaran bercorak vokasional ditawarkan di Sekolah Menengah Akademik Harian, pelajar terpaksa memohon dan bersaing untuk mendapatkan tempat di Sekolah Menengah Teknik (SMT) mahupun Sekolah Menengah Vokasional (SMV) yang tempatnya agak terhad jika dibandingkan dengan kadar penglibatan murid di negara-negara maju seperti Jerman, Perancis dan Itali yang meliputi penyertaan melebihi 60 peratus (Ahmad Sipon, 2001). Justeru, Mata Pelajaran Vokasional (MPV) telah ditawarkan 4 secara berperingkat di Sekolah Menengah Akademik Harian mulai tahun 2002 kepada murid yang kurang berminat dengan pendidikan berorientasikan akademik dan lebih cenderung kepada program vokasional yang berbentuk kemahiran tangan (hands-on) yang juga merupakan lanjutan dan peluasan kepada mata pelajaran KHB di peringkat menengah rendah. Malah menurut Kandar et al. (2003), penawaran MPV merupakan sebahagian daripada usaha dan satu inovasi besar KPM untuk memperluaskan PV di Sekolah Menengah Akademik Harian.

Di samping itu, MPV telah dijalankan dari Tingkatan 4 hingga 5 di mana penawarannya dibuat secara berperingkat dalam empat fasa mulai tahun 2002 hingga 2005 untuk melahirkan individu dan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran dan terlatih dalam perkara asas dalam bidang pekerjaan yang telah dikenal pasti bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga pekerja teknikal dan vokasional akibat daripada kepesatan ekonomi negara (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002). Tindakan yang diketengahkan ini merupakan usaha KPM yang lebih responsif terhadap keperluan guna tenaga dalam pasaran buruh terutama guna tenaga mahir dan separa mahir (Kramlee et al., 2003). Seterusnya, pelaksanaan MPV ini menawarkan 22 mata pelajaran elektif bercorak kemahiran vokasional yang dikelompokkan dalam lima bidang utama iaitu bahan, pembuatan, teknotani, ekonomi rumah tangga dan aplikasi komputer. Penawaran kepada pelbagai mata pelajaran elektif ini juga bersesuaian dengan pendapat Valerie (2005) yang menyatakan bahawa pelajar sekolah menengah sememangnya sukakan kepada kerja tangan. Dalam pada itu, kurikulum Membuat Perabot MPV memberikan tumpuan kepada kemahiran dalam kerja mereka bentuk, membuat serta membaik pulih perabot di samping penerapan nilai murni, sikap positif dan budaya kerja yang baik turut disepadukan dalam mata pelajaran ini.

Namun sejajar dengan proses transformasi yang ditetapkan kerajaan, MPV telah dimansuhkan di Sekolah Menengah Akademik Harian secara berperingkat mulai tahun 2012 dan digantikan dengan pelaksanaan PAV. Melalui pendidikan aliran vokasional yang diperkenalkan pada peringkat yang lebih awal dapat mengelakkan masalah keciciran pelajar yang tiada kebolehan akademik tetapi berbakat dan berminat dalam bidang vokasional berikutan tiada aliran vokasional khusus pada peringkat menengah rendah (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). Rentetan daripada cadangan tersebut, Muhyiddin Yassin (2010, September 25) turut berpendapat bahawa lebih awal pelajar didedahkan dengan kemahiran, maka lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan pastinya kemahiran mereka juga akan lebih baik.